Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label KELUARGA. Show all posts
Showing posts with label KELUARGA. Show all posts

Wednesday, July 21, 2010

Pagi yang mendung, burung masih menyanyi riang

Salam






Pagi tadi mentari tidak menyinar. Langit kelihatan suram di selubungi awan hitam yang memuntahkan titis-titis hujannya menyembam ke bumi. Deruan angin bersatu harmoni dengan bunyi titis-titis hujan yang mendarat di atas genting dan mengalir melalui alur-alur genting itu terus mencurah ke atas air kolam. Melalui cermin tingkap yang sedikit terbuka aku lihat ikan-ikan di kolam mematikan diri di bawah kiambang yang cepat benar membiak.

Pagi tadi agak dingin tetapi terpaksa juga di redah sebentar lagi untuk menghantar adik ke sekolah. Suami sudah pun keluar ke destinasi sebaik selesai solat subuh dan bersarapan ala kadar. Sejak berpindah majikan ke Tanjung Malim dia terpaksa keluar awal untuk mengelakkan arus kenderaan yang tersekat-sekat.

Aku berpindah ke meja makan mengemaskan sisa sarapan yang belum berkemas. Semasa mengangkat pinggan mangkuk ke dapur ternampak kelibat siti yang sedang terbongkok-bongkok mengeluarkan baju yang sudah selesai di basuh di mesen dan memasukkannya ke dalam bakul. Baju-baju itu akan terperap di dalam bakul sehinggalah hujan berhenti. Ataupun dimasukkan ke dalam mesen pengering sahaja.

'Dah siap dik?'

'Belum'

Sudah dua hari adik pulang berjalan kaki. Van yang sepatutnya mengambilnya dari sekolah dan menghantar ke rumah tidak melaksanakan amanah yang dipertanggung-jawabkan. Dua hari adik pulang dengan baju lencun berpeluh. Penat berjalan selama lima belas minit di bawah terik mentari tidak pula menjadi keluhan adik. Timbul juga perasaan jahatku bahawa ia sengaja dilakukan sebagai melempiaskan rasa marah terhadap aku. Tapi adik tetap menyejukkan hati aku dengan mengatakan tidak mengapa.

'Okay mak, dah siap'

Adik segak berpakaian bomba. Setiap hari rabu murid-murid sekolah menengah jalan 4 akan memakai pakaian koko mereka. Aku mencapai kunci vitara dan memberi isyarat kepada adik supaya menunggu di luar. Hujan masih turun tetapi lebatnya sudah berkurangan. Sebelum keluar aku berpesan pada Man yang masih menjalar di ruang solat supaya bangun dan bersiap untuk ke kuliah. Aku menyuruhnya meminjam kereta atuknya memandangkan hujan belum menunjukkan tanda mahu berhenti.

Perjalanan ke sekolah tidak selicin selalu. Banyak kenderaan di jalan. Begitulah selalunya kalau hujan. Ibu bapa yang risaukan anak mereka kehujanan akan menghantar sendiri anak-anak mereka ke sekolah. Aku mengekori kenderaan yang berekor-ekor.

Tayar belakang kereta di hadapan kereta aku tercebur di dalam lopak di pinggir jalan. Air kuning bertebaran. Perempuan berbaju hijau yang sedang berpayung sambil memegang erat tangan anaknya meloncat terperanjat ke belakang. Kainnya sedikit disingsing sambil mulutnya kumat kamit mengatakan sesuatu. Mungkin memarahi si pemandu. Mungkin. Tetapi siapa peduli?

Aku menurunkan adik di hadapan pintu pagar belakang sekolah. Di situ ada jalan berbumbung yang boleh menahan murid daripada panas dan hujan. Aku terus berlalu dan singgah sebentar di 7 E membeli biskut untuk aku hantar ke perdana.

Tugas aku belum terhenti di situ. Hari masih panjang. Yang pasti hari ini hati aku tidak semendung pagi tadi.


kakpah



Saturday, June 26, 2010

Muffin Kulit Durian

Salam.


Dulu

Setiap kali musim durian aku pasti akan bersidai di rumah uwan aku di Jemapoh bersama along dan Jaha sepupu aku. Pokok durian uwan cuma ada sebatang dan pokok itu tumbuh di tepi pagar rumah uwan. Sebelah daripada dahan pokok itu masuk ke dalam kawasan rumah jiran sebelah. Bukan orang lain pun, saudara juga.

Bila durian jatuh ke bumi, kami akan berlari berebut-rebut mendapatkannya. Yang kelakarnya, anak-anak jiran sebelah pun akan berlari juga apabila durian yang jatuh itu masuk ke dalam kawasan rumah mereka. Maka jadilah perang antara kami. Perang mulut siap dengan jelir-jelir lidah, tunjuk penumbuk bagai.

Itu adalah zaman kanak-kanak kami.

Kemudian

Abah tahu sangat yang aku suka makan durian. Berilah aku beberapa biji, pasti aku akan makan sampai perut kembung kekenyangan. Abah kemudiannya menebang semua pokok getah tua di dalam kebun dan menggantikannya dengan pokok durian. Waktu itu aku sudah pun beranak tiga orang, kirin yang paling baby. Semasa acara menanam pokok durian, abah memberi kami sebatang seorang anak durian untuk ditanam. Suami aku, aku, kaklong, kakngah dan kirin. Sampai sekarang pokok durian itu dinamakan sempena nama kami.

Beberapa tahun selepas itu, kami memang mewah dengan buah durian sehingga tidak termakan-makan. Buah yang tidak terhabis makan itu abah akan simpan kemas dalam plastik dan disimpan dalam freezer. Bila teragak mahu makan durian walaupun musim durian sudah tamat, abah cuma perlu keluarkannya dari freezer. Tempoyak tak usah dicakap. Sampai musim tahun depannya pun masih tak habis dimakan.

Peliknya anak aku tidak ada seorang pun yang hantu durian. Dan aku, menginjak tua ini sudah tidak ghairah lagi makan durian seperti dulu. Cukup hanya tiga empat ulas.


Tadi

Aku begitu teragak mahu makan durian. Aku mengajak suami aku ke seksyen lapan. Selalunya ada lori yang menjual durian di tepi jalan. Betul sangkaan aku. Kami berhentikan kereta di sisinya.

Cari sebiji yang baik punya , kata suami. Makan di sini.

Si penjual mengambil sebiji dan menebuknya dengan parang. Kuning isinya. Dan bila di belah ternyata isinya juga tebal.

Berapa ni, tanya suami.

Makan dulu pakcik, kata sipenjual sambil meletakkan durian yang sudah terbelah di atas raga yang diterbalikkan dan dialas dengan kertas surat kabar.Aku makan seulas dan rasanya pun boleh tahan.

Aku dan suami aku makan durian itu sampai habis. Kami makan di tepi jalan bersama habuk yang berterbangan setiap kali kereta berdesup lalu lalang. Selesai makan suami bertanyakan harga. Sipenjual mengeluarkan henfon dan mengira-ngira.

39 ringgit 10 sen pakcik.

Gulp!!!
Aku menelan air liur. Nasib baik sudah selesai makan durian. Kalau tidak pasti tertelan dengan biji-biji sekali. Aku memandang ke arah kulit durian yang bergelimpangan. Hati aku berkata;

Bawak balik kulit durian ni okay gak ni. Kasi blender buat muffin.

kakpah

Monday, May 10, 2010

Material and non-material

Semalam matahari seakan segan mahu menunjukkan diri. Tapi dalam cuaca agak nyaman itu aku sempat menghabiskan 45 minit memusingi stadium seksyen 15 dan setengah jam lagi mengisi perut yang lemak-lemaknya belum sempat pun mencair. Secawan besar nescafe dan semangkuk nasi bubur sup menyelinap kerongkong dan terus mendap ke dalam usus. Aku memandang ke arah stadium dari tempat aku menghirup nescafe dan memerhatikan anak-anak taski Abim beriuh rendah dalam acara sukan mereka. Lega kerana acara sukan tadika aku sudah selesai.


