Followers

Showing posts with label khurafat. Show all posts
Showing posts with label khurafat. Show all posts

Saturday, April 6, 2013

Berubat Dengan Kaedah 'Menurun'






Soalan:

Ibu saya sakit terkena ‘buatan’ orang. Bolehkah saya membawanya berubat dengan bomoh yang menggunakan kaedah rawatan dengan cara  ‘menurun’ ?


Jawapan:

Setiap penyakit ada ubatnya. Sebagai seorang anak, memang menjadi suatu kewajipan untuk membantu ibunya yang berada dalam kesusahan dan kesakitan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian ialah mempastikan agar cara dan kaedah rawatan yang digunakan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Antara amalan salah yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini sehingga melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam perubatan.  Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud: ”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.

Sering-kali kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya yang akan datang meresap dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia. Oleh itu, sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin dan syaitan!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan ini.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menggunakan ‘perantaran’ sebagaimana yang dijelaskan. Oleh yang demikian,  ia tidak mendatangkan syirik kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama dengan baik.

Justeru, sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’, atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik.  Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’ sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya’.

Tuesday, January 26, 2010

Kepercayaan Khurafat pada Bulan Safar


Oleh: Ustaz Shauqi

Apabila tibanya bulan Safar terdapat segelintir umat Islam yang masih terbelenggu dengan amalan-amalan dan kepercayaan karut serta bidaah yang diamalkan dalam bulan Safar. Walaupun sekarang amalan tersebut tidak begitu ketara, namun masih ramai yang percaya bahawa bulan Safar membawa celaka dan sial. Justeru, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang menggunakan kertas atau papan yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu dan mandi dengan air yang direndam ayat-ayat berkenaan untuk menolak bala.

Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah. Safar bermaksud kosong. Ia juga memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan `safir'. Telah dinyatakan juga bahawa dinamakan bulan Safar ekoran kebiasaan orang Arab yang selalu meninggalkan kampung halaman untuk berperang dan mengembara pada bulan tersebut.

Pada zaman Jahiliah, orang yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa petanda baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, mereka akan menangguhkan perjalanan kerana mereka beranggapan bahawa bala akan menimpa sekiranya perjalanan diteruskan.

Seterusnya, amalan khurafat dan bidaah yang bertentangan dengan syariat Islam diamalkan di dalam bulan Safar sebagai kesinambungan kepada warisan zaman Jahiliah. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka, khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut dan bidaah sebagai cara untuk menolak bala.

Sama ada sedar atau tidak, masyarakat Melayu Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu dengan amalan khurafat dan tahyul seumpama ini pada bulan Safar. Di antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular pada suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan bahawa perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada kebiasaannya, amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.

Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu juga, khususnya dalam kalangan orang tua, mereka tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar. Ini kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat sekiranya majlis perkahwinan dilangsungkan dalam bulan ini. Amalan dan kepercayaan seperti ini jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah seseorang.

Sebenarnya sial dan bala bencana tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 51 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal".

Rasulullah s.a.w. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tambahan daripada itu, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal". (Riwayat Ibnu Majah).

Sesuatu yang tambah menyedihkan lagi ialah apabila terdapatnya umat Islam yang melakukan pelbagai upacara menolak bala pada bulan Safar dengan tidak menganggapnya sebagai suatu perkara khurafat. Mereka seolah-olah tidak memahami apa itu khurafat, lalu melakukan amalan khurafat dengan sewenang-wenangnya. Khurafat ialah mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kesan paling besar yang akan dihadapi oleh umat Islam apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut nyata ditegah oleh syarak.

Di samping itu, amalan khurafat tidak mendatangkan sebarang faedah, sebaliknya hanya boleh merosakkan akidah seseorang. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya terselamat daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.Amalan khurafat juga boleh menjejaskan kegiatan sosial dan ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan martabat Islam yang syumul.

Apabila seseorang itu percaya kepada makhluk selain Allah, maka ia akan membawa kepada lenyapnya keimanan kepada rukun Islam keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar Allah s.w.t. Kepercayaan dan amalan khurafat yang masih membelenggu umat Islam hari ini berpunca daripada akidah yang tidak mantap dan tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang hukum-hakam yang terdapat di dalam Islam. Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam, sewajarnya hanya memohon dan meminta sesuatu kepada Allah.

Kepercayaan dan amalan khurafat hanya boleh dibanteras jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan dalam segala tindakan. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. menjelaskan kepada kita melalui sabda baginda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku".

Kepercayaan dan amalan khurafat memang tidak memberikan manfaat langsung, malah lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif. Oleh itu, bagi menangani masalah khurafat ini termasuk kepercayaan khurafat dalam bulan Safar, akidah umat Islam hendaklah diperteguhkan agar tidak terus berada di dalam kepompong kejahilan. Apabila akidah sudah mantap, maka minda umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan unsur khurafat, sebaliknya akan lebih terbuka serta `berpijak di bumi nyata'.

Firman Allah dalam Surah al-A'raf ayat 33 bermaksud: Katakanlah: Yang diharamkan Tuhanku hanyalah segala yang keji, baik yang lahir mahupun yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran dan kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada diberi keterangan kepadanya, dan kamu katakan kepada Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui.