Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Tabiat Membaca Orang Muda; Budaya atau Gejala?



Oleh: Muhammad Lutfi Ishak


Erasmus Mundus, seorang ahli falsafah pernah mengucapkan tentang tabiat atau lebih tepat lagi, ketagihan membacanya. Katanya, ”jika saya mempunyai wang, saya akan membeli buku. Jika masih ada wang yang selebihnya, saya akan membeli makanan.”

Kata-kata tersebut kelihatannya spontan. Namun, kebenarannya ada. Malah, ada banyak cerita yang membenarkan penyataan Erasmus ini. Sebagai contoh, kita tentunya pernah mendengar tentang kisah al-Jahiz, ilmuwan muktalizah itu, yang pada akhirnya, meninggal dunia akibat dihempap buku-bukunya. Begitu juga dengan kisah seorang ulama yang terlepas malam pertamanya akibat terpukau dengan isi sebuah buku di dalam perpustakaannya. Malah, jika kita mahu berhujah dan menerima kebenaran yang lebih tinggi, firman yang ditanzilkan kepada baginda Nabi selepas tiga pelukan Jibril, ialah ’Iqra’. Bacalah!

Salah satu buku, yang saya rasa amat menarik dan mengungkapkan tentang budaya membaca ialah buku yang ditulis oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren, iaitu, How to Read a Book. Buku itu diterbitkan pertama kali pada tahun 40-an abad yang lalu. Namun, sesiapa sahaja yang membaca buku yang sudah boleh dianggap ’klasik’ itu, pasti akan membuat satu kesimpulan - bahawa, membaca buku dalam konteks manusia yang bertamadun, bukanlah aktiviti yang semborono. Membaca ialah satu seni dan satu kemahiran. Sebagai seni dan kemahiran, maka sudah tentu, membaca buku ialah aktiviti yang sistematik. Ada kaedahnya, ada keindahannya, ada peraturannya. Seorang pembaca yang serius, saya kira, ialah seorang pembaca yang membaca buku dalam konteks Adler ini.

Oleh sebab itu, persoalan ’orang muda’ dan ’budaya membaca’ adalah persoalan menarik. Dan tentunya hal ini lebih menarik apabila dikaitkan dengan situasi semasa dan orang muda di negara kita. Adakah orang muda di negara kita membaca buku? Saya yakin, setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri apabila menyikapi soalan ini. Sudah pasti, ada orang yang bersetuju dan tidak bersetuju. Dek kerana tidak ada petunjuk yang betul-betul empirik, dan jawapan yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman individu, maka, sudah tentu tidak ada jawapan yang mutlak untuk itu. Tuduhan itu boleh menjadi fakta, dan boleh juga menjadi mitos.

Jadi, di sini, saya mahu menjawab soalan ini dengan nada yang optimis. Lebih-lebih lagi, banyak sekali suara yang menafikan betapa, kajian yang menunjukkan orang Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun adalah kajian yang boleh dipertikaikan. Malah, belakangan ini ada juga yang menyatakan bahawa tahap pembacaan rakyat Malaysia semakin meningkat, mungkin sudah membaca 8 buah buku setahun. Begitu juga dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang agak optimis baru-baru ini. Kerana itu, saya yakin, orang muda tidak membaca ialah satu mitos. Orang muda sebenarnya membaca. Cuma, dalam konteks tulisan ini, saya lebih suka untuk menyorot dan mempersoal bahan bacaan yang dibaca oleh orang muda.

Namun, sebelum saya lebih optimis, kita juga mesti lebih seimbang, kerana beberapa tahun yang lalu, ada satu kajian yang menunjukkan tahap pembacaan yang agak ’sadis’ dan ’menakutkan’ yang berlaku di universiti. Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Dr. Abu Hassan Abdullaah mengenai budaya membaca di universiti, temuan yang didedahkan itu sangat mengejutkan. Menurut kajian tersebut, mahasiswa di universiti hanya membaca 4 buah buku setahun. Para pensyarah pula, rata-ratanya hanya membaca 20 buah buku sahaja.

