Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, April 29, 2011

Rahsia Tahan Lebih Lama

SOALAN:
Saya ingin bertanya kepada doktor mengenai penggunaan ubat kuat seks atau krim seks. Adakah penggunaan ubat seperti ini akan mendatangkan kesan jangka panjang seperti masalah mati pucuk di kemudian hari? Sesuaikah ubat kuat digunakan ketika bersama isteri? 

Untuk pengetahuan doktor, saya mengalami masalah klimaks yang sangat cepat. Paling lama saya mampu bertahan untuk tiga hingga tujuh minit saja. Harap doktor dapat memberi ulasan mengenai produk yang saya nyatakan tadi. Terima kasih.

Zaimi, 

Kajang

JAWAPAN:
Anda mungkin tahu bahawa bukan anda seorang saja yang mengamalkan penggunaan krim seks atau ubat kuat. Sebenarnya, lebih ramai lelaki kerap mengamalkannya untuk tujuan yang sama tanpa mengira kesan sampingan atau kesan jangka panjang yang boleh berlaku kepada kesihatan mereka dan pasangan.

Anda mengamalkan bahan berkenaan kerana mahu beraksi lama. Anda juga hanya mampu bertahan tiga hingga tujuh minit apabila beraksi dan anda percaya masa itu tidak cukup atau tidak normal seperti orang lain.

Sebenarnya, untuk melayari bahtera suami isteri, seseorang itu perlu mempunyai kesihatan yang baik, tahap fizikal dan stamina yang mantap.

Selain itu anda perlu mempunyai daya kawalan minda yang kukuh supaya dapat mengawal diri daripada ejakulasi cepat atau dapat mengawal ejakulasi sehingga pasangan anda mencapai kemuncak.

Pendek kata, apa yang jelas mengenai kemampuan syahwat dan daya aksi seksual dengan pasangan ialah minda yang cergas, daya tumpuan yang kukuh, tubuh badan yang sihat dan daya kawalan beraksi ketika bersetubuh.

Krim, ubat kuat atau makanan tambahan hanya berfungsi sebagai bahan sokongan, itupun jika ia benar-benar berkesan. Kebanyakan produk dalam pasaran tidak pernah dikaji dan hampir keseluruhannya mengandungi bahan kimia terlarang yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Anda perlu berwaspada dengan iklan ubat kuat atau krim ajaib yang kononnya dapat membantu melewatkan ejakulasi. Mengenai masalah cepat klimaks, definisi sebenar ialah apabila ejakulasi berlaku lebih awal daripada yang diharapkan atau apabila ejakulasi berlaku kurang seminit dari peringkat ereksi masuk dan pencapaian ejakulasi.

Jadi tiga hingga tujuh minit itu dikira normal jika masa yang anda kira itu bermula dari saat memasukkan ereksi sehingga ejakulasi berlaku.

Jika anda mengira dari mula beraksi, termasuk aksi pemanasan dan penetrasi, masa itu boleh dikira agak cepat. Anda perlu memahami dan mempelajari teknik persetubuhan yang tepat.

Contohnya, tekanan kepada penghujung kemaluan dikurangkan dengan cara mengekalkan ereksi di dalam kemaluan isteri tanpa dikeluarkan, sambil meningkatkan geselan bahagian pangkal kemaluan ke langit kemaluan isteri. Ia dikenali sebagai ‘Coital Alignment’.

Cara ini dapat mengurangkan geselan hujung zakar dan secara langsung dapat memanjangkan aksi hubungan suami isteri. Jika penghujung zakar amat sensitif, mungkin dengan cara menggunakan gel ‘local anaesthetic’ (pengebas) dapat membantu mengurangkannya.

Krim pengebas yang dijual di luar sana sebenarnya tidak tulen. Hakikatnya, ia hanya sejenis ubat peradang kulit dan tidak selamat untuk digunakan secara kerap. Anda boleh dapatkan gel pengebas daripada doktor.

Ditulis oleh: Dr Ismail Thamby 
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Wednesday, April 27, 2011

Cepat Pancut

SOALAN:
Saya mungkin mengalami masalah pancutan air mani.

Pada pandangan doktor, adakah kadar kekuatan pancutan air mani mempengaruhi orgasm isteri?


Suami Runsing

JAWAPAN
Pancutan air mani berlaku apabila lelaki itu mencapai klimaks atau kemuncak rangsangan seksual. Ketika dalam keadaan terangsang, semua otot yang terbabit dalam menjayakan penetrasi seperti otot lantai pelvis atau otot kemut serta otot lain otot punggung, otot belakang, otot paha dan semua otot badan berada dalam keadaan tegap dan aktif.

Sistem pancutan juga berada dalam keadaan mantap. Apabila seseorang lelaki mencapai klimaks, sistem pancutan menjadi aktif dan air mani terkeluar secara pancutan dengan cengkaman otot lantai pelvis atau otot kemut yang berlaku secara spontan.

Apabila lelaki itu cuba mengawal ejakulasi dengan hasrat melengahkan ejakulasi secara kemutan, daya ejakulasinya akan terbantut dan air maninya akan keluar secara meleleh.

Sistem pancutan turut menjadi kurang bersemangat apabila umur lelaki itu meningkat dan otot yang mengawal pancutan juga menjadi lemah akibat perubahan umur dan kurang daya fizikal.

Jika ingin mencapai ejakulasi lebih dinamik, lelaki itu perlu mengekalkan gaya hidup sihat seperti melakukan senaman berkala supaya otot badan menjadi kuat.

Paling tidak, cuba lakukan lakukan senaman kemut (senaman Kegel) dan elakkan mengemut ketika ejakulasi berlaku supaya daya pancutan lebih mantap.

Ditulis oleh: Dr Ismail Thamby
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Monday, April 25, 2011

SOALAN:
Saya mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun dan hamil selepas empat bulan berkahwin tetapi keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

Saya mengalami demam panas setiap malam selepas keguguran sehingga kini iaitu hampir tiga bulan saya demam. Saya sudah berjumpa dengan doktor pakar sakit puan tetapi katanya itu masalah biasa seperti orang bersalin.


Saya juga mengalami kegatalan yang serius pada bahagian alat sulit saya.
Apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi?

Meera,
Kedah


JAWAPAN:
DEMAM lazimnya adalah satu petanda jangkitan kuman. Walaupun begitu, ia jarang bertahan selama tiga bulan tanpa mengakibatkan kesan teruk kepada penghidapnya. Ia juga tidak memilih pada waktu tertentu sahaja misalnya malam.

