Showing posts with label Bakat TV. Show all posts
Showing posts with label Bakat TV. Show all posts

22 August, 2011

Pertandingan Akhir Bakat TV 1979


Keputusan Bakat '79 Peringkat Kebangsaan memang tepat dan adil. Begitulah pendapat yang telah diterima dari kebanyakan orang ramai. Walaupun ramai telah menyangka yang Bakat kali ini kurang meriah namun sangkaan itu ternyata meleset sekali.

Sambutan orang ramai yang menyaksikan pertandingan pada malam itu sungguh menggalakkan. Ini amat membanggakan pihak RTM sebagai penganjurnya. Orang ramai telah datang dengan begitu besar jumlahnya hinggakan ramai penonton yang tidak mendapat tempat yang sempurna.


DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Tengku Ampuan mencemar duli menyaksikan Pertandingan Akhir Bakat TV '79.


Kumpulan lawak jenaka Hassan Putumayong (Allahyarham) walaupun telah agak lama berkecimpung dalam bidang lawak jenaka namun masih lagi gementar apabila mempersembahkan lawaknya pada malam itu.

"Saya tidak lalu makan dan gementar seluruh badan dan ini tidak pernah berlaku," kata Hassan dengan telor (dialek) Pulau Pinangnya. Dengan hadiah kemenangan Tempat Pertama sebanyak $2,000 itu Hassan akan membesarkan perniagaannya di Seberang Perai. Untuk pengetahuan, beliau juga turut menganggotai Cahaya Mata Ghazal Parti Sungai Bakau, Seberang Perai.

Tempat Kedua dimenangi oleh Ibrahim Hamzah dan Tahir Budiman dari Sabah dan Tempat Ketiga oleh Kumpulan Osman dan Rajah dari Kelang.


Kumpulan D'Atomic Power dari Sandakan, Sabah, Juara bahagian Pancaragam menerima hadiah dari DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


Kumpulan Pancaragam D'Atomic Power dari Sandakan, Sabah telah berjaya menjadi Juara dalam bahagian Pancaragam. Selain dari memenangi wang tunai sebanyak $3,000 mereka juga layak menerima Piala Pusingan yang menjadi idaman kepada setiap kumpulan pancaragam tanah air.

Keanggotaan asal D'Atomic Power ketika itu ialah terdiri daripada Rashid Kamsiran (Gitar Utama/Keyboard/Trombone/Vocal/Ketua Kumpulan), Sulaiman Alman @ Ringgo (Drummer), Ismail Arun (Bass/Vocal), Saat Talip (Keyboard/Altosax), Karim Awang (Altosax), Rudy Ahmad (Vocal Utama), Geofrey Tan (Vocal) dan Alleh Aggullana (Vocal).

Menurut ketuanya, Rashid Kamsiran, Mereka datang ke Paroi dengan hasrat menjadi juara dan mereka telah berlatih sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang bagi kawasan Sabah. "Hasil usaha gigih dari semua rakan, kami akhirnya berjaya," kata Kamsiran lagi.

Sebaik sahaja D'Atomic Power diumumkan sebagai pemenang, kumpulan ini telah ditawarkan untuk membuat rakaman ke piring hitam dalam bentuk LP dari salah sebuah syarikat piring hitam tempatan.

Ini bukanlah pertama kali kumpulan ini bertanding untuk Pertandingan Bakat TV. Pada tahun lepas D'Atomic Power telah mendapat tempat ketiga.

Menurut salah seorang anggota kumpulan itu, pada tahun hadapan mereka tidak akan lagi turut bertanding untuk memberi peluang kepada kumpulan lain pula. Pada waktu itu mereka bermain di Kelab Malam di Sandakan dan juga dalam pertunjukan-pertunjukan pentas.

Maklumat lanjut mengenai Kumpulan D'Atomic Power ini pembaca boleh ikuti di: D'Atomic Power


Kumpulan Panada Ista dari Kuala Kangsar telah memenangi Tempat Kedua.


Tempat Kedua dimenangi oleh Panada Ista dari Kuala Kangsar. Kumpulan di bawah naungan DYMM Sultan Perak ini sebelumnya dikenali sebagai The Pelican. Panada Ista menerima wang tunai sebanyak $2,000 dan medallion sebagai kenangan.

Ketua Panada Ista, Azli Jili memberitahu kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 1973 dan dipandu dan dilatih oleh Orkes Rishah juga dari Kuala Kangsar. "Kami akan mencuba lagi pada tahun hadapan untuk mencapai keputusan yang lebih baik lagi," katanya. Tempat Ketiga pula dimenangi oleh T. Road Band juga dari Perak.


Peserta termuda dalam Bakat TV '79 yang juga merupakan Johan bagi bahagian Solo Instrumental, Nicholas Ong Cheng Hooi bersama piala kemenangannya.


Nicholas Ong Cheng Hooi peserta termuda dalam Bakat TV '79 berasal dari Petaling Jaya. Telah mula bermain piano sejak umurnya enam tahun di bawah bimbingan ibu dan seorang guru muzik terkemuka di Petaling Jaya.

Sungguhpun Nicholas baru berumur sembilan tahun pada waktu itu namun potensinya sebagai pemuzik kelihatan jelas sekali. Sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang bahagian Solo, dengan penuh kemesraan beliau memeluk ibunya dan berkata, "Duit yang akan saya dapati nanti akan saya beli TV warna untuk ibu".

Walau bagaimanapun sebuah syarikat penjual TV telah menghadiahkan sebuah TV warna kepada beliau. Selain dari itu, beliau juga telah menghadiahkan jam yang diterimanya untuk ibu kesayangannya.

Ibunya Puan Ong berkata, buat masa ini Nicholas akan menumpukan masanya lebih kepada pelajaran walaupun kecenderungan bermain piano yang terdapat dalam diri Nicholas tidak akan disekat. Bakat yang terdapat di dalam dirinya harus dipupuk dan dibaja supaya pada masa akan datang beliau akan lebih maju dan berjaya.


Semua peserta Bakat TV '79 berbaris memberi penghormatan kepada para penonton di akhir majlis.


Tempat Kedua dalam bahagian Solo Instrumental dimenangi oleh Shah Rizan Mohd Salmi juga dari Kuala Lumpur dan Tempat Ketiga dimenangi oleh Stephen Jaramiah dari Sarawak.


Tiba-tiba teringatlah pula lagu hits Kumpulan D'Atomic Power yang sungguh popular suatu ketika dahulu iaitu "Cinta Benar Cinta" (Nyanyian vokalis utama Rudy Ahmad). Untuk makluman, lagu ini juga sering dijadikan 'lagu cinta' bagi pasangan kekasih yang dalam percintaan di sekitar tahun 1980-an dahulu.. he.. he..
(sila klik tajuk lagu untuk mendengar lagunya)




Usah kau ragui cintaku suci
Ku tak kan menduakan
Walaupun kita berjauhan
Namun kau tetap dalam ingatan

Ingatan mesra yang ku berikan
Di akhir pertemuan
Agar kau tak melupakan
Pabila kita berjauhan

Oh rindunya tiada terkira
Antara kita berdua
Cinta benar cinta
Semoga kekal selamanya

Cinta benar cinta
Semoga kekal selamanya...


*************************************************


Resepi hari ini:

BENGKANG DURIAN BERJAGUNG

Bahan-bahannya:

2 cawan isi durian (durian segar bukan tempoyak hehe..)
1 tin jagung
2 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
2 1/2 cawan gula pasir
2 butir telur ayam
7 helai daun pandan
4 1/2 cawan santan pekat dari 1 1/2 butir kelapa

Cara membuatnya:

Gaulkan gula dengan telur hingga sebati.
Kemudian daun pandan ditumbuk, perah dan ambil airnya.
Kelapa diperah dan asingkan patinya sebanyak 4 1/2 cawan.
Sesudah itu gaulkan pula durian dan jagung.
Selepas itu tepung gandum dan tepung beras digaul rata, tuangkan santan sedikit-sedikit biar rata sambil itu masukkan pula jagung dan durian yang telah digaul tadi.
Apabila adunan itu telah sebati masukkkan bancuhan telur tadi beserta air daun pandan dan kacau lagi biar sebati.
Lepas itu baru masukkan dalam acuan dan dibakar dengan api yang sederhana, bakarlah hingga ianya betul-betul masak.


SELAMAT MENCUBA!

04 August, 2011

Imbasan Bakat TV 1979 (Separuh Akhir)


Peminat-peminat Bakat 79' mungkin telah mengikuti rancangan pertandingan bakat ini di peringkat awal dengan enam siri rancangan telah dipancarkan sebelum ini. Kita ikuti imbauan di peringkat separuh akhir ini di mana 18 orang peserta telah mengambil bahagian, enam peserta untuk tiap-tiap bahagian.

Bahagian-bahagian yang dipertandingkan ialah Bahagian Pancaragam atau Kugiran, Bahagian Lawak Jenaka dan Bahagian Solo Instrumental. Dari 18 peserta ini lebih dari separuh adalah muka-muka baharu dan boleh dikatakan masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.


Abdul Rahim Abdul Rahman bermain gitar klasik dari Kuala Lumpur (Instrumental Solo).


Mendengar kepada nama peserta-peserta yang mengambil bahagian ini tentunya akan mengembalikan nostalgia lama apabila terkenangkan aksi-aksi peserta yang telah mempersembahkan bakat masing-masing. Tidak kiralah pada waktu itu pembaca masih lagi kanak-kanak ataupun telah dewasa atau dalam keadaan ingat-ingat lupa...


Band Panada Ista dari Kuala Kangsar, Perak (Pancaragam atau Kugiran).



Berikut ialah nama-nama peserta yang layak menyertai ke peringkat separuh akhir Bakat TV 1979 ini:

Bahagian Pancaragam atau Kugiran:

1. Band Q'cumber Uprising dari Melaka.
2. SBS Band dari Alor Setar, Kedah.
3. Band Panada Ista dari Kuala Kangsar, Perak.
4. Band Dendang Kilat dari Alor Setar.
5. T. Road Band dari Tapah, Perak.
6. H.B. Group dari Ulu Kinta, Perak.


Kumpulan IBS Bersaudara dari Johor (Lawak Jenaka).


Bahagian Lawak Jenaka:

1. Kumpulan KAU dari Alor Setar, Kedah.
2. Kumpulan Manikam dan Baby dari Melaka.
3. Kumpulan Osman dan Rajah dari Kelang, Selangor.
4. Kumpulan Isbando dari Teluk Anson (sekarang Teluk Intan), Perak.
5. Kumpulan IBS Bersaudara dari Johor.
6. Kumpulan Hassan Putu Mayam dari Pulau Pinang.


Nicholas Ong Cheng Hooi bermain piano dari Kuala Lumpur (Instrumental Solo).


Bahagian Solo Instrumental:

1. Nicholas Ong Cheng Hooi bermain piano dari Kuala Lumpur.
2. Shahrizan Mohd Salmi bermain flugle horn dari Kuala Lumpur.
3. Abdul Rahim Abdul Rahman bermain gitar klasik dari Kuala Lumpur.
4. Wan Mohammad Wan Zainal bermain gitar elektrik dari Perlis.
5. Mohd Yasin bermain gambus dari Kuala Lumpur.
6. Kesavan Pulusamy dari Seberang Perai.


Dari 18 orang peserta ini, enam peserta akan dipilih untuk menyertai peringkat akhir kelak iaitu dua peserta bagi tiap-tiap bahagian. Manakala Sabah dan Sarawak pula akan diwakili oleh enam peserta iaitu satu bagi tiap-tiap bahagian. pada keseluruhannya 12 peserta akan turut mengambil bahagian di Peringkat Kebangsaan kelak.


