Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Pengumpulan Data Alumni MR/MPR & Pemenang HSSBR




Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Minggu Penulis Remaja & Dewan Bahasa dan Pustaka, sedang dalam usaha untuk mengumpulkan maklumat semua alumni Minggu Remaja (MR) / Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semua yang pernah mengikuti program MR atau MPR mulai tahun 1985 dan semua pemenang HSSBR mulai tahun 1986 sehingga 1997 akan terlibat secara automatik dalam projek ini.

Maklumat ini akan dikumpulkan dalam buku Direktori Alumni MPR (judul sementara) yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Direktori ini dijangka akan dilancarkan sempena ‘25 Tahun Minggu Penulis Remaja’ yang dirancang sambutannya pada Oktober 2010.

Saudara/i boleh memberikan maklumat melalui dua kaedah;
  1. mengisi borang maklumat di bawah dan mengirimkan sekeping foto terkini melalui e-mel ke salinaibrahim@gmail.com dalam tempoh 2 minggu.
  2. memuat turun borang maklumat di sini (dalam format .doc) dan mengirimkan kembali melalui e-mel bersama sekeping foto terkini ke salinaibrahim@gmail.com dalam tempoh 2 minggu

Terima kasih diucapkan atas kerjasama saudara/i. Mudah-mudahan projek ini akan berjalan lancar dan direktori ini dapat diterbitkan mengikut jadual, seterusnya akan menjadi rujukan semua penggiat sastera terutamanya kalangan alumni.

Yang menjalankan tugas,

SALINA IBRAHIM
b/p Ahli Jawatankuasa Alumni Minggu Penulis Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka.


Tabiat Membaca Orang Muda; Budaya atau Gejala?



Oleh: Muhammad Lutfi Ishak


Erasmus Mundus, seorang ahli falsafah pernah mengucapkan tentang tabiat atau lebih tepat lagi, ketagihan membacanya. Katanya, ”jika saya mempunyai wang, saya akan membeli buku. Jika masih ada wang yang selebihnya, saya akan membeli makanan.”

Kata-kata tersebut kelihatannya spontan. Namun, kebenarannya ada. Malah, ada banyak cerita yang membenarkan penyataan Erasmus ini. Sebagai contoh, kita tentunya pernah mendengar tentang kisah al-Jahiz, ilmuwan muktalizah itu, yang pada akhirnya, meninggal dunia akibat dihempap buku-bukunya. Begitu juga dengan kisah seorang ulama yang terlepas malam pertamanya akibat terpukau dengan isi sebuah buku di dalam perpustakaannya. Malah, jika kita mahu berhujah dan menerima kebenaran yang lebih tinggi, firman yang ditanzilkan kepada baginda Nabi selepas tiga pelukan Jibril, ialah ’Iqra’. Bacalah!

Salah satu buku, yang saya rasa amat menarik dan mengungkapkan tentang budaya membaca ialah buku yang ditulis oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren, iaitu, How to Read a Book. Buku itu diterbitkan pertama kali pada tahun 40-an abad yang lalu. Namun, sesiapa sahaja yang membaca buku yang sudah boleh dianggap ’klasik’ itu, pasti akan membuat satu kesimpulan - bahawa, membaca buku dalam konteks manusia yang bertamadun, bukanlah aktiviti yang semborono. Membaca ialah satu seni dan satu kemahiran. Sebagai seni dan kemahiran, maka sudah tentu, membaca buku ialah aktiviti yang sistematik. Ada kaedahnya, ada keindahannya, ada peraturannya. Seorang pembaca yang serius, saya kira, ialah seorang pembaca yang membaca buku dalam konteks Adler ini.

Oleh sebab itu, persoalan ’orang muda’ dan ’budaya membaca’ adalah persoalan menarik. Dan tentunya hal ini lebih menarik apabila dikaitkan dengan situasi semasa dan orang muda di negara kita. Adakah orang muda di negara kita membaca buku? Saya yakin, setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri apabila menyikapi soalan ini. Sudah pasti, ada orang yang bersetuju dan tidak bersetuju. Dek kerana tidak ada petunjuk yang betul-betul empirik, dan jawapan yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman individu, maka, sudah tentu tidak ada jawapan yang mutlak untuk itu. Tuduhan itu boleh menjadi fakta, dan boleh juga menjadi mitos.

Jadi, di sini, saya mahu menjawab soalan ini dengan nada yang optimis. Lebih-lebih lagi, banyak sekali suara yang menafikan betapa, kajian yang menunjukkan orang Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun adalah kajian yang boleh dipertikaikan. Malah, belakangan ini ada juga yang menyatakan bahawa tahap pembacaan rakyat Malaysia semakin meningkat, mungkin sudah membaca 8 buah buku setahun. Begitu juga dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang agak optimis baru-baru ini. Kerana itu, saya yakin, orang muda tidak membaca ialah satu mitos. Orang muda sebenarnya membaca. Cuma, dalam konteks tulisan ini, saya lebih suka untuk menyorot dan mempersoal bahan bacaan yang dibaca oleh orang muda.

Namun, sebelum saya lebih optimis, kita juga mesti lebih seimbang, kerana beberapa tahun yang lalu, ada satu kajian yang menunjukkan tahap pembacaan yang agak ’sadis’ dan ’menakutkan’ yang berlaku di universiti. Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Dr. Abu Hassan Abdullaah mengenai budaya membaca di universiti, temuan yang didedahkan itu sangat mengejutkan. Menurut kajian tersebut, mahasiswa di universiti hanya membaca 4 buah buku setahun. Para pensyarah pula, rata-ratanya hanya membaca 20 buah buku sahaja.

Oleh sebab itulah, kita mesti membezakan antara budaya membaca dan bahan bacaan yang dibaca ialah dua perkara yang berbeza. Biarpun saling berkaitan, bahan bacaan yang dibaca adalah lebih penting. Apalah gunanya jika memang budaya membaca begitu marak dalam kalangan orang muda, tetapi bahan bacaan yang dibaca ialah bahan bacaan yang picisan. Dalam hal ini, saya lebih menekankan bahan bacaan adalah bersifat definitif, yakni yang memberikan nilai dan mengesahkan, adakah tabiat membaca buku, khususnya dalam kalangan orang muda, adalah satu ’budaya’ atau ’satu ’gejala’?

Dalam bukunya yang terkenal itu, Adler mendeskripsikan beberapa tujuan pembacaan. Satu, pembaca yang membaca hanya sekadar untuk mendapat makluman. Satu lagi ialah pembaca yang membaca untuk mendapat dan meningkatkan pemahaman. Orang yang hanya membaca surat khabar, misalnya ialah jenis pembaca yang hanya membaca untuk mendapatkan makluman. Pembaca yang membaca buku-buku serius misalnya, ialah pembaca yang membaca untuk mendapatkan pemahaman.



