"Wa 'alaikumussalam, ostat!" Jawab murid tahun 1 dengan sekuat-kuat hati. Ada yang berlari kembali ke tempat duduknya. Ada yang tergopoh gapah bangun selepas bermain otromen. Ada yang muka macam hendak menangis kerana bermain ketuk-ketuk kepala dan sebagainya. Haru biru juga dibuatnya, bila melihat pelbagai ragam kanak-kanak ditempatkan dalam satu kelas.
"Ostat, kenapa ostat lambat? Saya dah nak balik dah." Tanya Haikel, budak paling aktif tapi paling m***s nak siapkan kerja sekolah. Biarkan dia berlari keliling sekolah 20 kali adalah lebih disanggupinya dari duduk menatap buku hanya dalam tempoh 3 minit.
"Ostat pergi kantin kejap, minum air. Dahaga laa..." Jawabku acuh tak acuh.
"Alaa ostat nih... cepat laa kita nak belajar sembahyang ni."
"Alahai, semangat laa pulak budak ni." Getus hati kecilku. Mungkin aku ada aura kot mengajar mereka. Lagi pula aku suka melayan kerenah mereka mengikut gaya yang dikehendaki. Sebab bagiku, layan sahaja apa yang mereka hendak, kemudian barulah kita mengajar.... memang susah sikit, tapi murid-muridku ini akan lambat bosan dan jemu. Kira okey laa gitu. Mereka dapat belajar, menghafal, suka dan boleh menerima apa yang kita sampaikan dalam masa 10 minit. Itu adalah lebih baik daripada 1 jam kita pon boring dan mereka tidak memahami apa yang diajarkan. Tahap penerimaan mereka pula terlalu berbeza-beza. Sukar bagi kita menyelami kemahuan dan kehendak mereka dalam satu masa. Pendek kata, kita perlu berusaha dan mencuba.
Minggu ini, aku perlu mengajar bab solat untuk persediaan Kem Bestari Solat. Jadi, secara mudahnya aku lebih suka mereka buat dalam bentuk praktikal secara berjemaah. Barulah mereka gembira, sambil belajar dan boleh bermain.
"Okey semua, keluar ke hadapan.... berbaris!" Teriakan aku, memecah hiruk pikuk keriuhan mereka.
"Abang kakak...! Cepat!... yang lelaki di hadapan, perempuan di belakang.... baris menghadap kat ustaz.! Arahku. Barisan saf makmum lelaki dan perempuan tersedia dengan adegan tolak menolak, himpit menghimpit serta acara memilih pasangan yang cukup memboringkan.
"Wei tepilah, ni tempat aku ni...!"
"Woi aku cop dulu sinihhh!"
"Hoi! Janganlah tolak-tolak.... sakitlah...! Jerit satu suara yang lain.
"Ostaaattt.... tengok Haikel ni, main kungfu-kungfu.... tolak-tolak orang... dia pijak kaki saya..." Adu sorang murid yang lain.
"Mana ada aku buat... nih Aiman ni yang tolak-tolak dulu." Jawab Haikel bersungguh. Biasalah budak-budak kenit ni, 'helah bela diri' laa tu. Teknik ini, memang terkenal dari dulu lagi... tak tau siapa yang ajar. Hmmm...
"Okey, siapa yang tolak-tolak nanti ostat, tarik telinga dia... biar jadi macam piring Astro."
"Wahahahaha....!" Gelak mereka menghentikan keriuhan dialog tidak punya maksud.
"Nak kena ke?" Tanyaku lagi.
"Taaak naaaak!" Jawab mereka serentak.
"Okey, sebelum kita solat apa yang kita kena buat dulu?" Soalku kepada mereka.
"Mandiiii!"
"Takbirrrrr!"
"Bentang sejadah!"
"Tanggal kasut!"
Pelbagai jawapan yang dijawabnya. Menambahkan lagi kekusutan suasana.
"Okey... okey... kena ambil air..... haa air apa?"
"Air hujan.... air botol... air sungai.... air pop!"
Pelbagai air la pulak yang keluar... ikut sedap hati sahaja mereka menjawab soalanku.
"Air sembahyang...!" Jawab seorang murid perempuan di celah-celah hiruk pikuk suasana tersebut.
"Haaa betul tu.... air sembahyang, siapa yang jawab tadi?"
"Amira... Amira... ostat!" Jawab kawan-kawan di sebelahnya.
"Okey, beri tepukan kepada Amira kerana memberikan jawapan yang betul."
^Big applause^ ehehehe sempena bulan Oktober ini sebagai bulan Bahasa Kebangsaan, sepatutnya aku tak boleh gunakan klausa Inggeris... tapi degil laa ni. Cakap Inggeris tak pandai pon... itulah masyarakat kita. Suka menggunakan bahasa 'rojak'. Balik kepada cerita tadi.
"Air sembahyang atau wu...!"
"Wudukkkkkk!" Jawab mereka beramai-ramai.
"Pertama kita buat apa?"
"Baca bismillah." Jawab mereka.
"Lepas itu?"
"Basuh tangan...."
"Lepas itu lagi?" Ujarku.
"Berkumur-kumuuuur!" Terkejut juga aku sebab hampir separuh kelas yang boleh jawab.
"Selepas itu? Masukkan air ke mana?"
"Masukkan air ke dalam hidung!"
"Bagus!" Jawabku.
"Lepas tu buat apa pulak?"
"Basuh mukaaaa!"
"Okey lepas basuh muka buat apa lagi?" Soalku lagi.
"Basuh tangan...."
"Okey, basuh tangan sampai ke mana?"
"Sampai ke siku ostat..." Jawab dua tiga orang murid di belakang.
"Ye... bagus! Basuh tangan sampai ke siku!"
"Ostat, basuh sampai ke SIKU LALI ke?" Ada pula yang mencelah....
Sebaik sahaja aku mendengar perkataannya itu, membuatkan aku tergelak kecil. Sebab ada lagi yang masih keliru antara buku lali dan siku lali di kalangan anak muridku.
Moralnya: Jangan ketawa bila ada orang tersilap. Buat-buat selamba sahaja.