Showing posts with label Makanan. Show all posts
Showing posts with label Makanan. Show all posts

16 August, 2010

Sagon Oh Sagon Blues...


Kepada semua pembaca, inilah makanan ringan kegemaran BR ketika di zaman kanak-kanak dahulu. Dikenali sebagai 'Sagon' dan tidak pasti pula sama ada di tempat lain diberi panggilan dengan nama yang lain. Sebenarnya pada waktu itu tidak banyak makanan ringan moden yang boleh didapati seperti sekarang ini, yang ada hanyalah makanan ringan keluaran kampung seperti keropok, biskut dan kekacang. Harganya pula pada waktu itu hanyalah 5 sen atau 10 sen sebungkus dan dijual di dalam plastik 'aiskrim Malaysia'.


Bentuk fizikal sagon ini ialah makanan ber'serbuk'. Oleh itu, satu kelemahan yang dikenal pasti apabila memakan sagon ini ialah dilarang bercakap ketika sagon berada di dalam mulut kerana kemungkinan ianya akan berhamburan keluar dari mulut adalah tinggi. Namun begitu, adalah sukar untuk bercakap sambil memakan sagon kerana mulut terasa bagaikan digam...


Gambar close-up sagon yang di letakkan ke dalam piring. Sagon ini diperbuat daripada bahan-bahan yang mudah sahaja iaitu tepung beras, kelapa, gula dan garam. Cara penyediaannya juga mudah sahaja iaitu goreng semua bahan-bahan tadi sampai wangi dan selepas itu tambah gula dan garam secukup rasa. Sagon ini juga boleh diwangikan dengan memasukkan beberapa helai daun pandan. Rasanya memang sedap, lemak-lemak, masin dan manis...


Baru-baru ini ketika singgah di R & R Gunung Semanggol menghala ke Selatan Lebuhraya PLUS, sempat juga BR membeli sagon ini yang dijual di sebuah gerai. Rasa berbangga kerana makanan kampung ini telah boleh dikomersialkan sedemikian rupa.


Masih lagi dibungkus di dalam plastik 'aiskrim Malaysia' dan langkah yang diambil oleh syarikat SOFYNICE TRADING ini haruslah dipuji kerana telah mempromosikan semula makanan tradisional rakyat Malaysia ini. Cuma satu sahaja yang perlu diberi perhatian iaitu adalah tidak wajar harga bagi sebungkus sagon ini ialah RM1.20 sebungkus!


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan juadah berbuka hari ini:



Resepi Puding Swiss Roll


Bahan-bahannya:


1 oz. agar-agar
6 gelas air
4 merah telur
4 sudu cornflour
16 oz. gula kasar
1 tin kecil susu cair
4 oz. mentega
Swiss Roll (boleh dibeli di kedai)



Cara Membuatnya:


Agar-agar dimasak dengan 6 gelas air. Bancuhkan merah telur, cornflour, gula kasar, susu cair dan mentega hingga sebati.

Setelah agar-agar dimasak, masukkan ke dalam adunan kedua dan dikacau.

Jerangkan sekali lagi untuk beberapa ketika kemudian barulah diagkat.

Susun Swiss Roll ke dalam acuan dan tuangkan adunan tadi dan sejukkan.



Selamat mencuba!


19 July, 2010

Resepi Masak Tauhu Goreng


Resepi yang akan BR tunjukkan kali ini sememangnya mempunyai kaitan yang sungguh rapat dengan kenaikan harga barang masa kini tidak kiralah sama ada yang diumumkan atau yang tidak diumumkan. Dinasihatkan kepada pembaca yang ingin mencuba resepi ini agar mendapatkan nasihat yang sewajarnya daripada ibu-ibu atau opah-opah ataupun daripada mereka yang pernah hidup di era 1970-an.




Inilah resepinya yang dimaksudkan:



MASAK TAUHU GORENG


BAHAN-BAHANNYA:


5 keping tauhu putih
10 sen timun
5 sen gula timbang
5 sen cuka
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
10 sen taugeh
10 sen kacang tanah
5 sen kicap
5 biji lada padi
10 sudu minyak kacang


CARA MEMBUATNYA:


Tauhu dibersihkan dan digoreng hingga 3/4 masak. Taugeh dibersihkan buang ekornya dan dicelur. Timun dibuang kulit kemudian dipotong nipis-nipis dan bulat.


