Showing posts with label grief and loss. Show all posts
Showing posts with label grief and loss. Show all posts

Monday, January 16, 2023

Kesedihan Yang Tertunta

 


Kadang-kadang,

Kita bersikap kejam tanpa kita sedar kepada orang sekeliling...

Bila seseorang mengalami musibah dalam hidup..

Cepat-cepat kita memberi nasihat percuma "kau tak payah sedih sangat, dia memang jantan tak guna. Berambus lagi baik!" atau "Buat apa kau sedih-sedih? Yang pergi memang dah ditakdirkan, nanti kau dapat pengganti, anak baharu, pengganti kepada si abang yang telah pergi." 

Baru nak bergenang air mata...dapat teguran 'eh, tak payah menangis. lap air mata tuh, tunjukkan diri kau kuat. Kau boleh!!"

Memang bila mendepani hidup kita semua kena kuat, sebab ujian kehidupan itu pasti.

Tapi kita sedang memaksa orang untuk menafikan emosinya ketika itu, atau merasai emosi kala itu dan move on begitu saja.

Percaya tak, semua emosi itu emosi sihat?? Ini termasuklah perasaan kecewa, sedih, pilu, kedukaan, dan kehilangan. Ia wajar ditangiskan. 

Dalam Islam pun ada tempoh idah, itu semua mengandung hikmah. Salah satunya memberi masa untuk kesedihan diraikan dalam sewajarnya, seperlunya. Apatah lagi jika hilangnya itu satu kehilangan besar yang merubah banyak perkara. 

Berapa banyak kesedihan dan kehibaan terpendam, akhirnya tidak pergi dan menghantui? 

Jadi, jika seseorang yang kita kenal berada dalam situasi ini, jangan bagi nasihat tergesa-gesa untuk dia berhenti dari emosi sedihnya. Beri ruang untuk bersedih, beri ruang untuk memahami apa yang hilang dalam dirinya, beri ruang untuk menerima realiti, beri ruang untuk membina kekuatan. Nama pun MEMBINA, ia adalah proses membina semula apa yang telah hilang, dan perlukan masa.

Sebaiknya, hulurkan tangan, jadilah bahu boleh bersandar untuk menangis, dan jadilah peneman perjalanan kehilangan itu. Jangan jadi sebahagian dari orang yang menyebar toxic positivity.

Kejujuran juga penting buat empunya badan. JIka sedih, jangan menafikan kesedihan. Bimbang, lakonan hanya berjaya seketika, nanti kehibaan itu datang semula, menuntut perhatian. Lalu menangislah seorang di bucu katil, takut nak pamerkan kesedihan, lantaran takut dilabel lemah, takut ego tercalar. 

Raikanlah setiap emosi, inilah perjalanan kehidupan yang penuh warna. Kadang-kadang warna itu tidak indah, kita tak suka episod hidup itu, tapi itulah kehidupan. Jalani dengan kejujuran. Kerana kejujuran kepada diri dan orang lain, adalah satu kebebasan. Ada kalanya pahit, tapi menyembuhkan. 


Thursday, December 1, 2016

Bangkit Selepas Tersungkur




Saya seronok berkongsi pengalaman orang-orang sekeliling yang pernah menghadapi satu ujian hebat dalam diri mereka tapi berjaya menghadapinya setelah penuh kesukaran, menjadi lebih kuat dari diri mereka sebelum ini. Seorang rakan pernah menghadapi satu ujian hebat dalam rumahtangga, ketika sedang bertungkus lumus menyiapkan PhDnya. Bukan calang-calang ujian yang melanda dirinya. Saya nampak dia 'jatuh', saya nampak hatinya pecah berderai, saya nampak 'lemah jiwanya' dalam mendepani dugaan itu. Tapi saat itu dia teruskan melangkah..dia melawan rasa itu. 

Now, saya boleh katakan dia jadi insan berjaya. Prolifik dan hidupnya lebih senang, nampak lebih tenang dan bahagia. Ironinya, 'masalah' itu tetap ada, bahkan mungkin akan berterusan sampai bila-bila. Bila saya bertanya sejujurnya, dia berkongsi sesuatu yang saya kira boleh dijadikan panduan yang baik.