Kumpulan Manikam dan Baby dari Melaka(Lawak Jenaka).


Adalah menjadi cita-cita dan hasrat RTM untuk mengadakan acara-acara pentingnya di luar dari kompleks Angkasapuri dengan tujuan memberi gambaran sebenar tentang kegiatan RTM kepada orang ramai di samping mengeratkan lagi suasana kerjasama dan muhibah di antara RTM dan rakyat.

Dalam usaha untuk melaksanakan hasrat inilah, maka RTM sekali lagi bercadang mengadakan Bakat 79' Peringkat Kebangsaan (Akhir) di luar dari Angkasapuri. Kali ini ialah di Negeri Sembilan. Tempat yang dipilih ialah di Tapian Gelanggang, Paroi berhampiran bandar Seremban.

Bakat 79' Peringkat Kebangsaan (Akhir) akan disiarkan secara langsung oleh RTM dan di dalam bentuk warna. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tengku Ampuan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Penerangan akan turut hadir di upacara yang meriah yang buat pertama kalinya ia diadakan di Negeri Sembilan.

Untuk mengetahui keputusan sebenar Pertandingan Akhir Bakat TV 1979 ini, insyaAllah akan BR siarkan pada postingan akan datang. Persoalannya di manakah mereka ini berada sekarang?


*******************************************************

Seperti di bulan puasa pada tahun lalu, setiap posting akan disertakan dengan resepi cadangan untuk pembaca mencubanya di sepanjang bulan puasa ini.

Untuk makluman, resepi yang dicadangkan ini adalah resepi klasik yang masih menggunakan kaedah sukatan imperal seperti cawan, tin, kati, tahil, oz, inci, camca dan sebagainya.

Terpulanglah kepada budi bicara pembaca untuk menukarkannya kepada sukatan standard atau metrik supaya hasil rasa dan bentuknya nanti tidak 'lari' hehe..


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


KELUPON UBI

Bahan-bahannya:

4 batang isi ubi kayu
1/2 kati gula merah
1/2 biji kelapa muda
satu cawan tepung gandum
sedikit garam dan minyak untuk menggoreng


Cara membuatnya:

Ubi dan kelapa diparut, dicampurkan garam dan gaul rata-rata. Masukkan pula tepung ke dalam adunan tadi dan gaullah sehingga sebati. kemudian dibuat bulat-bulat sebesar telur ayam (bukan telur puyuh hehe..) Lubangkan ditengahnya dan masukkan gula merah ke dalamnya.

Panaskan minyak dan bila sudah cukup panas, gorenglah sehingga kuning.


Selamat mencuba! Kalau kuih ini menjadi, janganlah lupa menghantar ke sini barang seketul dua.. hehe..

08 July, 2011

Imbasan Bakat 1978


Buat pertama kalinya Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang telah terpilih untuk Pertandingan Akhir Bakat '78 yang akan diadakan pada 19 September 1978 jam 8.50 malam.

RTM sehingga kini sedang sibuk membuat segala persiapan bagi menentukan yang segala-galanya akan berjalan mengikut yang dijangka apabila pertandingan diadakan kelak.


Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.
(imej hasil carian google)


"Dewan Sri Pinang memang sesuai untuk siaran TV secara langsung," kata salah seorang Penerbit Teknik yang baharu sahaja pulang membuat tinjauan dari sana. "Segala kemudahan ada dan ini akan menjamin penerbitan yang memuaskan."

Bakat '78 pada kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan sekali daripada para peminatnya. "Jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu, kali ini pertandingan lebih competitive dan sophisticated." kata Abdullah Harun selaku Penerbit Rancangan.

Pertandingan Bakat '78 dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian Pancaragam, Instrumental Solo dan Lawak Jenaka. Daripada lebih 1,200 permohonan yang diterima, hanya 36 sahaja yang berjaya untuk memasuki peringkat awal dan daripada 36 itu cuma 9 sahaja yang bernasib baik untuk memasuki Peringkat Akhir bagi Semenanjung Malaysia.


