Showing posts with label Sajak. Show all posts
Showing posts with label Sajak. Show all posts

Friday, 23 December 2016

Sekadar Nasihat

Insaflah...
Dunia ini sementara
Umur hanya sementara
Kesihatan hanya sementara
Kuasa hanya sementara
Kedudukan hanya sementara
Jawatan hanya sementara
Bahagia hanya sementara
Yang kekal hanyalah Rabb Al-Jalal Wal-Ikram
Yang memberimu umur berlanjutan
Yang memberimu kesihatan dan kewarasan
Yang memberimu kuasa dan daya
Yang memberimu Kedudukan dan kesenangan
Yang memberimu segala-galanya

Muhasabahlah...
Kau sentiasa buat silap
Kau kira kau betul
Kau kira kau boleh perbetul
Kau kira kau menguasai
Kau kira kau hebat
Kau kira kau takkan mati
Padahal... tiada daya tiada upaya
Melainkan Tuhan Yang Maha Kuasa

Hayatilah...
Ketika kau berdepan dengan manusia
Kau campurkan emosi dengan kuasa
Lalu kau canangkan kemarahan
Lalu kau campakkan kegeraman
Lalu kau cambahkan keegoan
Lalu kau camtumkan dengan keangkuhan
Lalu apakah tujuan hidup?
Lalu apakah pesanan Nabi SAW?
Lalu apakah suri tauladan terbaik?
Lalu apakah kita bukan sama-sama hamba?
Lalu apakah kita lupa?
Betapa Nabi menyayangi umat
Betapa Nabi tidak berdendam kesumat
Betapa Nabi tidak akan berhasad
Betapa Nabi sedia memberi syafaat

Ubahlah...
kita umat Muhammad
Baginda ikutan
Baginda Tauladan
Berbahgialah mengikutinya
Berbuatlah kebaikan
Bertindak adil dan saksama
Jauhi sikap acuh tak acuh sambil lewa
Jauhi sikap buruk sangka
Pimpinlah tangan menuju jaya
Bimbinglah hati menuju syurga

Fikirkanlah...
Jangan bertuhankan pemikiran dan perasaan
Apa hak kita untuk menyembah apa yang kita fikirkan
Apa hak kita sujud pada perasaan
Padahal yang wajib disembah Allah
Padahal yang wajib bersujud hanya padaNya

Renungkanlah...
Takkan ke mana orang yang angkuh
Menganggap diri bijak
Menafikan hak yang berhak
Mengenepikan kebebasan pemikiran
Memisahkan orang yang nak bersatu
Menyusahkan orang yang sedia membantu
Memenangkan orang yang berseteru
Menepis orang yang tak sebulu
Meminggirkan orang yang hebat
Membuat keputusan yang tidak tepat

Marilah sahabat...
Marilah berpakat
Carilah berkat
Carilah muafakat
Carilah rahmat
Belum terlambat
Belum lagi jauh tersesat
InsyaAllah masih sempat
Semoga semuanya selamat

Wan Norhisyam | 23 Disember 2016
GSA Jalan Pahang, KL

Friday, 18 November 2016

Musafir

MUSAFIR

Kita hanya ibarat musafir
Perjalanan ini kemestian
Dunia ini persinggahan
Namun bukan destinasi


Mengharungi lelalang
Memijak bebatuan
Menerokai segala onak
Merenangi ombak dan badai
Kekadang taufan
Kekadang petir dan hujan

Kita tidak tahu dengan pasti hari esok
Adakah masih bisa berdiri tegak
Meneruskan perjalanan
Atau kita tidak lagi di arus yang sama

Namun pengetahuan tentang esok
Bukan pengaruh besar untuk mengeluh hari ini
Bebatuan dan lelalang tetap diharungi
Badai dan taufan tetap berdiri dihadapi
Dengan berani dan harapan
Dengan gagah dan doa

Namun pengetahuan tentang destinasi
Seharusnya bukan alasan
Untuk berseteru
Bahkan untuk bersatu
Kerana destinasi tetap sama
Walau perjalanan di lain arah