Dalam keadaan anda yang baru lepas keguguran, pemeriksaan doktor dilakukan untuk memastikan demam itu tiada kaitan dengan komplikasi keguguran dahulu contohnya jangkitan kepada rahim (endometritis), ataupun sebab keadaan lain yang tiada kaitan dengan keguguran.

Demam juga mungkin bukan petanda jangkitan kuman tetapi masalah lain. Mungkin terdapat salah faham mengenai alasan demam panas selama tiga bulan adalah perkara biasa bagi orang bersalin, saya belum pernah membaca mengenai perkara ini.

Bagi wanita yang sedang hamil, panas tubuh badan (bukannya demam) adalah suatu kemungkinan akibat perubahan hormon.

Tidak salah untuk anda berjumpa semula doktor anda atau mendapatkan pemeriksaan doktor kedua untuk kepastian. Anda juga mungkin boleh membuat pemantauan sendiri menggunakan alat termometer yang mudah dibeli di farmasi dan mengambil suhu badan anda pada waktu malam dan pagi.

Ujian lanjutan seperti ujian darah boleh dilakukan tetapi rumusan bukan boleh dibuat berdasarkan satu jenis ujian sahaja.

Anda juga dinasihatkan mengutarakan semula masalah kegatalan pada bahagian kemaluan anda, lebih-lebih lagi jika ia berada pada tahap serius seperti yang anda nyatakan.

Kegatalan sebegini lazimnya sudah pun memberi perubahan kepada bahagian terbabit. Pemeriksaan doktor dapat membantunya membuat diagnosa berdasarkan ciri-ciri perubahan yang berlaku.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, April 23, 2011

Sendi Bahu Kaku


“Sendi bahu saya menjadi ketat dan sakit ………” Itulah gejala utama apabila seseorang mengidap penyakit sakit sendi bahu yang kronik dikenali sebagai ‘frozen shoulder’.
Dua gejala utama penyakit ini ialah sakit dan kaku pada sendi bahu menyebabkan pergerakan tangan pada sendi bahu terjejas teruk.

Pada malam, sakit berdenyut-denyut pada bahu akan bertambah kuat, terutama ketika tidur mengiring pada sebelah bahu yang sama.

Penyakit ini bukan saja memberi rasa sakit, malah akan menyebabkan status hilang upaya kerana pesakit tidak mampu menggunakan tangannya untuk melakukan aktiviti atau menjalankan fungsi harian mereka.


Ramai mengidap sakit sendi bahu kronik ini tetapi tidak ramai mendapat rawatan berkesan kerana agak kompleks dan kebanyakan doktor kurang jelas apakah strategi rawatan paling berkesan.

Gejala sakit sendi bahu




  • Sendi yang kaku atau ketat dan sakit bila digerakkan.







  • Sakit berdenyut, terutama pada waktu malam.







  • Otot di sekeliling sendi bahu sakit bila dipicit.







  • Ada bunyi “klik” pada sendi bahu jika digerakkan.







  • Julat pergerakan sendi bahu terhad seperti tidak mampu mengangkat tangan lebih daripada paras bahu dan tidak boleh memusing tangan atau mencapai objek daripada belakang


    Sakit bahu yang kronik boleh menyekat pergerakan sendi bahu

    Oleh kerana dua pergerakan ini adalah pergerakan paling asas pada sendi bahu, maka sakit sendi bahu akan menjejaskan aktiviti dan fungsi harian seseorang.

    Aktiviti seperti mengangkat akhbar untuk dibaca, menyikat rambut, menyidai pakaian, membuka coli daripada belakang, menggaru belakang belikat, mencapai barang di belakang, membuka baju keluar ikut kepala juga menjadi sukar. Pesakit akan rasa kecewa bila menjadi orang yang hilang upaya.

    Secara ringkasnya pergerakan terhad pada sendi bahu boleh disebabkan oleh rasa sakit pada bahu, ototnya yang lemah atau parut yang melekat pada sendi bahu (fibrosis kapsular) atau campuran semuanya.

    Jika komponen utama yang mengehadkan pergerakan sendi bahu dapat dikesan, rawatan spesifik boleh diberikan kepada pesakit.


    Mekanisma sakit bahu yang kompleks

    Mekanisma sakit bahu kronik amat kompleks. Biasanya sakit ini membabitkan beberapa mekanisma secara serentak. Sakit pada sendi bahu tidak semestinya artritis atau keradangan sendi bahu. Sebenarnya sakit dan kaku sendi bahu mempunyai banyak penyebab lain yang lebih lazim.

    Kajian dari Unit Kesakitan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan menunjukkan bahawa lebih 60 peratus pengidap sakit dan kaku sendi bahu disebabkan oleh otot di sekelilingnya yang kejang dan sakit; dinamakan sindrom miofasial.

    Hampir 70 peratus pesakit pula mempunyai masalah keradangan pada tendon (tendinitis ) di sekeliling sendi bahu. Kurang 10 peratus pesakit pengidap sakit bahu kronik disebabkan oleh penyakit artritis sendi bahu.

    Ini menunjukkan penyebab utama sakit sendi bahu adalah kecederaan pada struktur di luar sendi berkenaan.

    Semua penyebab ini memberikan rasa sakit yang nyata pada bahu dan perlu diberikan rawatan khusus.

    Doktor yang merawat perlu bijak membezakan antara satu sebab dengan yang lain untuk rawatan yang lebih objektif. Jika tidak rawatan yang diberikan akan tersasar dan kesakitan dialami pesakit terus berpanjangan.


    Penyebab sakit sendi bahu kronik







  • Kecederaan secara langsung pada sendi bahu







  • Kecederaan berhampiran bahu, seperti kepatahan lengan, tulang selangka







  • Jangkitan kuman dalam sendi bahu







  • Jangkitan virus herpes zoster (kayap) berhampiran sendi bahu







  • Masalah perubatan lain seperti kencing manis dan penyakit tisu perantara







  • Sakit sendi kronik seperti osteoartritis dan artritis reumatoid







  • Strok







  • Penyakit cakera tergelincir dan sendi faset pada tulang leher







  • Sendi bahu tidak bergerak dalam masa yang lama


    Rawatan yang mujarab

    Kunci utama untuk mendapat rawatan mujarab ialah mengenal pasti mekanisma yang menyebabkan sendi bahu menjadi sakit dan kaku. Jika doktor hanya memikirkan artritis dalam sendi, besar kemungkinan rawatannya akan gagal.

