Gerai itu terletak di tepi jalan Sg. Batang. Ia merupakan sebuah gerai menjual air tebu segar. Aku singgah untuk membeli air tebu di situ bersama Ust Sukri pada bulan Ramadhan yang lalu. Melihat gerai itu tertulis "Air tebu segar" kami ingin sekali mencicipi kesegarannya waktu berbuka. Sejauh mana kesegarannya. Seorang anak muda menjaga gerai tersebut sementara rumah keluarganya tidak jauh dari situ.
"Mana dapat tebu ?", tanya ust Sukri. "Tanam sendiri...", jawap pemuda itu. "Kami mahu tebu yang asli...tiada dicampur air..ada ke?"aku bertanya. "Ada...nanti, tengah mesin...", jawabnya sambil menunjukkan ke arah rumahnya nun di kejauhan. Kelihatan seseorang sedang sibuk dengan mesin perahan air tebu. Aku kira tentu bapanya.
Perbualan kami menjuruskan ke arah perniagaan air tebu. Ketika ditanya mengenai purata jualannya sehari, dia memberitahu sehari jualan air tebunya mencapai RM200.00. Katanya ramai yang mencari air tebu segar. Sebotol mineral 1 liter dijualnya RM4.00. tapi hari itu, dia jual kepada kami RM3.00 seliter.
Kalau RM200.00 sehari, sebulan RM6000.00. Aku mencongak. Nampak aja gerai air tebu biasa tetapi pulangan perniagaan boleh tahan.
Sesungguhnya razeki Allah ada di mana-mana. Sekiranya kita mengambil iktibar daripada keberhasilan anak muda itu dan perniagaannya, apalah hendak dirisaukan dengan razeki. Ia ada di mana-mana asalkan rajin berusaha. Allah maha kaya dan Dia menaburkan di sana sini buat manusia.
Mereka berlumba-lumba menyebut sebilangan nama-nama hantu yang mereka tahu. Nama-nama hantu yang tentunya diberitahu oleh orang-orang tua atau didengar daripada kawan-kawan.
Demikianlah apa yang diajarkan oleh orang tua-tua kita tentang hantu. Mungkin mereka mengistilahkan nama-namahantuitu dahulu adalah untukmenakut-nakutkan anak cucu agar jangan keluar malam atau cepat-cepat masuk ke dalam rumah sesudah senja. Mungkin tujuan mereka untukmendisiplinkan anak dan cucu. Apapun tujuannya, menakut-nakutkan anak cucu dengan mitos hantu adalah jalan yang salah.Lebih-lebih lagi tujuannya untuk mewujudkan rasa takut.
Dalam Al-Quran maupun hadis, tiada istilah hantu. Makhluk ghaib yang jahat dan menggoda manusia untukberbuat kejahatan diistilahkan sebagai syaitan. Apabila sebut syaitan,apa yang ditanamkan oleh agama menerusi nas Al-Quran maupun hadis adalah rasa permusuhan dan kebencian kepada mereka. Takut? Agama tak tanamkan rasa takut kepada syaitan. Kepada syaitan ditanamkan rasa izah diri sebagai khalifah Allah yang kedudukannya lebih mulia daripada syaitan.
Tapi,hantu dalam mitos orang tua-tua dikombinasikan dengan rasa takut. Hantu dijadikan medium untuk menakut-menakutkan. Ia dimomokkan kepada anak-anak sehinga jadi fobia dengan segala anasir yang boleh dikaitkan dengan hantu. Kegelapan,pokok besar, rumah tinggal, lubuk puaka dan kawasan keras adalah sebahagian anasir yang dikaitkan dengan hantu. Sebab itu nama lain bagi hantu adalah momok. Momok adalah yang diada-adakan. Yang ada-adakan itu macam perkara bid'ah, tahayyul dan khurafat.
Padahal...yang namanya hantu adalah syaitan. Syaitan dimusuhi dengan keberanian dan izzah diri, bukan ditakuti dan digeruni.
Kata seseorang:"meremang bulu tengkukku bila lalu dekat rumah lama itu...".
Mengapa meremang bulu roma?Takutlah itu. Kenapa takut?Syaitan bukan untuk ditakuti!
"Takut selain Allah adalah syirik!"tegasku kepada murid-muridku yang terlopong dalam dilema. Antara mitos orang tua-tua dan konsep kesyaitanan hantu yang diperjelaskan.
"Di mana rumahmu?"tanyaku kepada murid perempuan yang bernama Atikah.
Dia menceritakan lokasi rumahnya di pinggir jalan masuk ke kampung Sibugal Besar.
"Rumah yang paling buruk sekali itu, itulah rumah kami ustaz...", dia menegaskan setelah penjelasannya mengenai yang mana rumahnya antara sebilangan rumah di satu lokasi yang telah aku ketahui kurang memahamkan aku.
"Di rumahmu ada berapa bilik?"soalku.
Sejak aku bertugas di Sibugal Besar, aku sering memilih murid-murid tertentu untuk menemuramah mengenai latarbelakang hidup mereka. Soalan-soalanku biasanya rawak dan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran.
Murid itu menggeleng. Aku cepat mengertii realiti hidupnya. Aku sudah dapat membayangkan rumahnya yang kecil itu, tentulah tiada bilik sebagaimana rumah orang lain.
"Tapi kami tidak tidur sekali ustaz...", cepat-cepat murid itu menjelaskan. Mungkin dia bimbang kecurigaanku mengenai sosialnya di rumah.
"Ayah kerja apa?"soalku.
"Sekuriti...", ujarnya.
"Ibu?" soalku seterusnya.
"Suri rumah sahaja",
"Berapa beradik?"
"Tiga...", katanya.
"Kamu anak ke berapa?"
"Saya anak sulung".
"Ayah umur berapa?"
"Err...38 tahun"
"Di rumah ada TV?
"Ada..ada juga peti suara",
"Peti ais ada?"
"Tiada...lagi pun kalau ada peti ais nanti bil elektrik tinggi..."
"Pernah tanya ayah berapa gajinya?"
"ya..sekitar 500 hingga 700".
"Kehidupan kamu macam mana...kamu rasa gembira?
"Gembira...kami adik beradik hidup bersatu dan berkasih sayang...hari raya baru-baru ni kami dapat duit raya, kami tak gunakan...kami bagi ibu dah ayah...kami mahu bantu mereka",
"Rumah atap apa...".
"Zink la ustaz..."
Aku mengeluh. Ada rasa terharu dan ada rasa bangga dengan keyakinan yang terserlah dalam ceritanya. Dia tidak malu untuk menceritakan kehidupannya. Lidahnya petah sekali meriwayatkan hidupnya.
Dalam kelas, dia terbilang murid cemerlang dan berpotensi.
Lalu aku menasihatkan....
"Atikah...dahulu ustaz juga hidup miskin. Rumah ustaz beratap nipah dan berdinding bambu. Sebahagian lantainya sahaja papan, yang lain adalah batang pinang dan selebihnya kayu...lalu ustaz bertekad untuk berjaya dalam pelajaran dan keluaer dari kemiskinan itu. Kini, rumah ustaz di kampung bukan begitu lagi. Ibu ustaz sudah senang. Bila kita berjaya..jadilah anak yang mengenang jasa dan pengorbanan ibu ayah...berusahalah hingga menjejaki kaki ke menara gading...".
Dalam diam aku berharap anak murid itu akan menempa masa depan yang cemerlang. Akan aku ingat seorang murid yang bernama Atikah binti Rosli dan satu masa kelak aku akan temuinya atau mendengarnya berdiri sebagai orang yang berjaya.
“Kamu semua kenal Hang Tuah?”Aku bertanya kepada murid-muridku
“Kenal ustaz…”mereka membala, yakin.
“Daripada mana kamukenal dia?”
“Dari buku cerita, ustaz…
“Kamu percaya Hang Tuah itu ada? Aku mencuba keyakinan mereka
“Percaya, ustaz…”begitu pasti mereka menyahut.
“Hang Tuah hanyalah sebuah hikayat…boleh jadi ada…boleh jadi tiada…seperti cerita-cerita hikayat yang lain…hikayat Malim Deman,hikayat burung Bayan dan sebagainya…”, aku membalas.
“Tapi…bukahkah ada ceritanya dalam buku ustaz?”seorang murid tak berpuas hati.
“Ya…dengarkan pantun ustaz…” aku membacakan sebuah pantun.
Kelip kelap kusangka api
Kalau api mana dapurnya
Hilang lenyap kusangka mati
Kalau mati mana kuburnya.
“Adakah kamu tahu di mana kubur Hang Tuah?” lanjutku sesudah itu.
“Hang Tuah dah lama meninggal ustaz…macam mana nak cari kuburnya…” seorang murid yang lain memberi alasan.
“Nabi Muhammad dan sahabatnya Abu Bakar,Umar dan lain-lain lebih lama meninggal dahulu sebelum Hang Tuah, tapi kubur mereka ada di Madinah….”aku mengingatkan.
“Jadi…Hang Tuah itu mungkin ada…mungkin tiada…sebab ia adalah sebuah hikayat….” Lanjutku.
“Ustaz macam mana dengan mahsyuri?” seorang murid melabarkan persoalan ke seorang takoh silam yang lain.
“Cerita Mahsyuri itu sebuah legenda…legenda itu cerita dongeng…
“Tapi bagaimana dengan sumpahan mahsyuri?” seorang murid yang terbilang cerdik dalam kelas bertanya.
“Sumpahan itu hanya cerita orang tua-tua. Itu cuma legenda. Kamu selalu menonton cerita legenda yang sering ditayang dalam TV? cerita legenda dari Indonesia,” soalku.
“Ya ustaz…selalu…”
“Cerita-cerita itu adalah legenda. Mahsyuri mungkin ada…tetapi cerita mengenainya yang mati dibunuh dan keluar darah putih,sumpahannya menjadikan Langkawi padang jarak padang tekukur 7 keturunan…adalah tokok tambah yang melengkapkan sebuah legenda…”
Demikianlah cerita-cerita yang mempengaruhibangsa ini. Orang tua-tua kita bukan ahli dalam menulis cerita. Mereka hanya mendengar cerita daripada nenek moyang mereka. Cerita yang berpindah dari satu mulut ke satu mulut sebelum sampai ke zaman ia mula ditulis, sudah banyak ditokok tambah dengan pelbagai dongeng,mitos, legenda dan kadang-kadang sampai ke peringkat tahayyul.
