Showing posts with label Singapura. Show all posts
Showing posts with label Singapura. Show all posts

Wednesday, July 30, 2008

(Hampir)Tertinggal Bas ke Kota Singa

Hari Sabtu 26 Julai.
Jam sudah menunjukkan 7 pagi dan bas sudah dijadualkan untuk bertolak ke Singapura. Namun masih ada dua orang lagi anggota kumpulan yang belum sampai. Pemandu dan konduktor (orkestra) bas sudah bertanya-tanya. Kira-kira jam 7:15 pagi,dua orang yang hampir tertinggal bas tiba dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan. Mungkin disebabkan mengejar bas dan tidak tidur pada malam tersebut (salah seorangnya baru sahaja selesai bertugas pada jam 2 pagi),maka mereka telah tersilap haluan setelah berhenti LRT di Masjid Jamek.Mereka awalnya menuju ke Bangunan Sultan Abdul Samad dan bukannya Hentian bas PuduRaya.
Perjalanan berjalan lancar selepas itu. Kami tiba pada jam 1:30tengahari di Beach Road dan dibawa ke Blok 606,Bedok Reservoir untuk membuat persediaan mengadakan persembahan. Setelah menukar pakaian dan makan tengahari,kami membuat persembahan dengan diselang seli oleh DJ yang berceloteh dan sebuah kumpulan nasyid.
Sekejap Dewangga Sakti,sekejap Demangga Sakti nama kami dipanggil. Mungkin terlalu letih berceloteh sejak tengahari,nama kami bertukar-tukar.Majlis akan berjalan sehingga 8:30malam.
Hiasan pelamin menarik sekali, sesuai dengan status pengantin -Norfasarie (pengacara,pelakon,penyanyi Singapura) dan Baihakki (pemain bolasepak skuad Singapura).Majlis ini diadakan di ruang padang blok perumahan ini dan dihias dengan cukup menarik.
Baru sahaja kami ingin memulakan lagu pertama,seorang wanita bertudung ingin menyanyikan lagu bersama kami. Rupa-rupanya ibu kepada pengantin lelaki. Maka, lagu P Ramlee bertajuk Gambus Jodoh dimainkan.Asalnya dia mahu nyanyi lagu Saloma.Kami sudah lama tidak memainkan lagu Saloma tersebut,kali terakhir ketika kami (pernah )mempunyai penyanyi wanita pada tahun 2002.
Makanan di majlis tersebut amat sedap sekali. Masakan rendang,ayam,ikan dan pelbagai jenis kuih sungguh menyelerakan.Ada yang bertambah gemuk kerana makan terlalu banyak.Sementara menantikan slot terakhir jam 8 malam iaitu set penghabisan, kami ke sebuah kedai mamak bernama Niakmat (mungkin dieja huruf 'Arab 'ayn kot!) di depan blok tersebut.
"Siapa mahu bayar ni?",ahli yang sudah bertambah gemuk bertanya.
"Aku tak bawa Sing Dollar!",ahli yang kurus bertambah kurus berkata.
"Ini macam siapa mahu bayar?",ahli termuda baru akil baligh bertanya.
Akhirnya ahli berambut panjang membayar semua minuman kerana hanya dia dan ahli kerja shift UK sahaja membawa Sing Dollar.
Selesai majlis ,kami terus ke stesyen bas di Lavender Street untuk pulang ke Kuala Lumpur. pada jam 10malam.Nah! Perjalanan yang jauh ke Singapura hanya di dalam satu hari.Pastinya hari minggu menjadi lebih indah kerana keletihan dan tidur sehingga tengahari.
---Terima kasih kepada Abg Yan yang menjemput kami.Kpd pengantin,semoga berkekalan sehingga ke akhirat!

Friday, June 13, 2008

Pura Singa Tiga



Iklan: Belilah CD Dewangga Sakti bertajuk Mabok Kepayang .Hanya RM15 sahaja.Pembeli bertuah akan menikmati hidangan makan malam ekslusif di Selera Makan Benjamin untuk dua orang

Hari Ahad setelah sarapan pagi (pd jam 12 tengahari!he he) kami bertolak ke Expo pada jam 12:45 tengahari. Kali ini kami bermain lebih awal ,jam 2 petang. Setting instrumen lebih bagus pada kali ini iaitu seperti kebiasaan kami - gambus,rebana dan gitar(bersila) di depan .Manakala akordian,violin dan gitar bass di belakang (atas kerusi).Vokal sudah tentu di depan tetapi terdapat satu kerusi untuk memudahkan Mohsen memainkan perkusi ketika lagu instrumental.
Kami membuat semakan bunyi dengan lagu Al baladi. Selepas itu,kami memulakan majlis dengan lagu kami bertajuk Tertinggal Kapal Angkasa. Lagu seterusnya adalah lagu zapin kesukaan -Ya Salam. Aura dan vibe permainan sudah terasa ketika ini. Komunikasi sesama anggota pun amat baik dengan senyuman tidak lekang di bibir dan saling memberikan signal ketika lagu dimainkan.
Selepas itu lagu-lagu seperti Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir),Bunga Hutan, Sway (lagu klasik yg dipopularkan semula oleh Michael Buble),Aladom dan Joget Johor Sport Club dimainkan. Selepas lagu terakhir, kami diminta oleh pihak penganjur menambah sebanyak dua lagu lagi. Lagu Zapin Budi dimainkan dan penamatnya dengan lagu yang pernah menjadi kontroversi dua negara serumpun pada tahun lepas iaitu Rasa Sayang yang dinyanyikan beramai-ramai di bahagian chorusnya oleh anggota kumpulan (akan muncul di youtube nanti). Penonton juga seperti hari sebelumnya amat responsif dan kami mendapat maklumbalas positif dengan tempahan show untuk bulan depan dan Ogos nanti.
Cd percuma juga diberikan kepada penonton bertuah dan sebahagian jualan daripada CD kami di sana turut disumbangkan kepada tabung Madrasah Al Irsyad.
Selesai acara terasa sungguh gembira sekali.Inilah persembahan pertama kami setelah CD kami diterbitkan dan pengalaman ini menjadi amat manis kerana semua anggota dapat turut serta ke Singapura termasuklah ahli bersekutu dari Pulau Pinang yang bersusah payah turun demi semangat kumpulan dan persahabatan.

Thursday, June 12, 2008

Pura Singa Dua

Sabtu 7 Jun 2008
Semua ahli amat teruja setelah tiba ke apartmen yang disediakan.Kami diberikan dua bilik apartment. Bilik pertama di tingkat dua kecil sahaja tetapi di tingkat lapan amat besar dan boleh memuatkan ramai orang sebenarnya.Ruang tamu dan ruang dapurnya juga luas dengan sofa dan set televisyen.
Semua ahli PAPAN memang lebam matanya terutamanya ahli baru,penaja kami Al Husam. Ahli-ahli dibahagikan kepada dua kumpulan-kelab yang menjaga kesihatan (dan berjogging) di tingkat dua dan kelab yang memelihara binatang di tingkat lapan diketuai En Syamsul.
Kami diberitahu supaya menyiapkan diri pada jam 12 untuk ke tempat persembahan iaitu di Singapore Expo. Kebanyakan ahli menghabiskan masa membuat lawak jenaka dan latihan tangan di bilik masing-masing.Al Maklumlah semua menggunakan tangan untuk membuat persembahan kecuali Mohsen yang menggunakan suara. Kelihatan En Syamsul membawa dumb bell seperti saranan En Cohong untuk senaman ringan.
Kami ke Singapore Expo dengan van yang disediakan. Fuh! Terasa seperti membuat 'tour' . Sampai ke sana kami diberitahu akan membuat persembahan pada jam 2 petang dan kemudian ditunda kpd jam 6 petang. Kebanyakan ahli amat letih pada hari pertama ini. Kami diberikan jamuan makanan di bilik urusetia dan sempat makan di gerai-gerai yang ada di situ.
Sementara kami membuat persembahan,sempat juga melihat kumpulan kesenian dari Negeri Sembilan yang bermain cak lempong di samping berpeluang melihat kumpulan-kumpulan kesenian dari Singapura yang menarik.
Tiba persembahan. Kami mulakan dengan lagu klasik Si Dia Datang. Kami juga mempromosikan lagu-lagu yang ada di dalam CD kami yang sudah mula dijual. Secara kebetulan,warga Singapura berpeluang membeli Cd kami lebih awal kerana CD ini hanya siap dicetak sehari sebelum berangkat ke Singapura. Pada hari pertama terdapat gangguan bunyi.Rebana dan gitar bass tidak berapa kedengaran di awalnya dan kemudian beransur baik dan seimbang setelah beberapa lagu.Kami juga bermain lagu bunga Hutan dan Yaladan di samping lagu-lagu ciptaan kami sendiri.
Setting ahli pada hari pertama ini kurang menjadi kerana sepetutnya kami membuat dua 'line' ahli di pentas tetapi ahli dibahagikan memanjang yang mengakibatkan kurang komunikasi sesama ahli.
Tamat persembahan kami pulang ke apartment. Jam 9:30 malam,kami semua keluar ingin menghirup udara segar Singapura. Sementara itu,Wah Yun Kua tidak habis-habis membuat jenaka filem P Ramlee bersama Presiden PAPAN.
Aku menelefon saudara Ariffin dari kumpulan Sri Mahligai tetapi diberitahu yang beliau amat sibuk dan meminta kami datang ke Taman Warisan Melayu ,Kampung Gelam keesokan harinya(Ahad) kerana acara sambutan ulang tahun ke tiga Taman Warisan akan diadakan dan kumpulan beliau akan membuat persembahan.
Jadi,pada malam minggu itu,kami semua keluar berpesta dengan mengunjungi kedai muzik HMV diketuai oleh hantu CD kumpulan,Mr Norman.Banyak CD yang menarik tetapi duit pula tidak menarik.
Kemudian,setelah puas memegang Cd (tetapi tidak membeli) ,kami menjamu selera di sebuah restoran mamak(apatah nama -Al Madinah kot?).Dan harganya berpatutan jika kita menilainya daripada matawang Singapura kerana teh tariknya(yg amat sedap!) hanya berharga 70 sen.
Al Husam cuba mempengaruhi ahli yang lain supaya mengikutnya menonton wayang tetapi tidak mendapat sambutan.Pada jam 1 pagi,kami semua pulang ke bilik kerana kami sudah berjanji akan membuat latihan tambahan di bilik.
Pada ketika ini,semua ahli sudah mengantuk dan ada yang tertidur ketika berlatih. Azman beria-ia membetulkan TV dengan dibantu Wah Yun Kua untuk melihat siaran langsung bolasepak EURO tetapi gagal dan terpaksa ke bilik di tingkat dua.Malang sekali lagi,tiada siaran langsung tersebut.
Azman pun tidur dengan penuh kekecewaan.Tetapi hatinya terubat mendengar lawak jenaka En Syamsul.
bersambung...

