Showing posts with label Barang Lama. Show all posts
Showing posts with label Barang Lama. Show all posts

31 May, 2011

Wisel Polis Dulu-dulu


Setelah kita melihat butang polis dulu-dulu, untuk entri seterusnya, kita ikuti pula kisah mengenai wisel polis dulu-dulu. Seperti juga butang polis, adalah dipercayai bahawa wisel polis ini juga telah digunakan sejak tahun 1950-an lagi iaitu hampir 50 tahun yang lalu.


Sepenuhnya adalah "wisel" yang sebenar tanpa sebarang bebola di dalam yang sudah tentu memerlukan tiupan angin yang lebih kuat bersesuaian dengan teknologi pada waktu itu. Diperbuat oleh 100% logam tulen yang tahan karat serta mempunyai kadar berat yang bersesuaian dan boleh dikilatkan ke tahap maksima dengan menggunakan autosol.


Panjangnya ialah kira-kira 8cm dan berbunyi nyaring jika ditiup dengan menggunakan teknik yang betul. Amat tidak bersesuaian jika wisel ini digunakan oleh polis trafik sekarang memandangkan bunyinya tidaklah senyaring wisel fox atau wisel yang berbola di dalam.

Tidak dapat dipastikan pula wisel ini buatan daripada negara mana kerana tiada sebarang catatan mengenai itu. Tetapi berdasarkan kualiti yang ditunjukkan serta kronologi penggunaannya oleh anggota polis sejak 50 tahun yang lalu, adalah dipercayai wisel ini buatan England, sama seperti butang baju sebelumnya.


Wisel ini biasanya akan diikat pada rantai atau tali wisel lalu dimasukkan ke dalam poket baju atas. Biasanya digunakan hanya untuk perhiasan kerana memang tidak pernahpun dilihat atau dikisah di dalam drama 'Gerak Khas' arahan Dato' Yusuf Haslam anggota polis akan meniup wisel ini ketika mengejar penjenayah atau dalam keadaan kecemasan. Kecualilah anggota polis trafik yang memang cukup sinonim dengan wisel walaupun bukan jenis wisel yang ini.


Tertera perkataan "Police" pada wisel ini yang membuktikan secara fizikal bahawa wisel ini sememangnya telah digunakan oleh anggota polis.. He.. he..


Butang Polis Dulu-dulu


Entri kali ialah mengenai butang baju anggota PDRM yang pernah digunakan pada tahun 1950-an. Butang baju yang berusia lebih 50 tahun ini masih lagi disimpan untuk tatapan generasi kini yang mungkin tidak pernah dipedulikan, namun ia masih mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri...


Bersaiz sebesar kira-kira syiling 10 sen, tertulis perkataan "Polis Diraja Persekutuan" beserta imej dipercayai seekor harimau berdasarkan kepada lakaran belang pada badannya.


Mengikut sejarahnya:

Hampir setahun selepas Hari Kemerdekaan, iaitu pada 24 Julai 1958, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abd Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamad telah berkenan mengurniakan gelaran 'Diraja' kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu.

Upacara ini dijalankan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur. Mulai dari saat itu pasukan polis dikenali dengan nama "Polis Diraja Persekutuan" atau "The Royal Federation of Malayan Police" dan pada 1963 ditukar kepada Polis Diraja Malaysia.


Bahagian belakang butang yang tertulis perkataan "Birmin" dan "London".


Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai PDRM ini, silalah ke: PDRM/Wikipedia


08 April, 2011

Mi Kolok vs Kolok Ribbon


Bahang ke Sarawak masih lagi terasa, keenakan mi kolok masih lagi belum hilang seakan-akan masih melekat di kerongkong ini... Apabila menyebut perkataan 'kolok', maka tiba-tiba teringatlah pula kepada kolok ribbon (ribbon mesin taip) yang memang cukup familiar dengan pekerja pejabat dan pengguna mesin taip suatu ketika dahulu terutamanya di tahun 1970-80-an di mana pada waktu itu penggunaan komputer tidaklah meluas seperti sekarang ini.


