22 Nov 2024

Kenangan di Lorong B dan Festival Filem Raintown

Pada hujung minggu ini (16-17 November 2024) saya berada di Lorong B, Aulong Lama, Taiping, Perak. Tujuannya ialah mewawancara sekitar sepuluh penduduk di lorong ini untuk mengetahui pengalaman dan kenangan mereka tinggal di sini pada 1980-an dan 1990-an. [Baca di sini]

Sebagaimana dinyatakan dalam rencana “Ambil tahu serba sedikit sejarah kampung kita” (Utusan Malaysia, 23 September 2023) dan “Membawa sejarah setempat ke layar perak” (Utusan Malaysia, 21 September 2024), saya mahu mendokumentasi kisah penduduk di sini.

Sejak lahir pada Jun 1972, di lorong inilah saya membesar bersama jiran tetangga sebelum keluarga berpindah ke Klang, Selangor pada Disember 1991. Namun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Setiap kali ke Taiping atas apa-apa urusan, saya cuba mengunjungi jiran tetangga di Lorong B untuk bertanya khabar. Malah, pada Jun 2016, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) memulakan Projek Komuniti Kavyan di Lorong K, Aulong Lama.

Pada kunjungan kali ini pula saya menumpukan khusus kepada Lorong B. Hal ini kerana jumlah penduduk asal di lorong ini sudah jauh berkurangan berbanding dahulu. Ramai warga emas yang merupakan penduduk asal sudah meninggal dunia.

Pada 23 Mei 2024, saya berpeluang mewawancara Janakee Sinniah, 78, untuk mengimbau suasana lama yang kini sudah tiada di Lorong B. Keluarga beliau adalah peneroka kedua di lorong berkenaan sementara keluarga saya pula yang ketiga.

Pada masa kini, Janakee merupakan penduduk asal paling tua yang masih hidup. Semasa diwawancara, banyak juga perkara yang beliau akui sudah terlupa kerana faktor usia.

Nama Aulong Lama berasal daripada istilah bahasa Cina bagi “lorong belakang”. Menurut maklumat di Facebook Taiping Zone, Aulong Baru ialah antara Kampung Baru dibuka pada 1946 sebagai kawasan penempatan semula orang Cina dan Melayu di bawah Rancangan Briggs.

Ibu bapa, kakak, dan abang saya pernah menceritakan bagaimana pada awal 1970-an, masih ada kapal korek di lombong bijih timah di depan rumah kami. Bekas lombong itu pula kemudian dijadikan kolam ternakan ikan tongsan.

Sehingga hujung 1980-an, kami penduduk Lorong B masih memancing ikan tilapia, keli, dan haruan di lombong, selain menangkap ikan pelaga dan sepat.

Segala kenangan manis itu muncul apabila saya bertemu semula jiran tetangga lama dan kami sama-sama memandang bekas lombong bijih timah yang sudah kering dan dipenuhi semak.

Tentulah amalan, budaya, cara hidup, dan pergaulan penduduk India dan Melayu di lorong ini juga banyak mengalami perubahan mengikut peredaran masa.

Hakikat itu turut diakui Nour Roshima Abdul Malek apabila dikunjungi pada 27 September 2024. Ibunya meninggal dunia dua minggu sebelum itu, maka hilanglah satu lagi khazanah sumber kisah lama kehidupan di Lorong B.

Anak-anak muda di Aulong Lama sudah tidak tahu tentang kewujudan sebuah kandang lembu dan kerbau di Lorong B pada masa dahulu. Malah, kandang itu menjadi inspirasi bagi penulisan cerpen “Ayya” (Dewan Pelajar, Ogos 1992).

Jalan Simpang Halt yang bersambung dengan Jalan Masjid adalah laluan yang dibuka pada 1990-an. Asalnya, ia laluan landasan kereta api Taiping-Port Weld yang dibuka pada 1885.

Landasan itu melalui Lorong A dan bersambung secara lurus dengan Jalan Simpang Halt. Kereta api pada masa dahulu berhenti (halt) di Simpang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Sepetang.

Sayangnya, menjelang 1985, sempena ulang tahun ke-100 Keretapi Tanah Melayu, landasan bersejarah itu ditanggalkan. Lebih malang, tiada apa-apa tanda atau monumen dibuat untuk mendokumentasi laluan bersejarah itu.

Memanglah Aulong Lama bukan tempat yang mendapat ruang dalam sejarah mahupun peta negara. Anda boleh cari sendiri menggunakan Google untuk memahami hakikat ini.

Keadaan fizikal, suasana, dan sosiobudaya di Lorong B sudah terlalu jauh berbeza. Memanglah mustahil untuk mengimpikan suasana lama berulang. Sekurang-kurangnya, saya berhasrat mendokumentasi kisah, pengalaman, kenangan, dan cerita orang lama menerusi rakaman video.

Keluarga Satiaveni Krishnan yang berpuluh tahun tinggal di sana sudah berpindah ke taman perumahan di Aulong. Rumah papan lama sudah diroboh dan hilanglah bersama-samanya segala kenangan dan sejarah. Mujurlah ada foto-foto lama yang sempat saya rakam setiap kali mengunjungi mereka dahulu.

Saya juga memperoleh koleksi foto lama daripada Janakee dan anaknya,  Moganabal Joseph Albert. Mereka menguruskan sebuah kuil yang menjadi salah satu mercu tanda penting di Lorong B.

Krishnan Muniandy dan adiknya, Thurairaj Muniandy masih tinggal di sebelah rumah lama saya. Apa yang unik, seluruh keluarga itu memanggil saya “Cikgu” kerana saya pernah mengajar kelas tuisyen di rumah selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Klang.

Antara murid saya yang kini tentu sahaja sudah dewasa ialah Saraswathy Muniandy, Meganathan Muniandy, Kogilavani Ganesan, Citra Devi Muniandy, Suntheresvary Kasaban, dan Tamilarasi Kasaban. Kematian mengejut Citra Devi, 42, akibat kanser darah pada Januari 2024 juga memberi kesan emosi kepada kami semua.

Saya sudah merakam wawancara Suntheresvary, 42, di Kuala Lumpur dan  Sivasankar Narayanan, 56, di Shah Alam. Pada 16-17 November 2024 pula saya menyusun jadual mewawancara beberapa keluarga India dan Melayu di Lorong B.

Saya percaya mereka mampu berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman yang sebenarnya merupakan bahan sejarah lisan serta dokumentasi budaya yang sangat berharga.

Perlu saya akui bahawa pengarah filem dan penganjur Festival Filem Raintown, Jacky Yeap memberi motivasi dan keyakinan kepada saya untuk membuat dokumentari ini.

Mana tahu dokumentari amatur ini layak menyertai festival pada 2025 supaya kisah dan kenangan penduduk di Lorong B, Aulong Lama dapat turut diketahui khalayak ramai.

Teaser di YouTube: [Promosi Umum] [Jalan Berpasir] – [Janakee Sinniah] – [Suntheresvary Kasaban] – [Sivasankar Narayanan] – [Packiam Marimuthu] – [Krishnan Muniandy] – [Magesvary A. Balan] – [Moganabal Joseph Albert] – [Nour Roshima Abd. Malek] – [Satiaveni Krishnan] – [Teaser Utusan Malaysia– [Landasan Kereta Api] – [Kandang Lembu]

Penyuntingan dokumentari sepanjang 35 minit, 40 saat (Bahasa Tamil dengan sari kata Bahasa Malaysia) selesai sepenuhnya pada 2 Disember 2024.

[Tonton video penuh DI SINI sebelum 31 Disember 2024]

[Apa kata penonton? Baca di sini]

[Rencana ini ditulis pada 12 November 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 16 November 2024. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]