Kumpulan Quinary M sedang menyampaikan persembahan.


Bagi bahagian Pancaragam, tiga kumpulan yang berjaya ialah Gelombang Biru daripada Woodlands, Quinary M daripada Kuala Lumpur dan Band NARF daripada Alor Setar.


Penny Chin salah seorang peserta Instrumental Solo.


Bahagian Instrumental Solo pula yang berjaya ialah Halil Ghani daripada Seberang Perai, Chik Mat Long daripada Kangar, Perlis dan Penny Chin daripada Kuala Lumpur.


Peserta Lawak Jenaka, Mahadi dan Jalud yang menggunakan dua suara ketika menyampaikan persembahan.


Bahagian Lawak Jenaka pula terdiri dari Mahadi dan Jalud daripada Pulau Pinang, Kumpulan ASBA daripada Ipoh dan Dini dan Jali daripada Jengka, Pahang.

"Tiap-tiap bahagian akan diadili secara berasingan supaya tidak timbul sebarang keraguan," kata Penerbit, "dan tiap-tiap bahagian akan diadili oleh pengadil-pengadil yang betul-betul berkelayakan."

Hadiah-hadiah yang akan diberi pada tahun ini agak lumayan. hadiah-hadiah berupa wang tunai diberi mengikut bahagian masing-masing:

Bahagian Pancaragam:

Pertama: $3,000
Kedua: $2,000
Ketiga: $1,000
Saguhati: $750

Bahagian Lawak Jenaka:

Pertama: $2,000
Kedua: $1,500
Ketiga: $1,000
Saguhati: $500

Bahagian Instrumental Solo:

Pertama: $1,000
Kedua: $750
Ketiga: $500
Saguhati: $250

*simbol $ merupakan nilai matawang Malaysia pada waktu itu sebelum ditukar kepada RM.


Demikianlah serba sedikit imbasan Bakat 1978 yang telahpun diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang pada 19 September 1978 iaitu kira-kira 33 tahun yang lalu.

Entri ini telah mengingatkan BR (ingat-ingat lupa kerana masih lagi kanak-kanak) kepada beberapa orang peserta yang memang menonjol bakat mereka dan sungguh menghiburkan.

Contohnya seperti peserta lawak jenaka iaitu Mahadi dan Jalud yang menggunakan puppet dan dua suara yang berlainan ketika menyampaikan persembahannya.

Kumpulan Quinary M pula merupakan sebuah kumpulan adik beradik yang masih dikenali sehingga kini tetapi telah menyepi setelah masing-masing sudah berkeluarga. Salah seorang anggotanya ialah Mazuin Hamzah sebagai pemain drum.


Kumpulan Gelombang Biru daripada Woodlands, Singapura.


Kumpulan Gelombang Biru pula kalau tidak silap merupakan sebuah band yang terdiri dari anggota tentera laut yang berpangkalan di Woodlands, Singapura.

Kepada pembaca yang mengetahui maklumat lanjut mengenai peserta terutamanya bagi peserta Instrumental Solo, silalah berkongsi maklumat di sini kerana BR telahpun lupa apakah alat muzik yang dimainkan oleh Halil Ghani dan Chik Mat Long. Kalau tidak silap, Penny Chin pada waktu itu bermain piano.

Kepada pembaca juga sayugia diingatkan bahawa entri ini hanyalah imbasan sahaja sambil kita melihat gambar-gambar peserta yang mungkin boleh mengembalikan nostalgia anda. Bagi keputusan penuh Pertandingan Bakat 1978 ini, insyaAllah akan BR siarkan pada entri yang akan datang.

Setelah 33 tahun berlalu, kemanakah mereka ini menghilang? Pastinya pembaca dan BR sendiri tertanya-tanya dimanakah mereka sekarang dan ingin sekali berkongsi cerita saat-saat kegemilangan mereka dahulu yang telah hampir dilupakan oleh generasi kini. Sesungguhnya mereka sebagai orang lama tetap hebat!


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'