Oleh sebab itulah, kita mesti membezakan antara budaya membaca dan bahan bacaan yang dibaca ialah dua perkara yang berbeza. Biarpun saling berkaitan, bahan bacaan yang dibaca adalah lebih penting. Apalah gunanya jika memang budaya membaca begitu marak dalam kalangan orang muda, tetapi bahan bacaan yang dibaca ialah bahan bacaan yang picisan. Dalam hal ini, saya lebih menekankan bahan bacaan adalah bersifat definitif, yakni yang memberikan nilai dan mengesahkan, adakah tabiat membaca buku, khususnya dalam kalangan orang muda, adalah satu ’budaya’ atau ’satu ’gejala’?

Dalam bukunya yang terkenal itu, Adler mendeskripsikan beberapa tujuan pembacaan. Satu, pembaca yang membaca hanya sekadar untuk mendapat makluman. Satu lagi ialah pembaca yang membaca untuk mendapat dan meningkatkan pemahaman. Orang yang hanya membaca surat khabar, misalnya ialah jenis pembaca yang hanya membaca untuk mendapatkan makluman. Pembaca yang membaca buku-buku serius misalnya, ialah pembaca yang membaca untuk mendapatkan pemahaman.



Dalam konteks Adler ini, ada jurang yang sangat luas, yang bukan sahaja membezakan 'aktiviti pembacaan' tetapi juga kualiti pemikiran dan peribadi pembaca. Pembaca yang hanya membaca untuk menambahkan makluman, tidak akan menambahkan apa-apa kepada dirinya selain timbunan makluman. Mereka membeli majalah, surat khabar dan lain-lain, hanya untuk menambahkan makluman. Pemikiran mereka tidak akan terasah, dan lebih malang lagi, mereka tidak akan dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu yang lebih sukar dan berada pada aras yang lebih tinggi daripada pemahaman mereka.

Pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman pula berbeza. Membaca bagi mereka ialah satu aktiviti serius, satu aktiviti pembalajaran. Dalam konteks ini, buku yang dibaca ialah guru yang mengajar kita melalui perkataan. Membaca dalam gaya ini ialah sejenis pembelajaran. Lazimnya satu pembelajaran, pasti ada tahap-tahap yang perlu dikuasai. Dan untuk menguasai sesuatu pembelajaran, usaha yang dicurahkan juga sangat banyak, dan perlu berpatutan dengan tahap kesukaran yang ada dalam buku itu.

Pembacaan jenis ini mempunyai dua syarat, begitu kata Adler. Syarat yang pertama ialah keadaan pemahaman yang tidak setara. Maksudnya, pemikiran 'si penulis' mesti lebih tinggi daripada pembaca, seperti pemikiran guru yang lebih tinggi daripada seorang murid. Syarat yang kedua, ialah si pembaca mestilah dapat mengurangkan keadaan(pemahaman) yang tidak setara itu. Maksud Adler itu ialah, si pembaca dapat memahami sedikit demi sedikit bahan bacaan, dan pada satu tahap, cuba sampai kepada pemahaman yang dimiliki oleh si penulis.

Sudah pasti, jika benar orang muda membaca, kita tentu mengharapkan mereka menjadi pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman. Membaca untuk menambahkan makluman memanglah tidak salah, tetapi membaca untuk menambakan pemahaman adalah lebih tinggi darjatnya. Namun begitu, berbanding kedua jenis tujuan pembacaan yang saya sebutkan tadi, saya berharap orang muda tidak menjadi satu lagi 'kelas' pembaca; yakni pembaca yang hanya membaca untuk hiburan.

