Rabu, Disember 01, 2010
Ketuanan Melayu Yang Sengaja Dijadikan Isu
oleh Ahmad Baei Jaafar
http://baei.blogspot.com
Setelah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdaya bangsa itu sendiri, ramai orang Melayu melenting. Orang Melayu itu sudah tentu dalam kalarangan pemimpin UMNO dan Perkasa. Mereka kelihatan serius menentang lalu melabelkannya dengan pelbagai gelaran.
Kenapa mereka melenting? Benarkah Azizah menolak hak ketuanan Melayu? Betulkah Azizah dalam kenyataannya itu sangat tidak bertanggungjawab seperti yang disebut oleh Hishamuddin?
Kita petik kenyataan Azizah,: "Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.
"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi."
Ucapan itu diungkapkan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.
Rabu, September 29, 2010
FDI Malaysia Merosot 81%, Kedah Catat Pelaburan Asing Tertinggi Di Malaysia
Oleh : Zulkifli Yahaya
Mengikut fakta yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kedah mencatatkan jumlah pelaburan masuk luar negeri yang tertinggi iaitu sebanyak RM1,580,619,651 ataupun RM1.58 billion. Ianya berdasarkan projek-projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri pada tahun 2009 dan bagi tempoh Januari hingga Jun bagi tahun 2010. Ia diikuti oleh Selangor sebanyak RM1,492,335,621.
Secara keseluruhan, yakni termasuk pelaburan dalam negeri, Kedah menduduki tangga ketiga selepas Selangor dan Johor, iaitu sebanyak RM1,786,693,776 dari kesemua 14 buah negeri dalam Malaysia. Kedah yang dianggap negeri mundur oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Shafie Afdhal, tidaklah seteruk Sabah yang menduduki tangga ke sepuluh pada kedudukan jumlah pelaburan masuk.
Isnin, September 20, 2010
Akaun 1MDB Berbaloikah?
Seperti yang diumumkan, 1Malaysia Development Fund Bhd (1MDB) diperuntukkan RM5 bilion pada tahun 2009 melalui penerbitan bon jaminan kerajaan. Baru-baru ini, 1MDB juga bercadang mendapatkan pinjaman tambahan sebanyak RM5 bilion. Pinjaman RM5 bilion baru ini tidak akan dijamin oleh kerajaan Malaysia secara langsung, malah akan diselesaikan melalui penerbitan beberapa bon sejumlah RM10 bilion yang disokong oleh kerajaan (state-backed bonds). Ini bermaksud 1MDB akan menanggung liabiliti jangka panjang sebanyak RM15 bilion menjelang tahun 2013. Jumlah itu 4 kali ganda besar jumlahnya berbanding dengan nilai bon yang dikeluarkan untuk projek Port Klang Free Zone (PKFZ), iaitu bernilai sekitar RM3.685 bilion.
Kini bertiup kencang berita bahawa audit akaun untuk tahun fiskal yang sepatutnya berakhir pada Mac 2010 belum dapat dimuktamadkan. Terdapat spekulasi bahawa juruaudit enggan menandatangani akaun tersebut kerana terdapat banyak percanggahan. Lazimnya, juruaudit enggan menandatangani akaun yang diauditnya apabila wujud masalah serius dalam akaun tersebut. Oleh kerana jumlah yang membabitkan dana awam sebegitu besar, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan kepada khalayak samada berita mempunyai kebenaran atau tidak.
Ahad, September 19, 2010
RM10, T-Shirt dan Nasi Bungkus Untuk Sambut PM??
Oleh : Musli Oli
Tun Razak mengumumkan pengistiharan Malaysia pada 16 September 1963 di Kota Kinabalu. 47 tahun selepas itu anaknya, Datuk Mohd Najib mengisytiharkan tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia. Rakyat Sabah dan Sarawak menunggu 46 tahun lamanya......
Tanggal 14 September, saya kebetulan berada di Sandakan. Hampir sejam pusing keliling bandar itu mencari tempat menginap. Semua bilik hotel telah ditempah. Nasib saya agak baik, dapat bilik premier di SPA Hotel di kawasan bandar Leila.
Khamis, Julai 22, 2010
Subsidi Oh Subsidi!!
Era Najib : Yang Miskin Subsidi Yang Kaya!
Sememangnya kita sedar bahawa subsidi berlebihan akan menjejaskan keseimbangan bekalan-keperluan dalam pasaran. Kini, kita ingin tahu, ke manakah wang yang dijimatkan selepas kerajaan BN mengurangkan subsidi?
Jumaat, April 23, 2010
Benda Lucu Setiap Kali Pilihan Raya
Oleh - Abd Jalil Ali (Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian)
Setiap kali ada pilihan raya kecil, kita melihat beberapa kelucuan. Adat orang berkempen, terutama dalam pilihan raya kecil, kalau boleh hendak didedahkan apa sahaja keburukan calon atau parti lawan – termasuk hal-hal dalam kain, dalam kelambu, hatta dalam seluar dalam – yang bersifat amat peribadi.
Walaupun peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan serangan peribadi ke atas mana-mana calon, pentas ceramah sepanjang kempen akan dihangatkan dengan sindiran, cemuhan dan maki-hamun terhadap batang tubuh calon.