Kacang tanah digoreng kemudian ditumbuk bersama-sama lada padi. Bawang putih, garam dan gula digiling lumat dan digaulkan dengan kacang yang ditumbuk tadi.


Masukkan kicap, cuka dan serbuk perasa sambil dikacau mengikut pekat yang dikehendaki.


Tauhu goreng dipotong 10 kemudian diatur di dalam pinggan. Taburkan taugeh dan timun di atasnya dan tuangkan kuahnya tadi bila menghidangkannya.


Resepi ini diperolehi daripada majalah Sinar Zaman Jilid VI Bil. 56, Tahun 1977. Manakala resepi ini pula adalah kiriman daripada Azizah A. Bakar, Sri Ladang Gemas, N. Sembilan.


Kebanyakan sukatan bagi bahan yang digunakan adalah di dalam nilai sen yang mungkin sudah tidak relevan lagi dengan zaman sekarang. Namun begitu, bahan-bahan serta kaedah membuatnya adalah masih sama dan tidak berubah. Khidmat nasihat untuk menterjemahkan kembali sukatan yang betul bagi bahan-bahannya di dalam bentuk sen itu adalah penting untuk menjaminkan resepi ini menjadi apabila dibuat.


Selamat mencuba bagi mereka yang ingin mencubanya!


16 July, 2010

Resepi Kek Lapis Tsunami


Peristiwa gempa bumi (dalam laut) yang diikuti oleh bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 iaitu hampir 6 tahun yang lalu telah mengejutkan masyarakat dunia dan negara kita juga tidak terkecuali daripada terkena badainya. Kejadian yang berlaku pada petang Ahad kira-kira pukul 1.45 p.m. itu dikhuatiri telah menyebabkan 74 orang maut (di negara kita) manakala 5,000 orang lagi telah hilang tempat kediaman di samping berlaku banyak kerosakan harta benda dan kecederaan di kawasan persisiran pantai dan kepulauan di sebahagian negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.


Untuk makluman, buku resepi Kek Lapis Sarawak tulisan Rabiah Amit ini adalah di antara 'mangsa' yang terselamat sewaktu bencana tersebut berlaku di rumah seorang rakan setugas iaitu di Kampung Kepala Jalan, Kuala Sungai Muda, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah.


Beliau sekeluarga telah terselamat daripada kejadian itu kerana telah bertolak pulang ke Perak pada sebelah paginya iaitu kira-kira pada pukul 10.00 a.m. hari kejadian. Meskipun tanda-tanda gegaran telahpun dirasai namun tidak menyangka pula bahawa itu adalah amaran awal satu bencana tsunami akan berlaku. Sebaik sahaja sampai di Perak, beliau sekeluarga bergegas kembali semula ke kampung sebaik sahaja menerima berita tentang tsunami ini.


Syukur Alhamdulillah kerana semua ahli keluarga beliau di kampung terselamat. Namun begitu kesedihan tetap dirasai memandangkan kampung yang baharu sahaja ditinggalkan tiga jam yang lalu telah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur dengan bilangan kematian jiran-jiran dan sahabat handai di sekitar 15 orang.


Trauma yang dialami akibat kejadian ini sememangnya tidak dapat dielakkan, selang beberapa minggu BR sendiri pergi melawat ke tempat ini. Memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, bagaimana dan apa yang sebenarnya telah berlaku ketika kejadian. Turut diceritakan oleh seorang rakan bahawa sebuah kereta Wira miliknya sehingga kini hilang lesap entah kemana ditelan badai tsunami...



Sekiranya buku ini boleh berkata-kata, tentu sekali pengalamannya amat bermakna untuk kita kongsikan bersama bagaimana ombak laut setinggi pohon kelapa tiba-tiba sahaja menerjah lalu memusnahkan apa sahaja yang berada di hadapannya. Masih terdapat kesan-kesan lumpur yang sukar ditanggalkan yang cukup memberikan nostalgia syahdu ketika bencana tsunami itu berlaku. Menunjukkan betapa kebesaran Allah S.W.T tiada siapa yang dapat menandinginya.


Kesan melekat pada helaian muka surat buku ini masih lagi kelihatan tetapi sungguhpun demikian masih terdapat lagi muka surat yang masih elok dan boleh dibaca.


Kepada pembaca yang ingin menyalin dan mencuba resepi kek lapis tsunami ini (kek lapis aiskrim keju) bolehlah berbuat demikian dengan klik pada imej untuk membesarkannya.



Begitu juga dengan kek gulung kipas ini.


Tsunami (bahasa Jepun ombak besar di pelabuhan, Kunrei-shiki: Tunami). Tenaga setiap tsunami adalah tetap, fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Dengan itu, apabila gelombang menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih.


Tsunami juga telah mengubah persepsi masyarakat Malaysia bahawa negara kita tidak bebas lagi daripada bencana alam utama.


Ini pula bukanlah kek lapis yang telah dihasilkan daripada buku resepi ini tetapi ianya merupakan cebisan lumpur tsunami yang telah dihadiahkan kepada BR oleh rakan setugas tersebut sebagai kenang-kenangan. Mungkin buku resepi dan cebisan lumpur ini boleh dijadikan bukti bahawa di suatu ketika bencana tsunami ini pernah melanda negara kita untuk tatapan generasi akan datang.


Mungkin benar kata-kata Ebiet G. Ade melalui nyanyiannya 'Berita Kepada Kawan':
"Barangkali di sana ada jawabnya, mengapa di tanahku terjadi bencana, mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita, yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa..."
Salam takziah buat waris mangsa-mangsa tsunami yang telah terkorban.


Penghargaan: Puan Mazlina bt. Che Yusuf.


10 July, 2010

Resepi Agar-agar Dewi


Tajuknya 'Resepi Agar-agar Dewi' tetapi gambarnya tin rokok, kenapa? Sebenarnya tin rokok ini (tidak kira apa jenamapun) ada kaitannya dengan resepi yang akan BR tunjukkan nanti kerana kepada mereka yang mempunyai tin-tin rokok sahaja yang lebih mudah untuk membuatnya. Kepada adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang yang ingin mencuba resepi ini untuk hidangan petang nanti amatlah dialu-alukan..


Tin-tin rokok ini sebenarnya amat berguna suatu ketika dahulu untuk dijadikan alat untuk menyukat sesuatu benda umpamanya beras dan gula. Satu tin rokok ini atau dipanggil juga 'satu pot' merupakan satu standard yang diterima pakai pada waktu itu termasuklah di dalam sistem jual-beli. Pernah suatu ketika dahulu BR membeli 'buah kuntau' yang masih menggunakan sistem 'pot' ini. Untuk pengetahuan, saiz tin rokok ini juga adalah lebih kurang bersamaan dengan saiz tin susu pekat manis.


Berikut adalah resepi yang BR maksudkan:



AGAR-AGAR DEWI


BAHAN-BAHANNYA:

1 tahil agar-agar
4 1/2 tin rokok air sejuk
1 tin rokok susu cair atau santan kelapa
4 biji telur ayam
1 camca vanilla
2 tin rokok gula pasir
Sedikit pewarna merah dan kuning.


CARA MEMBUATNYA:


Agar-agar dimasak dengan air hingga hancur. Kemudian masukkan gula hingga hancur dan lepas itu ditapis. Telur diasingkan putihnya dengan kuningnya. Yang putih dipukul hingga kembang dan tuangkan sebahagian agar-agar tadi beserta vanilla dan warna merah dan dipukul hingga pekat.


Pukul kuning telur yang telahpun dicampurkan dengan susu cair atau santan dan kacau rata-rata di atas api yang sederhana hingga mendidih. Selepas diangkat, bubuh vanilla dan warna kuning.


Agar-agar yang bercampur dengan putih telur tadi diisikan ke dalam acuan. Kemudian tuangkan agar-agar yang bercampur kuning telur di tengah-tengahnya tetapi jangan dikacau. Bila sejuk kelihatan ianya berlapis.


Resepi ini BR perolehi daripada majalah Sinar Zaman Jilid VI Bil. 77, Tahun 1979. Manakala resepi ini pula adalah kiriman daripada Haidas Sarban, Muar, Johor. Gambar bagaimana bentuknya Agar-agar Dewi ini tidak pula disertakan untuk tatapan kita. Walau bagaimanapun, kepada sesiapa yang berminat bolehlah mencubanya...


08 July, 2010

Pulut Ikan Masin vs Kopi 'O' Panas


Inilah makanan kegemaran BR dulu, kini dan selamanya... Pulut ikan masin dengan kopi 'O' panas, makanan sejati orang kampung. Bau ikan masin yang harum itu boleh membuatkan sesiapa sahaja akan 'pecah liur' untuk merasainya. Sebaik-baiknya pulut ini dimakan sebelum pergi bekerja kerana ianya boleh memberikan tenaga kepada tubuh tetapi boleh juga menyebabkan rasa mengantuk mungkin kerana kandungan karbohidratnya yang tinggi.