Wan Norhisyam | 18 November 2016

Tuesday, 1 November 2016

Lilin Keyakinan

~L I L I N  K E Y A K I N A N A N~


Meredahi malam di hutan perjuangan
Berbekalkan lilin keyakinan
Mencari hakikat yang kelam 
Memburu cahaya yang semakin hilang

Di kala kelelahan menapak kesunyian
Yang menemani diri hanya siulan alam
Duri dan reranting kering menikam
Di setiap langkah menuju persinggahan

Alpa apa tidak sering hilang
Sakit di mata kepala dan fikiran
Apakah petanda guruh yang berdentang
Apakah satu lagi ujian akan berguguran

Kini sudah kesejukan kebasahan
Dalam kesamaran kelam malam
Di persimpangan jalan meredahi hutan
Mencari sinar cahaya kegemerlapan

Mungkin nanti apakah yang akan datang
Lilin keyakinan kian malap atau bertambah terang
Sedang kelelahan semakin meletihkan
Melemahkan akal dan keyakinan

Rupanya kegelapan ini berpanjangan
Lilin keyakinan semakin berkurang
Akan matikah cahaya nyalaan
Terdampar diri bersimpuh tunduk kehampaan

Thursday, 1 September 2016

Sehati Sejiwa

SehatiSejiwa

Suami isteri bekerjasama bergaduh dengan jiran-jiran
dua-dua maki hamun... sama naik
Sehati sejiwa betul...

Para pelajar lompat pagar beramai-ramai
ponteng ke kedai runcit beli rokok
lepak shopping kompleks...
nampak benar-benar sehati sejiwa budak-budak ni.

Perompak-perompak yang ditangkap semalam pun sehati sejiwa
mereka pandai 'cover' antara satu sama lain
tugas pun dibahagi sama rata
aku pegang senapang, kau kaut dulang
kita sama-sama untung
bila kena tangkap semua tak bukak mulut
pegangan kuat... biar pecah diperut jangan pecah dimulut.

kita boleh pilih sehati sejiwa untuk saling berlawanan
atau bersatu hati untuk membangun bersama-sama
bersatu untuk berdendam atau bersatu untuk berbaik
Hati mesti bersih... jiwa mesti tenang
Hati waja... jiwa tidak lara
Hati baik... jiwa besar
Hati dan budi
Jiwa dan raga
kekal abadi... terpahat di sanubari.

Wan Norhisyam - 1 September 2016

Thursday, 13 August 2015

Biarlah...

Biarlah mentari bersinar di celah pepohonan
Redup itu dirasai dan dicemburui
Walau mentari dibenci
Tetapi redup itu takkan muncul di malam hari

Biarlah berjalan bertatih terjatuh
Mengharap tangan dihulur menuntun
Membina mercu keindahan
Namun meracau segenap langkah yg diaturkan

Biarlah setinggi mana mahu terbang
Engkau tetap hanya serangga
Bukan helang dan bukan bintang
Besok kembali ke tanah menyembah Tuhan

Biarlah kita bermain-main dulu
Sebelum engkau mengerti
Aku sedang tersenyum melihat telatah
Bersungguh benar hasrat kepeninganmu

Biarlah kau tahu tarafmu
Lambat laun kau tahu juga
Bukan di dunia mungkin
Tapi akhirat pasti

Biarlah ku bersabar duhai kesabaran
Takkan ke mana layang-layang terjatuh
Mungkin di hujung sana... hujung sawah
Selagi tali di genggaman pasti akan jumpa

Biarlah semua berlalu
Sabarlah atas apa yg menimpamu
Usah dibalasi kejahatan dikenakan padamu
Hanya untuk puaskan hatimu

Biarlah Allah melihat semuanya
Keaiban yang dipamerkan
Tak perlu dibalas dengan keaiban
Hanya untuk meraih simpati