Hari ibu aku sambut dengan irama ketukan lesung batu, desiran bahan penumis, geseran pinggan mangkuk. Semuanya bersatu dengan simbahan air tangan aku. Anak-anak mengajak aku bersenang-senang di alamanda tetapi aku ada tetamu yang perlu diraikan. Dan dalam hujan yang turun setelah diberi amaran sejak pagi lagi, anak buah aku sampai bersama anak-anaknya. Kami makan tengahari bersama-sama berlaukkan pucuk paku udang galah masak cili api, tenggiri asam pedas dan sudah pasti tidak ketinggalan telur goreng mata kerbau.


Aku tidak pasti bila hari ibu mula diraikan. Semasa aku kecil sehingga menginjak remaja malah sehingga aku berkahwin, aku tidak pernah kenal dengan hari ibu. Tidak pernah aku menghadiahkan emak dengan kuntuman mawar merah. Tidak pernah aku hadiahkan emak dengan kek yang siap tertulis selamat menyambut hari ibu di atasnya. Memang tidak pernah. Tapi itu tidak bermakna aku tidak ingat pada emak. Tidak pula bermakna aku tidak sayang pada emak. Tidak juga bermakna aku tidak mengenang jasa emak yang membesarkan aku. Sebab emak aku lihat sebagai orang yang tersangat istimewa bukan pada hari tertentu sahaja.

Hanya di tahun-tahun akhir emak, apabila media sering bercerita tentang hari ibu, barulah aku tergerak membelikan emak kek dan mak hanya makan sepotong. Selebihnya terperosok di dalam peti ais.


Sebagai seorang ibu, aku tidak perlukan hadiah berbentuk material. Hadiahkanlah ibu dengan menjadi anak yang mendengar kata, melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Anak-anak yang berjaya dalam hidup di dunia tanpa melupakan amalan untuk akhirat akan menyejukkan hati ibu. Dan seorang ibu memerlukan doa anak-anaknya semasa keseorangan di alam barzah.

Anak-anak, bagilah emak hadiah itu setiap hari.

Sekian.
(Terima kasih kirin sebab belanja mak makan salmon steak)

kakpah

Sunday, February 21, 2010

Bunga Rampai Penyeri Majlis

Duduk termenung kat belakang rumah petang tadi aku pandang pokok cili aku yang kurus kering macam kena penyakit bulimia dan hidupnya pun malu-malu, mati apatah lagi tunggu dulu. Macam tu pun masih ada keluarkan buah yang pedas menyengat. Sekali petik cukup untuk buat sambal gesek ikan bilis dan kalau makan dengan nasi tengah panas gerenti meleleh air mata dan air hidung. Bersiut-siut.

Sebenarnya aku nak cakap pasal daun pandan sebab bila aku pandang pokok cili, mata aku terus melerek sampai ke sudut pagar tepi rumah kak maria. Ada pokok pandan di situ tapi pokok pandan tu pun dua kali lima pokok cili jugak. Kurus. Kering. Daun tak sempat nak tumbuh dah kena sembelih. Tukang sembelih di rumah ni siti. Asal buat nasi lemak je, sembelih pandan. Asal buat air tahu je, sembelih pandan. Asal buat kacang bubur je, sembelih pandan.


gambar ni aku amek dari pakcik gugel. Gemuk.

Pandan ni memang wangi, kan. Pewangi semulajadi. Memang sesuai untuk dijadikan bahan pewangi dan juga pewarna natural dalam masakan. Sebab tu boleh dikatakan kebanyakan rumah orang melayu ada tanam pokok pandan. Tapi kat rumah aku ni baru-baru ni aje ada pokok pandan sebab dulu-dulu kalau nak tanam apa-apa kat belakang rumah mesti ada pembangkang.

Takyah tanam serai. Semak. Nak serai beli kat pasar.

Takyah tanam pandan. Kalau nak tanam gak, tanam dalam pasu.

Biasalah. Pembangkang ni selalu diperlekehkan. Tak jalan. Lama-lama dia sendiri yang petik kacang panjang yang menjulur segar di tepi pagar.

