Program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang hampir menjangkau usia 25 tahun telah menerima ahli keluarga yang baru pada tanggal 19 Disember 2009 yang lalu. Terdiri daripada 13 orang peserta lelaki dan 14 orang peserta perempuan, rata-ratanya mempunyai latar belakang yang berbeza. 27 orang peserta MPR 2009 telah berkumpul di Menara DBP seawal 7.00 pagi lagi. Setelah pendaftaran dilakukan, para peserta MPR 2009 telah dibawa ke Dewan Seminar, Menara DBP untuk menghadiri Perhimpunan Alumni MPR 2009.
Kali ini, para peserta berpeluang bertemu dengan Sasterawan Negara yang ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridwan untuk sesi bersama Sasterawan Negara. Pastinya ini merupakan pengalaman yang manis buat semua peserta. Selain itu, para peserta telah mengikuti ceramah genre puisi yang disampaikan oleh Profesor Rahman Shaari dan genre cerpen disampaikan oleh Tuan Nurizan Raja Yunus @ Ana Balqis. Puan Rozninah Abdul Aziz iaitu editor Dewan Sastera turut meluangkan masa bersama peserta pada hari keempat. Para peserta juga dihidangkan dengan ceramah Penerbitan Karya Sastera Remaja oleh Encik Abdul Rahim Omar.
Sepanjang seminggu berkampung di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson, para peserta telah menerima bimbingan daripada Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Tuan Haji Shamsudin Othman dan Cik Khairunnasriah Abdul Salam. Karya para peserta yang dihasilkan semasa program berlangsung telah dinilai oleh para pembimbing. Para pembimbing telah memberi teguran, nasihat, tunjuk ajar dan teknik penulisan kreatif yang betul kepada para peserta.
Pada hari kelima berlangsungnya program, para peserta telah dibawa ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta berpeluang melawat Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Pendedahan seperti ini dapat membuka minda para peserta untuk mendekati pelbagai jenis bahan bacaan dan memupuk amalan membaca. Tidak ketinggalan, para peserta juga dibawa ke bahagian majalah yang terletak di tingkat 20, Menara DBP.
Para peserta berpeluang berjumpa dengan para editor dan wartawan majalah-majalah terbitan DBP. Sememangnya, lawatan seperti ini dapat mendekatkan para peserta dengan peranan yang dimainkan oleh DBP.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil bagi program MPR 2009 telah diadadakan pada 24 Disember 2009. Majlis tersebut telah dihadiri Puan Hajah Zalila Sharif iaitu Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja serta Puan Hajah Zahrah Ibrahim. Tanggal 25 Disember 2009, berlabuhnya tirai program MPR 2009 yang telah meninggalkan pelbagai kenangan yang pastinya akan terpahat di minda. Keakraban antara kesemua peserta merupakan sesuatu yang amat bernilai. Biarpun baru pertama kali bersua, kita persis telah lama saling mengenali. Saat berakhirnya program MPR 2009 telah mengundang rasa hiba antara kami. Perasaan ini turut dirasai oleh pihak urusetia program MPR 2009. Jutaan terima kasih diucapkan kepada DBP, ahli jawatankuasa @ urusetia MPR 2009 dan tidak dilupakan kepada para pembimbing MPR 2009.
TERIMA KASIH DAN SALAM RINDU DARIPADA KAMI!