Dalam konteks Adler ini, ada jurang yang sangat luas, yang bukan sahaja membezakan 'aktiviti pembacaan' tetapi juga kualiti pemikiran dan peribadi pembaca. Pembaca yang hanya membaca untuk menambahkan makluman, tidak akan menambahkan apa-apa kepada dirinya selain timbunan makluman. Mereka membeli majalah, surat khabar dan lain-lain, hanya untuk menambahkan makluman. Pemikiran mereka tidak akan terasah, dan lebih malang lagi, mereka tidak akan dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu yang lebih sukar dan berada pada aras yang lebih tinggi daripada pemahaman mereka.

Pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman pula berbeza. Membaca bagi mereka ialah satu aktiviti serius, satu aktiviti pembalajaran. Dalam konteks ini, buku yang dibaca ialah guru yang mengajar kita melalui perkataan. Membaca dalam gaya ini ialah sejenis pembelajaran. Lazimnya satu pembelajaran, pasti ada tahap-tahap yang perlu dikuasai. Dan untuk menguasai sesuatu pembelajaran, usaha yang dicurahkan juga sangat banyak, dan perlu berpatutan dengan tahap kesukaran yang ada dalam buku itu.

Pembacaan jenis ini mempunyai dua syarat, begitu kata Adler. Syarat yang pertama ialah keadaan pemahaman yang tidak setara. Maksudnya, pemikiran 'si penulis' mesti lebih tinggi daripada pembaca, seperti pemikiran guru yang lebih tinggi daripada seorang murid. Syarat yang kedua, ialah si pembaca mestilah dapat mengurangkan keadaan(pemahaman) yang tidak setara itu. Maksud Adler itu ialah, si pembaca dapat memahami sedikit demi sedikit bahan bacaan, dan pada satu tahap, cuba sampai kepada pemahaman yang dimiliki oleh si penulis.

Sudah pasti, jika benar orang muda membaca, kita tentu mengharapkan mereka menjadi pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman. Membaca untuk menambahkan makluman memanglah tidak salah, tetapi membaca untuk menambakan pemahaman adalah lebih tinggi darjatnya. Namun begitu, berbanding kedua jenis tujuan pembacaan yang saya sebutkan tadi, saya berharap orang muda tidak menjadi satu lagi 'kelas' pembaca; yakni pembaca yang hanya membaca untuk hiburan.

Jadi, soalannya di sini, apakah orang muda kita yang membaca itu, membaca untuk menambahkan makluman, pemahaman, atau hiburan. Saya lebih cenderung untuk pesimis dalam konteks ini. Saya yakin, majoriti orang muda membaca untuk hiburan. Namun, keyakinan saya juga tidak bersifat mutlak. Keyakinan saya masih ’nomad’ dek tidak adanya kajian yang betul-betul empirik. Apapun, jika orang muda kita hanya membaca buku sekadar untuk hiburan, maka saya yakin, tidak ada budaya membaca. Yang ada hanyalah gejala membaca.

Sumber: Siasah 26 Mac - 2 April 2010



Novel Baharu Ida Munira

BUDAK SPAN dan Kem Chimera (Siri 2)


Ida Munira Abu Bakar
PTS One Sdn Bhd
RM 13.50 / RM 15.50 (Sabah & Sarawak),
983-3654-95-9, 978-983-3654-95-6,
Tarikh Terbit: 21 Julai 2009


SINOPSIS

Budak Span dan Kem Chimera mengisahkan Bakti dan kawan-kawannya yang sungguh teruja hendak menyertai sebuah kem bina diri yang diadakan sempena cuti sekolah. Mereka semua benar-benar tertarik untuk menyertai kem itu bagi memenuhi waktu yang terluang dan menimba pengalaman. Malangnya, sejak hari pertama, kem itu sudah menunjukkan kelainan yang mencurigakan. Ramai peserta dihantar pulang semula dan hanya tinggal 20 orang peserta sahaja di kem itu. Kem itu menyeronokkan, yurannya murah tetapi menghidangkan makana nlazat bagi melekakan para peserta. Namun, Bakti dan Mimi mula menyedari ada yang tidak kena pada kem itu selepas kehilangan Norma dan Obie. Malah, mereka dapati sekurang-kurangnya seorang peserta hilang pada satu malam. Bakti mula menyiasat, dia bertemu dengan Chimera, makhluk air di Tasik Chimera, lalu mengetahui hal sebenar, dan berazam hendak menyelamatkan kawan-kawannya dan mangsa-mangsa ujikaji pasukan Gren. Kelebihannya yang boleh bertukar menjadi budak span banyak membantunya dalam misi menyelamat itu. Tetapi dapatkan dia menyelamatkan kesemua mangsa termasuk peserta dua tahun lalu? Atau hanya kawan-kawan baiknya saja? Apa tunggu lagi, dapatkanlah novel fantasi ini dengan segera!

(Ingin tahu mengapa Bakti digelar Budak Span? Dan peristiwa tragis pada tahun sebelumnya? Dapatkan Budak Span siri 1 iaitu Budak Span dan Kasut Saraf)




BUJANGKU SAYANG


BUJANGKU SAYANG
oleh Aida Munira/ Ida Munira
Terbitan BUKU PRIMA SDN. BHD
RM 10.00
Terbit : Jun 2009

BUJANGKU SAYANG mengisahkan Bujang, seekor anak beruang madu yang menjadi haiwan peliharan Asyraf. Bujang amat jinak dan akrab dengan Asyraf serta kawan-kawannya yang lain iaitu Ajit, Lili dan Amin. Mereka semua menyayangi Bujang. Walau bagaimanapun, kedatangan konvoi sarkas yang mahu membuat persembahan di Kampung Tuadang telah mengubah segala-galanya. Pada mulanya, Bujang mahu dibeli oleh orang terpengaruh dalam sarkas, namun keluarga Asyraf menolak kerana mereka begitu sayangkan Bujang. Malangnya, tidak lama kemudian seorang peduduk kampung mati akibat diserang beruang di pinggir hutan kampung itu. hasil siasatan mendapati kematiannya disebabkan oleh serangan binatang liar atau lebih tepat lagi beruang. Tidak semena-mena Bujang telah dituduh membunuh mangsa itu.

Jadi, adakah Bujang yang telah membunuh penduduk kampung itu? Adakah bapa Asyraf akan menjual Bujang kepada orang sarkas? mampukah Asyraf, Ajiy, Lili dan Amin lakukan sesuatu untuk menyelamatkan anak beruang madu tersebut?

