Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Makcikku Timah Al-battul

September 9, 2019

Satu Subuh
usai solat fardhunya
ingatanku terpanggil
mengenang seorang makcikku
adik arwah bapaku

lebih 18 tahun yang lalu
dia berpulang sebelum bapaku
selepas berpulangnya datukku
dia seorang battul!

Tiada anak buatnya
menadah tangan mohon keampunan
tiada zuriat mengirinkan  doa

Ya rabbi....
Allahummaghfirlaha...
warhamha...wa'afiha...wa'fu anha...

Hari ini dalam Sejarah

April 5, 2018

Catatan ini aku namakan...
Hari ini dalam sejarah
Tanggal 5 April 2018, bagi mengenang peristiwa, hanya aku dan mereka yang ada pada hari itu di sebuah Sekolah bernama Sungai Seluang sahaja yang mengerti dan memahaminya.
Ia menjadi peristiwa bersejarah, walaupun sejarahnya tidak sebesar Tragedi di Sabra dan Shatila. Atau sekurang-kurangnya seperti tumbangnya sebuah kerajaan yang memerintah Kedah.


Inilah sebuah pantuh mengenainya...


Bulat air kerana pembentung
bulat guru kerana muwafakat
Kita mengadu nasib dan untung
Mencari jalan melaksana hajat.


Menggendong hajat ke Sungai Petani
Demi sahabat sederap langkah
Jika ada kehendak Ilahi
Rancangan manusia tersungkur rebah.

Biar jadi kenangan bersejarah
Bahawa kita pernah sepakat.
Setelah berusaha kita berserah
Sambil berdoa memohon inayat.

Kita bukan orang gasar
merempuh pagar menyongsang susila
Kita mengambil jalan sabar
tidak terpaku tetapi berusaha.

Sekian
Ust Kama.

Mengenang Sultan Yang Mangkat

September 13, 2017

Telah mangkat Sultan kami
dialah Sultan dalam negeri
di dalam lagu sering dinyanyi
berkumandang semasa perhimpunan pagi.

Allah selamatkan Sultan Mahkota
berpanjangan usia di atas tahta
memelihara ugama nabi kita
negeri Kedah serata-rata.

Seluruh negeri dizahir sugul
rakyat jelata kehilangan tajul
tempat memusat perbezaan qaul
di kala khilaf melampau bendul.

Sultan bersemayam di Anak Bukit
hujung hayatnya jatuh sakit
umurnya tua tersurat di langit
lamanya bertahta sampai bercicit.

Akhirnya mangkat sultan Mu'azzam
demikianlah suratan pemilik kalam
kun fayakun memintas maqam
di atas sultan ada Zuljalali Wal Ikram.

Maqam diraja di pekan Langgar
tempat bersemadi kerabat bergelar
para pewaris pusaka cokmar
dalam kawasan berpagar mar-mar.

Telah pun mati ramai Sultan
rakyat berduka menanggung kesedihan
demikianlah adat zaman berzaman
telah menjadi resam kebiasaan.

Negeri berkabung tujuh siang
bendera berkibar separuh tiang
alunan Quran sentiasa berkumandang
dalam TV malam dan siang.

Selepas seminggu bersilih hari
kehidupan pun menjadi kembali lestari
bendera pun kembali dikibar tinggi
Sultan baru disebut ganti.

Patah Tajul Mahkota Negeri
adat instiadat sedia menanti
telah ada Sultan pengganti
tidaklah kosong singgahsana sehari.

pemerintahan negeri tidak terhenti
yang berlari tetap berlari
tetap tegak istana puri
tetap bersambung kerabat syahperi.

Telah bersabda baginda nabi
benda hilang tidak berganti
bila mati ulama wali
mati bersama hikmah bestari.

Mati raja segera berganti
tengku mahkota sedia menanti
pangkat Sultan lalu diberi
dapat giliran memimpin negeri.

Rakyat jelata berduka sehari
bahasa duka cuma puisi
hilang durja kembali berseri
riwayat marhum dibuat galeri.

Tidaklah kekal pangkat nan tinggi
sekalipun sultan dijunjung duli
bila ajal menyapa diri
disambar keluar istana puri.

Sungguhlah hidup pinjaman cuma
nikmatnya singkat ramai terleka
ketika hidup menyemai loba
bekalan akhirat dia terlupa.

Mangkatnya sultan jadikan iktibar
bahawa hidup tidaklah qorar
kuasa tidak mampu menukar
apa tertulis Qoda dan Qodar.

