Ikut Cara Tradisi Untuk Didik Anak-anak,
Kata Rosmah
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ibu bapa sekarang perlu kembali kepada asas dengan mencontohi cara tradisi nenek moyang mereka mendidik anak-anak agar pandai menghormati dan berterima kasih kepada orang lain, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata ibu bapa juga seharusnya memberi kasih-sayang selain mengawasi sepenuhnya anak mereka tanpa menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak sekolah semata-mata.
"Saya mengambil perkara ini sebagai sesuatu yang serius, kenapa anak-anak muda kita sekarang tidak pandai berterima kasih, tidak pandai rasa terhutang budi atau rasa menghormati.
"Kita kena ada satu program kesedaran, program hormat-menghormati dan juga kita kena balik ke kehidupan tradisional di mana dulu bila mak kita bagi kita barang kita tak cakap terima kasih kita kena cubit, sekarang ibu bapa tak cubit dah, kalau salah pun mereka tak tegur," katanya ketika diwawancara dalam rancangan Hello Malaysia kendalian BernamaTV di Wisma Bernama di sini Jumaat malam.
Mengenai perkembangan PERMATA Negara, program pendidikan awal kanak-kanak, Rosmah berkata semuanya berjalan lancar dan program berkenaan mendapat perhatian pelbagai pihak.
"Bagi program PERMATA Pintar pula, kita sudah mengadakan kem motivasi kepada kira-kira 400 kanak-kanak pintar ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.
"Satu konsert kanak-kanak yang meliputi orkestra, koir dan persembahan tarian kebudayaan pula akan diadakan hujung tahun ini bagi program PERMATA Seni," katanya.
-- BERNAMA
Teruskan membaca..