Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Wednesday, December 28, 2011
Yogurt Boleh Ubati Stres
Menurut sekumpulan pengkaji Ireland, probiotik, atau bakteria baik yang terkandung di dalam yogurt memiliki potensi untuk mengubah kimia otak dan mengurangkan kecemasan dan gangguan yang berkait rapat dengan tekanan.
Rumusan itu hasil daripada uji kaji ke atas seekor tikus yang diberikan probiotik Lactobacillus rhamnosus. Kumpulan pengkaji tersebut mendapati, tikus yang diberi probiotik kurang memiliki tanda-tanda mengalami stres, cemas dan murung. Tikus itu juga mempunyai hormon stres kortikosteron yang jauh lebih rendah.
“Ini membuktikan bahawa probiotik dapat mempengaruhi kimia otak. Ia juga menunjukkan bakteria berperanan penting dalam komunikasi di antara usus dan otak,” ujar Profesor John Cryan dari Kolej Universiti Cork, Ireland.
Namun begitu, dia menegaskan bahawa orang yang mengalami kemurungan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membeli semua jenis yogurt di pasaran.
EKSTRA: Amalan meminum air daun mangga yang telah direndam semalaman di dalam secawan air sangat membantu meringankan gejala diabetes.
Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/
Tuesday, May 31, 2011
Menentukan Telur Tulen Berkualiti
Industri telur kita mengeluarkan 9.2 bilion biji telur setahun dengan nilai RM2.2 bilion setahun.
Angka itu diperoleh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2009.
Ini bermakna kita mengeluarkan telur yang melebihi keperluan.
Fakta-fakta ini sudah cukup menggambarkan tidak ada sebab kita perlu mengeluarkan telur sintetik atau boleh disebut dengan mudah sebagai telur palsu.
Malaysia mula mencapai tahap SSL sejak 1980-an lagi dengan adanya teknologi terkini dalam pengurusan ayam penelur dan sistem pemakanan yang baik.
Penggunaan sistem reban tertutup dengan persekitaran terkawal, pemberian makanan , pengutipan telur serta penggredan secara automatik menjadikan industri ini berkembang cukup pantas.
Justeru kewujudan apa yang dianggap sebagai telur palsu seperti yang dilaporkan di Pulau Piang baru-baru ini menimbulkan sedikit kesangsian.
Sebagai negara pengeksport, tidak ada sebab untuk mengeluarkan telur palsu yang mungkin harganya lebih mahal dan tidak mungkin ia dapat bertahan untuk menyaingi telur asli.
Sebab itu, penyelidik berpendapat, telur yang didakwa palsu itu sebenarnya telur bergred rendah yang ditolak dalam sistem penggredan dan tidak dipasarkan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai makmal tersendiri untuk menilai dan mengenal pasti telur berkualiti.
Menurut Timbalan Pengarah yang juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Wong Hee Kum, perbandingan dengan telur asli boleh digunakan untuk membuktikan ketulenan atau sebaliknya.
"Ada beberapa faktor luaran dan dalaman telur boleh dijadikan ciri-ciri perbandingan untuk membuktikan telur asli atau telur palsu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.
Telur asli mempunyai warna cangkerang sama ada putih atau perang (coklat). Warna ini pula ditentukan daripada baka ayam yang digunakan .
Baka ayam bulu dan cuping telinga putih akan mengeluarkan telur cangkerang putih manakala ayam berbulu merah dan cuping telinga merah mengeluarkan telur warna perang.
Meskipun terdapat perbezaan warna, ia tidak membezakan kualiti.
Sementara itu Penolong Pegawai Penyelidik Kanan di bahagian yang sama, Noraziah Mokhtar berkata, telur putih tidak lagi terdapat di pasaran ketika ini kerana pengguna di negara ini tidak menggemarinya.
"Komposisi kimianya atau kandungannya adalah sama dengan telur perang tetapi pengguna di negara ini tidak memilihnya menyebabkannya ia tidak lagi dihasilkan," ujarnya.
Seperti juga rakan penyelidiknya, Noraziah berkata, ujian kualiti boleh mengesahkan sama ada telur tersebut palsu atau sebaliknya.
