Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label bibik. Show all posts
Showing posts with label bibik. Show all posts

Monday, January 14, 2013

Mee basah

Semalam.
Ni cerita semalam. 
Beli mee kuning beberapa bungkus.
Bibik tanya mahu diletak dimana.
Aku jawab letak je di dapur.
Kemudian aku terlupa terus pasal mee kuning tersebut.
Petang baru aku teringat.

Aku cari atas kaunter di dapur.
Tak ada.
Cari dalam peti ais.
Tak ada.
Cari dalam freezer.
Tak ada.
Cari dalam stor (manalah tau kok diletaknya dalam stor).
Tak ada.

Sari!!!
Aku panggil.  Nama Sahri dah aku pendekkan jadi Sari je.  Beberbelit lidah aku nak menyebut.
Diam.
Sari!!!
Diam.
Aku pergi jenguk dalam bilik dia.  Bergegas dia bangun dari tempat 'pembaringan' (ek ele...)
Mana kamu letak mee.
Di atas.
Atas mana?
Di atas..
Sambil jari telunjuknya ditunjuk-tunjukkan ke atas.
Sini.. mari tunjuk.

Dia ke dapur. 
Aku ikut dari belakang.
Dia buka almari kabinet sebelah atas. Tempat aku simpan macaroni, spagheti, mee kering, maggie...
Tersusun je mee kuning yang basah itu di situ.

Kalau koranglah.. Nak tergelak ke, nak hangen....

ibundo

Wednesday, January 2, 2013

Errrrr.....

Orang mana?
Lombok.
Lombok?
Haah Lombok.
Err...

Tapi bila keadaan memerlukan berada di tahap genting paling gaban, kau hantamkan sajalah labooooo.

Namo?
Sahri
Dahdi?
Sahri
Zahdi?
Sahri
Sahdi?

Kebelakangan ini nyata benar kurangnya pendengaran abah. Aku cakap lain, dia dengar lain.

Apolah susah bona namo. Pangge siti yo lah.
NO!!! NAHE!!! ORAK!!
Nama itu sudah cukup untuk meremangkan bulu tengkuk aku.

Potpet potpet...
senyum
Potpet potpet...
senyum
Potpet potpet..
senyum
Kamu paham apa nggak
Nggak..
Habis kenapa tidak bilang
Senyum lagi
Adus!!!!
Sudahnya aku kena ajar dari A dan teramatlah panjangnya untuk berjumpa dengan Z.

Buk. Pinjam hape. Mau telpon kakak saya.
Kakak kamu di mana? Lombok?
Nggak. Di Kuala Lumpur.
Guna telfon rumah.
Nggak tau.
Nomornya tau nggak.
Ada.
Ya udah.  Tekan aja nomornya.
Nggak tau.
Lho.. Kan di telfon itu ada nomornya.  Tekan aja.
Nggak tau baca.
Tulis?
Juga nggak tau.
Adus!!!!!!!

Mengingatkan aku pada anak-anak tadika aku yang baru masuk pada hari ini.
Masih ada tempat untuk bibik aku belajar abc?
Hahaha...
Walau apa pun sekurang-kurangnya sudah ada orang untuk menyapu rumah, mengemop, buang sampah, menyidai kain, melipat kain, membasuh pinggan mangkuk, mengelap pinggan mangkuk dan menyimpannya dalam lemari.


p/s Selamat menyambut tahun baru. Tidak ada apa-apa yang baru bagi aku malah semakin lamaaaa. Umur akan bertambah dalam masa 5 hari lagi.

ibundo


Saturday, February 12, 2011

Pekak lebih baik daripada degil

Bebola tu tak payah belah.  Biar bulat-bulat macam tu.

Tapi bila nak masak, tengok semuanya terbelah dua.  Bukannya nak kata ada beza apa-apapun dari segi rasa.  Tapi aku suka tengok ia bulat tergolek-golek dalam pinggan. Suka tengok anak aku berebut-rebut menikam meatballs yang tergolek-golek itu dengan garpu.

Kadang-kadang aku tak dapat nak pastikan adakah ianya pekak atau degil. Mungkin kedua-duanya. Aku kata begitu sebab apabila aku panggil ada masanya dia buat-buat tak tahu. Bila aku bagitahu begitu begini dia mengangguk-angguk tapi lain yang aku cakap lain yang dibuat. 

Malam kelmarin lebih kurang pukul sepuluh setengah ,semasa semua penghuni rumah berehat-rehat di atas dan aku sudah pun mula memejamkan mata, hasben aku melompat dari atas katil dan meluru ke luar bilik. Anak-anak di depan tv juga bising menyebut-nyebut  ada benda hangit di bawah.

Hasben membebel-bebel bila dia naik semula. Membebel-bebel pada aku yang cukup setia di pembaringan dek terlampau letih dan mengantuk untuk mengetahui apa yang diriuh-rendahkan.

Entah apa yang dimasaknya kat atas dapur, ditinggalkannya benda tu terjerang sehingga kering kontang.  Berasap-asap satu dapur.

Habis tu?

Tutup api dan bukak semua tingkap pintu bagi udara keluar.  Panggil-panggil dia tak menyahut pun.

Yang hangus itu adalah lebihan kari ayam yang kami makan untuk dinner.  Dah tak serupa kari ayam.  Lebih kepada kari arang.  Padahal dulu aku dah cakap kalau masak apa-apa di dapur jangan tinggalkan.  Nanti terlupa. Dulu pernah rebus barli sehingga barli itu melekat kering di dalam periuk.  Dua hari dua malam aku merendam periuk untuk mencungkil saki baki barli yang melekat degil. Masa tu dapur aku berkepul-kepul juga dengan asap.

Kategori apa aku nak letak.  Pekak ke degil.

Aku masuk ke bilik air dan nak termuntah bila mata aku terjenguk ke dalam bakul sampah, melihat sesuatu melingkar dengan kesan darah berketul-ketul.  Sama seperti apa yang selalu aku lihat di tandas-tandas awam. Sedangkan aku sudah mengajar anak-anak aku sejak mereka kecil lagi supaya mencucinya dan membungkus elok-elok dengan kertas surat kabar. Bukan aku tak bagitahunya.  Dah banyak kali aku cakap. Kali ini aku kena cakap lagi.

Pad tu pergi bungkus dengan surat kabar.  Nak termuntah aku tengok.

Petang semalam semasa aku masak-masak di dapur dia memberitahu aku sesuatu yang membuat aku terpikir-pikir sampai sekarang.

Buk, watik nak cuti hujung bulan lima.  Nak cuti sebulan.Nak balik Indon.

Susahnya kalau mengambil pembantu rumah anak beranak.  Ibu dan anak. Masing-masing komplot mengkomplot. Aku diam tak menjawab.  Pertama sebab watik baru bekerja  4 bulan.  Belum cukup setahun dah nak cuti.  Kedua sebab aku pun ada rancangan aku sendiri. Pandai saja mereka nak merosakkan rancangan aku. Ketiga sebab mereka hanya boleh bercuti semasa cuti sekolah yang panjang.  Aku cikgu, masa itulah aku ada banyak masa free.

Peraturan itu aku dah beritahu lama dulu. Takkan tak ingat.  Takkan tak tahu-tahu lagi. Dia dah sepuluh tahun lebih dengan aku.

Kategori apa aku nak letak.  Pekak ke degil.

Tuesday, January 25, 2011

Ora Krungu



Aku dah cakap dah banyak kali.

Kalau goreng mihun, jangan pedas.
Kalau goreng mee, jangan pedas.
Kalau buat nasi goreng, jangan pedas.

Sekali cakap, jalan. Lepas tu buat balik.
Dua kali cakap, jalan. Lepas tu buat balik.

Pagi tadi aku makan mihun bersiut-siut kepedasan.
Adik makan mihun bersiut-siut kepedasan.
Abah makan mihun bersiut-siut kepedasan.
Zubir makan mihun bersiut-siut kepedasan.
Dahlah kami ni semua tengah kena selsema. Meleleh-leleh air keluar dari lubang hidung.

Aku ni memanglah malas nak buat breakfast. Sebab tu aku kontrek dengan bibik aku. Masaalahnya dia suka buat ikut selera dia.

(Aku dulu ada dapat sorang bibik dari sumatera. Aku tengok dia makan nasi berlaukkan cili api mentah. Mau buasir dibuatnya)

Susahnyalah kalau diorang ni tak mahu ikut cakap. Nasib baiklah tangan aku ni jenis nak streka baju je.


ooops.. ban tuna tu tak ada kena mengena.


Wednesday, June 17, 2009

Kita Semua Tidak Sempurna

Melihat gambar pembantu rumah yang mempunyai kesan dijirus air panas suluruh badan terasa benar zalimnya majikan dimalaysia ini. Hakikatnya yang berotak gila itu hanya segelintir tetapi akibatnya malu terpalit ke semua rakyat yang menggaji pembantu rumah. Malah yang tidak ada pembantu rumah juga turut terasa tempiasnya.


Apa sangatlah susahnya untuk memberi sedikit rasa sayang kepada orang yang saban hari mendambakan dirinya untuk kesenangan kita. Walaupun dia kita panggil pembantu rumah atau bibik atau orang gaji, dia tetap manusia seperti kita yang mempunyai hati dan perasaan. Mungkin dia tidak sesempurna yang kita harapkan tetapi nilai jugalah diri kita sendiri. Adakah kita juga sempurna?


Hari ini aku ke kedutaan Malaysia di jakarta untuk menguruskan visa Ros, bibikku yang baru. Bibik Aini akan pulang hujung bulan ini setelah berkhidmat dengan keluarga kami selama tiga tahun. Ros adalah adik Aini. Kenapa aini pulang? Sebab ibunya kurang sehat untuk menjaga kedua orang anaknya yang sedang membesar.


Maka akan hilang pembantu tusyen aku. Pastinya aku akan merindui juga jari jemarinya yang sering mengendurkan ketegangan urat-urat di badanku. Aini seorang yang sempurna? Tak. Sering juga dia melakukan sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan tapi aku imbang ketidak-sempurnaannya dengan bakti yang ditaburkan. Jelas baktinya lebih berat dan aku pandang dengan sebelah mata sahaja akan kesalahannya.

Thursday, April 16, 2009

Sila Dengar Baik-Baik.

"Oi pak Aji, betulkan pagar ke!!"

"Ha? Sapa yang kena langgar. Kat mana. Teruk ke!!"

Lain yang orang cakap lain pula yang dia dengar. Kalau ada adegan pekak badak seperti ini di kaca tv mesti ada orang yang mengekek-ngekek ketawa. Kesian dia. Dahlah pekak, dibadakkan pula.


Di alam realiti berapa kerapkah anda bertemu dengan orang seperti ini. Mungkin selalu. Mungkin kadang-kadang. Mungkin tak pernah langsung.


Untuk orang yang ada sound problem ini, kita mempunyai perasaan yang berbeda-beda terhadap mereka. Ada kalanya kita rasa simpati. Ada kalanya kita rasa lucu dan menjadikannya satu bahan ketawa. Ada kalanya pula kira rasa geram kerana orang yang kita lawan bercakap itu tidak dapat mendengar dengan betul apa yang kita katakan.


Satu tengahari aku memberitahu bibik.

"Siti, petang ni tak payah masak nasi. Aku nak buat meehun sup"

"Ya buk!!"

Tentu ramai yang berkata beruntungnya kakpah dapat bibik yang "ya buk.. ya buk.." gitu.
Bila aku masuk ke dapur selepas asar aku lihat ada periuk tengah terjerang di atas tungku. Aku jengah isinya.

"La.. apasal masak bubur pulak ni!!"

"Kan tadi ibu yang suruh masak bubur"

pek..pek..pek.. aku menepuk dahi. Bila masa pulak aku suruh masak bubur. Aku rasa aku cakap yang aku nak masak meehun sup. Aduh.... ni kes sound problem ke kes IQ problem ni. Tolong bagi habaq sat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...