Showing posts with label Kenangan. Show all posts
Showing posts with label Kenangan. Show all posts

29 December 2012

Salam Tahun Baru..

Assalamualaikum...

Apa khabar semua teman2 kamezaim di sini?. Harap semuanya sihat senantiasa. Kamezaim pun dah tak ingat bila kali terakhir kamezaim update blog ni.. hehe Makin lama makin pudar minat pada berblog tapi sayang pada blog ni tetap ada.. huhu

Apapun, di kesempatan ini kamezaim ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua teman2 kamezaim di sini. Semoga dengan hadirnya tahun baru ini, apa yang dihajati sebelum ini telahpun tercapai. Sepanjang tahun 2012 ini pasti banyak kenangan suka-duka yang tak mungkin kita dapat lupakan. Yang pahit menjadi pengajaran, yang manis menjadi kenangan dan derita menjadi pengalaman.

Mungkin hari ini kita derita, mungkin hari ini kita susah tapi siapa tahu esok hari. Mungkin yang miskin menjadi kaya, yang kaya menjadi papa kedana. Apa yang penting ialah, bila kita senang jangan kita lupa tatkala kita susah. 

Dulu seorang kini berdua, esok lusa mungkin bertiga.. Semuanya di tangan takdir. Kita hanya berusaha namun Allah yang menentukan. Semoga berakhirnya 2012 dengan penuh kenangan dan pengertian. Azam 2012 sudah terlaksana ke??.. hehe

Apakan azam 2013 anda?. Azam 2013 kamezaim adalah menjadi yang terbaik daripada sekarang. Semoga 2013 yang bakal tiba ini kan lebih bermakna dalam hidup kita.

Anyway, kamezaim ingin memohon maaf andai ada salah dan silap. Semoga kita semua sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dirahmati Allah S.W.T... amin.

Wassalam..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

16 September 2009

Ratapan Seorang Ibu Tua..


JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.

Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,” katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,” katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

* Sumber : Harian Metro (16/09/2009)

<------------------------------------------------------------>

Benar kata orang, kasih ayah mencari rezeki. Kasih saudara hanya ketika berada dan kasih ibu membawa ke syurga. Tapi, kasih anak.. Tak siapa yang tahu...

Inilah nasib seorang ibu yang telah mempertaruhakan nyawanya untuk melahirkan anaknya ke dunia ini dengan harapan anaknya dilahirkan dengan sempurna. Kemudian, si ibu membesarkan anaknya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Tapi kini dia sudah tua dan tidak lagi berdaya untuk melakukan sebarang kerja dan hanya mengharapkan kasih sayang dari seorang anak yang dia lahirkan. Tapi apakan daya, kasih anak tak setanding kasih ibu. Akhirnya, seorang ibu tua ditinggalkan di rumah kebajikan dengan hanya alasan tiada siapa yang dapat menjaganya kalau dia di bawa balik ke rumah anaknya. Bertahun-tahun si ibu tua ini membesarkan anaknya tanpa satu alasan pun tapi kenapa anaknya tergamak memberi alasan untuk tidak menjaga ibunya yang sudah tua ini. Syawal kian menjelma, hati ibu mana yang tidak sayu mengenangkan nasib diri apabila di buang oleh anak kandungnya sendiri. Kenapalah anaknya sungguh kejam, tergamak membiarkan ibu kandungnya beraya di rumah kebajikan itu. Kalau sekalipun tidak mahu menjaga ibunya itu, apa salahnya kalau bawa di balik ke rumah untuk beraya dengan anak-anak dan cucunya. Selepas tu nak hantar dia pulang ke rumah kebajikan pun, itu terserahlah.

