Showing posts with label Pengenalan. Show all posts
Showing posts with label Pengenalan. Show all posts

Sunday, 7 July 2013

Mari Berkenalan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum wbt,

Awal kalam, saya panjatkan jutaan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan izinNya jugalah dapat saya memulakan catatan ilmiah saya di alam siber ini buat tatapan semua. Moga pengetahuan dan cetusan idea kurniaanNya yang diibaratkan setitis air dari selautan ilmu; Idea Jimat Masa ini menjadi manfaat kepada yang lain dan ingatan untuk diri saya sekeluarga. Terlalu sedikit untuk dikongsikan kerana saya bukanlah manusia hebat, namun inilah saya dan kehidupan seadaanya.

Siapa sangka Pulau Mutiara yang boleh dikategorikan sebagai urban rupa-rupanya ada puluhan kampung di sebalik deretan bukit. Antaranya tempat kelahiran saya iaitu Kampung Sungai Rusa, Balik Pulau. Walaupun orang menyangka saya orang 'Penang' ini hidup dengan tersangatlah urbannya, tetapi hakikatnya saya orang kampung, memulakan zaman sekolah di Taski Abim Kampung Perlis seawal usia lima tahun, kemudian ke Tadika Kemas Sungai Rusa sewaktu usia saya enam tahun. Langsung ke Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa dan bermulalah zaman penuh momentum buat diri saya.

Dipupuk dan ditanam erti berdikari dan kenal diri oleh ibubapa, keluarga juga guru-guru yang sangat mulia. Pelbagai bidang saya terokai baik pentas debat, tahfiz, sukan semua saya ceburi demi mengenalpasti kekuatan diri. Alhamdulillah, semuanya sangat berguna hingga lah zaman sekolah menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor (dua minggu sahaja), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal (hingga tingkatan empat sahaja) dan juga Sekolah Menengah Sains Muar.

Selepas tamat sekolah menengah bermulalah suka-duka di pentas fana, cabaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang kemudian kenangan manis di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), Terengganu yang sudah dinaiktaraf menjadi Universiti Malaysia Terengganu. Sungguh saya menikmati zaman ini kerana pengalaman yang dikutip sangat bernilai buat diri saya.

Selesai Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) di KUSTEM, saya mendapat tawaran Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Walaupun kabur-kabur dengan program tersebut, namun saya tetap juga pulang dengan Diploma Pendidikan Sains dengan Minor Pendidikan Fizik. Hari pertama praktikal di Sekolah Menengah Teknik Taiping, sewaktu bersiap-siap saya berpesan dan buat diri percaya bahawa 'saya seorang pendidik'. Sempat menabur bakti dari Disember 2007 hingga Disember 2010 di Sekolah Jenis Kebangsaan ( C ) Sacred Heart, Balik Pulau mengajar matapelajaran Sains, Sejarah, Amalan Bahasa Melayu, Pendidikan Moral juga Sivik disamping menjadi Guru Penasihat Kelab Hoki (sukan yang saya minati selain Bola Tampar). Sempat saya habiskan Sijil Kejurulatihan Hoki Tahap Satu sewaktu menjadi pendidik di sini. Kemudian saya bertukar angin mengajar di sekolah majoritinya pelajar Melayu Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri, Balik Pulau dari Disember 2010 hingga Mei 2011. Matapelajaran yang saya ajar ialah Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni.

Di celah-celah meniti tangga akademik, saya sempat juga menolong ayah yang berniaga ayam proses segar dan halal juga ayam golek kerapnya di rumah, kadang-kadang di Pasar Tani, menolong emak menanda kertas peperiksaan, menjadi pemandu pasukan bola jaring dan menjadi hakim sukaneka di sekolah yang emak mengajar, menjual keronsang yang direka dengan tunjuk-ajar kakak, mengambil peluang cuti semester untuk bekerja sebagai operator pengeluaran di Renesas Semiconductor (2 bulan), kemudian menjadi Zoo Keeper di Zoo Melaka yang sangat menarik. Tamat program ijazah sementara menunggu konvokesyen, saya   berkerja di Pusat Perubatan Elektronik milik kenalan lama sebagai Pembantu Klinik. Seronok juga mempraktikkan ilmu biologi di sini terbukti menambahbaikkan penerangan terhadap para pesakit tentang penyakit mereka. Di sebaliknya, dapat pula saya menyerap ilmu promosi dan sedikit sebanyak menguruskan perniagaan dari insan tersebut yang sebaya saya, tetapi yang hebatnya sudahpun bergelar usahawan.

Hidup diteruskan, sewaktu bergelar penjawat awam, saya banyak termenung dan memikir apa hala tuju saya kerana bila diimbas kembali sewaktu saya sembilan tahun, pernah saya berdoa kepadaNya, Ya Allah, aku akan dapatkan ijazah dan mesti keluar universiti dengan paling kurang bergaji RM5000 sebulan. Kalau boleh, aku nak jadi bos (Fikiran berbaur duniawi budak Darjah Tiga). Pun begitu, hidup diteruskan hingga terjumpa seorang kakak yang mengenalkan saya dunia Multi Level Marketing sewaktu Kursus Induksi di Pulau Langkawi pada tahun 2008. Hidup menjadi semakin rancak dan bersemangat, Alhamdulillah rezeki berlipat kali ganda setimpal dengan apa yang saya korbankan sewaktu itu. Dapatlah saya meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti apa yang diimpikan sewaktu di universiti. Maka berdaftarlah saya dengan Universiti Sains Malaysia untuk Program Ijazah Sarjana Sains (Botani) dan mengendalikan pelajar ke kerja lapangan, menanda tugasan dan mengawas peperiksaan adalah antara tugas saya sebagai Fellow pada masa itu. Pagi ke USM, tengahari ke sekolah, malam berbisnes. Sangat seronok dan saya rasa diri saya tersangat gila kerja.

Hidup semakin manis bila bertemu si dia di Friendster. Walaupun saya cuba mengelak perkahwinan kerana sedar betapa besarnya hakikat dan tanggungjawabnya, tapi dek kerana jodoh di tangan Allah SWT, sampai juga kami ke hadapan Tok Kadi pada Februari 2010. Bumi mana tak ditimpa hujan, begitu juga dengan hidup berumahtangga ada onak dan durinya. Saya menjadi lebih banyak berfikir dan kesihatan menjadi tidak menentu. Tiada aktiviti bisnes mahupun ke kampus. Hati bergolak hendak melakukan perubahan dan hasil istikharah saya meletakkan jawatan sebagai PPPS DG41 berkuatkuasa 30 Mei 2011. Ramai yang menentang dalam proses tersebut namun suratan Allah SWT tiada siapa boleh menghalang. Dalam kesihatan yang tidak menentu saya cuba teruskan kegiatan bisnes MLM dan ke kampus namun saya tewas. Saya banyak berehat di rumah, dan aktiviti semuanya berjalan dengan sangat minimum.

Dengan tidak terduga, sebaik sahaja kesihatan mulai baik saya mendapat khabar gembira berbadan dua namun hati bimbang kerana keluarga mendesak untuk kembali makan gaji. Saya nekad dan banyak berdoa mohon ditunjukkan jalan olehNya kerana saya ingin membesarkan dan mendidik anak dengan tangan saya sendiri. Pendek kata, kembali bekerja dan menghantar anak ke tangan orang lain adalah perkara pertama yang saya cuba elakkan. Saya cuba juga kembali ke arena MLM selepas bersalin, dengan bayi dan luka pembedahan yang mengambil masa lebih tujuh bulan untuk sembuh agak sukar saya melakukannya. Tambahan pula sewaktu terlantar di hospital selama sebulan lebih selepas pembedahan membuatkan saya kenal ragam manusia yang rambutnya pun dah tak sama hitam inikan pula hatinya.

Banyak yang saya tersasar sebenarnya dan kebelakangan ini saya cuba kembali fokus dan 'brainstorming' dengan menganalisa dan melakukan timbang-tara yang mana satu matlamat hidup saya dan syukur Dia masih sayang pada saya. Kekuatan seolah-olah semakin bertambah dan saya akan menguruskan keluarga dan menaiktaraf ekonomi dari rumah sahaja. Saya menubuhkan Abdullah FOODS sempena nama pertama anak sulung saya yang menyediakan pelbagai pilihan makanan sejukbeku, cemil-cemilan dan tradisional yang diperhalusi dan dikontemporarikan. Untuk anak kedua yang bakal lahir, kerangka projek kreatif jahitan bakal saya realisasikan juga melalui alam siber ini. Moga Allah mempermudahkannya kerana semuanya minat saya yang boleh dilaksanakan tanpa mengabaikan keluarga.

Berkat Rahmat dan Kasih-sayang Ilahi, sewaktu entri ini dikarang, perniagaan sudah mula nampak hasilnya. Ramai pelanggan yang gemar idea kreatif saya yang membantu mereka menjimatkan masa. Saya mendapat banyak tempahan harian bahkan untuk Ramadhan Al-Mubarak dan Aidilfitri yang bakal menjelang. Suami juga semakin banyak membantu dan kami sedang merencana rekabentuk kedai di tapak niaga berhadapan rumah kami yang Insha Allah akan dilaksanakan dalam tempoh 3-4 bulan terkehadapan.

Sebenarnya perjalanan masih panjang umpama 1000 tahun lagi kehidupan, tetapi saya semangat melonjak-lonjak untuk memberi keutamaan mencurah pengalaman melalui Idea Jimat Masa dimana perkongsian yang saya titipkan harap sudilah dimanfaatkan oleh semua pembaca.

Sekian, hingga kita bertemu lagi Insha Allah


Wassalam