Followers

Showing posts with label aqidah. Show all posts
Showing posts with label aqidah. Show all posts

Sunday, August 4, 2013

Syiah Sesat dan Menyesatkan

 


ISLAM agama ilmu. Islam juga memerangi kejahilan. Oleh itu, umat Islam diperintahkan agar mencari ilmu. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud: "Menuntut ilmu diwajibkan kepada setiap muslim".

Daripada ayat al-Quran yang pertama diturunkan iaitu Iqra', Allah SWT menghendaki manusia membaca dan pembacaan itu merupakan pintu kepada memperolehi ilmu.

Al-Quran itu sendiri merupakan kitab ilmu dan al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai kayu pengukur kepada kelebihan seseorang manusia di atas dunia ini.

Justeru ketika menilai sesuatu pegangan dan aliran mestilah daripada perspektif ilmu agar tidak terpedaya dengan syaitan. Sememangnya jika dilihat dari sudut luaran, golongan Syiah agak ke hadapan daripada pelbagai sudut seperti ketenteraan, disiplin, penampilan dan sebagainya. 

Apatah lagi setelah berlakunya Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang menyerlahkan lagi kewibawaan Iran mendokong dan menyebar fahaman Syiah, namun semua itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk terus menerima pegangan dan aliran mereka.

Banyak golongan dan ajaran sesat yang berjaya menzahirkan penampilan hebat, namun akhirnya apabila ditimbang dari sudut ilmu, amat mengecewakan bahkan termasuk dalam ajaran yang menyeleweng. Jika persepsi menjadi ukuran, sudah tentu masyarakat akan mudah terikut dengan akidah dan pegangan orang Jepun. 

Orang Jepun masyhur dengan semangat kerja mereka, disiplin yang tinggi, bahkan amalan kebersihan yang sangat dipuji sehinggakan ada menyatakan bahawa seseorang itu boleh tidur dalam tandas di Jepun lantaran tandas mereka yang sangat bersih!

Namun, apakah kehebatan dan penampilan masyarakat Jepun itu mewajarkan kita mengamal dan menganut agama Shinto mereka yang syirik itu? Sudah tentu tidak! Oleh yang demikian, ilmu hendaklah dijadikan suatu ukuran untuk menerima sesuatu pegangan dan ajaran. 

Melalui kajian ilmu, didapati Syiah merupakan golongan yang sesat lagi menyesatkan. Mereka tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pegangan mereka juga dilihat bercanggah dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Terdapat tiga kategori golongan Syiah iaitu: Syiah mughaliyah (pelampau), Syiah Rafidah (Imamiyah) dan Syiah Mu'tadilah (Zaidiyah).

Daripada tiga golongan Syiah ini, Syiah Rafidah atau Imamiyah merupakan golongan yang paling dominan dan berkembang dalam dunia pada hari ini. Mereka merupakan majoriti Syiah yang mengatakan imamnya Ali adalah dengan nas, Ali telah menaskan imamah anaknya Hassan manakala Hassan telah menaskan imamah saudaranya Hussein. 

Begitulah seterusnya imamah itu berpindah dengan nas kepada anak-anak Hussein sehinggalah kepada Muhammad bin Hassan al-Askari yang pada pendapat mereka dia ghaib semasa kecil dan akan muncul sebagai Imam Mahdi pada akhir zaman dengan membawa kebenaran dan keadilan. 

Mereka dikenali dengan Syiah Imamiyah kerana pegangan mereka kepada 12 imam yang dianggap sebagai maksum (bebas daripada segala dosa dan kesalahan). 

Mereka ini juga dinamakan golongan Rafidah kerana mereka menolak imamah Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Uthman Affan dengan hujah bahawa Nabi Muhammad SAW mewasiatkan kepada Ali sebagai khalifah selepasnya. 

Namun wasiat ini pada dakwaan Syiah telah diketepikan oleh kebanyakan sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Oleh yang demikian mereka mengkafirkan para sahabat Nabi SAW termasuk sahabat-sahabat yang rapat dengan Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan selainnya.

Jelasnya, Syiah bukanlah suatu ajaran yang boleh diikuti, bahkan ia merupakan ajaran sesat yang diasaskan oleh seorang Yahudi dari Yemen yang bernama Abdullah bin Saba'. 

Dia merupakan bangsa Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam. Dia pandai mengada-adakan cerita palsu dan bijak menipu orang. Dia juga digelar Ibnu Sauda'.

Setelah Abdullah bin Saba' memeluk Islam secara berpura-pura, dialah orang yang mula-mula mengisytiharkan kewajipan melantik Ali sebagai Imam dan menyatakan secara terbuka penentangannya terhadap musuh-musuh Ali, bahkan mengkafirkan mereka. 

Bermula dari sinilah, dapat dilihat dengan jelas bahawa ajaran Syiah Rafidah terpengaruh dengan agama Yahudi. Syiah merupakan ajaran sesat yang paling lama dapat bertahan sehingga ke hari ini. Mereka yang terpedaya dengan ajaran Syiah telah terperangkap dengan tipu daya syaitan yang sememangnya sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat Islam daripada persada kebenaran. 

Syiah dan al-Quran

Bahaya Syiah jelas apabila melihat kepada pandangan mereka terhadap kitab suci al-Quran. Syiah tidak menganggap kitab suci al-Quran adalah kitab yang terpelihara. Bahkan mereka beranggapan telah berlaku penyelewengan pada ayat-ayat al-Quran. 

Buktinya adalah nas yang dikemukakan oleh al-Kulaini iaitu ulama hadis Syiah dalam kitab hadisnya al-Kafi dengan menyatakan bahawa: "Daripada Hisham bin Salim, daripada Abi Abdillah, a.s berkata, al-Quran yang didatangkan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW adalah sebanyak 17,000 ayat". 

Pegangan golongan Syiah ini jelas menunjukkan bahawa mereka beranggapan al-Quran yang ada pada umat Islam hari ini masih tidak sempurna kerana ayat al-Quran yang ada hanya berjumlah 6,236 ayat sahaja, sedangkan mereka beranggapan bahawa al-Quran sebenar iaitu yang dikenali sebagai mushaf Fatimah mengandungi 17,000 ayat. 

Ini bermakna dua pertiga ayat al-Quran sudah diselewengkan. Pegangan Syiah ini jelas sesat kerana Allah SWT telah menjamin kesucian al-Quran. Kitab suci itu terpelihara sehingga hari kiamat, tidak akan berlaku penyelewengan terhadap al-Quran walau satu huruf sekalipun. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
 
Allah juga berfirman dalam Surah Fussilat ayat 41-42 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab suci yang tidak dapat ditandingi, yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

Syiah dan Hadis

Golongan Syiah menolak hadis-hadis yang terdapat dalam sahih Bukhari, sahih Muslim, sunan al-Tirmidzi dan kitab-kitab hadis ahli sunah yang lain. Mereka menolak mentah-mentah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat Rasulullah SAW. 

Bagi mereka, kitab hadis yang menjadi pegangan mereka ialah al-Kafi tulisan al-Kulaini, yang diriwayatkan daripada Imam Maksum. 

Mereka juga menganggap para sahabat menjadi kufur dan murtad setelah kewafatan Rasulullah SAW. Al-Kulaini yang dianggap oleh golongan Syiah setaraf dengan Imam Bukhari meriwayatkan bahawa para sahabat telah murtad sepeninggalan Rasulullah SAW kecuali tiga orang daripada mereka iaitu Miqdad bin Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al-Farisi. 

Ini jelas menunjukkan kebiadaban puak Syiah kerana perbuatan mengkafirkan para sahabat Nabi Muhammad SAW sedangkan para sahabat mendapat tarbiah secara langsung daripada baginda. Secara tidak langsungnya, puak Syiah juga telah memperkecilkan serta menghina Rasulullah SAW. 

Golongan Syiah juga sangat biadab terhadap para isteri Rasulullah SAW dengan mengatakan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidatina Hafsah sebagai munafik dan kafir. Mereka mendatangkan riwayat palsu yang kononnya muktabar tentang Aisyah dan Hafsahlah yang telah meracuni Rasulullah SAW sehingga mengakibatkan kewafatan baginda.

Syiah dan Taqiyah

Sebenarnya konsep taqiyah itu ialah konsep yang berasaskan kepada perbuatan berdusta, berbohong dan berpura-pura. Namun, konsep ini telah dijadikan asas oleh golongan Syiah dalam memartabatkan keimanan mereka kepada Allah SWT. 

Disebabkan sikap taqiyah ini, para ulama tidak mahu menerima riwayat yang dibawa oleh golongan Syiah ekoran pembohongan yang dilakukan oleh mereka. 

Ajaran Syiah itu sendiri sebenarnya ditegakkan di atas dasar taqiyah. Al-Kulaini meriwayatkan dalam kitab beliau al-Kafi: "Sesungguhnya kamu berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan Allah dan sesiapa menyebarkannya akan dihina oleh Allah".

Tuesday, August 28, 2012

Monday, July 9, 2012

Tolak hudud seperti pertikai al-Quran

Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Tolak hudud seperti pertikai al-Quran
Mohd Sukki

JOHOR BAHRU - Hukum hudud perlu diterima semua umat Islam dan menolaknya boleh dianggap sama seperti mempertikaikan al-Quran kerana hukum berkenaan telah disebut di dalam kitab itu.

Pendakwah, Dr Mohd Sukki Othman berkata, perbincangan yang lebih terperinci mengenai perkara ini perlu diadakan bagi membentuk kefahaman yang jelas dalam kalangan masyarakat khususnya golongan bukan Islam.

“Hudud adalah sesuatu yang disebut dalam al-Quran dan kalau kita cakap ia tidak sesuai, maknanya kita telah menafikan kesahihan kitab itu.

“Umat Islam perlu terima hukum ini cuma pelaksanaannya perlu dibentuk dengan lebih efisien dan teratur agar ia mendatangkan kebaikan secara menyeluruh kepada semua pihak.

