Showing posts with label gig. Show all posts
Showing posts with label gig. Show all posts

Tuesday, August 07, 2007

Joget Sungai Pusu -Jamming Akbar 2

Kami kembali bermain di UIA atas undangan Dr Iqbal untuk penutup AIKOL Book Fair 2007. Sebenarnya kami pun tidak tahu ada pameran buku pada minggu lepas. Undangan daripada Dr Iqbal memang dinantikan kerana keseronokan membuat persembahan di tempat terbuka dan di dalam keadaan santai. Lagipun tempat jatuh lagi dikenang,inikan pula tempat menimba ilmu.
Kami sebenarnya tiba lewat kerana terikat dengan komitmen lain di studio rakaman dan juga hal-hal lain. Kehadiran penonton kali ini lebih ramai daripada yang lepas.Mungkin promosinya lebih meluas.
Kali ini Azman,teman lama kami di kampus dahulu turut menyertai kami yang telah kehilangan gitaris iaitu Irwan yang telah berpindah ke Pulau Pinang untuk kehidupan yang lebih baik dengan menyertai perkhidmatan awam. Beliau baru sahaja bertugas Isnin lepas dan pulang ke Kuala Lumpur untuk persembahan ini dan juga merakamkan track gitar untuk rakaman dan aktiviti kepandaan yang lain.
Mulanya kami tidak mahu bermain Si Dia Datang tetapi atas permintaan Dr Iqbal,lagu itu dimainkan. Lagu-lagu yang telah dimainkan adalah lagu ciptaan kami iaitu Mabok Kepayang, Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Selain itu lagu joget dan Jikalau Berkasih daripada Ramli Sarip yang dinyanyikan oleh anggota baru,Azman.
“Eh! Kau punya gitar kecil tidak berbunyi! Cuba check microphone!”,kata Dr Iqbal kepada Azman.
Oh ya! Azman memainkan ukulele yang baru dibeli Mohsen dengan eksperimen yang masih ‘raw’. Dia akan bermain gitar selepas ini dan mungkin setelah melalui kuliah permainan ukulele daripada Master Along ,barulah dia akan bermain ukulele pula. Satu lagi ,dia pun baru sehari membeli kamera digital SLR berharga lebih RM3,000.(mahal tu! Mana duit dia dapat hah?)
Kelihatan Raja Ahmad yang lebih mesra kami panggil Pak Engku di kerusi penonton bersama anak-anaknya. Juga teman baru kami,Colin aka Khalid yang rancak berbual tentang muzik selepas selesai acara. Oh ya!Amuzzy yang selalu hantar mesej di chatbox juga datang.(Terima kasih di atas sokongan!)
Selepas persembahan,kami ke Restoran Al Makan di Jln Gombak,berdekatan Ong Tai Kim. Restoran ini telah menjadi restoran rasmi kumpulan sejak mendapat tahu perkhidmatannya memuaskan. Mereka juga bakal menaja sarapan pagi bassist,En Syamsul selama sebulan kerana mempopularkan tempat ini kepada pengunjung luar kawasan Gombak. Lebih kurang jam 2 pagi, pemain perkusi kami Raof tiba setelah pulang daripada kerja. Kali ini dia tidak dapat bermain bersama kerana urusan kerja,hanya Azmi yang bermain perkusi.

Entri ini ditulis dengan perasaan sedih kerana kami kehilangan gitaris yang berbakat besar.
Blog tidak akan dikemaskini selama seminggu sebagai menghormati beliau yang memulakan tugas sebagai pegawai kerajaan yang berhemah tinggi, berbudi pekerti mulia dan tidak sesekali mendekatkan diri kepada racun masyarakat iaitu rasuah! Hidup Malaysia! he he

Monday, July 30, 2007

Salah gang di UIAM


Geng-geng salah =wrong gang =ronggeng akan mengadakan sesi jamming bersama Dr Iqbal di depan Moot Court,Kuliyyah of Laws,Universiti Islam Antarabangsa(UIAM). Program santai ini di bawah kelolaan Dr Iqbal yang mempunyai suara persis Ebiet G Ade versi garau.he he

Dewangga Sakti akan membuat preview lagu-lagu yang bakal keluar di dalam album mereka.Juga lagu yang tidak akan keluar.Ini termasuk lagu dangdut dan ethno trance cyber yang telah diharamkan pihak kesultanan.

Tarikh: 4 Ogos 2007

Masa: 9 malam

Hari Sabtu

Monday, June 25, 2007

Mabok Soya di Fete de la Musique



Persembahan Dewangga Sakti bermula lambat kerana terdapat perubahan masa kepada kumpulan yang mengambil bahagian. Ini adalah penampilan kedua kami di Fete de la Musique.Kali pertama adalah pada tahun lepas.
Semalam Dewangga Sakti hanya bermain secara instrumental kerana penyanyi utama, Mohsen tidak dapat hadir kerana urusan pertahanan negara di Pulau Kapas. Kami amat terganggu kerana tukang karut utama itu tidak dapat hadir untuk memeriahkan suasana kerana celoteh dan guraunya ketika membuat persembahan dapat menceriakan penonton dan anggota kumpulan.
Pada tahun ini,lebih 50 buah kumpulan pelbagai genre muzik mengambil bahagian.
Sebelum persembahan bermula, saudara Iskandar aka drbubbles (http://drbubbles.blogspot.com) bersama teman-temannya datang untuk memberikan sokongan. Terima kasih kami ucapkan.
Pemain bass, saudara Syamsul telah menimbulkan kekalutan di kalangan anggota kumpulan kerana beliau hanya tiba pada jam 8 malam. Nasib baik,persembahan bermula dua puluh minit selepas itu. Tidak pasti adakah kelewatan beliau itu kerana memberi makan kucing dan panda peliharaan beliau di Klang Gate. Yang pastinya, anggota kumpulan sebulat suara akan memotong elaun makanan (kucing) beliau pada bulan ini.
Kami memulakan persembahan dengan sebuah lagu yang dipetik daripada album kami (yang belum siap lagi!) iaitu Mabok Kepayang (bukan mabok todi ya!). Lagu kedua juga lagu ciptaan kami iaitu Selembar Kaseh.
Lagu ketiga kami dedikasikan kepada penyanyi Taiwan, Theresa Teng dengan lagu beliau Tian Mi Mi. Lagu ini lebih dikenali sebagai Dayung Sampan di Indonesia dan Malaysia. Lagu ini mengingatkan kami pengalaman memainkan lagu ini ketika berada di Chengdu, China baru-baru ini. Walaupun Theresa Teng artis kelahiran Taiwan tetapi nama beliau cukup gah di Tanah Besar China dan mendapat penghormatan sewajarnya daripada penggemar muzik di sana. CD/DVD beliau dijual merata-rata. Ironinya,beliau diharamkan membuat persembahan di China ketika beliau masih hidup.
Selepas lagu ketiga ,Pengarah Alliance Francaise, Jean Solito datang ke pentas dan menyerahkan sekeping kertas kepada pemain perkusi, Azmi. Kami ingatkan ada cabutan bertuah. Rupa-rupanya senarai nombor kereta yang menghalang kereta-kereta lain untuk keluar. Double parking!
Tiba-tiba pemain bass, Syamsul meletakkan bass beliau.
“Itu nombor kereta aku!”,kata Syamsul. Muka beliau kelihatan pucat. (Sudah la lambat,menyusahkan orang pula.ha ha)
Pemain gitar, Irwan memujuk Syamsul supaya menghabiskan persembahan dahulu kerana hanya ada dua buah lagu sahaja lagi.
Syamsul akur dan kami memainkan lagu ceria kami iaitu lagu yang didedikasikan kepada rakyat Malaysia yang suka mencipta rekod seperti donat terpanjang, kek terpanjang dan segala macam yang membolehkan rekod dicipta (dengan harapan rakyat Malaysia boleh duduk sama rendah terbang sama tinggi bersama rakyat negara lain.ha ha). Tajuk lagu ciptaan terbaru itu adalah Belayar ke Pulau Jauh (Untuk mencipta Rekod Dunia) dan terdapat nyanyian beramai-ramai di penghujung lagu ini yang membayangkan keseronokan dan keajaiban kerana dapat mencipta rekod. (Untuk pengetahuan, terdapat satu lagi lagu yang amat ceria iaitu Malaysia Kita-sebuah lagu patriotik /political kununnya yang dicipta lewat kerinduan kepada tanahair ketika berada di Taipei September tahun lalu)
Kami mengakhiri persembahan dengan sebuah lagu joget iaitu Joget Johor Sport Club (apa punya tajuk da…Bukankan Joget Kelab Sukan Johor lebih menarik?). Ketika hendak memulakan persembahan, Azmi nampaknya terpinga-pinga kerana beliau memainkan rentak canggung,bukan joget! Ha ha! Setelah mendapat suntikan semangat daripada Syamsul,beliau dapat memfokuskan diri selari dengan amalan meditasi Bukit Saguntang.
Nampaknya kami perlu menghabiskan rakaman secepat mungkin kerana terdapat beberapa penonton yang bertanyakan album kami, antaranya adalah seorang wanita berbangsa India yang mengatakan kami bermain muzik yang kedengaran amat kemalaysiaan .(terima kasih di atas komen yang membakar semangat kami untuk berusaha meneroka ruang-ruang baru muzik Melayu dan juga Malaysia)
Sekian,jumpa lagi pada tahun hadapan.
Nota: Terima kasih kepada Mya untuk gambar-gambar entri ini