Di belakang tadika sebelah luar pagar ada banyak rumpun pokok pandan dan daunnya semua gemuk-gemuk. Bila dah banyak dan rimbun macam tu takut pula aku. Takut kalau-kalau ada ular yang menyorok. Aku panggil Maidin suruh bersihkan dan daun-daun yang dipotong itu terbuang begitu saja. Kalau dah banyak-banyak sangat tak tau apa nak buat dan nak jual pada toke kuih tako, aku tak tau pula mana nak cari.

Man! pegi tadika kejap ambil daun pandan.

Arahan ni aku bagi pada anak aku banyak tahun yang lalu. Masa tu dia masih lagi dalam darjah empat ke lima, macam tu lah. Dan belakang rumah aku pun belum ada tanam daun pandan.

Macamana rupanya mak.

Ala ko ni. Daun pandan pun tak kenal. Yang macam ni, macam ni, macam ni..

Okay.

Nah.. bawak pisau.
.
.
.
.
.
.
.
.
Mana daun pandan tadi Man.

Kat dapur. Tepi oven.

Mannnnn!!!!! ni daun lalang.





kakpah

Saturday, February 6, 2010

Jalan-jalan kat Alamanda

Mana tiket tadi?

Aku mengelobek henbeg yang penuh dengan sampah sarap, tercari-cari, teraba-raba dan akhirnya aku menghulurkan tiket itu kepadanya. Tiket yang bakal ditelan mesen autopay.

Panjangnya que.

Mesen depan tu takde orang!!.

Rosaklah tu. Sebab tu takde orang.

Dengan tiket di tangan, suami berbaris. Panjang. Dan baris itu bergerak perlahan. Mata aku melilau mencari anak-anak aku yang sekejap tadi ada di sebelah.

Ke mana pulak bebudak ni. Orang dah nak balik ni.
Mata aku tercari-cari lagi dan akhirnya nampak kelibat mereka. Aku gamit memberi isyarat mahu pulang.




Suami sudah hampir ke depan tetapi aku lihat tetiba saja dia keluar barisan dan menuju ke mesen yang dikatakan rosak tadi, berdiri di belakang seorang lelaki. Aku menghampirinya.

Apa hal?







Hehe.. yang tadi tu mesen ATM.

Wakaka... macamana aku pun tak perasan.

kakpah

Thursday, August 27, 2009

WE LUV U




Faris
.
.
.
Hadirmu
membawa seri kepada
Ramadhan
ini


Dikaulah
Cahaya
Kami



Saturday, June 6, 2009

Tuesday Night Fever but it is not John Travolta

Received an sms from my son late Tuesday afternoon.

"mak, I have a severe headache. Come and get me"
"Cant you drive your motorbike"
"Cant hardly open my eyes"

The hunting around the house began for a volunteer. Luckily my ever-willing-as long as-you-get-my-car-tank-fully-fueled-daughter came to the rescue. She went off to pick up hussein at his college right after maghrib and I reminded her to bring him straight to the clinic to have him checked up.

When they finally reached home more than an hour later I greeted him at the top of the staircase. He gave me the demanded-for-sympathy look. I reached out my hand and put the back of my palm on his forehead and the heat transfered to my skin as mine touched his.

"What did the doctor say"
"Nothing. He just gave me pills for my headache and fever'

I assured him that he would be okay in the morning.


But it was not okay. His skin was still burning hot two days after that. I brought him to see the doctor again and this time he took some blood sample, just to check for dengue, he told me. They sent him off with more pills. The doctor promised to let me know the result by 2.30 in the afternoon. I waited. When it was already five o'clock but still there was no news from the clinic I decided that what the doctor really meant was it was my duty to contact him not the other way round. The result was negative. No dengue.

His fever really got me worried. And he had no appetite to eat and to drink. When he tried to drown some into his stomach it came out again a few minutes later. He looked so weak and could barely hold up his head. That night he came to my room, flopped and straightened his body on my bed and stayed there until the next morning. I looked at him as a fragile baby that I once knew 18 years ago.

As my worry rocketed higher it came down to me that I had to do something about it. I called my husband who was still outstation telling him that I had to bring him to the hospital. My daughter and me drove him to pantai mc where he was later warded. It was yesterday evening.