Jika sultan bergalang tanah
rakyat biasa usahlah megah
carilah redha di sisi Allah
jadilah raja di dalam jannah.

Pantun: Bukan Sebar Semua

October 10, 2015

Kalau ada padi sekantung
Jangan ditebar seluruh bendang
Kalau ada Ilmu segayung
Jangan diajar habis kontang.


Sarang tempua di dahan mati
Hinggap enggang di pohon berangan.
Bukan semua senandung hati
perlu didendang buat nyanyian.

Sekutil nasihat buat yang berlidah.

February 26, 2015

Nenek moyang telah berpesan
Kerana pulut binasanya santan
Kerana mulut celakanya badan
Mengapa cucu tak ambil ingatan?

Siapa banyak tutur bicaranya
banyaklah berlaku silap salahnya
banyak salah jenuhlah dosanya
jenuh dosa, nerakalah balasannya.

Lidah siapa rajin bicara?
sekalipun mengajar ilmu agama
jangan bercakap ikut suka
telajak lidah hati terluka.

Antara sekian banyak manusia
Para ulama diperhati katanya
hendaklah lidah sentiasa dipelihara
kerana lidah binasalah empunya

Mengenang almarhum Ust Fadzil Noor

December 30, 2014


Ketika dia berpencak bestari
di pentas politik pertiwi
dipanggil kembali
kami sukar cari ganti.

Ketika ini
aku baru mengerti
betapa rugi
kehilangan orang bestari
sepertinya sukar ditemui.

Buah pencaknya bestari
yang ditanamnya
kita makan kita nikmati
beberapa musim silih berganti
sehingga kini
mula tandus kemarau
buah kurang menjadi
yang ada pahit sekali.

أثل خمط وشيء من سدر قليل

Maafkan aku
kerana mengenang yang lepas
saat kita mula mengunyah kepahitan
bertanya bingung
tentang erti sebuah kebestarian
di sebuah pentas warisan
bernama politik gerakan Islam.

Kebun Saba' yang subur
Kini mula gersang tandus

Bestari makin hilang
diganti ananiyyah dan kepongahan
tuding kemarahan berbaur prasangka
kian merajalela
kabus dunggu
menyerkup.

Aku teringat
almarhum Ust Fadzil Noor
yang berpencak bestari
sehingga kita bergerak lestari
dua penggal berganti.

BULAN OH BULAN

April 27, 2013


Bulan terang di malam purnama
pungguk berlagu sayu merindu
bulan lambang terang cahaya
Kenapa nyiru dibuat lampu

Orang menghitung bilangan hari
dari bulan mencecah tahun
mana untung mana rugi
hari bulan diramal susun.

Tiba Ramadhan bulan agung
ke tempat tinggi meninjau mega
anak bulan lalu diteropong
mencari hari Ramadhan bermula.

Hari raya menjelang tiba
bulan juga jadi timbangan
supaya sempurna hari berpuasa
tidak diguna kati warisan.

Perempuan dilanda uzur syar'i
dikata orang datang bulan
masjid di bina dalam negeri
kubah berbintang dihias bulan.

Roket dibina harga berjuta
buat menjelajah mendarat di bulan
kenduri kendara kuih aneka
turut ditempah kuih bulan.

Mata celek menatap langit
malam hari mencari bulan
sungguh molek untuk dicatit
Roket menuju bulan di awan.

bulan dan manusia sudah lama
sejak berzaman sering bersama
nyanyi seloka di bawah purnama
kepada bulan hati bergulana.

Kalau sudah demikian adanya
mengapa bulan bukan pilihan
mengapa resah masih bertanya
tetaplah teguh tangan menanda.

GURINDAM:Buatlah Pilihan

Jika anda tinggi pelajaran
baru jumpa mencari jalan.

Baru mampu menentu pilihan
mana satu gerombolan ikutan.

Antara barisan juga pakatan
mana medan orang budiman.

Jalan mana banyak ulama?
itulah dia pilihan utama.

Mana kumpulan orang durja?
orang mulia jangan bersama.

Ke mana mengalir para cendikia?
di sanalah zahir jalan bercahaya.

di mana berkumpul manusia bejat
itulah simbol gerombolan maksiat.

di mana tempat orang berjaya?
di sana kuat Pakatan berkuasa.

di mana orang senang berharta?
di sana orang susah diperdaya.

Nun jauh di ulu desa
masih jenuh rakyat buta

Di sana jahil menyerkup warga
masih terkabil di takuk lama.

Gerombolan mana jika berkumpul
melompat terkenja bergoyang inul?

Gerombolan mana jika berhimpun
menjaga budaya melayu serumpun?

Para pemimpin mencegah maksiat
pendokong rajin menegak solat!

Jika di dunia berteman syaitan
di akhirat sana menjadi teman.

Jika di dunia berwali ulama
nanti di syurga bersama mereka.

NEGARA BANKRAP

October 14, 2012

Mana satu negara dunia
jatuh bankrap kerana bantu rakyat jelata?
kerana berikan pendidikan percuma,
kerana turunkan harga
barang keperluan utama

Negara kita kaya raya
dalam bumi terbit minyak
permukaannya subur tumbuhan melata
rimba sawit dan juga tanah balak
limpahan makmur tidak terkata

Itulah kurnia Tuhan semesta
bukan kerana bijaknya penguasa
tak perlu mendabik dada
konon pandai mengurus negara

Kalau ada sikaya berjuta
beristana syuga di puncak maya
sedang rakyat hidup melarat
berumah usang di tanah menumpang
itu tanda negara tempang
harta negara dikaut ke gudang
buat si kaya makan seorang
si miskin mengutip yang terbuang.

Negara bankrap bencana Tuhan
untuk penguasa tidak berbudi
setelah diberi nikmat  limpahan
kufur kepada tuntutan ilahi

Sumber razeki pelbagai lapangan
habis dipagari dengan halangan
rumput panjang dalam pagar
rakyat meragut dari luar.
mereka makan dalam kepuk
lebihan ditabur rakyat mematuk

Khazanah negara hak bersama
jangan dibuat milik sendiri
jika hilang berkat Tuhan
tanah subur jadi kontang
negara tropika jadi sahara
minyak hilang dari bumi
ternakan dipelihara penyakit melanda
kontrak diberi nilainya juta
projek dilaksana tidak seberapa
lahir manusia temboloknya sahaja dibela
orang lain peduli apa
penguasa derhaka rakyat hina
hidup hanya mengejar dunia.

Negara bankrap kerana khianat
negara bankrap kerana rasuah
negara bankrap kerana tamak
negara bankrap kerana boros
bukan kerana bantu rakyat
bantu rakyat bawa berkat
negara berkat akan selamat
dikasihi Allah juga malaikat.

SUNGGUH MULIA BUDIMU TUAN

October 5, 2012

Sunguh mulia budimu tuan,
Untuk kami orang bawahan,
RM500  tuan taburkan,
Wang kami tuan sedekahkan,

Tuan berikan kami hanya secubit,
Duit sekupang dikata seringgit,
Duit seringgit dipuji melangit,
sambil menghulur mata mengenyit,

Mulia budi tuan bangsawan,
Sekupang untuk kami rakyat bawahan,
Emas seguni tuan taruhkan,
tak habis makan tujuh keturunan.

Puji tuan berjiwa rakyat,
Buruh petani hidup melarat
Tuan membela mengaku sahabat
kepala digosok punggung disebat,

Kami dapat wang saku
Baru dapat tuan sapu
Buat membeli gula sebuku
Habis diguna belum seminggu

Tuan dapat emas tempawan
kemerlip permata juga intan
serta mutiara dasar lautan
Tahi tuan jadi jualan.

Sungguh mulia budimu tuan,
hutang kami  jadi tuntutan,
Hutang korporat tuan maafkan,
Sekupang dituntut sejuta diabaikan.

Di mata tuan siapalah kami
Kami layak berumah merpati
Rumah tuan tidak terperi
Luas menjangkau separuh negeri.

Sungguh baik budi tuan
Tuan muncul musim mengawan
Menabur janji bawa pembangunan
50 tahun begitulah keadaan.

Waktu kami minta bantuan
Tuan berjalan dongak ke awan
Kala tuan di hujung kekuasaan
Kami menjadi sembahan tuan.

Sungguh lembut bicara tuan
Tawadhuk diri mengaku syaitan
Apa sahaja sanggup lakukan
Demi diberi hayat kekuasaan.

Kuasa itu putaran roda,
Sampailah masa bertukar mahkota
raja bukan selamanya bertahta
kini masa hamba berkuasa

Raja rakyat hanyalah nama
bila berkuasa seorang hamba
berilah nama sebagai raja
raja pula namakan hamba.

Miskinlah sudah budi tuan,
Tuan memberi air minuman
kini dilihat sebagai kumbahan
Belanjawan tidak menjemput senyuman.

