Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Di bawah ini sebahagian daripada petikan artikel yang saya salin daripada blog Bayyinat.
Fudhail bin Iyyad pernah punya sejarah hidup yang kelam. Dalam sebuah kisah hidupnya, dia ialah seorang samseng. Dia suka mengganggu orang di jalanan hingga para penduduk berasa takut untuk melalui jalan itu sekiranya ada Fudhail di hadapan. Sanggup mereka berpatah balik dan mencari jalan alternatif. Lihat, betapa dahulu Fudhail ini sangat tidak disukai masyarakat.
Satu hari, dalam kebiasaannya mengganggu orang, dia memanjat rumah orang. Dan pada satu rumah itu, ada seorang wanita cantik yang sedang membaca al-Quran. Isi rumah itu sedang membaca ayat ini:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ
"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk dan tunduk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik" (al-Hadid ayat 16)
Lalu merembeslah keluar air mata Fudhail Bin Iyyad. Bibirnya merintih, "Ya Allah. Telah tiba masanya. Telah tiba masanya". Lalu dia bertaubat- taubat nasuha. Taubat sungguh-sungguh hingga tiada lagi daki jahiliyyah yang merintik. Semuanya diseka, semuanya dicuci dengan amal soleh dan pembaikian diri.
Itu suatu kisah yang sangat menakjubkan. Orang yang paling buruk, Allah pusing sedikit sahaja hatinya lalu dia berubah menjadi orang yang paling baik! Allah beri dia mendengar satu ayat al-Quran sahaja, dan hatinya terus sahaja berubah paksi. Sedang kita? Setiap sebulan khatam sekali bacaan al-Quran, tapi adakah ia benar-benar meninggalkan bekas dalam hati kita? Atau adakah kita membaca al-Quran, hanya wayang sahaja? Satu sandiwara menipu untuk menimbulkan titik-titik kekaguman dalam hati orang lain- kononnya aku lebih baik dari kamu.