Showing posts with label gmi. Show all posts
Showing posts with label gmi. Show all posts

Thursday, 17 November 2011

Tangkapan ISA, Najib Tipu Rakyat


Harakahdaily

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) dan Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Dewan Pemuda PAS Pusat menempelak sekeras-kerasnya tangkapan yang dikenakan ke atas 10 orang Pendakwah di Tawau, Sabah di bawah Akta kuku besi, ISA pada 14/11/2011 yang lalu.

Kami telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa yang ditahan bahawa tangkapan tersebut dilakukan oleh Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Kami amat terkejut dengan situasi malang ini tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Maka benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno/Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya Umno/Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu Akta kukubesi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno/Barisan Nasional.

Kami percaya tangkapan ini adalah rentetan daripada laporan oleh pihak PAS Sabah sendiri bahawa ahli-ahli PAS Sabah telah diberikan amaran oleh pihak Polis supaya tidak terlibat dengan program-program politik dan dakwah sekiranya tidak mahu ditangkap.

Justeru, kami percaya bahawa tangkapan ini hakikatnya adalah bermotifkan politik semata-mata dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan Seksyen 73 (1) ISA. Apatah lagi, tangkapan ini berlaku tatkala PAS Sabah melaungkan amaran bahawa PAS Sabah akan memberikan tentangan sengit pada Pilihanraya yang akan datang.

Jadi, kerajaan Umno/Barisan Nasional pada hakikatnya takut dan gusar dengan gelombang tsunami PAS di Sabah yang menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan melainkan kembali menjilat ludah mereka sendiri iaitu kembali menggunakan ISA bagi mengekang kebangkitan PAS di Sabah.

Oleh itu, kami bertegas menggesa kesemua 10 orang yang ditangkap di bahawa ISA ini harus dilepaskan dan dibebaskan dengan serta merta tanpa syarat. Selain itu, mereka ini harus diberikan layanan yang selayaknya sepertimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia iaitu diberikan peluang untuk dibicarakan secara adil di Mahkamah, dan bukannya ditangkap tanpa diberikan peluang untuk dibicarakan.

Sekiranya pihak Polis benar-benar yakin bahawa mereka mempunyai bukti yang kukuh dalam mengaitkan para tahanan dengan sebarang aktiviti keganasan, seharusnya pihak Polis tidak teragak-agak untuk menuduh mereka di Mahkamah terbuka dan membenarkan para tahanan ini membela diri secara adil di Mahkamah kerana banyak peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang boleh diguna-pakai sekiranya pihak Polis benar-benar meyakini mereka ini terlibat dengan pengganas.

Akhirnya, Kerajaan Umno/Barisan Nasional dicabar supaya berdepan dengan rakyat secara ”gentleman” pada hari pengundian Pilihanraya Umum yang akan datang, dan bukannya bersikap bacul dan penakut dengan menakut-nakutkan rakyat melalui Akta ISA yang ketinggalan zaman ini.

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi (Pengarah JUHAM)
Abang Ahmad Kardee Abang Masagus (Pengarah Jab Hal Ehwal Sabah & Sarawak)

Eishhh Kata ISA dah dihapuskan.. Awat ada 10 orang kena tahan ISA lagi..???

Tangkapan terbaru ISA, GMI selar Najib

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Penangkapan terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 10 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah Isnin lalu membuktikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya 'sandiwara'.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ianya secara jelas menunjukkan bahawa Najib sememangnya tidak ikhlas dengan pengumumannya sebelum ini untuk memansuhkan ISA.

"Penahanan terbaru ini menjadi satu singgungan yang kuat kepada rakyat.

"Ia tak memberi apa-apa makna kepada janji perdana menteri untuk memansuhkan ISA melainkan hanya sandiwara untuk mendapat sokongan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat terbaru berhubung penahanan 10 aktivis Islam di bawah akta itu di Sabah, 14 November lalu.

Semalam, Pesuruhjayanya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Menurutnya, keluarga atau waris yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian bahawa mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Menurut Syed Ibrahim, GMI bagaimanapun mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 hingga 14 orang yang ditangkap dalam operasi hari tersebut.

"(Dengan pengumuman Najib) Kita jangka tak ada lagi tangkapan besar-besaran seperti apa berlaku ini.

"Tapi malangnya kita lihat tindakan tidak menyokong janji yang dibuat," jelasnya sambil mendakwa akan mengeluarkan kenyataan rasmi GMI hari ini.

Sementara itu, GMI menurutnya akan mendapatkan maklumat lanjut dari waris mangsa tahanan untuk membuat tidakan susulan.

Beliau menyeru pihak keluarga terutamanya dan PAS Sabah memberi kerjasama untuk tujuan tersebut.

"Ramai yang ingat (selepas pengumuman Najib), tidak ada lagi mangsa yang ditahan, dan tiadak ada lagi yang akan ditahan.

"Sebenarnya masih ada yang belum dibebaskan dan masih berlaku tangkapan-tangkapan baru," jelasnya.