Showing posts with label Artis. Show all posts
Showing posts with label Artis. Show all posts

22 April, 2013

Alleycats


Kumpulan muzik yang dianggotai oleh tiga orang pemuzik keturunan India dan dua keturunan Cina. Merupakan kumpulan muzik pop paling lama bertahan dan terus kekal sehingga ke hari ini. Alleycats ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1968 iaitu 45 tahun yang lalu.

Pengasas kumpulan terkenal ini, David Arumugam, penyanyi utama dan pemimpin Alleycats merupakan penyanyi bukan Melayu yang paling diminati di negara ini. Popularitinya terus bertahan sehingga kini meskipun telah mula merakamkan album pertama pada tahun 1979.



45 tahun mereka bertahan, Alleycats kumpulan muzik bukan Melayu paling popular di negara ini. mereka sememangnya berbangga selain pencapaian cemerlang dalam muzik, juga satu-satunya kumpulan muzik paling lama bertahan.

Alleycats yang mengambil nama sempena nama sebuah tempat di Pulau Pinang iaitu Agar Road di mana terdapat banyaknya kucing buangan yang berkeliaran. Pada awal penubuhannya hanya bermain di kelab malam di sekitar Pulau Pinang. Sebelum mencipta nama di Malaysia, Alleycats terlebih dahulu telah mencipta nama bermain di beberapa kelab malam terkemuka di Denmark.

Pada awal penubuhannya kumpulan terdiri dari 7 orang pemuzik  iaitu David Arumugam (vokal), Loganathan Arumugam (vokal & percussion), Shanmuganathan (gitar utama), Tan Chin Hock (drum), Chester Anthony Passerella (saxaphone),  Khoo Fook Sin (keyboard), Frank Ong (gitar bass).

Banyak lagu dendangan Alleycats yang telah menjadi hit dan pernah menjuarai Lagu Pilihan Minggu ini. Antara lagu tersebut termasuklah yang paling diminati ramai, Hingga Akhir Nanti (1981), Sekuntum Mawar Merah (1982), Kerana Kau (1984), Andainya Aku Pergi Dulu (1982), Sampaikan Salam Cintaku (1987) di samping lagu-lagu hit yang lain. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan lagu-lagu mereka adalah bertemakan cinta dan kekecewaan.

Tidak seperti kumpulan-kumpulan muzik yang lain yang terus berpecah dan dibubarkan, Alleycats terus dapat bertahan dan mengekalkan populariti mereka kerana mengamalkan beberapa petua antaranya: saling menghormati, bertolak ansur, memahami perasaan dan berkongsi populariti.

Setakat ini Kumpulan Alleycats telah mendahalui kumpulan muzik tanah air kerana paling banyak menghasilkan album. Alleycats juga satu-satunya kumpulan muzik yang paling berjaya membuat jualan 50,000 unit kaset pada setiap album yang mereka hasilkan.




Tol Jalan Duta, Pintu masuk Kuala Lumpur dari arah utara seolah-olah menyambut kedatangan dengan lagu "Senyumlah Kuala Lumpur"...


Moral Value: Only those who have hurt and lost or have been sad and disappointed know how to truly comfort and forgive another in the same circumstances.


Sumber:  Ghulam Jie M Khan, (1990). Rekod-rekod Dunia Di Malaysia (5), Kluang, Johor: Ainna's Publications.

Maklumat lanjut juga boleh diperoehi di: http://www.alleycatsmalaysia.com/index.html

13 June, 2012

Sudirman Melaka


Kira-kira 24 tahun yang lalu tentunya anda masih ingat dengan penyanyi atau bakat baru yang menerima jolokan Sudirman Melaka yang merupakan salah seorang anggota dari Kumpulan Muhibah Madu Lebah iaitu Kenny Lee.


Satu keistimewaan Kenny atau Sudirman Melaka ini ialah meniru suara dan gaya Allahyarham Sudirman. Malah wajah dan gayanya juga lebih mirip dengan rupa Allahyarham Sudirman. Untuk pengetahuan pembaca, beliau juga telah dengan rasminya menjadi keluarga New Southern Records (NSR) setelah menandatangani kontrak selama tiga tahun.


Kenny mula dikenali ramai apabila beliau menyertai rancangan JUARA terbitan TV Malaysia bersama Kumpulan Muhibah Madu Lebah. Kumpulan ini telah menjadi juara selama dua rancangan iaitu rancangan yang keenam dan ketujuh.