Kumpulan Cerpen Terbaharu Raihani Mohd Saaid


“Raihani Mohd. Saaid membuktikan bahawa pelbagai kemungkinan boleh dibawa masuk ke dalam teks prosa naratif untuk menyuntik kesegaran sensitiviti dan kreativiti mereka…’’

-Prof.Madya Dr.Lim Swee Tin-


KUMPULAN CERPEN 10 +1 bertajuk "BADRUL BAMBI" buah tangan sulung RAIHANI MOHD. SAAID, mantan MPR 1997.


Penerbit : RUMAH BUKU RANIA

Jumlah muka surat : 161 (jumlah keseluruhan ialah 184 muka)

Harga senaskhah (termasuk kos pos) :RM20.00

Penulis kata pengantar : PROF.MADYA DR.LIM SWEE TIN


Mengapa kumpulan cerpen ini dipanggil Kumpulan Cerpen 10+1?


Buku ini mengandungi 11 buah cerpen yang ditulis oleh Raihani sejak tahun 1997 di mana 10 buah darinya ialah cerpen yang pernah diterbitkan di beberapa penerbitan besar dan memenangi beberapa sayembara penulisan. Tetapi terdapat sebuah cerpen bonus, eksklusif untuk kumpulan ini sahaja, iaitu Badrul Bambi II.


Cerpen Badrul Bambi II belum pernah diterbitkan di mana-mana dan merupakan cerpen mutakhir Raihani.


Mengapa anda mesti memiliki kumpulan cerpen ini?

  • Raihani sebagai seorang penulis wanita, telah meninggalkan dunia cinta tiga segi, kahwin cerai dan hal-hal seputar rumahtangga di dalam cerpen-cerpennya.
  • Ada cerpen yang merakam pergolakan politik tanah air, terutamanya sekitar tahun 1998.
  • Ada cerpen seputar dunia teater dan filem Melayu.
  • Kebiasaannya hanya novel yang diadaptasi ke lakon layar, tetapi dalam kumpulan ini, ada lakon layar yang diadaptasi ke cerpen.
  • Tiada kisah cinta berlatarbelakangkan Timur Tengah =D.


TAWARAN ISTIMEWA UNTUK MANTAN MPR DAN PENGUNJUNG BLOG MPR!

Beli 3 naskhah dengan harga RM50.00 sahaja!


Setiap naskhah yang dipesan akan ditandatangani oleh penulisnya.


Cara-cara mendapatkan kumpulan cerpen ini:

  1. Emel kepada badrulbambi@hotmail.com dengan tajuk emel : BADRUL BAMBI
  2. Nyatakan jumlah naskhah yang ingin dipesan, nama dan alamat kiriman.
  3. Masukkan RM20.00 ke akaun


BSN- SITI RAIHANI 1010029897000183

atau

CIMB – FARIZ RAJEMEE 12530077634523


  1. Maklumkan jumlah wang, waktu bank in dan nama akaun ke alamat emel yang telah diberi.


Selamat membeli dan membaca!


JANJI MIFTAHUL RAUDHAH

Dapatkan novel sulung karya Sayidah Muizzah Kamarul Shukri (MPR 2007), JANJI MIFTAHUL RAUDHAH, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Temui Sayidah Muizzah pada:
Tarikh : 18 April 2009 (Sabtu)
Masa : 4.00 - 5.00 petang
Tempat : Gerai Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
no. 81-84 Ruang Legar PWTC

Tahniah!



PROJEK LOGKEMBARA 2009

Salam Bahasa. Sebuah projek buku logkembara (travelogue) sedang diusahakan oleh sekumpulan alumni UIAM, yang turut mendapat sentuhan mantan MPR dan ingin menjemput tuan puan ahli MPR sekalian sebagai penulis tamu – selain menghimpun penulis dari negara ASEAN lain.

Catatan pengalaman luar negara ini mestilah melepasi konsep listing atau ruangan melancong biasa - ”Pagi ke A, petang ke B, dan kota C sungguh cantik,’ tetapi jujur melihat benua lain dalam pengalaman luarbiasa atau tabu, persepsi istimewa, berilmu baru atau bantu, bual spontan, fakta lokal yang jarang diketahui, atau sisi apa-apa sistem negara berkenaan yang dilihat dari mata generasi muda. 1 muka hingga infiniti.

Dipersilakan!

Hafezin Khadiri
MPR 1997/
hafezin@hotmail.com/
0166310106

ANTOLOGI MPR KE-4

PERHATIAN!

Masa yang dinanti-nantikan akhirnya telah tiba. Kelab Alumni MPR kini membuka peluang kepada kesemua mantan MPR untuk menyumbangkan karya genre cerpen untuk dimuatkan dalam Antologi MPR yang ke-4. Pastinya, lebih sensasi daripada antologi yang sebelumnya! Berikut adalah beberapa kriteria cerpen yang diperlukan :-

  1. Bertemakan bidang kepakaran masing-masing. Contohnya, jika anda belajar/bekerja dalam bidang perubatan, tulislah cerpen berkaitan bidang tersebut. Walau bagaimanapun, tema tidak terbatas hanya kepada bidang pembelajaran/kerjaya sahaja. Sebagai contoh, jika anda hebat memasak, bolehlah menghantar cerpen dalam bidang tersebut. Asalkan ia merupakan bidang kepakaran anda. Pendek kata, cerpen yang menggunakan "ilmu bantu".
  2. Sila hantar karya anda dalam format berikut : double spacing, times new roman, saiz font 12, dan mengandungi 8-12 muka surat.
  3. Anda boleh menghantar sama ada cerpen baru, atau yang telah tersiar di media (nyatakan nama media dan terikh tersiar)
  4. Karya anda haruslah karya yang asli dan unsur-unsur yang tidak sepatutnya seharusnya dielakkan.
  5. Kos pembiayaan penerbitan akan dibiayai oleh para penyumbang karya mengikut kos penerbitannya yang termasuk cetakan, susun atur, dan lain-lain.
  6. 3 naskhah percuma akan diberikan kepada setiap penulis sebagai tanda penghargaan.
  7. Kami memerlukan 20 buah cerpen untuk antologi kali ini.
Apa tunggu lagi? Ayuh hantar karya anda segera ke aktivitimpr@gmail.com sebelum 24 Disember 2008.

________________________________________________

Serentak itu, kami ingin membuka peluang kepada anda untuk menamakan Antologi MPR ke-4. Sila berikan cadangan anda di ruangan komen. 3 cadangan nama yang terbaik akan dipilih dan kemudian seluruh warga mantan MPR akan mengundi menerusi sebuah poll untuk menentukan nama Antologi kita ini.

Sekian, Terima Kasih.

NOTA HUJUNG KACAK JELITA

..SEBUAH LAMPOON YANG SERIUS!
OLEH KAHIRUL NIZAM ABDUL RAUB (MANTAN 2000)



BAGAIMANA lagi harus saya babadkan. Inilah impian murni yang penuh dengan angan-angan indah semenjak saya menjadi warga elit Minggu Penulis Remaja (MPR). Idea gila-gila yang tercetus dalam gelak tawa mesra pada majlis makan malam MPR 2007 akhirnya direstui oleh abang dan kakak Kelab Alumni MPR. Dalam kesungguhan pada peringkat permulaan yang akhirnya menjadi kemalasan yang tidak boleh diselamatkan lagi, akhirnya terlaksana jugalah idea yang pada mulanya hanya sebagai bahan gurauan dan gelak tawa.

Kini antologi Kacak Jelita sudah menjadi nyata. Bukan angan-angan lagi. Susah payah saya mengumpulkan nama-nama besar yang bukan sahaja berbakat dalam bidang penulisan namun punya wajah menarik anugerah Ilahi. Memang ramai yang menganggap antologi ini mengarut namun kita terpaksa mengakui bahawa memang ada penulis yang mempunyai wajah menarik. Namun perlu diingat, faktor kualiti tidak pernah diambil enteng. Kebanyakan penulis yang kacak-kacak dan cantik-cantik ini sudah lelah dan jenuh memenangi segala jenis anugerah daripada Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan pelbagai jenis anugerah dan sayembara penulisan. Namun yang paling utama mereka ialah produk MPR!

Biarpun ada beberapa nama yang tidak dapat ditampilkan karya mereka kerana tidak lagi aktif menulis seperti Wira Budiman Azizan, Wan Nasrul Muhaimin dan Silmi Izani. Begitu juga denga ketiadaan ‘Abang Long’ MPR, Zaen Kasturi dalam memang dirasai kerana beliau tidak kurang tampannya walaupun usia sudah mencapai empat dekad. Adik MPR saya, Fahd Razy juga tidak dapat ditampilkan dalam antologi ini kerana dikekang masa di Dublin sana mengejar cita-cita menjadi doktor perubatan. Juga Ranofla Dianty Irwan, Siti Hajar Mohd Zaki dan Ashadi Saiman yang gagal dihubungi. Namun si kacak dan jelita yang sedia ada sudah cukup memberi kelegaan atas kesediaan mereka memberi kerjasama sekaligus berasa berbangga disenaraipendekkan di dalam antologi ini.

Oleh itu, biarlah saya telusuri kewajaran 15 nama yang termasuk dalam senarai “Hall of Fame” Kacak Jelita. Pertamanya tentulah sang arjuna Rahimidin Zahari yang pada sentiasa kekal muda dan tampan biarpun anak-anak sudah menjengah usia remaja. Siapa bisa melupakan mata yang merenung penuh menikam dan senyuman manis menggoda di samping kumis nipis yang menambah lagi seri di wajah putih bersihnya. Dia sanggup saya gelarkan Brad Pitt MPR! Jangan kata saya keterlaluan namun tanyalah wanita-wanita di luar sana. Sudah tentu mereka akan bersetuju sepenuhnya dengan saya. Puisinya cukup membekas dan tidaklah perlu dipertikaikan segala jenis anugerah yang pernah dimenangi. Saya kecewa Zaen Kasturi tidak tersenarai namun saya akan lebih kecewa andai Rahimidin tidak menyertai antologi ini. Ini kerana dia ialah graduan paling kacak dalam sejarah kewujudan MPR.

Wanita jelita ini saya gelarkan di antara Ratu MPR yang tidak pernah turun takhta. Amaruszati Noor Rahim masih kekal jelita biarpun sudah bergelar ibu. Masih teringat lagi menatap wajah ayu itu di majalah Dewan Siswa tatkala usianya baru menjangkau 20 tahun. Biarpun gambar itu hanya hitam putih namun dengan mata galak dan bibir penuh madu, tudung labuh tidak mampu menyembunyikan kecantikan asli wanita ini. Dia saya sanggup bertaruh nyawa untuk digelar Madhuri Dixit MPR! Keterlaluan? Sama sekali tidak. Telusuri dan bandingkan kecantikannya yang tidak pernah pudar dimamah zaman. Dengarkanlah juga suara merdunya tatkala mendeklamasi sajak. Mahu sahaja terbuai lena dek asyik mendengar suaranya.

Si kacak kedua ini sama-sama menyertai MPR bersama saya pada tahun 2000. Kematangannya kala berbicara sudah cukup menambah perisa kepada kekacakannya itu. Muhammad Lutfi Ishak ialah antara contoh kacak Melayu klasik seperti Ed Osmera atau Jins Samsudin yang semakin sukar didapati spesisnya kini. Mata kuyunya itulah antara tarikan utama. Sayang sudah berpunya ketika usia masih muda. Jika tidak, pastilah dia akan bergelar Casanova MPR paling berjaya dalam sejarah.

Seorang lagi Ratu MPR, Salina Ibrahim juga merupakan graduan MPR paling jelita dalam sejarah selain Amaruszati. Sukar untuk digambarkan betapa manisnya dia di dalam foto, lebih jelita lagi tatkala bertatapan wajah. Suara lunak manja sudah cukup ampuh mencairkan hati seorang lelaki. Andai dia sebaya dengan Fasha Sandha dan Fazura, pastilah tiada siapa yang sudi memandang dua gadis itu lagi. Hanya Salina sahaja di mata dan di hati.

Saya tidak pernah bersua muka dengan Shazmee Rizal. Hanya mendengar suara jantannya di corong telefon. Namun semua orang bersetuju untuk meletakkan beliau sebaris dengan si kacak yang lain dalam antologi ini. Hanya pernah menatap wajah di gambar sahaja. Ada wajah kecinaan dan kejepunan dan yang paling penting, masih mempertahankan bentuk badan walaupun sudah beranak pinak. Dia mengingatkan saya kepada Takeshi Kaneshiro. Masih ingat lagi betapa terpesona membaca cerpen Rahsia di Dewan Siswa dahulu. Itulah antara cerpen remaja terbaik pernah tersiar di majalah itu.

Raihani Mohd Saaid, si cilik yang bersuara besar ini. Putih melepak, mata penuh tajam memandang dan hidung kecil elok sahaja menyempurnakan wajahnya. Pandai pula bergaya. Saya sering membayangkan wajahnya seperti Gigi Leung, aktres Hong Kong yang comel itu. Namun, mendengar suaranya yang boleh membelah langit tatkala berdrama atau mendeklamasi sajak, dia bagaikan Maria Callas sedang mempersembahkan nyanyian opera.

Saharil Hasrin Sanin sering menulis cerpen penuh tema dan jalan cerita yang pelik-pelik. Namun tiada apa yang pelik dengan wajahnya. Dia merupakan si kacak yang berjaya mengubah penampilan daripada remaja nerd dengan rambut ala afro kepada pria tegap dan mata layu yang menggetarkan jiwa wanita. Hendak dibandingkan dengan Arnold Schwazenegger, keterlaluan pula. Namun, sejak menyertai gimnasium dan dengan kulit yang semakin cerah, dia ibarat Sylvester Stallone dalam pembikinan.

Dia putih melepak, senyumannya sudah cukup membuat banyak lelaki di UIA tidak tidur malam. Khairunnasriah sentiasa mengingatkan saya kepada Dian Sastrowardoyo. Cuma dia lebih lemah lembut dan bersopan berbanding akters Ada Apa Dengan Cinta itu. Penggayaan tudung labuh yang pelbagai membuktikan bahawa wanita bertudung juga bijak menyerlahkan kecantikan semulajadi hanya dengan senyuman manis dan kelembutan bicara.

Dia ibarat abang saya. Saya masih menganggapnya begitu biarpun sehingga kini masih tiada khabar berita. Dia digilai oleh ramai perempuan termasuk pelajar-pelajar dan juga graduan wanita MPR sendiri. Berbicara penuh sopan dan halus. Begitu juga dengan pakaiannya yang berjenama bagaikan Anuar Zain. Sebelum gelaran metroseksual wujud, dia telah lama mempraktikkannya. Tinggi lampai dan kulit putih melepak. Dia bagaikan bintang Sepanyol, Antonio Banderas. Ya, rambut ikal dan senyumannya itu mirip bintang filem itu. Siapa pernah mempertikaikan ketampanan Hizairi Othman.

Dia walaupun boleh digelar ustazah namun seorang ustazah juga tidak terlepas daripada dianugerahkan Tuhan dengan kecantikan. Kecil molek orangnya namun roman wajahnya lebih manis daripada gula. Paling mahal ialah alis matanya yang cantik terletak. Juga senyuman penuh mulus terhasil daripada bibir comel yang sempurna di wajah. Ummu Hani bagaikan bidadari yang menjelma dalam rupa manusia. Andai dia mempunyai ketinggian seperti Ekin, pasti Mawi akan gundah gulana untuk memilih kekasih hati.

Jejaka chinese look ini dengarnya menjadi rebutan dan kegilaan di Universiti Malaya suatu waktu dahulu. Bolehlah disamatarafkan dengan Nicholas Tse. Amir Mukhriz memang dinobatkan antara graduan MPR paling kacak sepanjang sedekad ini. Apabila sudah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, gayanya juga semakin matang dan memikat. Nicholas Tse MPR ini sentiasa merendah diri walaupun ramai yang memuja dan memuji.

Secara peribadi, saya tidak begitu mengenali Ida Munira. Hanya mendengar kehebatannya mengarang puisi sehingga sudah terbit buku sendiri. Namun apabila dicadangkan oleh ramai orang untuk memasukkan namanya dalam projek ini, saya sungguh teruja. Menatap wajahnya di gambar sudah cukup membuktikan untuk dirinya dibariskan dengan Salina dan Amaruszati dalam senarai jelita. Pipinya yang gebu mengingatkan saya kepada pipi Noreen Noor yang manja jelita itu. Bakat dan paras rupa melengkapkan dirinya sebagai seorang penulis wanita.

Si kacak Shamsudin Othman tidak boleh dipertikaikan lagi paras rupanya. Sejak menyertai MPR sehinggalah ke hari ini, tidak pernah berubah paras rupanya. Masih kurus seperti dulu. Tiada siapa akan percaya apabila diberitahu usianya sudah mencapai 40an. Malahan seperti jejaka berusia 25 tahun sahaja lagaknya. Perkara yang paling mahal tentang penyair tampan ini ialah mata coklat bening, kumis nipis dan rambut ikalnya. Abang Sham ini tidak malu saya ibaratkan seperti Slamet Rahardjo ketika muda.

Rosie..Rosie..salah satu transformasi paling berjaya dalam sejarah. Daripada hanya seorang anak gadis dengan rambut mengerbang dan bercermin mata besar ketika zaman sekolahnya menjadi seorang wanita penuh bergaya dan jelita selepas mengetuai In Trend. Saya sendiri terpaku menatap gayanya di editorial majalah itu. Belum lagi bertermu empat mata. Kelebihan lain untuk wanita ini suara merdunya ketika berbicara. Terasa seperti akrab sahaja tatkala berbicara dengannya. Mengenang Rosie saya sering membayangkan Anne Hathaway dalam Devil Wears Prada. Cantik sekali puan editor kini.

Si jelita terakhir dalam antologi ini ialah Hafizah Iszahanid. Saya mengenali karyanya ketika di bangku sekolah lagi. Masih teringat cerpennya yang berkisar tentang dunia guaman itu. Kini kembali menulis dan warga MPR mengalu-alukan kehadirannya dalam antologi ini. Hitam manis dan masih mengekalkan bentuk badan walaupun sudah punya cahaya mata menambahkan lagi kekaguman terhadap wanita ini. Keterlaluankah kalau saya menyamakan dirinya dengan Kajol? Pasti tidak.

Lengkaplah sudah segala gambaran tentang si kacak dan si jelita yang menjadi kebanggaan MPR ini. Mungkin ramai menganggap penghasilan antologi ini merepek namun ia tetap berjaya. Kami berjaya mengumpulkan barisan penulis tersohor tanah air dan pada masa sama pemilihan mereka berdasarkan paras rupa. Aneh tetapi inilah hakikat yang perlu diakui. Saya sungguh berbangga menulis kata pengantar untuk antologi ini. Inilah bukti para graduan MPR saling membantu dan bekerjasama apabila diperlukan bakti mereka. Untuk warga MPR lain yang tidak terpilih, usahlah berasa anda tidak kacak atau jelita. Cuma inilah yang dapat diperoleh dalam jangka waktu yang singkat. Mana tahu anda akan muncul untuk antologi Kacak Jelita yang kedua. Akhir kata, nikmatilah karya-karya hebat daripada barisan penulis yang bukan sahaja dikurniakan Tuhan dengan bakat menulis, juga paras rupa yang menawan. Antologi ini merupakan bonus paling unik pernah diperoleh para pembaca anotologi ini.
Menurut seorang penyelenggaranya, antologi ini mengambil masa paling lama untuk disiapkan. Barangkali kerana kesensasiannya dalam sejarah penerbitan antologi. Dan, berikut ialah antara langkah-langkah akhirnya...
Dua orang mantan yang terlibat dalam satu 'skandal' menunggu Naga-naga, orang yang bertanggungjawab membentuk duduk-letak grafik kulit antologi Kacak Jelita - untuk turun menyerahkan CD kulit antologi daripada menara tempat beliau bekerja) "maaflah ganggu Encik Naga-naga makan tengah hari..."
Inilah rupanya kulit antologi di atas kertas - dibentangkan di atas meja di Restoren Tupai-Tupai sambil bincangkan apa-apa yang patut. (Tempat di mana si baju hijau dalam gambar tu minta telur dadar macam di kampus dia).

Terima kasihlah, kerana hidangkan kami kopi. Memang orang di Meteor tu pandai bancuh kopi(Ya lah, jemu juga saling mengadap muka engkau-aku-engkau sahaja kan...?)

Setelah berbincang apa-apa yang patut, termasuk harga dan susun letaknya, maka wakil kami pun turunkan tanda tangan - tanda sah, setuju. (dah tu, siap dengan seruan, "Jom Cerpeen!" - baca dengan lantang ya tuan, puan!)


Maka dengan itu, siaplah dicetak naskhah contoh sebuah naskahk paling sensasi dalam sejarah penerbitan antologi!

3 KALI SARINGAN TELAH DIADAKAN OLEH LEMBAGA PENAPISAN ALUMNI MPR, TERMASUK BEBERAPA KALI TEMU DUGA BAGI MEMASTIKAN CALON-CALON PENULIS ANTOLOGI KACAK JELITA BUKAN HANYA LAYAK DARI SEGI RUPA, BAHKAN TURUT BERKEBOLEHAN MENYUMBANG KARYA TERBAIK ANTARA YANG TERBAIK...(melainkan Sdr. Hizairi Othman, yang terus diluluskan tanpa dipertikaikan paras dan kebolehannya)

Penulis-penulis yang diluluskan oleh Lembaga Penapisan Alumni MPR tersebut ialah;

Nasriah Abdul Salam (Mantan 2005)
BANGLO KOLONIAL DI LOT 152

Shazmee Rizal (Mantan 1991)
BATAS-BATAS PERLUMBAAN

Amaruszati Noor Rahim (Mantan 1987)
BATU BUKIT BATU SUNGAI

Rosie Haslinda Nasir (Mantan
BULANKU DI STELLA OCEANIS

Saharil Hasrin Sanin (Mantan 1991)
CAHAYA TERSANGAT ANEH

Rahimidin Zahari (Mantan
CATHERINE

Shamsudin Othman (Mantan 1986)
DATUK WAI BEE

Hafizah Iszahanid (Mantan 1994)
DOKTOR CINTA

Amir Mukhriz (Mantan 2004)
DUM!

Ummu Hani Abu Hassan (Mantan 1999)
EKSPLOIT 2 VERSI

Salina Ibrahim (Mantan 1991)
HATI SEORANG PEREMPUAN

Raihani Mohd Saaid (Mantan 1997)
JAUHARI SI JEBAT

Hizairi Othman (Mantan 1987)
MERUNGKAI DEDUKSI

Muhammad Lutfi Ishak (Mantan 2000)
RODA PEMBUNUHAN

Ida MuniraAbu Bakar (Mantan 2004)
YANG TERINDAH

Dapatkan pada hari Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan MPR, 2008 - Sabtu ini. Naskhah terhad!



KUMPULAN PUISI TERKINI- FAHD RAZY


Judul: Menggeledah Nurani
Genre: Kumpulan puisi
Penulis: Fahd Razy
Halaman: 120 (tidak termasuk kata pengantar dan kulit)
ISBN: 978-983-44127-0-8
Tahun: 2008
Harga: RM15


MENGGELEDAH NURANI merupakan kumpulan puisi persendirian pertama Fahd Razy yang menghimpunkan sejumlah 80 buah puisi yang ditulis antara 2001-2008. Naskhah ini dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Menggeledah Nurani dan Angin Sejarah. Menggeledah Nurani merakamkan puisi-puisi bernuansa Islam yang bersifat peribadi dan tercetus dari rasa kehambaan dan kekaguman kepada Pencipta manakala Angin Sejarah lebih sejagat sifatnya, merangkumi sejarah, ketamadunan, sosio-politik, serta isu-isu semasa.

Naskhah ini turut menghimpunkan puisi-puisi yang telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005, 2006, dan 2007, Hadiah Puisi Sains Karyanet 2004 dan 2005, Anugerah Penyair Alam Siber 2006, dan Sayembara Puisi Al-Fikrah MAIDAM-DBPWT 2007.

Untuk sebarang tempahan, sila emelkan nama serta alamat berserta butiran tempahan (judul dan naskhah) kepada fahd_razy@yahoo.co.uk atau hubungi Fahd Razy di 0122968901 (nombor ini sah sehingga 7 September sahaja)

PERHATIAN: Kos pos RM1 bagi setiap naskhah buku.Kumpulan puisi ini akan turut didiskusikan pada DISKUSI NOVEL & KUMPULAN PUISI MANTAN MPR, 2008

Rudra Avatara - Uthaya Sankar SB

“Di manakah batas antara realiti dan imaginasi, antara rasional dan tidak rasional, antara fiksyen dan faksyen, antara logik dan tidak logik?”

Sebelum sempat aku menjawab, Khandan menudingi otak sebelah kanan kepalanya. Kemudian menjentik hidung.

Kumpulan cerpen Bahasa Malaysia terbaru Uthaya Sankar SB
Kumpulan Cerpen Rudra Avatara menyajikan sebelas buah cerpen yang pernah tersiar dalam pelbagai media cetak sejak lebih sepuluh tahun lalu. Seperti biasa, kesemua cerpen ini sesuai dibaca oleh mana-mana individu yang mahu supaya fikirannya dicabar melalui unsur intertekstual dan makna yang tersirat di sebalik makna tersurat.