“Di samping itu, pendidikan dan kefahaman berterusan yang jelas mengenai hukum ini amat penting supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan rungutan di kemudian hari,” katanya.

Mohd Sukki yang juga Pensyarah di Universiti Putra Malaysia berkata, hukum hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara ini yang mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apabila Islam dijadikan agama Persekutuan negara ini bermakna kita (Malaysia) menerima secara keseluruhan, jadi hukum hudud ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara,” katanya.

Katanya, cadangan yang dikemukakan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengenai pelaksanaan hudud menunjukkan ruang untuk melaksanakan undang-undang itu lebih mudah.

“Melihat kepada senario hari ini menunjukkan hukum hudud mula diterima kedua-dua pihak (Umno dan Pas), jadi ada ruang lebih mudah untuk dibincang ke arah pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Himpunan Ustaz dan Ulama (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, pelaksanaan hukum hudud di negara ini sentiasa relevan terutamanya dalam keadaan masalah sosial yang semakin membimbangkan dan makin meruncing pada masa ini.

“Saya percaya hukum hudud dapat membantu mengurangkan gejala negatif dan membentuk akhlak masyarakat dengan lebih baik.

“Namun pelaksanaan perlu diproses dengan penjelasan yang menyeluruh kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan salah faham,” katanya.

Katanya, isu ketidakadilan dalam pelaksanaan hudud bagi bukan Islam tidak timbul kerana undang-undang itu merupakan pilihan bagi mereka, malah undang-undang sedia ada juga tidak terbatal setelah hudud diguna pakai.

“Saya yakin walaupun hudud dilaksanakan, ia hanya akan diguna pakai pada kadar minimum berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Sumber Rujukan : Akhbar Sinar Harian:  http://www.sinarharian.com.my/nasional/tolak-hudud-seperti-pertikai-al-quran-1.64607

Wednesday, June 20, 2012

Peristiwa Israk Mikraj

 
Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah s.a.w. pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w. ke kota Madinah. Walaubagaimanapun sebenarnya para ulama' tidak bersependapat mengenai tarikh sebenar berlakunya israk mikraj ini walaupun yang pastinya ia berlaku sebelum hijrah nabi ke Madinah....ada pelbagai pendapat tentang tarikh ini iaitu ada yang menyatakan ia berlaku pada 17 Rabiulawal, bulan Zulkaedah, Syawal, Ramadhan , Rejab, 17 Ramadhan, 27 Rejab dan lain-lain lagi.
 
Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Suddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdisi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah. 
 
Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sahih atau pun kata-kata Sahabat yang Sahih. 

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal.

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha). 

Thursday, March 1, 2012

Fenomena Ajaran Sesat



Oleh: Ustaz Shauqi

Realiti  yang berlaku dalam masyarakat kita, ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat? Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.  

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam; sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah.  

             Kemunculan kebanyakan ajaran sesat ini dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsure-unsur animisme dan dinamisme serta dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.  Adalah dipercayai ajaran sesat yang paling lama usianya di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Mohammad Bin Shafie atau dikenali sebagai Mohamad Matahari pada awal abad ke-19, di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tuesday, February 14, 2012

Menyingkap Sambutan Valentine's Day



Oleh: Ustaz Shauqi

Setiap tahun, tanggal 14 Februari merupakan tarikh 'keramat' dan 'bersejarah' bagi sesetengah orang terutamanya golongan belia dan beliawanis termasuk remaja Islam. Tarikh 'keramat' ini diingati sebagai Valentine's Day atau Hari Kekasih yang dirasakan amat rugi sekiranya ia dilupakan. Biasanya, ia disambut dengan pelbagai acara yang dianggap oleh pasangan kekasih sebagai paling istimewa.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, saling meluahkan perasaan cinta di taman-taman bunga dan sebagainya. Pada hari inilah ucapan kasih sayang dilafazkan sebagai bukti ketulusan cinta mereka. Pada hari ini juga pelbagai hadiah dibeli untuk diberikan kepada yang orang yang dicintai dan disayangi.

 
Budaya menyambut Hari Kekasih ini semakin popular dari semasa ke semasa. Anak-anak muda yang baru mencecah usia baligh pun sudah tahu apa itu Valentine, sedangkan pada masa yang sama mereka masih terpinga-pinga apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. dan seumpamanya. Malahan ada yang sanggup bersusah payah mengumpul wang bertujuan untuk membeli hadiah kepada 'kekasih hati' sempena menyambut hari yang dianggap penuh romantik ini.

Friday, July 22, 2011

Kisah Penggunting Rambut


Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.


SUMBER: http://muzir.wordpress.com/2011/07/18/kisah-penggunting-rambut-dan-seorang-lelaki/

Wednesday, July 6, 2011

Syirik Dalam Masyarakat Melayu


Oleh: Ustaz Shauqi

Syirik adalah merupakan sesuatu yang amat berbahaya. Hal ini adalah kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, di dalam surah al-Nisa’ ayat 116, maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukamNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.

Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Hal ini adalah kerana ia tidak akan memperoleh pengampunan daripada Allah SWT. Justeru, syirik adalah merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua. Sehubungan dengan itu, nabi SAW melalui hadis yang sahih telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik kerana ia merupakan suatu kebinasaan.

Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah SWT telah merakamkan di dalam al-Quran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: ”Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu muslim untuk mempastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik.

Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apakah maksud syirik sebenarnya? Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk sekutu bagi Allah. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Ma’idah, ayat 72 bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.

Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali ialah syirik yang dilakukan secara jelas dan terang yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  • Menerusi iktiqad: Contohnya ialah meragui atau menafikan kewujudan Allah dan berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang diciptakan Allah.
  • Menerusi perbuatan atau amalan: Contohnya adalah seperti perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhlus halus dalam perubatan dan sebagainya.
  • Menerusi lidah atau perkataan: Contohnya adalah seperti menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.

Syirik khafi pula ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak di dalam beramal atau dalam melakukan sesuatu perkara. Rasulullah SAW pernah menasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah SAW pun menjawab bahawa syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.

Syirik Melalui Bomoh

Antara amalan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini yang melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam perubatan. Sesuatu yang menghairankan ialah semakin dunia menjadi canggih dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, keterlibatan masyarakat dalam hal-hal syirik seumpama ini pun semakin menjadi-jadi dan berleluasa.

Sesuatu yang lebih menghairankan ialah terdapatnya golongan terpelajar di bidang pengajian Islam pun terlibat dalam hal syirik yang seumpama ini. Apakah ilmu yang dipelajari itu tidak boleh dijadikan benteng untuk menyekat diri daripada melakukan syirik kepada Allah? Atau ilmu yang dipelajari hanyalah sekadar untuk ’mencari makan’ semata-mata?.

Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud: ”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.

Kekeliruan juga timbul apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani yang akan datang meresap dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Apa yang lebih menariknya ialah amalan perubatan biasanya dimulakan dengan ayat-ayat suci al-Quran, menyebabkan pesakit yang datang begitu mudah mempercayainya.

Setelah itu iaitu setelah beberapa ketika, ’roh’ para wali yang dimaksudkan itu pun mula masuk ke dalam tubuh bomoh tersebut dan terus berkomunikasi dengan pesakit dengan bahasa Melayu atau dengan loghat Jawa dengan ia memperkenalkan dirinya. Sebagai contohnya, ia mengaku sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’.

Persoalannya, sejak bilakah Syeikh Abdul Qadir Jailani mengikuti ’kursus’ Bahasa Melayu sehingga dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik? Justeru, semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia. Oleh itu, sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sudah tentu tidak mendatangkan syirik kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama dengan baik.

Sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’, atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik. Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’ sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya’.

Wednesday, August 11, 2010

Mengenali Allah Dalam Ibadah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Sesuatu yang perlu difahami oleh setiap insan yang bergelar muslim bahawa ibadat dan aqidah merupakan suatu perkara yang saling lengkap melengkapi. Dua perkara ini tidak dapat dipisahkan sama sekali. Kalau dipisahkan antara ibadah dan aqidah, maka kehidupan akan pincang. Namun, apa yang berlaku dalam masyarakat Islam kini, ialah ramai daripadanya hanya mementingkan persoalan ibadah semata-mata tanpa menghiraukan langsung mengenai kewajipan beraqidah dan mengenal Allah! Kadang-kala dalam kehidupan seharian, ibu bapa menyuruh anaknya menunaikan solat dan berpuasa, tetapi tidak diberi penekanan yang sewajarnya terhadap ibadah yang dilakukan itu ditujukan kepada siapa dan mengapa. Apakah mereka menunaikan solat dalam keadaan mereka mengenali Allah atau sekadar menunaikannya sebagai satu tanggung jawab semata-mata.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah apabila didapati dalam masyarakat kita, mereka yang berduyun-duyun dan beramai-ramai pergi ke masjid dan surau pada bulan Ramadhan untuk menunaikan solat secara berjamaah, namun ianya tidak dapat bertahan lama. Saban tahun kita melihat biasanya mereka yang meng'imarah'kam masjid dan surau pada bulan Ramadhan hanya melakukan sedemikian pada minggu pertama dan kedua sahaja. Selepas itu, iaitu pada minggu ketiga dan keempat Ramadhan, didapati jamaah semakin berkurangan, dan apabila berakhirnya bulan Ramadhan, berakhirlah juga kunjungan masyarakat Islam ke masjid! Apakah mereka ini yang tidak beristiqamah dalam ibadah mengenali Allah, dan melakukan ibadah berpaksikan kepada aqidah dan tauhid yang mantap kepada Allah?

Sekiranya ibadah dilakukan berpaksikan kepada aqidah dan tauhid yang mantap, sudah tentu masyarakat Islam dapat beristiqamah dalam melakukan ibadah kerana mereka menyedari tanggung jawab terhadap Allah Maha Pencipta. Sebagaimana kata-kata yang diucapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam khutbahnya yang bermaksud "Jadilah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan!". Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu umat Islam hanya beribadah dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan sahaja seolahnya Allah hanya wujud pada bulan Ramadhan. Jadi bagaimana pula dengan bulan-bulan yang lain, apakah Allah tidak wujud pada bulan-bulan lain selain Ramadhan?!

