Skip to main content

Budaya Serangan Peribadi

Oleh kerana saya bersuara terhadap isu Kota Damansara dari sudut strategi, akhlak, qias dan dongengan; maka bermacam tuduhan yang telah dilemparkan terhadap diri saya. Tuduhan yang kadangkala membuatkan saya tergelak seorang diri. Kita mahu bahaskan isu KD, mereka tidak bahas dan sebaliknya tuduh saya macam-macam sehingga yang terbaru ini, dibabitkan seorang pimpinan, seorang Almarhum, yang tidak lagi bersama kita.

Saya lihat tindakan mereka sebagai tindakan kebudak-budakan, kurang matang kerana tidak biasa menangani perbezaan pendapat. Apabila ada pihak yang berbeza pendapat, maka dikemukakan segala bentuk andaian, buruk sangka dan sebagainya, tanpa membahas isu yang merupakan perbezaan pendapat itu sendiri.

Ianya juga membuktikan bahawa hujjah mereka tidak boleh dipertahankan, maka dimulakan serangan peribadi.

Saya sebenarnya tidak mahu memberikan pengiktirafan kepada tulisan kebudak-budakan itu dengan memberi respon kepadanya tetapi, sekali lagi, demi menyelamatkan golongan muda dari terjebak dengan amalan fitnah dan dosa, maka saya terpaksa respon.

Sebelum itu saya perlu nyatakan sekali lagi bahawa apa yang saya tulis berhubung KD sebelum ini, itu merupakan pandangan saya. Mahu setuju boleh, mahu tolak pun boleh. Tapi setuju dengan hujjah dan tolak dengan hujjah jugalah. Tidak perlu diungkitkan isu-isu yang tidak ada kena mengena dan membuat serangan peribadi. Itu cara UMNO/BN.

Saya dituduh menjatuhkan Almarhum Ustaz Hassan Shukri pada tahun 2002. Ini disebutnya dalam tulisannya yang bertajuk ‘Adakah Khalid Samad Sebagai Kemunculan Bongkah Ais’. Dari tajuk pun sudah boleh dilihat sifat kebudak-budakan penulis.

Seterusnya saya diberi masa tertentu untuk menafikannya. Kalau tidak jawab, maka saya dianggap bersalah! Proses pengadilan jahilliah mana yang diguna pakai pun saya tidak tahu. Dia siapa (yang menuduh saya) dan kenapa saya perlu respon? Kalau ya pun, bawalah ke jawatankuasa disiplin baru ada hak untuk membuat tuduhan rasmi dan menuntut respon. Tetapi begitulah tindakan golongan yang tidak hormat prosedur dalam jemaah. Pencalonan di KD pun tidak mengikut prosedur. Terus pintas memanfaatkan ‘kabel’.

Berhubung tuduhan liarnya, saya kemukakan respons saya secara ringkas:

Pertama, tiada pemilihan pada tahun 2002. Pemilihan berlaku pada tahun 2001 dan 2003 iaitu setiap tahun ganjil seperti tahun ini. Tahun pun sudah tidak betul! Itu yang membuat saya malas layan sebenarnya. Macam kes Tivoli Villa pula…

Kedua, yang menuduh saya sendiri pun masih di bangku sekolah pada tahun berkenaan. Yalah, ianya berlaku lebih 10 tahun yang lalu. Tetapi menuduh saya seolah-olah dia sendiri yang menyaksikannya dengan mata kepalanya sendiri. Dengar sebelah pihak, tidak tanya pun saya, terus disebarkan melalui FB dan sebagainya. Aynal akhlak? Tidak takut dosakah orang muda ini?

Ketiga, ianya pemilihan parti. Sudah pasti saya menyokong satu calon dan menolak yang lain. Setiap seorang hanya satu undi. Kalau saya mengundi si polan bin si polan, adakah wajar saya dituduh menjatuhkan lawannya? Kalau saya memberi pandangan mengapa si A adalah lebih sesuai untuk sesuatu jawatan berbanding si B, adakah saya menjatuhkan si B? Terpulanglah kepada yang mendengar untuk menilai hujjah saya. Apa makna diberikan kuasa untuk memilih kalau tidak dibenarkan membuat pilihan, atas fakta dan hujjah? Kalau itu dituduh menjatuhkan, maka semua yang tidak mengundi Almarhum bersalah atas tuduhan tersebut.

Keempat, Almarhum Ustadz Hassan Shukri adalah Ahli Majlis Syura sehingga beliau meninggal pada tahun 2010. Saya sendiri telah menjadi calon PAS dalam PRU tahun 2004 dan 2008. Jika benar perangai saya seburuk mana yang diceritakan oleh orang muda ini, sudah pasti Almarhum akan memenuhi amanahnya sebagai Ahli Majlis Syura dan menolak pencalonan saya. Sepertimana yang diketahui umum, setiap calon PAS perlu ditapis terlebih dahulu oleh Majlis Syura. Dan begitu juga, setiap anggota Ahli Majlis Syura akan menolak pencalonan saya sekiranya benar tuduhan tersebut. Atau orang muda ini menganggap dia lebih tahu dari semua? Sedangkan beliau terlibat pun tidak pada tahun berkenaan.

Kelima, Almarhum sendiri telah menyertai retreat PAS Shah Alam yang dianjurkan pada tahun 2009. Almarhum tahu bahawa saya adalah YDP Shah Alam pada ketika itu. Sekiranya benar tuduhan orang muda ini, sudah pasti Almarhum tidak akan hadir. Sebaliknya Almarhum hadir dan menyumbang kepada kejayaan program tersebut. Almarhum siap memberikan kata-kata perangsang kepada saya dan ahli PAS Shah Alam atas kemenangan pada tahun 2008. Satu hari kelak mungkin akan saya sebutkan kata-katanya terhadap kemenangan saya pada 2008. Tetapi tidak sekarang dan tidak di sini.

Sebagai kesimpulan, nasihat saya pada orang muda ini;

Pemimpin berusaha membina kekuatan jemaah dengan menimbulkan perasaan kasih-sayang di kalangan ahlinya, bukan dengan menyebarkan fitnah, adu-domba dan syak wasangka. Tuduhan orang muda ini bahawa adanya konspirasi yang melibatkan diri saya dan 6 lagi pimpinan pusat, tanpa mengemukakan bukti adalah bukan sahaja tidak bertanggung-jawab, tetapi menyalahi akhlak Islami. Kalau benar, kemukakan tuduhan bersama bukti kepada jawatan kuasa disiplin dan namakan mereka. Jangan kita menzalimi mereka dan pimpinan lain dengan membuat tuduhan rambang sedemikian rupa. Ianya akan merosakkan ukhuwah jemaah dengan semua pimpinan terpalit dengan tuduhan itu.

Ada yang anggap tanpa menyebut nama maka ianya tidak mengapa. Oleh itu mereka menabur fitnah tanpa menyebut nama orang yang dimaksudkan. Sebenarnya tanpa menyebut nama ianya menzalimi lebih ramai orang kerana orang ramai akan membuat andaian berhubung siapa yang dimaksudkan. Dan yang dimaksudkan pula tidak berpeluang untuk membela diri.

Pemimpin berusaha membina kekuatan jemaah dengan menggalakkan teguran, saling ingat mengingati dan bukan dengan menuntut ketaatan mutlak yang diserupakan dengan wala’ dan thiqah. Malahan wala’ dan thiqah menuntut teguran bukan sebaliknya. Ingat pesanan Rasulullah (SAW) “Addiinu naasihah…”. Ada yang kata teguran perlu dibuat secara berbisik-bisik kepada pimpinan. Ya, Fathul Bari yang kata sebegitu. Kalau pimpinan tidak sanggup ditegur dan dinasihati, walaupun dikhalayak ramai, seperti Umar (RA) maka tidak perlu jadi pemimpin. Maaf, itu pandangan saya. Asyik mahu dipuji sahaja, tidak payah.

Pemimpin berusaha membina keberkesanan jemaah dengan membetulkan yang silap, bukan menutupnya dengan menggunakan alasan-alasan sayang pada jemaah dan jangan dedahkan kelemahan jemaah. Sedangkan selepas berperang, inilah masa yang terbaik untuk memperbaiki kelemahan. Bukan ketika sedang berperang! Kecuali dianggap PAS sudah sempurna dan tiada sebarang kelemahan!

Cukuplah saya menjawab sekadar itu. Dan saya harap orang muda tersebut mengambil iktibar dan pengajaran. Janganlah kerana kita Parti Islam maka kita anggap kita boleh buat apa kita suka. Sepatutnya kita lebih teliti kerana kita adalah sebuah Parti Islam. Biar PAS menjadi contoh dan ikutan. Sekiranya rakan kita membuat silap, jangan kita menggunakan kesilapan itu untuk melakukan perkara yang sama.

Janganlah kerana kita ustadz maka kita boleh buat apa yang kita suka. Sepatutnya sebagai ustadz kita menjadi contoh dan teladan dalam membina kekuatan jemaah melalui akhlak yang mulia. Ilmu adalah amanah, sepertimana segala yang kita miliki di dunia. Maka jangan dikhianati amanah itu.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

sb dehlawi said…
Teruskan yb.....dedahkan salah laku dalam pas...walaupun babitkan ulama. Saya adalah pamastautin di kd. Saya amat kesal dgn tindakan ulama pas yang melanggar ketetapan pas pusat. SEKrANG saya langsung hilang hormat kepada ulama pas kecuali tgna seoang. Pas perlu reform cantas ulama yang pentingkandirisendiri dapada parti
sb dehlawi said…
Saya asal klntan,, saya masih bingung mengapa yb husam disingkir dari kepimpinan negeri. Saya dengar ada usaha untuk singkirkan husam sejak dari dulu lagi. Kalau yb khalid ada maklumat sudilah kongsi dengan penyokong pas
amni said…
Semoga ALLAH merahmati semua yang di dalam jemaah. sikap2 begini yang membuatkan org yang di luar jemaah meluat dgn PAS.

YB, teruskan menegakkan yang haq! kami akan menyokong YB!
opisboi said…
ulamak & puak2 ustaz dlm pas dah terkena sindrom perasan bagus
PAS parti maksum klu depa ni berkuasa...terbuka ler. Bila bn tutup pintu media dan sbgainya tkut dikritik kita mrh, tp klu depa blh pulak. Tak tgk waqi' depa ni. Zaman skrg zaman mklumat,rmi cerdik pndai bkn mcm dulu2. Rkyat dh pndai menilai dan mngkritik.
Unknown said…
Din Ayam memang mengarut.... lempar batu sembunyi tangan.. kena tolak pimpinan 'ulaq dalam semak' bukannya ulamak.. Ini semua bibit-bibit UG la ni... saudara YB telah menjelaskan dengan sejelasnya... tapi se4perti biasa dia tetap nak menegakkan benang yang basah... Saya sokong pimpinan yang berprinsip..TAKBIR...
Kg Morten said…
Dinyatakan secara tuntas. Terima kasih.
Abu Syaukah said…
Teruskanlah.....sesungguhnya kayu jugalah yang akan menumbangkan kayu.....

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-