20 January, 2011

Deodoran Odorono


Siapa yang tidak mengenal deodoran Odorono? Ia adalah pewangi 'bawah lengan' (underarm) yang paling popular dan mengikut sejarah, adalah dipercayai bahawa jenama Odorono ini telahpun berada di pasaran sejak tahun 1911 lagi iaitu kira-kira 100 tahun yang lalu bermula dengan Odorono yang berbentuk krim.

Popularitinya amat terserlah apabila kumpulan rock Inggeris era 60-an iaitu 'The Who' pernah merakamkan lagu bertajuk 'Odorono' di dalam album ketiga mereka The Who Sell Out.


Deodoran Odorano Ametis yang BR paparkan ini adalah untuk pasaran Malaysia yang sungguh popular di sekitar tahun 1980-an sehingga menjadi sebutan dan ingatan kepada mereka yang pernah menggunakannya.

Pewangi 'bawah lengan' atau dengan kata yang lebih difahami iaitu pewangi ketiak ini memang cukup harum mewangi dan mampu bertahan lama walaupun badan berpeluh.


Dibuat oleh Kontrak Manufacturing Services Sdn. Bhd., Petaling Jaya, Selangor...


...di bawah izin lesen dari Chesebrough Pond's Inc., U.S.A dan cap dagang berdaftar (Trademark Registered).


Pengaruhnya cukup besar sehinggakan biar apapun jenama deodoran yang diberikan seperti Nivea, Rexona, Sanex, Romano (sekadar menyebut beberapa jenama) namun nama 'Odorono' tetap diberikan juga merujuk kepada deodoran pewangi ketiak ini terutama oleh orang-orang tua di kampung.


Lubang di bahagian bawahnya untuk menolak stick pewanginya keluar. Pada hari ini jenama Odorono ini masih lagi berada di pasaran tetapi telah berwajah baharu sesuai dengan peredaran zaman dan di dalam bentuk rolls-on.


Deodoran Odorono ini adalah berbentuk stick yang masih belum digunakan mempunyai berat bersih 40g dan harganya pada waktu itu (1980-an) ialah di sekitar RM2.++. Terdapat juga tanda huruf 'O' pada atas penutupnya melambangkan jenama Odorono.


Selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu di seluruh Malaysia yang merayakannya pada hari ini dan juga selamat menyambut cuti umum bagi negeri negeri/Wilayah Persekutuan yang mengisytiharkan Hari Thaipusam ini sebagi cuti umum bagi negeri/Wilayah Persekutuan masing-masing.


19 January, 2011

Panosalap Cap Gajah


Ada sesiapa yang pernah kena penyakit panau? Gunakanlah Panosalap Cap Gajah. He.. he.. Panosalap Cap Gajah amat mujarab bagi mengubati penyakit kulit terutamanya panau. Mengapakah ia dinamakan Panosalap? Mungkin Pano bermaksud panau manakala Salap bermaksud krim ubat..


Cara menggunakannya ialah dengan menyapukan sedikit Panosalap ke atas kulit yang dijangkiti penyakit berkenaan, sekali sahaja dalam sehari. Gosok dengan perlahan dan sapukan selama tiga hari berturut-turut, sesudah itu jangan digosok lagi dan anda akan melihat kesannya selepas seminggu. Mujarab atau tidak mungkin berbeza bergantung kepada keserasian individu...


Sebotol ubat Panosalap Cap Gajah yang masih belum digunakan ini telahpun luput tarikh kira-kira 13 tahun yang lalu iaitu pada bulan Disember 1997.


Untuk pengetahuan, hanya dua bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan ubat ini iaitu Anthralin (USP) 0.7% dan Petrolatum 99.3%. Produk ini masih lagi berada di pasaran cuma kaedah pembungkusannya sahaja yang mungkin berbeza.


Pada bontot botol terdapat lakaran emboss berbentuk kepala gajah bagi menunjukkan ketulenan produk ini manakala pada penutupnya pula disealkan juga dengan kertas berwarna merah bertulisan 'Panosalap'.

Dikeluarkan oleh Annies Sdn Bhd, yang beralamat di Johor Bahru, Malaysia dan harga runcitnya pula mungkin dalam lingkungan RM3.00 sebotol.

18 January, 2011

Ubat Gigi Zaitun


Di sekitar tahun 1985, ubat gigi Zaitun sungguh popular di kalangan para pengguna terutamanya yang beragama Islam memandangkan ia adalah satu-satunya ubat gigi yang digunakan "Tanpa Was-Was" kerana produk ini dilihat lebih bercirikan Islamik.


Kehadirannya pada waktu itu hampir-hampir menggugat ubat gigi jenama yang lain termasuklah jenama Colgate berdasarkan sambutannya yang hebat di kalangan pengguna Islam yang tercari-cari produk yang dijamin suci, halal dan bermutu.


Dibuat oleh Zaitun Industri Sdn Bhd, Rawang Industrial Estate, Selangor. Untuk pengetahuan, syarikat ini pernah dilanda beberapa kontroversi berkaitan dengan isu halal haram produk mereka serta status pemilikan syarikat ini. Mungkin itu adalah salah satu cabaran dan saingan di dalam bidang perniagaan...


Terdapat beberapa jenis ubat gigi ini, di antaranya ialah Pudina Dingin (Merah), Pudina Tambahan (Hijau) dan Pudina Segar (Biru). Bagi ubat gigi yang BR paparkan ini adalah isian 75g.


Adalah dipercayai syarikat Zaitun Industri yang telah ditubuhkan pada tahun 1978 ini merupakan pelopor utama produk-produk kosmetik dan penjagaan diri halal bercirikan Islam sebelum diikuti oleh beberapa syarikat lain yang membawa tema yang sama bagi melariskan produk masing-masing seperti Mukmin, Safi, Safar (sekadar menyebut beberapa jenama).

Tanpa kita sedari rupa-rupanya satu demi satu produk-produk kegunaan harian yang pernah kita gunakan telah 'hilang' dari pasaran. Kepada pembaca yang pernah menggunakan produk ini pastinya akan terkenang kembali bagaimana iklan Allahyarham S. Romai Noor dengan ubat gigi Zaitunnya...

Pembaca juga boleh ke blog Fitri Oldskool untuk melihat ubat gigi ini.


Moral Value: Gosoklah gigi setiap hari untuk gigi yang lebih putih, nafas lebih segar.

17 January, 2011

Senyumlah Kuala Lumpur...


Kuala Lumpur

Senyumanmu di pagi ini

Sungguh bererti kerana cinta bersemi lagi

Setelah kemarau panjang...

Antara bait lagu "Senyumlah Kuala Lumpur" dendangan Kumpulan Alleycats yang masih diminati sehingga kini telah mengingatkan BR kepada dua biji gelas yang masih disimpan sebagai kenang-kenangan ketika BR mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur di sekitar tahun 1979 dahulu.


Ketika itu memang banyak cenderamata-cenderamata yang dijual seperti kereta lembu, plate, rantai kunci, t-shirt dan sebagainya, tetapi entah kenapa BR boleh tertarik untuk membeli gelas pula...


Gelas ini memaparkan tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur pada waktu itu seperti Tugu Negara, Masjid Negara, Bangunan Parlimen dan yang paling syahdu sekali ialah gambaran kereta kabel Bukit Nanas. Untuk pengetahuan, itulah di antara beberapa tempat yang wajib dikunjungi oleh mana-mana rombongan sekolah pada waktu itu. He.. he..


Pada mulanya hairan juga apakah simbol bagi gambaran ini. Bentuk seperti dacing pun ada, bentuk macam bulan pun ada... tetapi setelah difikir-fikirkan, rupa-rupanya inilah gambaran kereta kabel Bukit Nanas yang pernah popular di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Khabarnya ia hanya beroperasi selama beberapa tahun sahaja dan terpaksa ditutup di sekitar awal 1980-an tanpa diketahui sebab dan musababnya.

Inilah juga bukti yang menunjukkan bahawa gelas ini telah dikeluarkan semasa kereta kabel Bukit Nanas masih beroperasi iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu.


Memang gayat ketika menaiki kereta kabel ini (seperti kereta kabel di Bukit Merah Lake Town Resort) kerana ia hanyalah berbentuk buaian sahaja, tetapi amat menyeronokkan kerana dapat melihat sebahagian pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur dari atas. Sebulan balik cerita kat orang kampung tak habis ooo...


Gelas berwarna coklat gelap ini amat sesuai untuk dijadikan hiasan di samping dapat mengimbau kembali kenangan ketika mengikuti rombongan sekolah ketika masih kanak-kanak dahulu...


Bagi generasi kini yang tidak mengetahui mengenai sejarah Bukit Nanas ini (sekarang adalah tapak Menara Kuala Lumpur) bolehlah ke: Bukit Nanas


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'