SOALAN:
Doktor, saya berumur 27 tahun dan baru sahaja mendirikan rumah tangga. Saya ingin bertanya adakah masalah senggugut isteri saya yang teruk akan berterusan selepas berkahwin dan adakah kesannya terhadap masalah untuk mengandung?
Adakah juga ubat-ubatan farmasi atau klinik yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah senggugut ini? Tolong bantu saya.
Suami Risau
JAWAPAN:
Masalah senggugut yang dialami oleh isteri encik kemungkinan tinggi disebabkan oleh penyakit endometriosis.
Walaupun ada sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan senggugut, maklumat yang telah encik berikan membawa kepada diagnosis yang paling ketara merupakan endometriosis.
Dalam keadaan endometriosis, wanita biasanya mengalami senggugut dan mungkin juga sakit bila membuat hubungan kelamin dengan suami.
Kemungkinan organ-organ di pelvisnya telah melekat (adhesion) atau juga tiub fallopiannya boleh tersumbat.
Keadaan endometriosis boleh terjadi kepada sesiapa pun dan kadangkala didapati berlaku di kalangan adik-beradik.
Sebab sebenar terjadinya endometriosis sehingga hari ini tidak jelas walaupun ada postulasi yang mengatakan terjadinya pendarahan ‘retrograde’ ke dalam pelvis yang menyebabkan keadaan ini.
Untuk mengetahui sebab sebenarnya senggugut isteri encik, sebaiknya isteri encik perlu diperiksa oleh doktor pakar sakit puan.
Selain daripada ujian ultrasound untuk melihat jika ada sista (bengkak ovari), ujian leproskopi juga boleh dijalankan untuk memastikan ianya endometriosis dan juga untuk melihat jika terdapat jika tiub fallopian yang tersumbat atau tidak.
Jika diagnosis yang dibuat doktor adalah endometriosis, ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengubati keadaan ini dan dia juga digalakkan cepat mengandung.
Sebab-sebab lain senggugut adalah jangkitan pelvis (pelvic inflammatory disease) dan kadangkala disebabkan fibroid terutamanya jenis bertangkai (pedunculated fibroid).
Maka, isteri encik perlu diperiksa secara teliti untuk mendapat diagnosis yang tepat dan perlu diberi rawatan yang sewajarnya secepat mungkin supaya penyakitnya tidak melarat sehingga susah dirawat kelak.
Ditulis oleh:
Dr Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)