    Rawatan untuk sindrom miofasia pada otot bahu dan keradangan tendon pada otot bahu perlu diberikan perhatian lebih kerana kedua-duanya lebih kerap berlaku.

    Kejayaan rawatan adalah berbeza dan amat bergantung kepada kemahiran, teknik terbaru, kecekapan diagnosis dan teknologi sokongan seperti mesin radiofrekuensi.

    Rawatan yang tepat mampu memberi kelegaan sehingga 50 peratus kepada pesakit.

    Secara ringkasnya strategi rawatan sakit sendi bahu adalah seperti berikut;







  • Suntikan pada titik rangsangan atau radiofrekuensi pada otot bahu yang sakit dan kejang







  • Suntikan steroid pada tendon otot yang berlaku keradangan







  • Rawatan radiofrekuensi pada saraf supraskapular untuk membantut isyarat sakit dari bahu







  • Mobilisasi sendi bahu secara pasif dan pesakit diberikan bius setempat







  • Suntikan ubat pelincir atau steroid dalam sendi bahu







  • Rawatan radiofrekuensi pada cakera tergelincir atau sendi faset leher jika berkaitan







  • Fisioterapi







  • Ubat penahan sakit dan pelembut otot







  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

    Thursday, April 21, 2011

    Kemaluan Anak Berusia 5 Tahun Sentiasa Tegang

    SOALAN:
    Saya mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun empat bulan (sekarang memasuki tadika usia 5 tahun). Anak saya selalu mengalami tegang di kemaluannya (zakar), dan dia tidak selesa dengan keadaannya itu. 

    Jadi, anak saya selalu memegang kemaluannya supaya zakarnya dapat turun. Untuk pengetahuan doktor, anak saya pernah menjalani pembedahan hernia semasa umurnya dua tahun.


    Soalan saya, Adakah perkara ini normal pada kanak-kanak seperti anak saya? Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku dan adakah keadaan ini dapat dipulihkan dan bagaimana?

    Ibu Resah


    JAWAPAN:

    Ereksi spontan boleh berlaku kepada semua lelaki baik muda, mahu pun yang tua, cuma tahap, kekuatan dan masa ereksi berbeza.

    Sedangkan bayi lelaki dalam rahim ibu pun boleh mengalami ereksi dan kadangkala doktor yang melakukan ujian imbasan dapat memastikan jantina bayi dalam rahim ibu melalui ereksi spontan bayi lelaki.

    Anda tidak perlu bimbang yang anak anda mudah sangat mencapai ereksi. Dengan dia memegang ereksinya tidak akan menimbulkan masalah dan anda tidak perlu melakukan apa-apa kecuali membiarkannya berlaku.

    Lambat-laun dia tidak akan menumpukan perhatiannya kepada ereksinya apabila perkara itu menjadi biasa, lebih lagi jika anda tidak mengingatkannya tentang perkara itu.

    Jadi ereksi spontan yang berlaku kepada kanak-kanak kecil seperti anak anda, itu perkara normal dan bukan penyakit. Biarkan sahaja dan keadaan akan menjadi biasa.

    Berkaitan dengan angin pasang yang anak anda alami dan sudah pun menjalani pembedahan pemulihan, perkara itu tiada kaitan dengan perilaku dia memegang dan mudah mencapai ereksi spontan.

    Secara kebetulan, komunikasi atau jalanan antara kerandut dan perut kekal setelah buah zakar itu masuk ke dalam kerandut dari tempat asalnya, iaitu berdekatan buah pinggang dalam perut ketika bayi lelaki itu masih dalam perut ibu.

    Apabila jalanan itu kekal, ketulan usus boleh termasuk dan bahagian itu akan terjojol apabila bayi itu menangis. Apa yang doktor lakukan itu iaitu melakukan pembedahan pemulihan, menutup jalanan dan memasukkan usus kembali ke dalam perut, memang tepat sekali.

    Ditulis oleh: Dr Ismail Thamby  

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

    Tuesday, April 19, 2011

    Kencing Kotor Bukan Tanda Sakit Buah Pinggang

    SOALAN:
    Salam Doktor,

    Saya telah berkahwin selama enam bulan. Masalah saya disini, saya selalu dijangkiti kencing kotor secara kerap. 


    Saya telah membuat check up di klinik berdekatan dan beliau memberi saya 3 jenis ubat iaitu painkiller (Diclofenac Sodium 50mg), antibiotik (Ceturoxime 250mg) dan pelawas kencing (Ural Effervescent Granules). Kekerapan jangkitan ini selalu terjadi ketika saya datang bulan. Kitaran datang bulan saya normal dan teratur iaitu 22 hingga 23 hari. Doktor mengdiagnosi melalui simptom loya, sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan pundi kencing. Saya tidak mengalami kesakitan ketika membuang air kencing atau air besar cuma kesakitan yang dirasai ketika saya sedang duduk berehat dan sedang aktif seperti berjalan atau berlari. Saya cuma mengalami kencing berdarah pada kali pertama dijangkiti kencing kotor.

    Jangkitan berikutnya tidak diikuti dengan darah kecuali sakit seperti yang saya jelaskan tadi. 

    Doktor yang merawat menasihatkan saya supaya minum air lebih, jangan menahan kencing dan cuci bahagian kemaluan selepas bersama suami. Persoalannya di sini, adakah saya berkemungkinan besar menghidapi masalah buah pinggang dan sekiranya saya mengandung, adakah ubat yang di beri oleh doktor yang merawat saya boleh menjejaskan kandungan saya?  

    Lynn Kajang, Selangor.

    JAWAPAN:
    Kebiasaannya, orang ramai mempunyai tanggapan yang salah tentang kencing kotor. Kencing kotor biasanya terjadi akibat jangkitan kuman. Cara yang terbaik untuk mengesahkan anda mendapat jangkitan kotor atau tidak, lakukan pemeriksaan air kencing di makmal. Ia juga boleh mengesan sama ada masalah kencing kotor anda ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Jika ia hanya jangkitan air kencing biasa, ia tidak ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Begitu juga sekiranya anda mengandung, kencing kotor dan ubat-ubatannya tidak menjejaskan kandungan melainkan anda disahkan sakit buah pinggang.

    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Sunday, April 17, 2011

    Terapi Ozon Bantu Penyembuhan

    Terapi ozon semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di negara ini yang mahu mencuba rawatan alternatif. Namun begitu masih ada berpandangan terapi ozon menyamai rawatan hemodialisis. Ini kerana kaedah serta mesin yang digunakan untuk terapi ozon kelihatan menyerupai mesin untuk rawatan pesakit buah pinggang. Hakikatnya - terapi ozon dan hemodialisis adalah rawatan yang berbeza.

