Sedikit sahaja diajar..
fahamnya banyak,luas dan mendalam
Para Sahabat di zaman awal Islam,
sedikit sahaja diajar oleh Rasulullah SAW,
mereka dapat faham dengan banyak,
luas dan mendalam.
Segala apa yang Rasulullah ajar,
mereka mampu mengembangkan,
mengaitkan, mengkiaskan dan mensyarahkannya hingga ia
menjadi sumber ilmu yang
lengkap dan menyeluruh.
Berlandaskan ilmu yang diajarkan
oleh Rasulullah SAW itu juga para sahabat
mampu mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat Al Quran.
Sayidina Ali k.w.j. Contohnya,
mampu mengupas Surah Al Fatihah
hinggakan kalau tiga ratus ekor unta
pun
tidak akan cukup untuk memikul kitab-kitab
kupasan dan tafsirannya itu.
Rasulullah SAW sendiri memang percakapannya atau sabdanya ringkas dan pendek,
tetapi isinya padat. Baginda tidak bercakap terlalu panjang tentang sesuatu
perkara. Apa yang disabdakan baginda padat, lengkap dan penuh berisi.
Untuk
dapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan, ilmu itu mesti
difikir-fikirkan. Kalau boleh ia perlu juga dimuzakarahkan dan dibawa
berbincang. Dengan cara ini, ilmu yang matan itu akan bercambah dan berkembang.
Sebenarnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapat penambahan
ilmu.
Daya fikir pula akan menjadi lebih murni dan tajam dengan roh atau hati yang
bersih dan yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Bila roh atau hati itu bersih,
Allah SWT akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara-perkara
yang bersangkutan dengan ilmu. Itu sebabnya, di zaman kegemilangan Islam, di
kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabiit Tabiin, kerana hati mereka bersih,
ramai yang dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu.
Tidak hanya ilmu Islam
seperti tauhid, fekah, tasawuf, tafsir, ilmu Hadis dan lain-lain lagi tetapi
juga ilmu falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, matematik, ketenteraan,
sains dan sebagainya. Tambahan pada itu ramai di kalangan mereka yang dapat
menguasai berbilang-bilang ilmu ini pada satu masa. Walhal sebelum Islam,
mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing itu
sajalah yang ada pada mereka.
Dengan didikan Rasulullah SAW,
insan mereka terbina, hati dan
roh mereka menjadi bersih, akal mereka mampu memahami,
mengupas, menyaring dan
menterjemah
berbagai-bagai ilmu dari tamadun Yunani dan Parsi.
Selepas itu
mereka pula menambah dan menyumbangkan ilmu-ilmu tersebut dengan berbagai-bagai
penemuan yang baru hingga negara Islam menjadi pusat ilmu bagi semua bangsa di
waktu itu.
Cara kedua untuk mendapat faham banyak
dari ilmu atau minda yang
matan ialah dengan mengamalkannya. Dengan amalan, ilmu akan jadi meluas dan
terhurai. Ada hadis yang mengatakan:
Maksudnya:
"Barangsiapa
mengamalkan
ilmu yang dia tahu,
Allah akan ajarnya
ilmu yang dia tidak tahu."
Ada kata-kata hukama yang berbunyi:
Maksudnya:
"Hidupnya ilmu kerana amal."
Apabila kita amalkan ilmu yang kita pelajari
(ilmu yang tersurat), maka
lama-kelamaan,
Allah SWT akan ajar kita ilmu hikmah
(ilmu yang tersirat). Ilmu
seperti ini
tidak perlu belajar.
Allah SWT akan jatuhkannya
terus ke hati kita.
Ilmu ini dinamakan juga
ilmu ilham atau ilmu laduni.