Wednesday, June 11, 2008

Pura Singa Satu





Perjalanan kami ke Singapura tidak menempuh banyak masalah,cuma banyak teksi pada malam perjalanan tersebut tidak mahu menghantar kami ke Pudu Raya.Alasannya amat dangkal sekali. Tidak cukup gas, jalan sesak dll. Tetapi sebenarnya inilah sikap orang kita -memberikan pelbagai alasan. Sebenarnya, mereka malas dan tidak berwawasan! Mahu cepat kaya tetapi tidak mahu berusaha!
Bukannya jauh,teksi yang kami naiki sampai dalam tempo(h) 20 minit sahaja dan berhenti di ruang-ruang bangunan lama berhampiran Stesen Bas Pudu raya yang amat menyesakkan pandangan.Lebih elok,stesen bas ini ditukar ke tempat lain.
Di dalam teksi,pemandu yang berasal dari Taiping begitu rancak berbual dan menyuarakan keresahan hatinya tentang Taiping yang begitu bersejarah tetapi tidak dipromosikan dengan baik oleh pihak berwajib. Di dalam perbualannya, beliau menyebut ada tempat yang kurang nilai sejarahnya pun begitu rancak dipromosikan(tidak pula beliau nyatakan). Aku bertiga bersama Norman dan Wah Yun Kua menaiki teksi ini. Tiga orang lagi iaitu Azman,Syamsul dan Abdul raof berada di dalam satu lagi teksi.
Jejaka bergaya dari Pulau Pinang datang dengan komuter dari Kajang. Mohsen pula menjadi 'rider' dengan menaiki Harley Davidson yang baru dimenanginya tempohari dan diparkirnya di Puduraya.Aku tidak tahu penaja kami,Al Husam datang dengan apa.Mungkin ada Mercedez atau BMW yang menghantar beliau dari Penthousenya di Ampang.Itu kami tidak peduli.Yang penting,darbuka sudah menjadi hak kami dan banyak lagi penajaan darbuka akan kami perolehi.
Kami tiba setengah jam sebelum masa bertolak pd jam 12 tengah malam. Kali ini,kami membawa CD kami yang sudah siap.Norman pula membawa tshirt yang dicetaknya beberapa hari sebelum itu dan baru sahaja siapa beberapa jam sebelum berangkat.
Nampaknya semua sudah siap dengan perkakas perang dan segala kelengkapan persembahan. Nasib baik En Syam tidak perlu membawa amplifier bass yang beratnya seperti seekor panda berusia lima tahun.
Kali ini sembilan orang terlibat-tujuh ahli kumpulan dan dua orang krew merangkap teman sosial.
Perjalanan dijangka memakan masa selam lima jam dan singgah berehat di apatahnamatempat di Johor selama setengah jam.Kebanyakan ahli kumpulan yang memang batman tidak dapat melelapkan mata kecuali En Syam yang baru sahaja sepuluh minit bas bergerak sudah menutup mata dengan topeng dan tidur.Beliau terjaga bila Wah Yun Kua menyamar sebagai konduktor bas.(Mana ada konduktor bas da,En Syam!)
Kami tiba jam 5.30 pagi di Lavender Street,Singapura setelah melalui imigresen Singapura.WahYun cuba senyum kepada pengecop passport tetapi tidak diendahkannya kerana mungkin sudah letih di awal pagi.
Bila tiba di Singapura,kami dijemput oleh Abg Rahman yang diamanahkan oleh Abg Yan (Madrasah Al Irshad) untuk membawa kami ke apartment yang disewa di Devonshire Lodge di Jalan Devonshire. Perjalanan kami ke aparment ini memakan masa selama dua puluh minit.
Bila tiba ke Singapura,terasa begitu sistematik bangunan dan jalanrayanya.Ini mengingatkan kami kepada keadaan di Taiwan.Di tepi jalannya juga ,pokok-pokok menghiasi lanskap dengan begitu baik dan terjaga.Seolah-olah seperti bandaraya di dalam taman. Di mana-mana kelihatan pokok rendang yang dijaga rapi.Alangkah indahnya,jika bandaraya KL pun begitu.
bersambung...
Untuk cerita Singapura daripada sudut yang berbeza,sila ke blog Selera Makan Benjamin