"Kita sebagai generasi baru yang mendapat pelajaran perlu menilai setiap cerita dan tidak menerimanya dengan mudah.Kita lebih pandai dan berpelajaran berbanding nenek moyang kita yang terdahulu..." , demikianlah aku memberitahu murid-muridku dalam sesi hari ini.
Perjuangan yang besar terbentang di hadapan. Namun, mengapa perjuangan sepele juga yang didendangkan?
Ramai manusia melayu masih berbicara mengenai pejuangan bangsa melayu, kononnya memperjuangkan bangsa melayu adalah tradisi yang perlu dilanjutkan sampai bila-bila. Bila sebut perjuangan bangsa melayu, hamasahnya melonjak. Semangat menjadi berkobar-kobar. Ironinya, ada pula yang bukan pun keturunan melayu sejati, tetapi semangat melayunya tinggi. Yang sejati melayu, tidak pula setinggi semangat kemelayuannya.
Itulah sebabnya ada orang yang menubuhkan pertubuhan khusus untuk memperjuangkan bangsa melayu.Pertubuhan terbesar adalah UMNO. Ada juga pertubuhan-pertubuhan lain yang melebelkan dirinya sebagai NGO.
Pertubuhan yang menamakan dirinya PERKASA itu tak lain adalah untuk melonjakkan isu berdasarkan bangsa melayu. Isu sentimen bangsa dimainkan bukan juga untuk membantu melayu tetapi semata-mata untuk menghimpunkan sokongan orang melayu kerana dengan jalan sentimen bangsa dirasakan orang melayu dapat ditakluki. Lalu, juak-juak kecil yang berada di dalamnya pun bersuara; "kami mewakili ummat melayu...", padahal ummat melayu tak pernah mewakilkan mereka untuk berbicara. Ahli-ahlinya pun tak seberapa.
Demikian, pertubuhan PEWARIS yang menganjurkan perarakan kepala lembu kira-kira sebulan yang lalu di Syah Alam, Selangor, adalah pertubuhan yang memperjuangkan emosi kemelayuan. Nampaknya macam memperjuangkan agama, tetapi agama yang bagaimana diperjuangkan,tidak dapat dipastikan. Agama melayu,mungkin. Kebetulah pula melayu sinonimkan dengan Islam. Tetapi Islam Melayu pun bermacam-macam. Kalau tanya tok bomoh pengamal ilmu hitam yang karam dalamkhurafat, tahayyul dan sihir, apa agamanya, dia pun kata, agamaku Islam". Tanya bohsia, bohjan, pelacur, mat rempit malayu dan semua melayu yang bermasalah, sama ada dari segi moral maupun agama, apa agama mereka, sepontan mereka menjawab, "agamaku Islam". Islam yang yang bagaimana? Itulah Islam Melayu. Islam yang dikaitkan dengan bangsa.
Sebab itu, Islam tiada kaitan dengan bangsa!
Perjuangan besar terbentang di hadapan, mengapa perjuangan sepele juga yang didendangkan?
Perjuangan bangsa tak akan ke mana-mana?Perjuangan bangsa akan jadi perjuangan ayam-ayam merebut hampa padi sisa tampian petani di tepi jelapangnya yang penuh dengan padi berisi. Ia juga seperti perjuangan sekumpulan dubuk yang merebuti bangkai yang tinggal sisa-sisa daging di tulang temulangnya stelah ditinggal singa yang sudah kenyang. Perjuangan bangsa juga adalah perjuangan itik-itik yang menyudu acar di bawah jemboran. Perjuangan bangsa tak bawa ke mana-mana. Sempadannya hanya di dunia dan bila sudah mati, malaikat mungkar nakir tak tanya pun apa bangsa kamu. Di akhirat, masuk syurga atau neraka bukan dikriteriakan dengan bangsa apa semasa di dunia!
Hanya orang-orang meletakkan emosi sempit di kepala sahaja yang akan responsif dengan perjuangan bangsa dan kebangsaan yang dimainkan.
Perjuangan besar terbentang di hadapan, mengapa perjuangan sepele juga yang didendangkan?
Bercakap pasal perjuangan bangsa ini, jangan fikir bangsa itu cuma dalam ertikata "syu'uban wa qabaila" sahaja. Dengan kata lain, ia bukan setakat ras dan etnik. Perjuangan bangsa adalah satu contoh kepada sikap asobiyyah. Tedapat juzuk-juzuk asobiyyah yang masih banyak dan bersenandung dalam fikiran dan pengamalan ramai orang. Dalam memperjuangkan agama sekalipun, ada yang terperangkap dalam asobiyyah.
Misalnya perjuangan mazhab.
Kata si fulan... Aku mazhab Syafi'e. Kata yang lain... aku Hanafi Aku Maliki Aku Hambali Kata pula penganut tariqat... Aku Naqsyabandi Aku Syazili Aku Ghazali Aku Tijani Aku Ahmadi
Malah....dunia Islam dipecahkan kepada Sunni dan Syi'e!
Demikian...berapa banyak keakuan yang ditegakkan...semuanya adalah menegakkan juzuk kecil. Jika ia bukan perjuangan Allah, jadilah ia perjuangan asobiyyah! Jika ia dipandu semangat berlebihan sehingga menjadi perjuangan hidup, jadilah ia perjuangan asobiyyah.
Baru-baru ini pula timbul laporan dalam sebuah akhbar mengenai kebimbangan perkembangan fahaman sunnah yang dialiaskan dengan fahaman wahabi di negeri Perlis Darus Sunnah. (Sumber:Malaysiakini).
Ramai juga yang merasa ia satu ancaman terutama tokoh-tokoh agama tertentu. Beberapa mufti di negeri-negeri selain Perlis turut bersuara dan menyatakan bahawa kita perlu mempertahankan fahaman yang sedia ada yang berasaskan syafi'iyyah. Kata tokoh-tokoh ini, fahaman Salafiyyah-Wahabiyyah adalah satu ancaman kepada kelangsungan fahaman tradisi yang diamalkan di negeri-negeri di Malaysia. Dengan kata lain, perjuangan kita adalah mempertahankan fahaman berteraskan Syafi'iiyyah dan menolak fahaman yang melepaskan diri dari ikatan mazhab syafi'iyyah sebagaimana yang diterajui negeri Perlis.
Perjuangan ini pun sepele seperti perjuangan mempertahankan kebangsaan. Syafi'iyyah adalah laksana satu bangsa dalam sebuah ummat besar bernama agama Islam. Sebagaimana Melayu, satu bangsa dalam lingkungan kelompok manusia seluruh alam.
Justeru, bagi yang menentang asobiyyah, tidak harus merujuk asobiyyah kepada perjuangan bangsa-bangsa tertentu sahaja. Ia bukan sahaja perjuangan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain yang namanya bangsa. Ia juga perjuangan juzuk-juzuk tertentu dalam perjuangan besar seperti uga perjuangan mazhab dalam perjuangan besar Islam.
Perjuangan melebarkan atau mempertahankan mazhab tertentu adalah sepele. Perjuangan melebarkan mempertahankan kefahaman Islam yang syumul merentasi mazhab dan tariqat, itulah perjuangan besar. Kefahaman Islam bukan dipenjarakan dalam Syafi'yyah tetapi dibiarkan bebas terbang kepada semua para mujtahid Islam yang ramai. Tiada satu individu yang berhak diperjuangkan kerana memperjuangkan individu menjerumuskan ke dalam asobiyyah. Kalau mahu memperjuangkan individu, nabi Muhammadlah yang perlu diperjuangkan. Itupun bukan memperjuangkan individunya sebagai manusia tetapi sebagai rasul Allah ke seluruh alam. Ini bermakna, memperjuangkan nabi sama dengan memperjuangkan risalahnya. Memperjuangkan risalahnya,itu bererti memperjuangkan Allah.
Perjuangan besar menanti, kenapa hal-hal sepele yang hendak kita risaukan?
Ketika menyampaikan pelajaran bertajuk:"Adab menuntut ilmu"...
Aku menyatakan keada murid-muridku bahawa orang zaman dahulu terpaksa bersusah payah menuntut ilmu. Hang Tuah lima bersaudara terpaksa memanjat Gunung Ledang untuk berguru dengan Aria Putra yang tinggal disana. Demikianlah orang-orang dahulu, terpaksa memanjat gunung,merentas belantara dan mengharung lautan untuk mendapat sekelumit ilmu. Misi memburu ilmu dengan cara sebegini menjadi amalan pada zaman dahulu dan itulah juga yang menjadi "da'bul ulama" zaman silam.
Imam Syafie sejak kecil telah meninggalkan negeri tumpah darahnya untuk menuntut ilmu. Syeikh Abdul Qadir Jailani diceritakan telah disuruh ibunya mengembara mencari ilmu sejak kecil lagi. Malah ibunya melarangnya pulang sebelum menjadi ulama. Membaca biografi kebanyakan ulama-ulama Islam, kita akan menemui episod pengembaraan mencari ilmu dalam riwayat mereka.
Begitu susah orang dahulu mendapatkan ilmu. Namun kesusahan itu tidak lagi dirasai oleh orang zaman sekarang. Zaman kini sudah ada pusat pendidikan di peringkat awal usia lagi. Ada pra sekolah,tadika-tadika, Pasti, Taski dan sebagainya. Sudah ada sekolah randah di merata-rata tempat. Sudah habis sekolah rendah, ada pulak sekolah menengah. Sesudah itu kolej dan universiti menanti. Pendeknya mencari guru yang boleh mengajarkan pelbagai bidang ilmu, cukup dengan mengunjungi pusat-pusat pengajian tadi sebagai pelajar. Di sesetengah tempat, kedapatan banyak pusat pengajian berorientasikan agama tumbuh. Ada pondok,pesentren,ma'ahad tahfiz, madrasah dan sebagainya. Semua itu membuka ruang dan jalan mudah bagi mendapat ilmu.
"Sekarang anda semua cuma perlu rajin ke sekolah untuk mendapat ilmu...", kesimpulan itu menamatkan pengajaranku hari ini.
Hari ini, menu buah-buahan bagi RMT di sekolah adalah buah betik. Aku menyampaikan ucapan pendek kepada murid-murid tentang khasiat buah betik. Aku katakan buah betik adalah buah yang kaya dengan Vitamin C. Vitamin C adalah penting untuk kesihatan diri.
Di bandar-bandar besar, kosmopolitan maupun metropilitan, di USA, Eropah, Doha ,Abu Dhabi malah di Makkah dan Madinah, penduduknya sukar mendapat makanan dalam bentuk buah-buahan. Kalau pun ada, harganya mahal. Itupun buah-buahan yang tetentu sahaja. Sedangkan di kampung, buah-buahan itu mudah didapati. Terdapat banyak jenis buah kampung yang jika dimakan secara beterusan,akan memberi tambahan kepada kesihatan diri dan membangunkan minda.
Dalam hal buah-buahan kampung ini aku teringat zaman kecilku dengan kehidupan kampung yang berlatar belakangkan rimba. Amat banyak buah-buahan tempatan yang yang ditanam di kampung. Itu belum lagi buah-buahan liar yang sesuai dimakan dan rasanya pun enak.
Budak kampung biasa makan durian, rambutan, pisang, langsat, manggis,rambai, mempelan,kelapa muda, mata kucing, nangka, cempedak, keriang, cenerai, mata itik, rumbia, gemia, rotan, agui, , senduduk, kemunting, gelam, larak,berangan, kelubi, kekepuk, ubi-ubi (keledik, keling, kayu,ketela dsb),saka, genuak,petai, jering dan banyak lagi.
Semua buah itu membezakan budak kampung dengan budak bandar yang makanan sehariannya adalah KFC, Mc donald, Pizza Hut, burger, Mee Maggi dan bermacam-macam makanan segera termasuk keropok-ker0pok yang mengandungi pelbagai bahan pewarna dan campuran.
Sebab itu,kataku, otak budak kampung cerdik dan pintar.Cedik dan pintarnya budak kampung adalah asli dan jika dijana dengan kesungguhan dan kemudahan pembelajaran, pencapaian budak kampung akan jauh melebihi budak bandar. Budak bandar bukan tak cerdik. Ramai juga yang cerdik tetapi merekacerdik sebab mereka disediakan banyak kemudahan. Kalau di padang samarata dengan budak kampung, mereka akan jauh ketinggalan dalam pelajaran.
"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katan TG Nik Abdul Aziz Nikmat ketika mengulas cabaran Ibrahim Ali agar beliau meletekkan jawatan sebagai MB Kelantan.
Sampah politik
Sampah-sampah banyak yang yang sedang hanyut dalam sungai politik pada masa ini. Mereka yang masuk politik untuk mendapat kekayaan peribadi adalah sampah politik. Mereka yang masuk politik untuk jadi masyhur dan namanya disanjung, adalah sampah politik. Mereka yang masuk politik, lalu khianat dengan perjuangan adalah sampah politik.
Orang politik sama juga dengan artis. Artis yang terkinja-kinja atas pentas menghiburkan peminatnya adalah sampah jika tujuannya menghiburkan hanya semata-mata mahu populariti atau mendapat sedikit habuan wang ringgit. Artis yang menyanyi lagu-lagu yang kosong mesej, adalah sampah dalam dunia hiburan.
Artis memukau peminatnya dengan dendangan lagunya. Ahli politik pula cuba memukau rakyat dengan idealisma telunjuk lurus kelingking berkaitnya. Ada yang cuba memukau rakyat dengan gaya lantang di parlimen agar rakyat kata dialah ahli politik yang berkesan. Ramai pula ahli politik yang cuma tong kosong dan menjual air liur. Inilah ahli politik sampah yang bergentayangan dalam dunia politik.
Semua ahli politik adalah sampah belaka kecuali yang menunaikan amanah selaku khalifah Allah dimuka bumi.Mereka memperjuangkan Allah di muka bumi. Namun antara banyak sampah-sampah itu, ada sampah yang paling busuk baunya. Itulah ahli politik yang mengkhianati perjuangan!Yang opurtunis dan tidak memiliki kesetiaan.
"Jika saya (Tan Sri) Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Kemudian saya akan bekerja keras berkempen untuk calon lain yang dipilih. Dengan itu, ia akan melonjakkan reputasinya.Tetapi di Malaysia, budaya seumpama itu tidak wujud."
Dr. Mahathir, seorang mantan perdana menteri Malaysia yang telah menamatkan perkhidmatan di saat dia berdepan dengan kemarahan sebahagian besar rakyat sering mengeluarkan kenyataan sejak dia meletakkan jawatan sehinggalah kini. Ketika Abdullah Badawi menjawat jawatan perdana menteri, dia sering mengganggu. Dia antara yang mendesak Abdulah Badawi meletakkan jawatan atas alasan yang berbaga-bagai. Bila Najib Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, dia terus dengan kecenderungannya.Dalam kenyataan-kenyataannya yang bernada lembut itu sebenarnya dia menyampaikan mesej tersirat;
"buatlah sebagaimana yang saya sebut...saya pernah jadi PM dan anda semua kena dengar cakap saya...".
