Sebelum perang Badar, Rasulullah berpesan: “Sesungguhnya aku mendapat tahu bahawa dari kalangan Bani Hasyim dan beberapa yang lain, mereka dipaksa keluar memerangi kita sedangkan mereka tidak menyukai untuk memerangi kita. Sesiapa yang menemui seseorang daripada Bani Hasyim, maka janganlah membunuhnya. Sesiapa yang menemui Abu Al-Bakhtari bin Hisyam, maka janganlah membunuhnya. Sesiapa yang menemui Abbas bin Abd Mutallib, maka janganlah membunuhnya. Sesungguhnya mereka itu dipaksa keluar memerangi kita”.
Ucapan Rasulullah SAW itu disalahtanggapi oleh seorang sahabat. Mungkin pada perkiraannya Rasulullah hanya mementingkan mereka yang punya hubungan darah dengannya. Beliau adalah Abu Huzaifah bin Utbah.
Belia telah menuturkan kata-kata berikut: “Adakah kita akan membunuh bapa-bapa kita, anak-anak kita, saudara-saudara kita dan kaum keluarga kita padahal kita membiarkan Abbas. Demi Allah, andainya kutemui Abbas, akan aku libas lehernya dengan pedang!”.
Perkataan Abu Huzaifah itu telah sampai kepada Rasulullah SAW yang ketika itu sedang duduk bersama para sahabatnya. Baginda berkata kepada Umar al-Khattab: Wahai Abu Hafs, adakah patut melibaskan pedang ke wajah bapa saudara Rasulullah?
Umar Al-Khattab, mengerti perasaan Rasulullah SAW lalu berkata kepada baginda: “Ya Rasulullah, izinkan aku pancung leher Abu Huzaifah, demi Allah, sesungguhnya dia telah menjadi munafiq.”
Permintaan Umar itu tidak dijawab oleh baginda Rasulullah. Abu Huzaifah mendapat tahu ketersinggungan Rasulullah SAW itu dan dia amat menyesal.
Abu Huzaifah berkata: “Demi Allah, aku tidak akan merasa aman setelah mengucapkan kata-kata itu dan aku sentiasa ketakutan kecuali jika Allah mengampunkan aku dengan mematikan aku sebagai syahid!”.
Harapan Abu HUzaifah itu telah dikabulkan Allah SWT dan dia telah mendapat syahid dalam peperangan al-Yamamah yang meletus pada zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Allah meredhainya.
Pengajaran: Janganlah bercakap sesedap rasa. Sesungguhnya banyak kebinasaan disebabkan oleh lidah. Kata pujangga Melayu masa lalu, sesungguhnya lidah itu tidak bertulang. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya. Mujur Abu Huzaifah kembali menyesal atas kata-katanya dan bermohon keampunan daripada Allah. Kalau dia menjadi degil dan egoistic, maka tiadalah keampunan buatnya. Dia menuntut syahid sebagai bukti keampunan Allah buatnya dan Allah melunaskannya.
Rujukan: Tafsir Ibn Kathir