Thursday, 30 January 2014

Mencari Pembantu Dapur

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah
Assalamualaikum wbt

Lama tidak bersua. Komputer riba suami masih dibaiki. Menggunakan telefon pintar suami sekejap bergilir-gilir dengan telefon pintar adik untuk terus berurusniaga di alam maya. Insha Allah, saya akan cuba sebaik mungkin. Ini semua Iradah Allah Ta'ala. TanpaNya tidak mungkin segala sesuatu.

Minggu ini pesanan semakin meningkat. Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Pun ada yang terpaksa menunggu dengan penuh kesabaran.

Masih mencari pembantu di dapur Abdullah FOODS, semoga dengan kehadirannya dapat melicinkan urusan dan pengeluaran produk lebih teratur.

Dua orang pembantu yang membantu suami mengeluarkan produk sejuk beku hanya datang sekali-sekala sahaja. Mereka suami isteri tidak mahukan upah yang mana membuatkan suami malu alah memohon pertolongan.

Apa yang mampu dilakukan ialah mengubahsuai sedikit jadual harian dan semoga Allah SWT Mempermudahkan urusan Abdullah FOODS. Amin.

Sekian

Wassalam wbt.

Saturday, 25 January 2014

Idea Oblong Istimewa

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah kenyang perut suka hati. Bersyukur kita dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita sekeluarga setiap hari. Ingatilah saudara-saudara kita yang sedang kelaparan, kesusahan dan kesejukan. Buatlah pahala dalam setiap peluang yang terpapar di hadapan mata kita. Insha Allah.

Setiap pagi saya pulang ke rumah dengan tenaga-tenaga positif yang disedut daripada insan-insan yang kuat tersenyum dan berpagi-pagi sudah membuka gerai jualan. Ya, tidak lain dan tidak bukan, mereka-mereka ini ialah kakak-kakak dan adik-adik yang berniaga makanan untuk sarapan pagi. Sebulan berlalu, saya belajar dengan pantas dan cuba dengan pantas juga ingin menambahbaik apa yang ada. Insha Allah.

Ada di antara kakak-kakak ini berniaga kerana Fardhu Kifayah. Hampir sepanjang 2 kilometer, tidak ada gerai menjual makanan pagi jadi beliau bertekun dan berusaha membukanya setiap hari jika diIzinkanNya. Kata beliau, kasihan kepada orang yang mencari makanan pagi. Jauh sekali terpaksa, tutur kata sangat lemah lembut, sentiasa tersenyum dan banyak berkongsi ilmu dengan saya budak baru belajar.

Terus kepada bagaimana membawa kebiasaan menjamah oblong dengan sos dari botol kepada sedikit istimewa. Semalam alkisahnya kejadian. Suami saya berbesar hati gorengkan oblong beserta sekali dengan roti bakar. Melihat kepada daging dan roti yang agak kering itu, saya cedokkan kuah spageti bolognese dan curahkan ke atas daging oblong tersebut kemudian saya apit dengan rotinya.

Alhamdulillah terangkat! Puan-puan yang kehabisan pasta dan kuahnya masih berbaki, selain dibuat kuah pencicah, kuah spageti juga oleh digunakan sebagai sos burger dan sebagainya. Hendak lebih 'grand' selitkan sedikit daun salad, timun dan tomato. Memang enak dan berjus kerana roti akan menyerap kuah yang mewah dengan rasa itu.

Cubalah!

Sekian,

Wassalam WBT


Friday, 24 January 2014

Bersarapan Spageti dan Nasi Dagang.Abdullah FOODS

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Hampir empat minggu berlalu sewaktu itu saya sengaja mengambil kesempatan meronda dan singgah di kedai-kedai yang menjual makanan pagi dalam daerah Balik Pulau. Tujuan saya ke kedai-kedai berasingan ialah untuk membeli makanan yang berlainan jenis yang saya sekeluarga gemari.