Antara yang dilakukan ialah menjalani proses candling (pendianan) yang mana telur berkenaan dilalukan di bawah cahaya dan beberapa kriteria diperhatikan.
Telur normal yang berkualiti biasanya mempunyai ruang udara pada hujung atas yang lebih kecil. Bagi telur lama ruang udaranya lebih besar.
Cangkerang yang nipis juga menunjukkan telur berkenaan tidak berkualiti.
Selain itu kuning telur dipegang oleh tisu yang dipanggil sebagai kalaza.
Oleh itu beberapa teori mudah ialah tidak mungkin pembuat telur palsu mampu menghasilkan tisu berkenaan dalam sebiji telur.
Pada masa sama, saiz telur asli dan bentuknya tidak terlalu sekata sedangkan jika ia cuba ditiru, maka pembuat telur perlu menyediakan acuan khas.
Ini sekali gus dapat membezakan rupa bentuk luaran telur antara yang palsu dan asli.
Ditulis oleh: Laupa Junus
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Tuesday, March 22, 2011
Stevia 300 Kali Ganda Manis Daripada Tebu
Pada pada masa rakyat di seluruh dunia sedang dibelenggu dengan diabetes iaitu penyakit yang berpunca daripada gula, satu penemuan baru mungkin memberi harapan baru dalam menjauhkan penyakit itu daripada manusia.
Di Malaysia menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat negara ini menghidap diabetes pada 2010.
Ia satu petunjuk membimbangkan kerana ini bermakna lebih 12 peratus rakyat negara ini menghidap diabetes.
Jika sebelum ini tebu menjadi sumber utama gula, bagaimanapun penemuan baru pokok stevia yang mampu menggantikan fungsi pemanis semakin mendapat tempat di hati ramai orang.
Stevia atau nama saintifiknya Stevia Rebaudianna adalah tumbuhan herba dari keluarga Chrysanthemum yang mengandungi glikosida pada daunnya termasuk lebih 10 peratus steviosida.
Bertemu dengan Presiden Megaherbs Bioextreme, Dr. Zubir Yahya mendedahkan stevia mengandungi rasa manis 200 hingga 300 ganda lebih tinggi daripada gula tebu. Ini bermakna seseorang itu tidak perlu mengambil gula dalam kuantiti yang banyak untuk memaniskan secawan kopi atau membuat kek.
Tiada kalori dan toksik
Katanya, stevia boleh dianggap sebagai gula alternatif dalam nutrisi pemakanan yang mengandungi hampir tiada kalori, bebas karbohidrat dan tidak bertoksik.
“Ia baik untuk digunakan oleh pesakit diabetes selain boleh digunakan dalam industri pemakanan.
“Stevia boleh dijadikan sebagai salah satu ramuan dalam proses pembuatan kek, biskut dan sebagai bahan penambah perisa dalam makanan,” katanya ketika ditemui Pesona di pejabatnya di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, stevia mengandungi vitamin A, B, C dan mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.
“Khasiat stevia sukar untuk diragui kerana ia 100 peratus semula jadi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, stevia juga secara umum dikenali sebagai daun ajaib yang mengeluarkan manisan.
Lantaran itulah, jelas Zubir pada penghujung tahun 2008, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah memberi kelulusan kepada stevia digunakan sebagai makanan tambahan.
“Stevia pada masa kini turut mendapat perhatian daripada pengeluar minuman termasuk syarikat minuman bikarbonat,” beritahunya.
Kata Zubir, hasil kajian yang dijalankan mendapati stevia mempunyai kesan terabai pada kadar glukosa gula.
“Ia terjadi akibat daripada steviosida, oleh sebab itu stevia hanya memberikan rasa manis tetapi tidak mempunyai glukos.
“Herba tumbuhan itu juga boleh jadi bahan pemanis asli tanpa bahan kimia aditif,” jelasnya.
Penanaman komersial
Permintaan yang tinggi ke atas stevia menyebabkan pokok yang berasal dari Amerika Selatan turut ditanam di negara ini.
Pengeluaran tanaman itu kini sudah melebihi 2,000 tan setahun dengan negara utama pengguna stevia termasuk Jepun, Australia dan Kanada.
Bercerita mengenai penanaman stevia, kongsi Zubir beberapa langkah perlu dititik beratkan sebelum memulakan penanaman stevia. Ini termasuklah penyediaan tanah, jenis tanah, penyediaan batas, pengairan, pembajaan, aplikasi organik dan penjagaan pokok, pembersihan dan penuaian.
Tanah merah berpasir (kering) adalah jenis tanah yang sesuai, manakala tanah gambut merupakan tanah yang tidak sesuai bagi penanaman stevia.
Batas adalah cara terbaik dan paling ekonomik untuk menanam stevia. Semburan mikro merupakan kaeadah yang sesuai untuk mengairi penanaman stevia.
Pembersihan boleh dilakukan secara manual menggunakan tenaga buruh untuk memastikan kesihatan pokok stevia.
Penuaian boleh dilakukan dengan hanya memetik daun, sekiranya diperlukan pada kuantiti yang kecil. Bagi penuaian secara besar besaran keseluruhan pokok boleh dipotong dan meninggalkan 10 hingga 15 sentimeter dari tanah.
Selaku syarikat yang memasarkan stevia dalam bentuk uncang bagi menggantikan gula dalam minuman, Megaherbs Bioextreme turut menawarkan perladangan kontrak kepada syarikat dan individu yang berminat.
Belajar kerja orang Jepun
Mengenali lanjut individu di belakang Megaherbs Bioextreme itu, Zubir memberitahu bekerja dengan sebuah syarikat Jepun beberapa belas tahun lalu banyak memberi pengajaran berguna dalam diri dan kerjayanya.
Katanya yang kini berusia 44 tahun, sepanjang bekerja dengan syarikat milik warga Jepun itu, cara pemikiran dia yang merupakan anak tempatan juga berubah.
“Cara kerja yang diamalkan oleh pekerja Jepun yang sentiasa komited, menepati masa dan rajin banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menguruskan perniagaan Megaherbs Bioextreme.
“Dasar pandang ke timur juga mengajar saya untuk berfikir perkara yang lebih penting dan tidak membesarkan masalah yang remeh-temeh,” katanya.
Dipetik dari : www.kosmo.com.my
Friday, February 04, 2011
Mata Jelas, Tubuh Langsing
Terdapat lima jenis tembikai iaitu Yellow Watermelon, Orangeglo, Moon and Stars, Cream of Saskatchewan dan Melitopolski. Kelima-lima jenis ini berbeza warna dan saiz.
Tembikai mempunyai kandungan air yang tinggi menjadikan buah tersebut segar terutamanya pada musim panas. Pada yang sama kadar kalori dalam tembikai adalah rendah menjadikannya salah satu buah yang menyihatkan.
100 mg tembikai mengandungi antara lain:
Kalsium - 7 mgTembikai yang kaya dengan potasium membantu menyimpan garam daripada meningkatkan tekanan darah selain mengurangkan risiko mendapat batu karang.
Karbohidrat - 7.55 gm
Lemak - 0.15 gm
Fluorida - 1.5 mcg
Besi - 0.24 mg
Magnesium - 10 mg
Fosforus - 11 mg
Potasium - 112 mg
Protein - 0.61 gm
Sodium - 1 mg
Gula - 6.20 gm
Ada kajian menunjukkan tembikai boleh menguatkan sistem imunisasi dan membantu tubuh memerangi jangkitan selain kaya dengan sumber karotenoid yang mempunyai bahan pencegah kanser.
Amalan memakan tembikai juga dikatakan mampu meredakan simptom-simptom osteoartritis and rheumatoid artritis.
Selain itu, buah yang kaya dengan amti oksida penting itu juga membantu tubuh meneutralkan radikal-radikal bebas yang dapat mengurangkan risiko kanser kolon. Kandungan anti oksida dalam tembikai juga mengurangkan risiko serangan jantung.
Tembikai juga mempunyai kalori yang sangat rendah menjadikannya hidangan sempurna untuk sesiapa saja yang ingin menurunkan berat badan.
