Showing posts with label BUKU SAYA. Show all posts
Showing posts with label BUKU SAYA. Show all posts

Wednesday, April 28, 2021

Bahasa Dalam dan Imam al-Ghazali

 

Apakah contoh-contoh bahasa dalam yang digunakan oleh Imam Al-Ghazali?


Berkata Imam al-Ghazali, "Sesungguhnya sudah terlepaslah "ikatan" diam daripada lidahku." (Ihya' 'Ulumuddin, Muqaddimah)


Berkata Imam al-Ghazali : "Tauhid ialah suatu mutiara yang bernilai tinggi yang mempunyai dua "kulit"." (Ihya' 'Ulumuddin, Kitab Ilmu)


Berkata Imam al-Ghazali, "Yang kami maksudkan dengan ilmu mukasyafah itu ialah terangkat hijab yang menghijab sehingga jelaslah kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan sejelas-jelasnya, laksana mata memandang, yang tidak diragukan lagi." (Ihya' 'Ulumuddin, Kitab Ilmu)


Berkata Imam al-Ghazali, "Bahkan dada orang-orang merdeka itu "kuburan" rahsia-rahsia." (Ihya' 'Ulumuddin, Kitab Tauhid dan Tawakal)


Berkata Imam al-Ghazali, "Permulaan alam malakut itu ialah "menyaksikan" al-qalam." (Ihya' 'Ulumuddin, Kitab Tauhid dan Tawakal)


Berkata Imam al-Ghazali, "Kemudian Dia menyingkapkan bagi mereka daripada keagungan Wajah-Nya, sehingga terbakar dengan api kasih sayang-Nya." (Ihya' 'Ulumuddin, Kitab Cinta)

Berkata Imam al-Ghazali, "Bahawa manusia itu "hamba" (kepada) al-ihsan." (Ihya' 'Ulumuddin, Kitab Cinta)


Dan banya lagi di seluruh kitab Ihya' dan dalam karangan-karangan beliau yang lain.

 

- Buku Syariat & Hakikat Nur (Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah, ms 38-39)

Tujuan Para Sufi Menggunakan Bahasa Dalam

 

Apakah tujuan ahli-ahli sufi menggunakan bahasa dalam?


i. Untuk lebih memberkesankan maksud/ matlamat hal yang sedang diperkatakan itu.


ii. Untuk melatih para pemula dan para penengah dalam tasawuf agar berkemahiran menggunakan bahasa dalam kerana banyak hal-hal peringkat tinggi nanti yang perlu dicapai melalui jalan bahasa dalam.


iii. untuk menepatkan lagi sesuatu maqsud (tujuan/matlamat) hal yang diperkatakan.


iv. untuk mengelakkan tersimpang daripada kehendak sesuatu hal itu. Lebih baik tidak tepat asalkan masih sesuai. Lebih baik tidak tepat asalkan tidak terlencong.


v. Ada hal-hal yang sangat sukar untuk dimaklumkan dan dimaqsudkan tetapi berpotensi untuk dicapai melalui penggunaaan bahasa dalam.


vi. Untuk menghampirkan kepada faham dalam hal-hal yang rumit.

 

- Buku Syariat & Hakikat Nur (Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah, ms 26)


Bahasa Dalam dan As-Sunnah

 

Apakah antara contoh bahasa dalam di dalam as-sunnah (hadith)?


Nabi SAW bersabda : "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, (tetap) mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba Habsyi. Dan sepeningalanku nanti, kalian akan menyaksikan perselisihan yang sangat dahsyat. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ar-rasyidin (khalifah-khalifah yang lurus) yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia (sunnah-sunnah itu) dengan gigi geraham dan janganlah sampai kalian mengikuti perkara-perkara bid'ah, kerana sesungguhnya semua bid'ah itu adalah sesat." (Ahmad, Ibnu Majah, Abu Dawud, Turmizi)


Kalimah "gigitlah (sunnah-sunnah itu) dengan gigi geraham" merupakan bahasa dalam. Ia bukan bermaksud kita kena menggigit dengan gigi geraham, tetapi bermaksud memberi penekanan agar kita "memegang" akan sunnah-sunnah itu dengan seteguh-teguhnya.