Ketika mesin taip masih lagi merupakan medium utama untuk menulis dokumen, para pengguna tidak dapat tidak tentunya pernah menggunakan ataupun sekurang-kurangnya melihat kolok ribbon ini.


Malangnya bagaimana rupa ribbon ini tidak dapatlah pula BR paparkan di sini kerana yang ada hanya tinnya sahaja. Penjelasan ringkas mengenai kolok ribbon ini ialah ia serupa sahaja seperti ribbon pencetak dot matrik cuma ia dimasukkan ke dalam golongan di kiri dan kanan mesin taip.


Teringat lagi BR ketika menuntut di salah sebuah institusi di tahun 1980-an di mana mesin taip merupakan teman setia sehingga jam tiga pagi semata-mata untuk menyiapkan assignment.

Maka terjadilah seperti ayam mematuk (menggunakan satu jari) ketika menaip dan kadangkala jari pernah terlekat di celah-celah button kerana terbabas ketika menekan. Berbanding dengan sekarang, komputer dan pencetak adalah satu kemestian yang memang banyak membantu dalam apa jua tugasan terutamanya yang melibatkan dokumen.


Made under licence from kolok manufacturing company limited England. Pour ouvrir inserez riece de monnaie dans rainure et tournez. Bahasa apa ini? Lebih kurang membawa maksud untuk membukanya masukkan syiling ke dalam lurah dan pusing... He.. he..


Bersama pupusnya penggunaan mesin taip, sekali gus terpupuslah juga penggunaan ribbon ini. Kepada pembaca generasi muda, sekiranya anda masih ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai mesin taip dan ribbonnya ini, buatlah lawatan ke ke mana-mana pejabat kerajaan yang memerlukan pengisian borang seperti Pejabat Tanah dan Galian, JPJ, Imigresen, Kastam dan sebagainya kerana di situ pastinya terdapat petition writer atau penulis rayuan (biasanya duduk di bawah payung) yang masih menggunakannya.

10 March, 2011

Mesin Jahit Singer Blues...


Inilah mesin jahit Singer milik keluarga yang masih berada di kampung. Mesin jahit jenis ini lebih dikenali sebagai 'mesin jahit kaki' kerana pergerakan mesin digerakkan oleh kaki yang digoyang-goyang di bawahnya. Terdapat juga 'mesin jahit tangan' kerana pergerakan mesin akan digerakkan oleh tangan yang akan memusing-musingkan roda di atasnya yang mempunyai tombol pemegang.


Pada suatu masa dahulu jenama Singer ini memang sinonim dengan mesin jahit. Bila sebut sahaja "Singer" tentulah mesin jahit yang akan dibayangkan. Berbeza dengan sekarang di mana jenama Singer ini telah meliputi berbagai jenis perkakasan elektrik hatta perabot sekalipun.

Untuk pengetahuan, masih jahit Singer ini masih boleh berfungsi dengan baik sehingga kini. Tetapi pada waktu ini memang sudah jarang-jarang digunakan lagi memandangkan mata emak pun sudah kurang 'terang' untuk menjahit. Sungguh tahan lasak kerana masih boleh bertahan sehingga kini dan rasanya usianya telahpun melebihi 50 tahun.


Mesin jahit ini boleh dilipat dan disimpan di dalam kabinetnya jika tidak digunakan. Selalunya mesin jahit ini juga boleh dijadikan sebagai meja hiasan dengan meletakkan berbagai hiasan seperti pasu bunga di atasnya. Satu pemandangan yang biasa kita lihat di kebanyakan rumah suatu ketika dahulu...


Dikeluarkan oleh The Singer Manufacturing Co. Made in Great Britain.


Semasa kecil-kecil dahulu di sinilah tempat BR bermain. Bersila di atas pemijak mesin jahit ini dan menjadikan besi yang bulat itu sebagai stering kereta. Setiap kali besi bulat itu dipulas, pemijak itupun akan bergerak dan betul-betul feel macam bawa kereta. Kepada pembaca yang sezaman, tentunya kenangan kita serupa... He.. he..


