Sekalipun hidangan makanan melimpah-ruah ketika menyambut Syawal tetapi itu sebenarnya bukannya untuk pesakit diabetes.
Pesakit diabetes mungkin rasa perit kerana sekadar melihat sahaja dan terpaksa mengekang keinginan demi mengekalkan paras gula dalam badan.
Setelah menunjukkan prestasi baik sepanjang berpuasa di bulan Ramadan, sudah tentu ia perlu diteruskan.
''Hendak makan boleh tetapi jamah sedikit sahaja supaya tidak terkilan untuk merasa makanan yang dihidangkan tetapi bukan dimakan sehingga kenyang,'' kata Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd, Dr. Zainordin Md. Noor.
Katanya, sekalipun perit bagi pesakit diabetes untuk mengawal selera makan pada musim perayaan yang sememangnya penuh dengan makanan tetapi hanya itu sahaja jalan terbaik untuk mereka.
Dr. Zainordin memberitahu, adalah merugikan jika pesakit diabetes tidak mengawal selera makan kerana kebiasaannya kandungan gula telah terkawal sepenuhnya pada bulan puasa.
''Jangan rosakkan paras gula yang terkawal selama sebulan itu dengan sekelip mata disebabkan pengaruh makanan yang dihidangkan dengan banyak di bulan Syawal,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, sepanjang bulan Ramadan kebanyakan pesakit diabetes dapat menurunkan paras gula selepas berpuasa sepanjang hari.
''Ada sesetengah pesakit, tahap gula antara empat hingga lima sahaja dan pencapaian ini sebenarnya cukup baik bagi pengidap diabetes,'' katanya.
Katanya, walaupun selepas berbuka puasa biasanya paras gula akan kembali tinggi antara 10 hingga 11 tetapi akan kembali normal setelah berpuasa pada siangnya.
Jelas Dr. Zainordin, untuk mengelakkan pesakit daripada terjebak dengan longgokan hidangan yang banyak maka ada baiknya jika mereka disediakan dengan hidangan sendiri.
''Ahli keluarga kena membantu menyediakan makanan untuk pesakit dalam bekas berasingan supaya jumlah makanan yang diambil itu tidak berlebihan,'' katanya.
Sehubungan itu katanya, pesakit masih boleh makan bersama dengan keluarga tetapi tidak perlu terikut-ikut mengambil makanan bersama orang lain dengan sesuka hati.
Katanya, tidak boleh juga disalahkan pesakit kerana sesiapa sahaja akan terpengaruh untuk makan kalau makanan yang enak terhidang dengan banyak di atas meja.
Selain itu, kata Dr. Zainordin, pesakit juga dinasihatkan supaya makan ubat yang telah diberikan oleh doktor selama setengah jam sebelum makan.
''Pengambilan ubat amat penting kerana pesakit diabetes tidak boleh mengabaikan ubat untuk mengawal paras gula masing-masing,'' katanya.
Selain itu, pesakit juga dinasihatkan tidak mengambil makanan tradisional yang dihidangkan pada hari raya seperti ketupat, lemang dan rendang dengan banyak.
Menurut beliau, semua makanan itu sememangnya kaya dengan kolesterol yang cukup mudah untuk meningkatkan paras gula.
''Cukuplah jika ingin makan lemang itu hanya sepotong kerana jika lebih sebenarnya ia mengundang lebih banyak kalori,'' kata Dr. Zainordin.
Katanya, pesakit diabetes masih boleh makan tetapi dalam jumlah yang kecil hanya selepas empat jam.
''Ini untuk memberikan masa supaya kandungan gula yang terdapat dalam makanan dapat diserap sepenuhnya,'' katanya.
Biasanya kata beliau, pesakit diabetes digalakkan makan kerap iaitu empat hingga lima kali sehari tetapi dalam jumlah yang kecil.
Dr. Zainordin memberitahu, cara pemakanan yang kerap tetapi sedikit itu lebih baik supaya kadar gula dapat dikawal dan tidak naik mendadak.
''Pesakit perlu sedar adalah penting menjaga makanan di peringkat terkawal ini bagi mengelak penyakit ini lebih teruk sehingga terpaksa melakukan suntikan insulin,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Zainordin pesakit yang sudah di peringkat teruk yang terpaksa menggunakan suntikan insulin lebih mudah mengawal gula khususnya di musim perayaan.
''Ini kerana mereka biasanya akan lebih berhati-hati ketika mengambil makanan dan jika terlebih makan biasanya mereka akan menambah dos insulin yang diperlukan,'' katanya.
Disebabkan makanan punca pesakit diabetes bermasalah, maka Dr. Zainordin menasihatkan agar memakan buah-buahan yang mengandungi banyak serat dan lebihkan minum air kosong untuk menstabilkan kandungan gula.
Katanya, motivasi dalam diri pesakit diabetes itu amat penting kerana pada peringkat ini tidak ada siapa yang akan dapat membantu tetapi ia banyak terserah kepada diri sendiri.
Beliau berkata, jadikan latihan sebulan berpuasa di sepanjang Ramadan itu berterusan bukan sahaja pada bulan Syawal tetapi pada bulan-bulan seterusnya.
Dr. Zainordin memberitahu, apa pun selain mengawal makanan pesakit dinasihatkan juga sesekali tidak meninggalkan ubat yang telah disyorkan oleh doktor.
Ditulis oleh: Sholina Osman
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/