Dalam banyak hadith dikhabarkan bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW bertanya kepadanya tentang isterinya yang paling awal akan menyusulnya nanti. Jawab baginda, isterinya yang "paling panjang tangannya."


Pada mulanya isteri-isteri baginda menyangkakan baginda sedang berbicara tentang ukuran panjang tangan lalu mereka pun membanding-bandingkan tangan masing-masing. Tetapi ternyata Rasululah SAW menggunakan bahasa dalam. "Paling panjang tangan" itu sebenarnya bermaksud yang paling banyak bersedekah lagi murah hati.


Banyak lagi contoh-contoh lain seperti pintu-pintu syurga di bawah naungan pedang, syurga di bawah kaki ibu, orang beriman makan dalam satu usus tetapi orang kafir makan dalam

tujuh usus, dan sebagainya.

.

- Buku Syariat & Hakikat Nur (Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah, ms 24-25)

Sunday, April 25, 2021

Buku Cahaya Apa Pula Selepas Ini?

 


Sampai pertanyaan - Jika buku Tarekat Ghazaliyah (Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah al-Ghazaliyyah) 1 hingga 4 dikenali sebagai Buku Cahaya Biru, Buku Cahaya Hijau, Buku Cahaya Merah dan Buku Cahaya Kuning, selepas ini buku cahaya apa pula?


Selepas ini insya-Allah belum lagi Buku Cahaya (siri Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah al-Ghazaliyyah) tetapi siri sulung Lautan Cahaya di Sebalik Langit Tarekat Ghazaliyah. Buku itu nanti akan dikenali sebagai Episod IV. Mungkin diikuti dengan Episod V, VI, kembali ke Episod I, II, III, semula ke Episod VI dan VIII.


Selepas keluar buku Episod IV, insya-Allah akan diusahakan kembali Buku Cahaya iaitu :

5. Buku Cahaya Jingga

6. Buku Cahaya Ungu

7. Buku Cahaya Pelangi, dan mungkin diakhiri dengan

8. Buku 1000 Cahaya


Maka lengkaplah 8 siri (8 jilid) risalah Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah.


Doa-doakan.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

25 April 2021

Berhakikat Tetapi Tidak Mahu Melaksanakan Syariat?

 


Apa kata tokoh-tokoh utama dunia hakikat di bawah? Sudahkah kita mengetahuinya? Tahukah kita bahawa mereka semua bersepakat?


1. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam karya-karyanya

2. Syeikh Muhammad Soleh al-Mingkabawi dalam kitabnya Kasyful Asrar

3. Syeikh Ibnu 'Ajibah al-Hasani dalam kitabnya Kasyfun Niqab

4. Dr. Mustafa Zahri (daripada Tarekat Naqsyabandiyah) dalam bukunya Kunci Memahami Ilmu Tasawuf

5. Ustaz Mustapha Muhammad al-Jiasi al-Ahmadi (daripada Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah) dalam kitabnya Mengenal Diri dan Wali Allah

6. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dalam kitabnya Durrun Nafis

7. Syeikh Ahmad Zarruq asy-Syazili (daripada Tarekat Syaziliyah) dalam kitabnya Qawa'id at-Tasawuf

8. Al-Hallaj

9. Hamzah al-Fansuri

10. Shamsuddin as-Sumatrani

11. Syeikh Abdul Qadir Jilani dalam kitabnya Sirrul Asrar


Adakah pegangan kita sama dengan pegangan mereka?


Jawapannya dalam buku ini :

SYARIAT & HAKIKAT NUR (Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah al-Ghazaliyyah siri ke-4)

Saturday, April 24, 2021

Siapakah Penulis Sebenar Buku2 Itu?


 

 

Sudah tiga orang bertanya, adakah kitab dan buku-buku sahaya itu memang sahaya yang karang sendiri? Ataupun ada orang lain yang tolong tulis?


Dengan izin Allah SWT, setakat ini semuanya sahaya tulis sendiri. Maksudnya karya-karya itu sememangnya "OLEH Abu Zulfiqar", bukannya "MENURUT Abu Zulfiqar".