1. Kebahagiaan datangnya dari hati sendiri, bukan orang lain. Jika melihat sumber kebahagiaan itu datang dari pasangan kita, orangn lain, maka selagi itu kita tak mampu mengawal kebahagiaan diri sendiri. Kitalah yang menentukannya. Jangan mencari bahagia dan menentukan bahagia dengan cara yang salah. Suami, kata beliau, adalah manusia biasa, dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Dia juga hamba Allah. Dan dia mampu melihat suami itu sebagai 'pinjaman', 'ujian' dan akhirnya meletakkan kembali bahagia itu di tempat yang sewajarnya. Jadi tindak tanduk suami bukan lagi satu perkara yang boleh buat dia 'meroyan'.



2. Carilah Allah. Dalam mendepani ribut perasaan, jangan mencari sumber lain selain yang datang dari pencipta. Dan benar, 'ingatlah Allah, hati akan menjadi tenang.' Bermuhasabahlah, bertawaklah, berdoalah, bertahajudlah, mohon hati diberi kekuatan untuk mengharungi ujian hidup ini. Ya, dia adalah contoh yang saya nampak di hadapan mata. Bukan sahaja dia bertambah kuat, tapi hatinya lebih tenang. Malah dia berterima kasih dengan 'ujian' ini kerana mengatakan, hatinya menjadi lebih gembira sekarang berbanding dulu. 



3. Fokus kepada yang positif. Bila hati hanya mahu melihat yang buruk-buruk, lambat laut ia memakan diri sendiri, jiwa jadi negatif, fikiran jadi negatif, tingkah laku jadi negatif. Cabarlah diri untuk melihat yang baik-baik, dari kesekian banyak perkara yang negatif ada dihadapan mata. Bukanlah bererti terus ignore keburukan, tapi cuba melihat kebaikan yang mungkin masih banyak dan tidak terlalu memberi penekanan kepada 1-2 kelemahan dan keburukan yang ada. Mengubah perspektif ke arah yang lebih positif adalah langkah awal memulihkan hati dan perasaan. 



4. Beri masa untuk berduka. Jangan berduka secara berlama-lamaan. Begitu juga dendam dan marah katanya. Ia semua tidak membantu awak untuk jangka masa panjang. Hati awak akan kekal sakit, sedang dunia ini terus berputar, life is moving on, whether you like it or not. Jadi, tidak berbaloi berterusan menjeruk rasa. Ini adalah takdir hidup, tak kiralah jika kita suka atau tidak dengan aturanNya. Belajar untuk terima. Beri masa kepada diri untuk bersedih, bermuram durja. Tapi apabila sampai masanya, bangkit bangun balik dan katakan pada diri 'I will survive this!!"



5. Bina diri. Jangan rosakkan diri dengan harapan orang lain rasa bersalah. Mungkin ia strategi yang berjaya, tapi biasanya ia tidak mendatangkan kesan diingini melainkan diri sendiri yang terlebih rugi.  Awak membuang masa, dan kerosakan yang awak cuba tunjukkan mungkin kesannya berkekalan ke atas diri sendiri dan tiada jalan pulang selepas itu. Jadi, jangan membuang masa untuk itu, tapi fokuslah untuk bangkit dari pengalaman itu dengan menjadi orang yang lebih berjaya. Katakan pada diri, 'peristiwa ini akan membina saya, bukan merosakkan saya'. Jika ada karier, fokus untuk membina karier, jadilah pekerja cemerlang. Ubahlah tenaga 'negatif' itu kepada 'positif'. Tukar tenaga dendam itu kepada bentuk tenaga yang lebih 'mesra alam'. Tenaga matahari pun boleh ditukar menjadi tenaga solar/letrik, so are you. Pelbagaikan kegunaan emosi negatif itu kepada membentuk motivasi yang lebih bertenaga dan berkuasa untuk mencapai apa jua kejayaan. Banyak jer kisah orang yang menggunakan dendam dan marah menjadi inspirasi atau motivasi diri untuk berubah jadi lebih baik. Ini membuktikan bahawa, tenaga negatif itu boleh dichannelkan kepada sesuatu yang lebih baik. 