Judul : Rudra Avatara

ISBN : 983-40562-4-9

Kategori : Cerpen Umum

Pengarang : Uthaya Sankar SB

Penerbit : Uthaya Sankar SB (983-40562)

Halaman : 120 halaman (tidak termasuk prelim)

Harga : RM20.00 (kulit biasa), RM40.00 (edisi terhad, kulit keras)

Buah tangan terbaru daripada Uthaya Sankar SB ini akan dilancarkan pada 26 Julai 2008 sempena Pesta Buku Selangor 2008

Tarikh

26 Julai 2008 (Sabtu)

Masa

5:00 – 6:00 petang

Tempat

Pentas Aktiviti, Kompleks PKNS, Shah Alam

Pelancaran oleh

Sasterawan Negara Datuk (Dr) A. Samad Said

(Penasihat Agung Kavyan)

dipetik dari laman web Uthaya Sankar SB

Akan terbit

Bakal menemui anda, antologi Kacak Jelita. Mahu tahu siapa si kacak dan siapa pula yang jelita...nantikan kemunculan antologi ini.

***Kulit antologi ini adalah catan milik Rahimidin Zahari dan diper"cantik"kan oleh Si Naganaga. Sumber gambar dari blog Si Naganaga

KEBUN PUISI RAHIMIDIN


Sumber : Utusan Malaysia

Salman Sulaiman
13 April 2008


Di Kebun Khatulistiwa ialah kumpulan puisi terbaru karya Rahimidin Zahari setakat ini selepas Lakaran Kampung, Sekepal Tanah dan Matahari Berdoa. Menghimpunkan 112 buah puisi yang rata-ratanya dimuatkan dalam satu halaman dan bersesuaian pula dengan judulnya Di Kebun Khatulistiwa - puisi dalam kumpulan ini banyak mengambil latar kampung halaman. Ia diriuhkan oleh persembahan dan permainan tradisi tinggalan nenek moyang dan dilatari pula dengan tanah subur yang mampu menumbuhkan pelbagai jenis pohon termasuk sayuran dan buah-buahan.

Inilah yang dimaksudkan penyair sebagai kebun. Kesuburan dan keindahan alam ini tentu saja dipengaruhi iklim dan cuaca di tanah air kita iaitu khatulistiwa. Kebun indah yang dilatari iklim khatulistiwa inilah yang sangat dirindui penyair dan ia kemudiannya menjadi bait-bait kenangan yang sangat menawan dalam baris-baris puisinya dalam kumpulan ini. Dalam prakatanya yang dijudulkan Catatan Hamba: Potret Kecil dari Kampung, penyair jelas mengakui hal ini:

"Hamba telah memilih baris-baris kata untuk menyanyikan lagu hati. Lagu hati anak desa yang dikepung oleh ikatan pagar tradisi. Membesar di tanah jelapang dengan gegak gempita; di panggung dikir barat dan bangsal wayang kulit, tingkah gendang silat mempercepatkan pencak, paluan rebana ubi yang memecah sukma, busur wau bulan yang berdengung di angkasa mencecah jauh ke dinihari, ayam pupuh di pinggir hutan, pelaga cengkerik di sebalik pusu, mengintai belalang rusa di perdu nanas, dan memilih anak sepilai terbaik di paya sagu. Semuanya mengapung ingatan."

Puisi-puisinya yang dilatari kebun cantik beriklim khatulistiwa yang dihasilkan penyair dalam kumpulan ini seperti menghadiahkan kepada pembacanya lukisan yang begitu menawan dan memikat hati. Menelaah puisi-puisi Rahimidin dalam kumpulan ini seperti menekuni lukisan-lukisan cantik yang melakarkan sketsa kampung halaman yang menawan dan membuatkan kita begitu terpesona.

Begitulah dirinya, sudah dikenali puisinya yang sangat akrab dengan latar kampung halaman hinggakan kalimah 'kebun' itu sendiri seperti sudah boleh disinonimkan dengan Rahimidin Zahari. Seperti sudah boleh dijadikan satu penanda yang jelas bahawa kalimah 'kebun' di dalam baris puisi adalah semacam kepunyaan Rahimidin Zahari. Walaupun banyak mengimbau kenangan silam di kampung halaman dalam kumpulan ini, tetapi Rahimidin tetap memulakan naskhah ini dengan puisi Doa Pesakit iaitu sebuah puisi yang tidak lupa mengingatkan kita para pembacanya tentang kematian dan mengingatkan kita kepada Pencipta.

asal usulWalaupun nafas Islam dalam kumpulan ini tidaklah sekental kumpulan puisi Sekepal Tanah tetapi tetap banyak juga puisi yang mengingatkan kita tentang asal usul kejadian manusia daripada tanah dan akan kembali bersatu dengan tanah semula. Teliti ungkapan penyair pada puisi Kampung Rindu. Perhatikan empat baris akhir puisi ini, penyair tetap menyimpulkan bahawa penghujung kehidupan manusia itu ialah kembali kepada tanah juga akhirnya. Diperturunkan seluruh puisi ini:
Telah kulepaskan seekor serigala lewat angin pagi menebar bau sepi dan ketika gerimis memberikan khabar manis aku pulang ke kampung rindu ingin kugenggam tanah putih tempat ayah bonda bermain cinta kemudian hari sepasang pengantin berkahwin pula dengan sepi bumi.

Berbanding Sekepal Tanah, kumpulan puisi Di Kebun Khatulistiwa ini mempunyai tingkat penjimatan kata yang lebih rendah. Penyair berkisah tentang diri dan kampung halamannya semahu-mahunya. Kekejapan bahasa penyair yang sangat dikenali dengan puisi-puisi bernafas Islam ini seperti sedikit diabaikan berbanding puisi-puisi dalam kumpulan Sekepal Tanah yang lebih jimat dan cermat susunan kata-katanya - kejap dan kental pula nafas Islam di dalamnya.

Tapi tidak dinafikan, pada beberapa buah puisi masih tetap jelas dan menyentap nafas Islam yang disampaikan. Telaah sahaja puisi Aku Di Perkebunan Akhir. Kekuatan nafas Islam dalam puisi ini segera mengingatkan kita kepada puisi-puisi yang mengisi kumpulan Sekepal Tanah.

Antara puisi yang menghiasi halaman awal kumpulan ini ialah puisi yang menyorot peribadi penyair sendiri. Penyair berkisah tentang dirinya sendiri antaranya melalui puisi Autobiografi hinggalah Autobiografi 2002. Tentang dirinya, antara lain berkali-kali penyair mengakui dirinya hanyalah seorang 'lelaki kurus'. Pengakuan ini tertera antaranya dalam puisi Autobiografi, Autobiografi (III) dan Dari Tanah Bukit Pedalaman.

Sempat juga penyair bernostalgia mengenang kekasih lamanya yang bernama Asiah. Ini dapat dikesan dalam puisi Rumah Api, Kau Kembali Ke Kampung Lama dan Bagaimana Harus Kukatakan Kepadamu Asiah.