Kamezaim sedih sangat, sedih dan terkilan kerana mereka masih punya ibu tapi tidak tahu menghargainya. Mungkin sekarang mereka bahagia dengan keluarga mereka tanpa ibu tapi mereka terlupa bahawa tiada kasih lain selain kasih ibu yang membawa ke syurga. Bila mereka berada di mana kamezaim berada, barulah mereka tahu betapa bernilainya kasih seorang ibu. Kita tidak akan merasa ianya bererti selagi ianya masih ada, tapi kita akan merasa ianya cukup bererti setelah kita kehilangannya. Tapi setelah kita kehilangannya, segalanya sudah tidak bererti lagi. Dia pergi tetap akan pergi, kita akan merasa penyesalan seumur hidup yang ada. Hingga satu saat itu kita mula terfikir, jika aku diberikan satu peluang untuk bersama ibu lagi, aku pasti akan menjaganya. Tapi apakan daya, smua itu hanyalah selepas ianya tiada. Tapi kenapa semua itu tidak terjadi sebelum ianya tiada.

Buat semua anak-anak yang telah menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau telahpun membiarkan ibu bapa mereka terbiar bagai sampan hanyut di lautan yang sepi, ambil dan bawalah mereka pulang ke rumah anda. Andai kehadiran mereka tidak disenangi oleh isteri atau suami anda, pilihlah yang mana satu lebih bermakna buat anda. Adakah sanggup kita membuang seorang ibu atau ayah hanya kerana ingin menjaga hati seorang isteri atau suami?. Terlupakah kita bahawa kita juga akan menjadi seperti mereka pada suatu hari nanti malah mungkin lebih hebat dari itu. Bawalah mereka balik, jagalah mereka seperti mana mereka menjaga dan membesarkan kita dulu. Janganlah hanya kerana kepentingan diri sendiri, kita terlupa dari mana dan dengan siapa kita dilahirkan. Tanpanya, tiadalah kita..

Renungkanlah.. Menyesal di kemudian hari tiada gunanya lagi.. Kamezaim luahkan apa yang kamezaim rasa, kerana kamezaim pernah menghadapi saat-saat kehilangan seorang ibu yang selama ini telah banyak berkorban demi membesarkan kamezaim. Kamezaim pernah lalui bagaimana rasanya bila mencurah air ke satu jasad yang sudah tidak bernyawa, kamezaim pernah melalui bagaimana sayunya hati melihat seorang ibu yang telah melahirkan kamezaim dikafankan. Senyuman terakhir sebelum wajahnya ditutup oleh kain putih. Kamezaim pernah lalui bagaimana mengangkat sebuah keranda yang kamezaim sendiri tahu bahawa di dalam keranda tersebut adalah sekejur tubuh seorang ibu yang sangat kamezaim sayang. Kamezaim juga tidak pernah lupa bagaimana rasanya tatkala membawa jenazah ibu turun ke dalam liang lahat. Kalau sebelum ini kamezaim membawa turun jenazah sahabat-sahabat kamezaim tapi kini jenazah yang kamezaim bawa turun itu adalah jenazah ibu kamezaim sendiri. Rasa bagai ingin saja menangis sekuat-kuatnya tapi kamezaim tabahkan hati juga kerana kamezaim mahu arwah ibu pergi dengan tenang bertemu yang maha Esa. Kemudian, kamezaim tak kan lupa juga bagaimana perasaan tatkala mula membawa tanah turun ke dalam liang lahat. Semua itu terlalu sukar untuk kamezaim gambarkan melainkan hanya pada mereka yang pernah melaluinya sendiri. Jadi, pada mereka yang masih punya ibu dan ayah, hargailah mereka selagi mereka masih ada. Kehilangan mereka seumpama hilang separuh dari hidup ini. Bersyukurlah sementara mereka masih ada, dengarlah cakap kamezaim ni. Jangan menyesal seumur hidup yang ada..

** Dapatkan Lagu Raya Percuma Di Sini >> Klik <<


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

26 July 2009

Selamat Tinggal Pujaan..

Assalamualaikum..
Aduh, sedihnya rasa di hati ini setelah terpaksa berpisah dengan dia yang selama ini banyak menemani aku. Dulu kemana saja ku pergi mesti dia kan sentiasa menemani aku tapi kini tidak lagi kerana dia sudah dilamar orang. Sayu rasa di hati tatkala melihat dia pergi bersama dengan teman barunya. Terlalu banyak kenangan-kenangan aku bersama dia yang terlalu sukar untuk aku melupakannya.