Onar noda banyak sekali
Tuan bersaudara tidak berbudi
Amanah rakyat banyak dikhianati
Marhaen mengais mencari razeki.

Sayang sekali dataran permata
Rakyat mengais merata-rata
Hanya kerikil yang dijumpa
Tuan bersaudara kebas semua.

Sungguh baik budi tuan,
Seperti budi kera di hutan
Dusun dijaga buah dimakan
Dahan patah buat bergayutan.

Balada Negara Merdeka

August 19, 2011

Beratus tahun negaraku dijajah
Maruah bangsa habis dijarah
Hasil bumi habis dipunggah
Buat membagunkan negara Eropah.

Telah mengalir air mata
Nenek dan Moyang sebelum kita
Mengenang diri dalam hina
Di bumi sendiri tiada kuasa.

Wahai anak negara bertuah
Kenanglah segala penat dan susah
Merdeka negara bukannya mudah
Banyak darah telah tumpah

Sejak Melaka dijajah Pertugis
Bangsa kita dilayan bengis
Hilang harga Melayu dan Bugis
Hanya dianggap kertas secebis

Telah bangkit pejuang bersilih
Kesenangan hidup mereka sisih
Rela sakit dalam merintih
Demi maruah kembali pulih

Setelah negeri kita merdeka
Kini masanya ramai yang leka
Telepas dari penjajah celaka
Dijajah pula syaitan derhaka

Generasi merdeka lupa diri
Budaya Barat dijunjung tinggi
Nilai Timur di telapak kaki
Hidup gemar menari-menari.

Penyanyi Barat lebih dikenali
Lebih dari kenal nabi
Tidak kenal pejuang pertiwi
Bintang bola lebih dihargai.

Sambut Merdeka dengan maksiat
Bekasih asmara dalam zulmat
kononnya sempena hari keramat
Lupalah sudah hari kiamat.

Merdeka dikait dengan raya
Seronak suka hiburan segala
Demikianlah diajar sekian lama
Sambutan dibuat menyemai alpa.

Bila perjuangan bersulam susah
Demi merdekakan tanah bertuah
dipintas oleh bangsawan mewah
beroleh merdeka dengan musyawarah.

Kisah merdeka disulam cerita
Pejuang silam lalu dilupa
Peluh dan darah bukan harga
Akal diplomasi jadi gantinya.

Tiada nama Datuk Bahaman
Tok Janggut tiada dalam bahagian
Bukan termasuk pejuang kemerdekaan
Maharaja Lela penderhaka kerajaan.

Hizbul Muslimin disebut jangan
Tokoh pejuang bukan sehaluan
Mereka bukan dalam catatan
Sejarah palsu kisah kemerdekaan.


Pejuang sebenar tidak bernama
dalam dunia sering dilupa
Pengorbanan diri tidak diharga
Biarlah di akhirat dibalas syurga.

Syair Arab: Umpatan yang diharuskan

May 14, 2011


الذم ليـس بغيبـة في ستـة متظلـم ومعـرف ومحـذر

 ولمظهر فسقا ًومستفت ومن طلب الإعانة في إزالة منكر

 Celaan itu bukanlah satu umpatan dalam enam keadaan: Kepada orang yang berbuat zalim, kepada yang sudah dikenali dengan gelarannya dan supaya dapat memberi awas kepada orang lain dari bahayanya.

Supaya mendedahkan kefasikan, meminta fatwa dan orang yang meminta pertolongan menghilangkan

kemungkaran.


Merantaulah: Kata Imam Syafie

September 26, 2010

ما في المقامِ لذي عقلٍ وذي أدبِ مِنْ رَاحَة ٍ فَدعِ الأَوْطَانَ واغْتَرِبِ

سافر تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ وَانْصِبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ

إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ

والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب

والشمس لو وقفت في الفلكِ دائمة ً لَمَلَّهَا النَّاسُ مِنْ عُجْمٍ وَمِنَ عَرَبِ

والتَّبْرَ كالتُّرْبَ مُلْقَى ً في أَمَاكِنِهِ والعودُ في أرضه نوعً من الحطب

فإن تغرَّب هذا عزَّ مطلبهُ وإنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهَبِ

Menetap di tempat sendiri  bukan hal yang menyenangkan bagi mereka  yang berakal dan memilik tatakerama mulia maka tinggalkan tanah airmu dan merantaulah !

Pergilah bermusafir, pasti kamu akan mendapat ganti apa yang kau tinggalkan dan bersusah payahlah kerana sesungguhnya lazatnya hidup itu apabila bersusah payah.

Sesungguhnya kulihat berhentinya mengalir air itu akan  merosakkannya, sebaliknya bening dan segar ia jika terus mengalir.

Singa tak akan mendapat  mangsanya  kalau ia hanya tetap di gubuknya dan anak panah tak akan mengenai sasarannya kalau tak lepas dari busurnya

Matahari, andaikan tetap tersangkut di dada langit, tentulah  jemu kepadanya oleh orang Arab maupun Ajam.
 Lombong emas cuma ketulan tanah di tempatnya, sementara kayu terbiar di bumi hanyalah sejenis bahan bakar.

Jika seseorang ini tinggalkan tempatnya akan menjadi mulia dapatannya dan jika seseorang itu  tinggalkan tempatnya akan menjadi mulia seperti emas.

Minyak naik harga...Usah mengeluh!

July 16, 2010

Minyak naik harga lagi. Cuma 5 sen. Sedikit sahaja, kata sesetengah orang. Tak meyusahkan rakyat pun. Tambah suara yang mendokong kenaikan harga minyak. Tentunya mereka bukan kalangan rakyat bawahan yang paling terkesan dengan kenaikan harga minyak. 

Kenaikan harga minyak, sekecil apapun, pasti mendatangkan kesan. Harga minyak merupakan kunci yang mengawal harga-harga barang keperluan lain. Apabila harga minya naik 5 sen, harga barangan lain takkan naik 5 sen. Kononnya, harga teh tarik dibayangkan pada harga RM1.25 sen. Siapakah yang terlalu dunggu memikirkan peniaga gerai dan restoran akan menjual teh tarik dengan harga RM1.25 sen? Bukan senang bagi para peniaga hendak menyediakan duit siling 5 sen baki buat dipulangkan kepada pelanggan. Kemungkinan harganya akan jadi RM1.30 sen. Mungkin untuk mudah, diletakkan pada harga RM1.50.

Dakwaan kerajaan bahawa rakyat didahulukan cuma sebuah retorik. Kalau pun rakyat didahulukan, rakyat dari kelompok mana? Pencapaian didahulukan. Pencapaian apa dan siapa? 
Jika sebuah kerajaan tidak boleh memberi rasa aman kepada rakyat, maka saat keruntuhan kerajaan itu makin mendekat. Kemamanan bukan sahaja dari serangan musuh. Kemanan rakyat daripada ancaman kenaikan harga minyak juga salah satu yang diperlukan. Rakyat tidak pernah senang duduk dan hanya menunggu-nunggu kemungkinan naiknya harga minyak. 

Bagiku...
Tak guna melepas keluh
Biarkan rakyat menelan geruh
Penguasa tamak lagi angkuh
Saban penggal  berdiri teguh
Oleh rakyat mereka diperteguh
Lima tahun asyik bersimpuh
Diinjak digilis setia utuh
Panutan lama tak roboh
Sokongan berkarat tebal bersepuh

Petani, nelayan, buruh kasar dan peneroka
Pegawai kerajaan maupun swasta
Semua rakyat jelata
Sampai bila akan diperkuda
Menelan bimbang kenaikan harga

Mereka di sana membina istana berjuta
Dapat elaun entah apa-apa
Naik kereta minyak percuma
Membeli belah di luar negara
Rumah besar di tanah rata


Bila negara kurang harta
Poket rakyat diseluk pula
Poket sendiri kembung saja

Usah berbicara bahasa mulia
Pemimpin berjiwa rakyat jelata
Takkan berdiri seorang raja
Jika rakyat tidak rela
Terus berdiri rakyat semua
Miski raja hilang sirna

Biarlah kita berjiwa merdeka
Berani melangkah menempa pancaroba
Membuang karat khurafat lama
Berani mengubah perubahan diterima

Diakah sang Khawarij?

July 10, 2010


عن أبي سعيد الخذري قال: بينما نحن عند رسول الله (ص) وهو يقسم قسما أتاه ذوالقويصرة وهو رجل من بني تميم فقال: يا رسول الله اعدل. قال رسول الله (ص) ويلك ومن يعدل إن لم اعدل؟ قد خبتُ وخسرتُ إن لم اعدل. فقال عمر بن خطاب (ض) يا رسول الله ائذن لي فيه اضرب عنقه. قال رسول الله (ص) دعه فإن له أصحابا يحقر أحدكم صلاته مع صلاتهم وصيامه مع صيامهم يقرئون القران لا يجاوز تراقيهم ويمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية
Dari Abi Said AlKhudry berkata, Tatkala kami bersama Rasulullah saw. dan beliau sedang membahagikan ghanimah, datang Dzul Khuwaishirah salah seorang dari Bani Tamim dan berkata, “Wahai Rasulullah berbuat adillah!” Berkata Rasulullah saw., “Celaka! Siapa yang akan berbuat adil jika saya tidak berbuat adil? Niscaya saya celaka dan binasa jika saya tidak adil.” Berkata Umar bin Khattab, “Wahai Rasulullah! Ijinkan saya memenggal lehernya.” Berkata Rasulullah saw., “Biarkanlah dia. Sesungguhnya dia mempunyai banyak teman, di mana dianggap remeh solat di antara kalian dibanding solat mereka, puasa kalian dibanding puasa mereka, mereka membaca AlQur’an tidak sampai kecuali pada tenggorokan mereka. Mereka keluar dari Islam sebagaimana lepasnya anak panah dari busur.” 
(HR. Bukhari dan Muslim)


Diakah sang khawarij?
Merasa diri hebat dalam beragama
Ibadatnya menghitamkan dahi
Bacaan Qurannya sukar ditandingi
Mengalahkan sahabat nabi

Agama yang dimudah dipersulitkan
Bid’ah diperelokkan dengan logik akal
Keras dalam bicara
Beralasan membela agama
Sedang agama tidak terbela
Malah kiah calar merajalela

Merendahkan pewaris ambiya
Berapa banyak muslimin disesatkan
Hatinya bergelumang prasangka
Menjadi juara bicara agama
Sedang sedikit mendalaminya
Agama ditafsir di luar tafaqquh

Indahnya slogan yang dikumandang
“La hukma illa lillah!”

Bola menjadi khalifah

June 19, 2010


Buat apa ramai orang di warung Pak Abu?
Ada skrin putih kelabu
Riuh sorak gempita apa itu?
Di malam hari jam 1
Wacana apa itu di TV1?
Ulasan demi ulasan tanpa jemu


Sebuah skrin besar
menjadi mehrab 
dan para pencinta terpaku
menjadi makmum
menatap khusyuk ke situ
pada sekumpulan orang dan sebiji bola
imam sebuah ritual
dalam sebuah episod mendebarkan.

Tanpa takbiratul ihram
ia bermula...lalu
Sebuah laungan sorakan gembira
serentak di seluruh ceruk dunia
merupakan takbir intiqalat
dari yang berkulit putih, hitam, sawo matang, kemerahan maupun kekuningan
merentas sempadan segala bangsa
melangkau batas agama panutan
dipersatukan oleh sebiji bola


Aku Pertugal!
Aku Brazil!
Aku Jerman!
Aku England!
Anak muda menyatakan keakuan semangat
dengan penuh kebanggaan

Lupakan derita semalam
Lupakan rintihan silam

Dentuman bom hilang ditelan sorak
Rintihan dan tangisan hilang dalam sorai
Palestin?
bukan negara pilihan
Afghanistan?
Tak pernah melahirkan bintang dunia
Irak?
Tak minat
Iran?
Turki?
Pakistan?
Arab Saudi?
Tiada zikir meniti di bibir pencinta

Ah!
Sebiji bola itu
Benar-benar berkuasa
Laksana khalifah menggenggam ummat
Menyatu semua kalimat !

Negeri Para Bedebah

June 5, 2010

Kuabadikan di sini sebuah puisi yang kupetik daripada titisan tinta seorang penulis dari Semberang buat renungan rakyat sebuah negara. Puisi bertajuk "Negeri Para Bedebah".

Karya : Adhie Massardi

Ada satu negeri yang dihuni para bedebah
Lautnya pernah dibelah tongkat Musa
Nuh meninggalkan daratannya karena direndam bah
Dari langit burung-burung kondor jatuhkan bebatuan menyala-nyala

Tahukah kamu ciri-ciri negeri para bedebah?

Itulah negeri yang para pemimpinnya hidup mewah
Tapi rakyatnya makan dari mengais sampah
Atau jadi kuli di negeri orang yang upahnya serapah dan bogem mentah

Di negeri para bedebah

Orang baik dan bersih dianggap salah
Dipenjarakan hanya karena sering ketemu wartawan
Menipu rakyat dengan pemilu menjadi lumrah
Karena hanya penguasa yang boleh marah
Sedang rakyatnya hanya bisa pasrah

Maka bila negerimu dikuasai para bedebah

Jangan tergesa-gesa mengadu kepada Allah
Karena Tuhan tak akan mengubah suatu kaum
Kecuali kaum itu sendiri mengubahnya

Maka bila negerimu dikuasai para bedebah

Usirlah mereka dengan revolusi
Bila tak mampu dengan revolusi,
Dengan demonstrasi
Bila tak mampu dengan demonstrasi, dengan diskusi
Tapi itulah selemah-lemahnya iman perjuangan 
 

Ketika matinya seorang sultan

January 23, 2010


-->

Ketika matinya seorang sultan
Seluruh negara lalu disugulkan
Terungkap segala bicara kesedihan
Air mata bagai berhamburan

Rintihan sendu beruntai pilu
Madah berbisik menusuk kalbu
angin bertiup menghambur narwastu
Takziah datang bertalu-talu

Ketika matinya seorang hamba
Tiada siapa sudi  bertanya
Hari berlalu seperti biasa
Hilang sirna tanpa nama

Tiada berita mencatat nama
Tiada madah sedih berseloka
Tiada rintihan rasa duka
Hamba mati matilah dia

Antara sultan juga hamba
Akhirnya kembali ke tanah semua
Dalam kubur tiada beza
Mungkar Nakir  bertanya serupa

Jasad sultan juga hamba
Sama hancur luluh semua
Sama kembali ke tanah juga
Itulah asal semua manusia

Namun  menjadi adat dunia
Sultan meninggal diratap jelata
Seluruh negeri bersenandung duka
Ada hakikat ada berpura

Bila meninggal seorang hamba
Tiada siapa meratap kata
Hidup mati sama sahaja
Tiada diendah muncul sirna.

Demikianlah adanya hidup di  dunia
Antara manusia sama manusia
Ada darjat yang membeza
Antara bangsawan dan juga hamba

Namun di sisi Tuhan semesta
Bangsawan dan hamba sama sahaja
Hanya takwa pengukur saksama
Mana mulia mana hina

Sultan hidup sebagai aristokrat
Dipuja disanjung disandar daulat
Disokong oleh segala kerabat
Diangkat duli atas rakyat

Tinggal di istana berkeliling pagar
Seluruh halaman berbatu mar mar
Kawasan luas laksana bandar
Tinggal di dalam jarang keluar.

Sekali sekala keluar bersiar
Berkereta mewah tidak bercalar
Di jalan raya megah menjalar
Minyak dan tol tak perlu bayar.

Bila sultan direnggut malaikat
Secebis nyawa keluar disayat
Matinya sultan disebut mangkat
Agar dibezakan matinya rakyat

Sultan disebut berjiwa rakyat
Segala jasa habis dinobat
Dikikis dicari segala riwayat
Buat merangkai sanjungan hebat.

Sukan polo kesukaan Sultan
Bermotosikal besar jelajah watan
Itulah yang menjadi sebutan
Berjiwa rakyatnya seorang sultan.

Setelah mati sebutlah segala
Sebutan manusia tiadalah harga
Sebutan Allah itulah berguna
Itulah penentu di alam sana.

Ketika jenazah digiring ke kuburan
Mengiring bersama bintang kebesaran
Segala cokmar dan lambang kerajaan
Segala pusaka warisan keturunan

Sampailah jenazah di gerbang pusara
Diusung masuk ke maqam diraja
Tinggallah semua kebesaran dunia
Pergilah sendiri sebatang kara.

Sungguh kasihan melihat kesudahan
Penghujung hayat seorang sultan
Terpaksa meninggal segala kebesaran
Di dalam kubur tinggal sendirian

Betapa berat mahu berpisah
Dari segala hidup nan mewah
Tinggi kedudukan di  istana indah
Akhirnya berpindah ke alam Barzah.

Di atas pusara tersergam maqam
Dijaga oleh segala khadam
Terang berlampu tak pernah padam
Di bawah sana gelap  kelam

Andainya kekayaan bisa membeli
Pahala bacaan ulama dan wali
Untuk dikirim menyokong si mati
Beruntunglah Sultan di alam abadi.

Telah tersurat sabda nabi
3 perkara mengiring diri
Satu tinggal dua kembali
Hanya amal teman sejati.

Sudah ramai raja yang mangkat
Hanya di nesan nama tersurat
Dibaca oleh para pelawat
Tiada lagi dikenang rakyat.

Lebih beruntung menjadi ulama
Biar mati tak hilang nama
Nama disebut di mana-mana
Kitab karangan terus dibaca.

Bukanlah satu tragedi  zaman
Bila mangkat seorang sultan
Usah diring dengan tangisan
Tiada apa yang kehilangan.

Namun kiranya mati ulama
Itulah tragedi  buat dunia
Lantaran terpadam bintang kejora
Sungguh bersedih isi buana.


Sekian...


Bulan dan bintang

November 21, 2009






Bila terbit bulan purnama
Bintang-bintang  malap semua
Lalu bintang berkata sesama
Sungguh bulan patut dicela

Bintang kecil sayup cahaya
Kepada bulan cemburu membara
Menebar omong ramalan pendeta
Ilmu nujum berbaur auta

Telah terbit bulan purnama
Saat Makkah dalam gerhana
Kafir musyrikin menebar pesona
Muhammad dituduh kahin gila

Kalangan musyrikin banyaklah bintang
Bintang masyhur nama terjulang
Dalam masyarakat bukan sebarang
Disanjung dalam pelbagai bidang

Memang bintang cemburu bulan
Kerana bulan terbit melawan
Menentang adat juga kebiasaan
Mengajak kembali ke pangkal jalan

Bulan kan terbit setiap purnama
Semua mata tertumpu padanya
Lupalah pada bintang semua
Hanya bulan didamba sukma

Demikianlah nabi telah bersabda
Setiap 100 tahun yang menjelma
Akan muncul mujaddid agama
Mengembali ummat ke pangkal agama

Mujaddid itu laksana bulan
Terbit menyinar menghapus kegelapan
Memikul beban pelbagai celaan
Kerana menyanggah batil kebiasaan

Bintang berpesta di malam kelam
Menjadi sanjungan  para najjam
Laksana masyayikh dalam manam
Disanjung melebihi khairul anam

Kerana itu terbitnya bulan
Untuk memberi cahaya kebenaran
Menghapus gelap menyempurna kiraan
Agar alam diterang panduan

Mujaddid zaman datang bersilih
Membawa tajdid tidak berpilih
Menjulang akidah nan bersih
Tidak bersulam dolak dalih

Membersih amalan dari bid’ah
Agar kembali kepada sunnah
Menjadikan agama asalnya mudah
Membuang payah yang ditambah

Kata bintang tentang bulan
Bulan menukar serigala jadian
Sebuah mitos di zaman silam
Dipercaya penganut kepercayaan warisan

Bintang tak sedar diri sendiri
Mengilhamkan ilmu nujum sakti
Menyebar syirik khurafat bersebati
Mempertahan batil yang diwarisi.

Demikianlah tamsil yang terjadi
Berapa banyak mujaddid berganti
Semuanya berdepan tohmah dengki
Dari segala orang yang iri

Oleh itu itu wahai bulan
Bersabarlah menghadapi segala celaan
Kerana itu resam perjuangan
Bukan berjuang dalam sanjungan

Biar bintang mengerlip tinggi
Nampak cahaya berwarna warni
Bulan juga akan dicari
Bulan juga yang dirindui

Biar bintang banyak sekali
Namun musnah setiap hari
Walau bulan hanya sendiri
Ia kekal terbit berkali-kali.
 



Aku hanya insan biasa

August 26, 2009




Aku bukan putera raja
Aku cuma anak gahara

Aku bukan orang kaya
Aku tiada harta berjuta

Aku bukan orang ternama
Yang selalu disanjung puja

Aku bukan ulama berjasa
Yang menitipkan ilmu ambiya

Aku bukan mursyid mulia
Menuntun salik mentazkiah jiwa

Aku bukan wali suci
Terzahir keramat menjadi sakti

Aku bukan seorang mahaguru
Mewarisi pusaka keris Siguntang Mahameru

Aku bukan pencetus ideologi
Dianut manusia politik bebiri

Aku bukan seorang khalifah
Peneraju ummat memimpin wehdah

Aku bukan pejuang shahid
Menyerbu medan perang salib

Aku bukan pohon ara
Pucuk menjulang mengakar buana

Aku bukan banjaran titiwangsa
teguh waqar pagi senja

Aku umpama semut melata
Aku hanya rumput paya
Aku kedidi dalam rimba
Aku daun antara sejuta
Aku pasir bukan permata
Aku lumut bukan mutiara


Aku tak punya sayap ajaib
Buat terbang ke langit maghrib

Aku tak punya insang ikan
Buat menyelam ke laut dalam