    Dr. Nik Baizura Sabiamad ketika ditanya tentang terapi ozon menjelaskan lebih lanjut perihal rawatan tersebut. Penasihat Perubatan Ozone Medical & Rejuvenation Specialist Centre itu memberitahu kaedah terapi ozon yang ditawarkan di situ adalah Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO). Kaedah tersebut diperkenalkan pada 1999 di mana darah pesakit dikeluarkan kemudian disaring lalu dialirkan udara ozon-oksigen.

    Tempoh rawatan yang memakan masa sejam itu secara keseluruhannya akan melibatkan satu per tiga daripada keseluruhan darah dalam tubuh seseorang dikeluar dan disaring sebelum dialirkan ozon-oksigen.
    Proses tersebut menurut Dr. Nik Baizura dibuat secara beransur di mana sebanyak 30 mililiter darah dikeluarkan setiap minit menghasilkan 1800 mililiter sepanjang sejam proses rawatan dijalankan.

    Melalui kaedah EBOO, darah akan dialir keluar ke satu penapis di mana kuman, sel-sel kanser, kolesterol, toksin dan sebagainya akan ditapis. Selepas itu barulah proses oksigenasi dan ozonasi bermula. Darah yang telah disaring dialir semula ke dalam badan pesakit.

    Dr. Nik Baizura yang berkelulusan doktor perubatan memberitahu, setiap pesakit yang mahu menjalani terapi ozon akan menjalani pelbagai pemeriksaan awal untuk menentukan tahap kesihatan.

    Pemeriksaan tersebut juga bertujuan melihat apa sebenarnya masalah yang dihadapi pesakit.

    Sejak dibuka lebih dua tahun lalu, pusat tersebut telah berjaya 'menunaikan' harapan banyak pesakit yang menderitai pelbagai jenis penyakit.

    ''Ada pesakit kencing manis, lumpuh, gout dan darah tinggi yang setakat ini semakin menunjukkan perubahan memberangsangkan,'' kata Dr. Nik Baizura. Paling penting menurut beliau, matlamat utama rawatan ozon yang ditawarkan di pusat itu bertujuan mengurangkan penggantungan pesakit terhadap ubat-ubatan.

    ''Alhamdulillah matlamat kami mencapai sasaran serta dapat meringankan beban pesakit supaya mereka dapat menjalani kehidupan baru,'' katanya.

    Bapa Dr. Nik Baizura bekas penembak negara Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang bergantung kepada insulin untuk mengawal tahap gula turut beralih kepada rawatan ozon. Perubahan ketara dialami tokoh sukan itu. Beliau kini aktif bersenam seperti biasa termasuk mengelilingi Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi sebanyak enam kali.

    Bagi Farah Aina, melihat ibunya Habibah Mohd. Amin, 52, ceria menjalani kehidupan harian selepas sembuh daripada penyakit yang dideritai sejak setahun lalu cukup membahagiakan dirinya.

    ''Ibu mengalami bengkak pada kaki dan tangan yang sangat serius. Beliau tidak boleh bergerak dan akhirnya terpaksa menggunakan kerusi roda.

    ''Kini tidak lagi, perubahan ketara selepas menjalani tiga kali rawatan, ibu kini kembali aktif tetapi meneruskan terapi untuk menyelesaikan sisa-sisa penyakit,'' katanya.

    Menurut Dr. Nik Baizura, pesakit digalakkan menjalani tiga kali rawatan iaitu sekali seminggu di peringkat awal terapi. Terapi ozon bukan saja untuk golongan berpenyakit tetapi juga sesuai kepada mereka yang sihat.

    Ditulis oleh: Noraini Abdul Razak  

    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Friday, April 15, 2011

    Fahami Apa Itu Sedut Lemak

    Liposuction atau bahasa pasarnya sedut lemak adalah proses menghapuskan lemak dari lapisan bawah kulit. Untuk memahami apa itu liposuction, kita mesti memahami kulit, lemak badan dan struktur-struktur lemak.

    Kulit bukan sahaja menjadi penutup badan malah ia adalah organ terbesar pada tubuh badan. Fungsi kulit di antaranya menghalang kita menjadi dehidrasi, menghalang organisme memasuki badan dan pelindung kepada cahaya ultraviolet matahari. Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan hypodermis. Epidermis dan dermis merupakan lapisan di mana kelenjar sebum, melanocyte, saraf, rambut tumbuh dan deria sentuh berada.

    Lapisan yang terlibat dalam liposuction adalah hypodermis iaitu tempat lapisan lemak subkutan berada. Walaupun terdapat bahagian badan yang lain tempat menyimpan lemak seperti dalam rongga perut dan di sekitar organ dalaman, tetapi di hypodermislah di mana 50 peratus daripada jumlah ke semua lemak badan tersimpan. Fungsi lemak di hypodermis adalah sebagai penebat , insulasi dan penyimpan tenaga.

    Fungsi sel lemak adalah untuk menyimpan bahan kimia lipid yang menyediakan tenaga untuk tubuh. Tenaga ini disimpan sebagai lemak dalam sel lemak. Sebenarnya lemak secara terus-menerus dimasukkan ke dalam dan dibawa keluar daripada setiap sel lemak. Apabila pengunaan tenaga lebih sedikit daripada penyimpanan tenaga, maka ketidakseimbangan boleh berlaku. Secara umumnya jika anda makan terlalu banyak tetapi terlalu sedikit menggunakan tenaga, lemak terkumpul. Kegemukan juga boleh terjadi apabila proses mengeluarkan lemak dari sel lemak terganggu seperti ketidakseimbangan hormon dalam badan.

    Ada tiga lapisan lemak pada tubuh iaitu dua lapisan lemak pada kulit dan satu lapisan lemak di dalam tubuh badan yang dikenali lemak viscera. Lapisan lemak pertama adalah lapisan yang membentuk selulit jika berlebihan. Lapisan lemak kedua dipisahkan oleh sejenis lapisan yang dikenali sebagai fascia dari lapisan lemak pertama.

    Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua. Oleh itu, masalah selulit juga boleh dirawat dengan kaedah liposuction.
     
    Secara dasarnya, lemak disimpan di tubuh dalam dua bentuk utama. Pertama adalah bentuk gynoid. Ia merujuk kepada pengumpulan lemak di bahagian bawah badan, pinggul, paha dan punggung dan memberi bentuk pir. Bentuk kedua adalah android di mana lemak lebih tertumpu berkumpul di bahagian atas badan dan memberi bentuk epal. Namun begitu ia bukanlah satu kemestian sebaliknya hanyalah sebagai panduan sahaja.