Kekasih hatiku ini dilamar dengan mas kahwin sebanyak RM 1,600.00 oleh seseorang yang aku rasa mampu menjaga dan membahagiakan dia. Aku tidak mampu membahagiakan dia, namun dia tidak pernah menyakitkan hatiku. Dia sentiasa menjaga aku dan menyayangi ku sepertimana aku menyayanginya juga.. hehe

Aku relakan juga dia pergi dengan harapan dia berbahagia di samping teman barunya itu. Jagalah dirimu baik-baik, jangan berduka lara.. hehe Sesungguhnya aku pasti merinduimu..

Selamat tinggal pujaan
Selamat kau berbahagia
Hidup di samping si dia
Kasih baru yang melamar mu

Kini tibalah masanya
Ku tetap bermohon diri
Agar kau tak bercuriga
Pada ku kau lupa saja

Tak guna bersedih
Tak guna kau kenang lagi
Biar ku bersendiri
Membawa perasaan hati

Selamat tinggal motosikal
Selamat kau selamanya
Hanya satu yang ku pinta
Senyuman manis yang mesra


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

17 July 2009

Semoga Kau Bahagia..


Semoga kau berbahagia
Itulah perkataan yang terkeluar dari bibirku
Tatkala ku tahu kau sudah ada penggantiku..

Terasa ku bebas dari cengkamanmu
Aku bersyukur kerana kau tiada lagi dalam hidupku
Pergilah kau jauh dari hidupku
Janganlah kau mengingati lagi detik-detik sewaktu bersama
Kerana ianya hanya menambahkan lagi luka di hati ini..

Cuma satu ingin ku katakan padamu
Janganlah kau menjadikan dia seperti aku
Janganlah kau mengkhianati cinta dari nya
Janganlah kau berlaku curang dibelakangnya
Sepertimana kau lakukan pada aku..

Berbahagialah kasih
Berbahagialah dengan dia yang kau puja
Doa ku iringkan padamu dengan harapan
Kau tidak lagi mengguris hati dan perasaan
Seorang lagi insan yang bernama lelaki..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

11 July 2009

Secebis Kenangan..


Termenung aku sendirian
Teringat kembali saat indah itu
Di mana aku dan kau berjanji kan setia
Rela hidup bersama selagi hayat yang ada..

Kini segalanya hanya tinggal kenangan
Segalanya terjadi bagaikan sebuah mimpi
Kau hadir dalam hidupku hanyalah untuk seketika
Sungguh tidak ku sangka kan terjadi sebegini rupa
Hatiku kau hancurkan satu persatu bagai debu yang hina
Perasaanku kau permainkan seperti tiada bernilai
Impian dan harapanku turut kau persendakan..

Kenapa kau hadir dalam hidupku
Kalau hanya untuk melukakan hati ini
Kenapa kau berjanji untuk hidup bersamaku
Kalau hanya setakat di bibir saja..

Pergimu tidak pernah ku halang
Kerana itu sudah kehendak hatimu sendiri
Dan kehadiranmu sekali lagi juga tidak kan ku undang
Kerana tidak mahu lagi ku menanggung siksa dan derita
Kan ku abadikan kenangan kita berdua di sudut hati ini
Sebagai satu kenangan yang terpahit buat hidupku
Dan juga sebagai satu pengajaran
Buat sepanjang perjalanan hidupku ini..

Pergilah kau jauh dari hidupku..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

22 June 2009

Ku Terima Sms Dari Abah..

Assalamualaikum..
Salam ku beri sebagai tanda ku memulakan bicara. Ingin ku ukirkan di sini perasaanku di saat ini. Sungguhpun tidak termampu tangan ini untuk mencoretkannya, namun ku teruskan jua dengan harapan airmata ini kan berhenti dari mengalir membasahi pipiku ini..