Akhir nota: Pilihan itu sentiasa ada ditangan kita. Ambil tanggungjawab tersebut. Menyalahkan orang lain, takdir, tidak akan mengubah banyak benda, kerana ia berada di luar kawalan kita. Tapi diri ini, kita mampu mengubahnya. Jadi, mengapa tidak mulakan dengan diri sendiri? Empower yourself. You are the agent of change. Nobody else. Choose to be positive in a world that full of negativity. 






Sunday, May 29, 2016

Mati dan berharganya masa yang ada


Kematian jarang menggembirakan, sebaliknya menghadiahkan luka dan kekosongan berpanjangan, tempat yang tidak akan dapat diganti balik, memori yang akan kekal abadi, yang setiap kali mengenangnya sebak itu pasti ada, dalam kemanisan memori itu, terselit kesedihan bahawa yang kita kongsi memori bahagia itu telah tiada buat selamanya...



Itu yang saya rasa bila menerima berita kepergian adik Irwan Ahmad, felo di pusat saya semalam. Arwah yang saya kenal sebagai bekas pelajar psikologi dan kini menjadi sebahagian warga PPPPM sebagai kakitangan akademik. Perginya arwah dalam keadaan mengejut, tanpa kami tahu sakitnya, tahu-tahu dapat berita arwah meninggal jam 2 petang. Dari maklumat rakan-rakan arwah, memang dia menghidap sakit leukimia beberapa tahun sebelum ini namun kami rakan sekerja beliau tidak mengetahui akan hal tersebut. Arwah pandai simpan rahsia, tidak ditunjukkannya sakit itu sehingga ke akhir. 

Tapi kebanyakan kami rasa sebak dan ralat, kerana tidak berkesempatan menziarah apatah lagi memberi kata-kata semangat semasa arwah memerlukan sokongan kawan-kawan. Tidak sempat mengucap selamat tinggal, tidak sempat memohon maaf mungkin ada kesilapan dan kekasaran bahasa sepanjang berkawan. Kejutan yang tidak terjangka. 



Kematian..(sigh), bila fikir fragilenya hidup manusia. Muda tidak bererti panjang lagi perjalanan hidup, ntah esok lusa giliran kita. Begitu juga, sihat bukan bererti banyak lagi masa, mati tidak kira semua itu. Bila ajal tiba, maka pergilah kita tidak kira berapa usia kita, sihat sakitnya kita dan amal kita adakah telah cukup bersedia....

Kematian juga menyedarkan kita hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan begitu sahaja dengan pelbagai perkara lagha. Setiap momen itu penting, setiap masa itu berharga. Kerana kita tidak pernah tahu bila masa Allah menjemput kita. Janganlah kita pergi dalam keadaan terlalu banyak unfinished business, dalam keadaan Allah tidak redha, dalam keadaan orang lain tidak redha, dalam keadaan kita sendiri belum bersedia. Kematian juga peringatan, yang hidup ini bagaimana perjalanannya. Betul sudahkah jalan yang kita pilih, masihkah kita mengelamun mengejar dunia yang tidak pernah puas? atau kita cuba terbaik menjadikan hari ini menjadi hari terbaik dalam segala hal?? 


Semalam yang sudah jadi sejarah..
Esok yang belum pasti ada untuk kita...
Cuma hari ini..
Tapi manusia selalu fikir, kita sentiasa ada masa....

Hargailah setiap detik dan nafas yang ada ini. Berikanlah yang terbaik untuk diri dan orang lain. Moga perginya kita dalam keadaan kita redha dengan diri sendiri dan orang lain mengenang kebaikan kita..dan Allah redha.

Sesungguhnya mati itu pasti..
Kita semua akan merasai mati..
Cuma bila..itu yang masih menjadi rahsia...


Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...