Kalaulah saya jadi Dr. Mahathir, saya berhenti mengganggu pemerintahan dan pentadbiran negara. Saat tua yang berada di penghujung hayat ini, akan aku pergunakan untukbertaqarrub dengan Allah dan bertaubat dari segala dosa masa lalu. Dengan itu aku akan mendapat kasih Alllah biarpun selama Allah jauh daripadaku.
Kalau saya jadi Dr.Mahathir, saya gunakan duit-duit yang saya kumpulkan untuk membangunkan rumah-rumah anak yatim,membantu golongan masakin dan mustadh'afin serta geladangan. Dengan itu, aku akan dikasihi rakyat biarpun satu ketika rakyat membenciku.
Kalau aku jadi Dr. Mahathir, aku akan habiskan masaku mengarang segala pengalaman masa laluku berkaitan wawasan pentadbiran negara untuk menjadi bacaan rakyat. Dengan itu rakyat boleh membaca bukuku dan menambahkan pengetahuan mereka. Ahli politit pula boleh membaca dan memikirkan kesinambungan kepada segala wawasan yang saya yang baik dan memprbaiki kekurangan yang telah berlaku.
Kalau aku jadi Dr. Mahathir, aku akan menjelajah ke serata dunia,menubuhkan yayasan-yayasan di negara miskin,terutama negara-negara Islam bagi membantu rakyatnya membangunkan ekonomi mereka, rasa harga diri dan kalau boleh perasaan cinta agama buat mereka. Sekurang-kurangnya aku berbuat lebih baik daripada John F.Kennedy,bekas presiden Amerika Syarikat yang membina yayasannya di negara-negara miskin.
Kalau aku jadi Dr.Mahathir, aku pergi umrah dan haji selalu. Aku taja orang lain pergi umrah dan haji agar aku dapat pahala haji mereka.
Kalau aku jadi Dr. Mahathir, aku buka ladang ayam, kambing dan lembu. Aku gajikan budak-budak muda bekerja menguruskannya. Aku buka kilang makanan berasaskan daging agar ayam, kambing dan lembuku aku sendiri yang proses dan jualkan buat rakyat negaraku. Makanan itu itu aku bungkus dan letak jenama yang berkaitan dengan namaku. Aku iklankan dalam media, siapa beli makanan yang aku buat, 50 peratus keuntungan adalah untuk disalurkan kepada yayasan yang aku bina, lebih daripada yang dibuat oleh syarikat Sazarice dengan berasnya. Aku bantu rakkyat Palastin dan tidak cuma marahkan negara Arab maupun Barat dalam isu Palastin.
Kalau aku jadi Dr.Mahathir, aku tak mahu lagi camputangan soal pilihanraya Batang Pinang. Siapa yang akan dicalonkan oleh parti yang aku bekas presidennya. Biar presidennya sekaranglah buat keputusan. Pandai-pandailah dia. Aku tak pedulikan lagi soal Isa Samad. Aku sibuk dengan amal-amal fardhi dan kerja amal nasioanal dan alami.
Aku nak pahala sebanyak mungkin agar aku menemui Allah dalam keadaan husnulkhatimah.
Kalau aku jadi Dr.Mahathir....
Tapi Dr.Mahathir pun tak nak jadi dirinya. Dia kata kalau dia jadi Isa Samad. ...
Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 10)
“Kami ahli syurga!”
Demikianlah jawapan gamblang seorang pengikut si Kahar.
Apa lagi yang boleh dikatakan kepada penganut ajaran Kahar yang mendakwa sebagai Rasul kepada bangsa melayu? Mereka sudah menjadi ta’sub dengan pegangan mereka yang telah memperdaya mereka. Dalam hati mereka telah diracun satu penyakit dan penyakit itu bertambah-tambah tenat. Sesat yang begini sudah sukar menemui jalan pulang. Hanya dengan rahmat Allah, mereka boleh diselamatkan.
Atas kapasiti apa Kahar layak diangkat menjadi Rasul bangsa Melayu. Apakah dia dapat mendatangkan sesuatu mukjizat?Apakah dia membawa satu kitab yang diterima daripada Allah? Setakat ini dia cuma membaca ayat-ayat Quran dan memutarbelitkan maksud dan kefahamannya.Adakah air mukanya menampakkan dia seorang rasul? Liahtlah wajah manusia yang mengakui rasul ini...
Apakah nampak aura kerasulan pada wajahnya? Mungkin wajah bukan ukuran. Tetapi, seorang rasul utusan bukan sepertinya! Pengikut Kahar cukup menilai penampilannya jika tidak mampu menilai hujahnya. Pengikut Kahar bukan kalangan cerdik pandai yang ahli dalam hujah.
KUALA LUMPUR: “Mengaku salah bukan bererti kalah. Pengakuan itu hanya dari sudut undang-undang kerana kami tetap yakin berada di jalan kebenaran menuju ke syurga,” dakwa bekas penyanyi kumpulan era 80-an yang menjadi pengikut taksub ajaran Abdul Kahar Ahmad atau ‘Rasul Melayu’.
Penyanyi reggae itu yang enggan namanya disiarkan berkata, pengakuan bersalah ‘Rasulnya’ bukan bermakna mereka mengalah dari sudut prinsip, malah ia membuktikan kebenaran ajaran Haji Kahar.
Menjelas lanjut mengenai alasannya, penyanyi berkenaan berkata, syarat untuk melayakkan seseorang masuk ke syurga ialah mengamalkan ajaran Haji Kahar yang menekankan lima asas utama.
“Sikap ini perlu 100 peratus ada dalam hati dan saya mengambil masa 25 tahun untuk benar-benar mencapai peratusan ini menyebabkan saya yakin akan masuk syurga seperti yang bakal dinikmati Haji Kahar.
“Ini ajaran sebenar. Jadi apabila Haji Kahar mengaku bersalah, ia membuktikan dia tidak mahu ‘berkeras’ dan menentang undang-undang, sekali gus mengekalkan lima perkara asas itu dalam dirinya,” katanya.
Menurutnya, apabila orang lain enggan menerima ajaran itu, untuk apa Haji Kahar ‘berkeras’ sedangkan sifat itu bertentangan ajarannya.
“Bila dia menunjukkan sifat cuba melawan undang-undang, maka wujud sifat negatif. Mana ada dalam ajarannya sifat negatif...jadi sebab itu lebih baik mengaku salah, tetapi ia bukan bererti kalah.
“Kalau orang tak percaya, apa boleh buat... nanti orang cakap hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong,” katanya.
Sementara itu, dalam satu pertemuan dengan wakil Harian Metro, penyanyi berusia lewat 50-an itu mendakwa, kalau semua orang mengikuti asas ajaran sesat itu, dunia akan menjadi tempat paling bahagia dan selamat tanpa perlu ada pihak berkuasa untuk memantau keadaan.
“Tidak mengapa kalau seseorang itu minum arak atau berpakaian seksi asalkan jiwanya positif selepas mencapai tahap 100 peratus asas ajaran (Haji Kahar),” katanya yang begitu taksub terhadap ‘Rasul Melayu’ yang mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Tinggi Shah Alam terhadap lima pertuduhan, kelmarin.
Penyanyi itu mendakwa, Islam yang sebenar bukan sekadar menunaikan solat lima waktu, puasa, zakat atau menunaikan haji, tetapi lebih kepada membersihkan hati dengan sikap positif.
“Saya sudah mengikuti ajaran Haji Kahar selepas membuat kajian dan yakin dia ‘Rasul’ yang diturunkan setiap satu kurun. Rasul bermakna seorang yang menyampaikan teladan baik tapi nabi ialah orang yang menerima wahyu iaitu Nabi Muhammad.
“Rasul juga diturunkan kepada setiap bangsa dan Haji Kahar untuk orang Melayu. Bila seseorang Rasul wafat mesti ada penggantinya untuk memperbetulkan ajaran. Jadi bila Nabi Muhammad wafat, mesti Tuhan turunkan pengganti,” katanya.
Beliau juga memuji Haji Kahar yang disifatkannya ‘Rasul’ di kalangan umat Melayu kerana tidak pernah diazabkan walaupun sudah secara terbuka mendakwa sebagai ‘Rasul’.
“Awak ingat senang-senang dia (Haji Kahar) hendak mengaku Rasul. Jika tak betul, Tuhan akan azab dia.
“Haji Kahar mengaku ‘Rasul’ sebab dia benar-benar mempunyai kelayakan dan saya mengikut dia dan sudah memperoleh separuh apa yang diajarnya,” katanya.
Menurutnya, Haji Kahar tidak pernah menjadi guru kepada pengikutnya, sebaliknya hanya bertindak sebagai pembimbing untuk mencapai lima perkara itu berdasarkan potongan terjemahan al-Quran.
Dia turut mempertikaikan kebenaran hadis nabi kerana mendakwa ia bukan 100 peratus betul, sebaliknya sudah bercampur aduk.
Dalam pertemuan hampir dua jam itu, penyanyi terbabit turut menunjukkan salinan beberapa surah al-Quran seperti Al-A’raf, Al-Ankabut, Al-Alaq, Ali Imran dan Az-Zumar yang ditandakan bagi menyokong lima asas ajaran Haji Kahar.
Penyanyi terbabit turut mendakwa Haji Kahar turut merantau ke seluruh dunia termasuk ke Israel untuk menguji diri sama ada dia seorang ‘Rasul’ atau tidak selepas menerima ‘petunjuk’.
Kini, Ramadhan telah berlalu. 1 Syawal telah pun disambut sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan. Insan yang telah lahir daripada Ramadhan telah membawa bersamanya hasil yang diperolehi daripada latihan sepanjang bulan Ramadhan. Sama ada Ramadhan benar-benar telah melatihnya menjadi insan bertakwa atau sebaliknya, setiap diri dapat menilai tahap dan pencapaiannya.
Jika dahulu semasa Ramadhan, anda rajin mengunjungi surau dan masjid untuk bertaraweh dan solat berjema'ah, kini sesudah Ramadhan, anda surut dan hilang daripada surau dan masjid, apakah layak anda mengaku anda telah dilatih oleh Ramadhan?
Jika dahulu anda menahan diri daripada perkataan nista, umpat keji, fitnah, adu domba dan menyakiti hati orang lain, kini sesudah Ramadhan, andan melepas segala rindu dendam terhadap semua itu, layakkan anda mengaku anda telah dilatih oleh Ramadhan?
Jika dulu, anda rajin mendirikan solat, puasa, zikir, doa, menjaga mata dan telinga, selalu membaca Quran dan zikir pagi dan senja, kini sesudah Ramadhan, anda tinggalkan semuanya, layakkah anda mengaku telah dilatih oleh Ramadhan?
Setiap orang bertanyalah diri. Apakah yang telah aku dapat daripada Ramadhan yang telah berlalu?
Sudah lama saya ingin menukarkan template bagi blog PERENUNGLANGIT. Beberapa percubaan yang saya buat sebelum ini berakhir dengan kegagalan. Selain tidak berpuas hati dengan design template yang dicuba, saya juga kehilangan semua aksesori blog yang telah saya letakkan. Terusterang, saya tidak punya ilmu yang cukup untuk menampilkan rupa template yang menarik sebelum ini. Sekurang-kurangnya buat diri saya sendiri.
Cuti sekolah dan cuti hari raya saya pergunakan masa lapang yang ada untuk mempelajari soal template. Perkara paling rumit dalam soal template adalah memahami bahasa html. Jika seseorang dapat memahami bahasa html, menukar dan mengubah template adalah perkara mudah baginya. Inilah yang telah saya cuba fahami selama ini.
Alhamdulillah...setelah menghabiskan masa beberapa jam membaca panduan-panduan yang ditulis mengenai template dan bahasa html, saya dapat memahami beberapa dasar penting. Dengan itu saya telah membina satu template mengikut selera saya. Saya telah dapat mengubah warna, keluasan kandungan blog dan mengubah gaya penampilan lain.
Sebenarnya saya masih mencari-cari corak yang lebih mantap bagi template blog ini. Saya akan cuba mencantikkan lagi blog ini agar ia menarik dan saya dapat berbloging dengan senang hati.
Sekarang ini, template ini terdiri daripada 3 kolum. Saya mahu menambahkan sidebar di bahagian bawah blog ini agar di sana saya boleh letakkan beberapa link dan bahan-bahan sampingan. 2 kolum kiri dan kanan sudah menjadi padat sekarang ini.
Insya Allah...saya akan menggunakan beberapa masa yang ada untuk mempelajari cara melaksanakan kemahuan saya.
Bagi yang berminat dengan template ini boleh dapatkannya di link berikut:
Aku lebih suka menyampaikan sendiri zakat fitrah aku dan keluargaku kepada mustahaqqin dari kalangan fuqara' dan masakin. Itulah pilihan pertamaku dalam menunaikan kewajiban zakat fitrah setiap tahun. Sebenarnya, menyampaikan sendiri zakat kepada sasaran tersebut lebih memdekati hikmah berzakat itu sendiri. Di samping melangsaikan kewajipan, kita dapat meninjau kemiskinan di lapangan dan menginsafinya. Kita juga dapat melebarkan perasaan kasih sayang dan hubungan antara kita dan orang yang menghadapi kesempitan hidup tersebut.
Menyertaiku dalam kelana singkat mencari mustahaqqin kali ini adalah ustaz Syukri bin Mat. Pada hari ini hari ke 29 Ramadhan. Esok mungkin raya. Kalau raya esok, mungklin terlalu sibuk untuk mencari sasaran zakat yangbenar-benar memerlukannya.Oleh itu hari ini mahu tak mahu perlu disempurnakan.
Kami menyusun kelana singkat ke perkampungan Sibugal Besar, Sandakan. Tidak tahu ke mana mahu dicari faqir miskin tersebut melainkan berserah kepada gerak hati daripada Allah SWT. Aku percaya kalau kita keluar rumah dengan niat mencari orang yang layak menerima zakat, Allah akan beri petunjuk.
Akhirnya kami singgah di sebuah rumah di kampung Sibugal Besar. Ust Syukri menyampaikan kewajipannya. Sebuah keluarga yang tinggal di sebuah rumah yang daif menjadi pilihan. Setelah itu kami meyusur lagi jalan kampung dan menemui sebuah keluarga lagi, yang tinggal di sebuah rumah kecil berdinding bambu yang yang dipecah dan dijalin secara ringkas. Di sana aku pula menyampaikan zakatku.
Alhamdulillah...inilah yang telah kami lakukan...wahai Tuhan...terimalah zakat kami.
Cerita Salasilah
-
Orang-orang di sekitar kampungku ramai yang masuk dalam kumpulan yang
dinamakan keturunan Wan Mustapha. Menurut Cerita, Wan Mustapha itu
bersambung lelu...