    Orang yang mempunyai badan berbentuk epal selalunya mempunyai masalah lapisan lemak visceral (lapisan ketiga) yang tebal. Mereka biasanya berperut buncit. Penjagaan diet dan senaman sangat penting untuk mengurangkan lapisan lemak viscera. Namun begitu masalah hormon atau ketidakseimbangan hormon boleh menyebabkan peningkatan lapisan lemak visceral (lemak dalam perut).

    Peratusan lemak di dalam tubuh berubah-ubah dan dipengaruhi oleh hormon seperti insulin , estrogen dan testosteron. Apa yang anda perlu tahu apabila mencapai akil baligh, jumlah sel lemak dalam badan akan tetap dan tidak bertambah kecuali jika anda menjadi tersangat gemuk. Selepas akil baligh, sel lemak hanya akan bertambah jika berat badan anda menjadi 200 peratus daripada berat badan ideal. Oleh itu peningkatan dan penurunan berat badan anda sekarang adalah kerana sel lemak itu mengempis atau mengembang. Oleh itu, satu cara untuk membuang sel lemak secara kekal adalah dengan melakukan liposuction.

    Sedut lemak adalah prosedur membuang sel lemak. Sel lemak akan hilang buat selama-lamanya selepas disedut. Namun begitu, jika anda tidak menjaga pemakanan atau melakukan senaman, sel-sel lemak yang tertinggal boleh mengembang dan menyebabkan berat badan anda bertambah.

    Ingin diperjelaskan bahawa, sedut lemak bukanlah jalan termudah untuk menghilangkan berat badan atau sebagai jalan untuk membuang lemak dengan cepat. Jalan yang terbaik dan paling selamat adalah dengan menjaga diet dan senaman di samping memperbetulkan ketidakseimbangan hormon. Menjaga makan dan senaman boleh memperbetulkan fungsi badan dan menghilangkan berat badan.

    Namun begitu, jika anda telah menjaga pemakanan yang sihat dan betul, telah memperbetulkan hormon dan bersenam tetapi masih juga terdapat lapisan lemak di bahagian perut, saddlebags, dada,lengan atau paha maka liposuction boleh membantu.

    Kini terdapat pelbagai kaedah liposuction yang selamat seperti laser liposuction, power assisted liposuction, vaser liposuction, body jet liposuction dan sebagainya. Setiap satu prosedur mempunyai kelebihan masing-masing. Namun begitu, yang paling penting adalah kemahiran dan pengalaman doktor yang melakukannya.


    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Wednesday, April 13, 2011

    Piramid Jadi Panduan

    Pemakanan yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.

    Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.

    Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.

    Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.

    Karbohidrat 

    Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.

    Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.
    Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.

    Protein 

    Asas binaan tulang, darah dan otot.

    Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.

    Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).

    Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).

    Lemak 

    Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.

    Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.

    Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.

    Vitamin dan mineral 

    Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.

    Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.

    Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.

    Air 

    Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.

    Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).

    Amalkan asas pemakanan sihat 

    Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah - bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.

    Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari. Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.

    Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:

    >> Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.

    >> Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.

    >> Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.

    >> Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.

    >> Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.

    Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.

    Penulis ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).


    Ditulis oleh: Dr Tee E Siong
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Monday, April 11, 2011

    Asid Lemak Untuk Wanita

    SOALAN: 
    Saya telah mengamalkan pengambilan minyak evening primrose (EPO) sejak lebih daripada setahun yang lalu. Saya dapat rasai perubahan pada kelembapan kulit dan saya terfikir untuk diberikan kepada ibu. Apakah pengambilannya turut memberi kebaikan kepada ibu yang sudah berusia 52 tahun ? 

    JAWAPAN:
    Kegunaan minyak evening primrose bukanlah sesuatu yang baru, malah secara tradisionalnya ia telah digunakan oleh masyarakat asli Amerika untuk menangani masalah kulit dan keseluruhan pokoknya direbus untuk masalah batuk, sakit kerongkong, artritis, lebam dan beberapa lagi. Pada kurun ke-20 ahli saintis Jerman mengetahui bahawa minyak daripada biji evening primrose boleh diekstrak. Hasil analisis mendapati bahawa minyaknya kaya dengan asid lemak perlu (EFAs), iaitu linoleik (LA) dan asid gamma-linolenik (GLA).

    Kandungannya yang kaya dengan GLA ini semakin mendapat perhatian dan kajian tidak terhenti begitu sahaja, malah kini ia dikenali dan digunakan di seluruh dunia.

    Keajaiban dan kemujaraban kandungan minyak evening primrose ini mendapat pengiktirafan banyak pihak untuk menyokong kegunaannya ke atas beberapa masalah kesihatan termasuklah sindrom prahaid (PMS), artritis reumatoid, diabetik neuropati (masalah terjejasnya fungsi saraf akibat diabetes), ekzema, kesakitan payudara, alergi, menopos dan beberapa lagi. Ini menjadikan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah ini semakin berkembang dan lebih dikenali.

    Asid-asid lemak perlu (EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.

    Bagi mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes, pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada GLA.

    Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras prostaglandin yang lebih rendah.

    Prostaglandin adalah bahan yang menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh, termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.

    Pengambilan asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang lebih mudah dan menyenangkan.

    Dengan itu, jika diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose boleh memberi manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan secara umum.

    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Saturday, April 09, 2011

    Gagal Hadapi Tekanan

    Tatkala dibuka pautan Wikipedia mengenai kes bunuh diri, terbentang senarai panjang nama-nama mereka yang menamatkan riwayat hidup dengan cara sedemikian.

    Bukan calang-calang orang. Antaranya, pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler yang mengambil jalan singkat dengan cara menembak mulut untuk melindungi diri daripada ditangkap tentera Soviet pada tahun 1945.

    Tidak ketinggalan ahli politik Amerika, R.Budd Dwyer, mengambil langkah yang sama ketika sidang media diadakan pada 1987.

    Sekadar memberi dua contoh yang menjadi ingatan masyarakat, sebenarnya terlalu banyak untuk disenaraikan. Tidak keterlaluan andai dikatakan hampir setiap hari ia berlaku. Sama ada mengambil jalan drastik seperti menembak, menggantung, terjun dari tempat tinggi atau dengan mengambil ubat serta dadah berlebihan, tujuannya cuma satu - mati!

    Sungguh tragik sehingga terbayang juga bagaimana mereka yang waras sampai mampu mengambil langkah sedemikian.

    Pakar Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah berkata, tindakan membunuh diri merupakan satu keputusan dinamik dengan niat untuk menamatkan hidup yang berpunca daripada beberapa sebab.

    "Bunuh diri di kalangan mereka yang waras biasanya bertujuan melarikan diri daripada masalah yang ditanggung.

    "Justeru dengan tindakan sedemikian, mereka tidak perlu lagi memikirkan penyelesaian dan berhadapan dengan perasaan malu berikutan masalah tersebut," kata beliau.

    Berbeza dengan mereka yang mengalami masalah mental, si pelaku biasanya sedar dan nekad dengan tindakan yang diambil.

    Namun kata, pelaku juga mungkin mempunyai masalah berkaitan mental seperti kemurungan yang kadangkala tidak disedari menyebabkan mereka boleh melakukan tindakan sebegini.

    Masalah

    Tekanan sosial seperti masalah dengan kerja, keluarga atau peribadi merupakan punca utama seseorang individu mengambil jalan singkat dengan membunuh diri, kata Dr. Nor Hamidah.

    "Biasanya melibatkan masalah besar dalam hidup atau boleh juga dipanggil tekanan akut membuatkan seseorang itu nekad untuk menamatkan riwayat hidup," katanya.

    Jelas beliau lagi, kadangkala si pelaku tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan. Dalam keadaan yang amat terdesak, satu keputusan drastik sudah cukup untuk menghentikan segala-galanya.

    "Terdapat juga kes si pelaku kelihatan seperti tiada masalah namun sebenarnya mengalami tekanan hidup yang sangat terdesak," katanya.

    Lantaran masalah yang ditanggung sukar diatasi, dalam masa yang singkat fikiran mereka boleh melangkaui prinsip sehingga melakukan satu perkara akhir iaitu dengan cara membunuh diri.

    Sebagai contoh beberapa peristiwa di kalangan ahli politik di Jepun yang terlibat dengan skandal atau mengalami kekalahan.

    Jalan paling singkat mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan melarikan diri daripada menanggung malu adalah dengan membunuh diri. Biasanya bila terjadi keadaan begini, kes tersebut ditutup.

    Simptom

    Jelas Dr. Nor Hamidah, mood mereka yang mengambil jalan singkat untuk membunuh diri biasanya boleh dikesan oleh orang yang terdekat.

    "Ada yang memberi petunjuk jelas, seperti melalui kata-kata atau nota. Ada juga yang tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi kita tahu bahawa dia sedang menanggung tekanan yang tinggi," kata beliau.
    Jelasnya, melalui keadaan seperti menyendiri, tidak banyak bercakap dan gelisah sudah menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah.

    Bagi Dr. Nor Hamidah, masalah merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh semua individu. Terpulang pada bagaimana cara kita menangani, ia boleh menjadi masalah paling serius hingga membawa kepada tindakan membunuh diri.

    "Masyarakat sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyekat tindakan akhir ini daripada berlaku. Jika merasai sesuatu kelainan pada orang terdekat seperti ahli keluarga, bawa mereka berjumpa pakar untuk mendapatkan penyelesaian," kata beliau.

    Bagi mereka yang mungkin sedang melihat seseorang individu cuba untuk membunuh diri atau melakukan perkara yang menjurus ke arah itu, lakukan sesuatu sebelum terlambat.

    "Seandainya kita tidak yakin untuk membantu, dapatkan bantuan luar seperti pihak berkuasa dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tidak menjadi penonton atau merelakan sahaja kejadian tersebut berlaku," kata beliau lagi.

    Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Thursday, April 07, 2011

    Pilih Diet Rendah Protein

    Adakah anda tahu risiko kardiovaskular boleh bermula walaupun fungsi buah pinggang mengalami sedikit kerosakan? Dan adakah anda sedar penyakit kardiovaskular menyumbang lebih daripada 50 peratus kematian di kalangan penghidap penyakit buah pinggang kronik?

    Mereka yang menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir mempunyai 10 hingga 30 kali risiko kematian lebih tinggi akibat strok, serangan jantung atau penyakit kardiovaskular yang lain dibandingkan dengan golongan dewasa yang sihat.

    Anda mungkin tertanya, apakah kaitan maklumat ini dengan diri sendiri? Banyak, jika anda mempunyai tanda-tanda penyakit buah pinggang atau jantung, sama ada anda sedar atau tidak.

    Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang dan mereka juga tidak tahu mengenainya. Ujian saringan mudah di mana-mana klinik atau hospital dapat menunjukkan jika anda salah seorang daripada mereka.

    Ini kerana pencegahan awal sakit buah pinggang menjadi lebih kronik dapat menyelamatkan jantung anda.
    Menurut Pakar Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara Selangor, Dr. Soehardy Zainudin, sakit buah pinggang kronik ialah keadaan kedua-dua buah pinggang pesakit mengalami kerosakan.

    Ia berlaku apabila buah pinggang rosak teruk disebabkan oleh penyakit kronik dan tidak lagi boleh menapis bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.

    Lazimnya, kata Dr. Soehardy, penyakit berkembang secara perlahan-lahan dengan menunjukkan tanda-tanda atau gejala yang tidak ketara pada peringkat awalnya.

    ''Malah, kebanyakan penghidap langsung tidak menyedari masalah tersebut sehinggalah fungsi buah pinggang mereka merosot ke tahap kurang daripada 25 peratus berbanding keadaan normal.

    ''Apabila seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, mereka akan sakit teruk beberapa bulan lamanya dan mengalami anemia (pendarahan berlebihan). Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal menyingkirkan bahan kotoran mahupun menyerap bahan-bahan yang berguna,'' jelas beliau.

    Tambahnya, tekanan darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyebab utama yang mencetuskan kegagalan buah pinggang kronik .

    Pada sakit buah pinggang peringkat akhir di negara ini, statistik bersamaan dengan kira-kira 100 orang dalam sejuta penduduk.

    Mengulas lebih lanjut, Dr. Soehardy memberitahu setiap tahun ada lebih empat hingga lima ribu pesakit baru.
    "Pada tahun lepas sahaja terdapat 25 ribu pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Ramai yang tidak tahu kegagalan buah pinggang boleh berlaku secara tiba-tiba atau akut. Keadaan ini selalunya terjadi selepas prosedur pembedahan yang rumit atau kecederaan teruk, ubat-ubatan tertentu seperti penahan sakit atau apabila pembuluh darah yang menghala ke arah buah pinggang tersekat," ujarnya.

    Rawatan

    Dalam pada itu, rawatan bergantung kepada tahap penyakit tersebut dengan matlamat untuk menghentikan atau melengahkan tahap perkembangannya.

    Ketika ini, seseorang yang mengalami sakit buah pinggang kronik sama ada memerlukan penapis tiruan (dialisis) ataupun pemindahan buah pinggang untuk meneruskan hidupnya.

    Diet rendah protein

    Ramai yang tidak menyedari kos terapi penggantian buah pinggang seperti dialisis dan transplan yang jauh lebih tinggi, sehingga 10 kali ganda berbanding pengurusan penyakit buah pinggang yang efektif menerusi terapi pemakanan buah pinggang .

    Bagi mengelakkan pengumpulan bahan buangan terjadi, kata Dr. Soehardy, seseorang itu hendaklah mengehadkan pengambilan protein di dalam makanan kerana protein akan menghasilkan bahan buangan (seperti urea) di dalam air kencing.

    Pada masa yang sama, pengambilan fosfat dalam diet mestilah dikurangkan.

    Dengan mengurangkan pengambilan protein untuk menghalang pengumpulan bahan buangan di dalam badan, jumlah asid amino juga akan turut berkurangan.

    Kini, para pesakit berkenaan mempunyai pilihan termasuk pengurusan makanan yang bijak.

    ''Ini sekali gus membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan paling penting, menangguhkan kegagalan buah pinggang kronik memasuki tahap akhir, dari tempoh tiga ke lima tahun. Selain itu, setiap pesakit perlu menjalankan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok, jangan minum alkohol dan melakukan banyak aktiviti fizikal,'' kata Dr. Soehardy.

    Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Tuesday, April 05, 2011

    Terkucil Tidak Kira Usia


    Soalan umum untuk lelaki dan wanita dewasa. Adakah anda mengalami:
    * rasa seperti selalu ingin membuang air kencing atau tiba-tiba terkencing (kebocoran)
    * kesukaran membuang air kecil
    * kencing tak lawas
    * sakit di kawasan pelvik
    * kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia)
    * sukar mengawal air kencing atau
    * hematuria (kehadiran sel darah merah pada air kencing)
    Jika jawapannya ya, anda perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan dan rundingan segera kerana berkemungkinan mengalami gangguan kencing yang disebabkan beberapa perkara.

    Terkencing atau juga disebut terkucil mungkin masalah biasa bagi mereka yang berusia. Bagaimana pula jika orang muda atau pertengahan umur yang mengalaminya?

    Punca

    Pakar Urologi, Dr. Cyril Natarajan berkata, satu kajian yang dibuat pada 2005 menunjukkan hampir 46 peratus lelaki dan wanita Asia berumur antara 40 hingga 50 tahun mempunyai simptom-simptom seperti di atas.

    Di Malaysia katanya, keadaan ini merupakan masalah kesihatan yang sering dialami tidak kira jantina.

    "Sebenarnya ia boleh menyerang tidak kira usia, namun peningkatan umur mempunyai kaitan dengan masalah ini," kata Dr. Natarajan dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Sanaxeen.

    Menurut beliau, kesedaran mengenai gangguan buang air kecil masih rendah di kalangan rakyat Malaysia, walaupun data menunjukkan 30 peratus wanita negara ini menderita masalah ini.

    Mereka yang mengalami masalah ini juga katanya jarang mendapatkan pandangan dan nasihat pakar yang berkaitan dan membiarkan sahaja ia sehingga terlewat.

    Menurut beliau, fungsi urinari yang sihat bergantung kepada rangkaian neuro otot kompleks yang terdapat pada saluran urinari bawah.

    Kelemahan di bahagian pundi kencing dan uretra akan menyumbang kepada LUTS (Simptom Gangguan Salur Bawah Perkumuhan).

    Masalah kawalan air kencing
    * sukar mengawal pengeluaran air kencing dan berlaku 'kebocoran' melibatkan masalah sosial dan kebersihan
    * terpaksa bergegas membuang air kecil
    * disebabkan batuk, bersin atau ketawa kuat.
    Ia berlaku disebabkan aliran darah yang tidak betul di kawasan berkaitan, jangkitan kuman atau keradangan dan juga pengecutan otot secara umum.
    * Ia juga disebabkan masalah pundi kencing terlalu aktif (OAB).
    Bagaimana ia berlaku?

    Bagi wanita, masalah di bahagian organ pelvik (pengecutan) atau juga disebut rahim jatuh menyumbang kepada gangguan kawalan kencing.

    "Ia disebabkan salah satu simptom sama ada di bahagian dinding vagina dalam atau luar atau hujung vagina dan juga boleh berlaku selepas pembedahan membuang rahim (histerektomi)," kata beliau.

    Namun di kalangan lelaki pula, 20 hingga 30 peratus daripada mereka yang mengalami masalah ini berkaitan dengan masalah prostat seperti hyperplasia prostatik benigna (BPH).

    Kata Dr. Natarajan, pembesaran kelenjar prostat akan menekan salur kencing menyebabkan lelaki tersebut sukar untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

    Ini menyebabkan saki-baki air kencing kekal di dalam pundi dan pesakit terpaksa berulang alik ke tandas dengan kerap.

    Rawatan tanpa pembedahan

    Selain pembedahan, masalah kawalan pundi kencing kata Dr. Natarajan boleh dirawat secara perlahan melalui gaya hidup yang sihat.

    "Hentikan merokok atau mengambil minuman keras (bagi mereka yang berbuat demikian). Amalkan diet yang seimbang, elakkan atau kurangkan minuman berkafein dan bersenam mampu membantu mengatasi masalah ini," kata beliau.

    Menurutnya, rawatan awal lebih baik kerana pesakit boleh mengawalnya dengan lebih mudah. Pesakit juga katanya boleh mengamalkan jadual membuang air kecil mengikut tempoh tertentu bagi melaraskan kembali keadaan tersebut.

    Terdapat juga rawatan perubatan yang mampu membantu seperti ubat yang mengandungi antikolinergik, antikemurungan trisilik, serotonin, hormon antidiuritik dan terapi estrogen setempat. Selain itu perubatan alternatif seperti ekstrak debunga juga boleh membantu.

    Mengenai Sanaxeen

    Mengandungi komponen biologikal seperti mineral, unsur surih, asid amino, asid nukleik dan enzim yang membantu menyeimbang nutrien sel pertumbuhan semula. Ia membantu mengekalkan kesihatan prostat dan pundi kencing. Jenama ini diyakini secara klinikal melebihi 50 tahun dalam membantu mengurangkan simptom pesakit LUTS.

    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Sunday, April 03, 2011

    Rangsangan Tenaga Warga Tua

    Bapa saya mengamalkan pengambilan CoQ10 sejak enam bulan yang lalu atas saranan ahli farmasi untuk kesihatan jantung. Apakah kesan positif yang boleh dijangkakan dengan pengambilannya? Adakah ia juga memberi faedah kepada penghidap masalah kesihatan lain?

    Jawapan: Di kalangan warga tua, pengambilan koenzim Q10 banyak dicadangkan untuk rangsangan tenaga. Tidak terkecuali juga sebagai terapi tambahan di kalangan mereka yang bermasalah dengan jantung. Ini kerana penyelidikan klinikal menyarankan penggunaan koenzim Q10 sahaja atau bersama dengan ubat dan suplemen lain bermanfaat untuk masalah-masalah kesihatan seperti penyakit jantung. Faedahnya kepada masalah ini adalah kerana keupayaannya memperbaiki penghasilan tenaga dalam sel, merencatkan pembentukan darah bergumpal dan bertindak sebagai anti oksida.

    Paras koenzim juga cenderung lebih rendah di kalangan mereka yang menghidap kolesterol tinggi berbanding dengan mereka yang sihat dalam kumpulan umur yang sama. Tambahan pula, terdapat sesetengah ubat untuk mengawal kolesterol atau yang dipanggil statin boleh merendahkan paras semula jadi koenzim Q10 dalam tubuh. Pengambilan koenzim Q10 ini boleh mengembalikan semula parasnya dalam tubuh tanpa menjejaskan kesan positif ubat ke atas kolesterol. Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya adalah potensinya dalam mengurangkan kesakitan otot yang berpunca daripada rawatan statin.

    Koenzim Q10 merupakan kompaun yang boleh dijumpai secara semula jadi dalam tubuh seperti dalam pusat penghasilan tenaga yang dipanggil mitokondria. Koenzim Q10 terlibat dalam membuat molekul-molekul penting yang bertindak sebagai sumber tenaga sel yang utama dan mendorong beberapa proses biologi, termasuk kontraksi otot dan penghasilan protein.

    Koenzim Q10 juga bertindak sebagai antioksida. Antioksida adalah bahan yang menentang radikal bebas, iaitu kompaun yang boleh mendatangkan kemudaratan, termasuk mengubah membran sel dan juga boleh menyebabkan kematian sel-sel. Radikal boleh hadir secara semula jadi, tetapi toksin persekitaran (termasuk sinaran ultra violet, radiasi, asap rokok dan pencemaran air) juga akan menambahkan jumlah partikel yang merosakkan.

    Para saintis percaya radikal bebas menyumbang kepada proses penuaan serta kejadian pelbagai penyakit seperti penyakit jantung dan kanser. Antioksida seperti koenzim boleh meneutralkan radikal bebas .

    Hasil ujian berskala kecil juga memperlihatkan pengambilan koenzim Q10 berpotensi memberi kesan positif untuk :
    * Penyakit parkinson
    * Meningkat fungsi imun
    * Sakit kepala akibat migrain
    * Serangan jantung mengejut
    * Hipertensi
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Friday, April 01, 2011

    Kepentingan Ujian Saringan Kesihatan

    Sejauh  mana anda menyedari kepentingan ujian saringan dan menjalani pemeriksaan itu? Kebanyakan orang kurang sedar malah ada segelintir tidak tahu langsung apakah itu ujian saringan dan keperluannya dalam memelihara kesihatan.

    Ujian saringan adalah kajian atau penilaian untuk mengesan simptom awal penyakit kronik bagi memudahkan pencegahan dan rawatan.

    Pakar Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) , Dr. Nani Deraman berkata, ujian saringan terbahagi kepada banyak jenis dan satu daripadanya yang sering digalak serta diberi penekanan untuk dijalankan adalah Ujian Saringan Kardiovaskular.

    Katanya, dengan Ujian Saringan Kardiovaskular, doktor akan melakukan tiga ujian iaitu tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit-penyakit kronik berkaitan jantung.

    "Pemeriksaan tekanan darah dilakukan untuk mengesan penyakit darah tinggi atau darah rendah, kandungan gula dalam darah bagi kencing manis dan paras kolesterol dalam darah untuk memastikan tahap kolesterol seseorang.

    "Doktor akan mengambil satu sampel darah dari badan seseorang untuk ketiga-tiga ujian ini dan ia akan dihantar ke makmal bagi memperoleh keputusan tepat.

    "Jika seseorang mempunyai penyakit atau berisiko mendapat penyakit kronik, doktor akan merawatnya melalui ubat, memantau dan memberikan cara terbaik mengatasi serta mengawalnya supaya ia tidak menjadi serius," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

    Nani memberitahu, bagaimanapun, masyarakat dilihat kurang menjalankan ujian saringan atas beberapa faktor antaranya tidak mempunyai kesedaran mendalam mengenai kepentingan pemeriksaan itu dan kesibukan masa.
    Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melakukan ujian saringan kerana ia amat penting dalam menunjukkan keadaan kesihatan semasa mereka dan mampu mengurang atau mengelakkan risiko dijangkiti penyakit kronik berkaitan kardiovaskular.

    Beliau berkata, penyakit darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol tinggi adalah faktor utama menyumbang kepada penyakit jantung yang menjadi penyakit pembunuh nombor satu di negara ini.

    Menurutnya, secara normal, seseorang digalak menjalankan ujian saringan sekali setiap tahun bermula usia 40 tahun dan ke atas.

    Bagaimanapun, individu yang mempunyai sejarah keluarga berpenyakit kronik dinasihatkan berjumpa doktor pada usia lebih muda untuk mengetahui secara lanjut mengenai ujian saringan ini, ujian saringan lain dan tempoh bersesuaian menjalankan pemeriksaan berkenaan.

    "Seseorang boleh menjalankan ujian saringan di mana-mana klinik kerajaan dan hospital, klinik serta makmal swasta yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

    "Mereka perlu berpuasa selama lapan jam sebelum boleh menjalani ujian saringan.

    "Tempoh ujian saringan hanya beberapa minit namun keputusan tepatnya akan diperoleh dalam jangkamasa kira-kira seminggu jika dijalankan di hospital, klinik dan makmal swasta serta sebulan di klinik kerajaan," ujarnya.

    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/