Followers

Showing posts with label Doa. Show all posts
Showing posts with label Doa. Show all posts

Saturday, April 6, 2013

Doa Anak Soleh






Soalan

Bagaimanakah anak yang soleh dapat membantu ibu bapanya yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Dalam sebuah hadis, nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggalnya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya di dunia ini kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya, dan anak yang soleh yang mendoakan untuk kedua-dua ibu-bapanya”.

Oleh yang demikian, seorang anak yang soleh boleh memberikan pertolongan kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia dengan memperbanyakkan doa untuk mereka. Selain daripada itu, anak yang soleh juga boleh melakukan amalan kebajikan yang lain seperti bersedekah, membaca al-Quran dan sebagainya serta diniatkan untuk ibu bapa yang berada di alam barzakh.

Tuesday, January 3, 2012

Jangan Pandang Remeh Ucapan Salam


Nabi saw bersabda:
والَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تَحَابُّوْا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلىَ شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشوا السَّلاَم بَيْنَكُمْ – رواه مسلم
Maksudnya: ‘Demi Allah yang diriku berada dalam genggamanNya, kamu tidak masuk syurga selagi kamu tidak beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi kamu tidak berkasih sayang, mahukah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya akan membawa kasih sayang di antara kamu ? Tebarkanlah salam sesama kamu’.

Dalam hadis yang lain nabi saw bersabda:
يا أيها الناس، أفشوا السلام، وأطعموا الطعام، وصلوا الأرحام، وصلوا والناس نيام، تدخلوا الجنة بسلام رواه ابن ماجه
Maksudnya: ‘Wahai manusia, tebarkanlah ucapan salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), hubungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera’.

            Marilah sama-sama kita renungkan betapa besarnya fadhilat mengucapkan salam. Mengucapkan salam merupakan di antara sebab yang memungkinkan seseorang itu memasuki syurga Allah yang diimpi-impikan. Akan tetapi, amat malang sekali apabila kita dapati dewasa ini ramai di antara umat Islam yang memandang remeh tentang ucapan salam ini lantas meringan-ringankannya, sedangkan pahala di sisi allah bagi orang yang mengucapkan salam amatlah besar. Justeru, janganlah kita tergolong dalam orang yang rugi, sebaliknya sama-samalah kita berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh Allah ini dengan kita mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang kita kenali atau pun tidak, dan kepada orang kaya mahu pun miskin. Ucapkanlah salam dengan penuh keikhlasan dan dengan ucapan yang betul agar kita benar-benar dapat mengambil manfaat daripada salam yang diucapkan. Janganlah kita menjadi seperti sesetengah orang yang juga mengucapkan salam, tetapi sekadar mengucapkannya ibarat melepaskan batuk ditangga iaitu dengan tiada kesungguhan, tiada keikhlasan dan ucapan salam yang tidak betul dan tepat mengikut makhrajnya. Oleh kerana ingin cepat, ada yang sekadar menyatakan ‘samaikum’, samakum’, ‘haikum’, hakum’ dan sebagainya. Apa ertinya ucapan-ucapan ini yang langsung tidak mengandungi ucapan salam sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’. Bukannya susah untuk kita mengucapkannya dengan betul iaitu sekurang-kurangnya ‘assalamu ‘alaikum’. Oleh kerana ucapan salam yang telah diucapkan sebelum ini tidak bertepatan dengan kehendak syara’, maka kita dapati ucapan tersebut tidak membawa apa-apa makna, serta tidak dapat menjalinkan kasih sayang di antara sesama muslim.

Mari Berzikir


Nabi saw bersabda:
كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلىَ اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي المِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلىَ الرَّحْمن: سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ متفق عليه
Maksudnya: “Dua perkataan yang mudah dituturkan oleh lidah,  berat timbangannya di dalam mizan (neraca timbangan disisi Allah), dan disukai oleh al-Rahman (Allah) iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘azim”.

Sabda nabi saw dalam hadis yang lain:
لأن أقول: سُبْحَانَ الله، والحَمْدُ لِلَّه، وَلاَ إِلهَ إِلاَّ الله، والله أَكْبَرُ أَحَبّ إِلَيَّ مِمَّا طَلعت عليه الشمس – رواه مسلم
Maksudnya: ‘Menyebut subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, dan allahu akbar lebih aku sukai daripada terbitnya matahari’.

Sabda nabi saw lagi:

مَثَل الذي يذكر ربه والذي لا يذكره مَثَل الحي والميت- رواه البخاري

Maksudnya: ‘Bandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati’.

Pada suatu hari nabi saw telah menyatakan kepada para sahabat baginda: ‘Tidak mampukah kamu untuk mendapatkan seribu kebajikan pada setiap hari?. Lalu Rasulullah saw pun ditanya tentang cara untuk mendapatkannya. Lantas Rasulullah menyatakan apabila seseorang itu bertasbih sebanyak seratus kali, maka akan ditulis untuknya seribu kebajikan dan dihapuskan daripadanya seribu dosa. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sabda nabi saw:
من قال سبحان الله وبحمده، في يوم مائة مرة، حُطَّتْ خطاياه وإن كانت مثل زبد البحر متفق عليه
Maksudnya: ‘Sesiapa yang mengucapkan subhanallah wabihamdihi sehari seratus kali, digugurkan dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan’.

Thursday, October 20, 2011

Jangan Lupa Berdoa





Nabi saw bersabda:

(مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَات كَتَبَ الله لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَة)- رواه الطبراني، وحسنه الألباني
Maksudnya: ‘Sesiapa yang memohon keampunan bagi orang mukmin yang lain sama ada lelaki atau perempuan, maka Allah akan memberikan ganjaran bagi setiap mukmin dan mukminah yang didoanya’.

Justeru, alangkah baiknya sekiranya seseorang itu sentiasa menadah tangan mengangkat ke hadrat Ilahi memohon keampunan daripada segala dosa bagi dirinya sendiri, ibubapanya, dan bagi seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Bukannya susah untuk berdoa, akan tetapi malangnya, terdapat segelintir umat Islam  yang sukar untuk meluangkan sedikit masa sahaja sekadar tidak sampai lima minit pun untuk berdoa kepada Allah swt. Sabda nabi saw :
الدعاء مخ العبادة- رواه الترمذي
الدعاء هو العبادة – رواه مسلم
 Alangkah besarnya pahala apabila kita berdoa kepada Allah, bahkan sebagaimana yang dijelaskan oleh nabi, doa itu bukan sekadar sebagai satu ibadah, tetapi kita akan mendapat pahala yang banyak sekiranya kita berdoa untuk orang beriman yang lain. Bukannya susah untuk mendapatkan pahala, tetapi malangnya ramai umat Islam yang tidak mengambil kesempatan untuk mendapatkannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi saw bersabda: ‘Doa seseorang Muslim terhadap saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan saudaranya itu akan diterima oleh Allah …’. Oleh yang demikian ulama terdahulu telah menyatakan bahawa sekiranya mereka menginginkan agar doa mereka diterima Allah, mereka akan berdoa dengan kebaikan terhadap sahabat mereka tanpa pengetahuan saudara mereka itu.