Showing posts with label Bintang RTM. Show all posts
Showing posts with label Bintang RTM. Show all posts

25 August, 2011

Bintang RTM 1978 dan 1979 - Komen Pembaca...


Ekoran dari penyiaran kisah Bintang RTM 1978 dan Jamal Abdillah Juara Bintang RTM 1979 yang lalu, BR telah menerima maklum balas yang sungguh menggalakkan daripada para pembaca yang telah meninggalkan komen dan tidak kurang juga yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut kisah peserta-peserta yang terlibat dalam pertandingan nyanyian yang sungguh prestij suatu ketika dahulu itu.

Tidak disangka-sangka pula salah satu komen yang diterima ialah daripada Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak (Naib Johan Bahagian Padu Suara Bintang RTM 1979) sendiri yang telah menceritakan pengalaman beliau ketika menyertai pertandingan tersebut. Kita ikuti kisah suka duka beliau yang seharusnya dikongsi bersama.

Salam hormat dan selamat berkenalan Sdra BR.

Terima kasih bebanyak ler.. Blog sdra mengamitkan kembali ingatan saya yang ikut serta dalam pertandingan akhir Bintang 1979 ketika itu. Saya Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak. Kami berlima ketika itu. Selain saya yang lainnya Rahim Saring (lead singer), Mas Rahman Musa, Sulastri Sulehan (adik kepada Prof Juneanah Sulehan UKM - lead singer Kumpulan Crescendos Juara Bintang RTM 1978) dan Dayang Jamayah Awang Bujang.

Saya masih ingat lagi, 2 buah lagu yang kami pertaruhkan ketika final iaitu "BERCINTA" dan "MARI MENARI" di mana kedua-dua lagu tersebut adalah ciptaan Sdra Kamel Salem (Ketua Kumpulan Crescendos).


Kumpulan Crescendos


Sebenarnya, kumpulan kami adalah rangkaian Kumpulan Crescendos yang menjuarai Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978. Crescendos dikhususkan untuk menyertai Bintang RTM 1978 manakala K.S Five untuk Bintang RTM 1979.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, masing-masing pun dah ada kehidupan sendiri. Dayang Jamayah kini menetap di Brunei Darussalam. Mas Rahman telah bersara dari perkhidmatan kerajaan dan menetap di Kuching. Begitu juga dengan Rahim Saring dan Sulastri masing-masing menetap di Kuching. Saya pun dah begitu lama "lost contact" dengan mereka kecuali dengan Sdra Mas Rahman apabila sesekali saya bertemu dengannya ketika pulang ke Kuching. Saya sendiri kini terdampar di Penang meniti hari-hari akhir dalam perkhidmatan dengan kerajaan.

Saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas daya usaha sdra dalam mengumpul sejarah seni tanah air. Tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang berminat atau serius dalam menjejak orang-orang lama yang pernah mencebur diri dalam bidang seni.

Apabila memperkatakan tentang Kumpulan K.S Five, dari sejarahnya ianya tidak dapat tidak kita akan turut memperkatakan tentang Kumpulan Crescendos yang merupakan Juara Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978.

Mengimbas kembali permulaan kami dalam K.S Five, sebenarnya ianya bermula dengan Kumpulan Crescendos di mana saya adalah ahli kumpulan yang terawal bersama dengan Sdra Kamel Salem selaku Ketua Kumpulan, Sdra Affendi dan Prof Dr Juneanah Sulehan (UKM).

Bagaimanapun ketika itu saya bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan dan kerap keluar untuk tugas "out station" di serata Sarawak, maka untuk Bintang RTM 1978 tempat saya digantikan oleh seorang rakan kami iaitu Sdra Julai Elen. Setelah itu atas dayausaha Sdra Kamel, diwujudkan pula Kumpulan K.S Five sebagai persediaan menghadapi Bintang RTM 1979 di mana saya sendiri selaku ketua kumpulan.


Kumpulan K.S Five. Yang mana satukah saudara Mohammad Zain Rasit?