Sunday, June 24, 2007

Fete de la Musique 24 Jun 2007

Dewangga Sakti akan membuat penampilan di Alliance Francaise pada 24 Jun 2007 (Ahad) , jam 8 malam. Program ini dengan nama Fete de la Musique telah mula diperkenalkan di Malaysia secara meluas sejak tahun 2003(sebelum itu hanya di dalam premis) dan dianjurkan di merata tempat sekitar Kuala Lumpur.
Program bermula jam 12 tengahari dan berakhir pada jam 10 malam akan menampilkan lebih 50 buah kumpulan muzik pelbagai genre di dalam empat buah pentas
Masuk adalah PERCUMA!
Alliance Francaise adalah sebuah Pusat Budaya dan Bahasa Perancis di Kuala Lumpur dan terletak di Lorong Gurney,Off Jalan Semarak. Jika mahu ke sana,ikut Jalan Tun Razak dan belok ke kiri Jalan Semarak. Anda akan melihat Menara Celcom di sebelah kiri.Jalan terus dan di sebelah kiri adalah Lorong Gurney (sebelumnya showroom kereta).
Marilah beramai-ramai memeriahkan suasana.


Di bawah adalah kenyataan penuh daripada penganjur:
Fête de la Musique 2007

Alliance Française de Kuala Lumpur (AFKL) is honoured to invite you to participate in La Fête de la Musique 2007 at 15 Lorong Gurney on 24 June 2007, in the frame of the 2007 French Art Festival.
The event will take place from 12 pm to 10 pm with various musicians demonstrating their talents!
Launched in 1982 by the French Ministry for culture, the Fête de la Musique is held in more than hundred countries in Europe and over the world.
Completely different from a music festival, the "Fête de la Musique" is above all a free popular fête, open to any participant (amateur or professional muicians) who wants to perform in it. This Music day allows the expression of all styles of music in a cheerful atmosphere. It aims at a large audience, working to popularise musical practice for young and not so young people from all social backgrounds.
It gives an opportunity to communicate and share a very special moment through music.

The spirit of the World Music Day is based on the following principles:
1/ World Music Day is a live music celebration aimed at enhancing the scope and diversity of musical practices in all the musical genres.
2/ World Music Day is an appeal to spontaneous and free participation open to individuals or ensembles (instrumental or singing) and musical institutions to give both amateurs and professionals the opportunity to express their musical talent.
3/ All concerts are free to the public. The co-organisers undertake to promote musical practice and live music within this framework without a profit-making goal.
4/ World Music Day is an exceptional day for all types of music and public.

Tuesday, June 05, 2007

Udara nyaman di Sungai Pusu



Malam tadi kami dijemput untuk membuat persembahan di dewan CAC,UIAM. Program ini dengan nama Annual Vision Award khas untuk menghargai penglibatan aktif penghuni-penghuni kolej kediaman(mahallah) Ali dan Asiah di dalam aktiviti di kampus. Kombinasi kolej pelajar lelaki dan wanita.
Kami sukar untuk menolak undangan daripada UIA. Sebabnya lima daripada tujuh anggota Dewangga Sakti merupakan graduan universiti ini. Tambah menarik lagi,tiga daripada mereka pernah menginap di mahallah ini (Ali) semasa menuntut dahulu.
Membuat persembahan di UIA ibarat menjejak kembali jalan yang kami lalui dahulu sebagai pelajar dan ketika menubuhkan kumpulan ini pada tahun 2000. Pada masa itu semuanya sukar dan tidak ada kelonggaran pihak pentadbiran seperti sekarang. Banyak aktiviti dibuat secara gerila dan perang banyak berlaku dengan pentadbir / pelajar yang melihat muzik dan instrumen bertali sebagai sesuatu yang haram dan perlu dikafankan kewujudannya. Pada waktu itu,ramai pelajar yang dirampas gitar mereka. Hanya nasyid sahaja yang diiktiraf sebagai halal dan perlu dipertahankan.Muzik lain adalah dilarang meski pun mesejnya kadang kala melampaui apa yang ditawarkan oleh genre nasyid.
Itu tidak mematahkan usaha mereka. Malah menjadikan mereka lebih kebal dan cekal memperjuangkan minat mereka. Ada di antara mereka bermain muzik di luar kampus dan mendapat undangan serata pelusuk Semenanjung. Muzik yang mereka mainkan juga amat berat dan melanggar norma muzik semasa. (ha ha)
Zaman sudah berubah. Semalam pertama kali kami menyaksikan kumpulan zapin UIAM yang bergelar Nafastari. Mereka berbakat dan boleh pergi jauh jika mereka meneruskan usaha mereka tanpa jemu.
Persembahan malam tadi juga menyaksikan anggota baru,Irwan mengambil alih posisi gitar yang sebelum ini dimainkan oleh Yaser.
Gambar -(1) tujuh ulat sutera Dewangga Sakti , (2)bersama kumpulan zapin UIAM

Tuesday, April 10, 2007

Jamming Akbar




Jamming Akbar

Sesi kali ini begitu santai. Bayangkan begini: Dr Iqbal menyanyi lagu Ebiet dan diiringi oleh seorang pemain gitar. Tetapi ‘key’ tidak sama! Persembahan dimulakan kembali mencari ‘key’ suara yang betul. “Kita buat macam kita jamming saja”, begitu kata Dr Iqbal di sesi tersebut ketika menerangkan konsep.

Dengan set up yang sesuai (selalunya kami mengalami masalah kekurangan microphone) dan tempat terbuka iaitu berdekatan Moot Court,Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kali ini sesi jamming dibuat setelah selesai peperiksaan akhir untuk semester ini dan Dewangga Sakti dijemput untuk memeriahkan suasana.

Ramai pelajar-pelajar UIA (dari fakulti Undang-undang dan lain-lain) yang membuat persembahan. Bermacam-macam lagu daripada Sweet Charity, M Nasir, Ebiet G Ade,Iwan Fals yang didendangkan mereka. Terdapat juga bekas pelajar yang mengeluarkan album puisi sendiri.

Kami agak tertarik dengan seorang pemain didgeridoo yang memberitahu kami instrument itu dibeli dari Australia melalui internet. Asli rupanya! Bunyi dan bentuknya berlainan dengan apa yang selalu dilihat dan didengar.

Kali ini Dewangga Sakti dimeriahkan dengan kehadiran bekas anggota, Naeman yang hadir membaca dua buah puisi Jalaludin Rumi dengan diiringi muzik dari Dewangga Sakti. Persembahan ini tidak dirancang dan dilakukan secara spontan sahaja.

Persembahan kami diteruskan dengan Mabok Kepayang, sebuah lagu instrumental yang bakal dimuatkan di dalam album pertama nanti. Persembahan diselang-selikan dengan dendangan Dr Iqbal dan teman-teman yang lain dari UIA. (Hebat juga suara Dr Iqbal ni! Ada unsur-unsur rock jugak!)

Kali ini Mohsen selaku penyanyi tidak dapat hadir dan pemain perkusi, Raof dipaksa untuk menyanyi dua buah lagu iaitu Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Belayar ke Pulau Jauh adalah sebuah lagu baru yang belum mempunyai bentuk tetap dan akan disiapkan secepat mungkin sebelum proses rakaman yang mendatang.

Tiga lagu lain adalah Al baladi,Si dia Datang dan Ya Salam yang merupakan lagu covers kegemaran. Asalnya Si Dia Datang hendak dinyanyikan oleh seorang teman, Anis Es tetapi beliau tidak dapat hadir atas urusan peribadi.

Dr Iqbal di penghujung acara dan ketika sesi makan menyatakan bahawa acara seperti ini akan dilakukan lagi setiap semester dan kami berjanji akan terus hadir memeriahkan suasana.

Sesi kami diteruskan lagi selepas itu di luar- Deen.

Pertengahan sesi ‘post-mortem’ , kami dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Mohsen yang memberitahu bahawa isterinya telah selamat melahirkan anak kedua, seorang bayi perempuan yang dinamakan Nur Basyirah Wafa.

Kami terus bergegas ke Klinik Mesra Sri Gombak untuk melawat. Tahniah Mohsen! Nampaknya sudah ada tiga orang Dewangga Sakti junior setakat ini yang akan meneruskan perjuangan mereka.

Monday, December 11, 2006

Dari titisan Bukit Saguntang




Demam Sapporo belum habis. Menurut Azmie,dia masih terkenang-kenangkan saat manis di negara matahari terbit tersebut. Sebab itu, blog ini terasa sukar untuk dicatatkan perkara baru.Walhal,aktiviti tidak kurang menariknya. Tapi, tidak perlu terlalu nostalgia..hidup mesti jalan terus.
Dewangga Sakti terlibat dengan beberapa aktiviti pada bulan November dan Disember ini.
11 November-persembahan di resepsi perkahwinan selebriti Sazzy Falak di Saloma Bistro
18 November-terlibat dengan bengkel muzik tradisional di Pasar Budaya
10 Disember-persembahan di Konvokesyen Kolej Teknologi Kosmopoint(untuk persembahan ini founders Dewangga Sakti tidak dapat turut serta (Zulkifli dan Mohsen) dan ini adalah kali pertama kedua-dua tulang belakang kumpulan tidak terlibat dengan persembahan Dewangga Sakti. Tugas mengurus kumpulan diserahkan kepada bassman,En Syamsul yang menjalankan tugas dengan baik dan akan diberikan pingat jasa kebaktian kesultanan Gombak)

Thursday, September 14, 2006

Menghirup Udara Malam di UIA

Malam tadi kami menyertai satu program di UIA,lebih tepat anjuran Fakulti Undang-Undang di bawah Dr Iqbal. Macam sirih pulang ke gagang.Sebabnya tempat yang sama pernah menyaksikan Dewangga Sakti beraksi empat tahun yang lalu untuk program Malam Nur Akar 4 bersama-sama kumpulan gamelan UIA,kumpulan Angklung Malam dll.
Tidak sangka kami bermain di tempat yang sama.Tempat terbuka atau lebih tepat berdekatan Fakulti Undang-undang dan jalan menuju ke perpustakaan. Kami hanya bereenam kerana Abdul Raof bekerja dan tidak dapat turut serta. Berdekatan tempat itu juga pernah diadakan Detik Merdeka 2001 yang menyaksikan penglibatan penyanyi lagu folk,Pak Pandir.Program itu diadakan menjelang detik 12 malam,31 Ogos 2001.
Meski hanya dengan empat lagu dan menjadi kumpulan penutup program,semua anggota melahirkan rasa kegembiraan dengan sambutan dan suasana program ini.Inilah roh yang kami cuba pupuk ketika mula-mula menubuhkan Dewangga Sakti pada tahun 2000. Mohsen yang banyak bertindak sebagai penganjur ketika itu dan anggota kumpulan yang lain melalui jalan sukar bermain di tempat-tempat terbuka dan tidak dipedulikan.Adakalanya ditertawakan dengan wawasan serta sifat eksperimen kami.
Malah ketika kami masih belajar,gitar menjadi alat yang dianggap haram dan ada ketikanya gitar-gitar kami dirampas dan diberi amaran keras supaya tidak melibatkan diri dengan perkara mungkar dan haram.Walhal,banyak lagi anasir-anasir liar yang menular di sana yang tidak dibanteras,sebagai contoh aktiviti pondan dan gay.
Tetapi kami tetap bermain secara gerila dan anggota kumpulan ini(dengan kumpulan lama mereka) banyak terlibat dengan gig di seluruh negara.
Program ini satu perkara yang positif. Dianjurkan oleh Fakulti Undang-Undang bersama-sama Rumah Penerbitan Suarasuara (Raja Ahmad Aminullah).Selain daripada persembahan Dr Iqbal dan kumpulan,penyajak Amirul Fakir dari Ipoh juga bersama-sama memeriahkan acara. Pelajar-pelajar UIA(saya rasa dari Fakulti Undang-Undang) pun turut terlibat membaca puisi,bermain muzik dll.
Program ini juga menjadi saksi -pemain violin Norman ramai peminat.Mungkin mereka terpesona dengan rambut atau pun seluar hijau beliau.(ha!ha!)

Monday, June 19, 2006

Mabok Soya di Alliance Francaise




"Zoy,ini tidak adil! Kenapa mereka dapat 'beer' percuma? Kita yang tak minum arak ni macam mana? Tak ada pun air lain yang kita dapat!"
"Betul la Man.Patutnya Syarikat Soya atau Milo pun taja event ni!"
Beberapa kali kami disapa oleh gadis-gadis penjual bunga!Oppss!Saya maksudkan gadis pembawa minuman keras jenama nombor wahid di Malaysia yang kilangnya tersergam megah dan angkuh di Petaling Jaya. Rupa-rupanya,syarikat ini menaja minuman.
Ini bukan acara biasa. Kami mendapat jemputan untuk menyertai satu acara tahunan di Alliance Francaise yang beralamat di Lorong Gurney berdekatan Jalan Semarak pada hari Sabtu lepas. tempat ini berdepan dengan Wisma Tanah yang bangunannya amat old-school dan boleh mendapat taraf pemuliharaan oleh muzium.Alliance Francaise merupakan sebuah pusat bahasa dan budaya Perancis di ibu kota. Saya tidak sempat melihat sudah berapa lama pusat ini wujud kerana setelah berada di situ, mood saya tidak datang kecuali bila kami ingin memulakan set persembahan kami.
Mungkin tempat itu sendiri atau jenis muzik yang dipersembahkan. Mungkin juga sebab saya agak kebosanan pada ketika itu.
Acara ini dikenali sebagai 'Fete de la musique' dan sudah beberapa tahun diadakan di Malaysia. Tradisi ini diambil dari Perancis dan dieksport ke negara ini.Pada bulan yang sama di Perancis, beribu-ribu pemuzik akan turun ke jalan-jalan di seluruh Perancis untuk bermain muzik.Pelbagai genre dan peringkat usia.Tidak mengenal sama ada amatur atau profesional.
Berlegar-legar di tempat kejadian,saya disapa oleh Jenny,petugas dari pihak penganjur yang memberitahu supaya kami bermain di pentas luar kerana pentas di dalam tidak cukup microphone.Lagi pun menurut rakan saya, bunyi pentas di dalam bergema dan tidak cukup akustik sifatnya. (Kata rakan saya lagi,"Mat saleh pun manusia jugak.Kelam kabut macam biasa!".Kata saya mungkin juga pasal mat saleh ni duduk Malaysia.ha!ha!)
Kami memulakan persembahan di pentas taman(Garden stage) yang betul-betul di pintu masuk. Setelah melakukan 'sound check' dengan cepat, kami memulakan set kami dengan lagu popular Raja Gambus Fadzil Ahmad, Si Dia Datang.Melodi yang amat menarik membuatkan khalayak bergoyang.Kami sempat memainkan lima lagu termasuk zapin Yaladan.Tiga daripadanya adalah lagu kami sendiri yang sedang berada di dalam proses rakaman. Keseluruhannya,kami 'enjoy' dengan persembahan tersebut kerana bermain di pentas terbuka dan dapat memainkan lagu tradisional di tengah-tengah pelbagai muzik yang lain.
Anggota yang terlibat adalah Mohsen(vokal),Zul(gambus/gitar),Yaser(gitar utama),Syamsul(bass),Mie(perkusi),Raof(perkusi) dan Man(violin)
*Nota:Tidak ada anggota yang minum soya selepas persembahan!

Wednesday, June 14, 2006

Dewan Komuniti TTDI

Dewangga Sakti telah membuat persembahan di majlis perkahwinan di Dewan Komuniti TTDI pada 10 Jun,Sabtu lepas setelah mengalami beberapa masalah yang kritikal dengan anggota kumpulan. Nampaknya rombakan tidak dapat dielakkan lagi dalam masa terdekat ini untuk menjamin perjalanan kumpulan di masa hadapan supaya lebih teratur dan sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam perkembangan lain,mereka dijadualkan membuat persembahan Sabtu,17 Jun ini di Alliance Francaise, Lorong Gurney untuk 'Fete de la Musique' yang diadakan saban tahun mengambil tradisi daripada negara Perancis. Banyak persembahan lain yang akan dapat juga disaksikan di hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur.
Sementara itu,rakaman akan disambung semula Ahad ini untuk instrumen yang tidak menepati piawaian dan rakaman-rakaman lain yang bersangkutan.
Ini satu lagi berita baik:Akhirnya, T Shirt rasmi 'Dewangga Sakti' sudah ditempah dan bakal siap sehari dua ini. Setelah hampir enam(6) tahun, t shirt berjaya juga dibuat.Orang lain hari ini buat band,esok baju sudah siap.Tapi Dewangga Sakti amat lembab! Enam tahun baru dapat menghasilkan t shirt dan satu logo yang betul!Ha!ha!ha!

Thursday, May 25, 2006

Open mic di Troubadours/Open Doors




Dewangga Sakti membuat persembahan di troubadours/open doors di KLPAC,Sentul West pada hari Ahad 21 Mei 2006.Dua lagu untuk segmen open mic.Lebih lanjut tentang troubadours,sila ke http://troubadourskl.blogspot.com
Dua lagu-Selembar kasih dan Mabok Kepayang.
Berita lain: Dewangga Sakti akan membuat persembahan di Fete de la Musique di Alliance Francaise di Lorong Gurney Kuala Lumpur pada 17 Jun 2006. Pada 15 Ogos,Dewangga Sakti dijemput ke UIA untuk persembahan 'Malam Nusantara'.
*Gambar ketika persembahan tiada atas sebab-sebab teknikal.

Tuesday, April 04, 2006

Dewangga Sakti di Layar Tanchap





Dewangga Sakti membuat penampilan sulung di Layar Tanchap,sebuah jam session yang dikendalikan oleh Pot Amir (x-Innuendo).Utk keterangan lanjut mengenai layar tanchap,sila ke http://layartanchap.blogspot.com
Ia berlangsung di roof top (bumbung) bangunan niaga UDA di Bangsar (berhadapan Dataran Maybank) pada 31 Mac 2006 ,jumaat lepas.Tempatnya agak santai dan agak sesuai untuk acara sebegini. Seperti biasa, penampilan Pot dan bandnya Radiostar,Ruffedge,Amy Mastura dsbnya.
Dewangga Sakti hanya sempat mempersembahkan satu lagu (instrumental) yang bertajuk Inang Malam Kelam(working title). Mohsen sempat mencelah ketika show baru bermula setelah bertungkus lumus mengelolakan training di Eastin Hotel. Anggota yang lain adalah Azmie, Raof, Yaser,Zul dan Zakiah.
Walaupun satu lagu sahaja sempat dipersembahkan(daripada dua lagu yang ingin dibawakan) tetapi dikira memadai untuk menyebarkan virus dan bertemu khalayak baru..Masa mungkin tidak mengizinkan dan kelihatan ada juga performers yang tidak dapat mengadakan persembahan.Mungkin perlu susunan persembahan yang lebih terkawal.
Inang Malam Kelam merupakan satu lagu slow paced yang berentak inang dan disulami elemen lain dengan penggunaan gambus,rebana,tabla,keyboard,gitar akustik dan bakal dilengkapi dengan violin sedikit masa lagi. Ilham untuk menghasilkan lagu ini tercipta ketika duduk-duduk rehat di ruang tamu sambil melihat rancangan televisyen yang membosankan. Minda ingin rileks dan permainan mesti nampak 'cool' dan tidak membebankan.(Terima kasih kepada jurufoto untuk foto-foto yang sempoi)

Tuesday, December 13, 2005

Persembahan di Konvokesyen Kolej Teknologi Kosmopoint

Dewangga Sakti membuat persembahan sempena konvokesyen ke 11 Kolej Teknologi Kosmopoint yang telah berlangsung pada 4 Disember 2005 di Dewan CAC,UIAM. Persembahan latar ketika upacara pengambilan scroll (ijazah) yang juga dihadiri oleh Prof Diraja Ungku Aziz.
Line up: Azmie- perkusi, Raof-perkusi, Zulkifli-gambus, Yaser-gitar,Mohsen-gitar bass, Zakiah-keyboard dan Atiyah-violin.Ini penampilan pertama Raof setelah kembali dari UK dengan membawa sebuah darbuka yang dibeli di sana.