APAKAH PERBEZAAN ANTARA "OLEH" DAN "MENURUT"?


Sekadar contoh rekaan, katakanlah ada buku bertajuk :

i. Islam dan Kristian OLEH Ahmad Deedat. Maksudnya buku ini diusahakan sendiri oleh Syeikh Ahmad Deedat.

ii. Islam dan Kristian MENURUT Ahmad Deedat. Maksudnya buku ini diusahakan oleh orang lain, cuma isi kandungannya dikatan sebagai bersesuaian dengan pandangan Syeikh Ahmad Deedat.


Namun hal sebegini jarang sangat dimaklumkan pada kulit hadapan atau belakang sesebuah buku. Biasanya orang akan terus meletakkan tajuk buku "Islam dan Kristian" dan kemudian diletakkan nama "Ahmad Deedat". Apabila kita meneliti bahagian dalam buku tersebut, barulah kadang-kadang ada dinyatakan bahawa buku itu bukannya tulisan Ahmad Deedat sendiri. Ada juga yang langsung tidak dberi sebarang petunjuk sehinggakan kita menyangkakan benar-benar buku itu karangan Ahmad Deedat.


Sebab itulah ada tokoh-tokoh yang kelihatan seperti telah menghasilkan puluhan kitab dan buku, tetapi jumlah sebenar yang ditulisnya sendiri hanyalah beberapa buah sahaja. Hal ini kerana puluhan kitab dan buku lagi itu diusahakan oleh orang lain, atas persetujuan si tokoh. Ada juga yang tanpa persetujuan dan pengetahuan si tokoh.


BAGAIMANAKAH CARANYA?


Antara yang biasa berlaku :


i. Penulis atau penulis-penulis itu akan meneliti rakaman kata-kata (ucapan, ceramah, kuliah dan sebagainya) si tokoh. Kemudian mereka akan memindahkan kata-kata si tokoh ke dalam bentuk teks untuk dibukukan. Si tokoh diminta untuk meneliti isi kandungan buku itu untuk disahkannya. Walaupun tidak sekualiti kerja tangan (tulisan) si tokoh itu sendiri, tetapi kualitinya masih bagus juga kerana disemak oleh si tokoh.


ii. Penulis atau penulis-penulis itu akan meneliti rakaman kata-kata (ucapan, ceramah, kuliah dan sebagainya) si tokoh. Kemudian mereka akan memindahkan kata-kata si tokoh ke dalam bentuk teks untuk dibukukan. Tetapi tokoh itu tidak diminta pun untuk meneliti isi kandungan buku itu. Tahu-tahu buku atas namanya itu sudah pun keluar. Jenis sebegini, kenalah kita sangat berhati-hati. Kualitinya memang bermasalah kerana isi kandungan buku itu belum tentu sama dengan pandangan sebenar si tokoh.


iii. Penulis atau penulis-penulis itu mendengar sendiri kata-kata si tokoh tetapi tidak merakamkannya. Mereka menulis semula kata-katanya berdasarkan ingatan atau catatan nota mereka. Kemudian mereka meminta semakan dan pengesahan daripada si tokoh. Walaupun tidak sekualiti tulisan penulis sendiri atau jenis (i), tetapi masih baik juga kerana disemak oleh si tokoh.


iv. Penulis atau penulis-penulis itu mendengar sendiri kata-kata si tokoh tetapi tidak merakamkannya. Mereka menulis semula kata-katanya berdasarkan ingatan atau catatan nota mereka. Kemudian mereka terus mengeluarkan buku tersebut tanpa meminta semakan dan pengesahan daripada si tokoh. Kualitinya lebih bermasalah daripada jenis (ii).


APAKAH RISIKO YANG MUNGKIN?


Contoh (sebenar) :

Ada buku Ahmad Deedat tetapi isi kandungannya ada yang tidak sama dengan pandangan Ahmad Deedat sendiri. Orang menyangkakan isi kandungan buku itu memang pegangan Ahmad Deedat, lalu orang menjadikannya sebagai pegangan dan hujah mereka. Mereka pun menyebarkan dan memperjuangkan isi kandungan buku itu, malah menjadikannya sebagai sandaran mereka. Alih-alih, orang lain dedahkan dan terbukti bahawa itu bukanlah pegangan dan pandangan sebenar Ahmad Deedat. Ahmad Deedat sendiri ada menafikan buku-buku tertentu yang menggunakan namanya sebagai pengarang.