Malah, sebahagian besar yang datang mendengar ceramah memang mengharapkan ada benda-benda dalam kain yang akan disingkap dan didedahkan. Mereka akan bertepuk tangan, bersorak, dan menjerit berapi-api. Soal betul atau tidak apa yang didedahkan, itu belakang kira!!
Ahad, November 15, 2009
Royalti: Keikhlasan UMNO ditagih
Royalti: Keikhlasan UMNO ditagih
Oleh - Dr. Aisar Yee Abdullah
Terengganu, Sabah dan Sarawak masing-masing dibayar royalti petroleum yang ditemui di pesisir pantai negeri-negeri berkenaan. Jumlah royalti yang dibayar adalah mengikut jumlah minyak yang ditemui. Di bawah Petroleum Development Act, Petronas dikehendaki membayar lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui di daratan atau di pesisir pantai mana-mana negeri di Malaysia.
Petronas berupa penyumbang besar kepada hasil Kerajaan Pusat. Pada 2008, bayaran Petronas kepada Kerajaan Pusat dalam bentuk dividen, cukai dan cukai eksport membentuk 45 peratus daripada pendapatan kerajaan. Kerajaan Negeri yang hanya menerima lima peratus sahaja daripada royalti petroleum mendapat manfaat besar dan mampu membangun negeri dari kadar sekecil itu. Tersergamnya masjid-masjid indah di Terengganu mempamerkan nikmat itu.
Kelantan mula membuat tuntutan mendapatkan royalti petroleum. Gerakan membuat tuntutan itu diperhebat semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai. Isu kemunduran Manek Urai yang dibangkitkan UMNO menjadikan Kelantan lebih ghairah menuntut royalti membangunkan negerinya.
Kelantan menuntut, berdasarkan perjanjian yang ditandatanganinya di antara Tengku Razaleigh, Pengerusi Petronas merangkap Ketua Eksekutifnya (ketika itu) yang mewakili Petronas dan Datuk Haji Mohamed Nasir mewakili Kerajaan Kelantan, ia berhak dibayar royalti.
Isnin, Oktober 12, 2009
Laporan Pemantauan Dalam PRK Bagan Pinang oleh NIEI
Kenyataan Media National Institute for Electoral Integrity (NIEI) berkenaan dengan pemantauan dalam PRK Bagan Pinang (N31)
12 Oktober 2009
Di dalam pemantauan pilihanraya, terdapat dua kaedah yakni stationary monitoring (pemantau ditugaskan untuk tunggu disetiap tempat mengundi) dan mobile monitoring (pemantau bergerak).
NIEI menggunakan kaedah mobile monitoring dimana pemantau-pemantau NIEI bergerak untuk memantau perjalanan pilihanraya di dalam kawasan N 31 bermula dari proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.
Di dalam pemantauan NIEI di kerusi N 31, terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan PRK yang seharusnya telus, bebas dan adil.
Di antaranya ialah:
1) Ketidaktelusan pengundian pos
Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.
Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta persara-persara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.
Yang lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihanraya tidak dipertahankan.
Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pengundian pos tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar kaedah dan prosedur pengundian pos hendaklah dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan diyakini oleh rakyat.
Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR – serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antarabangsa – dibuka di dalam kem-kem tentera.
Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontroversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.
2) Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji
Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK N 31 Bagan Pinang. Pemberiaan projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa. Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan “rasuah politik” kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.
Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa. Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Manakala UMNO-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.
Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihanraya.
Untuk memastikan pilihanraya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan salahguna kemudahan awam hendaklah dihapuskan.
Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.
Untuk menghapuskan amalan ini, undang-undang anti rasuah politik dan penyalahgunaan harta awam hendaklah digubal seperti yang dilaksanakan di Thailand dan Taiwan.
3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi
Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi. Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Selain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah.
Bagi memastikan pengundi-pengundi dapat berfikir dengan tenang sebelum masuk ke tempat pembuangan undi, NIEI menyarankan agar amalan merayu undi, tukang sorak dan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk mengangkut pengundi dihapuskan.
Sebagai ganti, tempoh berkempen bolehlah diperpanjang seperti dua minggu bagi pilihanraya kecil dan sebulan bagi pilihanraya umum. Parti-parti politik bukan kerajaan yang sering tidak mendapat tempat di media arus perdana aktif berkempen pada hari mengundi oleh kerana tidak mendapat liputan yang adil oleh media arus perdana dan tempoh berkempen yang singkat, jika tempoh berkempen diperpanjangkan, semua pihak akan mendapat masa yang cukup untuk berkempen.
Selain daripada itu, SPR bolehlah menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi seperti van, kereta dan motosikal sebagai alternatif kepada kenderaan-kenderaan yang disediakan oleh parti politik.
4) Perbelanjaan berkempen
Dalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon DUN.
Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon DUN RM100,000.
Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut. Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.
NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihanraya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang. Semua parti politik yang bertanding diseru agar bekerjasama bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan saksama. Pilihanraya yang berkredibiliti akan meyakinkan lagi rakyat dengan amalan demokrasi di Malaysia.
Amin Iskandar
Pengarah Eksekutif