Menekuni puisi-puisinya dalam kumpulan ini membawa kita kembali jauh ke kampung halaman yang permai dan indah pula mata memandang. Tekuni sahaja rangkap kedua bait-bait puisi Peniup Seruling ini:

Siapakah yang lebih terasa goresan cantik merah senja daun-daun meluruh diresahkan angin hujan mengucur membasah bumi jambu mawar dan ubi kayu bakar air sumur dan suara tekukur berbaur pesan ibu menghalau itik dan caktuli azan maghrib dan tangga madrasah bulan merendah di halaman rumah.

Kumpulan ini menampakkan penyair begitu nostalgik dan penuh sentimental. Penyair bukan bercerita tentang dirinya sekarang, tetapi penyair sangat asyik bercerita tentang kehidupannya yang lalu di desa permai yang cantik menawan yang membuatkan kita sebagai pembaca turut terleka. Bagi pembaca yang lahir dan dibesarkan di kampung, kumpulan puisi ini tentunya mampu membuai perasaan dan mengimbau kenangan. Saya juga pasti ia tidak akan mengecewakan.

Pada halaman-halaman akhir, penyair juga memuatkan puisi khusus buat empat orang anaknya - Arief Afifi, Adib Ashraf, Hafiz Iqbal dan Nur Atiqah Sofia. Nasihat dan pedoman dalam bentuk puisi barangkali akan lebih bermakna dan sangat berguna buat bekalan anak-anaknya di masa depan. Ini kerana nasihat dan ingatan itu datang daripada ayah mereka sendiri, tambahan pula dalam bentuk puisi.

Menelaah Di Kebun Khatulistiwa adalah berkembara jauh ke dalam kehidupan lama seorang Rahimidin Zahari di kampung halaman yang manis dan penuh kenangan. Menekuni kumpulan puisi ini adalah menerobos jauh ke dalam diri penyairnya sendiri - ke kebun tradisi seorang Rahimidin Zahari.

Promosi : Buku Antologi Cerpen Palestin

Oleh Azree MH (http://www.studiomuslim.com/)
Setelah setahun lebih menunggu, akhirnya buku antologi Palestin ini dapat juga disiapkan. Beberapa perkara melambatkan sedikit penerbitan buku ini.


Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua penulis yang menyumbang karya untuk antologi ini. Dan tidak dilupakan juga penulis-penulis dari website esastera.com yang turut memberi sokongan.


Karya-karya anda memang baik dan mengesankan!


Tidak lupa juga kepada pihak editorial, Bro Wan Am, dan pihak JIMedia yang memberikan sumbangan tenaga dan kewangan. Semoga usaha saudara semua beroleh keberkatan.


Harapan saya dengan terbitnya buku ini, kesedaran tentang isu Palestin kembali berputik dan dapat memberikan impak yang besar kepada pembacanya. Perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada pendudukan Israel perlu ditangani dengan apa jua cara sekalipun.


Biarpun kita tidak dapat membantu mereka (rakyat Palestin) di sana, namun moga pendekatan seumpama ini setidak-tidaknya dapat menyumbangkan sesuatu kepada mereka.


“Saya yakin kehadiran buku ini di kalangan rakyat Malaysia mampu menyampaikan mesej perjuangan Palestin kepada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan remaja dan belia.


Saya juga percaya usaha murni para penulis kreatif sehingga terbitnya antologi cerpen ini akan mendorong kalangan sasterawan dan lingkungan penulis literary circle untuk mula meneroka penulisan kreatif demi mendukung perjuangan rakyat Palestin.” –Dr Hadfizi-


Senarai cerpen dan penulis:


1. Mujahid Kecil – Khairunnasriah
2. Biarkan Aku Jadi Orang Palestin – Huda Soid
3. Hujan Mengguyur di Al-Quds – Fahd Razy
4. Warkah Kala Hari-hari Berdarah – Ghafirah Idris
5. Skizofrenia – Noor Azree
6. Rebah di Pangku Wahyu – Dini Syarif
7. Izrail Sibuk di Gaza – Hafeziftiqar
8. Untukmu Palestin – Nuaym Budiman
9. Senja di Jabaliya – Mohd Khairul Adha Mohd Jamil
10. Imma Sa’adah Wa Imma Syahadah – Wan Yusra Hananah
11. Wanita Anak Palestin – Ilhami
12. Espirit De Corps – Nimoiz TY
13.Beza Dua Wajah – Safiyah
14. Mawar Itu – Ummu Afeera Zainulabid
15. Setulus Cintamu Mujahid – Umi Khaltum Abdullah


Untuk Tempahan
Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku ini bolehlah emelkan kepada saya di azree.mh@gmail.com.
Harga asal – RM15.
Harga promosi – RM12.
Kos penghantaran perlu ditambah RM3.

Antologi 9!




Promosi di Akhbar Berita Harian, Sabtu, 22 Sept. 2007
Buku: Sembilan cerpen kasih


KUMPULAN cerpen 9! menampilkan sembilan cerpen bertema kasih sayang, cinta, perjuangan, dendam, ketidakseimbangan diri dan harapan yang sememangnya wujud dalam kehidupan masyarakat moden hari ini, tetapi khalayak tidak menyedarinya kerana ia tidak terkena diri sendiri atau kalangan individu yang dikenali. Buku 1 dalam siri Antologi Cerpen Pengarang Terpilih MPR berharga RM17 senaskah ini mengungkap erti kekuatan dalam diri remaja ketika menempuh alam dewasa kerana setiap cabaran mendatang berupaya ditangani dengan tabah dan sesuai dibaca semua peringkat usia.

Terkandung cerpen-cerpen berjudul:

  1. Cinta Menyala Di Constantinople Oleh: Fahd Razy
  2. Teratai Oleh: Amir Mukhriz
  3. Homo Fabulans Homo Islamicus Oleh: Faisal Tehrani
  4. Rumah Nurul Iman Oleh: Ghafirah Idris
  5. Elegi Puteri Sa'adong Oleh: Khairunnasriah Abdul Salam
  6. Sepaun Daging Hutang Oleh: Nisah Haji Haron
  7. Warna-Warni Aidilfitri Oleh: Saharil Hasrin Bin Sanin
  8. Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah Oleh: Salman Sulaiman
  9. Demi Cintamu, Husnil Khatimah Oleh: Zaid Akhtar

Bintang: ***

Bagi sesiapa yang mahu memilikinya secara peribadi boleh membelinya di kedai buku onlie www.ujanailmu.com.my
Blog Widget by LinkWithin
top