Beta karotena dalam tembikai membantu menjadikan penglihatan lebih jelas terutama pada waktu malam.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Monday, February 09, 2009
Seribu Satu Khasiat Ulam
Dahulu, ulam mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Tetapi, kini hidangan ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka.
Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.
Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.
Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.
Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.
Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.
Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.
Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.
Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.
Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.
Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.
Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.
Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.
Sebolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu membuka selera, turut 'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi pemakanan mahupun perubatan.
Untuk itu, para petani perlu memainkan peranan menanam pokok-pokok ulam secara komersial bukan hanya mengharapkan ia tumbuh melata di hutan atau kebun mereka.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Rempah Ratus Pengganti Rasa
Namun, trend gaya hidup kini memaksa sesetengah daripada kita mengambil pendekatan 'Abdul Wahub Ismet Ulam Raja' yang tidak makan tetapi hanya mencium bau makanan. Masakan tidak, gaya hidup, tekanan (stres) dan juga penyakit telah memaksa sekelompok mereka yang malang mengubah cara pemakanan dengan mengelakkan bahan-bahan 'penyedap' makanan dan minuman seperti gula, garam, lemak, minyak serta perasa tiruan.
Sebenarnya, kempen mengurangkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak telah berjalan sejak beberapa tahun lalu memandangkan peningkatan kes penyakit kronik dan masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia. Masalah berkenaan juga semakin teruk apabila semakin ramai kanak-kanak yang obes dan mula menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi dari usia muda lagi.
Remaja pula mula dikesan menghidap penyakit jantung, masalah paru-paru, artritis dan bermacam lagi. Bagi segelintir yang sudah terlambat untuk membuat perubahan, pilihan untuk mengurangkan bahan penyedap sudah tiada kerana ia kini menjadi satu kewajipan dalam kehidupan seharian mereka.
Tiga Abdi
Seperti juga filem Tiga Abdul oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, terdapat tiga penyakit kronik utama yang menyelubungi hidup rakyat negara ini iaitu diabetes, penyakit kardiovaskular (tekanan darah tinggi, jantung, strok) dan kegagalan buah pinggang. Walaupun banyak lagi penyakit kronik lain yang mengancam kualiti hidup kita, tiga penyakit tersebut memaksa penghidapnya mengabdikan diri kepada kawalan diet pemakanan yang amat ketat.
Hilang sudah nikmat rasa bagi mereka ini apabila kebanyakan makanan kegemaran yang enak dan lazat tidak lagi menyentuh lidah, sebaliknya hanya menyeksa hidung dengan bau yang menggoda. Lebih teruk lagi, mereka kini beralih kepada hidangan bermacam jenis ubat-ubatan dalam usaha mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.
Bagi golongan yang sihat sejahtera, sukar digambarkan hidup seseorang itu terkongkong dengan pengambilan ubat sebagai makanan ruji sementara makanan biasa seperti nasi lemak, teh tarik mahupun susu perlu dielakkan. Hilangnya nikmat rasa ini memberi cabaran besar untuk doktor dan pakar pemakanan memastikan pesakit mengawal diet harian mereka.
Sesetengah pesakit yang tewas kepada godaan aroma makanan akhirnya terpaksa menghadapi natijahnya apabila keadaan kesihatan bertambah teruk. Nikmat seminit, derita bertahun.
Namun, adakah pesakit diabetes, penyakit kardiovaskular dan kegagalan buah pinggang selamanya tidak dapat menikmati sebarang rasa dan perisa?
Terlalu banyak gula membahayakan pesakit diabetes, lebih garam dan protein membahayakan pesakit buah pinggang, sementara limpahan lemak dan minyak membahayakan pesakit kardiovaskular. Maka, suramlah hidup penghidap tiga penyakit kronik tersebut tanpa nikmat rasa.
Rasa Perisa
Dalam usaha berkongsi alternatif perisa makanan untuk pesakit, Pusat Perubatan Sunway (SMC) baru-baru ini menganjurkan Bengkel Nutrisi Renal Tahunan ketiganya untuk penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Melalui bengkel ini, Pakar Nefrologi dan Pakar Pemakanan SMC berkongsi bersama pesakit CKD cara mengawal diet tanpa perlu mengorbankan kesemua perisa makanan. Antara alternatif garam, gula dan bahan perasa tiruan yang diketengahkan adalah dengan menggunakan bahan semula jadi yang diamalkan masyarakat kampung sejak turun temurun.
Rempah ratus, antaranya mempunyai kesan sebagai herba, bukan sahaja menambah rasa malahan dapat membantu dalam menjaga tahap kesihatan dan keseimbangan fungsi badan.
Pakar Pemakanan Kanan SMC, Ho Wan Mi menyatakan kawalan pemakanan amat penting bagi pesakit CKD mahupun mereka yang menghidap CKD bersama penyakit lain.
"Kita banyak menggunakan bahan tambahan dalam masakan harian tetapi bahan tambahan ini hanya menambah sedikit sahaja rasa pada makanan.
"Mengurangkan bahan tambahan seperti garam tidak bermakna tiada rasa, sebaliknya ia boleh diganti dengan pelbagai perisa rempah ratus dari bahan semula jadi," katanya.
Jelasnya, bahan seperti kunyit, bawang merah, bawang putih, kayu manis, halia, serai, lada, kurma merah dan cili merupakan contoh rempah yang memberi rasa sebenar makanan.
Tambahnya, perbezaan menggunakan garam dan bahan tambahan lain dengan rempah asli dapat dilihat melalui rasa masakan tradisional, seperti tomyam, yang dimasak menggunakan rempah asli berbanding yang menggunakan bahan siap diproses.
Terdapat sebilangan rempah yang siap diproses juga ditambah bermacam bahan lain termasuk garam berlebihan, perasa, pengawet dan mungkin juga pewarna tiruan untuk meningkatkan rasa dan membolehkannya disimpan lama.
Wan Mi turut mengingatkan peserta bengkel tersebut supaya berwaspada dengan bahan yang digunakan dalam produk siap diproses seperti sos dan kicap, yang mungkin mengandungi bahan yang berbahaya untuk pesakit CKD.
"Dalam hal mengawal diet, hanya orang yang menghadapi situasi sama yang memahami.
"Oleh itu, sokongan keluarga dan pasangan dapat memudahkan usaha pesakit mengawal diet pemakanan. Isteri juga boleh tolong memasak, di samping mengawal bahan yang digunakan dalam hidangan," ujarnya.
Bagaimanapun, untuk tidak membosankan pesakit, dan juga ahli keluarga lain dengan hidangan serupa sepanjang masa, Wan Mi mencadangkan mengambil resipi pelbagai bangsa sebagai pilihan.
Jelasnya, hidangan-hidangan tersebut boleh disesuaikan mengikut rasa dan keadaan kesihatan pesakit. Ini seterusnya boleh diselang-selikan untuk mempelbagaikan menu harian pesakit dan juga ahli keluarga.
Beberapa contoh makanan yang dihidangkan pada bengkel tersebut membuktikan rempah ratus dapat mengekalkan rasa makanan. Walaupun berbeza, ia tetap mempunyai kelazatan tersendiri di samping mempelbagaikan pilihan menu pesakit.
Di Tangan Sendiri
Makan di luar juga tidak digalakkan untuk pesakit CKD, mahupun mana-mana penghidap penyakit kronik. Ini kerana mereka tidak dapat mengawal jenis dan jumlah bahan tambahan yang digunakan dalam makanan dan minuman yang dibeli. Tiada gunanya jika makanan yang dihidang sedap tapi penuh dengan bermacam bahan tambahan. Ia seperti meletakkan kesihatan diri sendiri di tangan orang lain.
Bagi pesakit CKD, keutamaan diberikan kepada kawalan pengambilan garam dan protein. Garam boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah sementara protein menghasilkan bahan buangan yang perlu ditapis buah pinggang. Kedua-duanya memberi lebih tekanan dan mampu meningkatkan kerosakan buah pinggang.
Wan Mi menegaskan, kawalan diet dapat melengahkan keperluan menjalani rawatan dialisis di kalangan pesakit CKD.
"Pemantauan perkembangan CKD (atau penyakit kronik lain) perlu dijalankan secara berkala.
"Untuk pesakit CKD, kandungan kreatinin (bahan buangan metabolisma otot yang ditapis buah pinggang), di dalam darah perlu dikawal pada tahap serendah mungkin," jelasnya.
Menurutnya lagi, kawalan diet pesakit CKD sememangnya sukar tetapi bagi pesakit diabetes yang juga menghidap CKD, kawalannya lebih ketat.
Tambahnya, pesakit diabetes bukan sahaja perlu mengawal pengambilan gula, malahan garam dan juga protein. Bagaimanapun, pengurangan pengambilan gula dan kawalan pemakanan dapat menurunkan paras gula darah dan boleh dianggap satu bonus untuk pesakit.
Wan Mi turut menasihatkan pesakit CKD yang terpaksa memulakan rawatan dialisis supaya mengawal berat badan kerana mereka mungkin akan mula kehilangan banyak berat badan akibat kegagalan penuh fungsi buah pinggang.
Bagi mereka yang masih sihat dan tidak dibelenggu mana-mana penyakit kronik, dinasihatkan supaya mengambil makanan dalam jumlah yang berpada. Di dalam setiap hidangan, terdapat bermacam bahan yang ditambahkan dan mungkin boleh membawa kepada penyakit tertentu.
Dengan keengganan sesetengah peniaga menurunkan harga bahan masakan, dan juga khabar peningkatan harga gula, amat elok jika masa ini dijadikan titik permulaan kawalan diet yang lebih sihat. Walaupun sukar untuk mengelakkan penggunaan produk siap diproses atau amalan makan di luar, sekurang-kurangnya cuba bataskan jumlah garam, gula, lemak dan minyak dalam makanan dan minuman di rumah.
Satu pilihan kecil mengutamakan kesihatan diri dan keluarga memberi kesan besar dalam jangka panjang. Letakkan pilihan itu di tangan anda sendiri.
Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Sunday, February 01, 2009
Kesan Antioksidan Badam
|
|
Memakan badam dapat menurunkan paras dua bio penanda bagi kesan tekanan oksidatif dalam sekumpulan sukarelawan 27 lelaki dan wanita yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.
Kajian yang dijalankan oleh saintis yang dibiayai oleh Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Amerika Syarikat (AS), Lembaga Badam California dan Badan Pembiayaan Penyelidikan Kanada.
Pengarah Makmal Penyelidikan Anti Oksidan, Jeffrey Blumberg di Pusat Penyelidikan Nutrisi Manusia bagi Penuaan Jean Mayer Jabatan Pertanjan Amerika Syarikat (USDA) di Universiti Tufts, Boston, Mass melaporkan penemuan kajiannya dalam Journal Of Nutrition.
Saintis telah menganalisis sampel darah dan air kencing daripada subjek yang mengambil rawatan diet berlainan yang mempunyai kandungan kalori yang sama selama sebulan.
Rawatan berkenaan terdiri daripada dos penuh badam sebanyak 73 gram sehari, separuh dos badam bersama separuh dos mufin dan dos mufin penuh sebagai kawalan.
Subjek berkenaan mengambil diet lain yang rendah lemak bagi menurunkan berat badan dan mengikuti rutin senaman biasa semasa kajian.
Kajian berkenaan bagi membantu penyelidik mengkaji kesan antioksidan apabila memakan badam.
Penyelidik mendapati sukarelawan yang memakan dos penuh badam, kepekatan dua bio penanda tekanan oksidatif - plasma malondialdehyde (MDA) dan urin isoprostanes adalah rendah.
MDA menurun sehingga 19 peratus dalam kumpulan yang mengambil dos penuh badam berbanding pada mula kajian.
Isoprostane menurun sehingga 27 peratus dalam kedua-dua kumpulan badam dibandingkan dengan kumpulan kawalan.
Kajian berkenaan dilihat dapat membantu kesan antioksidan apabila memakan badam dan kajian seterusnya menunjukkan kesan Vitamin E dan terbitan polipenolik seperti flavonoid yang ditemui dalam badam dan pokok kekacang lain.
Kajian berkenaan tidak menunjukkan kandungan minimum diet badam yang membantu memberikan kesan secara biologi.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/