Sebelum menyertai JUARA, Kenny pernah mengambil bahagian dalam rancangan terbitan Radio Malaysia Melaka dan telah berjaya menjadi juara dalam Pertandingan Bakat Nyanyian Hari RTM Ke-40 di Melaka pada tahun 1986. Di samping itu, beliau juga pernah diundang mengambil bahagian dalam rancangan khas sempena Gerakan Cintai Bahasa Kita iaitu Konsert Emas Gemaria.


Kenny yang sekarang berusia 50 tahun pernah menjadi pengusaha kebun dan perusahaan pokok bonsai di Melaka. Beliau meminati Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah dan Allahyarham P. Ramlee.

Album pertama Kenny yang berjudul Anak Desa Melaka turut memuatkan empat lagu dendangan Allahyarham Sudirman iaitu Merisik Khabar, Anak Gembala, Basikal Tua dan Milik Siapakah Gadis Ini serta lagu baru Joget Melaka.


Moral Value:"Yesterday is history, tomorrow is a mystery. Today? Today is a gift. That is why we call it the present." - Master Wugui from Kung Fu Panda.

14 May, 2012

Adam Ahmad


Pada tahun 1983 lahirlah album "Untukmu Sayang" di bawah label Omry Records, sebuah syarikat piring hitam kepunyaan bumiputera di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur telah membuktikan bahawa kaum bumiputera juga berkemampuan dalam bidang ini.

Secara tidak langsung ini akan menambah dan memberi peluang yang banyak kepada bakat-bakat baru untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam mereka di bidang seni suara. Album "Untukmu Sayang" terbitan Omar Taib dan nyanyian pendatang baru Adam Ahmad merupakan tapak permulaan bagi Omry Records menceburi dan mencari pengalaman dalam bidang ini.


Adam Ahmad, 19 tahun, berasal dari Johor Baharu merupakan rekording artis PERTAMA diberi peluang merakamkan album pertama Omry Records.

Sebenarnya Adam bukanlah orang baru dalam bidang seni suara, beliau pernah mencipta lagu-lagu untuk penyanyi Syarikat Polygram seperti "Di Hari Persandinganmu" nyanyian Yunizar Hoessein dan "Di Pantai Cinta Berahi".


Penyanyi muda ini mula berjinak-jinak di bidang nyanyian sejak di bangku sekolah lagi. Di samping boleh menyanyi, Adam juga boleh bermain alat muzik seperti gitar dan piano. Adam yang pendiam orangnya meminati lagu-lagu berirama sentimental.

Di sebalik rakaman album pertama Adam Ahmad ini, ramai yang tidak mengetahui kisah di sebaliknya. Ketika di bilik rakaman, Adam tidak menghadapi masalah tetapi beliau terpaksa menghadapi satu pengalaman pahit dan menyayat hati kerana ibu kesayangan telah meyahut panggilan Illahi. Adam dengan perasaan sedih tapi tabah hati meneruskan rakaman dengan hati yang sayu.


Omar Taib selaku penerbit album sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat yang berguna kepada Adam sepanjang rakaman dijalankan. Atas galakan ini, Adam merasakan hatinya tenteram dan dapat meneruskan rakaman dengan sempurna.

Pada keseluruhannya album sulung Adam ini telah berjaya diterbitkan dengan sepuluh buah lagu:

MUKA SATU:

Untukmu Sayang
Othman Mohamed / Adam Ahmad

Mahu Kutemu Tapi Malu
Omar Taib / Aliah Ahmad

Baru Kini Ku Mengerti Makna Cinta
Adam Ahmad

Mawar Idaman
Omar Taib / Aliah Ahmad

Pertemuan Di Malam Hari Lahir Mu
Othman Mohamed / Adam Ahmad


MUKA DUA:

Di Mana Cahaya
Othman Mohamed / Adam Ahmad / Raja Kobat

Ku Ingin Kembali
Omar Taib / Aliah Ahmad

Bersamamu
Raja Kobat

Pergimu Ku Rela
Omar Taib / Aliah Ahmad

Lagu Si Anak Tani
Othman Mohamed / Adam Ahmad


********************************************


Adam Ahmad merupakan seorang penyanyi yang pernah popular di awal 1990-an. Banyak lagu popular beliau seperti "Rindu Yang Menghempas Hati", "Bersamamu", "Kau Pergi Jua", "Agar Dia Kembali" dan banyak lagi lagu yang membuai perasaan para remaja pada waktu itu.

Berbagai kisah suka dan duka yang kita dengar mengenai beliau, namun begitu, kehadirannya suatu ketika dahulu dalam industri hiburan tanah air sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan dan kenangan melalui lagu-lagu beliau yang sungguh mengesankan.

Di manakah beliau sekarang?


Moral Value:"Memories are what warm you up from the inside. But they're also what tear you apart".

28 March, 2012

Lily Patra


Kira-kira 22 tahun yang lalu... Lily Patra adalah nama yang tidak asing lagi kepada peminat drama swasta dan filem tanahair kita kini menjadi rebutan pengarah-pengarah dan penerbit-penerbit filem dan drama swasta.

Kebolehannya membawa berbagai watak inilah yang membuat dia dikenali ramai. Lily mula diperkenalkan melalui filem "Mr. Os" meletakkannya setanding dengan pelakon-pelakon terkenal.


Lily mendapat bimbingan dalam lakonan dari pengarah Azmi Othman dan Johari Yusoff. Anak sulung dari dua orang adik-beradik ini telahpun diberi peluang berlakon dalam empat buah filem, antaranya ialah "Perawan Malam", "Ujang" dan "Taktik" yang disiarkan oleh seorang pengarah dari Hong Kong.

Dalam filem ini Lily berlakon di samping pelakon Melissa, Alice Voon dan penyanyi Man Bai (Kumpulan Gersang) yang diterbitkan oleh Solid Gold Studio.


Lily adalah antara pelakon terlaris, setakat ini sebanyak sebelas buah drama swasta telah dilakonkannya. Antaranya ialah "Main-main Hantu", "Tuan Guru Mat Silat", "Driving School" arahan Othman Hafsham dan banyak lagi.


Secara peribadi, Lily adalah seorang gadis manis, manja dan peramah. Lily dilahirkan pada 6 November 1968 di Kuala Lumpur.


*************************************

Kepada pembaca seangkatan tentunya masih ingat lagi kepada pelakon Lily Patra ini. Namanya yang unik seakan bunyi Cleopatra ini memang cukup top di awal 1990-an. Sengaja BR paparkan kisahnya sebagai imbauan kenangan kepada peminat-peminat beliau sewaktu remaja dahulu. Pada waktu ini usia beliau telahpun mencecah 44 tahun tetapi terus menyepi tanpa khabar berita hatta berlakon sebagai emak-emak atau makcik-makcik dalam drama mahupun filem tempatan.

Di manakah beliau sekarang?


31 January, 2012

Rohana Jalil... Ada lagi!


Di suatu pagi yang hening.. kira-kira 24 tahun yang lalu di tahun 1988... Kemunculan album baharu Rohana Jalil memang sudah dinanti-nantikan oleh para peminat seni suara. Walaupun sebelum ini mungkin Rohana berhasrat untuk bersara dari bidang seni suara.


Rohana seolah-olah merajuk kerana album pertamanya "Pelarian" terbitan Allahyarham Taib Othman pada tahun 1982, keluaran AB Rekod dan album "Masih Dalam Ingatan" pada 1987 terbitan S. Atan keluaran Pustaka Muzik NSR juga kurang mendapat sambutan dari para peminat.

Kini hayatnya itu hanya tinggal kenangan setelah pihak NSR memberi peluang sekali lagi kepada Rohana untuk merakamkan albumnya yang terbaru "Rayuanku" yang mana telah mendapat sambutan hangat dari para peminat di seluruh tanah air.


Album ini benar-benar berjaya menempatkan Rohana di barisan artis rakaman popular masa kini. Ini juga membuktikan penyanyi yang sudah berkahwin masih dapat diterima dan popular di kalangan para peminat muzik.

Secara tidak langsung album "Rayuanku" berjaya menyekat dan memujuk Rohana Jalil bersara dari bidang tersebut.


Rohana masih diminati ramai, ini jelas terbukti dari penjualan album yang meningkat ke angka 15,000 unit dalam tempoh tidak sampai sebulan sejak dipasarkan. Dengan sambutan yang tidak terhingga dari para peminat, ia telah menguatkan azam Rohana untuk terus menyanyi dan bersama peminatnya selalu.

Kemunculan album keempat Rohana kali ini agak berbeza dari albumnya yang terdahulu. Rohana kembali dengan imej baharu. Terdapat beberapa perubahan dan pembaharuan baik dari segi bentuk lagu mahupun personaliti Rohana sendiri.

"Rayuanku" adalah album kedua dikeluarkan oleh Pustaka Muzik NSR untuk Rohana. Album ini diterbitkan oleh A. Ali komposer yang tidak asing lagi kepada kita yang pernah memenangi pencipta terbaik dalam pertandingan "Juara Lagu" pada tahun 1987.


Dengan sokongan kuat dari pihak NSR serta publisiti meluas dari media cetak dan elektronik telah meletakkan Rohana ke mercu kejayaan. Secara tidak langsung ia telah memberi semangat dan bersinar kembali dalam hidup Rohana.

Rohana mula melibatkan diri dalam bidang seni suara sejak dua belas tahun dahulu (tahun 1976). Beliau mengasahkan bakatnya menyanyi di kelab-kelab malam dan pub akhirnya beliau berjaya menjadi juara dalam Pertandingan Bintang RTM tahun 1980.


Album "Rayuanku" mempunyai lagu-lagu yang memenuhi selera para peminat dan sering berkumandang di radio dan menjadi siulan anak-anak muda.

Sebenarnya lagu-lagu dalam album ini yang dicipta oleh A. Ali ini adalah untuk didendangkan oleh Zaiton Sameon, tetapi selepas berlaku sedikit perselisihan faham antara A. Ali dan Zaiton, lagu-lagu tersebut telah diberikan kepada Rohana. Album ini dapat diterima oleh para peminat dan menjulang kembali nama Rohana sebagai rekording artis.

Dalam album "Rayuanku" terdapat sepuluh buah lagu iaitu:

Muka Satu

1. Rayuanku - A. Ali/Lukhman S.
2. Sempadan Kasih - A. Ali/Lukhman S.
3. Badai Kota - D. Hatta/Haron Abdul Majid.
4. Dalam Tangis Ku - A. Ali/Lukhman S.
5. Masihkah Kau Ingat Lagi - Peter Lim/Wan Maharudin.

Muka Dua

1. Biarku Undur Diri - Zahir C. Lubis/Lutfi Ismail.
2. Dalam Birunya Luka - Zahir C. Lubis/Zahir C. Lubis.
3. Penyakit Rindu - Mas Omar/Haron Abdul Majid.
4. Pandang Pertama - Sabri/Dayang Hartini.
5. Suatu Kebetulan - A. Ali/Lukhman S.


Moral Value: If all good things must come to an end, then do not worry. All bad things eventually would end too.

04 January, 2012

Malek Ridzuan


Pada mulanya Malek Ridzuan bercita-cita ingin menjadi seorang pemain dram yang terkenal di bidang seni muzik, tetapi semuanya ini berubah setelah Malek berjaya dalam satu ujian audition sebagai seorang penyanyi di salah sebuah syarikat piring hitam di Bandaraya Kuala Lumpur.


Malek Ridzuan di awal kemunculannya di tahun 1981 membawa imej bermisai.

Namun demikian dengan terlancarnya album sulungnya berjudul "Di Manakah/Sinaran Wajah Mu" pada tahun 1981, cita-citanya ingin menjadi seorang rekording artis turut terkabul.

Malek yang berusia 23 tahun ketika itu berasal dari Batu Laut, Banting Selangor. Beliau merupakan salah seorang anggota kumpulan LB Band di kampungnya yang dipimpin sendiri oleh ayahnya sejak tahun 1973.

Kumpulan ini menurutnya merupakan satu kumpulan di mana para ahlinya terdiri dari adik-beradik dan kaum keluarganya sendiri. Nampaknya Malek mempunyai darah seni yang semula jadi.


Untuk menambah pengalaman dalam bidang ini, Malek memberanikan diri berhijrah ke bandaraya Kuala Lumpur menyanyi dan bermain alat muzik di kelab-kelab malam. Dari situlah beliau menambah pengetahuannya dalam dunia seni yang diminatinya ini.

Sebelum itu, Malek pernah menganggotai beberapa kumpulan muzik antaranya ialah Tress Company, Pelabuhan Kelang dan The Kilat, Kuala Lumpur. Di samping menyanyi dan bermain dram, Malek juga pandai dan berkemampuan bermain alat-alat muzik seperti gitar dan organ.


Malek bergambar besama pencipta lagunya Ben Soepranto.

Akhirnya cita-citanya yang dicari-cari dan bakat yang semula jadi menampakkan cahaya dengan lahirnya album sulung beliau ini terbitan Life Record dengan sepuluh lagu yang menarik ciptaan
Ben Soepranto dan J. Risma serta diiringi oleh Band Free-Life.

Malek turut menyatakan harapannya agar album sulungnya ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari para peminat seni suara supaya beliau dapat melancarkan album-album yang seterusnya.


"Apa yang saya cita-citakan selama ini bukanlah mimpi lagi, tetapi sudah menjadi kenyataan hari ini," kata Malek riang di hari sidang akhbar pelancaran album sulungnya itu.

Menyentuh mengenai lagu-lagu di dalam album ini, kebanyakannya mirip kepada rentak Pop Indonesia.


Muka Satu

1. Di Mana Kah - J. Risma
2. Cinta Abadi - Ben Soepranto
3. Joget Budaya - J. Risma
4. Lupakan Lah - Ben Soepranto
5. Nasib Ku - J. Risma


Muka Dua

1. Gadis Kilang - J. Risma/Ben Soepranto
2. Sinaran Wajah Mu - Ben Soepranto
3. Kenangan - Ben Soepranto
4. Kerana Fitnah - J. Risma
5. Jangan Cemburu - J. Risma/Ben Soepranto


Malek Ridzuan juga telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (IMP) yang kini membawa gelaran Datuk. Beliau kini aktif dalam bidang perniagaan yang diceburinya yang telah menghadkan aktivitinya di bidang nyanyian.


Wajah terkini datuk Malek Ridzuan.

Lagu-lagu seperti "Sampai Disini" dan "Kelip-kelip Kusangka Api" sudah cukup untuk mengembalikan nostalgia kepada mereka yang pernah merasai kehidupan di awal tahun 1980-an. Suara mendayu Datuk Malek Ridzuan memang sungguh cool bagi mereka yang cool...

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Datuk Malek Ridzuan, pembaca bolehlah mengikutinya di Utusan Online/Datuk Malek Ridzuan melalui sebuah wawancara bertarikh 03.08.2009.

Album kedua Datuk Malek Ridzuan (1982) berjudul "Dendang Nasihat/Untuk Mu" telah melonjakkan nama beliau melalui lagu "Sampai Di Sini". Entah mengapa terasa sayu pula apabila mendengar lagu ini...


Moral Value: Sing me to sleep, I'll see you in my dreams...


22 December, 2011

Azlina Aziz


Memang benar kata pepatah, "bapa borek anak rintik" itulah dia si kecil molek Azlina Aziz lahir dari keluarga seni. Ibunya seniwati Normadiah, penyanyi dan bintang filem terkenal dalam tahun 1950-an. Begitu juga ayahnya seniman dan pengarah Aziz Jaafar.


Azlina menempuhi tiga cabang seni secara berperingkat sejak kecil lagi hingga menjadi gadis remaja yang memiliki berbagai kebolehan. Azlina menempuh liku-liku dalam arena seni dengan bakatnya sebagai penari, kemudian muncul pula sebagai pelakon dan kini sebagai penyanyi.


Seniwati Normadiah.


Dunia seni suara merupakan peringkat akhir dalam usaha menonjolkan bakatnya dalam bidang seni. Azlina sebagaimana yang kita ketahui adalah merupakan anggota penting dalam kumpulan penari ibunya Normadiah Dancers.


Seniman Aziz Jaafar.


Dalam seni lakonan, setakat ini Azlina telah turut mengambil bahagian dalam filem "Prebet Lapok" dan "Sumpah Semerah Padi". Walaupun peranan beliau di dalam filem-filem tersebut tidaklah besar, namun Azlina telah menampakkan bakatnya yang semulajadi.


Azlina kini memberanikan diri menapak setapak lagi ke arah kemajuan untuk menjadi seorang rekording artis dengan terlancarnya album pertama beliau yang berjudul "Kau Pergi Jua" pada tahun 1981.

Muka Satu

1. Kau Pergi Jua - Akhbar Nawab/Lydia.
2. Malam - Akhbar Nawab/Nordin Che Din.
3. Wajahmu Di Mana-mana - Akhbar Nawab/Lydia.
4. Andainya Bercinta - Akhbar Nawab/Nordin Che Din.
5. Jika Ditinggalkan - Akhbar Nawab/Lydia.


Muka Dua

1. Berpura-pura Sayang - Akhbar Nawab/Lydia.
2. Sirih Pinang - Tema Filem Sumpah Semerah Padi oleh Ahmad nawab/Ahmad Zaki.
3. Dewa Dewi - Osman Ahmad.
4. Ku Bahagia Keranamu - Akhbar Nawab/Lydia.
5. Ku Pinta Pengertianmu - Mazlan Manan/Rahmat Zaki.


Wajah Azlina Aziz sekarang.


Lagu yang sedap didengar ialah lagu "Dewa Dewi" yang pernah dipopularkan oleh ibunya seniwati Normadiah kerana suaranya saling tak tumpah seperti suara ibunya.


29 November, 2011

Nas Atea


Hidup di dunia ini banyak pancarobanya,
Suka duka, sedih gembira,
Disayangi dan dibenci,
Kita harus tabah dan cekal hati menghadapinya.

Begitulah nasihat Nas Atea seorang rekording artis baharu dalam dunia seni suara kira-kira 29 tahun yang lalu di tahun 1982.


Dengan kelahiran album sulungnya berjudul "Masih Ada Yang Sayang" di bawah label Guntur Records kini tercapailah sudah cita-citanya dan hasrat hatinya sejak dari kecil lagi untuk menjadi rekording artis yang diminati ramai.

Nasmalehan Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Nas Atea sahaja, berusia 23 tahun pada waktu itu dan dilahirkan di Mentakab, Pahang. Nas Atea telah lama menceburkan diri dalam bidang nyanyian. Beliau telah berusaha mengasah bakat bermula dari khemah majlis-majlis perkahwinan di tempatnya hingga membawa kepada pentas hiburan, pub, coffee house dan kelab malam.

Berkat usaha yang tidak mengenal penat dan jemu untuk mengejar cita-citanya, kini telah menjadi kenyataan apabila Guntur Records menawarkannya untuk menjadi rekording artis mereka yang pertama.

Nas Atea menyatakan lapangan nyanyian sudah tidak asing lagi baginya sejak beliau berusia sepuluh tahun. Bagi beliau, menyanyi di coffee house hanyalah semata-mata untuk merintis jalan di samping mencari pengalaman untuk menuju kejayaan.


Bukan Yuna dan Anna Raffali sahaja yang boleh bermain gitar, Nas Atea pun boleh sejak dahulu lagi..


Nas Atea sebenarnya telah mewarisi lapangan seni suara atas galakan dan tunjuk ajar dari kedua-dua orang tuanya, abang dan kakak-kakaknya. Menurut Nas Atea, beliau pernah menganggotai kumpulan muzik Mega yang pernah memasuki pertandingan juara kugiran pada tahun 1972 dan 1973. Di samping itu beliau pernah menjadi penyanyi tetap Avons Group di Mentakab, Pahang.

Kelunakan suara Nas Atea dalam menyampaikan berbagai corak dan irama lagu seperti lagu "Malam Syahdu" dan "Bagaikan Embun Pagi" ciptaan Ikhtiman Ismail menggambarkan kematangan beliau menyampaikan sesebuah lagu itu.

Manakala alunan dan melodi indah dalam lagu "Masih Ada Yang Sayang" dan "Sulaman Kata" ciptaan penerbit albumnya iaitu Afzainizam Ismail membuatkan beliau mempunyai potensi baik untuk menjadi seorang penyanyi popular.


Wajah Nas Atea sekarang.
(Imej carian Google)


Album pertama Nas Atea ini mengandungi sepuluh buah lagu iaitu:

Muka Satu

1. Malam Syahdu - Ikhtiman Ismail/Ally Noor.
2. Tetap Abadi - Afzainizam Ismail/Morzailan.
3. Masih Ada Yang Sayang - Afzainizam Ismail/Anir A.F.
4. Bunga Kasih - Nas Atea/Nas Atea.
5. Sulama Kata - Afzainizam Ismail/Hamzah Saidi.

Muka Dua

1. Kesyukuran (Nasyid) - Afzainizam Ismail/Indon.
2. Bagaikan Embun Pagi - Ikhtiman Ismail/Ally Noor.
3. Senyum Lah Sayang - Ikhtiman Ismail/Ikhtiman Ismail.
4. Pesta Hari Lahir - Ikhtiman Ismail/Ikhtiman Ismail.
5. Sendu Di Pagi Raya - Afzainizam Ismail/Syam.

Penerbit: Afzainizam Ismail.
Terbitan: Guntur Film Production Sdn. Bhd.
Edaran: Warnada Sdn. Bhd.
Susunan Muzik: Afzainizam Ismail bersama Ikhtiman Ismail dan Tik.

11 November, 2011

Rahim Maarof


Kerana minat yang begitu mendalam dan mendapat galakan dari kaum keluarga serta rakan-rakan seperjuangan, seorang anak muda sanggup meninggalkan jawatan sebagai pegawai kerani di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota semata-mata mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang rekording artis kira-kira 30 tahun yang lalu.

Kini harapan dan cita-citanya kian menyinar setelah berjaya menghasilkan album sulungnya berjudul "Kini Aku Sendiri" (More Than I Can Say) terbitan Life Records pada tahun 1981.


Beliau ialah Rahim Maarof seorang yang lemah lembut dan cepat mesra bila berbual. Rahim bercita-cita tinggi ingin menjadi seorang rekording artis profesional di tanah air kita.

Sebenarnya Rahim bukanlah orang baru di bidang seni suara tetapi telah melibatkan diri dalam bidang ini sejak di bangku sekolah lagi. Selama sepuluh tahun Rahim berusaha bersungguh-sungguh memperdalami bakatnya dalam seni suara dan pernah menyandang juara dalam pertandingan talentime di sekolahnya dan pertandingan menyanyi di Peyton Place, Petaling Jaya.

Rahim yang berusia 23 tahun pada waktu itu dan berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan merupakan anak keenam dari sebelas orang adik beradik. Sebelum menjadi rekording artis, Rahim sentiasa mendalami mutu nyanyiannya di kelab-kelab malam dan pub. Di samping menyanyi Rahim juga boleh bermain alat muzik seperti dram dan gitar.


Walaupun Rahim sudah mula bertapak untuk menunjukkan bakatnya di kelab-kelab malam dan pub, namun hati kecilnya masih belum puas selagi belum dapat membuat rakaman ke piring hitam. Dari galakan dan jasa baik rakan-rakannya yang banyak mendorongnya dalam bidang seni suara, Rahim terus berusaha.

Akhirnya dengan asuhan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh seorang pemuzik dan penerbit Ben Soepranto, Rahim berjaya mengeluarkan album sulungnya itu.


"Saya berhutang budi dan berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi perangsang terhadap saya dengan munculnya LP ini, terutamanya kepada Ben Soepranto kerana memberi peluang merakamkan LP saya ini."

Dalam album sulungnya terdapat dua belas lagu nyanyian Rahim dengan diiringi oleh Band Carcosa.

Muka Satu

1. Kini Aku Sendiri - saduran lagu "More Than I Can Say" nyanyian Leo Sayer
2. Geli Hati (J. Risma)
3. Hayalan Senja (O. Ghani)
4. Hanya Dalam Mimpi (O. Ghani)
5. Senja Di Pekan (O. Ghani)
6. Rintihan Anak (J. Risma)


Muka Dua

1. Dendang Patah Hati (O. Ghani)
2. Apa Salah Ku (O. Ghani)
3. Mengenang Mu (O. Ghani/Ben Soepranto/Rahim Maarof)
4. Aku Ke Kota (J. Risma)
5. Cinta (J. Risma)
6. Yati Penggoda (B. Soepranto)

Kepada pembaca yang pernah mendengar lagu "Kini Aku Sendiri" (More Than I Can Say), liriknya macam kelakar pun ada kerana terjemahan lirik yang hampir sama dengan lagu asalnya.

Rahim pernah memenangi Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 1990.

Sehingga kini Rahim masih lagi dapat bertahan dengan lagu-lagunya yang sedap didengar. Antaranya ialah "Istana Menanti", "Usang" dan "Cinta Kristal".


Moral Value: People cry, not because they're weak. It's because they've been strong for too long..

21 October, 2011

Flora Santos


Beliau merupakan seorang rekording artis dari Sabah yang pertama diberi penghormatan membuat rakaman ke piring hitam di Semenanjung Malaysia. Mula giat dan berjinak-jinak dalam arena seni suara sejak tahun 1976 lagi dan pernah menjadi anggota kumpulan padu suara D' Tuareans.


Dengan mendendangkan lagu "Doa Anak" dan "South Of The Border", Flora Santos telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan akhir Bintang RTM 1979. Kini Bintangnya mula menyinar apabila Flora ditawarkan untuk merakamkan lagu-lagu dengan syarikat piring hitam Life dengan album sulungnya "Doa Anak".


Dalam album ini terdapat 10 buah lagu, di samping lagu "Doa Anak", Flora akan mendendangkan lima buah lagu ciptaan oleh pencipta-pencipta tempatan. Dalam album ini Flora akan mendendangkan dua buah lagu Indonesia dan dua buah lagu copyright dari lagu-lagu barat. Beliau diiringi oleh Band D'Channel.

Muka Satu

1. Doa Anak - John Gaisah/John Gaisah.
2. Cintaku - Jamal Abdullah/Jamal Abdullah.
3. Kamaria - Copyright/S. Farisah.
4. Apa Dosaku - Faridah/F. Santos.
5. Ku Cinta Padamu - Copyright/S. Farisah.

Muka Dua

1. Kalau Terharu - Mahzan Manan/Mahzan Manan.
2. Tidurlah Anakku - Copyright/Neneng Susanti.
3. Joget Nasihat - Rosli/F. Santos.
4. Mizan Abangku - Osman Chani/Rahim Maarof.
5. Hatiku Masih Yang Dulu - A. Riyanto/Grace Simon.


Flora Santos mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Stella Maris, Tanjung Aru, Kota Kinabalu dan di Sekolah Menengah St. John, Tuaran, Sabah. dan pernah bertugas dengan Persatuan Budaya Sabah. Di samping itu Flora juga menjadi penyanyi dengan kumpulan D Impression.

Flora mempunyai tiga orang adik beradik - dua lelaki dan seorang perempuan. "Saya menyanyi ini ialah untuk membantu kehidupan keluarga dan bukan untuk mencari populariti."


Maklumat lanjut mengenai Flora Santos boleh dilihat di: Flora Santos


03 October, 2011

Group Kalibers


Group Kalibers begitulah nama sebuah kumpulan muzik yang dianggotai oleh empat orang pria serba boleh dalam bidang seni. Sebuah syarikat piring hitam tempatan iaitu Life Records telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan mereka kepada peminat muzik tanahair melalui album sulung yang berjudul "Menanti" yang telah diterbitkan pada tahun 1982.


Memang patut pun artis dulu-dulu tidak semewah artis-artis sekarang, harga bagi sebuah piring hitam pada waktu itu ialah $8.50.. hehe..


Anggota-anggota kumpulan ini terdiri dari Eddynor Ali, Abbysaifullah Ali, Eddy Ali dan Ann Sulaiman. keempat-empat mereka ini pula mempunyai hubungan persaudaraan. Dari hubungan persaudaraan inilah wujudnya nama Group Kalibers yang bermaksud "Kami Ahli Bersaudara".

Juga bermaksud serba boleh dalam arena seni iaitu menyusun muzik, mencipta lagu, bermain alat muzik dengan membaca nota dan juga menulis seni kata juga berlakon.


Eddynor Ali telah diberi tugas selaku penerbit bagi album pertama mereka merangkap penyusun muziknya. Sementara Abbysaifullah Ali diberi tugas sebagai jurucakap bagi kumpulan ini.


Terdapat 10 buah lagu yang dihasilkan sendiri oleh anggota-anggota kumpulan ini. Lagu-lagu tersebut ialah:

Muka Satu

1. Menanti - merupakan judul untuk album sulung mereka ini, dicipta oleh Eddy Ali dan Ann Sulaiman (berentak disco).
2. Liah Wajah Ibu - ciptaan Eddynor Ali.
3. Setelah - ciptaan Eddynor Ali (dangdut).
4. Pergi Tanpa Mu - ciptaan Abby Ibrahim (sentimental).
5. Hancur Cinta Seorang Pria - ciptaan Abbysaifullah Ali (ballads).

Muka Dua

6. Ku Coba Andai Kau Terima - ciptaan Eddynor Ali (sentimental).
7. Pemuzik Malang - ciptaan Eddynor Ali (sentimental).
8. Yang Kuasa - ciptaan Eddynor Ali.
9. Masa Remaja - ciptaan Eddynor Ali (berentak disco).
10. Kerana Kau - ciptaan Eddy Ali (dangdut).


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'