Sedih serta sayu rasa di hati tatkala ku menerima satu sms dari ayah yang tercinta. Pada mulanya ku gembira kerana mendapat khabar berita darinya, namun bila di baca apa yang di tulisnya hatiku berubah menjadi sayu dan pilu. Terhenti segala kerjaku, terasa dunia ini seakan berhenti dari bergerak. Tanpa di sedari airmata pun mengalir membasahi pipi..

Inilah sms yang kamezaim terima dari ayah kamezaim pada 22 Jun 2009, jam 4 : 56 PM. :-

"Terima kasih lah, kerana masih ingatkan abah lagi. Kerana miskin abah dan arwah mak tak dapat bagi anak-anak belajar sampai ke tahap yang lebih baik. Asal abah pun harap pada gaji bulan je.."

Selepas itu kamezaim gagahkan juga untuk bertanya kembali kepada ayah kamezaim :-

"Kenapa ni abah..?"

Kemudian dia balas pertanyaan kamezaim tadi.. :-

"Tak ada apa-apa, cuma abah kadang-kadang rasa bersalah tak dapat bagi anak-anak belajar hingga ke peringkat lebih tinggi. Rasa susah berterusan bila abah dah tak ada nanti.."

Apa lagi yang harus ku katakan padanya. Sesungguhnya aku sudah bersyukur dengan kasih sayang yang dia berikan pada aku selama ini. Pengorbanan yang dia lakukan pada aku selama ini sudah cukup bermakna dan tidak termampu untuk ku balas segala jasa dan pengorbanannya itu. Aku sedar, aku bukanlah dari keluarga yang kaya. Malah aku tak pernah lupa setiap saat tatkala kemiskinan itu menghimpit keluarga ku. Aku tidak lupa juga di mana suatu ketika itu kau menahan lapar demi aku. Kau hanya melihat aku makan sedangkan kau hanya memerhati dengan penuh kasih dan sayang. Pada masa itu, manalah aku mengerti semua ini. Aku tahu, sungguhpun kau tak mampu memberi aku untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi namun kau berusaha sedaya yang ada demi membesarkan aku seperti insan lain. Siang malam kau keluar mencari rezeki, tidak kira hujan atau panas. Kau ketepikan segala kepentingan diri demi melihat anak-anak mu membesar seperti insan lain. Itu semua sudah bermakna buat aku, sungguhpun hidup kita tidak seberapa senang namun aku bangga sekurang-kurangnnya kau mampu membesarkan aku hingga ke saat ini..

Sungguhpun orang lain makan makanan yang sedap-sedap, tapi kita hanya makan ikan kembung serta ulam sahaja. Sungguhpun orang lain dapat pakai pakaian yang mahal dan cantik tapi kita hanya pakai saja apa yang ada. Sungguhpun di dalam rumah orang lain serba ada tapi di dalam rumah kita serba tiada namun aku tetap bangga dan bersyukur kerana di lahirkan di dalam keluarga ini..



Ayah..
Janganlah kau menyesal dengan semua ini
Sesungguhnya aku bangga dengan dirimu
Ingin aku jadi seorang insan sepertimu
Yang berkorban apa saja demi keluarga tercinta..

Ayah..
Aku tak sanggup kehilanganmu
Aku tak mahu berada jauh darimu
Aku ingin kau sentiasa mengambil tahu tentang aku
Aku tak peduli apa orang nak kata pada aku
Kerana pada 2 September 2007 aku telah kehilangan
Satu-satunya permata dalam hidupku
Tanpa sempat aku membalas jasa dan pengorbanannya
Hingga membuatkan aku menyesal seumur hidup yang ada
Dan kini aku tak sanggup kehilangan dirimu
Hanya kau yang aku ada
Hanya kau tempat ku bermanja
Dan hanya kau sajalah tempat untukku
Menumpang kasih..


Ayah..
Kaulah ayahku yang satu..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

16 May 2009

Selamat Hari Guru..




