Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Memaparkan catatan dengan label Sejarah Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah Islam. Papar semua catatan

Ahad, 16 Ogos 2009

Bersabarlah! Mereka Juga Saudaramu


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Dalam kancah kehidupan hari ini, pihak kerajaan menggesa agar dilaksanakan Kempen 1Malaysia bagi mewujudkan perpaduan di kalangan semua anggota kaum dan etnik. Kesatuan dan perpaduan ini akan menguatkan pertalian hidup masyarakat, mengukuhkan hubungan mereka dan secara langsung dapat menstabilkan sosial, politik dan juga ekonomi negara kita.

Malangnya ada segelintir pihak yang memandang 'sepi' kempen sebegini dengan anggapan tidak sama manhaj ideologi dan juga jauhnya jurang perbezaan mazhab politik. Lebih malang lagi, ada yang membuat tohmahan bahawa kempen sebegini hanya menguntungkan sesetengah pihak yang cuba menerapkan ideologi penjajah dan barat di minda generasi umat Islam khususnya.

Semua ini hanyalah ilusi yang perlu dihindari dan diketepikan kerana ia menyalahi prinsip agama Islam dan juga prinsip pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang meniti di landasan sunnah yang mulia. Ini kerana setiap perintah pemimpin yang menyeru ke arah kebaikan perlu dipatuhi dan ditaati, sebagaimana sebuah hadis dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sabdanya, "Wajib atas seseorang Muslim untuk mendengar dengan patuh serta mentaati, baik dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, melainkan jikalau ia diperintah untuk melakukan sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah oleh pemerintahnya dengan sesuatu kemaksiatan, maka tidak boleh ia mendengar perintah itu dan tidak boleh pula mentaatinya." (Muttafaq 'alaih)

Segala dendam kesumat atas kesilapan silam, kesalahan peribadi dan apa jua yang berlaku perlulah dimaafkan sahaja. Itulah jalan terbaik yang perlu diikuti sepertimana kemaslahatan untuk kelompok ramai lebih diutamakan dari kemaslahatan peribadi akibat pertelingkahan peribadi berdasarkan Fiqh Awlawiyat (keutamaan). Jelas dalam satu kaedah fekah (Qawa'id Fiqhiyah) yang menyebutkan "al-Khuruj min al-Khilaf Mustahab" membawa maksud, menghindari perbezaan pendapat itu adalah sunnah.

Menjaga persatuan umat Islam dan menjauhkan diri daripada sebarang perselisihan merupakan suatu hal yang wajib. Malah hal ini lebih diutamakan daripada melakukan perkara-perkara yang sunnah. Apabila berlaku percanggahan antara yang wajib dan sunnah, melaksanakan perkara yang wajib adalah diutamakan walau terpaksa meninggalkan yang sunnah.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah menjelaskan, "Disunnahkan seseorang itu menjaga persatuan meskipun harus meninggalkan sunnah. Disebabkan maslahat (kebaikan) memelihara kesatuan umat lebih utama daripada melaksanakan sunnah sebagaimana yang dicontohkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda tidak mengubah bangunan Kaabah kerana dengan membiarkannya seperti yang sedia ada dapat menjaga perpaduan."

Beliau menegaskan lagi, "Sama juga dengan Ibn Mas'ud yang tidak sependapat dengan 'Utsman bin 'Affan yang mendirikan solat dalam musafir secara tamam (sempurna tanpa mengqasarkannya). Biar pun demikian, dalam musafir tersebut beliau melaksanakan solat secara tamam sebagai makmum di belakang 'Utsman. Bila ditanya tentang perbuatannya itu, dia menjawab ringkas, "Perselisihan itu membawa natijah buruk".

Beginilah yang dilakukan oleh tokoh sahabat dalam menghindari perselisihan dan pertikaian sesama mereka. Sahabat seperti Ibn Mas'ud yang dilantik oleh Umar al-Khattab sebagai pembantu kepada 'Ammar di Kufah turut dilantik sebagai pendakwah di sana kerana pengetahuannya yang mendalam tentang ajaran Islam.

Umar sendiri menyatakan di lembaran terakhir suratnya kepada penduduk Kufah agar mematuhi perintah dan ajaran yang disampaikan oleh 'Ammar dan Ibn Mas'ud ini dengan ungkapan, "Aku telah mengutuskan untuk kamu 'Ammar sebagai pemimpin dan Ibn Mas'ud sebagai pembantunya dan guru kepada kamu. Mereka berdua adalah sahabat Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam yang bijak dari kalangan ahli Badar. Maka taatilah perintah dan contohilah mereka berdua. Aku sendiri amat terkesan dengan keperibadian 'Abdullah Ibn Mas'ud dalam berpegang dengan sunnah."

Perhatikan sikap para ulama terdahulu yang cuba mencari jalan untuk mengelakkan sebarang perselisihan dan pertikaian. Tiada untungnya perpecahan dan pertelingkahan ini melainkan bakal membawa natijah yang buruk dan kemusnahan. Ada baiknya dibawakan kisah Ibn Taimiyah yang pernah difitnah oleh musuh ilmiahnya hatta dihukumkan kafir dan sesat. Beliau yang menjawab dan mengkritik sebuah buku yang ditulis oleh seorang ulama sufi di zamannya berjudul al-Istighatsah telah menimbulkan kemarahan syeikh tersebut.

Fitnah tersebut antara yang terburuk berlaku ke atas peribadi Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pada tahun 707H. Beliau bukan sahaja digesa agar dihukum penjara malahan turut diminta agar dihukum bunuh oleh syeikh sufi tersebut. Tindakan yang tidak diambil oleh pihak pemerintah tersebut semakin memburukkan lagi kepada Ibn Taimiyah yang telah diserang oleh kumpulan tersebut pada tahun 711H.

Mendengar berita Ibn Taimiyah diserang oleh pihak terbabit yang memusuhinya, anak muridnya yang terdiri daripada masyarakat awam telah menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan atas kumpulan tersebut, namun tidak diendahkan. Akhirnya mereka semua berjaya mengumpulkan sebahagian tentera dan golongan yang bersimpati dengannya untuk menuntut bela dengan apa yang terjadi ke atas Ibn Taimiyah. Ramainya kumpulan tersebut sehingga ada pihak yang menyatakan, "Syeikh, telah datang pasukan dari al-Husainiyah ke sini. Seandainya tuan ingin mereka hancurkan seluruh negara Mesir, nescaya mereka akan laksanakan perintahmu."

Ibn Taimiyah tidak mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan sesama umat Islam kerana beliau menganggap apa yang dilakukan oleh syeikh sufi itu tetap mendapat satu pahala kerana kesalahan ijtihad beliau ke atasnya. Malah beliau tidak langsung menyatakan rasa marah atau bertindak balas dengan apa yang dilakukan oleh mereka ke atas dirinya.

Sebaliknya beliau menolak bantuan tersebut dengan memberi amaran kepada mereka dengan katanya, "Apa sahaja tujuan kamu datang ke sini bagi membela diriku, atau demi kepentingan kamu atau pun kerana Allah Taala, aku tidak tahu. Sekiranya untuk diriku, aku memaafkan mereka. Jika demi kepentingan kamu, seandainya kamu tidak mendengar fatwaku, janganlah kamu meminta lagi fatwa daripadaku dan lakukanlah sekehendak hati kamu. Jika kerana Allah kamu ke sini, Allah Taala yang lebih berhak ke atas mereka dengan kehendak dan bila masa yang dikehendakiNya."

Perlu diketahui, syeikh sufi tersebut tidak ada tempat untuk bersembunyi dari pihak penguasa yang didesak oleh orang ramai agar menangkapnya. Akhirnya beliau sendiri terpaksa meminta bantuan daripada Ibn Taimiyah untuk bersembunyi di dalam rumahnya. Beliau berada di sana beberapa lama sehinggalah Ibn Taimiyah sendiri berjumpa dengan khalifah bagi menggugurkan tangkapan tersebut.

Beginilah sikap ulama yang mengutamakan hak masyarakat melebihi hak peribadi demi menjaga kesatuan umat Islam. Moga Allah menjadikan kita semua di kalangan hamba yang bersikap sabar dan bertolak ansur sesama saudara seIslam. Insya Allah.

Selasa, 11 Ogos 2009

METOD IMAM MALIK DALAM MENGHADAPI KERENAH POLITIK


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Imam Malik berada pada zaman kegawatan politik yang meruncing akibat perbalahan bersenjata di antara pihak Abbasiyah dan Umawiyah. Salah seorang tokoh ulama atau tuan guru yang terkenal di kalangan Ahl al-Bait atau keturunan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada zaman tersebut adalah Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah yang berjaya merapatkan pakatan antara pihak Bani Hasyim dan golongan Abbasiyah pada mulanya. Pakatan ini telah berbai’ah dengan melantik Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah sebagai bakal khalifah selepas kejatuhan Dinasti Umawiyah.

Malangnya, pihak Abbasiyah lebih cekap dalam urusan menjatuhkan pemerintah Umawiyah dan mereka telah melantik Abu al-Abbas al-Saffah sebagai khalifah. Manakala al-Saffah pula dengan segera melantik adiknya iaitu Abu Jaafar al-Mansur sebagai pemangkunya dalam usaha meminggirkan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah. Akibatnya, mereka merasa gerun dengan gerakan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dengan adiknya Ibrahim yang semakin besar dalam usaha menuntut jawatan tersebut.

Antara usaha awal yang dilaksanakan oleh al-Saffah sebagai pemerintah adalah dengan menangkap Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dan penyokongnya. Namun usaha ini tidak berjaya dengan kematian al-Saffah tidak berapa lama kemudian. Abu Jaafar al-Mansur yang lebih pintar telah menangkap bapa Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dan adiknya iaitu Abdullah bagi memaksa mereka keluar menyerah diri.

Taktik yang dilakukan oleh Abu Jaafar ini akhirnya berjaya, apabila Abdullah didera dengan teruk di dalam tahanannya. Akhirnya pertempuran berlaku di antara al-Nafs al-Zakiyyah dan tentera al-Mansur pada tahun 145 Hijrah. Hasilnya pasukan al-Nafs al-Zakiyyah ditumpaskan dan Muhammad sendiri terbunuh.

Bersandarkan kisah ini yang dinyatakan secara panjang lebar dalam kitab Sejarah Imam al-Thabari, apabila Imam Malik mendengar kenyataan penduduk Madinah, “Di leher kami ‘belenggu perjanjian’ dengan Abu Jaafar al-Mansur.” Beliau menyatakan, “Kamu semua mengikat janji (bai’ah) dalam keadaan terpaksa. Tiada sumpah janji pada orang yang dipaksa, maka bersegeralah berbai’ah dengan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah.” Namun tiada yang berpaling di kalangan mereka itu kecuali hanya segelintir sahaja.

Al-Asfahani pula menyatakan, bahawa segelintir dari anak muridnya mengadu kepadanya mengenai penderitaan mereka kerana ditangkap dan ditahan dalam penjara. Beliau menjelaskan kepada mereka, “Bersabarlah sehingga ditafsirkan ayat Allah ini: “Dan Kami ingin mengurniakan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan menjadikan mereka sebagai pemimpin dan juga menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi.” (Surah al-Qasas, ayat 5)
Pernah juga Khalifah Harun al-Rasyid memintanya berfatwa mengenai golongan yang memberontak terhadapnya. Imam Malik menjawab, “Seandainya mereka memberontak kerana kezaliman pemerintah, maka tidak halal anda memerangi mereka Tetapi jika mereka sengaja tidak mentaati pemerintah (tanpa alasan kukuh), maka anda halal memerangi mereka.”

Kenyataan kontra ini, kadangkala tidak difahami segelintir manusia kerana mereka beranggapan Imam Malik menyeru kepada ‘pemberontakan’ terhadap pemerintah Abbasiyah dan menghulurkan tangan agar berbai’ah kepada Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah. Sedangkan Imam Malik sendiri tidak pernah menyertai mana-mana pemberontakan bersenjata, demonstrasi dan juga tunjuk perasaan terhadap pemimpin Abbasiyah.

Jawapannya secara mudah bagi ketiga-tiga kisah di atas, Imam Malik menjelaskan persoalan pertama mengenai ‘golongan yang dipaksa’ dalam apa jua situasi. Bahkan adalah dibolehkan untuk mereka mengikat janji atau berbai’ah kepada Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah yang ‘tidak memaksa’ rakyat berbai’ah kepadanya berbanding pemimpin Abbasiyah. Sedangkan paksaan oleh pihak kedua ke atas diri orang lain itu dianggap tidak sah dan batil dalam apa jua situasi. Namun, tidak ada langsung kenyataan Imam Malik yang mengharuskan rakyat bangkit memberontak terhadap pemerintah Abbasiyah, selepas terbatalnya bai’ah tersebut.

Ini menunjukkan Imam Malik mempunyai pandangan kritis dalam bidang politik. Sekiranya tidak disekat gerakan penentangan kepada pemerintah Abbasiyah ini, mafsadah atau keburukan lebih besar pasti berlaku. Lantas beliau mengambil sikap untuk tidak menentang, sama ada daripada pandangan fatwanya atau menyeru agar bangkitnya pemberontakan terhadap kerajaan era tersebut.

Bahkan beliau turut berpendapat perlunya rakyat mematuhi arahan pemimpin ‘zalim’ dalam keadaan darurat demi kesatuan umat. Kesatuan ini lebih penting dipelihara daripada menggadaikan ‘kehormatan’ agama dan bangsa ke tangan pihak musuh yang sering menantikan kejatuhan umat Islam. Mereka pasti lebih ‘ganas’ bertindak ke atas umat Islam yang lemah dan berpecah belah.

Tidak hairanlah pendapat tokoh Islam ini dinukilkan di dalam kitab al-Mudawwanah al-Kubra yang mana beliau berfatwa, “Aku tidak merasakan ia menjadi satu masalah jika rakyat bangkit memerangi Rom (bangsa asing) bersama-sama dengan pemerintah yang zalim ini.” Anak muridnya iaitu Ibn al-Qasim pula menjelaskan, “Malik berkata: “Tidak mengapa rakyat bersekongkol dengan para pemimpin ini… seandainya mereka membiarkan pemimpin ini bersendirian sudah pasti berlaku kemudaratan yang lebih besar terhadap umat Islam.”

Apa yang diwartakan oleh Imam Malik ini adalah larangan menentang kepada pemimpin sekalipun mereka ini zalim. Cukup dengan cara menasihati mereka dan berusaha menegakkan kebaikan bersama-sama dengan mereka dalam apa jua cara yang termampu. Bahkan Imam Malik tidak melampaui batas dalam usaha menggerakkan aktiviti politik, idelogi dan reformasi negara.

Malah Imam Malik tidak pernah menggesa agar dilaksanakan pemberontakan bersenjata. Ini kerana negara Islam di bawah naungan Abbasiyah ketika itu masih bersandarkan Islam pada dasarnya seperti melarang judi, arak dan zina. Meskipun pemerintah tidak melaksanakan syariah 100% dan tidak mengikuti sistem syura Islami dengan menukarkan pemerintahan mereka berteraskan monarki yang tidak pernah wujud sebelum itu.

Beliau berpendapat, sekiranya dibiarkan satu golongan pemberontak yang bersenjata wujud dan berjaya menggulingkan kerajaan. Golongan ini lebih berbahaya daripada kerajaan yang sedia ada dan lebih kejam terhadap rakyat jelata. Buktinya jelas, apabila diperhatikan dalam era moden ini, seandainya dibiarkan golongan bawahan memberontak seperti di negara Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan beberapa buah negara Asia lain di sekitar negara kita dalam dekad lalu. Pasti Malaysia tidak akan makmur sebagaimana yang dapat dinikmati pada hari ini.

Natijah daripada pemberontakan yang berlaku, penindasan terhadap masyarakat bawahan akan berleluasa. Mereka inilah yang bakal menjadi mangsa daripada perkembangan situasi buruk yang tercetus. Tidak hairanlah dalam hukum Islam sendiri, bagi golongan bughah atau pemberontak bersenjata, mereka akan dikenakan hukum hudud setimpal dengan keganasan yang mereka lakukan. Pengeboman di tempat awam dalam negara Islam adalah satu anasir jenayah bughah yang wajar dikenakan hukuman hudud kepada si pelakunya.

Justeru itu, metod Imam Malik dalam menghadapi kerenah pemerintah di zamannya adalah dengan ‘mengasingkan diri’ dari segala bentuk aktiviti politik tanpa meminggirkannya. Beliau lebih bersandar kepada metod membetulkan minda masyarakat dari aspek perkongsian politik setempat dengan menerima kedudukan jawatan atau pangkat tertinggi di dalam negara.

Meskipun pada pendapat ‘segelintir manusia’ kini yang melabelkan ulama sedemikian sebagai ‘ulama su`’ atau ulama kerajaan. Namun, apa yang dilakukan oleh Imam Malik adalah sebahagian usaha dakwahnya yang menyeluruh di antara pemerintah dan rakyat.

Sekiranya metod kontra yang digunakan oleh Imam Malik sebagaimana pandangan sebahagian besar aktivis politik Melayu yang berfikiran bahawa “kata-kata yang benar patut diungkapkan di hadapan pemimpin zalim.” Maka sudah pasti banyak usaha akan berlaku sebaliknya, pihak rakyat akan disekat secara umumnya dan para ulama terus menerus di’gam’ sama ada dari aspek dakwah secara lisan mahu pun tulisan. Segala kenyataan mereka akan dihalang dan penjelasan mereka dikira sebagai ‘musuh yang perlu ditentang’. Kerugian dan kehilangan akan mencengkam di benak umat, lantas kejahilan melata dan berkembang ke serata tempat.

Biarpun Imam Malik pernah dipenjara dan didera, beliau tidak pernah berdendam terhadap orang yang bercanggah pandangan dengannya. Hanya golongan itu sahaja yang merasa tertekan tanpa sebarang manfaat daripada tindakan menahan, mengurung, sekalipun dengan membunuhnya. Kerana suara mereka terus didengari dan diikuti hingga kini dengan kemaslahatan dan kebaikan buat seluruh umat.

Tidak pernah juga dicatatkan dalam mana-mana kitab mengenai ungkapan Imam Malik yang menyampaikan khutbah dengan mencerca para pemimpin atau mendoakan keburukan buat mereka. Sedangkan para khatib dan imam perlu mendoakan para pemimpin dan pemerintah umat Islam biar bagaimana sikap dan perangai mereka.

Ini kerana perbuatan mendoakan para pemimpin kaum muslimin merupakan metod Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan para imam mereka semisal Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafii, manakala usaha meninggalkan doa kepada mereka adalah perbuatan golongan bidaah.

Berkata Imam Ahmad: “Sekiranya kami diberikan doa yang benar-benar mustajab, nescaya kami akan mendoakan para pemimpin kami.” Ini kerana, seandainya mereka baik, maka baiklah kehidupan umat Islam. Jika berleluasa peninggalan doa yang disunatkan di dalam khutbah Jumaat ini di kalangan umat Islam, maka ia akan menjadikan orang ramai bertambah keliru. Bahkan wujud di kalangan sesetengah mereka yang bersangka buruk dengan menuduh para imam serta khatib yang mendoakan para pemimpin sebagai ‘pengampu’ kepada pihak pemerintah.

Hal ini begitu jauh daripada metod politik yang digunakan oleh Imam Malik yang begitu mementingkan kemaslahatan umat dalam menjiwai politik semasa di zamannya. Ini juga merupakan bukti jelas kepada pelbagai pihak di ‘luar sana ’ bahawa kepentingan utama merupakan usaha dalam memelihara kemaslahatan umat daripada terjerumus ke dalam jurang kemusnahan dan perpecahan.

Memelihara maslahat dan kebaikan ini merupakan prinsip tetap yang bakal dinilai oleh syariat Islam. Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh dalam memantapkan prinsip ini adalah lebih penting daripada prinsip ideologi politik yang kian bercelaru dewasa ini. Metod Imam Malik ini boleh dijadikan sandaran bagi aliran ideologi politik moden dan parti politik Islam mutakhir ini dalam usaha mencapai kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam di Malaysia.

Rabu, 8 April 2009

Medan Hittin 1187


Pertempuran Hittin atau Hattin yang meletus di sebuah tempat berdekatan Tiberias kini dalam wilayah Israel. Kawasan tersebut turut dikenali sebagai "Tanduk Hattin" kerana terdapat 2 buah bukit berdekatan tempat tersebut. Pertempuran antara tentera Islam dan angkatan Salib Eropah berlangsung di tempat pada hari Sabtu, 4 Julai 1187.

Angkatan Salib yang menguasai Baitul Maqdis bertindak menghalang kemaraan tentera Islam dinasti Ayyub di bawah Saladin (Sultan al-Nasir Salahuddin al-Ayubi). Tujuan tentera islam menyerang kerana kebiadaban angkatan Salib yang melanggari perjanjian gencatan senjata dan bertindak menyerang, merompak dan membunuh rombongan haji umat Islam yang menuju ke Makkah.

Latar belakang Perang Hittin

Guy Lusignan menaiki takhta sebagai pemerintah Kristian Baitul Maqdis pada tahun 1186 kerana beliau mengahwini Sibylla. Hal ini terjadi selepas kematian anak lelaki Sibylla yang bernama Baldwin V merupakan pewaris tetap kerajaan Kristian Baitul Maqdis. Sibylla berkahwin dengan suami pertamanya William dari Montferrat.

Pada masa itu kerajaan Kristian Baitul Maqdis dibahagikan antara “kumpulan mahkamah” yang dipimpin oleh Guy dan Sibylla serta pendatang baru dari kalangan negara Eropah lain seperti Raynald Chatillon, Gerard Ridefort dan Knights Templar. Kumpulan kedua pula dikenali sebagai “kumpulan pertuanan” yang diketuai oleh Raymond III dari Tripoli yang merupakan raja muda bagi pewaris Baldwin V. Kumpulannya telah bangkit menentang pewarisan Guy yang tidak diiktiraf oleh mereka.

Raymond III dari Tripoli yang melihat bahawa beliau adalah pewaris utama di kalangan bangsawan yang paling layak memegang takhta tersebut bergegas ke Baitul Maqdis untuk membuat bantahan kepada Guy dan Sibylla. Raymond III yang menentang arus melalui bahagian atas Lembah Sungai Jordan menuju ke Tiberias bagi menghalang Guy yang ingin mengepung Tiberias.

Kemaraan Guy tersebut dianggap satu pencerobohan dan situasi menjadi tegang hingga hampir mencetuskan peperangan terbuka di antara Raymond dan Guy. Guy yang hendak mengepung Tiberias secara sengaja sedangkan sebuah kubu pertahanan adalah di bawah penguasaan Raymond III melalui isterinya iaitu Eschiva, puteri Galilee. Namun perang tersebut berjaya dihalang melalui campur tangan oleh penyokong Raymond iaitu Balian dari Ibelin.

Sementara itu juga wilayah-wilayah Islam di sekitarnya pernah bersatu sepanjang tahun 1170-1180 oleh Saladin. Saladin telah dilantik sebagai gabenor Mesir pada tahun 1169 dan tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Sultan. Pada tahun 1174, beliau berjaya menguasai kota Damsyik, kuasanya meluas ke kota Aleppo (Halab) pada tahun 1176 dan seterusnya ke kota Mosul pada tahun 1183.

Buat pertama kali, wilayah Kristian Baitul Maqdis sedang dikelilingi oleh wilayah Islam yang berjaya disatukan di bawah seorang pemerintah Islam. Angkatan Salib berjaya mengalahkan pasukan tentera Saladin dalam pertempuran Montgisard berdekatan Ramlah, Palestin pada tahun 1177. Pada awal tahun 1180-an kedua belah pihak menandatangani perjanjian damai. Namun perjanjian tersebut dikhianati oleh pasukan Kristian bawah pimpinan Raynald yang menyerang jemaah haji Muslimini dan beliau sendiri bertindak mengancam untuk menyerang Makkah dengan pasukannya.

Apabila Guy menjadi raja, Raymond membuat satu perdamaian berasingan dengan Saladin, dan pada 1187 beliau telah membenarkan Sultan menghantar askarnya di bahagian utara wilayahnya. Pada masa yang sama, satu pasukan diplomatik telah dihantar dari Baitul Maqdis ke Tripoli bagi membuat rundingan penyelesaian antara Raymond dan Guy. Pasukan diplomatik ini telah ditewaskan dalam pertempuran Cresson pada 1 Mei 1187, oleh satu pasukan kecil di bawah pimpinan al-Afdal iaitu anak Saladin. Raymond segera berdamai dengan Guy dan berusaha mengumpulkan keseluruhan tenteranya untuk berarak ke utara untuk bertemu dengan tentera Saladin.

Selepas keadaan kembali tenang, Raymond dan Guy bertemu di Acre (Akka) dengan gerombolan angkatan tentera Salib yang lebih besar. Menurut beberapa sumber dari Eropah ia mengandungi 1,200 orang kesatria dalam bilangan pasukan berkuda yang ringan dan berkemungkinan mengepalai lebih 10,000 askar pejalan kaki.
Bilangan itu tidak termasuk pasukan pemanah upahan daripada armada dagang Itali yang sering memberikan bantuan kepada angkatan perang Salib serta sejumlah besar askar upahan yang mencari wang termasuk etnik Turk Byzantin di bawah dana derma oleh Henry II dari England. Pasukan yang turut sama menyertainya adalah peninggalan pihak Salib yang dipimpin oleh Uskup Acre (Rahib Kristian Akka, Syria) yang berada di situ sebagai ganti kepada Patrik (Patriarch) Heraclius yang sedang sakit.

Pada 2 Julai, Saladin yang cuba menjerat Guy telah menggerakkan tenteranya keluar dari Saffuriya (Sephoria) pada musim bunga dan secara peribadi mengetuai satu pengepungan kubu milik Raymond di Tiberias. Manakala angkatan tentera Islam utama masih kekal berada
di Kafr Sabt. Angkatan Salib yang berada di barisan hadapan pasukan Tiberias cuba untuk 'membayar' Saladin agar mengundurkan pasukan tenteranya. Beliau enggan menerimanya dan menyatakan kepada mereka,
"Apabila sesebuah rakyat itu mulai menyedari bahawa mereka hanya mempunyai lawan yang satu. Sesiapa pun tidak boleh menjerat atau menipu mereka, malah mereka tidak akan cepat berpuas hati dengan penghormatan (pangkat) yang cuba diberikan. Jika itu berlaku, mereka akan takut terjadinya perang yang mungkin mengorbankan diri mereka dan mereka akan meminta sebahagian harta tersebut untuk diri mereka... tetapi hamba yang ikhlas berkhidmat pasti menghunuskan pedang bagi memisahkannya di antara mereka."
Kubu tersebut jatuh pada hari yang sama. Sebuah menara pertahanan Kristian berjaya dirobohkan dan apabila tenteranya bertempiaran lari, askar-askar Saladin menyerbu dan membunuh askar Kristian yang masih bertahan dan menawan sebahagian besar daripada mereka sebagai banduan. Isteri Raymond iaitu Eschiva yang masih bertahan telah dikepung di dalam kubu pertahanannya. Sewaktu mereka bersiap untuk menggempur kubu pertahanan terakhir itu, berita telah diterima oleh Saladin bahawa Guy sedang menggerakkan angkatannya tenteranya ke bahagian timur sebagai umpan.

Keputusan Guy untuk meninggalkan benteng pertahanannya sebagai satu usaha menyelamatkan dan mempertahankannya adalah satu hasil perbincangan para panglima perang Salib pada malam 2 Julai. Walaupun ada laporan yang telah diputuskan pada mesyuarat ini merupakan pandangan berat sebelah akibat persengketaan peribadi antara pemerintah angkatan Salib. Ini memperlihatkan bahawa Raymond sendiri terpaksa melaksanakan satu ekspedisi tentera yang digerakkan dari Acre ke Tiberias yang tidak sepatutnya dilakukannya di saat genting tersebut.
Namun taktik Saladin ini amat bertepatan dengan apa yang beliau mahukan. Manakala kota Sephoria adalah satu kedudukan yang begitu kukuh bagi pihak tentera Salib mempertahankannya dan amat sukar untuk dikalahkan oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Saladin.