Wan Norhisyam - 1 Julai 2015

Friday, 15 May 2015

Palsu

pening kepala memikirkan
melihat kepalsuan
kiri kanan dan sini sana semuanya palsu
hipokrasi melingkari kehidupan
sudah hilang ikhlas dan tulus


kata-kata bergula pasir
tapi hakikat pahit peria
berkata ya tapi tidak
berkata nyata tapi selindung fakta
fakta dipalsukan diselindungkan
mengelirukan mentabirkan kebenaran

menjayakan khidmat mengait untung
menjanjikan selesa memberi siksa
mewar-warkan untung rugi yang tiba
melumpurkan yang bersih menunjukkan ehsan
membersihkan lumpur sekadar menunjuk
oh... palsunya dunia

tercampur antara kebaikan dan kejahatan
antara ikhlas dan kufur
bersolat bercabang niat
berbuat baik ada udang di sebalik batu
menghadap muka bertalam dua
menghulur tangan kelingking berkait
mata meliar mencari idea
menipu daya dan memalsu nyata

bicara agama demi diri
bukan untuk ibadah
bukan untuk dakwah
memanggil media melapor palsu
demi imej sanggup tipu
sanggup dosa asal tidak cemar nama
yang haram dipejam mata
amanah diabai dengan sengaja
tidak terfikir siksa neraka

sedaya upaya tegak benang basah
walau nyata semuanya sandiwara
firman Allah dilupa
pesan nabi ditolak juga
sangat berat dosa yang berbuat
tidak seperti yang dikata

Monday, 15 September 2014

Hasbunallahu wani'mal wakil

Serah segala-galanya pada Allah. Dialah tempat bergantung orang yang tiada harapan. Dia puncak segala hikmah. Ketika tiada lagi ketabahan dan daya diri berserah hanya padaNya.
Sekiranya Dia menghendaki kebaikan maka kita akan memiliki kebaikan yang akan diberikan ini serta berbahagialah. Sekiranya Dia menghendaki keburukan maka kita juga memiliki kebaikan kerana semuanya Dia beri untuk makhluknya tidak ada yang buruk kecuali yang baik-baik walaupun pada kaca mata manusia semua itu buruk. Allah tidak jadikan sesuatu itu dengan sia-sia!
Demikian pelajaran bagi diri. Semua Allah atur dan aturan Allah itu sangat baik berbanding aturan diri. Tawakkal 'alallah 'ala kulli syai'. Biarkan jiwa tenang dibadai ujian kerana pantai itu tempat tenang walau dipukul ombak sentiasa dikunjungi ramai. Biar diri diratah dikunyah kerana yang dikunyah dan diratah itu daging yang sangat baik disembelih dengan nama Allah.
Relakan diri dan reda dengan ragam dunia. Tidak boleh kita lari dari keterpaksaan walaupun pada ketaatan yang menjadi amanah Tuhan tetap sebuah amanah. Tidak harus lemah lembik layu lesu menghadapi badai ombak ujian kerana yang lemah itu akan dihakis ombak dan tidak berupa tidak berupaya lagi.
Sediakan sebuah daerah ketabahan isi penduduknya menagih keredaan. Bertongkat merangkak menuju lurah keutuhan. Puncak lurah itu subur dek tanah yang tidak tandus lagi. Air mengalir biar berliku tetapi jernih bersih... bisa diminum dan disirami hati-hati yang duka... menjelma menjadi kuat dan gagah.

Monday, 23 September 2013

Wanita Yang Baik

Wanita yang baik

Wanita yang baik…

Tidak mempertaruhkan kecantikan
Malah pemikiran yang tajam digunakan
Demi masa depan diri dan semua
Mendidik anak-anak menjadi yang terbaik
Bukan hanya baik akhlak malah jiwa
Dipenuhi dada mereka dengan pengetahuan
Bukan hanya ilmu dunia malah agama
Bukan hanya biasa-biasa malah sedalamnya
Bukan pengemis di kala sukar
Bukan pemalas di kala senang
Tidak ego meninggi lupa diri
Tidak sunyi di kala bersendiri
Wanita yang baik…
Sering ditinggalkan
Sering diabaikan
Malah dibebankan
Bahkan dihina… dibiarkan
Waktu sesukar ini dia merangkak
Mencari cahaya yang kian suram
Yang kian kelam
Menghadirkan diri untuk disayangi
Memanjatkan syukur pada Ilahi


