Watak Yaya (Zaweeya) dalam Kabus Rindu sebenarnya adalah imbasan watak salah seorang puteri aku. Dia memang sangat rajin tahap tukul The Thor, ketuk di Malaysia boleh terasa sampai ke bulan! Tapi tak bolehlah aku nak sebut selalu ayat negatif tu sebab pakar keibubapaan kata tak baik. Lalu bila kemalasan dia melanda, aku selalu gelar dia menantu sultan Johor.
Nak ambil berkat macam Duli Yang Mulia Raja Permaisuri Agung sekarang. Dalam satu temuramah majalah, baginda pernah bertitah yang bonda baginda menggelarnya permaisuri sebab baginda selalu bangun lambat.
Jadi, apa salah aku gelar anak aku menantu sultan pulak kan?
Ini antara babak aku menggambarkan betapa bertuahnya Si Yaya ni...
Perut yang kelaparan sudah menadah
minta diisi. Dibukanya kabinet dapur
sebelah atas. Manalah tahu, kalau-kalau
ada simpanan mee segera. Nil. Aduh!
Terasa mahu dibalingnya tin susu bergambar teko yang beratur di depan
matanya. Hendak menggoreng ayam, perlu
menunggu ayam umpama batu itu lembut dahulu.
Hendak menggoreng ikan, tidak pula arif dia melihat keadaan ikan yang
sudah masak itu bagaimana. Sebanyak mana
minyaknya.
Hendak menggoreng sayur, menyiang
kangkungpun Zaweeya tidak pandai! Bayam
apatah lagi. Ikutkan dia, dimasukkan
semua tanpa bersiang. Apa yang
disusahkan benar hendak disiang kalau semuanya masuk ke dalam perut?
“KEEYA, kalau Keeya nak tahu, itu
alasan orang terlebih rajin. Ada-ada
saja alasan dia.” Teringat kata-kata mamanya
apabila dia memberi alasan apabila disuakan sebekas bayam untuk
dikerjakan. Sayur paling ringkas
dimasak. Sup bayam bercampur ayam. Berkhasiat dan menjimatkan.
Hidayati menitikberatkan kesihatan
anak-anak dengan menjaga aspek pemakanan.
Setiap hidangan perlu ada sayuran atau buah-buahan. Buah-buahan harus dimakan sebelum makan
nasi. Selain dari salah satu sunnah
Rasulullah S.A.W., ia dapat mengurangkan kadar pengambilan kabohidrat dan
protein di dalam nasi dan lauk-pauk kerana perut sudah beralas. Satu kemestiannya yang cuma diikuti Zakeeya
sahaja.
“Tapi, bila waktu makan, tak payah
dipersila, tak payah dijemput, dialah orang pertama yang menyorong pinggan,” ulas Hidayati lagi. Zakeeya ketawa mendengar kata-kata mamanya
itu.
Zaweeya memang suka memberi alasan apabila disuruh ke dapur. Ataupun disuruh membuat apa-apapun. Jawapan yang paling popular ‘nanti
sekejap’. Membawa makna, ‘saya tak mahu
buat’. Ataupun jawapan biasa, ‘Yaya
penat’, ‘Yaya mengantuk’, ‘suruhlah orang lain, asyik suruh Yaya aja’. Semuanya membawa maksud sinonim dengan yang
pertama tadi iaitu ‘saya tak mahu buat.’
“Tak baik mama menjatuhkan air muka
anak di depan anaknya yang lain tau, ma.
Yayapun anak mama. Keeyapun anak mama. Pilih kasih namanya tu…” Zaweeya membuat andaian.
Mempamer wajah terluka yang
dibuat-buat. Biarpun dia tahu, mamanya
tidak akan terkesanpun dengan teknik psikologi amaturnya itu. Memutar topik
agar tiada hentaman kata menujah kepadanya lagi.
“Yaya tu tak pilih kasihkah? Bila mama suruh tolong masak, tolong kemas, Yaya
bagi seribu alasan. Bila tiba waktu
makan, waktu makan angin, kenapa Yaya tak bagi alasan. Kalau mama pilih kasih, mama tak bagi Yaya
makan, tahu?” Zaweeya
terkebil-kebil. Nawaitunya untuk
mengelak, Menamatkan perang kata,
tiba-tiba lain pula jadinya.
Akhirnya, Zaweeya mencapai dua biji
telur. Dihidupkan api dan telur
dipecahkan di dalam kuali tanpa minyak dan dikacau dengan sudip sehingga
hancur. Direnjis sedikit kicap masin dan
kicap manis. Tangannya mencapai majalah
Mekar yang berwarna jingga pada tulisan jawinya.
No comments:
Post a Comment