Assalamualaikum..
Apa khabar semua? Harap sihat-sihat lah ye.. hehe Kamezaim nak ucapkan Selamat Hari Guru kepada mereka yang bergelar guru. Terima kasih kamezaim ucapkan kepada cikgu-cikgu yang telah mendidik kamezaim pada suatu ketika dulu. Segala jasa dan pengorbanan mu akan ku abadikan di dalam memori ini. Tanpamu aku tak mungkin bisa mengenal huruf dan tanpamu jua tak mungkin aku bisa mengira darab, tolak, tambah dan bahagi. hehe Tapi bukan semua orang yang bergelar cikgu adalah benar-benar cikgu. Ada juga yang hanya mementingkan diri sendiri malah langsung tidak ambil peduli hal-hal anak muridnya. Sampai sekarang kamezaim tak lupa apa yang seorang cikgu kamezaim ni kata pada kamezaim,.. " Korang nak belajar atau tak, cikgu tak kisah. Sebab, cukup bulan cikgu dapat gaji..". Adakah itu jiwa seorang guru? Dimana tanggungjawabnya untuk mendidik anak bangsa? Renungkanlah..

Kenangan zaman sekolah adalah kenangan yang cukup best sekali.. hehe Dulu kamezaim datang sekolah pukul 7.30 pagi, masuk kelas tunggu sampai cikgu ambil kedatangan. Lepas tu cikgu pandang je papan hitam nak menulis, separuh kelas dah hilang.. hehe Termasuklah kamezaim.. haha Nak keluar pintu depan takut sebab ada pak guard, apa lagi panjat lerr pagar belakang sekolah. Selalunya lepas je, no problem.. Tapi ada juga yang kantoi.. hehe Kamezaim kena tampar dengan cikgu disiplin sampai merekah kulit muka. Darah jangan cakap lerr.. hehe Buntut ni jangan citer lah, dah lali kalau setakat dengan rotan cikgu yang ada perlbagai size tu.. haha Bergaduh sana, bertumbuk sini.. Dengan cikgu pun bergaduh.. Baling menja, baling kerusi.. Dah macam pesta pun ada.. haha Kira sekolah kamezaim dulu tu kena order kerusi meja tiap-tiap bulan lerr.. haha Kalau setakat rokok, biasa je.. haha Tak payah beli bawa masuk sekolah, dalam sekolah tu pun dan ada supplier.. haha Rasa-rasa korang sape? hehe Jangan terkejut ok, supplier tu adalah cikgu disiplin tu jugak. hehe Dia cakap, kalau nak hisap rokok boleh tapi kena hisap sekali dengan cikgu. Dekat sekolah tu ada bilik khas untuk cikgu merokok. Lepas makan je mesti terus pergi ke bilik tu,.. Kamezaim pun tak tahu kenapa dulu dia bukan main marah kalau kami hisap rokok tapi sekarang dia pula yang jadi pembekal rokok.. hehe Mungkin dia pun dah tak larat nak marah kami lagi kot masa tu.. haha

Masa kamezaim dalam kelas, ada seorang cikgu ni kan..kan.. Dia ajar sains. Cikgu ni belum kahwin lagi tapi pakaian dia fuh.. Macam Madona.. haha Bila berjalan je mesti buntut cikgu ni bergoyang ke kiri pastu ke kanan.. haha Yang dekat atas tu jangan citer lah beb, dah macam buah pelam luruh tapi tersangkut dekat celah ranting.. wakakaka Masa cikgu ni mengajar je mesti penuh kelas, sorang pun tak ponteng. Kalau demam pun nak juga datang sekolah.. haha

Tapi, mungkin sekarang kebanyakan cikgu yang mengajar kamezaim dulu dah tiada lagi. Seorang demi seorang kamezaim dapat berita yang mereka dah meninggal ataupun dah bersara. Rasa kalau dapat jumpa mereka lagi tentu best kan, tapi kamezaim sendiri pun dah tak tahu mana mereka berada sekarang. Rasa teringin je nak masuk sekolah balik, boleh lari sana sini. Boleh kena penampar dengan cikgu, boleh kena rotan dengan cikgu, boleh tengok buntut cikgu.. haha Apapun, kamezaim nak ucapkan selamat hari guru kepada mereka yang bergelar guru. Tidak lupa juga pada blogger-blogger seperti Cikgu Azi (Tirai Hidup), Cikgu Iman (Secebis Keajaiban), Cikgu Azza (Sedetik Hati), Cikgu Su (Suzanalelawatty), Cikgu Yuziyana dan lain-lain lagi.. Semoga anda semua terus menabur bakti setulus hati demi mendidik anak-anak bangsa..