Roda yang disambungkan dengan tali kulit untuk menggerakkan roda di atas dengan menggoyang ke hadapan dan kebelakang pemijaknya. Perlu berhati-hati kerana silap-silap boleh 'terkapit' tangan...

Pada waktu ini mesin jahit elektrik pelbagai jenama lengkap dengan berbagai corak jahitan menjadi pilihan kerana ianya lebih pantas dan lebih mudah dikendalikan selain mudah untuk dibawa ke mana-mana.

Namun begitu mesin jahit lama seperti ini janganlah pula kita lupakan atau terus dibuang kerana bagi mereka yang kreatif, ia boleh dijadikan meja hiasan yang cantik. Pembaca boleh melihatnya di Koleksi Warisan Bonda sebagai salah satu contoh.


Seperti basikal juga, mesin jahit Singer ini juga mempunyai head badgenya yang tersendiri. Dapat dilihat head badgenya The Singer Manufacturing Co. Trademark. Berlambangkan benang dan jarum.


Sekotak perkakas mesin jahit Singer ini yang masih tidak berusik didatangkan bersama mesin jahit ini sewaktu ianya baharu dibeli tersimpan di dalam laci mesin. Banyak sangat alat-alatnya sampai tidak tahu apakah fungsi masing-masing.


Untuk menambahkan lagi kebluesan postingan ini, bersama-sama ini BR sertakan sekeping resit pembayaran bulanan pembelian sebuah mesin jahit Singer yang bertarikh 30.11.1970 iaitu kira-kira 40 tahun yang lalu di sebuah kedai wakil sah mesin jahit Singer yang bertempat di Petaling Jaya.

Jika dilihat kepada bayaran bulanan seratus ringgit pada waktu itu amatlah besar nilainya jika dibandingkan dengan nilainya sekarang. Mungkin satu kesimpulan dapat dibuat bahawa harga mesin jahit Singer ini memang mahal harganya pada waktu itu.


"Singer Menawan Keluarga Bahagia"


Moral Value: Setunai-tunai pembelian barangan Singer, akhirnya hutang dikatakan jua...


03 March, 2011

Tempayan Oh Tempayan Blues...


Apabila diamati kembali posting BR yang terdahulu iaitu Nasib Si Basikal Raleigh mengenai kisah basikal lama yang terbiar di rumah nenek di kampung, sememangnya tidak terlintas langsung mengenai beberapa buah tempayan lama yang tertempel di dalam gambar secara tidak sengaja itu.


Sehinggalah ditegur oleh Amiizaa2001 dan Pia Sara, barulah disedari bahawa terdapat beberapa buah tempayan lama di situ yang perlu diberikan perhatian kerana ianya juga mempunyai nostalgianya yang tersendiri yang boleh dikisahkan. Oleh itu pada kesempatan cuti Tahun Baru Cina yang lalu, BR kembali ke lokasi untuk membuat review khas mengenai tempayan-tempayan tersebut.. dan inilah kisahnya...

Untuk makluman, secara purata usia tempayan-tempayan ini adalah melebihi 70 tahun kerana semenjak BR 'celik-celik mata' lagi tempayan-tempayan ini telahpun wujud.


Tempayan ini mempunyai nostalgianya yang tersendiri di mana ia diletakkan di pangkal tangga rumah nenek bertujuan untuk membasuh kaki sebelum memasuki rumah. Gayungnya pula diperbuat daripada tempurung kelapa manakala sumber airnya pula adalah daripada air hujan yang ditadah melalui cucur atap.

Memang sudah menjadi kewajipan bagi rumah orang dulu-dulu mempunyai tempayan di hadapan rumah masing-masing dan BR sendiri pernah melalui pengalaman ini. Secara teorinya mungkin kerana pada waktu itu jalan-jalan kampung masih bertanah yang boleh mengotorkan kaki, berbeza dengan sekarang di mana banyak mini tar telah dibina di kampung-kampung dan pergerakan kita pun lebih kepada menggunakan kenderaan daripada berjalan kaki.