Tambahan pula, Guy tidak sepatutnya bimbang tentang pertahanan kota Tiberias kerana Raymond menguasainya secara peribadi dan bersetuju untuk meninggalkannya demi keselamatan negerinya yang lebih luas. Sebagai respon untuk hujah ini, walaupun perdamaian
sesama mereka berlangsung dalam situasi genting ini dan dilihat pihak kumpulan mahkamah yang diketuai Guy lebih dominan dalam arena politik saat itu, maka Raymond telah dianggap pengecut oleh Gerard dan Raynald.
Impak dari keputusan tersebut membuatkan Guy bertindak merancang serangan pantas terhadap pihak Saladin. Guy mengarahkan kepada pasukan tenteranya agar mara untuk menentang angkatan tentera Saladin di Tiberias. Apa yang telah dirancang oleh Saladin dengan begitu teliti telah menjadi. Saladin merancang agar pertempuran terbuka dengan pihak angkatan Salib adalah lebih mudah daripada mengalahkan mereka yang berada dalam kubu pertahanan yang kukuh.

Pertempuran

Angkatan Salib yang bergerak dari kubu kota Sephoria pada 3 Julai di bawah pimpinan Raymond yang berada di barisan paling hadapan bersama Guy, Balian, Raynald serta para panglima perang Salib. Pasukan besar itu sentiasa berada di bawah pantauan berterusan daripada askar peninjau berkuda Islam. Pada tengah hari pada hari itu, tentera Salib yang baru sampai ke sebuah kampung di Turan sejauh enam batu (10 km) daripada Sephoria. Di sini, menurut Saladin,
"Burung-burung helang dari infantri Salib dan helang pasukan berkuda mereka bakal mengepak-ngepak di sekeliling air (kerana kehausan)."
Tempat tersebut masih berada sejauh batu sembilan (14 km) dari kota Tiberias. Oleh itu, dengan hanya satu setengah hari perjalanan sebarang percubaan untuk meninggalkan sumber air ini pasti membawa kemusnahan bagi mencari objektif lain pada hari yang sama. Situasi genting begini bakal mengundang serangan tentera Saladin pada bila-bila masa sahaja.

Apabila Saladin tiba selepas mengambil alih sepenuhnya kota Tiberias dan selepas tentera Salib bersiap meninggalkan perkampungan Turan kedua belah pihak bertemu. Tentera Islam memulakan serangan mereka dengan bersungguh-sungguh. Saladin menghantar dua sayap
tenteranya menggempur pasukan tentera Salib dan berjaya merampas perkampungan Turan dan mampu menyekat pengunduran angkatan Salib secara menyeluruh. Taktik ini akan memberikan Saladin kemenangan dalam pertempuran yang lebih besar.
Dalam pertempuran yang masih berlangsung berikutnya, barisan belakang angkatan Salib terpaksa berhenti oleh serangan bertali arus oleh tentera Saladin. Serangan beterusan itu mengakibatkan mereka terpaksa menghenti-hentikan pengundurannya hingga keseluruhan tentera Kristian berada di dataran tinggi. Mereka terpaksa bertahan dan membina kem sementara yang terkepung di dataran tersebut oleh tentera Islam. Mereka dalam keadaan tertekan kerana tidak mempunyai bekalan air ataupun sebarang harapan untuk menerima bekalan bantuan makanan atau ketenteraan.

Behe al-Din meringkaskan dalam catatannya mengenai keadaan tentera Salib yang semakin tertekan: "Mereka seolah-olah berada dalam satu gelung, sambil tetap terus berkawat seolah-olah mereka menantikan kematian yang mereka boleh lihat sebelum kejadian itu berlaku ke atas diri mereka. Apa yang pasti bagi mereka ajal maut dan kemusnahan bakal menimpa diri mereka dan mereka sememangnya sedar bahawa hari berikutnya itu mereka pasti akan melawat terlebih dahulu di kuburan mereka."

Pada pagi 4 Julai, tentera Salib telah dikaburkan oleh asap-asap unggun bakaran oleh askar Saladin yang cuba menambah lagi kesengsaraan tentera Salib yang kelaparan dan kehausan. Dalam situasi kekalutan tersebut, pasukan berkuda Islam membuat serangan dengan memanah mereka dengan 400 muatan anak-anak panah yang telah disiapkan sepanjang malam tersebut. Gerard dan Raynald yang tidak keruan menasihatkan Guy untuk membentuk pasukan penyerang dan terus melakukan serangan balas sebagaimana yang dibuat oleh abang Guy iaitu Amalric II.
Raymond memimpin bahagian pertama bersama-sama dengan Raymond dari Antioch iaitu anak lelaki kepada Bohemund III dari Antioch. Manakala Balian dan Joscelin III dari Edessa membentuk barisan pertahanan di garisan belakang. Sedang persiapan telah diatur rapi, lima
daripada kesatria Raymond III telah berpaling tadah kepada Saladin. Mereka memberitahu kepadanya bahawa pihak Kristian berada dalam keadaan ketakutan di khemah mereka menantikan serangan. Situasi penuh dahaga di bawah bahang panas mentari yang semakin terik, semakin mematahkan semangat pihak angkatan Salib.

