Wanita yang menjadi isteri nabi, bila baginda meninggal dunia, haramlah atas mereka menikahi lelaki lain. Ini kerana isteri nabi itu adalah ibu bagi orang-orang yang beriman(Ummahatul Mukminin). Sebagaimana seorang anak haram menikahi ibunya, maka haramlah lelaki yang beriman menikahi isteri-isteri nabi setelah baginda wafat.
Pengharaman menikahi isteri-isteri nabi selepas kewafatan nabi SAW telah ditegaskan dalam Surah Al-Ahzab, ayat 53:
وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا أَن تَنكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِن بَعْدِهِ أَبَدًا ۚ إِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمًا
Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengawini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.
Dalam Surah Al-Ahzab,ayat 6 ditegaskan bahawa isteri-isteri nabi Muhamamd SAW itu adalah seumpama ibu kepada orang beriman:
النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ
Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.
Ada seorang yang disebut namanya Qutailah binti Al-Asy'ath. Dia dikatakan telah dinikahi oleh nabi pada hujung usia nabi SAW.
Disebutkan dalam hadis yang dicatatkan oleh laman
Dorar.net:
أنَّ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ تزوَّجَ قُتَيلَةَ أختَ الأشعثِ بنِ قيسٍ ، فماتَ قبلَ أن يخيِّرها ، فبرَّأَها اللَّهُ منهُ
الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : ابن دقيق العيد | المصدر : الاقتراح في بيان الاصطلاح | الصفحة أو الرقم : 108 | خلاصة حكم المحدث : صحيح | التخريج : أخرجه ابن الأعرابي في ((المعجم)) (1071)، وأبو نعيم في ((معرفة الصحابة)) (7481)، والضياء في ((الأحاديث المختارة)) (395) واللفظ لهما.
Qutailah binti Qais ini telah murtad bersama saudara lelakinya Al-Asy'ath setelah wafatnya Rasulullah SAW. Namun, kemudiannya dia kembali kepada Islam dan dinikahi oleh Ikrimah bin Abi Jahal. Abu Bakar As-Siddiq merasa terganggu dengan berita Ikrimah menikahi Qutailah binti Qais tersebut dan mempertimbangkan untuk menghukum Ikrimah dan Qutailah dengan dibakar dengan api kerana telah melakukan satu jenayah yang dilarang oleh agama iaitu menikahi ibu orang beriman. Lalu Umar Al-Khattab mententeramkan Abu Bakar As-Siddiq dan mengatakan bahawa Qutailah binti Qais tidak boleh dibilangkan sebagai kalangan Ummahatul Mukminin.
Nabi menikahi Qutailah binti Qais pada tahun yang ke-11H. Pada tahun itu telah datang kepada nabi SAW rombongan daripada Puak Kindah yang disertai oleh Al-Asy'ath. Al-Asy'ath menawarkan kepada nabi SAW untuk berkahwin dengan saudara perempuannya yang bernama Qutailah dan nabi SAW telah menyetujuinya. Namun, ketika Al-Asy'ath dalam rangka membawa Qutailah dari tempatnya kepada nabi dan mereka sampai di Hadhramaut, sampai berita kewafatan nabi SAW.
Berdasarkan plot riwayat pernikahan ini, para ulama menyifatkan Qutailah belum menjadi isteri nabi SAW. Dia tidak dibilangkan Ummahatul Mukminin. Ada tiga alasan penting kenapa kesimpulan itu dibuat:
1) Qutailah belum bertemu dengan nabi SAW dan tidak berlaku dukhul.
2) Perintah Hijab belum dikenakan kepada Qutailah sebagaimana dikenakan kepada ieteri-isteri nabi yang lain.
3) Qutailah belum diberikan khiyar (pilihan) iaitu samada hendak memilih dunia atau Allah dan rasul serta Hari Akhirat sebagaimana yang telah menjadi khiyar diberikan kepada isteri-isteri nabi yang lain.
Kerana itu perbuatan Ikrimah menikahinya tidak menjadi satu kesalahan. Qutailah bukan isteri nabi. Ada pendapat yang menyebutkan bahawa proses yang berlaku antara nabi dan Al-Asy'ath itu hanya di peringkat Khitbah (pertunangan) dan bukan pernikahan.
Kalangan Syiah menggunakan cerita ini untuk mencemarkan mencemarkan isteri-isteri nabi SAW. Mereka menimbulkan syubhat tentang apa yang terjadi kepada Qutailah itu sebagai pembuka jalan kepada mereka untuk menghalalkan perbuatan mereka menerakakan Aisyah r.a dan Hafsah r.a. Mereka juga mengangkat cerita Qutailah binti Qais ini untuk menolak perkataan Ibn Abbas r.a yang mengatakan:
ما زنت امرأة نبي قط
" Isteri para nabi tidak tidak pernah berzina sama sekali".
Perkatan Ibn Abbas ini dijadikan sandaran oleh kalangan mufassirin untuk menolak pentafsiran khianat yang disandarkan kepada isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut sebagai khaianat ranjang(Al-Firasy).
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ (10)
Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".
(Surah At-Tahrim: Ayat 10)
Sebenarnya, kelancangan Syiah dalam hal ini adalah kerana mereka ingin membuka jalan kepada celaan buat dua sahabat agung nabi SAW iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Bila anak-anak kedua-duanya yang jadi isteri nabi SAW dijatuhkan maruah mereka, dihilangkan kesucian, maka mudahlah mereka memburukkan kedua-dua sahabat besar nabi Muhammad SAW itu. Mereka akan berdendang: Lihatlah dua wanita ahli neraka itu, bapa mereka pula dia berhala Quraisy.
Kerana itu Ahli Sunnah menutup pintu-pintu ke arah mentajrihkan para sahabat. Maka para isteri nabi diletakkan dalam kota yang berpagar. Pagar yang disirami cahaya kemaksuman nabi SAW.