P/s - Kalau cikgu disiplin macam gambar di atas ni ok tak rasa-rasa korang? haha


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

27 January 2009

Rindu Seorang Insan..

Rindu..
Aku rindu segalanya
Aku rindu pada yang masih ada
Dan aku merindu pada yang sudah tiada..

Rindu..
Rindu itu suatu penyiksaan
Kerana rindu jiwa yang tenang kian bergelora
Dan kerana rindu jua kita kenal erti kasih dan sayang..

Rindu..
Aku rindukan belaian kasih darimu
Aku rindukan ciuman manja darimu
Aku rindu akan senyuman manismu
Tapi apakan daya, kau sudah tiada lagi
Yang tinggal hanyalah secebis kenangan
Secebis kenangan disepanjang hayatmu
Yang kau tinggalkan buat tatapanku
Tatapan sepanjang hayatku..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

01 October 2008

Air Mata Di Pagi Syawal..

Ibu..
Dengarlah rintihan dari anakmu ini
Ku menangis di pagi syawal
Terasa sayu bila takbir bergema
Mengingatkan aku pada suatu masa yang dulu
Di saat-saat begini aku mencium kedua tanganmu
Memohon maaf dan restu
Dari segala salah dan dosa..

Ibu..
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan suami tercinta
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa..

Ibu..
Beralun zikir menutur kasih
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia kan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba..

Ibu..
Kini ku sedar
Kau sudah tiada lagi
Kau pergi dan tak mungkin akan kembali lagi
Tak mungkin aku akan dapat merasa saat-saat manis itu lagi
Biarpun ada yang datang untuk menggantimu
Namun tak mungkin ku kan temui insan sepertimu lagi..

Ibu..
Ku tetap mendoakan kesejahteraanmu di sana
Semoga kau ditempatkan disisi Allah S.W.T
Mungkin esok mungkin lusa
Roh ku juga akan diangkat bertemu yang maha Esa
Tiap yang mula pasti ada penghujungnya
Dan setiap yang hidup pasti akan mati juga
Aku redha..



Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

18 May 2008

Secebis Kenangan

Biarpun hilang di bawa arus masa
Namun ia selamanya di hati ini
Secebis kenangan untuk tatapan
Kamezaim sekeluarga


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

11 May 2008

Selamat Hari Ibu....







Ibu..
Di sini anak mu ingin mencoretkan rindu pada mu ibu
Hari ini adalah hari ibu
Hari di mana ramai insan menyambut dengan gembira bersama ibu tersayang
Betapa gembiranya mereka bersama ibu tercinta
Riang gembira bagai tiada esok hari lagi

Ibu..
Kini kau tiada lagi
Kau pergi meninggalkan segalanya
Kau pergi meninggalkan anak-anak mu
Demi menyahut seruan ilahi
Yang telah di takdirkan buat hidup mu
Ketahuilah
Kami amat merindui mu ibu
Aku rindukan senyum tawa mu
Aku rindukan suara mu
Aku rindukan belaian kasih dari mu
Aku rindukan segala-galanya

Ibu..
Sungguhpun kau tiada lagi di dunia ini
Namun kau tetap subur di ingatan ku
Walau sejauh mana ku pergi
Walau di mana aku berada
Walau dengan siapa aku berada
Kau tetap insan teristimewa di hati ini
Biar datang seribu sebagai ganti mu
Tidak akan serupa kesucian kasih mu pada ku
Kaulah ibu ku yang satu