Beberapa pasukan mula mengatur langkah dengan kelompok yang berpecah-pecah untuk mencari mata air di sekitar medan Hittin. Malangnya, pasukan yang kecil-kecil dan berpecah daripada pasukan besar dengan mudah diserang oleh tentera Saladin dan menghalang mereka membuka laluan dan membuat operasi pengunduran ke kawasan yang lebih selamat.

Keadaan semakin gawat ini telah memaksa Raymond melancarkan dua operasi besar sebagai satu percubaan untuk menerobos ruang untuk mendapatkan bekalan air di laut. Saat genting ini dia 'hampir' berjaya disekat dari pasukan tentera utamanya dan terpaksa berundur semula.
Langkah paling mudah bagi infantrinya ini adalah dengan bergerak ke kawasan 'tanduk' Hittin yang lebih tinggi. Guy terus mencuba dengan melemparkan khemah-khemahnya bagi menghalang pasukan berkuda Islam menghampiri pasukan mereka.
Namun, infantrinya tanpa sebarang perlindungan tidak berjaya menghalang serangan pasukan berkuda Islam itu, ditambah dengan pasukan pemanah Islam yang terus menerus menyerang posisi mereka.

Tentera Salib berundur ke Tanduk Hittin

Kedudukan mereka yang kian terkepung walaupun telah mencuba beberapa operasi serangan balas pada kedudukan Saladin. Namun, mereka dapat juga dikalahkan pada akhirnya. Saksi dalam situasi ini dinyatakan oleh anak lelaki Saladin sendiri bernama al-Afdal. Kenyataan beliau telah dipetik oleh Ibn al-Athir:

"Apabila raja mereka (Guy) sampai ke bukit bersama pasukannya itu, mereka telah melancarkan satu serangan ganas kepada tentera Islam. Situasi ini memaksa mereka untuk bersama-sama berundur ke posisi ayahanda saya (Saladin). Saya melihat ke arahnya dan dia memusingkan wajahnya yang tidak keruan dalam keadaan pucat sambil memegang janggutnya.... Kemudian tentera Islam menyusun semula pasukan dan kembali membalas serangan kepada angkatan Salib yang bertahan di kawasan berbukit."

"Apabila saya melihat mereka berundur dan tentera Islam mengejar mereka, saya menjerit dalam kegembiraan: "Kita berjaya mengalahkan mereka." Tidak lama kemudian pihak tentera Salib sekali lagi membuat serangan balas sebagaimana mereka telah melakukannya sebelum ini. Pasukan tentera Islam kembali mundur hingga sampai ke barisan yang diduduki ayahanda saya. Kemudian pasukan Islam menyerang semula ke atas pasukan mereka dan memaksa mereka kembali ke kedudukan mereka di atas bukit. Saya menjerit sekali lagi: "Kita berjaya mengalahkan mereka." Ayahanda saya berpaling kepada saya seraya berkata: "Lebih baik diam! Kerana kita tidak akan dapat mengalahkan mereka sehingga khemah itu (Guy) tumbang." Sebaik sahaja Saladin bercakap sedemikian, khemah merah yang diduduki oleh Guy telah pun berjaya dirobohkan."

Kesemua pihak pemerintah Salib yang berada di situ berjaya ditangkap dan sebilangan lagi terbunuh dalam pertempuran tersebut. Apa yang jelas, daripada catatan sejarah melaporkan bahawa Guy, abangnya Amalric II, Raynald, William V Montferrat, Gerard de Ridefort, Humphrey IV Toron, Hugh Jabala, Plivain Botron, Hugh Gibelet, dan sebahagian lagi berjaya ditawan. Berkemungkinan hanya 3,000 orang tentera Kristian yang terselamat dalam pertempuran tersebut daripada 20,000 orang. Raynald dibunuh sendiri oleh Saladin kerana dengan biadab mengaku menyerang dan mengkhianati perjanjian yang dimeterai dengan pihak kerajaan Islam.

Pada hari Ahad bersamaan 5 Julai Saladin menuju ke arah Tiberias dalam enam batu (10 km) dari situ. Sewaktu di sana, Eschiva secara sukarela menyerah diri dan kubu pertahanannya. Beliau telah dilepaskan pergi ke Tripoli dengan semua ahli keluarganya, pengikut, dan hamba miliknya.

Pada Isnin bersamaan 6 Julai, dua hari selepas pertempuran itu pasukan Saladin berjaya menangkap Kesateria Templar dan Hospitaller. Mereka ditawarkan untuk memeluk Islam, menurut Imad al-Din, hanya segelintir sahaja yang menerimanya. Walaupun mereka yang menganutnya hanya segelintir namun mereka menjadi seorang Islam yang baik akhlaknya.

* :) Cerita sejarah untuk dihayati... peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan.