Showing posts with label Dewangga Sakti dalam studio. Show all posts
Showing posts with label Dewangga Sakti dalam studio. Show all posts

Thursday, April 30, 2009

Rakam merakam rakaman terkam



Malam tadi kami berkesempatan membuat persembahan di malam kebudayaan Kem Remaja Muslim Antarabangsa yang diadakan di UIA di samping beberapa persembahan lain yang tidak kurang hebatnya.
Kami bermain dua lagu. Hanya empat ahli yang hadir kerana tiga lagi telah tertinggal pengangkutan masing-masing.
Sehari sebelumnya pula, kami ke studio lagi untuk proses rakaman seterusnya. Kali ini, Azman Jan memasukkan track gitar dan bass (ya! bass akustik yang baru dibeli) untuk lagu kedua. Azman juga menggalas tugas sebagai vokalis sekarang setelah vokalis asal menarik diri beberapa bulan lepas. Untuk persembahan live pula, beliau akan menyanyi sambil bermain bass.
Untuk mengambil feel ronggeng pada malam tersebut,beliau datang dengan memakai baju melayu dan songkok. Asalnya hanya mahu memakai kain pelikat tetapi tidak dipersetujui Tokeyunta yang menghantar pesanan melalui sms.


Tuesday, April 28, 2009

Tokeyunta









Jumaat lepas ketika kami sibuk membuat persiapan untuk sebuah persembahan sempena Debat antara sekolah di UIA, Tokeyunta kembali ke tanahair dari Dubai.
Petang Sabtu ketika kami menyambung rakaman di studio PurpleSound ,Tokeyunta telah muncul dengan membawa bass gitar yang baru dibelinya pagi itu, Fender Jazzbass yang menjadi idamannya sejak kami di kampus lagi.
Ketika beliau sibuk sedang menunjukkan bass barunya kepada jejaka kacak, Irwan ,aku dan Raof berkonspirasi mencari kedai Resepi Rahsia untuk membeli sebuah kek sempena hari lahir beliau. Ya! Kami telah membuat kejutan sempena hari lahir beliau. Jika dua tahun lepas, gadis-gadis Chengdu membuat kejutan kali ini giliran kami pula membuat kejutan. Ternyata dia amat terkejut.
Sesi menjadi lebih meriah dengan cerita -cerita dari Dubai yang dikongsi bersama ahli-ahli kumpulan.
Sesi rakaman kali ini memasukkan track gitar dan akordian untuk lagu kedua dan melakukan sedikit rakaman semula kepada asas lagu pertama.
Beliau bercerita tentang Dubai yang dilanda salji dan hujan yang turun dengan banyaknya di Dubai pada tahun ini.
" Cuba fikir sejak bila perkara ini terjadi?" ,Irwan bertanya sambil disambut gelak ketawa ahli lain.
Tokeyunta juga semakin gelap kerana keadaan cuaca. Beliau juga memberitahu ladang unta hanya berdekatan pejabatnya .Ada juga cerita berkenaan lomba unta di sana.
Selamat hari lahir, Syam! (Beliau kembali semula semalam ke Dubai meninggalkan anak dan isteri di Malaya. Harap-harap beliau membaca jadual penerbangan dengan betul kali ini)

Tuesday, April 21, 2009

Sambung lagi perarakan ulat sutera






Kami menyambung rakaman minggu lepas dengan membuat track asas kepada lagu ketiga. Di samping itu menambahbaik track rebana kepada lagu kedua serta membincangkan proses seterusnya untuk minggu ini.
Hari Ahad pula,kami tiba-tiba mendapat mesej daripada Raja Ahmad RA Fine Arts untuk satu program Kata Suara di Pesta Buku PDDP. Memandangkan program ini tidak dinyatakan tarikh lebih awal(hanya tengahari itu), hanya tiga orang sahaja yang hadir memeriahkan acara iaitu Zul,Raof dan Norman. Di PDDP, monitor speaker diletakkan di belakang dan menyusahkan kami untuk mendengar apa yang dimainkan.
Apa ni Pak Abdul? Monitor untuk didengar dan diletakkan di depan ,bukannya di belakang!
Minggu ini Tokeyunta Dubai dijangka pulang seketika dan jika tiada aral akan memasukkan beberapa track bass untuk lagu-lagu tersebut.
Sinaganaga sempat menghantar sms bertanyakan lagu untuk beliau masukkan suara latar sukaria.
"Ada la la la tak untuk Soljah masukkan vokal?"
Aku jawab , "........"(ada lah tu!ha ha)

Wednesday, April 15, 2009

Kembali ke studio





Kami sudah memulakan proses rakaman untuk album penuh , kesinambungan daripada EP Mabok Kepayang. Rakaman sudah dimulakan minggu lepas di Studio PurpleSound iaitu studio yang sama ketika rakaman EP yang lalu. Cuma kali ini lokasi berbeza sejak peristiwa runtuhan di Bukit Antarabangsa, pemilik studio sudah memindahkan pusat operasi studio ke bangunan kedai di UK Perdana.
Studio lebih besar dan selesa. Yang pasti, penjaga studio tetap ada di situ --seekor kucing yang akan menjaga masa dan manusia.
Ini mungkin salah satu studio yang akan kami gunakan kerana kami juga sedang mencongak studio-studio lain yang berpotensi. Tetapi mungkin sahaja studio ini sahaja digunakan kalau penerbit malas untuk mencari lokasi lain. ;)
Kami membayangkan untuk merakamkan sebanyak sepuluh buah lagu untuk album ini. Diharapkan kami dapat menghabiskannya dalam tempoh tiga bulan sebelum pemain perkusi (ahli temuda) kami, Wah Yun Kua menerima segulung ijazah Ogos nanti. Ini kerana mana tahu selepas Tokeyunta ke Dubai Oktober tahun lepas, bakal peguam muda ini pula akan mengikut jejak yang sama.
Dua lagu telah dirakam pada minggu lepas. Asas kepada lagu ini telah dimasukkan. Selepas ini tambahan instrumen pula akan dilakukan.
Untuk lagu pertama- gambus, violin ,darbuka,rebana sudah dirakam. Selepas ini gitar, akustik bass, akordian, toys seperti shaker,tamborin dan kesan bunyi akan dimasukkan.
Lagu kedua- rebana,darbuka, tepuk tangan beramai-ramai telah disahkan memenuhi piawaian lagu. Manakala gitar akustik, bass, violin sebagai 'guide' sahaja dan akan dimasukkan selepas ini bersama-sama akordian dan gambus.
Saudara Firdaus Arif bersama temannya datang melawat kami di studio sambil membawa kamera dan lens barunya.
Kami agak terkesan dengan kata-kata pemilik studio,En Ariff Akhir, " Korang lah band yang paling bising dan havoc dalam studio".
(ha ha ! Itu nak melindungi sindrom nervous dan menjaga keadaan supaya tidak tegang. Yang pasti gelak ketawa dan bermacam-macam lawak jenaka telah dirakam oleh Ariff )
Minggu ini sambung lagi...
Sekian laporan daripada Kesultanan

Monday, March 31, 2008

Masanya hampir tiba

Ya! Masanya hampir tiba untuk rakaman Dewangga Sakti menerjah pasaran. Semalam dua buah lagu lagi telah siap dikerjakan di studio Purple Sound. Dua buah lagu itu adalah Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) dan Tertinggal Kapal Angkasa.Dua lagu ini akan diadun (mix) di dalam masa terdekat dan bakal dimuatkan di dalam EP (mini album) bersama dua buah lagu terdahulu yang sudah siap dirakam iaitu Selembar Kaseh dan Kembali Menchari.
EP ini akan diterbitkan dahulu sebelum album penuh muncul selepas itu. Target kami untuk mengeluarkan EP ini pada bulan Mei 2008 iaitu dua tahun tertangguh bermula rakaman separa siap pada tahun 2006(di studio yang lain).
Pada saat ini (jika pihak kesultanan tidak mengubah fikiran),EP akan diberi tajuk Mabok Kepayang
---bersambung

Tuesday, January 08, 2008

Bersantai di studio



Alhamdulillah,berkat kesabaran bangsa ang(ka)sa,mereka telah menghabiskan proses rakaman dua buah lagu yang mula dirakam sejak Ogos tahun lepas.Lagu-lagu ini akan diadun dan kemudian dimasterkan.
Lagu-lagu tersebut adalah Selembar Kaseh yang tempoh durasinya hampir 8 minit tetapi telah dipecahkan kepada dua bahagian.Bahagian pertama hampir dua minit akan menampilkan takseem- gambus dan violin sahaja.Kemudian diikuti dengan lagu penuh.Lagu ini telah dihasilkan dua tahun yang lalu ketika maghrib hampir menjelma.Ketika sibuk memetik gambus,aku meminta Azmi yang kebetulan datang ke rumah untuk memainkan rebana(rentak inang).Tidak lama kemudian,lagu ini diberikan nafas berbeza bila dimainkan dengan tabla (dirakam untuk demo pada tahun 2006) dan akhirnya kembali kepada rebana untuk rakaman sekarang.Mohsen telah melakarkan satu senikata yang menarik untuk lagu ini dengan tema yang amat universal.Pasal apa? Tunggu...
Lagu kedua yang telah siap adalah Kembali Menchari yang telah diilhamkan pada tahun 2001. Lagu yang amat lama dan telah melalui banyak transformasi.Jika tidak silap,ini adalah transformasi (atau reincarnation!ha ha)yang keempat. Aku telah menggubahnya ketika di bilik Mohsen (Mahallat Ali) dan memberikan melodi kepada Iqbar yang pada masa itu menjadi penyanyi utama.Gubahan ini pertama kali menggunakan gamelan (saron,pekin),3 orang pemain angklung,gitar akustik,bass,gendang ibu dan anak dan dipertandingkan untuk satu pertandingan yang kami sertai ketika itu.
Peringkat kedua pada tahun 2003 menggunakan ensemble gamelan yang lebih besar dan anggota seramai hampir 20 orang.Pada tahun 2001 ,kami tidak dapat menggunakan gamelan secara keseluruhan dsebabkan krisis yang melanda anggota-anggotanya.Ada dua kem yang menentang penggunaan gamelan di dalam Dewangga Sakti dan bertindak memburuk-burukkan anggota kumpulan sehingga ada anggota yang menghadapi kemurungan dan hampir bertindak nekad mencuri gamelan(he he).Pada tahun 2006,sekali lagi lagu ini menghadapi transformasi dengan permainan gitar Yaser yang fancy dan berstail Hawaii (demo 2006).Juga amat ketara di dalam rakaman itu adalah penggunaan gendang Sunda yang dimainkan oleh Azmi.
Nah!Sekali lagi lagu ini berubah dengan kemasukan gitaris yang lain iaitu Azman dan ini diabadikan dengan ketara di dalam rakaman terbaru.Nampak ketara penonjolan gitar di dalam lagu ini kerana imajinasi awal adalah penggunaan ukulele atau cuk dan cak.Inilah bentuk yang paling dekat.Sample juga digunakan di dalam lagu ini dan solo yang asalnya gitar telah diubah kepada gambus dan solo akhir ditambah violin.
Pada sesi rakaman sabtu lepas,tiga orang ang(ka)sa telah membuat guide kepada lagu terbaru iaitu Joget Spanco Ang(ka)sa---yang sehingga saat ini tajuk masih belum muktamad!Lagu ini merupakan ciptaan Norman yang membayangkan orang sedang berlari dan kemudian mengejar roket yang akan berlepas ke angkasa lepas.Terdapat nyanyian seperti 'hey','hoi','Along' di dalamnya.
Lagu lain yang dirakam iaitu Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia) hanya sedikit bahagian lagi perlu diperbaiki.

Tuesday, November 13, 2007

Meneroka ruang (angkasa)

Selamat datang ke angkasa!Kapsul anda akan meletup sebentar nanti.Pastikan anda menukar pakaian bumi anda kepada pakaian yang menyerupai ang(ka)sa!
Anda sudah memasuki titik tanpa jalan keluar! Pastikan anda membawa peralatan secukupnya dan buku untuk anda membaca ketika berjalan-jalan di permukaan planet baru anda!
--------((==@*%#---------
Ketika ramai sedang sibuk menonton tv dan bersantai sambil memikirkan adakah minyak akan naik pada awal tahun hadapan,bangsa angkasa akhirnya berjaya merakamkan trek vokal untuk dua lagu pada hari minggu yang lalu. Dua lagu tersebut adalah Selembar Kaseh (Planetku) dan Kembali Menchari (Bumi).Lagu-lagu ini sudah melalui proses akhir -kemasukan instrumen sudah hampir siap dikerjakan dua bulan lalu. Jika tidak ada aral melintang ,lagu-lagu ini akan diadun(mix) dalam masa terdekat ini bersama sebuah lagi lagu yang sudah 95 peratus siap iaitu Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia).
Jika kita menonton filem-filem futuristik, makhluk asing digambarkan terlalu serius tetapi bangsa angkasa memenuhi masa mereka di studio PurpleSound dengan penuh lawak jenaka. Keadaan studio yang kecil tidak menyempitkan ruang imajinasi mereka kerana fikiran mereka telah keluar daripada planet bumi. Mereka bergurau senda ,berjenaka seolah-olah studio rakaman itu mereka yang punya!
Nasib baik tuan punya studio, En Arif yang bijaksana dapat memahami lawak mereka. Tidaklah seperti kata orang tua-tua,lawak tidak bagus ketawa sahaja yang lebih!Seperti biasa, raja lawak kumpulan menyumbangkan banyak idea lawak spontan. Peribadinya tidak lawak tetapi situasi yang memerangkapnya begitu.

Wednesday, August 22, 2007

Nuriku terhempas di Janda Baik

Dewangga Sakti sudah memulakan proses rakaman untuk EP mereka yang bakal dinamakan 'Mabok Kepayang' dan akan mengandungi empat buah lagu.EP ini akan diikuti oleh sebuah album penuh pada tahun hadapan.
Rakaman sudah dimulakan di studio PurpleSound milik saudara Ariff Akhir yang juga aktif sebagai singer/songwriter di dalam sirkit muzik indie sekitar ibu kota. Di antara album yang pernah dirakam di studio beliau adalah album penyanyi folk teman baik kami,Meor (Yang terlintas di fikiran), Sohaimi Mior Hassan (album baru -comeback!akan keluar bulan ini) dan banyak lagi lagu artis lain yang tidak popular di arus perdana tetapi mempunyai stail dan citarasa tinggi melebihi ketinggian KLCC.
Lagu yang telah dirakamkan setakat ini adalah Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Lagu ini hanya di peringkat asas dan banyak aspek lagi perlu diambil kira sebelum melalui adunan akhir untuk melepasi kriteria yang ditetapkan pihak kesultanan. Lagu Mabok Kepayang tidak akan dimasukkan ke dalam EP ini.Sebab musababnya akan diberitahu di dalam entri menjelang Merdeka nanti. Hanya semangatnya akan mewarnai keseluruhan penerbitan EP ini.
Dengan ini,semua rakaman pada tahun lepas dilupuskan penerbitannya dan diisytiharkan sebagai unreleased materials (demo).Antara lagu yang dirakam pada tahun lepas adalah Mabok Kepayang, Selembar Kaseh,Kembali Mencari dan lagu klasik Zapin Yaladan. Selain itu terdapat versi demo lagu Malaysia Tanahairku, Sungai Pusu (Suara dari hutan).Mungkin akan dikeluarkan sebagai edisi terhad untuk teman-teman terdekat.
Terkini: EP ini kemungkinan besar akan bertukar kepada LP! Album penuh--kerana kami sudah bosan menunggu! he he

Monday, July 10, 2006

Gemersik irama Sinar 12

Sesungguhnya tidak ada yang hebat selain kunjungan Orkes Sinar 12 ke studio minggu lepas(1 Julai) membantu rakaman Dewangga Sakti. Dengan keupayaan Wak Suratman Karto ,segala proses rakaman menjadi indah walau hanya untuk satu lagu sahaja.I Julai menjadi satu saat yang berharga.Kumpulan kegemaran aggota Dewangga Sakti sejak dahulu datang membantu mereka di studio.
Orkes Sinar 12 nama diberi.Asalnya dari Tanjong Karang dan telah merakamkan sebanyak 12 EP dan 7 LP sejak tahun 70an.Meski tidak terkenal tetapi lagu-lagu mereka banyak berkumandang di luar negara terutama di Jerman.Wak Suratman selaku pengasasnya berkebolehan memainkan banyak instrumen-seruling,violin,cello,piano,accordian,gitar dll.Dari cerita-cerita orang lama pernah memberitahu tentang kisah beliau memainkan keseluruhan instrumen di dalam EP mereka 'Dendang Remaja Tua' pada tahun 1975.Walaupun begitu,beliau tidak pernah mengaku.Hanya pada tahun 1995,Idris Sakiman iaitu pemain rebana membocorkan rahsia itu ke pihak media.Itulah menambahkan lagi status 'kult' beliau.
Kemerduan irama Orkes Sinar 12 ini terbawa-bawa ke persembahan Dewangga Sakti di Central Market 8 Julai lepas untuk majlis makan malam Citrawarna. "Main saja,yang penting enjoy",begitu pesan Wak Karto kepada mereka minggu lepas.Tanpa sistem bunyi dan dalam keadaan hingar bingar orang ramai,mereka 'enjoy' dan memainkan pilihan lagu-lagu selama sejam bermula 5 petang. Banyak juga lagu-lagu mereka mainkan termasuk lagu-lagu yang mereka tidak pernah praktis sebelum ini.(Lagu anak ayam telah bertukar senikata-anak ayam turun seratus,seratus-seratus mati!)
Ini juga kali pertama sejak tahun 2000 ,Mohsen tidak turut serta membuat persembahan kerana terikat dengan jadual lain.Mereka hanya tampil berempat:-Zul-gambus/nyanyi rabak,Azmie-nyanyi utama/rebana,Raof-darbuka/nyanyi latar dan Man-violin.
Tunggu laporan selanjutnya...

Tuesday, May 30, 2006

Sesi kedua studio


Sesi kedua di studio dihadiri oleh Mohsen dan Zul serta setia ditemani oleh Atoi. Memasukkan vokal untuk lagu pertama Selembar Kasih pada 26 Mei 2006,Jumaat lepas.Bermula 11:30 malam sehingga menghampiri jam 3 pagi. Sepatutnya memasukkan vokal untuk lagu ketiga (guide vokal sebenarnya) tetapi Mohsen telah tersilap membawa senikata yang salah.(ha!ha!ha!)
Setelah melalui proses ini,baru dapat dikenali dengan lebih pasti kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan di dalam sesi pertama.Almaklum,masih terlalu hijau di dalam dunia rakaman secara profesional.Tambahan pula, rakaman yang akustik sifatnya.
Inilah sebenarnya yang ditunggu sejak lima tahun lalu.Melihat hasil gubahan lagu sendiri.Macam mana arah lagu dan ke mana sifatnya! Kenapa mesti takut? Tiada undang-undang yang dapat menyaman anda menghasilkan lagu anda dengan kreativiti sendiri!
Jika semua tidak mahu bereksperimen dan hanya mengitar semula lagu lama,kemanakah muzik Melayu kita akan pergi?
Sudah tentu Dewangga Sakti bukan yang terbaik.Banyak lagi kumpulan-kumpulan dan pemuzik tradisional yang hebat dalam memainkan gubahan mereka.Mereka ini perlu keluar dan memberitahu khalayak bahawa muzik Melayu itu luas dan pelbagai rentak dan aliran!

Sirih Pinang




Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pohon buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh

Thursday, May 25, 2006

Mabok Kepayang





Proses rakaman sudah dimulakan pada hari Sabtu 20 Mei 2006 bermula 3:30 petang dan berakhir 12 tengah malam untuk sesi pertama ini.Ini pengalaman pertama rakaman untuk Dewangga Sakti. Ahli-ahli pernah melalui proses studio rakaman dengan band mereka terdahulu.
Ahli-ahli yang hadir untuk sesi pertama ini: Yaser (gitar utama), Syamsul Faiz (bass), Zul(gambus/gitar),Azmi(gendang sunda,darbuka,rebana) dan Raof (rebana,darbuka).
Lagu pertama dirakam adalah lagu Selembar Kasih yang berentak inang. Gambus dan tabla dirakam sekaligus(di dalam bilik berasingan).Manakala instrumen lain dirakam selepas itu.Kemudian lagu instrumental bertajuk Mabok Kepayang dirakam.Lagu ini agak upbeat dan ada bahagian 'attack' di beberapa tempat.Tumpuan pada perkusi darbuka.Lagu ketiga adalah sebuah lagu lama (2001) yang diolah kembali.Lagu ini belum bertajuk serta stail yang ala-ala keroncong dan menggunakan gendang sunda.Kekuatan lagu ini mungkin pada gendang,bass dan vokal.Ditambah dengan petikan solo gitar yang membuatkan anda terasa seperti di tepi pantai dengan ditemani insan istimewa.(Kalau untuk Azmie,boleh la dia membayangkan sedang dating Nora Danish yang nak kahwin Jun ni!ha!ha!)
****Mabok kepayang kalau ingin diterangkan di dalam bahasa Inggeris amat sukar.Buah kepayang....ditelan mabok dibuang sayang!Mungkin love sickness atau infatuation.Tapi tak kena lagi rasanya.Satu perasaan yang sukar terlafaz.ha!ha!Mungkin Azmie boleh menerangkan lagi tentang perkara ini.

Friday, May 19, 2006

Rakaman


Dewangga Sakti akan memulakan rakaman besok di sebuah studio di Subang, I seek music studio.Rancangan awal merakamkan tiga lagu dahulu sebelum menyambung dengan lain-lain lagu. Semua lagu adalah ciptaan dan gubahan oleh Dewangga Sakti dan mungkin terdapat satu lagu hasil karya Raja Gambus,Allahyarham Fadzil Ahmad yang sudah dirancang sekian lama (bukan setelah berita kematiannya) kerana lagu-lagunya memang menjadi lagu wajib persembahan Dewangga Sakti.
Satu lagu instrumental bertajuk Mabuk Kepayang,satu lagu belum bertajuk (senikata sudah siap) dan satu lagu gubahan lama yang diberi nafas baru iaitu Jalan Kembali (akan ditukar ke tajuk dan senikata baru).
Bagaimana dengan bentuk muziknya? Anda kena mendengar untuk menilainya sendiri!

Wednesday, April 12, 2006

Projek rakaman


Sudah lama sepatutnya Dewangga Sakti merakamkan lagu-lagu sendiri.Sudah beberapa kali percubaan untuk merakamkan originals menghadapi masalah.Sejak ditubuhkan pada bulan Oktober tahun 2000,Dewangga Sakti sudah melalui banyak pengalaman pertukaran anggota kumpulan dan kini, hanya tinggal tiga(3) anggota daripada kemunculan pertama mereka pada tahun 2000:-Mohsen,Zul dan Raof.Rasanya sudah mencecah dua puluh orang anggota yang keluar masuk kumpulan ini .Sebab utama komitmen dan sebab lain adalah kerana: -asalnya Dewangga Sakti secara falsafahnya ingin keluar dengan projek menggabungkan gamelan dan instrumen muzik lain(angklung pun tidak terkecuali dan dimasukkan ketika satu pertandingan pada tahun 2001).Jadi,bila disebut gamelan pastinya menggabungkan ramai anggota.Mana mungkin seorang sahaja bermain instrumen ini kerana gamelan dimainkan secara kumpulan di dalam ensemble(Itulah bagusnya sebab mengutamakan teamwork dan tiada ruang untuk seorang individu sahaja!No gamelan hero!).Nama gamelan itu sendiri pun sudah cukup gah dan bagi Dewangga Sakti sendiri amat mistikal. Ya,amat mistikal.Dan...Dewangga Sakti sendiri menggemari sesuatu yang mistikal.
Setelah tidak dapat bereksperimen dengan gamelan kerana mereka telah grad dari alma mater mereka UIAM, maka projek itu tidak dapat diteruskan kerana tidak dapat access kepada instrumen itu sendiri. Projek juga menjadi tertangguh. Kemudian pada tahun 2002, Dewangga Sakti menyebarkan virus mereka dengan membantu rakaman kumpulan Death Metal Kuala Lumpur, Cryptic Malediction yang sedang merakamkan album pertama bertajuk'Embedded in Blood...feudal delirium'. Cryptic Malediction yang bertunjangkan cerita-cerita Melayu dahulukala ingin memasukkan instrumen tradisional kepada muzik mereka yang kasar, berat dan tidak bertamadun itu.Maka, dua anggota iaitu Raof dan Mike dipanggil membantu dengan memasukkan instrumen gamelan(saron pekin,saron baron) dan perkusi tradisional ke dalam dua lagu instrumental dan satu lagu yang menggabungkan gitar yang berat, vokal gergasi dan dram double pedal yang kasar dan menyiksakan(walaupun mixing kurang baik untuk lagu ini tetapi khidmat mereka amat membanggakan).
Album ini kemudiannya dikeluarkan oleh Nebiula Production pada tahun 2003 dan menjadi sejarah sebagai satu kumpulan yang tidak menggunakan samples(synth) untuk bunyi gamelan di dalam album mereka.Kebanyakan kumpulan lain menggunakan samples(dari keyboard atau CD) untuk bunyi gamelan di dalam album. Namun,percubaan mereka ketika itu amat baru dan jika Cryptic Malediction mempunyai banyak ruang dan kesempatan untuk lebih bereksperimen, rasanya hasil pasti lebih baik.Ini kerana percubaan masih lagi awal ( trial and error process).
Selepas projek itu, Dewangga Sakti seakan menghilangkan diri dan resurfaced penghujung 2003 untuk beberapa projek kerjasama dengan UIAM tetapi selepas itu menghilangkan diri kembali. Tidak rancak bercerita untuk menghasilkan satu rakaman lagu tetapi lebih enjoy bermain di functions.Tetapi ini tidak melemahkan semangat mereka untuk membuat rakaman lagu-lagu sendiri yang dijadualkan pada bulan hadapan.
Macamana? Kena tunggu hasilnya....
(Gambar : Persembahan di Malam Gema Warisan di Muzium Negara -15 April 2005)