Kesan-kesan pasir yang terlekat pada tempayan ini akibat daripada tempias hujan menggambarkan bahawa tempayan ini memang sudah lama tidak digunakan lagi dan hanya terbiar sahaja di belakang rumah. Kesan-kesan pasir ini juga akan mengingatkan BR mengenai keindahan kampung yang suatu ketika dahulu adalah bertanah pasir yang putih, halus dan gebu seperti pasir di pantai.

Untuk pengetahuan, kebanyakan kampung-kampung di daerah Seberang Perai/Bukit Mertajam pada waktu itu adalah bertanah pasir halus. Masih terbayang di zaman kanak-kanak, apabila pulang ke rumah nenek di kampung BR sering bermain dengan pasir-pasir itu dengan membentuk berbagai objek seperti istana pasir, iglu dan sebagainya. Tidak hairanlah di mana-mana prasekolah hari ini memang khas diwujudkan kotak pasir untuk mengasah daya imaginasi murid.


Tempayan ini juga pernah digunakan oleh nenek untuk mengisi beras dan biasanya mulut tempayan ini akan ditutup dengan menggunakan pinggan terpakai sama ada daripada plastik ataupun ayan. 'Pot' atau penyukat berasnya pula diperbuat daripada tempurung licin yang mempunyai sukatan kira-kira satu tin susu pekat sekarang.


Trend hari ini boleh dilihat tempayan-tempayan ini di cari semula untuk dijadikan hiasan taman atau boleh juga dijadikan hiasan di dalam rumah. Bagi mereka yang kreatif, kain batik terpakai boleh digunakan untuk membaluti tempayan ini dan disembur 'clear' untuk menghasilkan tempayan yang bercorak batik, memang cantik dan penuh berseni.


Tempayan ini juga pernah dijadikan bekas oleh nenek untuk membuat jeruk rambutan kerana di sekeliling rumah nenek dahulu memang terdapat banyak pokok rambutan. Eeer.. anda pernah makan jeruk rambutan? Memang sedap, tetapi sudah sekian lama BR tidak pernah merasainya lagi...


Tempayan bermulut besar ini pernah diletakkan di dalam bilik mandi (orang kampung BR panggil 'panchoq'). Di sekitar tahun 1970-an dahulu memang BR pernah mandi dengan menggunakan tempayan ini selain daripada telaga atau perigi di kampung. Masih terbayang kesejukan pagi boleh membuatkan badan 'berasap' apabila mandi pada waktu itu.


Mulut tempayan ini boleh juga dijadikan alternatif sebagai batu pengasah pisau jika tempayan ini diletakkan di dapur... He.. he..


Apabila mengingati kembali kisah-kisah lalu bersama tempayan-tempayan ini, terasa syahdu pun ada kerana keadaan tersebut tidak mungkin akan kembali lagi. Tambahan pula apabila dilihat tempayan-tempayan yang pernah berjasa ini dibiarkan begitu sahaja berhujan berpanas di luar rumah di mamah usia dan cuaca...

Akhir sekali apabila bercerita mengenai tempayan ini maka teringatlah BR kepada seorang guru sejarah yang bernama Puan Tempawan yang suka pot pet pot pet sehinggakan pelajar-pelajar menggelarnya mulut tempayan. Dimanakah beliau sekarang? Mungkin sudah lama bersara.


Moral Value: One day in your life, you'll remember a place, someone touching your face, you'll come back and you'll look around...



22 February, 2011

Ketam Yang Tidak Boleh Dimakan...


Arakian tersebutlah satu kisah di sebuah negeri antah berantah tinggallah seorang raja yang hanya boleh berkata-kata sepatah perkataan sahaja sehari adanya. Maka pada suatu hari datanglah mamak Bendahara merafak sembah membawa 3 perkhabaran kepada baginda.

Adapun perkhabaran itu seperti berikutlah adanya:
1. "Tuanku, padi di dalam negeri Tuanku sudahpun masak."
2. "Tuanku, kayu yang Tuanku pesan sudahpun sampai;" dan
3. "Tuanku, apakah masakan untuk santapan Tuanku pada hari ini?"

Hatta, dengan hanya satu perkataan sahaja, apakah titah yang akan baginda berikan untuk mamak Bendahara itu?


Apabila terlihatkan ketam kayu di blog Yop Ahmad Tahir baru-baru ini, teringatlah kembali mengenai ketam kayu peninggalan arwah ayah BR di kampung. Hendak dikira usia ketam kayu ini tidaklah pula dapat dihitung kerana menurut sumber, sebelum BR dilahirkan lagi ketam kayu ini telahpun wujud di dunia yang fana ini.


Sewaktu kecil dahulu BR selalu bermain dengan ketam kayu ini kononnya sebagai kereta kerana bentuknya yang sedemikian rupa seakan-akan sebuah kereta F1. Untuk tujuan tersebut, mata ketam yang tajam itu hendaklah ditanggalkan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini. Hendak dijadikan sebuah motosikalpun boleh kerana terdapat pemegang di kiri dan kanan ketam kayu ini.


Kaedah penggunannya ialah dengan menolak-nolak ketam kayu ini di atas kayu yang hendak dilicinkan berulang-ulang kali secara sehala sehinggalah pengguna berpuas hati dengan tahap kelicinan kayu yang telah diketam sepertimana yang dikehendaki.


Bahagian bawah ketam kayu yang menampakkan mata ketam. Untuk makluman, ketam kayu ini sudah lama tidak pernah digunakan lagi berdasarkan kepada kekaratan mata ketam dan ke'sawang'an pada tahap melampau yang terdapat pada ketam kayu ini seperti yang boleh dilihat oleh pembaca.


Mata ketam ini adalah buatan daripada Jerman dan disendal oleh kayu tempatan bagi mengetatkan mata ketam serta melaraskan 'banyak ataupun sedikit' tahap ketaman pada kayu yang hendak diketam. Pengguna boleh memegangnya dengan sebelah tangan atau kedua-duanya mengikut kesesuaian dan keselesaan ketika mengetam.


Pada masa ini amat jarang sekali dilihat penggunaan ketam kayu tradisional ini kerana tempatnya telah diambil alih oleh ketam elektrik yang lebih pantas dan efisien dalam menyelesaikan tugas-tugas mengetam kayu.

Ketam kayu ini mungkin juga boleh dijadikan sebuah perhiasan yang cantik sekiranya diberikan sedikit sentuhan pemuliharaan dengan kemasan cat mahupun syelek ke atasnya.


Nota: Adapun perkataan "ketam" yang akan dititahkan oleh baginda bagi menyelesaikan ketiga-tiga perkhabaran mamak Bendahara tersebut...


21 February, 2011

Pisau 'Belit' vs Pisau Blade


Sewaktu kanak-kanak dahulu BR selalu terkeliru dengan perkataan "pisau belit" ini. Tertanya-tanya juga mengapakah ia dinamakan pisau belit, mungkin juga kerana sewaktu bercukur, si pencukur akan menggerakkan pisau ini di sekeliling tempat cukuran secara 'berbelit-belit' dengan wajah yang terherot-herot ataupun mungkin juga pisau belit ini adalah gambaran kepada 'pisau cukur' yang suka berbelit-belit apabila berkata-kata.

Tetapi setelah meningkat usia, barulah di ketahui bahawa yang sebenarnya perkataan pisau belit telah diambil daripada perkataan Inggeris iaitu 'blade' yang bermaksud bilah atau mata pisau. Seperti kata En. Mat, orang kita memang selalu menokok tambah perkataan Inggeris supaya menjadi lebih sedap bunyinya seperti contoh: cuba try, pisau blade, tong drum, pintu gate, kasut boot, baju coat dan sebagainya... He.. he..


