Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts

Mengenang sejarah kepahlawanan Abdurrahman Al-Ghafiqi

December 26, 2022

Nama penuh beliau ialah Abdurrahman bin Abdullah bin Makhsyin bin Zaid bin Jibillah bin Zahir bin Al-A'iz bin Ghafiq bin As-Syahid bin Al-Qamah bin 'Ak bin Adnan.

Beliau adalah seorang komander tentera kerajaan Bani Umamyyah yang memimpin pasukan Islam menyerang negeri-negeri di tanah Andalus. Tenteranya bertembung dengan tentera Prancis yang dipimpin oleh Charles Martel dalam perang yang dikenali dalam sejarah Islam sebagai Bilatus Shuhadaa atau disebut juga "Battle of Tours". Perang ini berlaku pada tahun 114H=732M.  Tentera muslimin kalah dalam perang ini dan Abdurrahman Al- Ghafiqi gugur syahid.

Abdurrahman Al-Ghafiqi ini boleh dibilang sebagai tokoh generasi tabi'in. Imam Az-Zahabi menyifatkannya sebagai Amir Andalus dan Gabenor di sana bagi pihak khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Kata Al-Humaidi, beliau seorang soleh, punya sejarah pemerintahan yang indah, banyak berjihad memerangi Rom dan sangat adil dalam pembahagian ghanimah.

Abdurrahman Al-Ghafiqi adalah generasi awal masuk Andalus iaitu bersama Musa bin Nusair pada tahun 93H. Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah, baginda mengirim Samah bin Malik Al-Khulani sebagai gabenor ke Andalus. Samah bin Malik telah menstabilkan pemerintahan Andalus dan dia meluaskan kekuasaan hingga ke wilayah Septimania, iaitu di Selatan Prancis. Ia adalah sebagai langkah untuk menyerang dan menguasai Prancis. 

Samah bin Malik menyerang kerajaan  Aquitaine dan menyerang ibu kotanya Toulousa. Apabila raja Aquitaine, Odo The Great  tahu kemaraan Samah bin Malik itu , dia menyiapkan angkatan perang yang besar buat menghadapinya. Perang meletus dahsyat dan korban di kedua-dua belah pihak sangat banyak. Perang itu disebut dengan nama Perang Toulouse. Tentera Islam menunjukkan keberanian jihad yang teguh. Namun, Samah bin Malik gugur syahid dalam perang ini dan  tentera Islam mula lemah semangat dan akhirnya berundur balik ke Septimania. Kejadian ini berlaku pada tahun 721M. Tentera muslimin telah bersetuju memilih Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai komander baru menggantikan Samah. Dalam keadaan sedemikian, demi menyelamatkan baki tentera Islam yang selamat, Abdurrahman Al-Ghafiqi mengambil jalan bawa balik pasukan muslimin ke Andalus semula. Kaum Muslimin di Andalus yang kehilangan gabenor menunjukkan Abdurrahman  Al-Ghafiqi sebagai pengganti kepimpinan Andalus. Ianya sementara menunggu gabenor baru dari kerajaan pusat di Damsyiq.

Ini boleh dikatakan kali pertama Abdurrahman Al-Ghafiqi memegang jabatan kepimpinan Anbdalus. Dalam tempoh itu Abdurrahman Al-Ghafiqi telah menjalankan langkah mengawal tatakelola Andalus dan memadamkan beberapa penentangan di wilayah sebelah utara Andalus serta menetapkan hukum di Septimania. Dia memegang teraju pemerintahan hinggalah datang gabenor baru lantikan Damsyiq iaitu  Ambasah bin Suhaim Al-Kalbi. 

Ambasah kemudiannya mempersiapkan angkatan baru pada tahun 724M untuk menyelesaikan misi yang tertangguh. Beliau kembali ke mengukuhkan kedudukan di Septimania.  Beberapa kota yang berdekatan dapat dikuasai dan ini menggentarkan Odu The Greate  yang menjadi Duke Of Aquitaine yang memaksanya mengadakan perjanjian damai dengan Ambasah. Dengan itu Islam dapat menapak di Selatan Prancis.

Malangnya, ketika Ambasah dalam perjalanan kembali ke Selatan (Andalus) dia diserang hendap oleh pasukan Prancis dan dia cedera hingga membawa kepada matinya. Dengan itu, Ambasah hanya sempat menjadi gabenor sekitar setahun sahaja. Tahun itu ialah tahu 725M.

Selepas kematian Ambasah, keadaan Andalus tidak stabil. Dalam 5 tahun berikutnya, beberapa gabenor baru dihantar, namun wujud persaingan antara kabilah Arab Yamaniyyah dengan Arab Madhoriyyah yang menyebabkan keadaan tidak aman dan lemahnya kekuasaan kaum muslimin di Andalus. Dalam keadaan itu, di Damsyiq Hisyam bin Abdul Malik naik sebagai khalifah dan dia menghantar dekri melnatik Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai gabenor Andalus yang baru pada tahun 731M. Ini merupakan lantikannya kepada posisi kepinan Andalus buat kali yang kedua.

Perlantikan Abdurrahman Al-Ghafiqi telah menarik sokongan kaum muslimin Arab Andalus dan mereka menyatu di bawah kepimpinannya. Beliau mengukuhkan kerjaaan , menperketatkan kawalan sempadan dan memadamkan mana-mana cubaan pemberontakan. Dalam pada itu Raja Odu dari kerajaan Aquitaine sedang dalam dilema. Antara ancaman Charles Martel dari utara dan Pasukan Islam dari Selatan. Untuk menghadapi dilema  ini, dia mengambil langkah buat perjanjian damai dengan pasukan kaum muslimin yang dipimpin oleh Abdurrahman Al-Ghafiqi.

Dalam pada itu, ada satu watak yang muncul menjadi duri dalam daging menggangu siasah Abdurrahman Al-Ghafiqi. Beliau disebut dengan nama Manusah. Dikatakan namanya Uthman bin Naisa' atau Uthman bin Abi Nas'ah Al-Khus'ami. Beliau adalah seorang pemimpin muslim berbangsa Barbar yang memerintah wilayah Cerdanya sejak tahun-tahun awal kemasukan Islam ke Semenanjung Iberia. Pada masa Ambasah jadi gabenor lagi, Manusah ini telah meberontak dan bersekutu dengan Odu The Great. Beliau berkahwin dengan anak Odu The Great. Sikapnya berlangsung sampai masa Abdurrahman Al-Ghafiqi mengambil alih kekuasaan ke atas Andalus. Kerja-kerja jahat Manusah disedari oleh Abdurrahman Al-Ghafiqi dan beliau  mengirimkan pasukan yang dipimpin oleh seorang pemimpin Barbar muslim yang lain bernama Ibn Zayyan. Manusah lari berlindung kubu kawasan pergunungan, namun Ibn Zayyan dapat memburunya dan akhirnya menangkapnya dan membunuhnya. Isterinya yang merupakan puteri Odu The Great, ditawan dan dikirimkan ke Damsyiq.

Abdurahman Al-Ghafiqi kemudiannya mara ke utara menyemberang Pergunungan Peyrenees masuk ke kota-kota di Selatan Perancis seperti Arles yang berada di pinggir Sungai Rhone. Pasukan Odu The Great dikalahkan dalam Perang Bordeaux. Kemudian Abdurrahman menyemberang sungai La Garrone dan menakluk kota Bordeaux . Kemudian beliau menju Bourgogne dan menawan Lyon dan Besancon. Seterusnya beliau menyemberang sungai Loire, sungai terbesar di Prancis untuk menuju ibu kota Perancis. Tentera muslimin berjaya mengaut ghanimah yang sangat banyak. Odu The Great yang kalah perang pergi bergabung dan minta tolong dengan Charles Martel. 

Charle Martel mengumnpulkan tentera besar dari bangsa Gallia dan Jerman.  Tenteranya dikerah menghadapi tentera Abdurrahman Al-Ghafiqi dan bertemu di satu lembah antara bandar Tours dan Poitiers. Perang berlangsung 7 hari. Perang ini disebut dalam Sejarah Islam dengan Perang Balatus Syuhadaa dan dalam sejarah Eropah dikenali dengan Battle Of Tours. Setelah berperang sengit 7 hari, pada hari terakhir berlaku kekacauan dalam pasukan kaum muslimin. Dikatakan sebahagian pasukan Charles Martel telah dikirim untuk membakar harta-harta ghanimah yang dikumpul oleh tentera Abdurrahman Al-Ghafiqi  menyebabkan kalangan tentera berpatah balik dan barisan hadapan menjadi longgar. Sebahagian sejarawan Islam menolak riwayat sedemikian yang menggambarkan ketamakan tentera Islam ke atas harta Ghanimah, namun, ada yang menerima cerita itu sebagai satu kemungkinan kerena sehebat generasi sahabat nabi pun berdepan dengan masalah yang sama dalam peristiwa kekalahan Perang Uhud.

Abdurrahman Al-Ghafiqi cuba menyusun kembali pasukannya, namun dalam situasi tersebut dia mengalami kecederaan  terkena panah yang membawa kepada meninggalnya. Tarikh gugurnya beliau syahid adalah pada 27 Sya'ban 114H. Hal ini menimbulkan khilaf kalangan pasukannya sama ada untuk teruskan perang atau berundur. Maka, keputusan diambil berundur dan dikatakan anggota yang terluka terpaksa ditinggalkan kerana banyak sangat. 

Tahu-tahulah apa nasib mereka. Kasihan...tapilah itulah pengorbanan para pejuang.

Umat Islam hari ini wajib mengingat kehebatan para leluhur yang begitu pemberani, membela Islam dan menghadapi musuh tanpa ragu-ragu.

Percubaan yang gagal ini menghentikan kemaraan pasukan kaum muslimin. Pemimpin Andalus yang berikut sesudah zaman Abdurrahman Al-Ghafiqi tidak lagi sehebat beliau dalam usaha menusuk ke jantung Eropah. Itulah cubaan pertama dan terakhir para mujahid Islam menyerbu kota-kota Eropah. Andaikan, kalau misi itu berhasil dan panji Islam dapat dipacak di Kota Paris, maka Islam akan bersemarak di Eropah. Runtuhlah Byzantine dan Kota Kostantinopel akan tersungkur lebih awal berbanding apa yang telah berlaku dalam sejarah.

Namun Allah SWT punya rahsianya. Terimalah hakikat bahawa umat Islam gagal menakluk Eropah dan penyerbuan itu. Jika pasukan Islam kuat dan bersemangat, pasukan kafir juga kuat dan bersemangat. Antara Haq dan batil saling berlaga. Roda berpusing dan hari-hari bersilih. Mungkin Allah ingin cara yang lain Islam menguasai dunia. Generasi hari ini dapat memahami sebahagian rahsia Allah apabila melihat negeri-negeri di Eropah telah berkumandang suara Islam di dalamnya. Bangsa Eropah memeluk Islam tanpa serangan berdarah tetapi dengan dakwah dan uswah.

Alhamdulillah atas segala nikmat Allah SWT. Kami redhalah Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai jalan hidup kami dan nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasul kami.

Kenanglah nama Abdurrahman Al-Ghafiqi sebagai adalah satu-satunya komander muslimin yang berjaya membawa masuk pasukannya ke bahagian yang paling jauh ke wilayah Prancis.Walaupun cubaannya gagal, ia adalah satu catatan sejarah yang seharusnya jadi inspirasi generasi pewaris perjuangan. Bahawa ummat Islam tidak miskin tokoh dan pahlawan. Carilah pahlawan Islam sebagai inspirasi dan lemparkan ke longkang kumbahan para pahlawan palsu dan fantasi yang diciptakan  orang-orang kafir. Superman, Aquaman, Spiderman, Batman, Ultraman, Antman dan berapa banyak lagi hero ciptaan, dalam dunia realiti mereka tidak wujud sama sekali. Namun, hero-hero Islam telah wujud dalam dunia realiti dan sejarah mereka tidak dapat dinafikan.


GEMBALA UNTA LEBIH BAIK DARIPADA GEMBALA BABI

December 8, 2022

Kerajaan Bani Umayyah  yang berpusat di Kota Damsyiq tersungkur rebah pada tahun 132H. Khalifahnya yang terakhir, Marwan bin Muhammad ( Marwan Al-Himar) kalah dalam perang Az-Zab Al-Kabir yang menyaksikan runtuhnya puing-puing kerajaan bani Umayyah. Berikutan dengan itu, siri-siri pembunuhan kejam dan permbersihan politik digencarkan oleh para pemimpin kerajaan baru iaitu Bani Abbasiyyah. Saki baki keluarga Bani Umayyah yang dilihat berpotensi untuk menjadi ancaman di masa depan diburu dan dibunuh. 

Namun, Allah mentakdirkan seorang putera masa depan Bani Umayyah terselamat. Beliau adalah Abdurrahman bin Mu'awiyah bin Hisyam bin Abdul Malik. Beliau dapat melarikan diri demi menyelamatkan nyawanya. Kisah meriwayatkan bagaimana dia berenang menyemberang sungat Furat demi sebuah pelarian menyelamatkan nyawa dari kebuasan politik. Kala itu usianya masih belasan tahun.  Belia jadi buruan politik yang dikehendaki dan menyamar dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Dari Tanah Syam, beliau membawa nestrapanya ke Mesir hingga ke Tanah Maghrib. Beliau menyemberang lautan melalui Selat Gibraltar dan mendarat di Andalus yang saat itu berada di bawah pemerintahan para gabenor yang sentiasa berdepan dengan pemberontakan di sana sini. Fasa itu dinamakan fasa "'Ahdul Wulat".

Dengan kehebatan Abdurrahman, dia dapat mengambil alih posisi dan mententaramkan tanah Andalusia. Tidak hairan, Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur di Kota Baghdad mengakui Abdurrahman sebagai "helang Quraisy". KIsah pengkelanaannya sungguh menakjubkan. Namun atas segalanya. ia adalah susunan sebuah takdir Allah SWT.

Abdurrahman mewariskan sebuah daulah yang kuat untuk anak cucunya. Dia bertahta selama 33 tahun. Pada fasa berikutnya, kerajaan Bani Umayyah mencipta kemakamuran dan perluasan yang memancarkan cahaya terang ke seluruh Eropah. Ia menjadi pencetus peradaban yang dikenang sehingga kini. Hingga, pada zaman Abdurrahman An-nasir, dia mengambil gelaran Khalifah kerana kondisi kekhilafahan Abbasiyyah saat itu sangat lemah. Apatah lagi, di Mesir telah berdiri khalifah Fatimiyyah yang bermazhab Syiah Ismailiyyah.

Para khalifah Bani Umayyah bersilih ganti hinggalah zaman Al-Hakam Al-Mustansir Billah. Pengaruh seorang hamba  perempuannya   yang bernama Subuh Al-basytakiyyah telah mempercepatkan kejatuhan dinasti Bani Umayyah. Beliau menjadi dalang di balik naiknya anaknya yang bernama Hisyam Al-Mu'ayyad atas tahta. Kala itu, Sang hajib bernama Al-Mansur bin Amir menjadi pemegang kuasa sebenar.  dia memang berjasa dan hebat. Tetapi sesudahnya, penggantinya adalah orang yang tercela dan merosakkan kerajaan. Para umara bani Umayyah pula bersengketa dan bergaduh hingga mempercepatkan tamatnya riwayat kerajaan Bani Uamyyah di Andalus..

Apabila sudah demikian, berpecah belahlah kerajaan menjadi wilayah-wilayah kecil yang dikendalikan oleh raja-raja yang banyak. Itulah zaman yang disebut sebagai 'Ahdu Mulukut Tawaif. Pada masa inilah kerajaan Kristian dari Leon dan Castella yang diketuai oleh Raja Alfonso V memperkotak katikkan para raja-raja Muslim yang tamak dan mementingkan diri itu. Dia mengugut dan melaga-lagakan sesama mereka.



Dalam kemelut keruntuhan iman, moral dan wala' kepada Islam ini, muncul satu nama yang penting dari kalangan raja-raja kecil di Andalus. Dia adalah Al-Mu'tamid bin Ubbad, raja Isybilia ( Sevilla). Beliau cuba menghimpunkan semua raja muslim di Andalus agar berpadu melawan kemaraan raja Alfonso V. Namun, mereka menyatakan kelemahan dan ketidakmampuan untuk mendepani kemaraan raja Kristian itu. Itulah yang menyebabkan Al-Mu'tamid bin Ubbad mencadangkan agar diminta pertolongan kepada seorang penguasa muslim yang masyhur namanya di Utara Afrika, yang kerajaannya berpusat Kota Murakesh. Beliau bernama Yusuf bin Tasyafin, raja dan penguasa bagi Kerajaan Murabitun.

Para raja muslim Andalus mulanya keberatan kerana takut hilang kuasa kalau Yusuf bin Tasyafin masuk ke Andalusia untuk menolong mereka. Namun, Al-Mu'tamid bin Ubbad menegaskan dengan kata-katanya yang masyhur dan terukir dalam memori sejarah dengan pujian:

رَعْيُ الجِمال خَيْرٌ من رَعْيِ الخَنازِيْر

" Gembala unta lebih baik daripada gembala babi!".


Maka pertolongan Yusuf bin Tasyafin dipohon. Beliau seorang pemimpin hebat dan ada kesedaran utuh tentang menjaga wilayah umat Islam. Dengan semangat itu, Yusuf bin Tasyafin menyemberang laut ke Andalusia demi meyelamatkan maruah umat Islam. Terjadilah Perang Zallaqah pada tahun 479 H yang menyaksikan kemenangan gilang gemilang pasukan Islam dan tumpasnya pasukan Alfonso V. Sebagai tanda keikhlasannya membantu, selepas itu Yusuf bin Tasyafin pun menarik keluar semua tenteranya dari bumi Andalusia dan tidak membawa secuit pun ghanimah perang.

Namun, setelah Yusuf bin Tasyafin meninggalkan bumi Andalusia, para raja muslim di sana kembali bersengketa dan menjadi pengkhianat satu sama lain. Kekuasaan Kristian kembali bangkit dan melaga-lagakan mereka. Ini menimbulkan kemarahan Yusuf bin Tasyafin hingga membawa kepada penyemberangan kali ke-2 beliau ke Andalusia pada tahun 481H dan seterusnya kali ke-3 tahun 483H yang mengakibatkan tamatnya zaman Kerajaan Tawaif dan Andalusia kemudianya ditadbir oleh kerajaan Murabitun dari Murakesh. 

Al-Mu'tamid sendiri telah mendapat apa yang dia ibaratkan dalam kata-katanya iaitu menjadi gembala unta lebih dia sukai. Dia ditawan oleh kerajaan Murabitun dan dibawa balik ke Murakesh dan dipenjarakan di Aghmat, sebuah kota di selatan Murakesh. Di sanalah dia meninggal dan dikebumikan. Adapun di tanah Andalusia, kerajaan Murabitun angkat gabenornya untuk mentadbir dan memerintah bagi pihak kerajaan pusat di Murakesh.




Mencipta isyarat membantu orang

February 11, 2022

Cara kibarkan bendera putih itu adalah kreativiti semasa bencana Covid melanda dan rakyat berada dalam suasana PKP yang menekan kehidupan mereka. Melalui kibar bendera putih, orang  dapat mengetahui kesusahannya. Tidak ada alasan untuk mempertikaikan kaedah ini. Ini adalah satu kreativiti yang terbit daripada humanity.

Pada zaman dahulu, di Delhi India, antara tahun 1211 hingga 1229, ada seorang Sultan memerintah. Namanya Sultan Syamsuddin Al-Tutmish. Beliau seorang Sultan yang adil dan mahu mebela dan menjaga kebajikan rakyatnya. Baginda mencetuskan satu cara memudahkan bantuan terhadap rakyat yang dizalimi. Oleh kerana waktu itu kebiasaan rakyat di Delhi memakai pakaian bewarna putih, maka baginda memberi cara kepada orang yang sedang dizalimi memaklumkan dia mangsa kezaliman. Orang yang dizalimi hendaklah memakai pakaian yang bewarna ketika berada dalam pehimpunan atau ketika datang solat dimasjid. Jika Sultan atau pemgawai-pegawainya melihat ada rakyat yang memakai pakaian bewarna, maka tahulah mereka bahawa orang itu sedang dizalimi dan perlu dibantu.


Syamsudin el-Tutmish, Sulan Delhi: 1211-1229


Cara itulah yang telah digunakan oleh puteri Sultan Syamsuddin Al-Tutmish sendiri, Radhiah binti Al-Tutmish. Selepas ayahnya mangkat, dan tahta diteruskan oleh abangnya Ruknuddin Fairuz Syah, abangnya itu berlaku zalim dan membunuh Izzuddin adiknya. Dia juga mahu membunuh Radhiah. Tapi Radhiah telah melarikan diri ke masjid besar Delhi dan memakai pakaian bewarna sehingga orang ramai pun sedar yang dia dizalimi. Mereka membantunya dan mengalahkan Ruknuddin Fairuz Syah. Akhirnya Radhiah sendiri jadi Sultanah yang memerintah di Delhi dan  memerintah selama 4 tahun antara tahun 1236-1240.

Apa yang dilihat lebih cepat menarik perhatian berbanding daripada  apa yang didengar. Kata orang, sebuah gambar menceritakan seribu bahasa sedangkan lidah hanya menceritakan dalam satu bahasa sahaja dalam satu masa.

PERANG DANDANAQAN

February 4, 2022

Ayuh, kita telusuri perjalanan sejarah yang berliku. Kita tidak mampu memahami semuanya. Kita petik episod kecil sejarah yang penting untuk memahami sebuah perjalanan  sejarah yang panjang. Kali ini kita menfokuskan kepada satu babak sejarah yang membawa kepada kebangkitan sebuah kerajaan Islam yang penting dalam sejarah, iaitu Kerajaan Saljuqiah. 

Saljuq adalah nama kepada seorang pemimpin kabilah Oguz daripada bangsa Turki. Namanya adalah Saljuq bin Daqqaq. Daripadanyalah kelak lahir keturunan penguasa yang membangunkan sebuah kerajaan yang bernama Saljuq. Bahkan daripadanya mengalir darah perjuangan yang membawa kepada bangkitnya sebuah kerajaan khilafah yang dikenali sebagai Othmaniyyah.

Pada awalnya kaum Oguz ini berada dalam keadaan tertekan. Ada sebuah kerajaan kuat di masa itu bernama kerajaan Ghaznawi. Semasa pemerintahan Mahmud Ghaznawi, mereka meluaskan empayar dan masuk ke sembernag sungai Jihun yang ditempati oleh kaum Oguz pada tahun 415H. Pemimpin kaum Oguz, Arsalan dan Qotalmisy dan ramai lagi ditawan. Arsalan dikirim ke India dan dipenjarakan di sana. Selepas 7 tahun dalam penjara, dia mati di sana.

Tahun 419H, mahmud Ghaznawi menyerang lagi puak Salajiqah dan mengalahkan mereka!

Nampaknya kaum Salajiqah (keturunan Saljuk ) ini jadi mangsa kaum yang gagal dan berkuasa.

Kaum Salajiqah menanti putaran masa buat mereka. Akhirnya peluang bangkit pun mula bersinar apabila Mahmud Ghaznawi meninggal tahun 421H dan anaknya Mas'ud menggantikannya. Pada masa inilah berlakunya satu peperangan yang menentukan nasib antara Puak Saljuk dengan kerajaan Ghaznawi yang bersultankan Mas'ud.Puak Saljuk pula pada masa ini dipimpin oleh dua beradik yang hebat bernama Tugrul Bek dan Chaghril Bek yang merupakan cucu kepada Saljuk  daripada anaknya yang bernama Mikail.

Perang Dandanaqan berlaku setelah beberapa siri perang dan perjanjian damai berlaku antara kerajaan Ghaznawi dengan kaum Saljuk. Keadaan ini berlangsung sehingga Sultan Mas'ud mengambil kebijakan yang tidak bijak apabila memimpin pasukannya untuk membasmi ancaman kaum Saljuk pada Rejab tahun 432H  bersamaan dengan 23 Mei tahun 1040M dalam satu perang yang dinamakan Perang Dandaqan. Kaum Saljuk terdiri daripada 16 ribu anggota tentera melawan pasukan tentera Ghaznawi yang tentunya lebih besar. Namun, kemenangan berpihak kepada pasukan Saljuk yang mana ini menjadi tanda awal kepada lenyapnya kerajaan Ghaznawi dan bangkit sebuah kerajaan baru yang kuat iaitu Kerajaan Saljuq.



Khalifah terakhir Kerajaan Fatimiyyah

August 17, 2021

Kerajaan Fatimiyyah tegak berdiri di Negeri Mesir. Ia adalah sebuah kerajaan yang berteraskan aliran Syiah Isma'iliyyah, iaitu satu pecahan utama aliran Syiah. Selepas kematian Jaafar Sadiq, pengikut Syiah berpecah berdasarkan panutan masing-masing. Mereka yang memanut Musa Al-Kazim sebagai imam ikutan, dinamakan Imamiyyah. Namun, yang memanut Ismail salah seorang anak Jaafar Sadiq juga dinamakan Isma'iliyyah. Kononnya, dari keturunannyalah munculnya seornag yang bernama Ubaidillah Al-Mahdi yang menjadi Khalifah pertama kerajaan Ubadiyyah di Maghribi. Berdirinya kerajaan Ubaidiyyah ini adalah awal kepada munculnya kerajaan Fatimiyyah. 

Sehingga Khalifah ketiga kerajaan Ubaidiyyah ini, medan kekuasaan mereka adalah negeri-negeri di Utara Afrika. Apabila kekuasaan dipegang oleh khalifah ke-4 yang bernama Al-Muiz Lidinillah (953-975M), Mesir dapat dikuasai dan dengan itu pusat kekuasaan berpindah ke Mesir. Sebuah bandar baru bernama Kaherah telah dibina sebagai pusat kekuasaan mereka. Sejak itu, para khalifah kerajaan ini pun berada di Mesir dan kerajaan ini dinamakan Daulah Fatimiyyah.