Saturday, 5 May 2012

Tergesa-gesa

Tergesa-gesa

Pagi-pagi tergesa-gesa bersiap
Tergesa-gesa pergi kerja
Tergesa-gesa menunggang
Menyelit-nyelit
Cilok-mencilok
Pintas-memintas
potong-memotong
Berdengung telinga mendengar dengungan enjin

Sesampai di tempat kerja
Tergesa-gesa naik ke opis
Belum bukak helmet dah semak memo
Tergesa-gesa kejar dateline
Menyudahkan kerja tidak berkesudahan
Memerah fikiran
Menelaah perancangan
Membuat tindakan susulan

Tengahari pulak... tergesa-gesa makan
Atau sekadar tapau makan sambil menaip...
Melakar, mencatat, menelefon
Tergesa-gesa menyediakan keperluan
Mendapatkan persetujuan
Melaksanakan segala yang dirancang
Tergesa-gesa contact orang berkaitan
Tergesa-gesa membuat keputusan

Menjelang petang pula...
Atau kadang-kadang bila sudah malam
Harus tergesa-gesa pulang
Takut terlepas makan malam
Bersama anak isteri tersayang
Terkadang hujan
Terpaksa berteduh bawah jambatan
Atau redah sahaja biar kebasahan

Begitulah sehari-harian
Bagai berkejar-kejaran
Masa yang sangat pantas
Kalau tidak berlari-larian 
Tentunya ketinggalan
Tentunya juga berciciran
Atau sekurang-kurangnya kerja tak jalan
Walaupun separuh mati hidup perlu diteruskan

Walaupun terpaksa tergesa-gesa
Namun ibadah tidak dilupakan
Malah jangan ditinggalkan
Jangan tergesa-gesa dalam solat
Ingin cepat-cepat disudahkan
Kepada Allah dipohon segala rahmat
Dimudahkan segala urusan
Diterima segala amalan

Masa begitu pantas
Tergesa-gesa pegi kerja

Sunday, 23 October 2011

Hujan Lebat

Hujan Lebat

Jangan kau risau
Nanti hujan lebat kita bermain lagi
Membasah bersama
Dalam dentum petir
Kilat sambar menyambar

Jangan kau menangis
Walau selebat hujan
aku kan pergi jua
Meninggalkanmu dan kenangan
Kerana ini takdirku

Suatu hari aku kan datang
Biar selebat mana hujan
Tiada bisa menghalangku
Untuk bawa kau pergi
Untuk hentikan tangisanmu
Selebat Hujan


Wan Norhisyam
A 4.5 Mahallah Bilal, UIA Gombak
30 Januari 2004

Nenek Sudah Tua

Nenek Sudah Tua

(Dedikasi untuk nenek- Mok Tok Muyam)

Nenek telah lihat pelbagai peristiwa
Nenek telah dengar pelbagai berita
Nenek telah melalui banyak masa
Kerana nenek sudah tua

Wajahnya itu ditelan masa
Matanya kabur berzaman diguna
Kendur kulitnya, bongkok belakangnya
Kerana nenek sudah tua

Sisa kehidupan nenek isi sebaiknya
Bagi nenek masa perlu dipenuhi jua
Walau usia telah meratah kekuatan
Namun kewajiban perlu dipatuhi

Sebagai insan nenek akur
Sebelum ajal tiba
Sebelum rebah
Nenek perlu beribadat jua...
Namun ibadatnya nenek...
Bukan kerana nenek sudah tua.

Wan Norhisyam
Kampung Telian
07 April 2003

Thursday, 10 February 2011

Sabar Dulu...

Sabar dulu... tenang dulu...
Usah dicari kebahagiaan yang sementara
Bahagia kat dunia ni kejap je...
Bahagia kat dunia ni sikit je...
Bahagia kat dunia ni hanya sementara
Tujuan kita kat dunia ni hanya nak dapatkan akhirat
Bahagia di akhirat lebih bermakna
Lebih besar
Bahagia akhirat adalah untuk selama-lamanya

Sabar dulu... tenang dulu...
Bukan senang nak dapat akhirat
Kita terpaksa bayar dengan harga yang mahal
Kena korbankan diri buat sementara waktu
kepahitan yang kita rasai hari ini akan bertukar
Menjadi kemanisan pada suatu hari nanti
Terpaksa ke, dipaksa ke... insyaAllah dapat gak
Tapi kena ingat
Perasaan terpaksa...
Akan menyebabkan rasa tidak tenteram dan susah
Tentu sukar nak solat kalau terpasksa atau dipaksa...
hasilnya kita takkan khusuk dan tak ada rasa manisnya.

Sabar dulu... tenang dulu...
Kita tak ada hak nak menentukan jalan yang bakal ditempuhi
Akan bahagia atau sebaliknya
Itu semua kerja Yang Maha Menentukan
Yang penting cara kita mananganinya
Mestilah mengikut cara yang ditentukanNya.

Sabar dulu... tenang dulu...
Kita masih hidup kat dunia
yeah... kita masih di dunia yang penuh dengan keinginan
Kita manusia biasa, kan?
Manusia biasa yang sudah dibekalkan oleh Allah s.w.t
Sifat daya juang sebagai khalifahNya.

Sabar dulu... tenang dulu...
Bukan senang nak dapatkan pancaran Nur Ilahi
Kena banyak berjuang
Ilmu bukan datang macam tu je
Kita perlu mencari, mengaji dan mengkaji
Kita perlu berguru, bertanya dan berbincang.

Sabar dulu... tenang dulu...
Kita sentiasa hidup dalam keadaan celaru...
Sebab itu kita disuruh solat
Kerana solat itu ada ketenangan
Ada doa yang dikabulkan
Ada perakuan hamba kepada Tuan.

Sabar dulu... tenang dulu...
Di keliling kita ada syaitan yang menggoda
Ada dunia yang mempesona
Ada nafsu keinginan yang tiada berkesudahan
Ada Islam... tapi Islam yang semakin dilupa
Ada ilmuan tapi ilmuan yang sudah dicuriga
Ada kitab tapi kitab yang tak dibaca

Sabar dulu... tenang dulu...
Mari kita sematkan dalam hati
Mahu memperbaiki diri
Bermula dari sini hingga ke akhir nanti
Mulakan dengan langkah pertama
Hingga ke akhirat sana
Hingga nikmat yang terakhir.

Wednesday, 21 October 2009

Perjuangan Kita

Sajak ini pernah aku deklamasikan pada malam sambutan Sepuluh Tahun COMRADE UIA, 4 Oktober 2002, berduet dengan Muniyati Abdul Kadir.


Sebuah sajak yang selamba…


Perjuangan kita.


Aku rasa bukan sia-sia mendaki bukit, meredah hutan bersama kawan-kawan

Malah inilah medan perjuangan selayak dengan daya kekuatan usia kita

Yang masih muda belia… apa salahnya kita juangkan sedikit tenaga, masa

Bersama mereka yang masih dahagakan ilmu dan iman jauh sekali kemodenan.

Yang hidup dalam serba kekurangan dan kegelapan…


Aku rasa bukan sia-sia ketika aku turun ke lembah untuk memancing ikan

Bersama budak-budak yang kotor berselut, berbau hapak dan hingus kering di pipi

Namun mereka bersuka-ria dengan kehidupan beralunan nyanyian kebebasan

Sebebas unggas di hutan yang terbang ke sana ke mari, bergurau senda bersama

Tiada keganasan macam yang kita rasai di hutan batu…


Aku rasa bukan juga sia-sia bila aku mengenali dan menghayati kehidupan mereka

Yang daif pada pandangan, namun kaya pada ketenangan dan kedamaian

Dapat merasai nikmat yang Allah berikan pada tangan sendiri

Dari kecil bila dewasa terus mengasari tangan sendiri, menarik rotan,

Tanam padi atas bukit, cari akar kayu…. Jadi hamba keparat penghisap darah mentah.


Demi kehidupan yang temurun diwarisi mereka akur dengan keadaan diri

Cuma mengharapkan generasi kini mengubah kembali pilihan moyang dulu

Yang memilih jalan sepi di hutan demi menjaga adat resam sendiri

Dan mengubah nasib bangsanya…yang moden pada kemusnahan…

Kerana mereka kenali kemajuan hanya pada keseronokan dan hiburan

Perjuangan kita… seharusnya tiada noktah… kerana pada tangan kita

Terletak satu amanah ilmu…yang perlu disampaikan pada yang perlu.


Dan bukan sia-sia kita berjuang…bukan sia-sia kita berjalan jauh

Menyusuri jalan sempit nan redup… gugur keringat dan kepenatan

Menuruni selekoh bahaya… namun… kita gembira kerana

Di situ kita tersenyum tanda syukur pada Ilahi

Yang memberi kudrat sebagai pencinta.

Pencinta kedamaian, ketenangan dan... kasih sayang.


Pada malam ini, kita bangga dengan perjuangan kita selama ini

Setelah sepuluh tahun berlalu, kita masih gagah membawa misi

Dalam mencari keredhaan yang hakiki juga ketenangan tersembunyi

Lihatlah temanku… kini terbukti

Perjuangan kita bukan sia-sia… hasilnya sama-sama kita rasai…

Teruskan berbakti... teruskanlah!


Wan Norhisyam

A 4.5 Mahallat Bilal

2002

Wednesday, 26 March 2008

Keakraban

Keakraban
(Untuk COMRADE UIA 2004)

Bila dilihat kembali
Keakaraban yang terjalin antara kita
Aku bagai bertafakur mengucap syukur
Dan setiap kali kulihat masa yang dibekukan dalam gambar...
Aku tersenyum dalam imbauan kenangan yang lalu
Kita gembira dangan tawa dan gurau bersama.

Masakan ku lupa pada panji keakraban persahabatan
Dalam meniti zaman remaja bersama
Di medan pengajian jua kemasyarakatan
Kita berganding bahu memenuhi tuntutan
Untuk membina ummah yang cemerlang
Tidak kira, kampung, kota... mahu pun di hutan.

Dalam keakraban
Kita meneka diri sendiri
Apakah keakraban ini akan berakhir di sini?
Atau akan kita rasai lagi
Bila kini kita punya haluan sendiri
masa keakraban itu telah berlalu
bahkan dalam kesibukan ini bisakah mampu
aku mengukir lagi keakraban seperti dulu.

sungguh-sungguh aku rindukan suasana itu
doa ku berpanjangan
biarlah keakraban ini wujud
pada diri ini di sini
dan pada dirimu di sana.

Wan Hisyam 2004
UIAM Gombak

Wednesday, 20 February 2008

Apa Panduan Hidupmu...?



Apa panduan hidupmu?
Buku sejarah dan pengajarannya?
Buku Falsafah dan pengertiannya
Kitab kuno atau internet?
Tulisan Aristotle, Plato? Atau Peter Drucker?
Panduanku al-Quran...

Apa tujuan hidupmu?
Duit, harta yang berjuta-juta?
Kemegahan sebagai seorang kaya?
Seorang yang memegang kuasa?
Tak mau mati selama-lamanya?
Tapi tujuan hidupku adalah kematian yang diredha...

Siapa model ikutanmu?
Orang yang sekaya Bill Gate?
Pemimpin Barat keparat?
Yang bergaya Goerge Bush?
Yang popular penghibur-penghibur?
Ikutanku Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat.

Biarpun susah menyelak-nyelak helaian al-Quran
Biarpun payah mencari erti keredhaan
Biarpun disinis sebagai pengikut setia Nabi Muhammad SAW
Namun bukan susah Allah memberikan kebahagiaan
Namun bukan payah Allah memberikan keampunan
Allah akan menepati segala apa yang dijanjikan...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...