Setelah melihat pisau cukur di blog Bro iaryylr tempohari, maka teringatlah juga bahawasanya BR juga turut memiliki dan mengumpul pisau cukur. Sebenarnya mengumpul jenama pisau cukur juga boleh dijadikan satu hobi yang menarik seperti juga mengumpul kotak mancis.

Jenama pisau cukur ini ialah Wilkinson Sword, iaitu sebuah syarikat pembuatan peralatan perkebunan dan pisau cukur yang telah beroperasi hampir 239 tahun yang lalu iaitu semenjak tahun 1772 lagi. Bersesuaian dengan jenamanya itu, logonya juga adalah berbentuk pedang bersilang.

Pisau cukur ini mempunyai tahap ketajaman yang maksimum kerana pada asalnya Syarikat Wilkinson Sword merupakan sebuah syarikat pembuatan pedang! Jadi tidak hairanlah jika pisau cukurnya juga setajam mata pedang...


Pisau cukur ini didatangkan di dalam slot plastik keras yang kemas dan menarik. Di dalam setiap slot ini hanya mempunyai 5 bilah pisau cukur sahaja dan 'kelama-manaan' pengunaannya adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti apa yang dicukur, kekerapan bercukur dan juga baka si pencukur.

Pisau cukur ini juga telah terbukti tahan karat kerana setelah berpuluh tahun ianya disimpan, masih menunjukkan tiada tanda-tanda ia tidak akan berkarat meskipun tidak berbungkus kertas seperti kebanyakan pisau cukur yang lain.


Di belakang slotnya tertera perkataan Made in England tu.., Pak Tam Elias, Pak Teh Shuib...


Terdapat juga kad yang memberikan peringatan kepada pengguna mengenai penggunaan mata pisau cukur yang terakhir (diletakkan sebelum mata pisau yang terakhir di dalam slot) dan mengingatkan pengguna supaya pergi membelinya pada pagi itu juga kerana rasionalnya ialah biasanya orang akan bercukur pada waktu pagi. Terdapat juga kad yang berbentuk info amaran mengenai tahap ketajaman pisau dan cara pengendaliannya yang betul.


Tidak ketinggalan juga di dalam slotnya juga terdapat beberapa kad bersaiz pisau cukur sebagai langkah pengiklanan yang berkesan mengenai lain-lain produk keluaran syarikat Wilkinson Sword ini seperti knifecut pruner, sword shear dan sebagainya.


Jenama Wilkinson Sword ini masih lagi dijual tetapi di dalam bentuk packaging yang baharu. Sungguhpun demikian, tidak dapat dipastikan pula sama ada ia masih lagi berada di pasaran kita atau tidak.

Free your skin...

Untuk maklumat lanjut mengenai Wilkinson Sword ini, pembaca bolehlah ke: Wikipedia/Wilkinson Sword


Moral Value: Emak selalu pesan jangan main pisau, nanti luka jari...


14 January, 2011

Pisau Cukur Gillette


Jenama Gillette sememangnya sudah tidak asing lagi kepada kita semua terutamanya kepada kaum bapa yang sering menggunakannya untuk bercukur. Entri kali ini sama-samalah kita ikuti sebuah pisau cukur Gillette yang pernah digunakan di tahun 1970-an. Kepada pakcik-pakcik dan abang-abang yang pernah menggunakan pisau cukur ini tentunya akan mengembalikan semula kenangan ketika mula-mula belajar bercukur...


"The Best a Man Can Get"


Tertera dengan jelas Gillette Made In England di bahagian belakang pisau cukur... Mak Ngah Som, Pak Tam Meli...


Nampak kemas dengan 100% daripada keluli tahan karat dan berat ketika mengendalikannya. BR sendiripun pernah 'terluka' ketika pertama kali berjinak-jinak dengan bercukur...


Bahagian untuk mengisi mata pisau cukur boleh dibuka dan ditutup dengan memusing di bahagian bawah tangkai pemegangnyanya. Semasa kanak-kanak dahulu memang asyik jika bermain dengan pisau cukur ini kononnya sebagai bunga sedang berkembang.


Juga terdapat perkataan Made In England di belakang kotak atau bekas menyimpan pisau cukur.


Bekas atau kotak menyimpan pisau cukur ini yang telah kelabu berkemungkinan besar akibat terlalu lama di atas almari set board. Kekelabuan ini mungkin juga disebabkan oleh taburan bedak talkum yang berterbangan ketika proses memakai bedak dilakukan..


Kepada ibu-ibu, pisau cukur ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai hadiah hari jadi atau hari ulang tahun perkahwinan khas untuk para suami masing-masing supaya penampilan suami tampak lebih kemas dan bergaya. He.. he..


Gillette® has been at the heart of men’s grooming for over 100 years. Each day, more than 600 million men around the world trust their faces and skin to Gillette’s innovative razors and shaving products. This commitment to giving men the very best is carried into our line of personal care products, including deodorant and body wash. All designed for the unique needs of men – helping them to look, feel and be their best every day


16 December, 2010

Lesung Kaki Yang Tidak Berkaki


Pulang ke kampung sepanjang cuti sekolah ini memang seronok terutamanya ketika BR mengambil kesempatan itu untuk menggeledah harta pusaka tinggalan nenek di kampung. Rupa-rupanya masih banyak lagi khazanah yang ditinggalkan untuk sama-sama kita lihat sambil mengimbau kenangan bersama alat-alat tersebut...


Inilah lesung yang pernah digunakan suatu ketika dahulu tetapi sudah dilupakan khidmatnya bersama perkembangan teknologi moden. Sebenarnya lesung ini adalah 'lesung kaki' yang berada di bawah rumah nenek tetapi telah dipisahkan daripada 'kakinya' kerana kakinya itu telah reput dimamah usia.


Dinamakan lesung kaki adalah kerana alu yang menumbuk bahan di dalam lesung ini adalah alu yang dipijak menggunakan kaki. Dibuat seperti jongkang-jongkit lengkap dengan tempat pemegang tangan sewaktu menumbuk lesung.


Untuk makluman, lesung kaki ini telah berusia hampir seratus tahun berdasarkan ianya telahpun wujud di bawah rumah nenek semenjak BR masih lagi kanak-kanak. Masih teringat ketika itu BR memang suka bermain dengan lesung ini dengan memijak alunya yang boleh juga dijadikan jongkang-jongkit.


Pada kebiasaannya ia digunakan untuk menumbuk padi, tepung atau melembutkan mengkuang untuk dibuat tikar. Pada waktu itu jiran-jiran pun turut datang untuk sama-sama menggunakan lesung ini. Keadaan akan menjadi bertambah meriah ketika di bulan puasa sewaktu jiran-jiran secara gotong-royong akan bersama-sama menumbuk tepung untuk membuat kuih raya terutamanya dodol.


Jika tidak digunakan, lesung ini akan ditutup dengan papan bagi mengelakkan bendasing daripada memasukinya manakala alunya akan dibiarkan menindih papan tersebut.


Tidak pastilah pula kayu apakah yang digunakan untuk membuat lesung ini tetapi pastinya ia dari jenis kayu yang kukuh dan keras sehingga boleh bertahan sekian lama. Untuk alu pemijaknya, BR masih ingat ia diperbuat daripada batang pokok jambu.


Kepada generasi kini yang hanya mengenali pengisar elektrik tentunya tidak pernah mengenali lesung ini apatah lagi jika ianya lengkap dengan kakinya. Untuk memberikan gambaran dengan lebih lengkap lagi bagaimanakah rupa sebenar lesung kaki ini memang BR tak pandai, tetapi dengan gambar-gambar lesung ini yang diambil dari pelbagai sudut, sedikit sebanyak dapatlah membantu walaupun kakinya atau alu nya telah tiada.

Kepada pembaca yang mungkin pernah mengalami pengalaman menggunakan lesung kaki ini, dapatlah kiranya kita berkongsikan pengalaman-pengalaman tersebut...


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'