Silih berganti khalifahnya sehinggalah sampai kepada khalifah yang ke-14 dengan gelaran Khalifah Al-'Adidh Lidinillah. Beliau memerintah antara tahun 1160 sehingga 1171M. Beliau merupakan khalifah yang terakhir dalam senarai pemerintahan khalifah kerajaan Fatimiyyah di Mesir. Dengan kata lain, ia adalah akhir kepada kekuasaan kerajaan Syiah Isma'iliyyah di Mesir.

Nama sebenar Al-'Adidh lidinillah ialah Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Al-Hafiz lidinnah. Menurut Al-Maqrizi, beliau dilahirkan pada hari Selasa, tanggal 10 Muharam tahun 546H danm diangkat menjadi khalifah pada 13 Rejab tahun 555H. Umurnya sewaktu menjadi khalifah adalah 9 tahun.

Al-Muqrizi menceritakan dalam kitabnya 'Itti'azul hunafa' mengenai peristiwa yang berlaku tahun 555H bagaimana naiknya Al-'Adidh ke jawatan khalifah. Katanya, selepas matinya Khalifah ke-13 iaitu Al-Faiz bidinillah, wazir kerajaan fatimiyyah ketika yang bernama Tala'i ibn Ruzzik dengan upayanya telah mengangkat Abdullah bin Yusuf bin Al-Hafiz lidinillah menduduki tahta dan diberi gelaran Al-'Adidh lidinillah.

Kerana usianya yang masih kecil, urusan pemerintahan dikendalikan oleh para wazir. Pada akhir pemerintahannya, saat kerajaan Fatimiyyah akan tumbang, jawatan wazir kerajaan direbuti antara dua orang iaitu Syawir dan Dhir Gham. Masing cari sokongan daripada kuasa luar. Syawir minta tolong daripada Sara Syam, Nuruddin Mahmud, manakala Dhir Gham minta tolong kepada raja Baitul Maqdis yang ketika itu dalam kekuasaan Salibi.

Nuruddin Mahmud menyambut permintaan Syawir itu dan mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Asaduddin Syirkuh dan anak saudara Salehuddin Al-Ayubi. Setelah berjaya menyelesaikan konflik itu, Asaduddin mula berfikir alangkah baiknya kalau Mesir dsatukan dengan Syam dan Halab untuk berdepan dengan tentera Salin di Baitil Maqdis. Ketika itu, tentera Salib juga bercadang untuk menguasai Mesir. Al-'adidh lidinillah minta bantuan kepada Asaduddin Syirkuh untuk berhedapan dengan ancaman Salibi itu. Ini membawa kepada Asadudin menguasai jawatan sebagai wazir kerajaan. Ini adalah hamparan buat Salehuddin Al-Ayubi untuk menguasai Mesir kemudiannya.

KISAH MENGENAI KESUDAHAN KERAJAAN FATIMIYYAH

Ibn Khalikan menceritakan bahawa bahawa orang-orang Mesir menyebutkan bahawa pada masa awal berdirinya kerajaan Fatimiyyah, mereka  minta cadangan daripada tokoh ulama mereka untuk menyenaraikan gelaran-gelaran yang bakal diberikan kepada khalifah-khalifah yang dilantik, Maka disenaraikan beberapa gelaran dan mereka sepakat bahawa gelaran terakhir sekali adalah Al-'Adidh lidinillah. Kesepakatan ini mengherankan kerana ia berbetulan dengan peristiwa yang terjadi kemduiannya.

Ibn Khalikan juga menceritakan bahawa dia dengar ulama Mesir menceritakan mengenai mimpi Al-'Adidh. Dia melihat dalam mimpinya keluar seekor kala dari sebuah masjid yang dia kenal lalu kala itu menggigitnya. Lalu dia minta orang menta'bir mimpinya itu. Ahli ta'bir mimpi mengatakan daripada masjid itu akan keluar seseorang yang akan menyakitinya. Lalu, diperintahkan cari siapa orang yang ada dalam masjid itu. Petugas pun menemukan seornag lelaki Sufi yang tinggal di dalamnya. Dia dibawa kepada Al-'Adidh dan disoal beberapa soalan. Tentang dari mana, bila dan untuk apa dia datang. Soalan-soalan itu dijawab dengan baik. Bila Al-Adidh melihat bahawa tiada bahaya apapun pada lelaki itu, dia pun dilepaskan sembari berkata: Ya Syeikh, doakan untuk saya! Lelaki itu pun kembalilah ke masjid.

Apabila Salehuddin Al-Ayubi berjaya mengusai Mesir dan ingin menangkap Al-Adidh, beliau minta pandangan para ulama. Lalu, lelaki Sufi yang tinggal dalam masjid itu memberi fatwa keharusannya dan banyaklah serangannya ke atas Al-Adidh lidinillah. Kelihatan mimpi Al-Adidh itu benar.

Lelaki Sufi tang dimaksudkan itu ialah Najmuddin Al-Khabusyani. Kata Imam Az-Zahabi dalam Siyar A'lam An-Nubala mengenainya: Dia adalah seorang ulama besar yang zuhud.Kata As- Sakhawi: Beliau adalah ulama yang banyak menjawab para ahli bid'ah dan pejuang kuat akidah Asyariyyah di negeri Mesir".

Sehinggakan dia pernah mengarahkan agar seorang yang bernama Ibn Al-Kizani yang dikebumikan bersebelahan kubur Imam Syafie digali mayatnya dipindahkan ke tempat lain. Ini kerana menurutnya ornag itu adalah seorang musyabbihah dan tidak layak dikuburkan bersama Imam Syafie rahimahullah.

Siapakah Ibn Al-Kizani?

Baca...


KEMUSTAJABAN DOA SAAD BIN ABI WAQQAS

March 10, 2019

Saad bin Abi Waqqas telah dilantik menjadi gabenor di Iraq. Memang sesuailah dia berada pada posisi itu. Banyak kelebihannya yang melayakkannya menjawat jawatan sebagai gabenor di negeri Iraq. Selain dia termasuk 10 orang yang diberi khabar gembira tentang syurga, dia juga tergolong As-Sabiqunal Awwalun. Dia juga terkenal sebagai mustajabud doa kerana didoakan nabi SAW untuk itu. Dia juga panglima yang memimpin penyerbuan mujahid Islam sehingga terbuka negeri Irak yang menjadi sebahagian daripada bumi Mada-in. Sementelahan, hubungan kerabatnya yang rapat dengan Rasulullah SAW iaitu bapa saudara nabi SAW (Khal-sebelah ibunya).

Maka, berlakulah satu kisah semasa Saad bin Abi Waqqas menjadi gabenor di sana. Sampai ke pengetahuan Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Amirul Mukminin aduan-aduan rakyat tentang Saad bin Abi Waqqas. Aduan tersebut berkisar mengenai solat yang dia pimpin. Barangkali macam  dikatakan solatnya jadi imam tak bagus. Suara perlahan, panjang bacaan atau suara tak dengar. Begitulah, macam-macamlah masalah yang ditimbulkan kalau imam itu tidak disukai.

Umar Al-Khattab panggil Saad bin Abi Waqqas dan gantung tugasnya. Penyiasat dihantar ke Irak dan dia pergi ke setiap masjid untuk tanyakan bagaimana keadaan Saad bin Abi Waqqas ini. Semuanya cakap elok belaka. Kecuali ada satu masjid yang dinamakan sebagai Masjid bagi Bani Abbas.  Dalam masjid itu seorang lelaki bangun dan menyatakan sikapnya kepada Saad bin Abi Waqqas. Dikatakan namanya Abu Sa'dah.

Katanya:


أما إذ نشدتنا فإن سعدا كان لا يسير بالسرية، ولا يقسم بالسوية، ولا يعدل في القضية

" Adapun, bila kami ditanya mengenai masalah itu, maka kami katakan sesungguhnya Saad itu jenis yang tidak ikut serta dalam peperangan, tidak samarata dalam pembahagian dan tidak adil dalam penghakiman".

Saad bin  Abi Waqqas ketika mengetahui tuduhan tersebut, beliau berdoa dengan katanya:

 أما والله، لأدعون بثلاث: اللهم إن كان عبدك هذا كاذبا، قام رياءا وسمعة، فأطل عمره، وأطل فقره، وعرضه للفتن

Adapun demi Allah! Aku akan berdoa dengan tiga perkara:

Ya Allah, jika hambamu itu berbohong dan menimbulkan tuduhan itu hanya kerana riyak dan sum'ah maka:

1) Panjangkan umurnya

2) Panjangkan kefakirannya

3) Timpakan atasnya fitnah.
Hadis mengenai cerita ini ada dalam Saheh Bukhari dan Muslim (Muttafaq alaih) dan perawinya (Abdul Malik bin Umair yang meriwayatkan daripada Jabir bin Samrah) berkata bahawa  dia menyaksikan sesudah itu lelaki itu hidup panjang umurnya sehingga dua keningnya jatuh sampai menutup pandangan matanya dan dia menjadi geladangan jalanan yang diejek oleh orang lalu lalang.

Demikianlah akibat daripada doa Saad bin Abi Waqqas. Disebutkan dalam hadis ini bahawa kalimah yang selalu dikeluhkan lelaki tersebut ialah:

شيخ كبير مفتون، أصابتني دعوة سعد
" Aku orang yang sangat tua, menimpa atasku doa Saad".

Catatan Tambahan:

1) Silsilah Saad bin Abi Waqqas:
-Abu Ishak Saad bin Abi Waqqas(Malik) bin Uhaib bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'i

-Saad adalah daripada Bani Zuhrah. Ayahnya Abu Waqqas adalah anak kepada pakcik Aminah bt Wahab, ibu Rasulullah SAW.


2) Saad adalah salah satu daripada 6 Ahli Syura yang dilantik Umar Al-Khattab untuk menentukan penggantinya. Enam Ahli syura itu ialah:
  1. Uthman bin Affan
  2. Ali bin Abi Tolib
  3. Abd Rahman bin Auf
  4. Zubair bin Al-'Awwam
  5. Saad bin Abi Waqqas
  6. Talhah bin Ubaidillah

3) Al-Hakim meriwayatkan dalam Mustadraknya satu hadis dengan sanadnya daripada Abdullah bin Umar, katanya:
كنا جلوسًا عند النبي صلى الله عليه وسلم فقال: "يدخل عليكم من هذا الباب رجل من أهل الجنة" فطلع سعد بن أبي وقاص 


" Kami sedang duduk satu hari di sisi nabi SAW lalu baginda bersabda sambil menunjukkan ke arash satu pintu: Akan masuk daripada pintu ini satu orang lelaki daripada ahli Syurga. Tiba-tiba muncul daripada pintu itu Saad bin Abi Waqqas."

4) Saadlah lelaki yang berkata kepada ibunya yang memaksakannya untuk kembali kafir:

يا أمَّهْ، تعلمين والله لو كان لك مائة نفس فخرجت نفسًا نفسًا ما تركت ديني. إن شئتِ فكلي أو لا تأكلي
" Wahai ibu, kamu perlu tahu, demi Allah, jika ibu ada 100 nyawa lalu keluar nyawa itu satu demi satu supaya aku tinggalkan agama ini, aku tetap tidak akan tinggalkan. Jika ibu mahu makan, makanlah. Jika masih tak mahu makan, ikut sukalah."

Saad berkata demikian kerana ibunya mengugutnya dengan boikot makan. Dia mahu Saad kembali kepada kesyirikan. Tetapi Saad seorang yang tegas imannya. Disebutkan dalam tafsir, daripada peristiwa inilah turunnya ayat Quran:
 وإن جاهداك لتُشْرك بي ما ليس لك به علم فلا تُطِعْهما
(Al-Ankabut: 8)



5) Nabi SAW pernah berdoa untuk Saad:

اللهم سَدّدْ رميته وأجب دعوته


(Ya Allah, tepatkan panahannya dan mustajabkan doanya)


Maka para sahabat selalu berhati-hati bila berdepan dengan Saad. Mereka tidak menentangnya kerana waspada pada donya yang mustajab. Antara kisah orang yang terkena doanya adalah Abu Sa'dah sepertimana yang diceritakan di atas. Selain itu, berlaku juga satu kisah lain yang menunjukkan mustajabnya doa Saad bin Abi Waqqas. Kisah itu disebutkan oleh Imam Az-Zahabi dalam Siyar A'lam dengan riwayat daripada Ibn Jad'an daripada Said Al-Musayyib bahawa ada seorang lelaki suka mencela Ali bin Abi Talib, Talhah dan Zubair, lalu Saad melarangnya tapi tidak diendahkan. Saad pun solat dua rakaat dan bedoa. Tak semena-mena seekor unta datang meluru dan menabraknya hingga mati. Said Al-Musayyib menceritakan bahawa dia melihat orang ramai mengekori Saad sambil mengucapkan tahniah kepadanya kerana doanya telah mustajab dan membunuh sang pencela sahabat nabi itu.



Dalam Sirah dicatatkan bahawa Saad adalah orang pertama yang memanah untuk jihad fi Sabilillah dalam Islam. Dia mendapat tahap ketepatan yang tinggi dalam memanah. Disebutkan dalam Siyar A'lam An-Nubala' bagaimana ligatnya Saad memanah dalam perang Uhud. Dengan satu mata panah, dia memanah musuh tiga kali dan semuanya kena sasaran yang mematikan musuh sehingga orang Islam ta'ajub dengan kebolehan Saad itu.

Rujuk: Darulfatwa



Ibn Jauzi dengan jawapan aras tinggi

October 25, 2016

Ibnu Jauzi, nama sebenarnya adalah Abu Al-Faraj Abdul Rahman bin Abi Al-Hasan bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Hummadi bin Ahmad bin Jaafar Al-Jauzi Al-Qursyi At-Tayyimi Al-Bakri Al-Baghdadi, Faqih Hambali dan sasterawan dengan nama pena Jamaluddin.

Pada zaman Ibn Jauzi telah berlaku satu perbalahan antara kelompok Syiah dengan kelompok Sunni. Isunya ialah siapa yang lebih afdhal? Abu Bakar atau Ali bin Abi Talib. Ibn Jauzi telah menjawab dengan satu jawapan yang membuatkan kedua-dua pihak boleh menerima jawapan tersebut. Baik kelompok Syiah maupun kelompok sunni.
Katanya:
أفضلهما من كانت إبنته تحته
" Yang paling afdhal antara keduanya ialah siapa yang anak perempuanya di bawahnya".
Ibn Jauzi tidak menunggu pertanyaan susulan. Dia terus tinggalkan majlis itu selepas mengungkapkan jawapannya. Puak Syiah kata jawapan Ibn Jauzi bermaksud Ali yang lebih Afdhal kerana anak perempuan Rasulullah SAW iaitu Fatimah Az-Zahraa berada di bawah Ali bgin Abi Tali, iaitu sebagai isterinya. Tetapi kalangan Sunni pula berkata bahawa jawapan Ibn Jauzi itu bermaksud Abu Bakar yang lebi Afdhal kerana ana perempuan Abu Bakar iaitu Aisyah ummul mukminin yang berada di bawah Rasulullah SAW, iaitu sebagai isteri baginda.
Maka, jawapan Ibn jauzi tersebut mengandungi dua kemungkinan. Dan kemungkinan itu dipulangkan kepada yang bertanya untuk memahaminya. Jika dia menjawab secara terus, sudah tentulah akan ada pihak yang tidka berpuas hati. Sebuah pertikaian klasik yang tidak menampakkan hujungnya, tidak guna dijawab. Jawapan tidak akan menyelesaikan.

Namun, jika dinilai daripada aspek bahawa, iaitu dhomir "ha" dalam jawapan itu, tentulah Ibn jauzi bermaksud Abu Bakar As-Siddiq yang lebih afdhol kerana pertanyaan adalah antara Abu Bakar dan Ali dan bukan Rasulullullah SAW. Dalam jawapan tersebut ada dua dua kali ulangan dhomir "ha". Dhomir "ha' yang pertamalah merujuk kepada kepada maksud "siapa yang" yang menjadi pokok kepada jawapan yang dikehendaki.

Namun, kerana orang Syiah adalah kelompok bodoh yang otak fikiran mereka telah masuk ketaasuban melampau terhadap Ali, aspek ini tidka terlihat oleh pemikiran mereka.

Berlaku satu peristiwa yang lain, sebagaimana disebutkan oleh Ibn Khalikan. Satu pertanyaan dilontarkan kepada Ibn Jauzi.

" Manakah yang afdhol? Tasbih atau Istighfar?

Maka dijawab oleh Ibn Jauzi: " Pakaian kotor  lebih memerlukan sabun daripada wap!(strika lah tu)

Di samping kepintaran menjawab soalan-soalan dengan jawapan yang luar biasa, Ibn jauzi diriwayatkan ada satu kelemahan. Kata Ibn Rajab, itulah satu keaibannya. Dia seorang yang suka puji diri, angkat bakul sendiri dan memuliakan diri. Pun begitu, kata Ibn Rajab, dia memang ada apa yang dia banggakan itu bukan mengada-ada.

Antara ungkapan Syairnya yang mengandungi pujian terhadap diri ialah:
لو كان هذا  العلم شخصا  ناطقا....وسألته هل زار مثلى؟ قال : لا

" Kalaulah ilmu itu seorang yang dapat bercakap....lalu aku tanya diapernahkah dia dilawati orang sepertiku? Akan dia jawab: tidak pernah!

Qais bin Mulawwah

May 23, 2016

Seorang lelaki pencinta wanita telah terkorban kerana cintanya.  Itulah Qais bin Mulawwah yang hidup antara tahun 24 H hingga 68 H. Tempoh itu adalah zaman pemerintahan khalifah Marwan bin Al-Hakam dan Abdul Malik bin Marwan daripada dinasti Bani Umayyah. Kerana sangat mencintai Laila ِAl-'Amiriah, sepupunya yang membesar bersamanya sejak kecil, dia digelar sebagai Majnun Laila.

Cinta Qais dan Laila terhalang oleh kerana ayah Laila tidak menyetujuinya. Sebab kenapa ayah Laila tidak menyetujui percintaan dua kekasih itu adalah dikatakan berhubung dengan adat jahiliah yang masih diamalkan di kalangan kaum Badwi ketika itu yang memandnag hina kepada perkahwinan yang diasaskan atas cinta. Adalah satu keaiban buat ibu bapa gadis jika anak gadis mereka dicintai oleh seorang lelaki dan berkahwin kerananya. Menjadi satu kehebatan pula jika ibu bapa mengahwinkan anak gadis mereka mengikut pilihan merek.

Ada juga yang mengaitkan kengganan ayah Laila merestui hungan Qais dengan Laila adalah berkaitan permusuhan keluarga antara ayah Qais dan ayah Laila sendiri.Permusuhan tersebut berkaitan dengan harta pusaka yang mana ayah Laila menuduh ayah Qais mengambil haknya.

Maka cinta Qais tidak kesampaian. Laila dikahwinkan oleh ayahnya dengan seorang lelaki lain bernama Warad bin Muhammad Uqaili dari Bani Tsaqif  berasal dari Taif  Maka setelah berkahwin, Laila dibawa ke Taif dan tinggal di sana. Qais menjadi tidak menentu seperti orang gila dan berkelana antara Najad, Syam dan sekitar Hijaz. Pada akhirnya Qais didapati mati tergeletak di antara batuan di padang pasir.

Syair Qais bun Mulawwah yang menggambarkan cintanya yang amat sangat buat Laila:


أمر على الديــــــار ديار ليـلى ... أقبل ذا الـــــــجدار وذا الجـدارا
وما حب الديار شـــــغفن قلبي ... ولكن حب من ســـــــكن الديارا


Aku lalui negeri-negeri yang merupakan negeri Laila
Aku kucupi dinding-dindingnya
Bukanlah kerana cintakan negeri itu yang memenuhi hatiku
Namun hanya cintakan orang yang menghuni negeri itu.

Disebutkan  oleh periwayat cerita Qais, bahawa pada satu musim haji, beliau telah dibawa oleh ayahnya pergi mengerjakan haji di Makkah. Ayahnya memintanya berdoa di sana agar disembuhkan daripada penyakit cintanya.  Di sana , ayahnya suruh Qais bergayut di kelambu Kaabah dan memohon kepada Allah agar menyembuhkannya. Akan tetapi, lain pula yang diminta oleh Qais. Qais malah berdoa:


اللهم زدني لليلي حبًا وبها كلفًا ولا تنسني ذكرها أبدًا


" Ya Allah, tambahkan beban cintaku kepada Laila dan janganlah buatkan aku melupainya selamanya".





Muhammad Bin Al-Qasim, pembuka wilayah Sind dan India.

March 22, 2016

Muhammad bin Al-Qasim adalah anak saudara kepada Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Sungguhpun sejarah hidup Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi berlumuran dengan riwayat berdarah, beliau telah memacakkan jasa yang bukan sedikit untuk kemuliaan Islam di persada alam. Atas pilihannya, Muhammad bin Al-Qasim dilantik mengetuai misi membuka wilayah Sind dan India. Padahal usia Muhammad bin Al-Qasim di kala itu baru menginjak 17 tahun.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, keberanian yang jitu serta keikhlasan fi sabilillah, Muhammad bin Al-Qasim membawa tentera Islam menerjah ke wilayah Sind hingga India. Raja-raja hebat di tanah India waktu itu kalah di tanganya. Dengan kesantunan yang tinggi, ramai warga memilih untuk menjadi muslim.

Sesungguhnya keislaman di bumi Sind dan India adalah jasa Muhammad bin Al-Qasim. Bila demikian, ia bersangkut pula dengan jasa Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi yang mentauliahkan Muhammad bin Al-Qasim untuk tugasan itu. Masing-masing mencicip pahala bagi jasanya, sementara dosa dan kezaliman yang dilakukan, Allah maha pengampun. 

Selepas Al-Walid bin Abdul Malik meninggal, jawatan khalifah diambil alih oleh adiknya Sulaiman bin Abdul Malik. Sulaiman punya rasa terkilan dengan Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi kerana pada ketika Al-Walid berura-ura untuk melucutkannya dari posisi putera mahkota dan menggantikannya dengan Abdul Aziz bin Al-Walid (Bapa umar bin Abdul Aziz), Hajjaj bin Yusuf menyokong cadangan itu. Kerana itu, dia menyimpan dendam kepada Hajjaj. 

Apabila dia dilantik sebagai Khalifah, dia menyimpan kebencian itu terhadap Hajjaj. Namun, Hajjaj telah dijemput Allah sebelum dendamnya menyentuh Hajjaj. Beliau melantik seorang musuh Hajjaj bernama Saleh bin Abdul Rahman sebagai Gabenor Iraq. Saleh bin Abdul Rahman marahkan Hajjaj kerana saudaranya pernah dibunuh Hajjaj. 

Tidak dapat membalas ke atas Hajjaj, dia mencari siapa yang paling dekat dengan Hajjaj. Tidak lain ialah Muhammad bin Al-Qasim. Soleh bin Abdul Rahman memecat Muhamad bin Al-Qasim daripada penguasa wilayah Sind dan India, lalu digantikan dengan Orang pilihannya iaitu Yazid bin Abi Kabsyah.  Yazid bin Kabsyah diperintahkan menangkap Muhammad bin Al-Qasim dihantar ke Iraq sebagai tawanan. 

Muhammad bin Al-Qasim, walau sangat berpengaruh di wilayah Sind dan India serta disayangi rakyatnya, dia patuh dengan arahan dan merelakan dirinnya ditawan di hantar ke Iraq untuk dihakimi oleh Soleh bin Abd Rahman. Namun, dia dipenjarakan di Wasit, dalam wilayah Iraq, disiksa hingga mati dalam penjara.

Berakhir riwayat pahlawan yang berjasa itu. Namanya ditinggal harum dan disebut dengan pujian. Dia memang telah dibunuh tetapi dia terus hidup hingga hari ini. Mereka yang membunuhnya mungkin rasa puas dan menang, tetapi sebenarnya mereka telah mati terlebih dahulu daripada yang dibunuh itu. 

Barangkali, mereka sangka kekuasaan boleh buatkan mereka kekal, tetapi mereka telah mati sebelum masanya. Nama penzalim dilupakan sedangkan nama pahlawan berjasa abadi sehingga akhir zaman.


Abdul Malik bin Umar bin Abdul Aziz

Putera Umar bin Abd Aziz bernama Abdul Malik. Kendati usianya masih muda remaja, catatan ahli sirah menyebutkan kesolehannya dan wawasan takwanya dalam pemerintahan bapanya. Hari ini orang menyanjung Umar bin Abdul Aziz kerana pemerintahannya yang menjadi contoh. Namun, ramai orang yang tidak tahu bahawa di belakangnya ada seorang remaja yang merupakan anaknya betrtindak sebagai wazir baginya. Memang begitulah ragam hidup. Orang menyanjung sultan tetapi tidak menyebut wazirnya. 
Dalam keadaan tertentu, Umar Bin Abdul Aziz menyifatkan anaknya itu lebih faqih daripadanya dan jika Abdul malik itu bukan anaknya, tentulah dia lebih layak menjabat sebagai khalifah. Sirah mencatatkan lahirnya Abdul malik pada tahun 82H dan meninggal pada tahun 101 H pada usia 19 tahun.

Sesungguhnya bapa yang terbaik adalah yang yang melahirkan anak yang lebih baik daripadanya.

Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Al-Isobah Fi Tamyiz As-Sahabah memetik riwayat oleh Ibn Al-Athir bahawa Abdul Malik bin Umar menyebut bahawa dia telah melihat Ubaidillah bin Ziyad telah datang membawa kepada Hussain bin Ali, kemudian Mukhtar As-Tsaqafi membawa kepada Ubadillah bin Ziyad. Setelah itu kepada Mukhtar As-Tsaqafi dibawa pula oleh Mus'ab bin Az-Zubair. Seterusnya kepala Mus'ab bin Az-Zubair dibawa pula kepada Abdul Malik bin Marwan.

Hari bersilih ganti bagaimana Allah menimpakan putaran ke atas manusia menjadi pengamatannya yang menambahkan kecerdikannya pada usia yang begitu muda.

Rahmat Allah ke atas Abdul Malik bin Umar.

MUKHTAR BIN ABI UBAID AS-TSAQAFI

Mukhtar bin Abi Ubaid bin Mas'ud As-Tsaqafi dilahirkan di Taif pada tahun 1 H. Bapanya Abu Ubaid adalah tergolong kalangan sahabat nabi dan telah mati syahid dalam peperangan "Al-Jisr" yang menyaksikan kemasukan Islam ke bumi Iraq. Mukhtar telah dibela oleh bapa saudaranya, Sa'id bin Mas'ud As-Tsaqafi yang menjabat jawatan gabenor Kufah pada masa kekhalifahan Ali bin Abi Talib. Mukhtar As-Tsaqafi telah membesar dengan cita-cita politik yang bersulam tipudaya dan menunggangi semangat Syiah yang mencintai Ahli Bait demi menggapai cita-cita sendiri.

Mukhtar As-Tsaqafi digelar Kaisan.Beliau telah bertembung dengan pasukan yang mendokong Abdullah bin Az-Zubair di Iraq dan beliau mencapai beberapa siri kemenangan. Maka, timbul perasaan ujub dalam dirinya sehingga sampai ke peringkat beliau mendakwa mendapat wahyu dan mengeluarkan kata-kata bernada sajak untuk menipu pengikutnya bahawa dia adalah nabi utusan Allah.

Asma' binti Abu Bakar meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasullah SAW telah bersabda:


سيكون في ثقيف كذاب ومبير

" Akan lahir dari Tsaqif sang pendusta dan penumpah darah". (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang dilakukan oleh Mukhtar As-Tsaqafi memberi jawapan kepada maksud hadis tersebut kerana dialah sang pendusta daripada puak Tsaqif (Taif) kerana dakwaannya sebagai nabi yang mendapat wahyu. Manakalah "mubir" itu pula dapat difahami daripada satu watak lain yang juga daripada puak Tsaqif di Taif iaitu Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Sejarah mencatakan kezalimannya dan penumpahan darah yang dilakukannya. Telah nyata dalam catatan sirah bahawa beliaulah yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Said bin Jubair, yang menjadi titik penyesalan dan kehitaman yang pekat dalam hidupnya.

Namun, di kalangan Syiah, dia dianggap pahlawan pembela ahli Bait dan dipadamkan dari sejarah mereka kebohongan yang dilakukan oleh Mukhtar . Dakwaan kenabian yang dilakukannya itu tidak penting buat golongan Syiah kerana yang paling penting untuk kelompok yang disesatkan ini adalah apa yang dibuatkannya untuk menunjukkan kecintaan kepada keturunan Rasulullah SAW atau Saidina Ali r.a. Pada hari ini, di Kufah, mereka bangunkan maqam yang dibesarkan untuk Mukhtar As-Tsaqafi dan dikunjung oleh penziarah kalangan penganut Syiah.








SELENGKAR KISAH-TERBUNUHNYA MUS'AB BIN AZ-ZUBAIR

Mus'ab bin Az-Zubair adalah saudara lelaki kepada Abdullah bin Az-Zubair yang diangkat sebagai khalifah setelah peristiwa pembunuhan Saidina Hussain di Karbala'. Ketika itu, di tanah Syam, Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkuasa dan beliau dibantu oleh panglima tenteranya yang bernama Hajjaj bin Yusuf As-Thaqafi. Di Iraq pula seorang pemimpin Rafidhah bernama Mukhtar As-Tsaqafi yang mencapai kemenangan dalam peperangan mengalahkan Ubaidillah bin Ziyad yang memimpin pasukan membantai Saidina Hussain di Karbala. Ubaidillah bin Ziyad dibantu oleh orang kuatnya bernama bernama Syimr bin Ziljausyan manakala Mukhtar As-Tsaqafi dibantu oleh Ibrahim bin Malik Al-Asytar. 

Tentera Ibrahim bin Malik Al-Asytar telah berjaya membunuh Ubaidillah bin Ziyad dan Syimr bin Zil-Jausyan. Namun, Mukhtar As-Tsaqafi kemudiannya melampau dan melebihi pemimpinnya sendiri iaitu Muhammad Al-Hanafiah yang merupakan anak  kepada Ali bin Abi Talib dengan isterinya Khaulah binti Ja'far bin Qais Al-Hanafiyyah. Malah, Mukhtar As-Tsaqafi sampai ke peringkat mengaku mendapat wahyu kenabian sehingga beliau ditinggalkan oleh orang kuatnya sendiri iaitu Ibrahim bin Malik Al-Asytar.

Ketika Mukhtar As-Tsaqafi sudah melampau di tanah Iraq, Abdullah bin Az-Zubair yang dibai'ah oleh penduduk Makkah sebagai khalifah mengirimkan adiknya Mus'ab bin Az-Zubair untuk merampas wilayah kekuasaan di Iraq. Mus'ab berjaya dan Mukhtar As-Tsaqafi dapat dibunuh. Setelah itu Mus'ab menyusun cita-cita yang lebih besar untuk menguasai Syam dengan memerangi Abdul malik bin Marwan. Ketika berlaku pertembungan itu, kalahlah tentera Mus'ab dan Mus'ab sendiri telah dipenggal kepalanya oleh Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi, panglima tentera Abdul Malik bin Marwan. Kepalanya dihantar balik kepada abangnya Abdullah bin Az-Zubair di Makkah. 

Tidak lama kemudian, Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi menyerang kota Makkah dan Abdullah bin Az-Zubair dapat dikalahkan dan beliau terbunuh. Stelah itu, kekuasaan wilayah Islam bersatu di bawah Abdul Malik bin Marwan, khalifah daripada Bani Umayyah.

*Catatan kisah ini akan disemak untuk penambahbaikan.

KE'ABTARAN' AL-AS BIN WA IL

December 22, 2015

Ektrsak Kuliah Tafsir: " Muhammad SAW bukan Abtar".
(Surau Al-Hana, Taman Makmur)

Salah seorang penentang dakwah Rasulullah SAW ialah Al-'As bin Wa'il As-Sahmi. Beliau merupakan pemimpin Bani Sahmi, salah satu kabilah daripada bangsa Quraisy. Salasilahnya bertemu dengan dengan salasilah Rasulullah pada Ka'ab bin Lu'i. Dua orang anaknya telah masuk Islam dan merupakan sahabat kepada Rasulullah SAW iaitu Hisham bin Al-'As dan Amru bin Al-'As.

Waktu beliau mendapat tahu anaknya Hisyam telah masuk Islam, beliau telah mengurungnya dan menyiksanya serta memaksanya kembali kepada agama penyembahan berhala. Al-'As bin Wa il mengatakan kepada kaum Qurasiy bahawa dia tidak akan berhenti menyiksa anaknya itu demi berhala Lata, Manat, Hubal dan lain-lainnya. Namun, Hisyam adalah seornag pemuda yang istiqamah dan tetap dengan Islam. Kerana kasihankan Hisyam, isteri saudaranya Amru telah memberi makan dan minum kepadanya secara senyap-senyap dan akhirnya melepaskannya hingga dia dapat lari berhijrah ke Habsyah serta mendapat perlindungan di bawah raja Najasyi.

Setiap punya kesempatan, Al-'As bin Wa il akan menghina dan memperolok-olokkan nabi Muhammad SAW. Beliu memperlecehkan nabi dengan memanggilnya sebagai "ABTAR". Panggilan memerpersendakan "Si Abtar " itu ditempelkan kepada Rasulullah SAW kerana baginda kematian anak-anak lelaki. Dua anak lelaki yang bernama Al-Qasim dan Abdullah mati pada zaman dakwah di Makkah. Berikutnya pula, waktu di Madinah, baginada mendapat anak lelaki dengan Mariah Al-Qibtiyyah, pun meninggal pada usia kecil.

Dia berkata kepada para pemuka Quraisy yang sering melepak di dataran Ka'abah:

" Aku baru tadi bertemu dengan si Abtar",
" Biarkan aja Si Abtar itu, kelak dia akan dilupakan selepas matinya kerana dia tiada penerus keturunan".

Demikian beberapa kalam yang menghina dari Al-'As bin Wa il terhadap Rasulullah. Dia tidak sendirian dalam kerja durjanya. Bersamanya adalah Abu Jahal. Pada satu ketika, dia dan Abu Jahal telah bertemu nabi Muhammad SAW di jalanan. Kesempatan itu digunakan oleh mereka itu menghina dan mengherdik Rasulullah SAW.

Dalam munajat kepada Allah SWT, Rasulullah berdoa :

" Ya Allah, jadikan dia (Al-'As bin Wa il) ditewaskan oleh duri di antara duri-duir di muka bumi".

Doa Rasulullah dimakbulkan. Satu ketika, apabila Al-'As bin Wa il sedang dalam perjalanan ke Taif untuk melawat harta bendanya di sana, dia menunggal keldai dan singgah di satu tempat. Ketika turun dari keldainya, kakinya terpijak duri. Kesan dari pijakannya itu, ia membengkak dan tak mampu berjalan. Kesakitannya meresapo ke seluruh tubuhnya. Dia menderita alang kepalang. Anaknya Amru bin Al-As cuba mencari tabib sehingga ke Taif tetapi Al-As mati sebelum sempat dirawat. Menurut riwayat Al-Waqidi, Al-'As bin Wa il mati pada usia 85 tahun iaitu setahun selepas hijrah Rasulullah ke Madinah.

Nabi Muhamamd tidak sekali-kali menjadi "ABTAR". Keturunannya tidak terputus. Keturunan mereka yang menentang baginda dulu telah lenyap dan tidak ada penyambung perjuangan. Sedangkan Rasulullah meneruskan keturunannnya dan penyambung perjuangannya berkembang biak melanai seluruh alam. Sungguh banyak nikmat Allah untuk Rasulnya dan semua itu menjadi "Kauthar". Di dunia ada "kauthar" yang bermacam-macam dan di akhirat menanti baginda sungai syurga dan telaga yang menjadi "kauthar" untuk baginda dan pengikutnya.

Siapa yang memperjuangkan Islam, Allah pasti berikannya "Kauthar" dan dia tidak sekali-kali menjadi "Abtar".

Sultan Qutuz dan Ain Jalut

March 17, 2009

Ketika aku membaca kisah seorang sultan dari kerajaan Mamalik di Mesir, bernama Al-Muzaffar Saifuddin Qutuz, aku sungguh terharu. Air mataku bergenang mengenangkan kisah sejarah yang sungguh membanggakan itu. Alangkah baiknya jika di saat umat dalam lelah lemas dipukul kekalahan demi kekalahan pada masa ini, seorang pemimpin sepertinya tampil memandu panji jihad buat umat.
Baginda yang bernama Qutuz atau dieja Kutuz, merupakan pemerintah ketiga daripada kerajaan Mamalik. Baginda menaiki tahta Mesir 24 Zulkaedah 657 H. Setengah sejarawan mengatakan baginda pemerintah keempat kerana meletakkan Syajaratur Dur sebagai pemerintah pertama kerajaan Mamalik dan bukannya Al-Muizzuddin Al-Aibak.
Nama Sultan Qutuz harum dalam sejarah kerana kejayaannya menewaskan tentera Mongol yang sedang menjarah bumi Islam pada masa itu. Seluruh wilayah kekuasaan Islam dalam kerajaan Abbasiah telah berjaya ditewaskan oleh tentera Mongol. Kota Baghdad yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Abbasiah telah jatuh ke tangan tentera Mongul yang dipimpin oleh Hulago Khan pada tahun 656 H. Kejatuhan Baghdad adalah satu penderitaan yang sungguh menghinakan dan kerugian yang besar kepada Islam. Menurut Abul Hasan Ali An-Nadwi, sepanjang menjarah bumi Islam, nyawa muslimin yang dibunuh oleh tentera ganas Mongol mencapai jumlah 1,800,000,000 orang.
1,800,000,000 jiwa muslimin terkorban. Bukan satu angka kecil. Angka itu amat menggerunkan.
Cuba bayangkan, bagaimanalah rupanya mayat-mayat bergelempangan dengan angka sejumlah itu. Sesungguhnya pencerobohan Mongol ke atas dunia Islam adalah satu tragedi hitam yang amat ngeri untuk dibayangkan. Kehilangan nyawa dan tamaddun ilmu yang ditanggung oleh Islam bukan sedikit.
Lebih daripada itu kerendahan maruah umat Islam di waktu itu amat memalukan untuk dibaca dan ditelusuri sejarahnya. Ibnu al-Athir di dalam kitabnya al-Kamil meriwayatkan beberapa cerita yang didengarinya berkenaan penyerbuan Mongol ke atas wilayah Islam.
a. Seorang tentera Tatar masuk ke dalam sebuah perkampungan seorang diri. Kemudian dia membunuh penduduk kampung tersebut seorang demi seorang tanpa mendapat tentangan dari sesiapa pun.
b. Seorang tentera Tatar menangkap seorang muslim. Oleh kerana tentera Tatar tersebut tidak bersenjata, dia telah mengarahkan pemuda muslim tadi agar melekapkan mukanya ke tanah dan tidak bergerak. Tentera Tatar tersebut pulang mengambil senjata dan kemudian datang kembali lalu membunuh pemuda tersebut.
c. Tentera Tatar memasuki bandar Badlis (sekarang berada di selatan Turki). Laluan ke bandar tersebut adalah laluan di celah-celah bukit yang sungguh sempit. Tidak ada seorang pun tentera Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan Tatar di bandar tersebut. Penduduk bandar tersebut pula melarikan diri ke atas bukit dan membiarkan Tatar membakar keseluruhan bandar tersebut.
Sehinggalah tentera Mongol yang menjarah bumi Islam itu berjaya menakluki Syam. Pemerintah Syam yang berpusat di Damsyik pada masa itu, Sultan An-Nasir Yusuf yang lari menyelamatkan harta, keluarga dan hamba-hambanya. Namanya tercatat sebagai pengkhianat yang enggan berjihad dan lebih mementingkan diri sendiri.
Tentera Mongol dengan panglimanya Katabgha merencanakan penaklukan seterusnya ke atas Mesir. Ketika itulah tampilnya seorang sultan yang hebat bernama Qutuz. Disokong pula oleh seorang panglima yang berani bernama Baibrars.
Di tangan Sultan Qutuz yang ikhlas dan bijaksana ini, tentera Mongol kenal tinggi rendahnya langit. Tenteranya yang dibanggakan sebagai tidak pernah kalah, kalah di tangan Sultan Qutuz. Kekalahan yang memalukan Mongol dan menaikkan harga diri dan semangat umat Islam pada masa itu. Kekalahan Mongol dan kemenangan Islam itu berlaku dalam satu peperangan bersejarah yang berlaku di Ain Jalut.
Perang Ain Jalut
Perang Ain Jalut adalah peperangan antara tentera kerajaan Mamalik Mesir pimpinan Sultan Qutuz dengan tentera Mongol pimpinan Katabgha. Ia amat penting kerana peperangan ini telah menghentikan kemaraan tenteraan Mongol dan menamatkan mitos bahawa tentera Mongol tak akan kalah.





QUTUZ MENGALAHKAN TARTAR

January 1, 2006


Persiapan Awal
Qutuz mengambil tiga langkah awal sebelum melancarkan peperangan ke atas Tatar. Ketiga-tiga langkah ini dilihat amat berkesan dan menjadi sumber kekuatan kepada tentera Islam pada ketika itu.
Langkah pertama yang diambil oleh Qutuz adalah mengembalikan kestabilan keadaan dalaman Mesir. Beliau memanggil golongan istana, pembesar-pembesar, menteri-menteri, ulama’-ulama’ dan golongan berpengaruh di dalam masyarakat. Beliau berkata kepada mereka: “Apa yang aku inginkan dari jawatan ini hanyalah agar kita bersatu untuk melawan Tatar. Urusan itu tidak mampu diselesaikan tanpa Raja. Apabila kita berjaya keluar dari masalah ini dan mengalahkan Tatar, urusan ini terletak di tangan kamu semua. Pilihlah sesiapa yang kamu kehendaki untuk menjadi pemerintah.”
Ucapan Qutuz tersebut telah meredakan ketamakan sebahagian dari pembesar yang berniat untuk merampas tahta Mesir dari tangan Qutuz.
Di masa yang sama beliau telah memecat Menteri, Ibnu binti al-A’az dan menggantikannya dengan Zainuddin Ya’kub bin Abd Rafi’. Ini kerana beliau lebih meyakini kesetiaan Zainuddin Ya’kub daripada Ibnu binti al-A’az. Kemudian beliau mengekalkan Farisuddin Aqtai as-Soghir sebagai panglima tentera walau pun beliau adalah penyokong Mamalik Bahriah.
Langkah kedua yang telah dilakukan oleh Qutuz adalah memberikan pengampunan kepada semua penyokong Mamalik Bahriah. Perselisihan yang berlaku sebelum ini yang berpunca dari pembunuhan Raja Izzuddin Aibak ingin segera dihentikan oleh Qutuz.
Mamalik Bahriah mempunyai pengalaman yang luas di dalam medan peperangan. Di antara kehebatan yang pernah mereka tunjukkan adalah kemenangan mereka di dalam Perang Mansurah (salah satu siri perang Salib) pada tahun 648 H. Pengampunan itu telah berjaya memujuk mereka yang telah keluar meninggalkan Mesir untuk kembali ke Mesir. Rombongan penyokong Mamalik Bahriah kembali berduyun ke Mesir dari bumi Syam, Karak (di Jordan sekarang) dan bumi kerajaan Saljuk. Dengan itu Mesir berjaya mendapatkan kembali kekuatan tenteranya.
Langkah ketiga yang diambil oleh Qutuz adalah mengusahakan penyatuan semula antara Mesir dan Syam. Seperti yang diceritakan sebelum ini, Raja Damsyik dan Halab (sebahagian dari bumi Syam) iaitu Raja Nasir al-Ayubi telah melakukan perjanjian damai dengan Tatar. Perjanjian itu tidak berhenti setakat memohon perdamaian, bahkan Raja Nasir al-Ayubi pergi lebih jauh dari itu dengan meminta bantuan Tatar untuk menjatuhkan Mesir.
Qutuz menulis surat kepada Raja Nasir al-Ayubi memohon penyatuan Mesir dengan Syam. Bahkan beliau menyatakan kesanggupannya untuk duduk di bawah Raja Nasir al-Ayubi. Malangnya surat tersebut tidak dilayan.
Tetapi apabila Damsyik dan Halab ditawan oleh Tatar dan selepas Raja Nasir al-Ayubi lari menyelamatkan diri ke Karak, tentera Syam telah bergerak menuju ke Mesir dan bergabung dengan tentera Mamalik. Kesatuan ini menambahkan lagi kekuatan Mesir dan memberikannya satu semangat yang cukup kuat untuk berhadapan dengan Tatar.
Ketiga-tiga langkah ini telah memberikan Mesir satu kekuatan baru pada awal tahun 658 H. Di sini terserlah kepada kita kecekalan dan kesungguhan Qutuz. Ketiga-tiga langkah awal yang mungkin memerlukan masa yang panjang untuk dicapai, telah berjaya diselesaikan oleh Qutuz dalam masa tidak sampai tiga bulan sahaja dari tarikh beliau menaiki tahta Mesir.
Disimpulkan bahawa keadaan dunia Islam pada awal tahun 658 H adalah:
a. Mesir berjaya mendapatkan kekuatannya
b. Baghdad, Halab dan Damsyik jatuh ke tangan Tatar disamping negara-negara lain yang telah jatuh sebelumya (Daulah al-Khowarizmiah, Daulah Arminiah, Daulah Karjiah)
c. Palestin keseluruhannya jatuh ke tangan Tatar termasuk Gaza yang terletak hanya 35 kilometer dari sempadan Mesir

Surat Ancaman Holago

Ketika Mesir masih lagi di peringkat awal untuk mempersiapkan dirinya, empat orang wakil Holago telah datang memberikan surat perutusan dari beliau. Wakil tersebut datang beberapa hari selepas kejatuhan Halab (Safar 658 H), iaitu hanya tiga bulan selepas Qutuz menaiki tahta Mesir (Zulqaedah 657 H).
Surat tersebut telah memperlekehkan kekuatan tentera Islam dan memberikan kata dua kepada mereka; menyerah atau berperang. Sebahagian dari pembesar pada masa itu mula merasa takut dan ingin menarik diri kerana persiapan Mesir pada ketika masih lagi tidak seberapa jika dibandingkan dengan Tatar yang menguasai satu kawasan jajahan yang cukup luas (dari Korea ke Poland hari ini).
Qutuz mengumpulkan pembesar-pembesar dan panglima-panglima perangnya lalu berkata kepada mereka:
“Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad.”
Kata-kata beliau telah menyentak dan menyedarkan kembali pembesar-pembesar Mesir ketika itu. Mereka bukan berhadapan dengan dua pilihan yang diberikan oleh Holago, tetapi mereka berhadapan dengan pilihan yang diberikan oleh Allah terhadap mereka. Jihad pada ketika itu adalah fardhu dan mereka tidak ada pilihan selain dari itu.
Setelah berunding dengan semua pembesar, akhirnya mereka memutuskan untuk membunuh keempat-empat utusan tersebut. Kepala mereka telah digantung di tengah bandar Kaherah.
Perbuatan ini yang bertujuan untuk menegaskan keberanian tentera Islam untuk berdepan dengan Tatar telah mendapat kritikan sebahagian dari pengkaji sejarah. Mereka berpendapat bahawa tidak terdapat sebab yang kuat untuk Qutuz membunuh kesemua utusan tersebut kerana Islam adalah agama yang tidak membenarkan utusan perang dibunuh.Walau pun begitu ada juga yang mengandaikan kemungkinan berlaku beberapa peristiwa yang membawa kepada pembunuhan tersebut tetapi tidak diketahui dan tidak tercatat dalam sejarah. Wallahu a’lam.

Masalah Belanjawan Perang dan Fatwa al-Izz bin Abdis Salam

Selesai dari masalah surat Holago, Qutuz berhadapan dengan satu masalah lain iaitu sumber kewangan untuk mempersiapkan Mesir menghadapi peperangan. Belanjawan yang besar diperlukan untuk memperbaiki benteng, jambatan, membeli senjata dan peralatan perang serta bekalan makanan yang mencukupi untuk tentera dan rakyat jika Mesir dikepung oleh Tatar. Dalam keadaan Mesir yang dilanda dengan krisis politk dan ekonomi ketika itu, Qutuz tidak mempunyai masa yang banyak untuk menyelesaikan masalah itu setelah surat ancaman Holago sampai kepadanya memberikan isyarat bahawa serangan Tatar akan datang pada bila-bila masa. Tatar sudah berada di sempadan Mesir.
Qutuz memanggil para pembesar negara lalu melakukan mesyuarat. Pilihan yang ada pada mereka adalah untuk mengutip duit dari rakyat jelata. Ia perlu dilakukan segera. Mereka tidak ada pilihan selain dari itu. Tetapi pilihan ini memerlukan satu fatwa dikeluarkan oleh ulama’ Islam kerana umat tidak pernah kenal ada cukai lain selain dari zakat. Tanpa fatwa tersebut, Qutuz tidak akan melakukannya kerana menyelesaikan masalah dengan jalan yang tidak syar’ie hanya akan menjebakkan Mesir ke dalam masalah lain yang mungkin lebi h besar. Syariat adalah batas bagi segala-galanya.
Di antara yang dipanggil untuk turut serta di dalam mesyuarat tersebut adalah seorang ulama’ bernama al-Izz bin Abdis Salam (lebih dikenali sebagai Izzuddin Abdis Salam). Beliau lahir pada tahun 577 H. Ketika mesyuarat tersebut umurnya sudah mencecah 81 tahun. Ibnu Daqiq al-Aid menggelarnya sebagai ‘Sultan kepada semua ulama’. Gelaran ini diberikan kerana sifat beliau yang amat tegas di dalam menasihati para pemerintah dan panglima perang ketika perang Salib sedang rancak berlaku. Beliau bukan sahaja memberikan fatwa di dalam masalah ibadah tetapi juga turut campur tangan di dalam memberikan fatwa di dalam masalah politik dan peperangan.
Beliau pernah dipenjarakan di Damsyik dan di Quds kerana kelantangan fatwanya terhadap pemimpin Islam yang mengkhianati umat Islam dan melakukan persepakatan dengan tentera Salib. Setelah dibebaskan oleh Raja Soleh Najmuddin Ayub, raja Mesir ketika itu, beliau berpindah ke Mesir dan menjadi Mufti Mesir setelah sebelum ini menjadi Mufti di Palestin dan Syam.
Ketika Qutuz mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata, Izzuddin Abdis Salam mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:
“Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.”
Fatwa yang cukup tegas ini disambut juga dengan ketegasan oleh Qutuz. Beliau memerintahkan semua pembesar negara dan pimpinan perang agar menyerahkan semua yang mereka miliki kepada negara. Hasil yang menakjubkan; Mesir adalah negara yang kaya. Tetapi kekayaan tersebut telah disalahgunakan oleh sebahagian pimpinan pada masa itu. Penyerahan harta dari pembesar negara telah disambut oleh rakyat jelata. Mereka mula menyumbangkan harta masing-masing untuk memenuhi tuntutan belanjawan perang. Semua turut serta di dalam memberikan sumbangan. Fatwa Izzudin bin Abdis Salam benar-benar dapat menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar yang segera.

Kejutan Dari Qutuz; Memerangi Tatar Bukan Bertahan di Mesir

Mesir sudah bersedia untuk menghadapi Tatar. Segala sunnah dan asbab telah diambil oleh Qutuz. Qutuz berjaya menaikkan semangat rakyat Mesir. Qutuz berjaya memadamkan perselisihan di antara pembesar Islam. Qutuz berjaya mendamaikan antara Mamalik Bahriah dan Mamalik Muizziah. Qutuz berjaya menyatukan antara Mesir dan Syam, dua wilayah Islam yang kuat. Qutuz berjaya memperkecilkan Tatar pada pandangan umat Islam. Qutuz berjaya membersihkan jiwa pembesar dan rakyat. Qutuz berjaya membersihkan wang-wang haram dan melancarkan jihad dengan menggunakan wang yang halal.
Dengan kekuatan tersebut Qutuz memilih untuk melakukan tindakan yang cukup berisiko. Beliau telah mengisytiharkan pandangannya di dalam mesyuarat dengan pimpinan tentera untuk mereka keluar menyerang Tatar di bumi Palestin dan mengubahnya dari rancangan asal iaitu menunggu serangan Tatar di Mesir. Pandangan ini amat mengejutkan pimpinan tentera sehinggakan sebahagian dari mereka bangun terkejut setelah mendengar pandangan tersebut. Berlakulah perbincangan dan Qutuz menerangkan kepada mereka rahsia pilihannya itu.
Qutuz menegaskan beberapa noktah yang kemungkinan tidak disedari oleh sebahagian pimpinan tentera akibat terlalu lama berada dalam krisis politik.
a. Keselamatan Mesir bukan terletak di Kaherah tetapi sebaliknya bermula dari sempadan Mesir di sebelah timur. Dengan itu usaha untuk menyelamatkan sempadan Mesir - Palestin mesti dilakukan dari peringkat awal dengan cara menyerang Tatar di Palestin.
b. Berperang di luar Mesir memberikan Mesir kelebihan; iaitu mereka masih lagi ada peluang kembali ke Mesir untuk menyusun semula strategi. Tetapi jika mereka kalah di dalam bumi Mesir, mereka tidak mempunyai peluang tersebut. Sebaliknya Tatar dengan mudah dapat terus menerobos ke Kaherah, ibu negara Mesir.
c. Tentera Islam mesti melakukan kejutan ke atas musuh dengan cara mereka yang menentukan tempat dan masa untuk berperang. Dengan itu mereka berada dalam keadaan cukup bersedia untuk berperang dalam keadaan musuh tidak bersedia sepenuhnya.
d. Mesir bertanggungjawab bukan sahaja ke atas keselamatan Mesir tetapi juga ke atas keselamatan bumi-bumi Islam yang lain. Jihad mempertahankan negara Islam yang dijajah adalah fardhu ke atas negara jiran jika negara yang dijajah itu tidak mampu mempertahankan dirinya.
e. Umat Islam mempunyai kewajipan untuk menyerang dan membuka negara Tatar lalu menawarkan kepada mereka samada Islam atau jizyah. Apatah lagi jika sekiranya tentera Tatar berada di bumi Islam, kewajipan untuk membuka yang dijajah oleh Tatar tersebut lebih wajib lagi dari menyerang negara Tatar sendiri.
Setelah perbincangan yang panjang, akhirnya keputusan diambil bersama. Tentera Islam akan bergerak menuju ke bumi Palestin dan menyerang Tatar di situ.

Perjanjian Damai Islam - Salib di Akka

Untuk sampai ke tempat yang sesuai dijadikan medan perang di Palestin, tentera Islam terpaksa melalui bandar Akka. Bandar Akka pada ketika itu masih lagi di bawah jajahan tentera Salib sejak tahun 492 H. Mereka telah berada di Akka selama 166 tahun. Terdapat generasi tentera Salib di bandar tersebut.
Tentera Salib berada dalam keadaan yang cukup lemah di Akka. Kelemahan ini hasil dari keletihan peperangan yang mereka terpaksa hadapi dari tentera Salehudin Ayyubi sebelum ini. Pembebasan Quds berlaku pada tahun 643 H. Peperangan Mansurah berlaku pada tahun 648 H. Selepas peperangan tersebut, ramai tentera Salib yang dijadikan tawanan termasuk King Louis IX, Raja Perancis.
Walau pun begitu, untuk membebaskan Akka dari tentera Salib tidaklah semudah yang disangkakan. Benteng terkuat tentera Salib adalah di Akka. Banyak cubaan termasuk cubaan oleh Salehudin al-Ayyubi untuk membebaskan Akka menemui kegagalan sebelum ini. Ini termasuk kemungkinan akan berlaku sekali lagi persepakatan di antara tentera Tatar dan tentera Salib yang akan menguatkan kembali Akka.
Langkah yang diambil oleh Qutuz adalah melakukan perjanjian damai sementara dengan pemerintah Salib di Akka. Perjanjian damai ini akan berakhir apabila peperangan menentang Tatar selesai. Langkah ini diambil oleh Qutuz di atas beberapa pertimbangan:
a. Memerangi tentera Salib dan tentera Tatar serentak akan menghilangkan tumpuan tentera Islam dan melemahkan mereka.
b. Tatar adalah masalah utama ketika itu
Qutuz menghantar utusannya untuk menawarkan perjanjian damai. Beberapa syarat diberikan oleh Qutuz kepada tentera Salib yang menunjukkan bahawa Islam sebenarnya berada di posisi kuat ketika melakukan perjanjian dan bukan di posisi lemah. Ia tidak boleh disamakan dengan perjanjian yang berlaku di antara sebahagian pihak yang mewakili Palestin sekarang dengan Yahudi penjajah.
Wakil Qutuz menawarkan kepada penduduk Akka keamanan. Mereka juga menawarkan akan menjual kuda-kuda tentera Tatar dengan harga yang murah kepada penduduk Akka jika mereka berjaya menjatuhkan Tatar. Tawaran ini amat menarik bagi penduduk Akka yang sememangnya kekurangan kuda. Kuda-kuda Tatar terkenal di zaman itu sebagai kuda yang kuat.
Tetapi di masa yang sama, wakil Qutuz mengenakan syarat bahawa Akka perlu memberikan bantuan makanan dan apa-apa yang diperlukan oleh tentera Islam sepanjang mereka berada di Palestin. Wakil Qutuz juga memberikan amaran keras kepada tentera Salib di Akka bahawa jika berlaku sebarang pengkhianatan di pihak tentera Salib, tentera Islam akan meninggalkan peperangan melawan Tatar dan menumpukan sepenuh tenaga mereka kepada tentera Salib sehingga Akka berjaya dibebaskan.
Di pihak tentera Salib, mereka sebenarnya tidak mempunyai pilihan yang lebih baik dari menerima tawaran tersebut. Menolak tawaran perjanjian damai akan menaikkan kemarahan tentera Islam dan kemungkinan akan membawa kepada kejatuhan Akka. Dengan itu Akka dengan segera menerima perjanjian damai sementara itu.
Laluan Qutuz dan tentera Islam ke Palestin untuk berhadapan dengan Tatar kini terbuka.

Pembersihan Saff Muslimin

Kini peperangan benar-benar berada di ambang mata. Ia benar-benar akan berlaku. Kejutan berlaku kepada sebahagian tentera yang pada awalnya menyangka bahawa usaha Qutuz tersebut hanyalah kempen menaikkan semangat. Ketakutan menyelubungi mereka kerana Tatar adalah kekuatan gila yang tidak pernah dikalahkan. Tentera Salib tidak segila itu. Bahkan pada zaman itu meniti dari mulut ke mulut satu mitos yang diterima oleh semua orang pada masa itu ‘jika kamu mendengar Tatar dikalahkan, jangan percaya’.
Mereka lari meninggalkan tentera Islam. Sebahagiannya lari ke bumi Hijaz. Ada yang lari ke Yaman. Ada juga yang lari jauh sehingga ke Morocco. Hasil dari itu tentera Islam benar-benar bersih dari jiwa-jiwa yang kotor. Yang turut berperang adalah mereka yang benar-benar jelas matlamatnya, kuat dan berani menanggung segala risiko. Mereka bersedia untuk syahid di jalan Allah.
Soff muslimin berada di kemuncak persiapan. Segala-galanya telah disiapkan oleh Qutuz, Raja yang menyerahkan kehidupannya untuk agama Allah. Usaha yang bermula dari Zulkaedah 657 H sehingga ke Sya’ban 658 H itu (tidak sampai 10 bulan) telah benar-benar membuahkan hasilnya.
Kini tentera Islam sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi Tatar.

Sya’ban 658 H: Ke Bumi Palestin Untuk Menumbangkan Tatar


 
Pergerakan tentera Islam bermula pada bulan Sya’ban 658 H. Ia bersamaan bulan Julai 1260 M. Bulan Julai adalah musim panas. Merentasi padang pasir di dalam musim panas bukanlah suatu yang mudah. Ditambah pula mereka akan menghampiri bulan Ramadhan. Tetapi Qutuz tidak menangguhkan langsung operasi tersebut.
Tentera Islam dilatih di Kaherah, Asyut, Iskandariah dan Dimyat. Daripada kem-kem latihan tersebut mereka berkumpul di Solehiah yang terletak di Syarqiah, Mesir sekarang ini. Dari situ mereka bergerak ke sebelah timur dan kemudian naik ke utara menuju ke Arisyh. Itulah bandar pertama mereka berteduh setelah merentasi padang pasir dari Solehiah. Dari Arisyh mereka menuju ke Gaza yang berada di bawah penguasaan Tatar.
Qutuz telah membagikan tenteranya kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama agak kecil jika dibandingkan dengan kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini diketuai oleh panglima Islam yang hebat, Ruknuddin Baibras. Kumpulan ini berjalan terpisah agak jauh dari kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini berjalan menzahirkan dirinya manakala kumpulan kedua berjalan dengan perlahan dan menyembunyikan diri. Ini adalah antara taktik perang yang dilakukan oleh Qutuz untuk mengelabui mata musuh agar musuh silap di dalam menghitung kekuatan tentera Islam.

Kemenangan di Gaza

Pada 26 Julai 1260 M, Baibras sudah berjaya melepasi sempadan Mesir - Palestin. Dia berjaya melepasi Rafah, Khan Yunus dan Dir Balah. Kini dia berada terlalu hampir dengan bandar Gaza.
Perisikan Tatar berjaya mengesan kemaraan tentera Baibras. Mereka menyangka bahawa pasukan itu adalah keseluruhan tentera Islam tanpa mengetahui tentang kewujudan pasukan kedua tentera Islam yang berada jauh dari Gaza. Berita tersebut sampai kepada tentera Tatar. Ketika itu tentera utama Tatar di bawah pimpinan Katabgha masih lagi jauh dari Gaza. Mereka berada di bumi Lubnan, 300 kilometer dari Gaza. Dengan itu mereka menghantar satu pasukan yang tidak begitu besar untuk menghadapi tentera Islam.
Berlakulah pertembungan di antara dua pasukan tersebut. Kali pertama setelah puluhan tahun, tentera Islam menang di dalam pertembungan melawan Tatar. Terbunuh di dalam peperangan tersebut sebahagian tentera Tatar. Tentera yang terselamat melarikan diri menyampaikan berita tersebut kepada Katabgha.
Marah bercampur terkejut. Itulah reaksi Katabgha dan tentera Tatar ketika mendengar berita kekalahan mereka. Sebelum ini mereka sudah terbiasa membunuh orang Islam tanpa mendapat tentangan sengit. Mereka juga sudah terbiasa dengan beberapa Raja Islam yang menghinakan diri memohon perdamaian dari mereka. Di luar jangkaan mereka, masih ada lagi tentera Islam yang berani melawan mereka dan mampu mengalahkan mereka. Ini adalah pengalaman baru bagi Tatar.
Di pihak tentera Islam, kemenangan itu menaikkan semangat mereka untuk terus berjihad. Mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya mereka akan terus ke hadapan sehingga ke kehancuran Tatar.
Tentera Islam terus bergerak dari Gaza melepasi Asqalan dan Yafa. Dari situ mereka singgah sebentar di Akka dan berjumpa dengan pimpinan tentera Salib di Akka untuk memastikan perjanjian masih lagi dipatuhi oleh mereka.
Seterusnya Qutuz dan tentera Islam bergerak meninggalkan Akka menuju ke Ain Jalut. Di manakah Ain Jalut?
Ain Jalut terletak tidak jauh dari perkhemahan Janin sekarang ini. Ia terletak di antara bandar Bisan dan Nablus. Ia terletak 65 kilometer dari Hittin, medan peperangan Hittin yang berlaku pada tahun 583 H. Ia terletak 6o kilometer dari Yarmuk, medan peperangan Yarmuk yang berlaku enam kurun sebelumnya. Kedudukannya banyak mengembalikan memori tentera Islam kepada kemenangan tentera Islam sebelum itu.
Ia dipilih kerana ia adalah kawasan lapang yang luas dan dikelilingi oleh bukit kecuali di bahagian utaranya. Bukit-bukit tersebut dipenuhi pokok-pokok yang memudahkan tentera Islam untuk bersembunyi. Satu pasukan kecil di bawah pimpinan Baibras diletakkan di bahagian utara sementara tentera yang lain bersembunyi di sebalik pokok.
Semua berada dalam keadaan bersedia menanti kedatangan Katabgha dan tentera Tatar.

24 Ramadhan 658 H

Ketika Qutuz dan tentera Islam sudah pun berada di bumi Ain Jalut, datang sejumlah sukarelawan dari Palestin. Sebelum ini mereka menyembunyikan diri dari medan peperangan. Kesungguhan Qutuz dan qudwah yang ditunjukkan oleh beliau telah menghilangkan ketakutan mereka.
Di samping itu, medan Ain Jalut juga mula dipenuhi dengan petani-petani, kanak-kanak dan wanita. Sebahagiannya ada yang telah tua dan uzur. Kesemuanya keluar untuk memberikan bantuan dalam bentuk yang mereka mampu. Qutuz benar-benar berjaya menggerakkan umat Islam kembali ke medan jihad.
Di hari yang sama, datang seorang utusan kepada tentera Islam dan memohon untuk bertemu dengan Qutuz. Dia memperkenalkan dirinya sebagai wakil Sorimuddin Aibak, seorang muslim yang dijadikan tawanan Tatar dan dipaksa berkhidmat untuk tentera Tatar. Wakil tersebut berkata bahawa dia membawa beberapa pesanan dari Sorimuddin Aibak untuk disampaikan kepada Qutuz.
Pesanan tersebut adalah beberapa maklumat penting untuk tentera Islam:
a. Tentera Tatar tidak lagi sekuat sebelum ini. Holago telah membawa sebahagian tentera dan panglima perangnya ke Tibriz, Iran. Kekuatan mereka tidak lagi sekuat ketika mereka menakluk Syam.
b. Bahagian kanan tentera Tatar lebih kuat dari bahagian kiri mereka. Dengan itu tentera Islam hendaklah menguatkan bahagian kiri mereka untuk menghadapi bahagian kanan tersebut.
c. Asyraf al-Ayubi, Raja Hims yang sekarang ini bersama tentera Tatar ingin kembali ke pangkuan tentera Islam. Mereka akan melakukan tipu helah agar tentera Tatar yang bersama mereka dapat dikalahkan.
Maklumat ini diterima oleh Qutuz dengan penuh hati-hati, bimbang jika sekiranya ia adalah sebahagian dari taktik dan tipu daya Tatar.
Semua ini berlaku pada siang 24 Ramadhan 658 H di Ain Jalut.
Pada malamnya Qutuz dan tentera Islam melakukan tahajud dan memohon dari Allah kemenangan tentera Islam dalam pertempuran esok hari. Malam itu adalah malam 25 Ramadhan dan kemungkinan ia adalah malam Lailatul Qadar. Mereka menghabiskan malam mereka dengan tahajud dan doa serta menyerahkan diri kepada Allah. Moga-moga Allah menerima mereka sebagai hambaNya dan memberikan kemuliaan kemenangan atau syahid di medan pertempuran esok hari.
Moga-moga esok adalah hari di mana mereka boleh menebus semula kematian jutaan umat Islam di tangan Tatar.
Fajar menyinsing tiba. Hari yang dinantikan oleh tentera Islam dan muslimin yang bersama dengan mereka sudah menjelma. Hari itu adalah hari Jumaat 25 Ramadhan 658 H.
Tentera Tatar di bawah pimpinan Katabgha tiba dari arah utara. Tentera Islam bersembunyi di sebalik pokok-pokok. Pasukan kecil di bawah Baibras yang pada asalnya berjaga di sebelah utara dan menzahirkan diri juga menyembunyikan diri mereka ketika tentera Tatar tiba.
Qutuz memberikan arahan agar tentera Islam keluar menzahirkan diri secara berperingkat, satu katibah demi satu katibah.
Ketika katibah pertama turun dari bukit dan menghampiri tentera Tatar, Katabgha dan tentera Tatar menjerit ketakutan. Katibah ini turun dengan memakai pakaian berbelang putih dan merah. Keseluruhan peralatan senjata mereka dihias cantik. Mereka turun dalam keadaan tersusun. Pergerakan mereka sama dan seimbang.
Katabgha bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab: “Inilah katibah Sanqar ar-Rumi.”
Kemudian turun pula katibah kedua. Katibah ini memakai pakaian berwarna kuning dan membawa senjata yang berhias indah. Mereka juga turun dalam keadaan tersusun, pergerakan yang sama dan seimbang.
Katabgha bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab: “Inilah katibah Balban ar-Rasyidi.”
Kemudian turun pula katibah seterusnya dengan memakai pakaian berwarna lain. Setiap kali katibah baru turun, Katabgha akan bertanya kepada Sorimuddin: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin yang tidak mengetahui keseluruhan nama-nama katibah Mamalik mula mereka-reka nama tertentu untuk menambahkan ketakutan Katabgha.
Tentera Mamalik terpecah kepada banyak katibah. Setiap katibah akan memakai warna tertentu yang membezakannya dengan katibah lain. Kuda mereka akan dihias dengan warna yang sama. Begitu dengan senjata, khemah dan bahkan rumah-rumah mereka di Mesir. Semuanya akan diwarnakan dengan warna katibah masing-masing.
Semua katibah ini adalah sebahagian tentera Islam yang dipimpin oleh Baibras. Baki tentera yang masih lagi ramai menyembunyikan diri bersama Qutuz.
Gendang mula dimainkan oleh pasukan gendang tentera Islam. Sudah menjadi kebiasaan tentera Mamalik, mereka akan meletakkan satu pasukan gendang di medan perang. Mereka memainkan rentak yang akan memberikan isyarat tertentu kepada tentera Mamalik.Isyarat tersebut hanya mampu difahami oleh tentera Mamalik. Setiap pergerakan tentera akan ditentukan oleh gendang tersebut.
Pasukan Baibras sudah berada hampir dengan tentera Katabgha. Peperangan sudah semakin hampir.

Serangan Pertama: Bermula Peperangan

Bermulalah pertempuran. Katabgha yang menyangka bahawa pasukan Baibras yang kecil itu adalah keseluruhan tentera Islam telah mengarahkan keseluruhan tenteranya untuk masuk ke medan pertempuran. Mereka menyerbu masuk dengan jerit pekik yang kuat.
Baibras dan tenteranya berdiri tenang di tempat masing-masing menantikan kemaraan tentera Tatar yang berjumlah berkali ganda dari bilangan pasukan mereka. Apabila tentera Tatar sudah hampir kepada mereka, Baibras memberikan isyarat kepada tenteranya untuk merempuh ke depan.
Pedang bertemu pedang, gendang dipalu bertambah kuat berselang seli memberikan arahan dengan takbir dari petani-petani yang berada di atas bukit. Darah mula mengalir. Satu demi satu nyawa melayang. Walau pun begitu, Baibras dengan bilangan tentera yang sedikit mampu bertahan sehingga ke saat itu. Ketakutan mula meresap masuk ke dalam diri tentera Tatar. Belum pernah mereka menghadapi kekuatan sedemikian.
Pemilihan Qutuz sememangnya tepat. Panglima-panglima perang yang dipilih untuk bertembung di peringkat awal dengan Tatar dan menghabiskan tenaga Tatar adalah panglima perang Mamalik terbaik. Mereka adalah panglima yang terlibat sekali di dalam mengukir kemenangan di dalam peperangan Mansurah menentang tentera Salib pimpinan Louis IX. Mereka memiliki kemahiran perang yang tinggi.
Qutuz dan baki tentera masih lagi menanti di sebalik tempat persembunyian mereka menyaksikan peperangan tersebut dan menunggu waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua.
Serangan Kedua: Mengepung Tentera Tatar
Masanya sudah tiba untuk Qutuz memberikan arahan baru. Arahan seterusnya adalah agar Baibras dan tenteranya berundur secara seimbang dan berpura-pura lemah. Taktik ini adalah taktik yang sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan Nahawand ketika tentera Islam di zaman Saidina Omar r.a. membuka Parsi. Taktik ini digunakan untuk menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah medan peperangan dan mengepung mereka di situ. Sebagaimana yang kita ketahui medan Ain Jalut berbukit di seluruh kawasannya kecuali di bahagian utara. Kepungan itu agak mudah untuk dilakukan jika sekiranya Baibras berjaya menarik tentera Tatar ke tengah medan.
Ia bukanlah taktik yang mudah. Ia memerlukan satu perkiraan yang tepat. Terlalu cepat akan menyebabkan musuh menyedari taktik tersebut. Terlalu lambat akan menyebabkan kematian tentera Islam.
Qutuz memberikan arahan kepada pasukan gendang untuk memberikan arahan baru ini. Baibras memahami rentak gendang tersebut. Tanpa berlengah dia dan tenteranya mula berundur ke belakang sedkiit demi sedikit dengan penuh hati-hati. Mereka berpura-pura menzahirkan keletihan dan kelemahan mereka.
Katabgha tertipu. Dia mengarahkan seluruh tenteranya untuk masuk ke dalam medan perang tanpa menyedari taktik tersebut. Ini adalah satu yang cukup pelik berlaku kepada beliau. Katabgha adalah panglima perang Tatar yang mahir. Menjadi panglima perang sejak zaman Genghis Khan. Ketika peperangan Ain Jalut, beliau berusia lebih 60 tahun atau mungkin lebih 70 tahun. Satu usia yang memberikan pengalaman yang tidak sedikit berkenaan taktik-taktik perang di zaman itu. Tetapi Allah mengatur segala-galanya.
Taktik ini berjaya. Tentera Tatar telah berada dalam kepungan. Pada ketika baki tentera Islam muncul, Katabgha menyedari kesilapannya. Di sini tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali terus berperang mati-matian. Mereka nampak kematian semakin menghampiri mereka.

Serangan Ketiga: Kekuatan Bahagian Kanan Tatar

Katabgha memberikan arahan agar semua tenteranya berjuang mati-matian. Mereka seolah-olah mengamuk dan mengasak tentera Islam. Di sini terbukti kebenaran apa yang dikatakan oleh wakil Sorimuddin Aibak berkenaan kekuatan bahagian kanan tentera Tatar. Bahagian kiri tentera Islam telah diasak dengan dahsyat oleh mereka. Gugur di kalangan tentera Islam seorang demi seorang sebagai syahid.
Qutuz yang melihat dari atas bukit merasai kesukaran yang dihadapi oleh tentera Islam. Langkah yang diambil oleh beliau amat menakjubkan. Beliau mencampakkan topi besinya lalu melaungkan ‘wa Islaaamah’. Laungan ini diucapkan oleh beliau sambil beliau turun ke medan perang dengan menunggang kudanya. Langkah ini diambil oleh Qutuz untuk menaikkan semangat tentera Islam.
Tentera Tatar terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz memerangi mereka dengan penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung sayangkan nyawanya. Beberapa libasan pedang dan tombak hampir menemui beliau. Kudanya berjaya ditikam mati oleh tentera Tatar menyebabkan beliau terjatuh. Pun begitu beliau meneruskan jihadnya dengan berjalan kaki sehinggalah beliau berjaya mendapatkan kuda bantuan.
Seorang pembesar istana menjerit dan mencelanya kerana lambat menaiki kuda. Beliau bimbangkan Qutuz terbunuh lalu dengan itu akan kalahlah tentera Islam. Tetapi Qutuz menjawab: “Ada pun diriku, sesungguhnya ia sedang menuju surga. Ada pun Islam, ia mempunyai Tuhan yang tidak akan membiarkannya.”
Tentera Islam bertambah semangat dengan turunnya Qutuz ke medan perang.

Kematian Katabgha

Dibunuh oleh Jamaludin Aqusy as-Syams. Beliau adalah salah seorang panglima perang Mamalik. Pernah berada di bawah Raja Nasir al-Ayyubi. Kemudian beliau meninggalkannya setelah melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh Raja Nasir al-Ayyubi.
Beliau merempuh tentera Tatar sehingga berjaya masuk ke tengah-tengah tentera tersebut. Di situ beliau melihat Katabgha. Jamaluddin tidak menunggu lama. Beliau mengumpulkan seluruh tenaganya dan melibas pedangnya ke arah leher Katabgha. Kepala Katabgha berpisah dari badan dan tercampak ke tengah medan perang di hadapan tentera Tatar.
Ketakutan makin meningkat melihat kematian Katabgha di hadapan mata mereka. Tentera Tatar mula melarikan diri melalui bahagian utara Ain Jalut. Tentera Islam mengejar mereka.

Pertembungan Akhir di Bisan dan Berakhirnya Kekuatan Tatar

Tentera Tatar berjaya memecahkan kepungan tentera Islam. Mereka melarikan diri sejauh 20 kilometer dan berhenti di Bisan. Tentera Islam terus mengejar mereka.
Berlaku pertembungan yang lebih sengit. Kali ini tentera Tatar benar-benar menggila untuk memastikan mereka terus hidup. Qutuz berada di tengah-tengah medan peperangan memberikan semangat kepada tentera Islam. Beliau melaungkan: “Wa Islaamah. Wa Islaamah. Wa Islaamah. Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk menghancurkan Tatar.”
Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Mereka berjaya menamatkan mitos bahawa Tatar tidak akan dikalahkan bila-bila.
Medan peperangan kembali sunyi. Tidak ada lagi bunyi gendang. Tidak ada lagi jeritan Tatar. Tidak ada lagi takbir para petani. Tidak ada lagi bunyi libasan pedang. Mayat-mayat tentera Tatar mati bergelimpangan dalam bentuk yang mengerikan. Qutuz berjalan di tengah medan perang yang sudah sunyi melihat hasil peperangan selama sehari di bulan Ramadhan.

Kesudahan Yang Baik Buat Raja Yang Hebat

Qutuz sujud ke bumi mensyukuri kemenangan tersebut. Beliau dan tenteranya berjaya membunuh kesemua tentera Tatar. Ya! Kesemuanya. Tidak ada seorang pun dari tentera Tatar yang berjaya melepaskan diri mereka hidup-hidup. Semuanya mati dibunuh oleh tentera Islam di dalam peperangan yang cukup hebat ini.
Maruah umat Islam berjaya dikembalikan. Kematian jutaan umat Islam berjaya dibalas oleh Qutuz. Sememangnya beliau seorang pemimpin hebat yang berjaya mencipta satu sejarah untuk dibanggakan oleh umat Islam sepanjang zaman. 10 bulan sudah cukup bagi Qutuz untuk menjatuhkan Tatar yang bermaharajalela di bumi Islam selama lebih 40 tahun.