When I visited him this morning he looked cherrier eventhough his temperature still fluctuated. It came down as low as 38.1 only. He had his blood samples taken every now and then. His doctor said the result for dengue was negative but he had all the dengue symptoms. His platlet kept dropping and the staffs were monitoring him regularly. At least I believe that I have him in the right hands.




It seems that our plan for the holiday which is supposed to start on Monday has to be postponed.

Sunday, May 3, 2009

Pantang Larang

Orang dulu-dulu memang kuat berpantang. Itu tak boleh buat. Ini tak boleh buat. Kalau buat, nanti ada ada saja akibatnya.

"Ni apo monyanyi kek dapo ni. Dapek laki oghang tuo baghu tau" leter nenek bila aku melalak sambil mengupas bawang.

"Ha.. duduklah ateh bantal tu. Bobisul buntut tu padan muko kau" leter nenek lagi bila aku buat bantal sebagai kusyen. Masa kecil dulu aku kurus kering. Kalau duduk atas lantai tulang tongkeng akan bergesel dengan papan lantai. Berkeriut-keriut. Dulu-dulu mana ada kusyen bagai. Ambil je lah mana yang sempat dan selalunya bantal kekabu yang menjadi mangsa.

"Jangan bojalan bawah ampaian tuuuuu!!!. Pendek umo" jerit nenek bila aku terbongkok-bongkok di bawah ampaian baju. Entah apa yang aku cari. Air dari kain yang disidai masih menitik-nitik hinggap di atas belakang.

"Dah..dah.. boronti tu. Sokgi potong. Apo pulak potang-potang ni motong kuku. Pendek umo tau tak!!" La, pendek umur lagi. Sebab tak nak melawan cakap nenek, aku simpan semula pisau lipat yang aku buat untuk memotong kuku. Nenek sudah mula mahu memasang pelita untuk menyambut malam.

"Jangan duduk kek muko tanggo. Nanti tak laku". Aku memang suka duduk kat tangga di bahagian depan rumah. Seronok menengok orang lalu lalang. Nenek suka menghalang aku dari duduk di situ. Selalunya aku degil. Buat tak peduli saja. Bila nenek membebel-bebel, aku pekakkan telinga.




Semasa aku kecil, ongah jorah dan alang leha masih muda lagi. Kejap-kejap diorang mengandung dan bersalin. Aku suka tengok budak kecil. Bila emak atau nenek pergi menziarahi mereka yang baru bersalin, aku akan ikut. Aku tengok mereka yaang bersalin ni akan duduk bersimpuh dengan sopan di atas tilam. Bayi di sebelah. Rambut di ikat tegang-tegang sampai nak tercabut akarnya. Kaki seperti biasalah, bersetokin. Nenek kata orang bersalin tak boleh berjalan-jalan. Nanti bentan. Kena duduk diam-diam. Boleh berjalan kalau nak pergi buang air sahaja.

Aku lihat juga yang mereka ini hanya makan nasi putih agak-agak setengah pinggan dan berlaukkan ikan kering atau ikan masin. Minum air putih sahaja. Tak ada sayur. Aku tanya emak kenapa mereka makan ikan masin saja. Tak muak ke hari-hari makan ikan masin. Emak kata orang bersalin memang macam tu. Tak boleh makan macam-macam.


Semasa aku bersalinkan kaklong, yang ada untuk menjaga aku dalam masa berpantang ialah suami aku saja. Tak ada emak. Tak ada nenek. Pantang larang orang bersalin yang selalu aku pelajari dari emak dan nenek terngiang-ngiang di dalam kepala. Adakah aku nak kena makan nasi berlaukkan ikan masin saja. Di mana nak aku cari ikan masin.

Selesai melahirkan kaklong aku bertanya pada Dr Potter (tak ada kena mengena dengan Harry Potter) apa benda-benda yang aku tak boleh makan semasa dalam pantang.
Orang putih tu jawab senang saja, "You can eat anything you want". Dia bagi aku ceramah pendek menjelaskan yang aku baru sahaja menggunakan segala energy yang ada dalam tubuhku. Aku kena ganti semula energy tersebut dengan makanan yang berkhasiat. Aku boleh makan ayam. Nenek kata makan ayam tak boleh sebab nanti gatal. Aku boleh makan sayur. nenek kata sayur sejuk. Aku boleh makan ikan. Ikan gatal juga, kata nenek. Jadi, aku ikut nasihat Dr Pottter. Aku bedal semua.

Bila aku mendapat surat dari abah beberapa belas hari selepas bersalin (Dulu tak ada henfon. Tak ada internet) aku jawab pertanyaan emak yang disampaikan melalui abah dengan mengatakan, ya.. aku berpantang. Ya.. juga pada pertanyaan adakah aku makan jamu yang dikirimkan. Yulk! jamu serbuk itu. Rasanya bagai rempah kari. Aku makan beberapa kali sahaja dan selebihnya aku simpan berbulan-bulan dan buang begitu saja bila aku berkemas-kemas mahu pulang ke malaysia.

Bila aku mendapat anak seterusnya, aku sudah terbiasa begitu. Dua tiga minggu selepas bersalin aku dah keluar rumah. Tapi selalunya minggu pertama emak ada menemankan aku. Dan dia akan paksa aku minum air kunyit yang pahit dan payau. Paksa aku makan ikan haruan yang akan mengembangkan tekakku setiap kali aku menelannya. Tapi dia tidak pula berleter bila aku tidak duduk bersimpuh sopan di atas tilam.



Semalam kaklong ke UM ambil exam. Baru dua minggu bersalin. Kaklong tengah buat masters dalam pendidikan awal kanak-kanak . Nak buat macamana. Kaklong malas nak buat pada waktu lain. Bila pukul dua kaklong belum balik-balik, aku menelefon.
"Ya ya.. on the way. Dah kat Putrajaya ni"
"Apasal pulak melencong ke situ"
"He..he.. ada kenduri kawin kawan abang isyam"
"Uk ala.. awak gi kenduri?"
"He..he.. makan sikit je. Nasi putih. Lauk pilih-pilih je. Minum air mineral"

Hmmm... melawan toke nampak!!!!!!!.....

Saturday, February 14, 2009

Jumaat Yang Panjang

Usai solat jumaat kami bergerak dari bangi menuju ke Melaka atas urusan akad nikah anak saudara dan juga urusan kerja suami. Sampai di Melaka kami terus cek in di hotel (setelah terpusing-pusing hampir setengah jam. Buat malu betul. Orang kampung tau mesti kena kutuk). Kami bukan sengaja tak mahu tidur di kampung (Tiang Dua - nama pun buat bulu tengkuk meremang hehe...), tapi suami dapat menginap di hotel free dua malam. Siapa tak nak, kan.

Lepas cek in, letak barang, solat asar, kami bergerak menuju rumah adik. Telefon sudah berdering-dering. Janji pukul enam, dah enam suku tak sampai-sampai. Orang dah menunggu dah ni. (Mana nak tau orang ori melaka tak tau jalan nak cari hotel ni. Kata tempat ni tempat dia besiau lantau masa kecik-kecik dulu). Dah tu pula kat Semabok tu banyak traffic lights. Jem lagi kat situ.

Akhirnya, sampai juga ke destinasi. Adik sudah berdiri bercekak pinggang. Jawab bang, jawab. Aku minta lalu masuk dalam ye....

Selesai tahlil, kami dijamu dengan nasi pergh.. lauk asam pedas. Perut yang memang dah kebulur sejak tengahari dah tak menolak lagi. Asam pedas tu.. Ada kerabu pucuk pegaga pulak. Masak lemak pisang muda lagi. Sambal belacan ada gak. (Aku heranlah, kenapa orang melaka sedara aku ni tak suka cencaluk. Kat rumah aku kalau kenduri, cencaluk mesti tak tinggal punya. Hiris bawang dan cili api, letak petai, perah asam limau. Raja lalu kat belakang pun tak nampak. Nama pun lalu kat belakang.)

Jam lapan lebih kitaorang gerak ke rumah pengantin perempuan untuk majlis akad nikah. Sampai je orang tengah ramai bawah kemah, sedang menjamu selera. Penyambut tetamu mengarahkan kami menunggu di rumah sebelah kerana tuan rumah belum bersedia. Kami masuk. Kami tunggu. Jam menunjukkan hampir pukul sembilan. Dari rumah penganti, Dj sedang becok bla..bla..bla..

Jam sepuluh kami masih lagi di rumah sebelah. Masih menunggu. Bertambah resah.
"Weh, bila nak mula ni. Mata aku dah ngantuk"
"Aku nak kena balik ni. Aku ada keje shift malam"
"Sepatutnya blablabla.."
"Haah kan, blablabla.."
"Bila nak sudah marhaban ni. Nikah lah dulu. Dah selesai nikah kang barulah nak marhaban ke, nak meraban ke.." ini suara orang dah tak tahan nak marah ni.

Aku tengok suami aku dah terlentok kat atas kerusi. Bukan setakat terlentok, dagu dah bertemu dengan perut. Aku taknak letak gambar dia kat sini. Nanti dia kensel nak belanja aku makan ikan bakar malam ni. Mana boleh!

Dah pukul sebelas baru akad nikah. Mak datuk ai, belum pernah lagi aku tengok orang bernikah sebelas malam. Nasib baik pengantin lelaki tak tertidur. Laju je pulak tu baca akad nikah. Pukul duabelas pasukan kompang pakpakpakpakpak pungpungpung...... berarak bersama pengantin untuk majlis berinai pulak. Aku dah tak larat. Orang sebelah suruh bangun pergi tepung tawar, hati dah tawar nak bangun. Penat tu. Dari tengahari tak relek ni.

Bila majlis selesai, kitaorang blah meninggalkan pengantin. Dalam kereta sempat lagi buat lawak antarabangsa.

Balik terus buummm nyenyak sampai pagi. Breakfast pagi tadi pertama kali aku jumpa telur ni. Century egg. Telur putih tu macam lengkong. Aku geli nak makan. Aku ni kan kolot sikit. (sikit je)

Thursday, January 1, 2009

1 JANUARI 2009

Semasa aku menulis, di luar sana berdentam dentum bunyi mercun. Di Tv tadi pun ada siaran langsung menyambut tahun baru. Terus aku tukar siaran. Dari dulu sampai sekarang aku tengok macam tu macam tulah jugak. Asal masuk tahun baru disambut dengan berkumpul-kumpul lelaki perempuan, menengok artis terpekik terlolong terkinja-kinja atas pentas. Ini peraturan orang moden ke atau orang jahil. Macamanalah nak benteras masalah sosial yang semakin banyak sekarang ni kalau yang atas-atas nu sama-sama masuk port. Kan baik kalau pak pak menteri ajak anak-anak muda ni masuk mesjid baca doa sambut tahun baru.


Sebenarnya aku nak ucapkan selamat hari lahir pada anak aku Yana. Bila mendengar bunyi mercun terus melalut pulak.


HAPPY BIRTHDAY YANA.



Yana is my special child. Anak yang istimewa. Lahir pada 1 Januari. Walaupun dia anak yang tidak sempurna, aku tidak nampak kekurangannya. Bukankah kita juga tidak sempurna? Kita mungkin ada telinga tetapi adakah telinga kita sentiasa diperdengarkan dengan suara yang indah dan baik-baik belaka. Kita mungkin ada mulut tetapi adakah mulut kita sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan tidak menyakitkan hati orang lain. Kita mungkin ada mata tetapi adakah mata kita sentiasa memandang benda-benda yang tidak membawa dosa. Kita mungkin ada kaki tetapi adakah kita sentiasa menggunakan kaki untuk jalan yang diredhaiNya.



Anggota yang lengkap bukan maknanya kita sempurna. Mereka yang istimewa ini ada kalanya lebih sempurna daripada kita.




Yana bertutur menggunakan bahasa isyarat.



HAPPY BIRTHDAY KAK NGAH DARI MAK AYAH DAN ADIK BERADIK.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...