Jadi, soalannya di sini, apakah orang muda kita yang membaca itu, membaca untuk menambahkan makluman, pemahaman, atau hiburan. Saya lebih cenderung untuk pesimis dalam konteks ini. Saya yakin, majoriti orang muda membaca untuk hiburan. Namun, keyakinan saya juga tidak bersifat mutlak. Keyakinan saya masih ’nomad’ dek tidak adanya kajian yang betul-betul empirik. Apapun, jika orang muda kita hanya membaca buku sekadar untuk hiburan, maka saya yakin, tidak ada budaya membaca. Yang ada hanyalah gejala membaca.

Sumber: Siasah 26 Mac - 2 April 2010



Apa yang Anda Lakukan Semasa 'Earth Hour'?

Earth Hour bermula di Sydney pada tahun 2007 dengan 2.2 juta rumah dan premis bergelap selama satu jam. Pada tahun 2008, mesej ini berkembang ke peringkat global dan 50 juta premis bergelap termasuklah mercu tanda dunia seperti Golden Gate Bridge di San Francisco, Colosseum Rom, Sydney Opera House dan Coca Cola billboard di Times Square.

Tahun ini, Earth Hour berkembang lagi ke takah seterusnya dengan sasaran 1 billion premis menutup lampu. Tahun 2009 ini juga buat pertama kalinya Earth Hour menjadi sebuah 'pilihan raya' antara Bumi dan pemanasan global. Undi Bumi dengan menutup lampu atau sebaliknya, mengundi pemanasan global.

Mari kita kongsikan bersama-sama, apa yang anda lakukan semasa Earth Hour?

Juga boleh kongsikan gambar-gambar menarik semasa Earth Hour, emelkan ke aktivitimpr[AT]gmail[DOT]com.

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR 2009

Majlis Diskusi Karya Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) kembali lagi. Majlis kali ini akan diadakan dengan kerjasama Alumni Minggu Penulis Remaja dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput semua ahli kelab alumni, para penulis, pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu sastera tanah air untuk menghadiri majlis ini.

Tarikh: 17 Januari 2009 (Sabtu)
Jam: 8.30pagi - 12.30tghari
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP
Tema Pakaian Mantan : MERAH

Sesi 1 (Karya Eceran & Novel)

Diskusi puisi eceran dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. SESUMPAH – FIRDHAUS HASSAN (Tunas Cipta)
2. DI TEDUHAN SEBUAH POHON KEMERDEKAAN – NISSA' YUSOF (Mingguan Malaysia)
3. DOA YANG BUNGKAM – AZREE ARIFFIN (Mingguan Malaysia)
4. GURINDAM DAMBAAN INSANI – NOR AFIQAH BINTI MOHD SIDEK (Berita Minggu)
5. PELANGI INDAH DI LANGIT BIRUMU – FARAHANA HUSSEIN (Al-Islam)
6. PENOMAD CINTA – NURUL 'IZZAH ZAINOL (Berita Minggu)
7. HUJAN PAHALA II – ZAKI JOHARI ( Berita Harian)
8. MERINDUIMU – ODE (Berita Minggu)
9. MARSUM RALAT DARIPADA AL-AZIZ – NASRIAH ABDUL SALAM (Mingguan Malaysia)
10. MERDEKAKAN HATIMU – AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)


Diskusi cerpen eceran dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. GERAI PISANG GORENG ABAH - AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)
2. KERETA PUNYA ANGKARA – AIDIL KHALID (Tunas Cipta)
3. MAHAKARYA SEORANG PIDANA – ZULFAZLAN JUMRAH (Tunas Cipta)
4. SRENGENGE - NAI BOON MEE SARARAKS (Tunas Cipta)
5. INFILTRASI GALAKSI – M.F KENCANA (Tunas Cipta)
6. KERANA AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH – SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI (Tunas Cipta)
7. SKIZOFRENIA – AZREE HANIFIAH (Tunas Cipta)
8. TUAH DAN KUCING PUTIH – MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR (Tunas Cipta)
9. TENGGELAM DALAM KEREDHAAN – NABIHA M. MASHUT (Tunas Cipta)
10. TERIMA KASIH UNTUKMU – HANI SALWAH YAAKUP (Tunas Cipta)
11. BEZA DUA WAJAH – SAPIAH BT DERAHMAN (Antologi Palestin)

Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim
dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin


Sesi 2 (Kumpulan/Antologi Cerpen)

Antologi cerpen KACAK JELITA dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir

Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y
dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid

Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki
dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin


Sebarang persoalan, sila ajukan ke emel: aktivitimpr@gmail.com

KERABAT MPR 2008


KELAB ALUMNI MINGGU PENULIS REMAJA DBP

dengan bangganya
mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada

MANTAN MPR 2008!


PEMBIMBING

Shamsuddin Othman
(Puisi)

Rahimidin Zahari
(Puisi)


Saifullizan Yahaya
(Cerpen)


Nasriah Abdul Salam
(Cerpen)

PESERTA


Rashidi Daud
Penghulu

Syarifah Zulikha
Penghuluwati


Hazwani Husain
Peserta Terbaik (Puisi)

Fariza Shahkina Shahbuddin
Peserta Terbaik (Cerpen)

Nor Nabila Johari

Noor Shahida Bidin

Zubaidah Gapor

Nor Wahyuna Ramli

Raden Qurratu'Aini Muhammad Mun'im

Muhammad Faisal Mat Zawi

Justin Dingun Ugah

Nurul Adnie Bahiah Zahaba

Ilya Ireeza Noor Zehan

Nur Shafiqa Shafee

Nur Nabila Ahmad

Amir Hamzah Akal Ali

Azwein Zaidean

Nurul Hidayah Ahmad Shahbuddin

Radiah Baharin

Rashidah Othman

Misraini Wazir

Nur Hidayah Zainal

Muhammad Hazhizh Saparuddin


Apabila Mantan MPR Beri Ucapan Merdeka


Sila klik pada imej untuk kepuasan membaca.


p/s: minta maaf sangat, hanya ini saja mantan-mantan yang sempat di'wawancara' dalam masa singkat. Harap tak ada yang terasa hati. Kita simpan untuk perayaan lain pula :)


Salam Aidilfitri


Kepada seluruh warga Alumni Minggu Penulis Remaja DBP & muslimin muslimat sekalian, diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Semoga dengan menjelmanya hari kemenangan ini, ukhwah antara kita akan terus terjalin dan semangat untuk menulis akan terus membara hendaknya, InsyaAllah.

Selamat Datang!

Assalamualaikum.

Selamat Datang ke blog mantan Minggu Penulis Remaja DBP. Blog ini dibangunkan hasil kesinambungan daripada blog MPR2006 yang dilihat begitu berkesan merapatkan ukhwah para mantan bengkel Minggu Penulis Remaja 2006 kendalian Dewan Bahasa & Pustaka. Justeru, blog ini diwujudkan untuk meluaskan lagi khalayak kepada seluruh mantan MPR sejak tahun 1985 lagi. Secara ringkas, berikut merupakan intipati utama blog ini :

1 - Buletin - Untuk menghebahkan kegiatan-kegiatan kesusasteraan dan karya mantan MPR yang tersiar di Media.
2 - Promosi - Mempromosikan buku-buku hasil karya mantan MPR.
3 - Forum - Medan perbincangan dan merapatkan ukhwah.
4 - Pangkalan Data - Senarai nama-nama dan blog mantan MPR.
5 - Rencana - Menghimpunkan koleksi-koleksi rencana mahupun keratan akhbar yang berkaitan dengan MPR.

Buat masa ini, blog in masih dalam proses pembangunan dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Oleh itu, kepada sesiapa mantan MPR yang ingin turut sama menyumbangkan tenaga dan kudrat untuk menjadi salah seorang moderator mahupun menyumbangkan artikel, anda sangat dialu-alukan. Sila emelkan ke mantan_mpr@yahoo.com.my.
Blog Widget by LinkWithin
top