Jelasnya, hal ini menggambarkan bahawa ibadah yang dilakukan oleh masyarakat Islam dalam negara kita hanyalah bersifat ikut-ikutan bukannya berdasarkan ilmu dan kemantapan tauhid dan aqidah kepada Allah. Ini kerana sekiranya ibadah yang dilakukan berasaskan aqidah yang mantap, nescaya mereka tidak berganjak daripada mengabdikan diri kepada Allah walau apa pun yang terjadi. Inilah yang disebutkan oleh Syeikh Dr Abdul Majid al-Zandani dalam kitabnya 'al-Iman' yang bermaksud: 'Maka sesungguhnya perkara pertama yang wajib bagi setiap manusia ialah mengenali Allah melalui jalan ilmu, di mana Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran, yang bermaksud: 'Maka ketahuilah sesungguhnya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah".

Monday, August 2, 2010

Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk

Petang tadi, saya terlibat dalam Forum Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk bersama Tuan Haji Kamaruddin Abdullah & Us Sabri Abd Rani sebagai panelis, serta dipengerusikan oleh Tuan Hj Muhammad Fitri Abdullah. Tajuk forum ialah : Ada Apa Pada Islam. Forum ini anjuran Perkim dengan kerjasama Madrasah Manba'eil 'Ulum. Keadaan kesihatan agak kurang baik dua tiga hari ini, tapi digagahi juga untuk hadir memandangkan para hadirin terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam, jadi skop dakwahnya lebih luas.

Tuan Hj Kamaruddin Abdullah yang merupakan bekas paderi Kristian telah menceritakan bahawa beliau berasa ragu dengan agama Kristian melalui konsep ketuhanan yang dipegang oleh Kristian itu sendiri. Konsep trinity iaitu 1+1+1 = 1 amat membingungkan. Apabila beliau membaca al-Quran, hatinya terus tertarik dengan Islam sebab konsep ketuhanan begitu jelas melalui ayat-ayat dalam Surah al-Ikhlas.

Ustaz Sabri Abd Rani pula menyatakan bahawa Islam itu indah kerana masih wujud orang beriman yang mempraktikkan Islam, di kala ramai yang mengabaikannya. Beliau menekankan bahawa sesuatu yang indah perlu dipersembahkan dengan cara yang indah demi kelangsungan dakwah. Beliau membawakan beberapa cerita, antaranya ialah pemandu teksi di Singapura yang berurusan dengan usahawan Germany selama 20 hari. Tugas pemandu teksi tersebut ialah mengambil dan menghantar pulang usahawan tersebut dari hotel ke tempat perniagaannya. Setiap pagi, pemandu teksi itu menyediakan akhbar 'New Straits Times' secara percuma kepada businessman itu walau tanpa diminta. Ketika hendak pulang ke Germany, usahawan itu mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi yang baik hati itu. Lalu berkata pemandu teksi itu..."berterima kasihlah kepada nabi saya the prophet Muhammad yang mengajar saya untuk berbuat baik". Inilah satu dakwah yang disampaikan oleh pemandu teksi itu. Selang beberapa bulan, usahawan Germany itu menjemput si pemandu teksi dengan menghantar flight ticket kepadanya bagi menyaksikan pengislamannya di Germany. Kata usahawan itu, "aku mula terfikir untuk mengenali Islam dan mengenali Nabi Muhammad setelah bertemu dengan orang yang sebaik kamu".

Us Sabri juga membawakan cerita mengenai seorang bekas guru iaitu Hj Ahmad di Bukit Mertajam yang sentiasa berfikir untuk melakukan kebaikan. Antaranya ialah kerap-kali beliau membeli beberapa kampit beras, lalu dibawa dengan keretanya untuk diberikan kepada orang susah sama ada orang Islam atau pun bukan Islam. Beliau juga mendekati kanak-kanak dengan memberikan coklat kepada mereka .... dan untuk mendekatkan kanak-kanak ke masjid beliau menjanjikan akan memberikan coklat yang lebih banyak kalau mereka ke masjid. Akhirnya beliau menjadi rapat dengan kanak-kanak dan semakin ramai kanak-kanak yang ke masjid. Pada hari kematian Hj Ahmad, tidak kurang 80 kanak-kanak dan budak-budak yang berada di samping jenazahnya.

Pada sesi soal-jawab, terdapat beberapa soalan dari para hadirin. Antara yang menarik ialah soalan daripada saudara David tentang cara untuk memeluk Islam. Lalu, kesempatan itu diambil oleh Tn Hj Kamarudiin Abdullah untuk mengislamkan saudara David dengan diajar kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan Inggeris , lalu disambut oleh para hadirin dengan laungan takbir 'Allahu Akbar'.

Tuesday, July 27, 2010

Rumahtangga Labah-Labah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 41 bermaksud: “Perumpamaan orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang yang sehabis-habis reput (rapuh) ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang yang berpengetahuan”.

Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan tentang kebodohan orang musyrik yang menjadikan berhala-berhala atau makhluk-makhluk yang lain sebagai tuhan-tuhan yang disembah dan diharapkan pertolongannya sedangkan benda-benda itu amat lemah, tidak berkuasa dan tidak dapat memberikan kepada mereka sebarang pertolongan. Menurut Ibnu ‘Ashur dalam kitab tafsirnya iaitu ‘Tafsir al-tahrir wa al-tanwir’, perumpamaan ini ditujukan kepada orang kafir Quraisy yang menyembah berhala dengan harapan agar berhala-berhala itu dapat memberikan pertolongan kepada mereka .

al-Alusi dalam ‘Ruh al-Ma’ani’ pula telah menyatakan bahawa perumpamaan dalam ayat ini ditujukan kepada semua manusia yang mensyirik dan menyekutukan Allah. Allah telah mengumpamakan agama mereka yang kufur itu adalah selemah-lemah agama dengan menyamakan agama-agama itu dengan sarang labah-labah yang mudah reput dan terkoyak. Hal ini adalah kerana berhala-berhala yang disembah itu sendiri lemah dan tidak berkuasa laksana sarang labah-labah yang begitu lemah dan amat mudah rosak dan terkoyak. Malangnya, orang-orang kafir itu rela bersandar di dahan yang rapuh. Agama yang tidak berdasarkan pengabdian diri hanya kepada Allah adalah sehina-hina agama dan amat jauh tersimpang dari kebaikan dan petunjuk.


Kehidupan Labah-Labah

Dr Faiq al-‘Ubaydi melalui tulisannya dalam majalah ‘Ayaat’ telah menyatakan bahawa perkataan ‘rapuh’ yang ditujukan kepada sarang labah-labah itu, boleh ditafsirkan juga kepada kehidupan rumahtangga labah-labah. Ia merujuk kepada rapuhnya kehidupan dalam ‘rumahtangga’ labah-labah apabila berlakunya ‘queen control’ iaitu isteri yang menjadi pemimpin kepada keluarga dengan mengetepikan kepimpinan yang sepatutnya diterajui oleh golongan lelaki.

Hal ini kerana mengikut kajian saintifik, didapati bahawa sarang labah-labah itu adalah tiga kali ganda lebih kukuh sekiranya dibandingkan dengan sarang serangga-serangga yang lain. Malahan, ‘benang’ yang terdapat pada sarang labah-labah itu sebenarnya lebih kuat dan utuh daripada benang sutera. Oleh yang demikian, sarang labah-labah boleh dianggap sebagai kota dan benteng yang kukuh bagi keluarga labah-labah.

Namun begitu, mengapakah ayat al-Quran menyatakan bahawa serapuh-rapuh sarang ialah sarang labah-labah?. Sehubungan dengan itu, ayat al-Quran itu boleh ditafsirkan sebagai merujuk kepada hubungan kekeluargaan yang amat rapuh dan bercelaru yang wujud dalam ‘rumahtangga’ labah-labah itu.

Kajian saintifik moden mendapati bahawa labah-labah betinalah yang bersusah-payah membina sarang, bukannya labah-labah jantan. Hal ini juga amat jelas dalam ayat al-Quran surah al-‘Ankabut ini melalui penggunaan huruf ‘ta ta’nith’ yang merujuk kepada labah-labah betina yang membuat sarang.

Secara realitinya juga, ‘rumahtangga’ labah-labah seumpama spesies labah-labah yang dikenali sebagai ‘Black Widow’ mempunyai ‘rumahtangga’ yang hancur dan porak-peranda. Tidak terdapat ketenangan dalam kehidupan labah-labah dalam sarangnya itu. Hal ini kerana sifat ‘queen control’ yang wujud pada labah-labah betina. Setelah ‘mengawan’, labah-labah betina akan cuba membunuh dan memakan labah-labah jantan. Oleh yang demikian, Labah-labah jantan akan berusaha menyelamatkan diri dan tidak akan kembali ke sarang itu.

Sehubungan dengan itu, labah-labah betina akan menguasai sepenuhnya ‘rumahtangga’ yang dibina. Labah-labah betina itu bersikap agresif dan akan bertindak membunuh sesiapa sahaja dalam kalangan serangga-serangga kecil yang datang mengganggu kediamannya itu. Manakala anak-anak labah-labah yang keluar dan lahir dari telur pula akan saling berbunuhan di antara satu sama lain. Kepincangan yang berlaku dalam ‘rumahtangga’ labah-labah ini amat terserlah.

Justeru, manusia boleh mengambil pengajaran yang amat berguna daripada apa yang berlaku dalam ‘rumahtangga’ labah-labah. Hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan akan musnah dan hancur apabila tidak menjadikan syariat Allah sebagai panduan dan pedoman. Apabila wanita menjadi pelindung dan pemimpin kepada lelaki, maka ia sudah tentu menyalahi fitrah dan bercanggah dengan apa yang telah disarankan di dalam ajaran Islam. Akibatnya, kehidupan menjadi ‘rapuh’ dan rosak. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita”.

Thursday, July 22, 2010

Mengapa Mudah Terpengaruh Dengan Perkara Pelik?


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Ajaran Islam telah berjaya meresap ke dalam amalan orang Melayu sejak dahulu-kala sehinggakan masyarakat Melayu terkenal dengan masyarakat yang mempunyai sifat, adab dan budi pekerti yang baik. Namun, malangnya orang Melayu mudah tergoda dengan pengaruh atau benda-benda pelik yang sampai ke telinganya. Sehubungan dengan itu, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang apabila mendengar sahaja seseorang boleh melakukan sesuatu yang luar biasa terus dianggap sebagai ‘keramat’, yang akhirnya begitu mudah terjebak dengan ajaran sesat.

Suatu ketika dahulu telah dilaporkan di dada-dada akhbar tentang ‘keramat’ di Pulau Besar, Melaka. Antara tempat yang dikatakan ‘keramat’ di pulau tersebut ialah Makam Tujuh Beradik, Makam Sultanul Ariefin, Makam Syarifah Rodziah dan sebagainya. Lalu, berduyun-duyunlah orang ke sana untuk bernazar, bertawasul dengan makam tersebut untuk mendapatkan anak dan pelbagai lagi perkara khurafat yang dilakukan. Apatah lagi apabila seorang dua daripada mereka yang ‘termakbul’ hajatnya setelah pergi ke sana, maka kepercayaan terhadap ‘keramatnya’ tempat tersebut menjadi semakin menebal.

Baru-baru ini juga saya telah ditanya tentang solat ‘makrifat’. Pelik juga mendengarnya, tapi setelah meminta penerangan, maka saya pun diberitahu bahawa solat makrifat itu ialah solat yang dilakukan untuk mengenal Allah sesuai dengan kata-kata hikmah ‘permulaan agama mengenal Allah’. Solat makrifat ditunaikan sebanyak dua rakaat…. Setelah beberapa lama solat itu ditunaikan, maka akan dapat dirasai diri semakin dekat dengan Allah , bahkan akan nampak cahaya Allah di hadapan semasa menunaikan solat tersebut. Hal ini sebenarnya bukan ‘kenal’ Allah, tapi kenal syaitan. Begitu mudah masyarakat kita terpengaruh dengan benda-benda ‘pelik’ seumpama ini yang akhirnya terjebak dalam kesesatan.

Justeru, terdapat mereka yang ‘pantang’ mendengar wujudnya orang yang ‘pandai’, maka berduyun-duyun hendak bertemu dan berubat dengannya. Orang Melayu memang suka kepada benda-benda yang dianggap pelik, bahkan dirasakan seolahnya ia merupakan suatu keistimewaan tanpa menilai terlebih dahulu sama ada ia merupakan perkara yang benar atau semata-mata tahyul dan khurafat. Sehubungan dengan itu, ramai juga yang percaya kepada keramatnya ‘kayu kokka’ dan sebagainya…. Hal ini semuanya mempunyai unsur syirik kepada Allah.

Saya sendiri pernah berbual dengan seseorang yang kononnya merupakan ahli tarikat kesufian. Lalu dia pun memberitahu saya betapa dia mempunyai seorang guru mursyid yang merupakan seorang kiyai yang hebat serta mempunyai karamah. Gurunya itu boleh menembusi dinding dan melakukan perkara-perkara pelik yang lain yang membuatkan ia begitu teruja. Lalu perbahasan tertumpu kepada persoalan apakah iblis itu salah atau tidak kerana tidak sujud kepada Nabi Adam. Dia pun dengan penuh yakin menyatakan bahawa kita tidak boleh mengatakan bahawa iblis itu salah semata-mata disebabkan ia tidak sujud pada Nabi Adam. Hal ini kerana iblis tidak sujud kepada Nabi Adam disebabkan Nabi Adam itu adalah makhluk. Alasannya ialah makhluk tidak boleh sujud pada makhluk.

Begitu mudah dia mempercayai kata-kata gurunya yang mempunyai sifat ‘luar biasa’ itu sehinggakan akhirnya terjebak dalam kepercayaan yang sesat. Sedangkan Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa Iblis tidak mematuhi arahan Allah untuk sujud pada Nabi Adam itu bukannya disebabkan Nabi Adam itu makhluk sepertinya, tetapi keengkaran Iblis itu datang daripada sifat degil dan takabbur yang ada padanya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 34 bermaksud: “Ketika Kami (Allah) memerintahkan kepada malaikat untuk sujud pada Adam, kesemuanya sujud kecuali Iblis, dia enggan dan takabbur, maka ia tergolong dalam golongan yang kufur”. Jelasnya daripada ayat ini menunjukkan bahawa perbuatan iblis tidak sujud kepada Nabi Adam bukannya disebabkan Nabi Adam itu makhluk, tetapi adalah disebabkan sifat degil dan takabbur yang ada pada dirinya.

Kesimpulannya … janganlah mudah teruja dengan sesuatu yang pelik dan luar biasa kerana bukanlah semua yang pelik dan luar biasa itu adalah karamah sebaliknya banyak juga perkara pelik yang datang daripada syaitan. Al-Imam Syafei pernah berkata: ‘sekiranya engkau melihat orang yang melakukan bid’ah itu boleh terbang di udara, maka janganlah engkau tertipu dengannya’.

Justeru, penyelesaian kepada masalah-masalah syirik, khurafat dan tahyul seumpama ini ialah dengan kembali kepada ilmu. Oleh kerana itulah, Islam sangat menitik-beratkan persoalan ilmu yang berlandaskan al-Quran dan Hadis agar manusia tidak tersesat dalam kehidupan di dunia ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ‘Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya apabila berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut; iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku’.

Monday, March 1, 2010

Syirik Dalam Masyarakat Melayu



Oleh: MOHD SUKKI BIN OTHMAN (Ustaz Shauqi)


Syirik adalah merupakan sesuatu yang amat berbahaya. Hal ini adalah kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, di dalam surah al-Nisa’ ayat 116, maksudnya: ”Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukamNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.

Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Hal ini adalah kerana ia tidak akan memperoleh pengampunan daripada Allah SWT. Justeru, syirik adalah merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua. Sehubungan dengan itu, nabi SAW melalui hadis yang sahih telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik kerana ia merupakan suatu kebinasaan.

Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah SWT telah merakamkan di dalam al-Quran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: ”Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu muslim untuk mempastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik.

Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apakah maksud syirik sebenarnya? Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk sekutu bagi Allah. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Ma’idah, ayat 72 bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.

Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali ialah syirik yang dilakukan secara jelas dan terang yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:
• Menerusi iktiqad: Contohnya ialah meragui atau menafikan kewujudan Allah dan berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang diciptakan Allah.
• Menerusi perbuatan atau amalan: Contohnya adalah seperti perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhlus halus dalam perubatan dan sebagainya.
• Menerusi lidah atau perkataan: Contohnya adalah seperti menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.

Syirik khafi pula ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak di dalam beramal atau dalam melakukan sesuatu perkara. Rasulullah SAW pernah menasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah SAW pun menjawab bahawa syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.

Syirik Melalui Bomoh

Antara amalan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini yang melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam perubatan. Sesuatu yang menghairankan ialah semakin dunia menjadi canggih dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, keterlibatan masyarakat dalam hal-hal syirik seumpama ini pun semakin menjadi-jadi dan berleluasa.

Sesuatu yang lebih menghairankan ialah terdapatnya golongan terpelajar di bidang pengajian Islam pun terlibat dalam hal syirik yang seumpama ini. Apakah ilmu yang dipelajari itu tidak boleh dijadikan benteng untuk menyekat diri daripada melakukan syirik kepada Allah? Atau ilmu yang dipelajari hanyalah sekadar untuk ’mencari makan’ semata-mata?.

Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud: ”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.

Kekeliruan juga timbul apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani yang akan datang meresap dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Apa yang lebih menariknya ialah amalan perubatan biasanya dimulakan dengan ayat-ayat suci al-Quran, menyebabkan pesakit yang datang begitu mudah mempercayainya.

Setelah itu iaitu setelah beberapa ketika, ’roh’ para wali yang dimaksudkan itu pun mula masuk ke dalam tubuh bomoh tersebut dan terus berkomunikasi dengan pesakit dengan bahasa Melayu atau dengan loghat Jawa dengan ia memperkenalkan dirinya. Sebagai contohnya, ia mengaku sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’.

Persoalannya, sejak bilakah Syeikh Abdul Qadir Jailani mengikuti ’kursus’ Bahasa Melayu sehingga dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik? Justeru, semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia. Oleh itu, sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sudah tentu tidak mendatangkan syirik kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama dengan baik.

Sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’, atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik. Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’ sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya’.




Tuesday, January 26, 2010

Adat vs Syarak


Adat merupakan sesuatu kebiasaan yang diamalkan di dalam masyarakat. Sebelum meneruskan sesuatu adat yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat itu, sewajarnya dinilai kembali sama ada sesuatu adat tersebut bertepatan atau bercanggah dengan hukum syarak. Oleh yang demikian, sesuatu adat itu boleh dikategorikan kepada 3 iaitu:

1. Adat yang bertepatan dengan syarak - contohnya ialah adat memuliakan tetamu dalam kalangan masyarakat Jahiliyyah. Adat ini diakui oleh syarak dan memang sewajarnya diteruskan dan diamalkan dalam masyarakat.

2. Adat yang bercanggah dengan syarak - contohnya ialah adat bersanding, melempar beras, membuang sial di bulan Safar dan sebagainya. Adat seumpama ini hendaklah dihentikan kerana ia bercanggah dengan hukum syarak.

3. Adat yang tiada ketetapan daripada syarak - Contohnya ialah adat membuat bubur asyura', ia harus dilakukan selagi mana bubur yang dibuat itu sesuatu yang halal untuk dimakan.