Letihlah kita hendak menarik balik pegangan dan hujah-hujah, memohon maaf, dan membuat pembetulan di sana-sini. Selain itu, orang akan memandang kita sebagai seorang yang cuai dan mungkin seorang penipu. Jika hal itu berkaitan dengan 'aqidah dan tauhid, lagilah amat besar tanggungannya.


PENGALAMAN MANUSIA


i. Ada orang yang membeli kitab yang pada muka hadapannya tertulis nama seorang ulama besar. Bukunya agak tebal, besar dan berharga. Setelah diteliti di rumah, ternyata penulisnya bukanlah ulama itu dan buku itu hanyalah ringkasan kepada kitab ulama itu.


ii. Ada orang yang membeli kitab yang berjilid-jilid tebalnya lagi. Harganya ratusan RM. Dalam promosi di internet dan poster-poster yang ditampal di kedai-kedai buku, jelas disebut sebagai karya seorang ulama besar. Pada kulit hadapan buku-buku itu pun tertera nama si ulama besar itu sahaja. Setelah dibeli, dibaca dan ditanya-tanya kepada orang, baru dapat tahu bahawa kitab berjilid-jilid itu bukan karangan ulama besar itu sendiri tetapi ringkasan dan olahan orang lain.


iii. Kadang-kadang pada bahagian Kata Pengantar baru ditulis sedikit bahawa kitab atau buku itu adalah olahan orang lain. Pembeli yang rata-ratanya banyak melihat kulit depan, kulit belakang, senarai isi kandungan, gambar-gambar dan membaca beberapa bahagian lalu terus membelinya, seakan-akan "terkena" dengan teknik sebegitu.


iv. Ada orang yang membawa karya tokoh tertentu untuk diminta autograf. Tiba-tiba wajah tokoh itu berubah lalu dikatanya, "Saya tak menulis buku ini." Aduh! Kita ditimpa malu satu hal. Isi kandungan buku itu menjadi fitnah pula kepada si tokoh, satu hal lagi.


PANDANGAN SAHAYA


Sahaya LEBIH SUKA membaca karya tulisan si tokoh itu sendiri. Hal ini kerana maklumat yang berada dalam mindanya dipindahkannya sendiri secara terus ke atas kertas. Ketulenannya memikat hati.


Sahaya MASIH SUKA membaca buah fikiran si tokoh yang ditulis oleh orang lain, yang diminta pengesahannya daripada si tokoh tentang isi kandungan karya tersebut.


AKHIR KATA


Sebenarnya banyak penghasil buku yang bagus yang menulis siap-siap pada bahagian hadapan buku itu tentang penulis sebenar. Bagi segelintir penghasil yang suka menggunakan teknik berselindung, entahlah apa matlamat mereka.


Secara peribadi, insya-Allah sahaya akan berusaha untuk menulis sendiri karya-karya sahaya. Walaupun ada pihak yang bercadang untuk memindahkan kuliah-kuliah kitab Ihya' 'Ulumuddin yang sahaya jalankan sepanjang 11 tahun ini ke dalam bentuk teks lalu djadikan buku, tetapi buat masa ini rasanya belum lagilah. Pada masa-masa akan datang, wallahua'lam.


Ribua terima kasih atas sokongan anda semua. Doa-doakan sahaya.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

24 April 2021


Tuesday, April 13, 2021

Terima Kasih kepada Para Penyumbang Persoalan

Sebelum menyusun buku Syariat & Hakikat Nur, kami ada masukkan sedikit maklumat tentang perancangan isi kandungan buku ini di media sosial. Kami juga meminta agar sesiapa yang ada persoalan berkaitan dengan laras bahasa para sufi, syariat dan hakikat, serta syariat dan hakikat nur, bolehlah dikemukakan untuk dijelaskan dalam buku tersebut. Dengan persoalan-persoalan yang dikemukakan itulah maka usaha untuk menzahirkan buku ini menjadi lebih mudah. Rasa-rasanya hampir kesemua persoalan-persoalan yang dikemukakan itu ada dijelaskan dalam buku ini.


Oleh itu, sahaya mengucapkan ribuan terima kasih kepada hamba-hamba Allah yang turut mengambil bahagian. Insya-Allah sekiranya ada keperluan untuk karya-karya yang akan datang, kami akan buka seperti ini lagi.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

13 April 2021

1 Ramadhan, Buku Al-Ghazaliyyah siri ke-4 Siap

Pada hari ini 1 Ramadhan 1422 (13 April 2021) siaplah penulisan buku ke-5 sahaya yang bertajuk Syariat & Hakikat Nur. Proses cetakannya akan dijalankan dalam tempoh terdekat. Berdasarkan pengalaman sebelum-sebelum ini, rasa-rasanya buku ini akan berada di tangan para pembaca dalam pertengahan bulan Ramadhan ini, insya-Allah.


Buku ini merupakan yang ke-4 dalam siri buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah al-Ghazaliyyah. Dijangka akan ada 8 siri kesemuanya. Berikut merupakan siri-siri yang sudah siap :

1. Pengenalan (124 muka surat)

2. Lanjutan (152 muka surat)

3. Pencerahan (200 muka surat)

4. Syariat & Hakikat Nur (200 muka surat)


Siri 1, 2 dan 3 sudah pun berada di tangan para pembaca.


Dengan izin Allah SWT, dalam tempoh 6 bulan ini sahaya berjaya menghasilkan 5 buah buku. Buku yang akan datang selepas ini, tidak semestinya siri ke-5 Terbit Cahaya Naungan tetapi mungkin sebuah buku lain dengan tajuk Episod IV. Yang mana satu yang keluar terlebih dahulu? Bergantung kepada keadaan.


Apa benda buku Episod IV ini? Apa isi kandungannya? Mengapa namanya Episod IV dan bukannya Episod I? Nak tahu, kenalah tunggu dan doa-doakan. Isi kandungannya tetap seputar tauhid, tasawuf, sufi, tarekat dan seumpamanya, malah berkait rapat dengan siri buku Terbit Cahaya Naungan juga.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

13 April 2021

Friday, April 9, 2021

Manfaatkan Buku Anugerah Berwangian Cinta pada Ramadhan

 

Menjelang Ramadhan, bagi orang-orang yang menjalankan halaqah usrah keluarga atau majlis taklim harian keluarga menggunakan buku Anugerah Berwangian Cinta untuk Tetamu Taman Cahaya (Petikan, Ringkasan & Rumusan kitab Ihya' 'Ulumuddin) bolehlah terus ke bab 35 iaitu tentang puasa, sebagai ulangkaji dan peringatan untuk sesama ahli keluarga.


Selain itu, antara bab-bab penting yang berkaitan dengan Ramadhan dan puasa ialah :

- Bab 4 - Cinta Kitabullah (untuk menggalakkan ahli keluarga bersemangat bertilawah dan bertadabbur sepanjang Ramadhan nanti.

- Bab 6 - Cinta Zikrullah dan Doa (untuk bersemangat menambah amalan)

- Bab 7 - Adab Makan dan Minum (agar memelihara adab makan minum sewaktu berbuka dan sahur)

- Bab 8 - Adab Sesama Muslim

- Bab 9 - Adab Berkata-kata / Memelihara Lidah (supaya ahli keluarga teringat untuk menjaganya)

- Bab 15 - Nafsu Perut dan Syahwat

- Bab 2 - Kecelaan Marah

- Bab 28 - Taubat

- Bab 29 - Sabar dan Syukur


Sangat bagus jika kita dapat peringatkan diri dan ahli keluarga masing-masing melalui halaqah usrah keluarga atau sekrang-kurangnya majlis taklim harian keluarga. Tambah-tambah bagi ketua keluarga, kenalah menunjukkan kepimpinan dan menjalankan tanggungjawab tarbiah.

 

Dah ada bukunya (modulnya), jangan dibiarkan tersimpan begitu sahaja. 


Semoga bermanfaat untuk keluarga masing-masing.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

9 April 2021

Isi Kandungan Buku Syariat dan Hakikat Nur




SENARAI PENUH ISI KANDUNGAN buku sahaya yang akan datang iaitu siri ke-4 buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah (Syariat & Hakikat Nur).


1. BAHASA DALAM


1.1 Mengenal Bahasa Dalam

1.2 Istilah Bahasa Dalam

1.3 Bahasa Dalam dan Kehidupan Kita

1.4 Bahasa Dalam dan Al-Quran

1.5 Bahasa Dalam dan As-Sunnah (Hadith)

1.6 Bahasa Dalam dan Sufi

1.7 Kepentingan Bahasa Dalam

1.8 Bahasa Dalam dan Karya-karya Kami

1.9 Cara Memahami Bahasa Dalam

1.10 Bahasa Dalam dan Imam Al-Ghazali

1.11 Faedah Berilmu Bahasa Dalam

1.12 Bahasa Dalam Dahulukala

1.13 Tindakan Kita Ketika Membaca

1.14 Tidak Tahu, Jangan Menunjuk Tahu

1.15 Rumusan


2. SYARIAT DAN HAKIKAT


2.1 Berkenalan dengan Syariat dan Hakikat

2.2 Contoh-contoh Syariat dan Hakikat

2.3 Memahami Syariat dan Hakikat Melalui Diri

2.4 Hakikat dalam Kehidupan Masyarakat Kita

2.5 Ayat-ayat Al-Quran Tentang Syariat dan Hakikat

2.6 Tulisan Imam Al-Ghazali Tentang Syariat

dan Hakikat

2.7 Perbandingan Fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah,

Qadariyah dan Jabbariyah

2.8 Kisah Iblis Menolak Syariat dan Hakikat

2.9 Pengertian Membuang Syariat

2.10 Allah Maha Adil, Mustahil Dia Zalim

2.11 Doa, Usaha dan Takdir

2.12 Faedah berilmu Syariat dan Hakikat

2.13 Soal Jawab Ringkas

2.14 Penutup


3. SYARIAT DAN HAKIKAT NUR


3.1 PERSEDIAAN AWAL

3.2 BERKENALAN DENGAN NUR

Apa itu nur?

Apakah lawan bagi nur?

Apa itu cahaya?

Daripada manakah asal perkataan cahaya?

Di manakah kita boleh melihat nur?

Apa sebenarnya yang menampakkan?


3.3 MATLAMAT PENGEMBARAAN KALI INI

Apakah matlamat yang dicari dalam pengembaraan ini?

Apakah kitab-kitab utama Imam al-Ghazali yang membicarakan tentang nur?

Apakah ayat Al-Quran yang paling penting dalam pengembaraan ini?

Sekiranya ilmu ini dikeluarkan, akan ada orang-orang yang menafikannya? Siapakah mereka?


3.4 MENGEMBARA MENCARI NUR SEBENAR NUR

Dari mana kita hendak bermula?

Jadi, yang manakah nur yang hakiki?

Jadi, yang manakah wujud hakiki?

Mengapa yang lain-lain itu itu tidak hakiki?


3.5 KESUDAHAN PENGEMBARAAN KALI INI

Apakah maksud binasa? Bukankah binasa itu bererti hancur musnah?

Apakah maksud orang mengatakan, "Sesiapa yang mengenal Rabbnya maka binasalah dirinya"?

Bagaimanakah cara untuk memahami maksud "binasa" itu?

Bagaimanakah cara untuk mengelakkan kita daripada tersalah tanggap terhadap nur Allah?

Apakah kegunaan pengetahuan, pemahaman dan pencapaian tentang nur pada kali ini?

Adakah pelajaran dan pencapaian kali ini merupakan pelajaran dan pencapaian yang sangat tinggi atau yang tertinggi dalam kesufian umumnya dan dalam Tarekat Ghazaliyah khususnya?

Mengapa pengetahuan ini tidak ditarbiahkan oleh guru-guru kami, perkumpulan-perkumpulan kami dan aliran-aliran kami?


3.6 PENUTUP

4. SOAL JAWAB TAREKAT GHAZALIYAH


LAMPIRAN


*Harap-harapnya buku sahaya yang kelima ini dapat dikeluarkan dalam bulan Rmadhan ini, menjelang Aidil Fitri. Doa-doakan.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

8 April 2021

Friday, March 19, 2021

Unsur Sastera dalam Buku Tarekat Ghazaliyah 3

Pantun-pantun menjadi selitan penghias buku pertama Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah (Buku Cahaya Biru) dan syair-syair untuk buku kedua (Buku Cahaya Hijau). Apa cerita pula dengan buku ketiga (Buku Cahaya Merah)?


Kesemua pantun dalam buku 1 telah dihimpunkan di sini http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/pantun2-dalam-buku-sahaya-terbit-cahaya.html .


Syair-syair dalam buku 2 itu pula di sini http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/rangkap2-syair-dalam-buku-kedua-tarekat.html .


Dalam buku ketiga, karya sastera sahaya yang menjadi penghias bermaksud dan bermaklumat (bagi mereka yang direzekikan faham) itu ialah puisi-puisi, termasuklah lirik-lirik. Dihimpunkan semuanya di bawah :


No. 1 - CAHAYA CINTA SEBATANG LILIN


Kala dunia penuh dengan kegelapan kebencian,

ahli-ahli tasawuf tetap membawa cahaya cinta dan kasih sayang

sekalipun kegelapan kebencian itu seluas alam

dan api pemberi cahaya cinta itu

sekadar sekecil api sebatang lilin.


Di tengah-tengah lautan kegelapan kebencian itu,

cahaya api sebatang lilin itu juga yang terpandang mata.



No.2 - BERTAUHID MELALUI HUJAN


Terlihat hujan turun, ingat Allah.

Dia yang berkuasa menurunkan.


Terasa terkena hujan, “nampak” Allah.

Dia yang berkuasa memberi rasa.


Basah badan dan pakaian, ingat Allah.

Dia yang berkuasa membuatkan basah.


Pabila basah terasa sejuk, “nampak” Allah.

Dia yang berkuasa membuatkan sejuk.


Setelah sejuk datanglah demam, ingat Allah.

Dia yang berkuasa membuatkan demam.


Makan ubat hilang pula demam, “nampak” Allah.

Dia yang berkuasa menyembuhkan, bukannya ubat.


Maka ke mana sahaja engkau "memandang", engkau akan ingat dan"nampak" Allah.



No. 3 - TERFANA


Terfana diriku
di dalam cahaya-Mu

Terkelu lidahku
menyaksikan

Di dalam zikirku
terubat rasa rindu
Munajatku
kerana-Mu

Allah Maha Kaya
Sebenar Penguasa
Engkau yang kucinta
Yang kudamba

Ilmu yaqin mula
Ainul yaqin kedua
Haqqul yaqin
Kemuncaknya

Binasakan mazmumah
Isikan mahmudah
Tajalli kan datang
Asyiknya

Af'al, Asma' dan Sifat
beserta ZatNya
aku tauhidkan
Ilahku



No. 4 - KEMILAU RISAU DAN HIRAU


Seseorang manusia fardhulah ke atas dirinya

mukasyafah ilmunya dan mua’malah laluannya.

Risau, risau, risau hatiku jikalau tak tahu.


Sifat yang membahagia, sifat mahmudahlah namanya.

Sifat yang membinasa, sifat mazmumah, kenalinya.

Hirau, hirau, hirau kawanku, supaya kau tahu.


Kenali Ilah. Tepati aqidah

Ahli Sunnah Wal Jamaah

Siapa yang engkau sembah

makhlukkah atau Allah?


Tiada sesuatu setara, sebanding sekufu.

Tiada bersekutu, bercerai pun tidak berlaku.

Kifiatnya tiada tahu. Teguhkan di hatimu.



No. 5 - MATLAMATMU


Jannah yang seluas langit dan bumi.
Alangkah luasnya.......

Terdapat di sana
nikmat-nikmat agung
berupa
sofa kemalaikatan dan taman kehayawanan.

Bagi para pengendera sayap kerohanian
jangan sia-siakan sayap ilusimu itu
dengan bermatlamat untuk
terbang ke taman-taman sahaja.
Berusahalah untuk bermatlamat
menjelajah alam sofa kemalaikatan.