Baiklah, entri ini akan lebih kepada laporan tidak rasmi tentang tinjauan yang telah saya lakukan. Tertinjau sebenarnya. Senyum kambing. Saya dapati Alhamdulillah kuih-muih yang dijual dengan pelbagai pilihan, namun saya agak kecewa kerana di atas meja yang menempatkan makanan siap berbungkus tersebut majoritinya ialah nasi lemak dengan lauk yang biasa kita temui; 'B' untuk ikan bilis, 'BT' untuk ikan bilis dan telur, 'T' untuk telur. 'GU' untuk gulai udang dan 'IM' untuk ikan masin. Kadang-kadang muncul juga lauk seperti sardin dan ikan. Selain itu terdapat juga bihun dan mi goreng, dan terselit di situ ialah nasi tomato, nasi lemuni dan pulut inti. Ini situasi di Gerai A. Tangan saya mencapai nasi lemuni yang berbaki dua bungkus itu.

Langsung saya ke Gerai B yang berdekatan yang menjual roti canai. Baiklah, roti planta istimewa di sini memang sedap. Ada kuih-muih tetapi sedikit berbeza dari Gerai A. Kek kukus coklat memang menarik perhatian saya, tahan hingga ke malam kek jenis ini. Kemudian saya ke Gerai C yang menawarkan pilihan kuih yang lebih banyak, sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah pekan. Insha Allah jika ada rezeki, memang saya tidak akan terlepas peluang membeli Kuih Dangai yang enak itu. Kuih kegemaran saya sejak sekolah rendah hingga sekarang.

Cukuplah makanan dibeli pagi itu untuk kami tiga beranak makan. "Besok pula", kata saya di dalam hati. Udara pagi hari Sabtu dan Ahad memang nikmat bagi saya. Kenderaan kurang di jalanraya, persekitaran nampak tenang sahaja dengan angin yang bertiup ala-ala penghawa dingin. Sungguh bersih rasanya. Sambil menikmati makanan pagi yang dibeli sambil saya teringatkan Gerai D yang baru dibuka. Gerai inilah akan menjadi tempat saya membeli makanan pagi jika tidak memasak dan pada hari-hari suami saya bekerja. Menarik, kerana kakak ini menjual Donat yang sangat gebu, Samosa dan Kuih Pau.

Keesokan harinya, Abdullah bangun awal dan saya ambil peluang bawa Abdullah bersiar-siar. Hajat di hati hendak meninjau gerai-gerai lain pula. Boleh dikatakan pilihan utama makanan pagi ialah seperti yang tertulis dalam perenggan kedua tadi. Ronda dan ronda, sampailah ke kampung kelahiran saya. Jaraknya.tidaklah jauh sebenarnya, cuma lima hingga enam kilometer sahaja dari rumah sewa kami! Di sini saya dapatkan Tepung Bungkus kegemaran emak dan ayah dan Kuih Seri Puteri  atau Kuih Puteri Ayu kegemaran saya. Saya panggil 'kuih hijau dengan nyok kat atas' dahulukala sewaktu meminta ayah belikan buat bekal ke sekolah.

Sesampainya saya di gerai ini. Mulut saya ringan sahaja bertanyakan kakak pemilik gerai yang comel dan bersih wajahnya itu, "Kak, kalau saya nak letak spageti dan nasi dagang macam mana ya?". Kakak tersebut terus katakan  boleh kerana memang sarapan di sini tidak banyak pilihan. Nasi Dagang ada yang mencari, Spageti belum lagi katanya, namun boleh dicuba.

Maka bermulalah episod Abdullah FOODS menghantar jualan makanan pagi dengan pilihan Spageti Bolognese Ayam. Hari pertama bermula dengan dua gerai. dan kekal dua gerai dalam seminggu. Masih dalam fasa memperkenalkan makanan ala barat ini sebagai sarapan kepada penduduk di Balik Pulau di samping mempelbagaikan pilihan yang ada. Ramai yang terkejut tetapi gembira, sedikit yang curiga dengan harganya RM 1.50 sekotak. Sedapkah? Banyakkah? Boleh kenyangkah?

Alhamdulillah`kini Spageti Bolognese atau Carbonara dan Nasi Dagang boleh diperoleh di gerai-gerai dan kedai makan pagi di sekitar Balik Pulau Insha Allah 7 hari seminggu.

Jumpa lagi di lain masa dengan beberapa perkara yang saya ingin kongsikan tentang Bisnes Makan Pagi ini. Jikalau kalian ingin melakukan kajian sendiri dan perlu buku rujukan (bunyi macam nak 'exam' kan? ewah!), kalian bolehlah mendapatkan e-book 101 Idea Home Based Bisnes dari saya, Snh Nurulhusna di mukabuku.



Sekian

Wassalam WBT




Tuesday, 21 January 2014

Istikharah yang Dihalang

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Usah bimbang tersalah buat keputusan kerana dalam Islam sendiri kita diajar beristikharah jika keliru dengan keputusan yang bakal diambil. Menurut Sheikh di dalam Fattabioni TV Al-Hijrah (saya lupa namanya), ulamak-ulamak mengamalkan Solat Sunat Istikharah setiap hari. Ini penting supaya nasihat yang mereka berikan dan apa yang mereka jalani berada dalam pimpinan Allah SWT. Sesungguhnya saya belajar, tiada sesiapa yang lebih layak mendorong kita membuat keputusan melainkan Pemilik dan Penyusunatur Alam Semesta tidak lain dan tidak bukan Allahu Ahad.

Maafkan saya kerana saya pernah percaya dengan kata-kata pemimpin di dalam kumpulan yang saya sertai yang mengatakan kenapa perlu beristikharah, sedangkan perkara yang ingin kita buat itu perkara kebaikan? Kenapa perlu beristikharah jika perkara itu hanya ada satu pilihan. Sesungguhnya faham separuh berkenaan sesuatu perkara itu lebih bahaya daripada tidak tahu langsung mengenainya.

Lama saya mengkaji dan Alhamdulillah ianya semakin jelas. Boleh jadi perkara yang baik itu buruk bagi kita dan barangkali perkara yang tidak kita gemari itu adalah yang terbaik buat kita. Mengapa menghalang manusia-manusia yang ingin beristikharah sedangkan pilihan yang satu itu sebenarnya dua.

Contohnya;
1) Saya ingin mula berniaga bisnes A. (kelihatan seperti satu pilihan baik sahaja yang ada)
    - BENAR berniaga itu Sunnah dan ia perkara baik.
    - Pilihan KEDUA ialah TIDAK berniaga bisnes A.

Kalian jelas dengan apa yang saya maksudkan?

Nanti kita bincangkan lagi,

Insha Allah.

Sekian,

Wassalam WBT

---------------------------------------------

Anda tidak ada produk tetapi mahu mula berniaga? Jom tanya saya bagaimana kami lakukannya di Akademi Berkerja di Rumah. Pelawaan ini juga terpakai buat suri-suri bekerja yang sudah mempunyai bisnes tetapi mahu menambah ilmu di dada. Manalah tahu 'cebisan' dari akademi ini kalian masih tercari-cari akannya kan? Sapa mesra saya di Facebook: Snh Nurulhusna.

Monday, 20 January 2014

Teringat Sotong Kangkung Ayah

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Apa khabar semua pembaca? Maafkan saya kerana lama tidak bersua. Hampir seminggu 'berkangkung-kangkungan' di mukabuku, kami sekeluarga demam selsema dan Alhamdulillah semakin sembuh. Lapang sedikit riba dan komputer riba ini kerana Abdullah sedang tidur. Senyum kambing. Kasihan anak-anak, pasti badan sengal-sengal kerana selsema; jadi dua0dua hendak bertenggek dan dipeluk dari sedar hingga lena semula.

Balik ke tujuan mengambil peluang isu semasa yang sedang panas dengan kata  kuncinya KANGKUNG, saya teringat Sotong Kangkung yang dimasak oleh ayah. Ayah memang penggemar sotong kering. Kalau tidak dijadikan sambal sotong, beliau akan hasilkan juadah sotong kangkung.

Ala-ala pecal cuma juadah ini; yang paling ringkas terdiri daripada sotong kering dan kangkung yang dicelur kemudian dimakan dengan kuah sambal yang ditabur kacang goreng kisar. Lagi sedap jika ada kacang panjang yang dicelur dan kalau rajin bolehlah letakkan telur rebus barang separuh.

Kuah kacangnya lebih kurang kuah sate tetapi ayah buatkan masam sedikit tanpa kacang supaya kena dengan rasa sotong dan kangkungnya. Alasan kacang tidak dicampur sekali ke dalam kuah ialah supaya kacang tersebut masih rangup dan seronok waktu mengunyah nanti. Tambahan pula jika ditabur di atas kuah yang merah itu, kacang yang sedikit keperangan, sotong coklat keunguan, sayuran yang hijau menjadikan penampilan juadah tambah menarik.

Maafkan saya kerana gambarnya tiada kerana ini hanya penceritaan pengalaman. Insha Allah, jika ayah buatkan Sotong Kangkung nanti saya akan 'tempek'kan rupanya di sini. Sambil tulis sambil kecur air liur sambil hirup ais kacang dengan Abdullah menenggek di riba. (Sekejap sahaja tidurnya; Alhamdulillah siap juga entri ini dengan mengambil masa 8 hari untuk siap; penangan kangkung agaknya! Gurau sahaja, jangan marah ya!)

Sekian,

Wassalam.

Sunday, 12 January 2014

Aneka Sos Pencicah Pilihan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Bertemu lagi di hujung minggu, hari Ahad yang segar. Bau sayur-sayuran di Pasar Tani mengingatkan saya kembali betapa gigihnya ayah berniaga di sana untuk membesarkan kami adik-beradik.

Pertemuan kali ini ringkas sahaja kerana saya ingin meninggalkan sedikit resepi aneka sos yang boleh digabungkan dengan pelbagai makanan ala Thai mahupun ala Barat. Kadang-kadang, makanan yang bergoreng atau dibakar kurang lengkap jika tidak disertakan dengan pencicahnya.

Resepinya seperti ini kerana saya selalunya 'main tuang itu-tuang ini' sahaja, hendak cepat katakan! Diharapkan tuan dan puan tidak kisah untuk bereksperimentasi dengan bahan di dapur.

Sos Pencicah Ayam Golek Madu
Cili Kering secawan
Bawang Putih 1 1/2 labu
Sedikit kulit kayu manis
Sedikit bunga lawang
Cuka secukupnya
Gula secukupnya  (jika guna gula merah Insha Allah lagi sedap)
Garam secukupnya

Sos Lemon
Dua cawan jus lemon
Sedikit krim
Garam secukupnya
Tepung jagung untuk memekatkannya ikut selera masing-masing.

Sos 'Honey-Mustard'
Mustard
Madu
Lada Sulah
Garam secukupnya

Sos Lada Hitam
Lada Hitam 1/2 cawan
Bawang putih 1/2 labu
Satu kiub ayam
Tepung jagung untuk memekatkannya ikut selera masing-masing.
Garam secukup rasa

Sos Mayones Masala
Mayones
Garam Masala ditabur secukupnya

Cubalah, mana tahu anda mahu ber'BBQ' di petang Ahad, bolehlah sertakan pelbagai sos aneka pilihan dan pelbagai jenis salad untuk jamuan ringkas sekeluarga.

Insha Allah

Sekian, 

Wassalam WBT

Saturday, 11 January 2014

Teori Goreng Koay Teow yang Cantik

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Petang-petang Sabtu ini sedap juga kalau menjamah Koay Teow goreng panas-panas. Sedikit manis, sedikit pedas dengan perisa yang keluar dari lauk udang dan sotong yang dimasukkan pasti menambat selera. Sambil jamah Koay Teow goreng sambil menaip, asyiknya.

Sambil tergelak juga sebenarnya kerana hari ini Tuan Chef terlupa teknik agaknya, Koay Teow yang sensitif itu habis kembang jadinya. Walau kembang dan bertekstur bengkang, rasanya tetap sedap; air tangan suami katakan!

Baiklah, sedikit teori tentang bagaimana hendak menggoreng Koay Teow dengan cantik saya sertakan di bawah:

1. Pastikan kuali benar-benar panas

2. Basuh Koay Teow dan sejat sekering mungkin

3. Tumis sehingga perencah benar-benar kering

4. Ikut cara Kaum Cina menggoreng Koay Teow:
    a) Panaskan minyak dalam kuali betul-betul
    b) Goreng bawang putih dahulu sampai wangi
    c) Masukkan bawang merah
    d) Masukkan taugeh/ batang sayur
    e) Masukkan telur dan aduk biar jadi telur hancur
    f) Masukkan Koay Teow
    g) Masukkan lauk
    h) Masukkan perencah (Kita orang Melayu, masuk sambal tumis dengan lauklah ya!)

5. Siap untuk hidang dengan Sirap Sarsaparilla. Oh, nyaman sekali!

Risau juga komplen Koay Teow Chef di sini, bimbang jikalau sampai giliran saya menggoreng Koay Teow, saya pula menerima pembalasan dariNya. Gurau sedikit di petang Sabtu.
'Bengkang' Koay Teow. (Ampun Chef, ampun)

Sekian,

Wassalam.


=========================================

Anda mungkin seorang guru, seorang peniaga pasar malam, seorang jurutera, seorang pengurus rumahtangga atau mungkin seorang Ustaz. Siapapun anda, kongsikan wadah dengan khalayak yang dahagakan ilmu melalui blog. Makin ramai buat, makin meriah perkongsian di alam maya, semoga ilmu yang bermanfaat walaupun secebis kita kongsikan di sini dapat membuatkan pahala mengalir berterusan ke dalam liang lahad kita.

Saya tahu caranya, silakan anda bersama saya belajar dari Akademi Bekerja di Rumah sambil berfacebook! PM saya Snh Nurulhusna untuk pencerahan. Insha Allah.

Thursday, 9 January 2014

Punca Blog Bersawang

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Kawan-kawan buat blog, saya buat juga. Tapi tersekat di tengah jalan. Apa puncanya?

1. Tiada originaliti
2. Tiada arah tuju

Walaupun memulakan blog untuk memperkenalkan bisnes dan juga diri sendiri, saya masih MERAPU dengan bahasa rojak petis dan sebagainya, kemudian dengan bangganya saya meng'copy-paste' blog orang lain.. Selain itu yang mengecewakan saya, tiada pengunjung melawat blog saya yang ranggi itu  melainkan diri sendiri dan juga orang yang terserempak sewaktu 'blogwalking'.

Benar, 'template' memulakan blog bersepah di sana sini. Tetapi, tanpa pengunjung, blog yang cantik itu umpama air yang bertakung tidak mengalir sedangkan sifat ilmu itu sepatutnya mengalir.

Di Akademi Bekerja di Rumah, anda adalah ORIGINAL. Walaupun perniagaan anda itu sama seperti orang sekeliling, Insha Allah dengan pengalaman guru-guru yang berdedikasi, analisa yang menyeluruh bakal membuatkan blog dan diri anda 'outstanding' lagi berketrampilan secara profesional.

Belajar lebih lagi di kelas-kelas online jadual waktu fleksibel seperti di bawah:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fanpage mula bisnes
3. Kelas belajar iklan mudah.my
4. Kelas penulisan kreatif
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus online
6. Kelas asas urus akaun bisnes wahm/soho


Bagi kalian yang tiada produk tetapi mahu berbisnes online, kalian dijemput menjadi Rakan Niaga atau Pengurus Online dengan latihan disediakan.

Jadi usah buang masa, PM saya, Snh Nurulhusna cepat-cepat.

Sekian

Wassalam WBT

Wednesday, 8 January 2014

Senarai E-book dari Akademi Bekerja di Rumah

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Pembaca yang dihormati sekalian, di sini ada beberapa e-book untuk dikongsi bersama. Bagi pasangan yang baru memiliki rumah, sudah tentu kalian ingin menatarias kediaman dengan sempurna. Dapatkan buku yang baru keluar dari meja pengarang, Insha Allah anda pasti tidak kecewa. Penulis, Puan Khairunnisa Hamzahara merupakan arkitek, pereka dalaman dan juga berpengalaman dalam merekabentuk kediaman dalam projeksi 3D. Tips-tips berguna dan anda boleh DIY untuk lebih kepuasan menghias kediaman pertama anda!
RM 50.00 Pre-order
Selain itu, buku yang dilancarkan oleh pengasas Akademi Bekerja di Rumah iaitu Puan Masayu Ahmad ini antara yang terkini dan masih panas-panas dari tangan beliau ialah Panduan 44 hari Pantang: Tradisional dan Moden. Dikarang lengkap dengan panduan dan penerangan tentang tujuan rawatan pantang, tempoh rawat dan rehat, fasa berpantang dan topik-topik berkaitan kehamilan dan fasa-fasa sedari awal mengandung hingga selesai berpantang.
RM 30.00 Pre-order
Belajar asas blog dengan membaca buku yang amat bermanfaat ini. Ramai yang boleh menghasilkan blog, namun kurang yang boleh menghasilkan blog yang berpengaruh. Pelajari dan ketahui isi-isi penting dalam penghasilan blog yang mewakili perniagaan, diri sendiri mahupun penjenamaan semula kita dalam usaha berkongsi maklumat dengan umum.
RM 50.00

Ketahui bagaimana bekerja sambil mengurus rumahtangga. Tips-tips dan panduan bagi ibu-ibu yang mahu menambahbaikkan pengurusan keluarga.
Tercari-cari apakah perniagaan yang ingin dimulakan dari rumah? 101 idea bisnes yang sesuai dijalankan di rumah; baik sebagai 'part time' selepas pulang bekerja mahupun sambil melakukan kerja rumah.

RM 30.00
Semoga dengan membaca buku-buku ini kita dapat menambahbaikkan kehidupan kita. Hakikat kehidupan manusia hanyalah tiga hari sahaja. Hari semalam, hari akan datang dan hari ini. Sungguh beruntung insan yang hari esoknya lebih baik dari hari ini. Mari kita usaha keluar dari tipu-daya menjalani hidup sama seperti hari-hari sebelumnya dan semoga kita dapat menjauhi kerugian apabila hari ini lebih teruk dari hari sebelumnya. Insha Allah.

Jazakallah.

Sekian, 

Wassalam WBT.

Monday, 6 January 2014

Sebelum Mata Terlena

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah hari ini hari ke 6 tahun baru 2014. Sebelum melabuhkan kepala di bantal kapok yang empuk, eloklah kita muhasabah diri sedikit.

1. Apa yang telah kita buat hari ini?
2. Elokkah amalan kita hari ini?
3. Ada marah-marah atau tidak kepada anak?
4. Apa sumbangan untuk Islam hari ini? 
5. Selesai atau tidak tugasan hari ini?

Kemudian kita fikir apa yang perlu dibuat besok hari,

1. Bangun untuk kehidupan Lillahita'ala
2. Laksanakan tugas sebagai ibu
3. Teruskan melangkah mengikut rencana
4. Penambahbaikan
5. Bersyukur

Kemudian kita berdoa semoga amalan dan perlakuan kita hari ini diterima dan diredhai Allah SWT mudah-mudahan. Jangan lupa Surah Al-Waqiah, dan amalam yang baik sebelum tidur.

Bagi yang masih tercari-cari peluang, Akademi Bekerja di Rumah membuka peluang untuk menjadi Pengurus Online dan juga Rakan Niaga. Masih belum terlambat melangkah keluar dari zon selesa dengan mencari peluang baru.

Awal pagi 6 Januari 2014, Selamat datang 11 pelajar baru. Kelas kami fleksibel, boleh mendaftar setiap hari. Melalui 357 blog, 21 kelas dan dibimbing oleh 13 guru online yang dedikasi bertugas. Boleh intai kami di mana-mana kelas berikut:

1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fanpage mula bisnes
3. Kelas belajar iklan mudah.my
4. Kelas penulisan kreatif
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus online
6. Kelas asas urus akaun bisnes wahm/soho

Cikgu kata, bertangguh pencuri masa.

Sekian,

Wassalam WBT

Sunday, 5 January 2014

Berniaga Lamb Chop/ Chicken Chop di Pasar Malam

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismilah

Assalamualaikum WBT

Bercerau bunyi air disimbah suami di luar kedai. tandanya kerjanya sudah siap. Mesti beliau sedang membasuh besen dan talam-talam yang digunakan tadi. Hari ini lewat sedikit beliau keluar memproses stok kerana beliau membantu saya melakukan kerja rumah sementara saya melayan anak kami yang boleh tahan 'merap'nya hari ini.

Di dalam kekalutan, makanan yang ringkas kami jamah, Alhamdulillah makanan sejukbeku di dalam kedai kami tuju. Malam ini saya menjamu Lamb Chop Frozen bungkusan terakhir kerana yang lain telah selamat dihantar oleh suami kepada pelanggan siang tadi. Syukur Ya Allah, Engkau luaskanlah rezeki mereka dan rezeki kami.

Ini kali kedua saya menjamah daging kambing dalam jumlah yang banyak kerana saya tidak tahan baunya walhal di dalam hati teringin amat hendak menjamah daging kegemaran Rasulullah SAW ini. Alhamdulilah, berkat air tangan suami yang ikhlas mencari rezeki untuk keluarga, persediaannya tidak berbau hamis, lembut dan licin sepinggan saya kerjakan.

Membakarnya tidak renyah; dengan menggunakan kuali 'non-stick', saya tinggalkan sahaja dengan api paling kecil dan terus melayan anak di ruang hadapan rumah. Sambil suami mengemas di belakang, beliau jenguk-jengukkan lamb chop tersebut. agi yang menggunakan ketuhar pembakar atau gelombang, tentunya lebih mudah kerana kalian hanya perlu tetapkan masa dan suhu yang sesuai untuk daging bakar.

Set Lamb Chop Frozen ini terdiri daripada kepingan daging kambing yang diperap dengan rumusan rahsia suami, kentang goreng dan juga sos dalam dua pilihan samada sos lada hitam ataupun sos cendawan. Ia juga sesuai buat para peniaga yang tercari-cari idea untuk berniaga di pasar malam. Makanan ala barat seperti Lamb Chop dan Chicken Chop amat mudah dan cepat disediakan jikalau anda hanya menggoreng atau membakar set yang telah tersedia. Anda juga tidak perlu pening memikirkan saiz hidangan kerana Chicken dan Lamb Chop Frozen yang diproses di Abdullah FOODS telah dipek khusus untuk setiap satu hidangan.

Jikalau tidak habis terjual pada hari tersebut, anda hanya perlu simpan semua ke dalam peti sejukbeku dan boleh dimasak untuk jualan berikutnya. Dengan adanya pek berasingan bagi setiap satu hidangan, Insha Allah, gerai menjadi lebih mudah diuruskan, lebih kemas, kebersihan mudah dijaga dan licin operasinya. Insha Allah, pengunjung setia pasar malam akan tertarik dengan kehadiran juadah baru di deretan gerai-gerai yang menjual makanan. Sesekali pasti ada yang mahukan hidangan barat untuk dijamah pada hujung minggu.

Berikut merupakan gambar yang sempat saya ambil semalam sebelum Lamb Chop ini 'diselesaikan' hingga licin.



Sekian

Wassalam WBT

Friday, 3 January 2014

Aneka Salad Kegemaran Kami

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Hati berbunga-bunga kerana petang tadi sempat keluar belikan saguhati untuk peserta kelas belajar produk Abdullah FOODS. Saguhati biasa-biasa sahaja tetapi diharapkan dapat menyemarakkan semangat peserta ketika menimba ilmu nanti. Kedua-dua anak kecil sudah lena, seorang di pangkuan dan seorang lagi di dalam buai, manakala Abi sedang menyiapkan stok Chicken Chop Frozen di dalam kedai.

Seperti yang saya janjikan, saya ingin kongsikan serba sedikit mengenai salad orang kita atau lebih mesra dengan panggilan kerabu. Kerabu ini makanan kegemaran emak saya dan saya ketika tahun tiga universiti, Sewaktu itu timbul rasa ingin amalkan pemakanan yang sihat dan lidah gemarkan sayur-sayuran berbanding makanan yang berat-berat.

Saya sentiasa teruja jikalau emak ingin membuat kerabu kerana bagi saya gabungan rasa ulam-ulaman dan sayur-sayuran yang digunakan kena dan bersesuaian malah menghasilkan rasa yang autentik! Wah! Oleh kerana emak berasal dari Kedah dan berdarah Kelantan, kerabu mangga menjadi kesukaan emak. Tidak ketinggalan kerabu taugeh emak yang mengancam dengan jumlah udang dan kerang yang membuatkan saya boleh meratah hidangan sampingan sepinggan penuh tanpa perlu menjamah nasi.

Untuk kerabu mangga, emak selalu akan siapkan dahulu sambal belacan, kemudian emak akan tumbuk bersama sedikit kelapa berkulit coklat muda yang diparut, udang masin dan kemudian digaul dengan mangga muda dan bunga kantan yang dirincik halus. Mudah bukan?

Bagi kerabu taugeh, seperti biasa, sambal akan disiapkan terlebih dahulu kemudian emak akan mencelur atau melayukan taugeh dalam periuk panas kemudian digaul bersama halia, kucai, daun selom, daun kesum, sedikit cili yang dirincik halus dan dimasukkan kerang dan udang yang direbus.

Ayah pula penggemar buah nenas; semasa bulan puasa tahun lepas sempat saya buatkan ayah kerabu nenas. Memang mudah dan sekejap sahaja masa diambil. Nenas dibuang empulurnya dan dipotong segitiga mengikut ketebalan yang diingini, kemudian digaul bersama daun selom, cili merah yang dipotong halus dan kelapa muda parut yang disangai manja untuk keringkan airnya sahaja. Untuk perasanya, saya gunakan sedikit sos cili, gula, garam dan cuka, digaul rata dan siap untuk dihidang.

Antara kerabu yang menjadi kegilaan saya semasa belajar dahulu ialah kerabu taugeh; tiba-tiba kecur liur jadinya. Pun mudah juga untuk disediakan. Ikan cerut dilumur garam dan dibakar, dibuang tulang kemudian dihancurkan sedikit. Taugeh, bawang merah, sedikit halia dan bawang besar dikeringkan airnya di atas api kemudian disatukan di dalam mangkuk. Di dalam mangkuk yang berasingan, satukan sedikit gula, garam dan cuka kemudian digaul rata bersama bahan tadi. Akhir sekali tuangkan pati santan yang dipanaskan secukupnya. Gaul rata. Memang saya bolot seorang kerana suami tersayang ini tidak makan sayuran dan ulaman.

Saya selalu yakinkan emak bahawa menggunakan santan adalah lebih baik dari menggunakan susu. Bagi saya, santan lebih menyihatkan kerana ianya lelemak berasaskan tumbuhan yang mudah diurai berbanding susu yang berpunca daripada lelemak haiwan. Maaf, sesetengah fakta mungkin bercanggah dengan teori yang saya faham dan saya tidak mudah percaya dengan teori dari 'sana'.

Bahan-bahan yang saya tampilkan adalah ringkas dan Insha Allah dapat menambah mata hidangan sambil-sambil menjimatkan masa di dapur malahan boleh juga mengurangkan kos. Sesekali santap hidangan ringkas pasti membuatkan suami dan anak-anak tidak jemu. Wallahu'alam.

Sekian,

Wassalam WBT

=========================================

Anda mungkin seorang guru, seorang peniaga pasar malam, seorang jurutera, seorang pengurus rumahtangga atau mungkin seorang Ustaz. Siapapun anda, kongsikan wadah dengan khalayak yang dahagakan ilmu melalui blog. Makin ramai buat, makin meriah perkongsian di alam maya, semoga ilmu yang bermanfaat walaupun secebis kita kongsikan di sini dapat membuatkan pahala mengalir berterusan ke dalam liang lahad kita.

Saya tahu caranya, silakan anda bersama saya belajar dari Akademi Bekerja di Rumah sambil berfacebook! PM saya Snh Nurulhusna untuk pencerahan. Insha Allah.

Thursday, 2 January 2014

Jadual Kelas Januari 2014

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, bersempena tahun 2014 ini, siap sudah rencana kelas belajar produk dengan Abdullah FOODS untuk Januari hingga awal Februari khusus untuk para penduduk Balik Pulau dan kalian di luar kawasan yang berminat menyertainya.

Untuk makluman semua, yuran adalah 39% kurang dari yuran asal sempena tahun baru, azam baru; iaitu untuk memudahkan masyarakat menimba ilmu. Kami faham dengan pelbagai kos sara hidup yang perlu dihadapi, Insha Allah dengan pengurangan kadar yuran dapat menyemarakkan semangat mencari peluang baru di kalangan kaum wanita dan para ibu khususnya.

Bagi kalian yang berminat, yuran juga boleh dibayar secara ansuran atau sekaligus yang mana lebih mudah bagi pihak puan asalkan bukti bayaran ditampilkan bersama setiap kali bayaran dibuat.

Berikut merupakan Jadual terbaru untuk bulan Januari hingga awal Februari 2014 setiap sesi kami menerima maksimum 6 orang peserta sahaja. Rebutlah sebelum penuh kerana tempat adalah terhad!

[Sila klik untuk imej yang lebih jelas, Terima Kasih]

Sekian,

Wassalam WBT.


======================================

Antara kelas-kelas ilmu yang mungkin berguna buat kita dalam mengorak langkah dengan lebih tersusun di tahun 2014 ialah seperti berikut:

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage

Boleh terus berhubung dengan saya Snh Nurulhusna di Mukabuku!