Ibu..
Ku bangga menjadi anakmu
Ku bangga menjadi zuriatmu
Ku bangga kerana darah yang mengalir di dalam tubuhku
Adalah sebahagian dari darah mu
Kau lahirkan aku
Kau besarkan aku tanpa kenal erti derita
Walaupun kehidupan tidak semewah mana
Namun ku tetap terasa sempurnanya

Ibu..
Setelah kau pergi
Jiwa ku terasa kosong
Bagai hidup tanpa arah
Hanyut di tengah gelombang hidup
Baru ku tahu betapa ertinya
Kau dalam hidupku
Betapa nilainya belaian kasih dari mu
Tapi kini semuanya tiada lagi
Hanya yang tinggal hanyalah potretmu
Sebagai tatapan ku ketika ku merinduimu

Ibu..
Ku sedekahkan Al-Fatihah buat mu
Moga kau di tempatkan di sisi-NYA
Akulah anakmu...



Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

08 May 2008

Ayah Ku Juga Pejuang


Koperal Zakaria Bin Saad
(28055)
Kor Armour Diraja
Kem Sungala,Port Dickson
(1970 - 1984)

Kor Armor Diraja bermula dengan tertubuhnya Federation Armoured Car Squadron pada 1 September 1952. Skuadron ini telah diperbesarkan kepada Federation Amoured Car Regiment dalam tahun 1957. Dalam tahun 1960 Federation Amoured Car Regiment telah dicantumkan dengan Federation Regiment, sebuah battalion infanteri. Percantuman ini melahirkan Kor Peninjau yang telah dikurniakan gelaran Diraja pada 20 Mei 1972. Pada 22 Disember 1979 Kor Peninjau Diraja telah ditukarkan nama menjadi Kor Kavalri Diraja. Tugas kor ini ialah menjalankan operasi secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ dengan sentiasa menyediakan bantuan perisai kepada Tentera Darat. Cogankata Kor Armor Diraja ialah “BERSATU”
Tugas Utama:
Melaksanakan gerakan ofensif, defensif dan gerakan dengan atau tanpa bantuan pasukan infantri dan pasukan-pasukan lain.Memberi perlindungan perisai kepada pasukan infantri dan pasukan-pasukan bantuan serta perkhidmatan yang lain.
Tugas Semasa Aman:
Tugas-tugas Istiadat
Pengiring Diraja (Sovereign Escort)
Pengawal Tombak (Lance Guard)
Peniup Nafiri
Pengawal Istiadat Berkuda
Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.
Operasi Pengiring Berperisai.
Mencegah rusuhan dan kekacauan.
Tinjauan
Operasi-operasi Ketenteraman Awam


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

03 May 2008

Ratapan Memori Usang

Nama Mastura masih kekal di ingatan ini biarpun sudah lama ianya hilang dari jiwa ini.Sungguhpun antara kita sudah terpisah jauh namun kenangan kita masih subur di hati ini.Kau pergi ketika ku memerlukan mu,kau tinggalkan ku ketika aku hanyut di bawa arus cintamu.Kau biarkan ku tenggelam di lautan yang sepi bersama-sama harapan ku untuk memiliki mu.Mungkin ketika itu aku masih mentah di dalam mengharungi hidup ini.Aku masih di bangku sekolah dan kau sudah meniti tangga ke menara gading.Kau berubah mengikut masa,mungkin kerana itu kau mencipta jurang di antara kita.Akhirnya mahligai yang di bina,hancur lebur menjadi debu..
Setelah beberapa tahun kita berpisah,ku cuba untuk melupakan mu tapi ternyata bahawa ku tidak berdaya.Sungguhpun kau tidak ku cinta lagi namun kau tetap di hati ini.Kerana kau aku tersenyum dan kerana kau juga aku menangis.Mungkin di antara kita tiada jodoh,kita hanya mampu merancang tapi tuhan yang menentukannya.Mungkin noktah cinta kita hanya sampai di sini,terpaksalah kita membawa haluan hidup masing-masing..
Andai kau bahagia,ku juga turut bahagia.Janganlah kau jadikan dia sepertimana kau menghancurkan impian & harapan ku.Kerana begitu sukarnya untuk membina sebuah cinta dan cinta yang suci tak mungkin datang berulang kali.Sekali ia datang,hargailah ia sepertimana kau menghargai diri sendiri.Biarlah memori di antara kita terus menjadi memori yang usang..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

02 May 2008

Tinggal Kenangan..

Mesin ini di gunakan untuk mengadun tepung untuk di jadikan kuih.Ianya di gunakan oleh arwah mak aku setelah sekian lama arwah mak aku bersusah payah mengadun tepung menggunakan tangan.Dia kumpul duit hasil jualan kuih nya lalu membeli mesin ini.Harga mesin ni pada ketika itu adalah RM 2500.00.Dulu masa arwah mak aku ada,tiap-tiap pukul 3 pagi mesti aku terbangun sebab bunyi mesin ni buat aku tido tak lena.Kadang-kadang satu rumah terjaga sebab mesin ni.hehehe Bunyi dia siap boleh dengar jiran sebelah rumah.Tapi sekarang,semua itu sudah tiada lagi.Kini sunyi bagai tiada erti lagi.Setelah arwah mak aku pergi meninggalkan kami,mesin ini ibarat hilang nakhodanya.Terpinggir di sudut yang sepi tanpa sentuhan dan belaian dari tuan nya.Dia bagai turut berduka setelah kehilangan teman setianya.Ku pasti,mesin ini juga kan mengerti bahawa di dunia ini tiada yang kekal.Yang hidup pasti kan pergi jua..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

01 May 2008

Kampung Ku..

Minggu lepas aku balik kampung.Aku sempat ambil gambar-gambar di sekitar kampung aku.Tapi dah banyak yang dah berubah,dah tak seperti dulu lagi.Sungai ni lah tempat aku habiskan masa tiap-tiap petang,mandi sungai lah katakan.Dulu air ok tapi sekarang dah kotor.Dalam sawah tu lah aku tangkap ikan dengan kawan-kawan aku.Aku tangkap je tapi aku tak makan.Saja suka-suka,hilangkan boring.Macam-macam ikan ada,ikan keli,ikan haruan,ikan puyu,ikan sepat dan ular pun ada..hehehe

Bila musim kering,aku main layang-layang plak.Nak beli tak mampu,jadi kami pun buatlah sorang satu.Naik atau tak,belakang cite.hehehe Dulu memang seronok,biasalah masa tu budak-budak lagi.Sekarang semuanya sudah berubah,keindahan itu semakin hilang di taburi pembanggunan yang semakin pesat membangun.Namun,kenangan itu tetap di ingatan ini..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

14 March 2008

Teratak Ku



Di teratak inilah ku di besarkan.
Di teratak ini jugalah aku mengenal erti kehidupan.
kini ku sudah berada jauh di rantau,
namun teratak ini tetap segar di ingatan ku..
Terlalu banyak kenangan-kenangan di teratak ini,
sama ada suka mahupun duka..
dia lah teman ketika ku ketawa dan
dia lah juga teman ketika ku menangis..
Kini semuanya telah berubah,kalau dulu teratak ini
penuh dengan ketawa dan senda.
Kini semua itu sudah tiada lagi,yang tinggal hanyalah memori.
Usang bagai tanpa penghuni,
sunyi seribu kata..
Hilang bahagia,muncul derita...
Tempat ku bermanja suatu ketika dahulu,
kini tiada lagi...




Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

Pelawat Setia :

Siapa Kamezaim? :

My photo
hanyalah insan biasa yang menumpang di satu sudut dunia ini. Mencari kebahagiaan dan ketenangan hidup sebelum melangkah pergi..

Nukilan Popular :

(c) Copyright - Ini adalah blog peribadi hak milik kamezaim. Sebarang peniruan tanpa kebenaran pemilik adalah DILARANG sama sekali.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP