Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label cegah hamil. Show all posts
Showing posts with label cegah hamil. Show all posts

Friday, June 06, 2008

Kaedah Menjarakkan Kehamilan


KEHADIRAN cahaya mata kini memerlukan persediaan rapi ibu bapa dari segi mental, fizikal dan juga ekonomi. – gambar hiasan




















Menjarakkan kehamilan bukan lagi satu perkara yang menjadi tabu kepada masyarakat di Malaysia kini. Kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kesibukan kerja menyebabkan bilangan ahli keluarga kini semakin mengecil berbanding 20 tahun dahulu.

Lantaran itu tidak hairanlah kebanyakan pasangan suami isteri terutama golongan muda memilih untuk merancang keluarga bagi menjarakkan kehamilan atau pun mengehadkan bilangan anak.

Dengan perkembangan dunia perubatan yang semakin maju, sebenarnya tiada lagi istilah ‘termengandung’ yang biasa digunakan oleh kaum wanita sebagai alasan setiap kali hamil lagi.

Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini.

Sama ada kaedah yang digunakan bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.

Jika masyarakat dahulu menggunakan kaedah tradisional seperti memakan air rebusan akar kayu atau jamu untuk mengelak hamil, kemunculan pil kontrasepsi dan kondom turut memberi ‘kelegaan’ bagi pasangan yang ingin merancang keluarga. Dan kini dengan hadirnya pelbagai lagi jenis kontrasepsi yang selamat, berkesan, mudah digunakan dan murah menjadikan perancangan keluarga bukan lagi perkara yang sukar.

Antara kaedah terkini yang semakin mendapat perhatian namun belum digunakan secara menyeluruh adalah implanon.

“Implanon adalah alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas.

Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian,” kata Dr. Hamizah Mohd. Hassan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya lagi, implanon adalah kaedah halangan yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Kebanyakan kegagalan yang berlaku adalah disebabkan kedudukan implanon yang tidak tepat. Wanita yang memakai implanon akan subur semula selepas tiga minggu alat tersebut dibuka malah implanon juga tidak mengganggu hubungan seks seperti sesetengah kontrasepsi.

Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel. Ia bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap sepanjang hayatnya.

“Implanon sesuai untuk ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi mereka,” jelasnya.

Kata Dr. Hamizah, implanon juga bertindak dengan cara memekatkan mukus serviks yang mana dengan sendirinya menghalang kemasukan sperma ke dalam tiub fallopian.

Dengan ini, gangguan berlaku di bahagian endometrium sekretori yang mana ia menjadi nipis dan tidak membenarkan ovulasi berlaku.

Mungkin kedengaran agak menakutkan apabila rod implanon perlu dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan trokar, namun menurut Dr. Hamizah, kaedah ini paling sesuai memandangkan ia kekal sepanjang pemakaian dan tidak memerlukan penjagaan yang melecehkan.

“Kalau dengan cara pil misalnya wanita tersebut mungkin akan terlupa,” katanya.

Namun begitu pemakaian implanon juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kesan pendarahan atau haid yang tidak dijangka.

Menjawab pertanyaan, Dr. Hamizah berkata, ada ketikanya berlaku kesan pendarahan tidak dijangka ketika penggunaan atau selepas tiga hingga empat bulan penggunaan.

Katanya, 50 peratus pemakai mungkin tidak mengalami haid atau mengalami sedikit sekali-sekala, 40 peratus mendapat pusingan haid yang normal manakala 10 peratus mengalami pendarahan banyak dan membebankan. Jika perkara ini berlaku, doktor akan menasihatkan supaya implanon ditanggalkan.

Implanon juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan setempat sebanyak satu peratus. Kesan-kesan yang biasa adalah berlaku lebam di sekitar kawasan kemasukan. Ada juga komplikasi berlaku ketika implanon ingin ditanggalkan terutama jika rod melebihi sebatang.

Masalah-masalah yang biasa dialami ketika menggunakan kontrasepsi lain seperti pening kepala, jerawat dan pertambahan mungkin juga boleh berlaku kepada pemakai implanon.

Namun sehingga kini belum ada pengesahan sama ada implanon boleh mengubah risiko seseorang wanita terhadap kanser payu dara.

Siapa Yang Boleh Menggunakan Implanon?

Wanita yang mahukan kaedah yang mudah, berkesan, mudah dipasang dan ditanggal, mudah kembali untuk subur, kekal di tempat di mana ia dipasang, tidak perlu melakukan sesuatu terhadap kontrasepsi yang dipakai, tidak memakai sebarang kontrasepsi lain dan alah kepada estrogen sintetik.

Siapa Yang Tidak Boleh Menggunakan Implanon?

Wanita yang mempunyai tumor thromboembolic disorder progestogen dependent (sama ada sudah mengetahuinya atau disyaki), mempunyai sejarah lalu atau semasa penyakit hepatik yang teruk seperti fungsi hati tidak kembali kepada normal, tumor hati benign atau malignant, carcinoma di dada, sedang hamil atau mengalami pendarahan vagina.

Fakta Mengenai Implanon:

>> berbentuk rod sepanjang 4 sm x 2 mm, mengandungi 68 miligram gonane progestin etonogestrel.

>> implanon boleh dikeluarkan pada bila-bila masa namun penggunaannya perlu dihadkan sehingga tiga tahun sahaja.

>> mula sekali diperkenalkan di Indonesia pada 1998, kemudian diluluskan penggunaannya di 30 negara lain dan kini telah dipakai oleh lebih 2.5 juta wanita seluruh dunia.

Cara Pemakaian:

Anestetik disuntik pada bahagian lengan atas dan kemudian alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod implanon di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf atau diletakkan di tempat yang tidak betul yang akhirnya menyebabkan kehamilan yang tidak diingini. Hanya 3.6 peratus pemakai implanon pernah mengalami komplikasi setempat termasuk bengkak, kemerahan, hematoma dan kesakitan.

Mengapa Perlu Perancang Keluarga?

Kata Dr. Hamizah, kaedah perancangan keluarga adalah untuk menjarakkan kehamilan atau mengehadkan bilangan anak sama ada secara sementara atau kekal.

“Perlu diingat bahawa kaedah perancangan keluarga bukan bererti tidak mahu anak,” katanya.

Menurut Dr. Hamizah, seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga adalah bersebab seperti menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat.

Jelasnya lagi, fatwa daripada Majlis Fatwa pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

“Keadaan yang diharuskan adalah isteri terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

“Merancang keluarga adalah bersifat sementara, menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus,” katanya menjelaskan mengenai fatwa tersebut.

Jenis-Jenis Kaedah Perancang Keluarga:

1. Tradisional

Penggunaan jamu, herba dan ubatan tradisional masyarakat lama.

2. Semulajadi

Mengunakan kaedah masa selamat, suhu badan (masa subur/ tidak subur), mukus serviks (perubahan kepekatan dan warna) dan azal (mencabut zakar sebelum ejakulasi). Peratus kegagalan tinggi kerana sukar menentukan waktu kesuburan yang tepat.

3. Halangan

Penggunaan kondom (lelaki/ wanita), diafram, kap serviks dan spermisid (bunuh sperma). Kegagalan masih boleh berlaku.

4. Hormonal

Pil, suntikan, implanon, tampalan (belum ada di Malaysia) dan gegelang vagina (belum ada di Malaysia). Kesuburan baik pulih selepas kontrasepsi dihenti atau ditanggalkan.

5. Kontrasepsi darurat

Pil mencegah kehamilan selepas satu persetubuhan yang tidak dilindungi. Perlindungan berkesan 72 jam selepas persetubuhan, kurang berkesan selepas itu dan boleh diambil untuk tempoh 120 jam (lima hari).

6. Alat dalam rahim (ADR)

Alat yang dimasukkan dalam rahim dan dibiarkan untuk tempoh tertentu. Diperbuat daripada polietelin dan kuprum. Berkesan antara tiga hingga lima tahun bergantung kepada luas permukaan kuprum. Peratus kegagalan 0.16 kehamilan dalam 100 wanita setahun.

7. Pemandulan

Lelaki (vasektomi- mengikat saluran vas deferens) dan wanita (pembedahan untuk mengikat kedua-dua saluran tiub fallopian).

Menurut Majlis Fatwa pada 1981, memandulkan perempuan atau lelaki adalah haram kerana dianggap kontrasepsi kekal. Namun pengecualian diberi dengan bersebab; wanita itu tidak boleh menggunakan sebarang kaedah lain atas alasan kesihatan yang mana hamil boleh membahayakan nyawanya sendiri.

Nasihat Doktor Kepada Mereka Yang Ingin Merancang Keluarga?

Dapatkan rundingan daripada pakar mengenai kaedah yang bersesuaian. Jangan dengar cadangan orang lain selain doktor kerana tidak semua kaedah sesuai dengan semua orang.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my