Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, December 31, 2011

Selamat Tahun Baru 2012





Selamat Tahun Baru 2012

Semoga bertambah....

maju jayanya iman

dan

ketaqwaan kita
terhadap

Allah swt dan kehidupan.












Renung wasiat

Hassan al-Banna untuk

mula tahun baru



SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.





Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai bila-bila.





Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011 kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih berjaya.






Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:









  • Segeralah tunaikan solat pada awal waktu iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda.

    Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.

    Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.









  • Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan.

    Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

    Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.









  • Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.

    Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!









  • Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!











  • Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa! Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya.

    Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.

    Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!









  • Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.










  • Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.

    Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.










  • Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.








  • Sukakah anda makan daging? Pasti anda suka! Tapi sukakah anda makan daging kawan anda yang sudah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang mengumpat.








  • Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.









  • Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua.








  • Salam kemesraan adalah untuk sejagat.








  • Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.


  • Maksimumkan faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan.






  • Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa saudaramu, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.









  • Selamat menyambut tahun baru 2012!


























  • Teruskan membaca..

    Menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan


    Islamic-Greeting_15.jpg












    Azam baik

    tidak perlu tunggu tahun baru

    untuk diterap





    ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.




    Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.
    Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.








    " Dan syaitan bermaksud menyesatkan

    manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. "



    - (Surah an-Nisa, Ayat 60)







    Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.





    Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.





    Firman Allah bermaksud:





    “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia



    dengan sesat yang sejauh-jauhnya.”



    – (Surah an-Nisa, ayat 60)






    Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain. Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.





    Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.





    Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain.






    Sabda Rasulullah bermaksud:






    “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum,


    maka dia dalam kalangan mereka”


    (Hadis riwayat Abu Daud).






    Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.






    Allah memberi peringatan agar mementingkan masa.







    Maksud firman Allah:





    “Demi masa!

    Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,

    kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh

    serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran

    dan berpesan-pesan dengan sabar.”

    – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)









    Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.





    Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.





    Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.





    Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.





    Sabda Rasulullah yang bermaksud:



    “Sesungguhnya orang mukmin

    apabila melakukan dosa bererti ia

    membuat noda dengan sebuah titik hitam

    di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat,

    meninggalkan perbuatannya,

    dan memohon ampun kepada Allah,

    maka hatinya jernih kembali.

    Tetapi apabila ia menambah dosanya,

    maka bertambahlah titik hitam itu hingga

    menutupi seluruh hatinya.”



    – (Hadis Riwayat Ahmad)





















    Teruskan membaca..

    Kerajaan tanggung RM147j kos mansuh yuran






    Tambahan RM20 juta




    MUHYIDDIN  melihat kandungan buku teks ketika  mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.
    MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks
    ketika mengadakan lawatan ke
    Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail
    di Petaling Jaya, semalam.






    Kerajaan tanggung RM147j kos mansuh yuran







    PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.







    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.
    “Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.






    “Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.






    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.







    Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.






    Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.






    Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.






    “Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.






    Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.






    “Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.






    Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.






    “Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.







    Teruskan membaca..

    Tubuh Majlis Bahasa Inggeris




    Tubuh Majlis Bahasa Inggeris

    MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan para pelajar
    semasa meninjau persiapan menjelang musim baru persekolahan 2012
    di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail,
    Kuala Lumpur, semalam.






    KUALA LUMPUR 30 Dis. - Majlis Bahasa Inggeris yang bertujuan mengkaji kualiti dan standard sistem pengajaran, pembelajaran serta pencapaian bahasa tersebut di kalangan pelajar akan ditubuhkan tahun depan.




    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis itu yang akan dianggotai oleh pakar tempatan dan luar negara antaranya dari Universiti Cambridge akan meneliti dan menyediakan penanda aras tentang perkara itu kepada kerajaan.




    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak mahu dilihat terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian bahasa Inggeris di kalangan pelajar sedangkan belum pernah ada penilaian menyeluruh dibuat mengenainya.




    "Majlis Bahasa Inggeris kelak akan menjadi rujukan serta penanda aras untuk semua pihak sama ada Kementerian Pelajaran atau sekolah swasta untuk menilai kedudukan standard Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.




    "Kita mahu standard pengajaran, pembelajaran serta pencapaian bahasa Inggeris di sekolah sama dengan standard antarabangsa. Kita tidak mahu dilihat syok sendiri dengan mendakwa kita terbaik, padahal belum ada kajian dibuat.




    "Buat masa ini kita sedang menggubal format-format yang berkaitan sejajar dengan matlamat penubuhan majlis ini," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini.




    Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil kira penanda aras majlis tersebut terlebih dahulu sebelum langkah wajib lulus bahasa Inggeris bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan, Muhyiddin berkata, ia akan dilihat kemudian.




    Dalam pada itu beliau berkata, sistem interaksi langsung yang membolehkan ibu bapa dan guru berkomunikasi secara maya akan diwujudkan di sekolah-sekolah bagi membolehkan prestasi setiap pelajar dipantau secara terus.




    Jelasnya, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan bagi membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini prestasi anak mereka selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan pada 2014.




    "Pendekatan ini telah lama digunakan di negara maju dan melalui interaksi langsung menggunakan teknologi maklumat ini, ibu bapa boleh mengenal pasti prestasi anak-anak mereka kerana PMR selepas ini akan dimansuhkan," katanya.






    Sumber



















    Teruskan membaca..

    Keputusan guna bahasa Melayu tepat





    Keputusan guna bahasa Melayu tepat






    PETALING JAYA: Sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari depan memilih bahasa Melayu atau dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik.


    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.
    Beliau berkata, berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran, hanya 11 peratus pelajar memilih belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.




    "Angka yang diperoleh membuktikan dengan jelas kenapa kerajaan menetapkan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI," katanya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, di sini, bagi melihat persiapan pihak sekolah menghadapi sesi persekolahan 2012, bermula minggu depan.



    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar yang diputuskan itu sesuai dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bagi Sains dan Matematik.



    Beliau berkata, pekeliling sudah diedarkan supaya Pegawai Pelajaran Daerah diberi tanggungjawab menangani sebarang masalah sepanjang pelaksanaan MBMMBI.



    Katanya, Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding 56,025 pelajar menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik pula seramai 56,248 pelajar.




    “Selebihnya pelajar yang mempelajari subjek berkenaan menggunakan dwibahasa, seramai 258,622 untuk Sains, manakala 261,600 bagi Matematik,” katanya.



    Muhyiddin juga berkata, Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara.




    Katanya, majlis yang berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.



    “Bila kata pelajar itu pandai dalam BI, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi kita sedang memikirkan pembentukan majlis ini untuk menanda aras standard BI yang digunakan di Malaysia.



    “Kerajaan tidak mahu syok sendiri untuk menyatakan tahap BI di sekolah mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata mutu BI pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.



    Beliau berkata, pihaknya sedang merangka struktur, format, komposisi organisasi majlis itu termasuk berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi merealisasikan penubuhannya.



    Ditanya sama ada penubuhan majlis itu sebagai langkah kerajaan menetapkan supaya pelajar lulus BI untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhyiddin berkata: “Kita akan lihat kemudian.”



    Muhyiddin juga berkata, mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi konsep maya.



    Beliau berkata, konsep dijangka diperkenalkan dua tahun lagi antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video dan mendapatkan nasihat guru bagi meningkatkan prestasi anak mereka.



    “Projek rintis yang dikenali sebagai ‘Virtual Learning atau Pembelajaran Maya mengambil contoh konsep di negara maju seperti Korea Selatan,” katanya.











    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...