Bagi para pendahaga cinta Ilahi,
untuk menghilangkan haus qalbumu,
tetapkan matlamatmu untuk meminum air Tasnim-Nya,
tidak sekadar campuran Tasnim.

Di halaman para abrar sangat bagus.
Di puncak menara para muqarrabin
terlebih bagus.



No. 6 - KAMPUNG AKHIRAT


Semakin hari semakin tua.
Tidak lama lagi bakal menjadi penghuni kampung akhirat.

Harap-harapnya dapatlah kampung yang tanahnya berbau wangi, kebun-kebunnya subur, wajah para penghuninya berseri-seri.....

Ketika bersanding di atas pelamin dalam taman yang buah-buahannya dekat itu,
harap-harap juga
dapatlah berjiran dengan pelamin-pelamin lain yang bertakhta di atasnya
orang-orang yang dikenal dalam hayat di alam dunia dulu.

Alangkah indahnya kampung akhirat itu......!

Dan yang paling utama
berharap untuk bertemu dengan Tuan Punya Kampung Akhirat itu.
Inilah matlamat teragungku.



No. 7 - KITA MENCINTAI NABI?


Kita mencintai Nabi…
Benarkah?
Sudahkah kita betul-betul mengenali Nabi?
Bagaimana boleh cinta jika belum kenal?

Tahukah kita…
Dia ialah makhluk yang paling dicintai Allah.
Dengan menyebut namanya
doa-doa kita akan lebih cepat dimakbulkan Allah.
Dengan meniru sunnah-sunnahnya
kita diberi hadiah berupa pahala oleh Allah.
Siapa lagi yang sehebat dia?

Sedarkah kita…
dengan usahanya…
ibu bapa kita beragama Islam,
saudara-saudara kita di seluruh dunia hari ini berjumlah 1500 juta orang,
Islam pernah memerintah dunia
dan akan kembali memerintah dunia.
Itu semua dengan usahanya.

Mungkin kita lupa…
peluh baginda berbau wangi,
tutur katanya paling lunak,
budi pekertinya paling memikat,
malah ludah baginda pun diambil berkat.

Rupa-rupanya…
Banyak yang belum kita tahu tentang Nabi.
Banyak yang belum kita sedar dan faham tentang Nabi.
Betulkah kita mencintai Nabi?



No. 8 - HAKIKAT CINTA SEJATI


Cinta yang sejati,

cinta yang hakiki,

(ialah) cintanya Ilahi.

Teguhlah.


Bersinar cahaya

(iaitu) nurullah.

Tenteram di jiwa,

damailah.


Sebelum kutahu,

tiada kumengenal,

tiadalah cinta

kepadaNya.


Setelah kutahu

akupun mengenal

lalu kumencinta

Tuhanku.


Jalannya anbiya’,

jalannya auliya’,

(dan) jalannya ulama’,

(itulah) jalanku.


Bersinar cahaya

nurullah.

Tenteram di jiwa,

damailah.



No. 9 - MUNAJATKU


Ya Allah, Engkau ampunkanlah kami
Kami banyak bersalah kepada-Mu
Ya Allah, jangan Engkau seksa kami (walaupun)
kami sering lupa kepada-Mu

Ya Allah, Engkau selamatkan kami
Kami langsung tiada upaya
Ya Allah, kami lemah, kami hina
Engkaulah sebaik-baik Penjaga

Ya Allah kami memang orang yang rugi
Kami terlalu cinta dunia
Kami sememangnya takut mati
Sedangkan amalan tidak seberapa

Selamatkan kami di dunia
Selamatkan kami di akhirat
Jauhkan kami dari neraka
Tempatkanlah kami di syurga-Mu

Ya Allah, perkenankan doa kami
Hanya Engkau tempat kami bermanja
Ya Allah suburkanlah cinta kami
KepadaMu Yang Maha Mengasihani

Engkaulah Tuhan, cinta agung kami.


TAMAT KOLEKSI


Untuk buku ke-4 (Buku Cahaya Kuning)?

Tunggu ilham sampai.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

19 Mac 2021