Sebenarnya kejayaan kedua-dua Kumpulan Crescendos dan K.S Five adalah bergantung sepenuhnya kepada komitmen anggotanya di samping disiplin diri yang tinggi. Sdra Kamel adalah orang penting dan juga tunggak utama bagi kedua-dua kumpulan ini. Beliau adalah seorang komposer dan penggubah muzik yang kreatif dan berdisiplin (saya masih berhubung dengannya yang kini menetap di Kuching).

Beliau juga seorang yang cukup "determined" dalam kerjanya. Pernah suatu ketika pada jam 3 pagi beliau mengejutkan saya dari tidur (ketika itu saya bermalam di rumahnya selepas sesi latihan) bilamana mendapat ilham lagu baru dan meminta pendapat saya samada melodi lagu baru itu sesuai atau sebaliknya.

Ketika kami menyertai Bintang RTM, tidak pernah terfikir pun soal glamour atau kemasyuran. Kami ikut serta hanya disebabkan kami benar-benar berminat dengan bidang seni. Kami bersiap sedia untuk ikut dalam pertandingan itu selama setahun.

Seingat saya kami berlatih sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selepas waktu pejabat. Menyanyi dalam sebuah kumpulan padusuara bukanlah satu perkara mudah atau semudah kita menyanyi solo. Persefahaman dan semangat kerjasama adalah resepi penting bagi sesebuah kumpulan.

Menyanyi secara berpadusuara merupakan nyanyian secara berharmoni dengan "voicing arrangement" yang disusun dengan cukup teliti manakala dalam setiap melodi lagu yang dinyanyikan, suara setiap anggota kumpulan mestilah menepati "note" untuk setiap harmoni.

Konsep nyanyian padusuara seumpama itu disebut sebagai "modern jazz voicing" dan ianya merupakan sejarah pertama dalam muzik tanah air ketika itu dipelopori oleh kumpulan padusuara di Malaysia iaitu Crescendos dan K.S Five. Perkara ini diakui sendiri oleh Sdra Ooi Eow Jin (pemuzik terkenal RTM / tanah air).

Konsep nyanyian harmoni menggunakan "modern jazz voicing" sehingga ke hari ini jarang sekali digunapakai oleh mana-mana kumpulan padusuara di tanah air kita. Kalau adapun yang menggunakannya hanya secara sebahagian sahaja.

Ini disebabkan untuk menghayatinya amat sukar dan perlu kesabaran yang tinggi. Saya masih ingat lagi, suatu ketika semasa dalam latihan saya sendiri selaku "third voicer singer" pernah mengetuk kepala sendiri dengan gitar disebabkan tidak dapat mengalunkan melodi lagu menepati "note" yang ditetapkan. Begitulah sukarnya… bagaimanapun atas usaha dan penghayatan akhirnya kesukaran itu berjaya diatasi.

Seperkara lagi yang saya ingin catatkan di sini ialah mengenai seorang yang turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan bakat Crescendos dan K.S Five. Orang yang dimaksudkan ialah Sdra Lawrance Oliver Dragon, seorang yang tidak asing bagi peminat muzik di Sarawak. Ketika itu beliau adalah Ketua Kombo RTM Sarawak yang bertanggungjawab menyusun serta menggubah lagu untuk kami selain dibantu dan berdasarkan idea asal Sdra Kamel.

Seingat saya beliau berasal dari PJ dan rumah terletak di Jalan Gasing. Kalau saya tidak silap, beliau mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mendiang Alfonso Suliano yang juga merupakan seorang pemuzik terkenal tanah air ketika itu. Saya tidak pasti samada beliau masih hidup atau telah meninggal dunia. Kalau pun dia masih hidup, mungkin usianya telah mencecah lewat 70an.

Itulah antara kenangan yang masih segar dalam ingatan saya. Cuma saya ingin mencadangkan kepada Sdra BR, andainya dapat diusahakan bersama pihak RTM supaya dihimpunkan semula otai-otai Bintang RTM sekitar 1970an dan 1980an dalam satu program.

Untuk Anonymous - sampaikan salam saya buat ibu sdra / sdri (Puan Pinny Md Radzi)

Salam hormat.
Tok Jen (Mohammad Zain Rasit)

Salam Ramadhan Al Mubarak dan Salam Aidilfitri.


Blog Tok Jen pembaca boleh ikuti di: TOK JEN


Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Tok Jen yang telah sudi berkongsi maklumat dan pengalaman beliau di sini. Adalah diharapkan lebih ramai lagi lagi pembaca yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan setiap paparan yang disiarkan supaya dapat memeriahkan lagi blog ini dengan sumber-sumber maklumat terkini atau sebarang pembetulan jika ada, sebagai bahan rujukan dan sebagai pengetahuan kepada generasi kini.

Kepada Anonymous juga, adalah diharapkan juga sekiranya saudara/saudari juga dapat berkongsi maklumat mengenai ibu saudara/saudari iaitu Pinny Mohd Radzi yang juga merupakan seorang penyanyi yang hebat pada waktu itu meskipun beliau hanya berjaya mendapat tempat sagu hati dalam Pertandingan Bintang RTM 1979 bersama Najib Hanif dan M Dzulkarnean. Pastinya ramai yang sedang menanti perkembangan beliau.


*************************************************

Resepi hari ini:

BISKUT BAWANG BAKAR

Bahan-bahannya:

5 cawan tepung gandum
1 cawan gula halus
2 biji bawang
1 cawan minyak
sedikit roti kering
kuning telur

Cara membuatnya:

Tepung gandum digaul dengan gula.
Bawang dipotong dadu kecil-kecil dan dicampur dengan gula dan tepung tadi.
Masukkan juga roti yang dipotong kecil-kecil.
Selepas itu masukkan minyak sedikit demi sedikit sehingga boleh diuli.
Bentuklah adunan itu sesuka hati anda.
Selepas itu sapukan kuning telur di atasnya dan dibakar sehingga masak.


SELAMAT MENCUBA!


Nota: Resepi-resepi yang disiarkan ini adalah resepi lama. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat pengubahsuaian di mana perlu untuk menambahkan lagi 'kesedepan' resepi tersebut.
Kepada pembaca yang meminta gambar hasil resepi yang disiarkan, memang tak ada kerana BR sendiripun belum pernah cuba membuatnya.. hehe..


Terima kasih juga kepada Simanis Yang Manis kerana telah cuba menghasilkan BISKUT MILO mengikut resepi yang pernah disiarkan (dengan sedikit pengubahsuaian) sebelum ini. Kepada pembaca yang ingin melihat hasilnya bolehlah melayari blog beliau di: Blog Simanis

Sebarang pertanyaan bolehlah merujuk kepada beliau.. hehe..


25 July, 2011

Imbasan Suku Akhir Bintang RTM 1980


Bintang RTM telahpun wujud 41 tahun dahulu semenjak Talentime TV yang pertama pada tahun 1970. Dengan munculnya televisyen di negara kita maka diadakan pula pertandingan Bintang Radio di TV. Pertandingan ini telah mendapat sambutan hangat dan menarik minat orang ramai di seluruh tanah air.

Sejak itu, pihak RTM terus giat menganjurkan pertandingan Talentime TV dan yakin inilah satu-satunya jalan dan cara untuk mencungkil bakat-bakat terpendam di kalangan muda-mudi, bakat-bakat yang boleh digunakan untuk pertunjukkan-pertunjukan TV seterusnya.


Sharon Premela Issac menyanyikan lagu " Ku Nyanyi Untukmu" dan "When It's Just You And Me".

Pencarian bakat baharu bagi Bintang RTM 1980 telahpun dimulakan pada 30 September 1980 bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni suara untuk diketengahkan.

Pihak RTM telah menyediakan sebanyak tujuh rancangan bagi merakamkan pertandingan peringkat suku akhir ini yang telahpun disiarkan mulai tarikh tersebut. Rancangan ini akan disiarkan seminggu sekali untuk memberi peluang rakyat Malaysia menghayati dan menikmati persembahan para peserta.


Kumpulan Raja Doli yang mempersembahkan lagu "Tari Gembira" dan "Jesamine".

Pertandingan ini telah disertai oleh kira-kira 6,000 permohonan di mana 120 daripadanya telah ditolak. Daripada jumlah itu, hanya 70 orang sahaja yang layak dan akan beradu nasib pada peringkat suku akhir untuk melayakkan mereka memasuki peringkat separuh akhir yang akan diadakan pada akhir tahun 1980.

Peserta-peserta dari Sabah dan Sarawak tidak lagi bertanding sebagai mewakili kawasan masing-masing seperti tahun-tahun sebelumnya diadakan pertandingan di tempat mereka. Pada tahun 1980 ini mereka akan bertanding dengan peserta-peserta Semenanjung dari peringkat awal lagi.


Raisuddin Hamzah juga merupakan pelakon utama "Nenek Kebaya" dan merupakan ayahanda kepada Sarah Raisuddin membawa lagu "Keluhan Perantau" dan "Semua Bisa Bilang".

Semua peserta akan dihakimi dan markahnya akan dicatatkan. 40 peserta dari seluruh negara akan memasuki pertandingan peringkat separuh akhir dan sistem yang serupa akan dikenakan untuk ke peringkat akhir pada awal tahun 1981 di Oditorium Besar, Wisma Radio, Kuala Lumpur.

Hanya 13 orang peserta sahaja akan dipilih ke peringkat akhir. Mereka akan dibahagikan pula kepada empat kumpulan dan sembilan solo atau lima kumpulan dan lapan solo.


Seorang peserta suku akhir yang tidak dapat dipastikan sama ada Mimi Noorazamimah atau Norhana Jalaluddin?

Kita ikuti imbauan peserta yang telah menyertai pertandingan peringkat suku akhir Bintang RTM 1980 ini adalah seramai lapan orang peserta solo dan dua bagi acara kumpulan. (10 peserta).

Peserta yang pertama ialah Mimi Noorazamimah membawa dua buah lagu "Terkenang Desa Permai" dan "Raining In My Heart".

Peserta kedua Sharon Premela Issac menyanyikan lagu " Ku Nyanyi Untukmu" dan "When It's Just You And Me".

Kemudian Aziz Khamis muncul sebagai peserta ketiga dengan lagu "Keluhan Dara" dan "Layu Sebelum Kembang".

Roslan Jalil membawakan lagu "Ku Sangka Siang Kiranya Malam" dan "Oh Di Mana".

Kumpulan Highlight pula muncul dengan lagu "Hidup Bukan Hanya Sehari" dan "Lesson In Love".

Peserta keenam Helena Hon May Ling membawakan lagu "Biarlah Aku Sendiri" dan "He Ain't Heavy He's My Brother".

Peserta ketujuh Norhana Jalaluddin telah membawakan lagu "Daun-daun Berguguran" dan "Tak Kuasa Ku Hindari".

Adnan Mohamad pula dengan lagu "Hujan Di Tengahari" dan "Joget Orang Berkasih".

Raisuddin Hamzah peserta kesembilan membawa lagu "Keluhan Perantau" dan "Semua Bisa Bilang".

Peserta kesepuluh yang juga peserta terakhir ialah dari Kumpulan Raja Doli yang mempersembahkan lagu "Tari Gembira" dan "Jesamine".

Hadiah-hadiah pertandingan ini tetap seperti tahun -tahun yang sebelumnya. Pengacara pertandingan Bintang RTM 1980 ini ialah Zainal Abbas dan Penerbitnya ialah saudara Ahmad Raphay.

Untuk keputusan penuh siapakah yang telah menjuarai Bintang RTM 1980 ini, pembaca bolehlah ke Bintang RTM 1980 yang telah disiarkan dahulu.


Moral Value: Teringat bait-bait lirik lagu "Oh Di Mana".. nyanyian Roslan Jalil (D'lloyd).


21 June, 2011

Rohana Jalil Berjaya Menjadi Juara Bintang RTM 1980


Rohana Jalil daripada Kota Tinggi, Johor, berjaya menggondol Juara Bintang RTM 1980 Bahagian Solo dalam pertandingan peringkat akhir di Auditorium Besar, Angkasapuri, pada malam 13 Januari 1981 lalu yang telah disiarkan secara langsung iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu. Rohana, 26 tahun, menewaskan tujuh peserta solo yang lain, menerima piala pusingan dengan hadiah wang tunai $2,000.


Lapan peserta solo dan empat kumpulan telah mengambil bahagian dalam pertandingan akhir ini. Rohana Jalil pernah dua kali menyertai Bintang RTM dan merupakan anak pertama dari enam orang adik beradik.


Gambar terbaru Rohana Jalil (kiri) bersama anaknya Kilafairy. Ada perubahan wajahnya di situ..
(Imej daripada carian Google)


Beliau memberitahu para pemberita selepas menerima Piala Pusingannya bahawa beliau bercita-cita untuk menjadi penyanyi yang terkenal bertaraf antarabangsa.


Juara Bahagian Solo (Rohana Jalil) dan Juara Bahagian Kumpulan (Kumpulan Bee & Gee) dengan piala masing-masing.


Sementara Kumpulan Gee & Bee terdiri dari Roziah Mohd Ibrahim dan Saleha Ali berjaya merebut Juara Bahagian Kumpulan (Padu Suara). Mereka pula menerima hadiah wang tunai $2,500 dengan piala pusingan daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Salah seorang anggota Kumpulan Bee & Gee, Saleha Ali ialah seorang pelajar tahun akhir Jurusan Perhubungan Media Massa di Institut Teknologi MARA (ITM) sekarang Universiti teknologi MARA (UiTM).

Kini beliau sedang menjalani latihan praktikal di Kumpulan Akhbar New Straits Times, Saleha ingin menjadi seorang wartawan. Beliau juga memberitahu bahawa penyertaannya kali ini merupakan kali pertama atas galakan kawan-kawannya.


Dengan perasaan sedih dan penuh gembira, Rohana menjulang piala kemenangannya kepada para penonton selepas menerima hadiahnya daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.


Sharon Premela Isaac, Naib Johan Bahagian Solo.


Naib Johan Bahagian Solo dimenangi oleh Sharon Premela Isaac, 20 tahun daripada Ipoh, dengan mendapat hadiah wang tunai sebanyak $1,500 sementara tempat ketiga jatuh kepada Waynie Pui Lee Keng daripada Kota Bharu, Kelantan mendapat hadiah wang tunai $1,000.

Bagi Naib Johan Bahagian Solo, Sharon, inilah kali ketiga beliau menyertai pertandingan menyanyi dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi terkenal. Di samping menyanyi, beliau juga mempunyai hobi melukis dan memasak.

Naib Johan Bahagian Kumpulan dimenangi oleh Kumpulan Mixed Sound daripada Sabah yang terdiri dari lima orang anggota iaitu Rothman Buntar, Sahar Nordin Al-haj, Peter Dicky Lee, Mangarina Kiob dan Sahari Ahmad. Mereka menerima hadiah wang tunai $2,000.


Kumpulan New Vocals, Tempat ketiga Bahagian Kumpulan.


Tempat ketiga Bahagian Kumpulan jatuh kepada Kumpulan New Vocals daripada Subang Jaya, Selangor yang dianggotai oleh dua orang lelaki dan dua orang perempuan iaitu Dzulkeflee Zakaria, Mohamad Johar Jaafar, Puteri Nordiana Megat Baharuddin dan Rafiah Khalid. Mereka menerima hadiah wang tunai $1,500.


Sebahagian daripada para penonton yang menyaksikan Pertandingan Akhir Bintang RTM 1980 di Auditoruim Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur termasuk Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Hanya seorang peserta lelaki sahaja yang terpilih masuk ke Pertandingan Akhir Bintang RTM 1980 ini iaitu Khoo Chong Teng daripada Melaka.

Sebarang maklumat tambahan mengenai Juara Bintang RTM 1980 ini amatlah dialu-alukan.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid IX, Bil. 99, 1981.


*Simbol '$' menunjukkan nilai wang pada ketika itu.


16 June, 2011

Jamal Abdillah Juara Bintang RTM 1979


Pertandingan Akhir Bintang RTM pada malam 8 Januari 1980 telah disiarkan secara terus menerus dalam warna ke seluruh negara. Jamal Abdillah, bekas penyanyi Kugiran T. Road Band, telah berjaya menyandang gelaran Johan Bintang RTM '79 dalam bahagian solo mengalahkan enam penyanyi lain.


Johan Bintang RTM '79, Jamal Abdillah menerima hadiahnya daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Jamal yang baru berumur 20 tahun pada waktu itu berazam untuk menjadikan lapangan nyanyian sebagai satu profesion dan berharap untuk menjadi penghibur popular pada suatu hari kelak. Setakat ini Jamal telah menerima beberapa tawaran daripada syarikat piring hitam tetapi belum lagi membuat sebarang keputusan. Walau bagaimanapun, beliau membayangkan ingin mendapat bimbingan daripada komposer Ahmad Nawab untuk mencapai cita-citanya.


Jamal Abdillah (Johan bahagian solo).

Mengenai wang kemenangannya sebanyak $2,000, beliau mengatakan ia akan membuat sedikit kenduri kesyukuran dan bakinya akan digunakan untuk pakaian bagi melengkapkan diri menyanyi di pentas dan sebagainya.


Lanny Lim Mui Lan (Naib Johan bahagian Solo).

Sementara itu pemenang tempat kedua, Lanny Lim Mui Lan, seorang pendidik yang menjadi Naib Johan (kalah hanya dengan satu mata sahaja) menyatakan yang dia akan terus mencuba lagi bakatnya di bidang seni suara sehingga dia betul-betul berjaya. Walaupun bidang seni suara menjadi minatnya, namun tugasnya sebagai seorang guru masih lagi menjadi keutamaan baginya dan "nyanyian jatuh tempat kedua", kata Lenny.


Flora Santos (Tempat ketiga bahagian Solo).

Flora Santos, 17 tahun, penyanyi daripada Sabah agak berpuas hati mendapat tempat ketiga. Flora mula mengasah bakatnya semasa berada dengan Kumpulan D'TUAREAN dan ekoran daripada itu, Flora terus bergiat sehingga berjaya mewakili negeri Sabah pada tahun tersebut. Beliau akan terus mencuba lagi sehingga berjaya menjadi johan.

Bagi bahagian solo, Johan menerima $2,000, Naib Johan $1,500 dan tempat ketiga $1,000. Tiga hadiah sagu hati sebanyak $400 telah diterima oleh Mohd Najib Abd Hanif (Najib Hanif), Pinny Mohd Radzi dan M. Dzulkarnean.


Kumpulan OFYZA (Johan bahagian Padu Suara).

Kumpulan OFYZA dengan ahli-ahlinya seramai 5 orang iaitu Omar Bakar (ketua), Faridah Bee Kader Mydin, Yahya Ismail, Zulkifli Muhammad dan Azizah Atan kesemuanya daripada Pulau Pinang melahirkan perasaan gembira mereka kerana tidak menyangka langsung akan muncul sebagai juara bagi bahagian padu suara.

Kumpulan ini berazam menggiatkan lagi usaha mereka di bidang seni suara dengan menyertai pertunjukan pentas dan kutipan amal yang mungkin diadakan jika mereka diundang. Wang yang mereka menangi sebanyak $2,500 akan mereka belanjakan untuk keluarga dan rakan-rakan di Pulau Pinang.


Kumpulan K.S '5' (Naib Johan bahagian Padu Suara).

Kumpulan K.S '5' dari Sarawak juga tidak menyangka yang mereka boleh mencapai kejayaan sebegitu rupa. Ketua kumpulan, Mohd Zain Rasit, memberitahu bahawa mereka ingin meninggikan lagi mutu persembahan mereka dan terus berkecimpung dalam alam muzik tanah air di masa akan datang. Kumpulan ini yang mendapat tempat kedua menerima wang tunai sebanyak $2,000.


Kumpulan Sea Legs Department (Tempat Ketiga bahagian Padu Suara).

Tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan Sea Legs Department daripada Sabah. Nama yang sungguh ganjil ini adalah ilham daripada sejenis pil perjalanan (Sea Legs) dan persetujuan untuk menggunakan nama ini diambil oleh tiga orang anggota kumpulan ini iaitu Leonard Lejaim Ijim, Ledy Wong dan Philip Kating yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Walaupaun agak kecewa kerana hanya mendapat tempat ketiga, mereka berazam akan mencuba lagi pada tahun berikutnya. Kumpulan ini menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000.

Kumpulan MARS daripada Pahang mendapat hadiah sagu hati sebanyak $500. Mengikut salah seorang daripada kumpulan itu, jika mereka masih lagi bertugas di tempat yang sama iaitu di Kuantan, mereka akan mencuba nasib mereka sekali lagi pada tahun berikutnya.

Lima anggota jemaah hakim terdiri daripada Ahmad Nawab, Frankie Cheah, Puan Beh, Rahman Rahmat dan Ooi Eow Jin berpendapat mutu bagi pertandingan tahun ini adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Showmanship yang baik dan harmony yang begitu teratur menunjukkan bahawa para peserta pada tahun itu membuat persiapan dan latihan yang gigih untuk pertandingan akhir ini.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid VIII, Bil. 87, 1980.

*Simbol '$' menunjukkan nilai mata wang pada ketika itu.


11 June, 2011

Bintang RTM 1978


M. Rizal yang telah diumumkan sebagai johan Bintang RTM '78 dalam bahagian solo memang telah menjadi ramalan ramai. Kemenangannya banyak bergantung kepada personaliti dan gaya showmanshipnya yang tersendiri. Ini jelas semasa beliau bergaya dengan lagu kedua-duanya, satu lagu medley "Isebella" dan "Abang Beca". bakat seninya mungkin diwarisi daripada ibunya yang juga seorang pelakon bangsawan pada tahun-tahun silam.


Johan Bintang RTM 1978 bahagian solo, M. Rizal dengan piala kemenangannya. Di sebelah beliau ialah YB Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat.


Semenjak kemenangannya banyak tawaran telah diterima oleh Rizal. Berlakon di dalam filem, membuat rakaman di radio dan TV, tawaran menyanyi di kelab malam dan juga membuat piring hitam tempatan.

Dengan kemenangan sebanyak $2,000 (pada waktu itu) M. Rizal akan membelanjakan sebahagian daripadanya untuk kenduri kesyukuran dan selebihnya akan disimpan untuk kegunaan masa depan terutamanya di bidang seni suara yang sangat-sangat diminatinya.


Muhaini Suratman yang menjadi hot favourite pada mulanya telah mendapat tempat kedua. Dengan cara yang simple dan penuh kesederhanaan beliau dapat mendendangkan lagunya terutama lagu "Burung Pungguk" dengan berkesan sekali. Muhaini yang bertugas sebagai seorang kerani dan telah mempunyai seorang cahaya mata menganggapkan kemenangannya satu rahmat dan ini akan memberi perangsang kepadanya untuk meninggikan lagi seni suaranya di masa hadapan.

Muhaini yang telah begitu lama berkecimpung di bidang nyanyian baharu kali ini telah mendapat kejayaan yang begitu cemerlang walaupun katanya, "Saya pernah juga menang beberapa pertandingan tetapi cuma di peringkat sekolah dan daerah sahaja". Muhaini berazam kuat untuk mendapat kejayaan yang lebih cemerlang dari sekarang ini.


Penuntut Tingkatan Tiga dari Sekolah Convent Ava Maria Ipoh, Chang Kim Fong berjaya menduduki tempat ketiga. Kejayaannya agak mendukacitakan kerana di saat-saat kegemilangannya ayah kesayangan Kim Fong tidak dapat bersama. Kata Kim Fong ayahnya telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu dan sekarang beliau tinggal bersama ibunya sahaja. Wang kemenangannya sudah tentu akan disimpan untuk perbelanjaan sekolah dan apabila tamat nanti beliau akan meneruskan kegiatannya di bidang nyanyian dengan lebih cergas lagi.

Sebaik sahaja Kim Fong diumumkan berjaya mendapat tempat ketiga, sebuah syarikat piring hitam yang mengedarkan lagu-lagu Cina yang terkemuka telah menawarkan kontrak nyanyian kepadanya. Tetapi sehingga sekarang beliau masih belum memberikan jawapan yang pasti. Kata Kim Fong, "Saya lebih utamakan pelajaran saya dan kemudian barulah menyanyi".


Dalam bahagian kumpulan, The Crescendos gabungan empat suara dari Sarawak telah menjadi johan. Kumpulan yang dianggotai oleh Junainah Suleiman, Kamil Salim, Husni Eddy dan Julai Alan telah menyampaikan dua buah lagu ciptaan sendiri iaitu "Siapa Dia" dan "Ibu Sayang'. Kemungkinan ini menyebabkan kemenangan mereka. Boleh dikatakan kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian semuanya setanding dan jika diukur dari poise dan personaliti, tidak syak lagi Nada Budaya yang mendapat tempat ketiga mengatasi kumpulan-kumpulan lain.


Kumpulan Par-J Square terdiri daripada lima orang penyanyi dari Tawau, Sabah telah biasa bertanding di Rancangan Bintang RTM secara perseorangan tetapi inilah kali pertama mereka bertanding secar kumpulan dan ini tidak mengecewakan. Walaupun baru sembilan bulan ditubuhkan, tetapi kejayaan mereka menduduki tempat kedua ini amatlah membanggakan.


Nada Budaya terdiri daripada Suhaimi Mohd Zain, Ali Khan, Mahmud, Fadizala dan Norhayati adalah artis-artis daripada Kompleks Budaya yang telah mendapat tempat ketiga. Kumpulan ini sungguh menarik dengan cara stage personality mereka dan ini tidak hairan kerana mereka ini terdiri daripada penari-penari terkemuka negara. Ramai berpendapat jika mereka menguasai suara dan harmoni yang betul, sudah tentu kedudukan mereka akan lebih baik. Kemenangan tempat ketiga pada tahun ini akan mendorong dan menambah azam Kumpulan Nada Budaya mencuba nasib lagi pada tahun hadapan.


Bagi pertandingan akhir ini, 6 peserta akan dipilih daripada Semenanjung Malaysia. Empat mewakili bahagian Solo dan dua di bahagian Padu Suara. Manakala untuk Sabah dan Sarawak, tiap-tiap bahagian (Solo dan Padu Suara) akan diwakili oleh seorang peserta. Ini bermakna kesemuanya 10 peserta telah mengadu nasib di peringkat akhir ini.


RTM telah menyediakan hadiah yang menarik seperti wang tunai dan piala pusingan kepada semua peserta yang mengambil bahagian:

Bahagian Solo:

Tempat Pertama: $2,000 serta piala pusingan.
Tempat Kedua: $1,500.
Tempat Ketiga: $1,000.
Hadiah Sagu Hati: $400 setiap seorang (x3).

Bahagian Padu Suara:

Tempat Pertama: $2,500 serta piala pusingan.
Tempat Kedua: $2,000.
Tempat Ketiga: $1,500.
Hadiah Sagu Hati: $500 setiap seorang (x1).


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'