Dicampur dengan kelapa dan boleh dimakan bersama apa sahaja ikan masin seperti ikan Kedera, Gelama, Belanak, Sepat dan sebagainya. Di sesetengah tempat pulut ini turut dimakan dengan pisang emas atau buah mempelam. Jika dimakan dengan durian, ia akan menjadi pulut durian pula.


Sewaktu di kampung dahulu, pulut ini ditanak menggunakan dapur kayu. Aroma daripada dapur kayu tersebut menambahkan lagi kesedapan pulut ini...


Mengikut satu artikel yang pernah dibaca di dalam sebuah majalah suatu ketika dahulu, wanita-wanita di Thailand telah menjadikan pulut sebagai makanan ruji mereka untuk kulit yang cantik. Kepada adik-adik dan kakak-kakak bolehlah mencuba dan mengamalkannya... He.. he..



Minuman yang paling sesuai untuk digandingkan dengan pulut ikan masin ini ialah tentu sekali kopi 'O' panas. Tidak sesuai digandingkan dengan minuman lain seperti Coca Cola, Pepsi, Horlick, Milo, Nescafe dan lain-lain minuman moden.



Untuk pengetahuan, pulut ikan masin beserta kopi 'O' ini amat enak dan berselera sekali jika dimakan di pagi hari kala hujan turun. Di dalam suasana kesejukan itu, duduk pula bersila di atas lantai papan beralaskan tikar mengkuang sambil menikmatinya. Untuk menambahkan lagi keenakannya, selepas makan diikuti pula dengan menghisap rokok daun (lenteng) dan yang paling seronok sekali selepas itu ialah TIDUR... He.. he..


11 April, 2010

Mari Makan Jeruk Maman...



Inilah rupanya pokok Maman. Nama saintifiknya ialah Gynandropsis Gynandra. Rasanya sedikit pahit tetapi kalau dibuat jeruk memang sedap..



Maman ialah sejenis tumbuhan renek yang boleh dijumpai dikawasan berpasir dan bertanah liat. Kalau di kampung, biasanya terdapat di kawasan padang atau bendang.


Teringat dahulu semasa aku membeli maman dari seorang penjual di pasar. Seorang kenalan menegur "Hai bang, rumputpun beli ke?".



Pandangan dari dekat bentuk daunnya. Satu tangkai biasanya mempunyai lima kelopak daun.



Bunganya yang kecil. Biasanya terdapat dua jenis maman iaitu maman berbunga ungu dan maman berbunga kuning. Nama panggilannya juga pelbagai iaitu maman pantai, maman pasir dan sebagainya.



Cara Membuat Jeruk Maman:



Langkah Pertama: Asingkan daun dari batangnya. Gunakan jaripun boleh, gunakan guntingpun boleh. Seeloknya jemur dahulu barang seketika supaya daunnya tidak busuk semasa proses menjeruk.



Langkah Kedua: Basuh dan bilas bersih-bersih. Maklumlah maman ini adalah tumbuhan yang mungkin terdedah kepada habuk atau racun semburan jika dikutip di bendang.



Langkah Ketiga: Sediakan sebuah bekas. Di sini aku gunakan sebuah balang. Segenggam nasi dan sedikit garam. Nak masukkan asam keping juga pun boleh.



Langkah Keempat: Masukkan maman tadi ke dalam balang dan isikan dengan air masak. Di sini aku isikan dengan air tapis.



Langkah Kelima: Biarkan sehingga beberapa hari atau sehingga daun maman tadi berwarna kekuningan sebelum boleh dimakan.

Orang dulu-dulu memang hebat pengetahuan saintifiknya. Formula sainsnya lebih kurang begini:

Gynandropsis Gynandra + H2o + Karbohidrat + Natrium klorida (NaCl) = Jeruk Maman. He..he..



Cara Penyediaan:



Masa nak makan boleh la masukkan cabai hidup atau cabai melaka, bawang dan sedikit belacan. Makan pula dengan nasi panas, ada ikan masin pula...

Bagi mereka yang pernah merasai keenakan jeruk maman ini, sudah berapa lamakah anda tidak pernah merasainya lagi?


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'