KUALA LUMPUR, 12 Nov — Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh
negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai
Januari depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP).
Presidennya Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem
waktu bekerja baru itu akan dilaksanakan di empat negeri iaitu Pahang, Melaka,
Johor dan Sarawak sebagai percubaan selama enam bulan.
Hashim menambah
NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di
sekolah.
Katanya, NUTP menerima maklum balas daripada guru terlibat yang
bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.
Tempoh
percubaan waktu bekerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan
dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga
6.30 petang selama enam bulan.
Terdapat sekitar 400,000 guru di seluruh
negara pada masa sekarang.
“NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam
seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan
sekolah.
“Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan
tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru
terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan
kelas tambahan,” kata Hashim, dipetik Utusan Malaysian hari ini, pada sidang
sidang media di Alor Setar.
“Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di
sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini,”
katanya.
Tambah beliau, walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi
pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan
“kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di
sekolah.”
Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya
mengkaji semula perkara tersebut.
*Komentar saya
Mengapakah perlu dibebankan dengan kerja sedia ada?
Ramai rakan saya tidak pernah berkira-kira bekerja di luar waktu sekolah... sekalipun hari Sabtu dan Ahad mereka sanggup datang sekolah untuk menyelesaikan kerja dan tugasan di sekolah... itu tidak termasuk dengan kerja luar yang memenatkan dengan pelbagai aktiviti sama ada sukan, kebudayaan, mahrajan dan sebagainya.
Jangan terjadi nanti guru yang kepenatan kerana 'dikerjakan' sehingga 9 jam akan mula berkira-kira dalam melakukan kerja mereka. Pasti impaknya cukup negatif.... dibimbangi semakin ramai murid, kerja sekolah, kerja rumah, anak sendiri dan keluarga sendiri yang bakal terabai...
Bila difikirkan semula, kakitangan kerajaan yang paling ramai adalah guru dan yang paling ramai membangkang di sebelah pihak pembangkang juga adalah guru... maka ia bakal memberi kesan negatif pada pihak kerajaan pada PRU yang akan datang....
Dulu Pak Lah tidak bagi bonus dalam bajet tahunannya dan akibatnya begitu teruk keputusan pilihanraya dalam PRU pada masa tersebut... dan ingatan saya, jangan ulangi kesilapan lalu.... mungkin ada pihak memandang remeh soal ini, tetapi yang remeh inilah yang membawa kesan 'besar' pada masa akan datang.
Jadi pihak berwajib, fikir-fikirkanlah demi kesejahteraan negara.... Salah langkah, memang buruk padahnya... Wallahu a'lam.
Isnin, 14 November 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan