CAHAYAKU YANG SETIA..
Perumpamaan iman dalam hati ibarat tanaman, cahaya iman di hati siramannya adalah ilmu ALLAH..
Setiap kali ilmu bertambah, maka hati pun akan bertambah subur dan hidup dengan cahaya ma'rifatullah, disusuli dengan cahaya-cahaya amal..
Moga CAHAYA IMAN dan CAHAYA ISLAM kan terus setia bersamaku.. Menjadi cahayaku yang setia..
Ditemani cahaya ketenangan dan cahaya kebahagiaan..
Hingga akhir hayatku..
Amiiin.. Ya Rabbal A'lamiiin..
Derita dan denyut nadi rakyat bawahan tidak pernah diambil kira dengan sebaiknya. Pihak-pihak tertentu yang mendapat kelebihan semua itu. Kita mahu harga barang turun. Kita mahu harga makanan dan barang keperluan harian turun. Tapi yang turun? Beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut,pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu. Itupun yang berjenama.
Apakah ini yang kita mahu? Apakah ini yang orang kampung mahukan? Apakah ini yang mampu menaikkan taraf ekonomi negara. Apakah keperluan ini hari-hari kita beli? Tidak!! Kita tidak mahu mendengar projek berbillion ringgit bangunan pencakar langit. Kita hanya mahukan ekonomi yang ‘berjiwa rakyat’. Lebih dekat di hati rakyat. Rakyat mempersoalkan rasional kerajaan memperuntukan ratusan juta malah berbilion ringgit yang entah ke mana hasilnya.
Misalnya projek pembinaan istana negara berharga RM394.8 juta kemudian dinaikkan kepada RM649 juta. Manakala semasa kontrak itu diberikan pada Oktober 2008 ia dinaikkan kepada RM811 juta. Ini bermakna kenaikan kos projek itu sebanyak tiga kali. Begitu juga halnya dalam projek PKFZ dan projek-projek mega kerajaan yang lainnya. Projek Empangan Bakun di Sarawak contohnya. Adakah ada jaminan projek-projek yang diumumkan baru-baru ini tidak ada sebarang penambahan peruntukan kemudian hari??
Dalam kehidupan seharian, dalam sehari-hari atau dalam seminggu, mungkin akan ada nada dialog-dialog ini..
Dialog si ibu kepada anaknya untuk pergi ke kedai dan pasar :
“Mat, pergi kejap belikan susu, gula, minyak masak, tepung, ayam, kopi…..”
Bukannya begini :
“Mat, pergi kejap belikan beg tangan berjenama, kasut berjenama, pewangi berjenama, dompet berjenama, pewarna rambut, kelambu…..”
Berbilion-bilion diumumkan, apa rakyat dapat pada keesokan harinya? Apakah nelayan-nelayan dapat bot baru bagi menggantikan bot-bot kecil yang sudah dimamah usia? Rakyat yang mana hanya makan ikan kering sebagai menu harian, esoknya sudah dapat makan lauk ayam dan daging? Pengumumannya hanya penyedap halwa mata dan telinga.
Banyak lagi rakyat yang merempat di negara sendiri namun yang kaya akan terus kaya, yang miskin terus kekal miskin. Bajet 2009 pun ada banyak projek tidak terlaksana dengan baik malah peruntukannya bukan ‘totally’ rakyat merasainya. Ingin menumpang nikmat kekayaan hasil mahsul negara, namun harus ditunggu sampai bila??
Sudah tiba saatnya ummat Islam (terutama pemimpinnya), memberikan pimpinan dan bimbingan kepada ummat yang di bawah, memberi penjelasan siapakah kawan dan siapa lawan. Siapa kawan yang diajak serta mengerjakan usaha besar ini, memenangkan Kalimah ALLah di muka bumi.
Siapa lawan yang wajib ditentang,selaras dengan ajaran ALLah dan RasulNya. Sudah tiba saatnya ummat Islam diberi contoh teladan hidup persaudaraan dalam agama.
Kesampingkan soal-soal yang mungkin meretakkan persaudaraan dan persatuan. Letakkan di hadapan kita, bahawa kepentingan Agama ALLah melebihi segala kepentingan.
Faham dan keyakinan tersebut telah dan sedang mereka perjuang dan pertahankan samada dengan tulisan, lisan (perkataan), perbuatan dan juga dengan menggertak, mengejek, mengancam dan menghentam, bahkan membunuh. Di tengah-tengah ummat Islam yang “fanatik” dan berkeyakinan teguh, mereka berani menolak dan mengatakan dasar sekular dijadikan dasar negara.
Di tengah-tengah masyarakat kaum Muslimin yang “fanatik” dan berkeyakinan, mereka tidak segan-segan dan malu mengatakan tidak bersetuju kepada cita-cita hendak menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam.
“Kebencian yang hebat telah lahir dan mulut mereka, dan apa yang tersimpan dalam hati mereka lebih besar lagi.”
Pilihanraya untuk perlembagaan, majlis pembuat undang-undang dasar negara yang tetap, perlembagaan yang dikehendaki oleh ummat dan rakyat Islam, yang diharapkan-harapkan oleh manusia seluruhnya. Di dalamnya tergambar dengan tegas dan jelas akan cita-cita, harapan dan perubahan seluruh rakyat, fikiran dan pandangan masyarakat seluruhnya.
Perlembagaan dan undang-undang negara yang akan menjadi sumber atau pokok kepada perundangan negara di zaman yang mendatang. Perlembagaan atau undang-undang dasar baru yang tetap di atas ‘aqidah, di mana jelas dikatakan hukum atau peraturan apa yang akan dipakai dan dilaksanakan dalam negara Malaysia masa hadapan.
Perlembagaan baru yang akan menjadi pegangan dan pedoman, bukan sahaja bagi ‘angkatan’ kita sekarang, tetapi juga anak cucu keturunan kita berabad-abad yang akan datang, generasi demi generasi. Selain untuk perlembagaan, majlis pembuat undang-undang dasar, pilihanraya ditujukan untuk memilih para anggota parlimen atau pun dewan perwakilan rakyat.
Telah hampir 53 tahun negara kita merdeka, memiliki negara sendiri, yang kita katakan berdaulat ke luar dan ke dalam. Dalam waktu selama itu, kita belum dapat menciptakan suatu perbuatan yang asasi, merubah bentuk dan susunan serta isi dan kehidupan masyarakat kita.
Kabinet jatuh dan berdiri, terumbang ambing oleh pergerakan arus dalam Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen) yang tidak mencerminkan aliran yang hidup dalam masyarakat Malaysia, tidak mewakili pandangan ramai, kerana datangnya ke sana bukan kerana pilihan, tetapi bersifat sebuah angkatan.
Umat Islam yang diakui golongan terbesar dalam masyarakat MaIaysia dalam Parlimen yang sekarang adalah golongan minoriti (golongan kecil). Tidaklah hairan, dalam perjalanan Parlimen sekarang ini, umat Islam yang memperjuangkan ‘aqidah Islam tidak mungkin mengemukakan atau memperjuangkan soal-soal yang prinsip dan dasar, kerana selalu kalah suara.
Sudah lama 'menyepi' dari 'mengisi' laman blog sendiri. Banyak perkara dan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh 'uzlah' ataupun menyepikan diri ini. Bukan apa, ada sahaja 'halangan-halangan' yang tidak dapat dielakkan. Walaupun ada sudah saya nukilkan tulisan tentang tajuk sebelum ini yang ada tulisan sambungannya, namun tulisannya berada di dalam laptop saya yang sedang 'cuti sakit' sudah sekian lama. Betapa 'kehilangannya' memberi impak besar dan mengajar saya erti sebuah kehilangan. Bukan mudah. Namun perlu bersyukur kerana ia bukan kehilangan yang selama-lamanya. Ada sahaja rakan-rakan kita yang kehilangan orang yang tersayang seperti ibu, ayah, adik, dan ada juga yang kehilangan barang peribadi seperti laptop dan sebagainya. Lagilah terasa akan kehilangannya. Ringkas ceritanya, mungkin saya sendiri tidak mampu 'cover' segala merba cerita, ilmu, pengalaman dan seumpamanya sepanjang 'sepinya' blog ini. Akan tetapi saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu yang dipelajari buat anda kali ini, antaranya ialah tentang satu ilmu 'bergelar' teori mikro sosiologi.
Pertamanya dalam teori mikro sosiologi ini, termaktub teori pertukaran yakni difokuskan hal-hal yang berkaitan dengan idea ataupun fikiran kita. Teori ini menghuraikan bahawa setiap individu saling mempercayai antara satu sama lain apabila berlaku proses sosiologi. Teori kedua ialah teori interaksi simbolik, yang boleh juga dikaitkan dengan bahasa. Teori ini menyatakan bentuk komunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan sesama manusia. Teori ketiga pula ialah teori etnomethodologi yakni perkaitan dengan persekitaran kita. Ertinya bagaimana kita dapat memahami fenomena dan sesuatu keadaan melalui persekitaran dan suasana. Teori keempat pula ialah teori positivisme iaitu perkaitan dengan nilai. Bagaimana fenomena sosial boleh diukur secara objektif.
Apabila kita memasuki sebuah daerah, dan melihat kekerapan yang banyak terhadap bahan binaan yang bernama masjid atau surau, yang binaannya jelas tersergam indah pula, mungkin kita senang hati bila melihatnya. Selain sejuk hati melihatnya, kita juga tiada masalah untuk singgah berhenti di sana jika sudah masuk waktu solat. Berbanding apabila kita melalui sebuah daerah, kebarangkalian untuk menemui sebuah masjid atau surau amat susah, dan kekerapannya sedikit pada pandangan mata kita, sudah tentu boleh merimaskan kita.
Namun perlu diingat, mengapa di Padang, Indonesia, tempat di mana berlakunya gempa bumi yang dahsyat sebelum ini, fakta yang diperoleh daripada pihak yang bertugas membantu mangsa kejadian gempa bumi secara langsung di sana, terdapat banyak surau-surau yang dibina dalam sesuatu kawasan tetapi pada hakikatnya ia sunyi dari diimarahkan qaryah dan penduduk setempat. Adakah ini suatu ’muhasabah tersirat’ daripada Allah buat kita?? Atau adakah ia suatu ancaman dan amaran keras daripadaNYA?? Kuantiti ATAU kualiti?? Majoriti ATAU keadilan hakiki dan akauntabiliti?? Bagaimana pula dengan pengaplikasiannya jika hal ini bersangkutan dengan mazhab atau parti politik?? Ada kata kuncinya dalam fikiran anda?? Hehehe..
Hidup bola? Makan bola? Tidur pun bola? Hehehe.. Mungkin kemeriahan sebegini lebih dirasai pada musim Piala Dunia berlangsung. Namun, pada Sabtu malam ni pastinya bagi peminat bola sepak tempatan, sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Final bola sepak Piala Malaysia, piala berprestij di bumi Malaysia la katakan.. (walaupun kualiti permainan tu entah la camna kan.. hehehe..) Akan tetapi, saya pasti tetap menyokong bola sepak negara..terutamanya pasukan Kedah..=)
Pasukan mana yang akan menjulang trofi Piala Malaysia 2009 bakal terjawab di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam sabtu ini, adakah skuad The Red Warriors yang juga diberi jolokan nama lain sebagai skuad Kijang, ataupun skuad Hoben Jang Hoben atau nama lainnya skuad Rusa yang akan menempa kejayaan tahun ini? Setelah 2 tahun berturut-turut Kedah merangkul 3 piala sekaligus dalam satu musim, maka untuk tahun ini, sama-sama kita nantikan siapa yang akan bergelar juara.
Akhbar Kosmo baru-baru ini ada melaporkan dakwaan wujudnya sindiket yang mengaut keuntungan lumayan, hasil eksploitasi mereka terhadap orang kurang upaya (OKU) di sekitar Lembah Klang. Rata-rata tempat jika kita amati, sudah menjadi kebiasaan apabila kita sedang duduk makan di kedai makan atau medan selera, kemudiannya didatangi dengan orang buta yang dipimpin oleh seorang wanita atau lelaki celik yang menjual sama ada tisu, surah Yasin, kalendar, kad yang mengandungi surah Al-Quran ataupun pelekat al-Quran.
Walaupun alasan mereka mungkin untuk menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai ada di antara mereka yang berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut untung berpuluh-puluh ribu ringgit sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka.
Pendedahan itu dilaporkan di dalam akhbar Kosmo, oleh Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, (Presma), Datuk Jamarulkhan Kadir yang mendakwa ada di kalangan mereka menerima pendapatan sehingga mencecah RM20,000 sebulan, malah beliau menyifatkan iasebagai satu 'manipulasi terancang' sindiket tertentu yang berniat memeras kudrat OKU yang mana sebahagian besarnya adalah orang tempatan. Bukan itu sahaja, dikatakan juga, perolehan pendapatan daripada mengemis itu kemudiannya dibahagikan 50-50 antara OKU dan orang yang menemaninya.
Menerusi pengalamannya, beliau sendiri pernah menyaksikan empat OKU cacat penglihatan dibawa menaiki van dan kemudian diarahkan mengemis secara bergilir-gilir secara intensif di kawasan deretan kedai makan di sekitar Bangsar di sini. Menurut Jamarulkhan lagi, hasil siasatan Presma juga mendapati dalam tempoh satu jam, seorang OKU dan pasangannya berupaya meraih kutipan sekurang-kurangnya RM100.
Ini bermakna, jika dihitung selama lapan jam bekerja bagi tempoh 25 hari sahaja, katanya, mereka mampu memperoleh pendapatan paling kurang sebanyak RM20,000 sebulan. Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat mereka yang mengemis pada waktu malam hingga dinihari ini dikatakan ada antara mereka yang hidup mewah berdasarkan kereta mewah yang membawa mereka dalam 'kerjaya' harian mereka masing-masing.
Saya juga baru-baru ini, suatu malam ketika menikmati hidangan makan malam di sebuah kedai makan, pernah didatangi seorang lelaki buta yang sedikit berumur, yang dipimpin tangannya oleh seorang wanita celik di kawasan Medan Selera Bukit Angkasa, sambil membawa 'buah tangan' mereka seperti selalunya. Akan tetapi apa yang membuatkan saya sedikit curiga terhadap mereka, kalaulah mereka betul-betul mahu mengemis demi sesuap nasi, atau jalan rezeki mereka hanya dilihat melalui cara tersebut, mengapa mereka berdua terlalu tergesa-gesa berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Kasihan dengan kudrat lelaki tua yang buta, terpaksa berjalan laju, dipimpin wanita tadi, seakan-akan dihambat oleh masa dan mungkin 'sesuatu'.
Saya ingin tahu apakah yang berada di sebalik 'kekalutan' mereka berdua, lantas saya menghabiskan makanan saya dengan secepat yang mungkin, sementara mereka akan mengambil masa untuk berpatah balik sekejap lagi. Apabila saya membayar harga makanan yang dimakan, saya terus mendapatkan motorsikal saya, dan mengekori mereka berdua dari jauh. Memang laju mereka berdua jalan. Dari Medan Selera Bukit Angkasa, mereka bergerak ke kawasan kedai makan di hadapan Kedai Seven Eleven, yang tidak jauh dari Blok 20, kemudian mereka berjalan pantas menuju ke deretan kedai-kedai makan berdekatan Pantai Permai.
Modus operandinya mudah, 'bermodalkan' sedikit buah tangan seperti tisu dan sebagainya, kemudian bertemankan orang yang buta matanya, dan 'pasangan' ini pula berjalan pantas, dari satu kawasan tumpuan ramai ke satu kawasan yang lain, meminta simpati rakyat Malaysia yang terkenal dengan peramah dan pemurah ini, menghulurkan wang untuk mereka.
Saya terus mengekori mereka berdua, ada yang saya ekori mereka dengan motorsikal, dan ada tempat lain yang mereka tujui, saya ekori dengan berjalan kaki sahaja, setelah saya 'parking' motor saya di tempat yang saya mudah untuk 'akses' dan terus mengekori tanpa menghilangkan jejak mereka berdua. Saya konon-kononnya mahu membeli makanan juga di tempat makan yang mereka singgahi, dan saya juga 'menyamar' sedikit seperti memakai jaket sedangkan mereka singgah di meja makan saya awal tadi, saya memakai baju melayu. Ada yang saya turun dari motor dengan helmet masih lagi di kepala dan sebagainya lagi, agar mereka tidak mengesyaki mereka sedang diekori.
Destinasi terakhir mereka di kawasan sekitar ini berakhir di sebuah restoran yang pernah juga saya dan kawan-kawan kunjungi jika mahu 'merasai' keenakan ayam golek di sana. Restoran ini bertentangan juga dengan Flat Pantai Permai, tetapi di sebelah hujung jalan, sebelum masuk ke highway, jalan keluar sebelah kirinya akan melalui Angkasapuri. Saya terus mengekori, dan akhirnya mereka berdua kelihatan tergesa-gesa meninggalkan restoran tersebut, menuju ke arah sebuah van rusa warna hijau yang siap menunggu mereka berdua, di hujung jalan berhampiran jalan keluar ke highway tadi.
Yang mengejutkan saya, bukan mereka berdua sahaja, tetapi ada lagi pasangan lain yang menjadi 'mangsa' kepada sindiket terbabit. Kelihatan dua tiga orang lelaki, masing-masing mengarahkan mereka masuk ke dalam van dengan segera, dan terus laju meluncur keluar mengikut highway. Sayangnya saya tidak dapat melihat jelas nombor plat van tersebut kerana saya tidak boleh terlalu rapat dengan van tersebut, memandangkan ada lelaki yang 'berkawal' di sana, mungkin memerhatikan keadaan sekeliling. Apabila mereka meluncur laju, saya terus mengejar dengan motor saya sekurang-kurangnya untuk mendapatkan nombor plat van mereka, tetapi saya kehilangan jejak mereka apabila mereka terus meluncur laju ke arah Bangsar dan Pusat Bandar.
Sedikit hampa, saya membuat keputusan untuk berpatah balik menuju sekitar kawasan rumah sewa saya kembali, sejurus selepas itu. Akan tetapi, apa yang saya perolehi daripada peristiwa pada malam tersebut, saya coretkan di sini, sekadar mahu berkongsi pengalaman dengan semua, rupa-rupanya sindiket sebegitu sememangnya wujud. Kita kasihankan orang buta atau yang cacat dan sebagainya dengan menghulurkan sedikit wang ringgit yang kita ada, akan tetapi rupa-rupanya mereka dieksploitasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti itu.
Yang terkini, jika mengikut fakta perolehannya, terdapat lebih dari 20,000 orang yang cacat penglihatan di Malaysia dan jumlahnya sebenarnya lebih ramai kerana terdapat juga sebahagian besar dari mereka yang tidak mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini kerana mereka semua sepatutnya perlu mendaftarkan diri mereka untuk mendapatkan kad pengenalan diri masing-masing.
Mengikut peruntukan undang-undang, perbuatan orang buta bersama dengan orang yang celik meminta derma dari meja ke meja, di restoran dan medan selera atau di kedai-kedai makan, dianggap satu kesalahan kerana ia dikategorikan sebagai perbuatan mengemis. Takrifan mengemis ialah kelakuan yang dikira perbuatan yang mendorong pemberian sedekah termasuklah menyanyi, berlakon, menunjukkan kemahiran tertentu, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya.
Mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) dan jika mereka berjaya ditangkap, mereka akan dimasukkan ke dalam institusi JKM untuk sementara waktu, tidak melebihi 30 hari atau sebulan untuk disiasat. Selepas disiasat, mahkamah boleh memerintahkan mereka dihantar ke Desa Binadiri untuk menjalani tempoh pemulihan.
Maka, pihak yang berkenaan perlu mengambil langkah segera untuk mengekang sindiket yang dilaporkan semakin berleluasa ini. Kita kasihankan orang-orang buta dan OKU yang lain, yang hanya mungkin terpaksa mengikut arahan sindiket yang 'menaungi' mereka. Kita sebagai orang yang tahu, mungkin boleh membantu mereka dengan melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut. Niat kita untuk memberi sedekah itu baik, tetapi biarlah sedekah kita itu bukan disalurkan kepada sindiket-sindiket ini, sebab kita mahu sedekah kita disalurkan kepada tempat yang betul dan diredhai, malah dapat membantu orang yang betul-betul memerlukan..=)
Ulangtahun kemerdekaan ke-52 negara baru sahaja berlalu. Pelbagai cara dan gaya sambutan walaupun secara sederhana diekspresikan untuk membuktikan kecintaan dan semangat patriotisme kepada negara. Namun, adakah kemerdekaan dan kebebasan ini akan berterusan? Persoalannya, sampai bila dan ke mana hala tujunya sebuah negara yang merdeka ini??
Dengan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, kestabilan politik negara yang tiada kesudahannya, soal keselamatan dan kadar jenayah yang semakin meningkat, dan pelbagai lagi isu yang tiada jalan penyelesaiannya, membuatkan kita meragui bagaimana kepimpinan yang ada sekarang, sama ada daripada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, benar-benar memperjuangkan soal keselamatan negara kita dan rakyat dari ancaman pihak luar.
Saya amat risau dengan perkembangan yang berlaku sekarang, politik perkauman mula menyerang, gejala rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa, dan bermacam lagi sifat dan sikap yang tidak matang telah ditunjukkan oleh kepimpinan kedua-dua pihak. Sedangkan dalam masa yang sama, ancaman daripada pihak luar, dipandang enteng oleh mereka. Adakah musuh negara itu hanya mereka yang berada di dalam negara? Kita amat khuatir sekali jika pihak luar hanya mentertawakan kita yang bergaduh sesama sendiri, dan menunggu masa untuk menyerang negara kita?? Bersediakah kita ketika itu? Padahal kita sendiri pun saling bermusuhan sesama sendiri?? Fikir-fikirkan.
Contoh mudah, saya mahu mengambil negara Republik Singapura sebagai negara jiran yang perlu kita waspada. Perlu diingat, kekadang kawan atau jiran yang baik, boleh sahaja menjadi musuh ketat kita. Saya melihat, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan di negara pulau tersebut, mereka boleh dikatakan berada pada kelas yang tersendiri, namun ternyata mereka tewas juga dalam beberapa aspek lain kepada Malaysia, yang kaya dengan hasil bumi, kaya dengan hasil-hasil pertanian dan galian, makanan, perindustrian dan kawasan pelancongan. Sedangkan Singapura merupakan 'Pusat Kewangan Dunia' bagi dunia sebelah timur. Boleh dikatakan semua bank-bank utama dunia ada di Singapura.
Kebijaksanaan kepimpinan negara pulau kecil itu mengurus tadbir negaranya, sehinggakan Singapura dianggap pakar ekonomi dunia sebagai 'kuasa ekonomi' dunia sebelah timur, perlu kita contohi. Pasukan ketenteraan mereka juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kelengkapan tercanggih zaman ini. Singapura juga mempunyai hubungan yang baik dengan negara Amerika Syarikat dan Israel, yang menjadikan kepimpinan negara kita perlu lebih berhati-hati soal keselamatan negara.
Paling membimbangkan, ada sumber-sumber yang mengatakan penasihat dan jurulatih tentera Singapura didatangkan khas daripada Israel. Benar atau tidak sumber maklumat tersebut, kepimpinan negara perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan situasi ini. Tidak kita ketahui, sama ada kepimpinan negara pulau itu melihat kepentingan mereka untuk mendapatkan tanah jajahan baru untuk melunasi agenda kemajuan pembangunan, ekonomi dan politik mereka??
Sudah kita maklumi, negara kita mempunyai pelbagai isu berbangkit dengan Singapura yang masih belum diselesaikan sehingga kini. Isu air yang tidak berkesudahan zaman berzaman, isu Tambak Johor dan jambatan baru yang tidak mencapai kata putus, isu pemilikan Pulau Batu Butih yang akhirnya dimenangi oleh Singapura setelah dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda, isu penggunaan ruang udara Malaysia untuk latihan tentera udara Singapura, dan banyak lagi isu tertunggak dengan negara kecil tersebut.
Saya melahirkan kebimbangan di sini jika kepimpinan negara kita berbangga dengan projek Iskandar Malaysia di Johor, sedangkan pihak yang memonopoli pelaburan berbilion ringgit di sana kebanyakannya datang dari negara Singapura. Walaupun saya bukanlah anak jati Johor yang risaukan kampung mereka tergadai, akan tetapi saya sebagai anak muda mahasiswa bimbang sekiranya kepimpinan negara sekadar berpeluk tubuh soal keselamatan negara dan bersikap tunggu dan lihat sahaja. Kita tidak mahu kita akan menyesal di kemudian hari.
Penduduk tempatan terutama di Gelang Patah, Johor seringkali merungut dan membangkitkan isu keselamatan mereka apabila ruang udara negara terutama di kawasan sekitar mereka, yang sering diceroboh tanpa kebenaran oleh tentera udara Singapura. Soal keselamatan dan hak mereka sendiri sebenarnya telah 'diceroboh' oleh tentera 'asing' tersebut. Bunyi kapal terbang dan pesawat sering mengganggu ketenteraman awam, malah ada sahaja kejadian jet atau pesawat mereka yang terhempas di dalam kawasan wilayah negara. Sudah pasti, penduduk di kawasan berkenaan sangat bimbang jika ada pesawat yang terhempas mengenai rumah, ladang dan tanah yang diusahakan mereka. Seperkara lagi, apakah tujuan sebenar mereka mengadakan latihan di ruang udara negara kita? Adakah strategi mereka menggunakan alasan latihan tentera udara, padahal untuk mengintip sejauh mana kekuatan ketenteraan dan tahap keselamatan negara??
Bukan saya ingin terlalu berprasangka buruk terhadap mereka, akan tetapi pihak kita perlu berhati-hati soal keselamatan negara. Jangan hanya bertelingkah sesama sendiri, dalam masa yang sama terus mengabaikan kepentingan yang lebih utama, iaitu keselamatan tanah air kita sendiri. Lebih-lebih lagi ada sumber akhbar dan bahan laporan yang memberitahu, terdapatnya gelagat pelancong-pelancong Singapura yang sering berbasikal saban minggu memasuki kampung-kampung, pekan kecil dan bandar di negeri Johor. Tidak boleh kita abaikan juga ialah aktiviti 'motorcross' oleh penunggang-penunggang scrambler milik warga Singapura yang selalu bereakrasi di gelanggang ladang kelapa sawit di merata Johor.
Benarkah mereka bereakrasi? Jujurkah mereka itu apabila memasuki kawasan kampung dan berlumba sesuka hati di kawasan ladang sawit? Adakah aktiviti mereka itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa kita? Atau, tidak bimbangkah pihak berkuasa negara kita bahawa mereka sebenarnya melakukan aktiviti 2 dalam 1, iaitu 'berekreasi dan melancong sambil mengintip'? Lihat sahaja sudah beberapa kali warga Singapura yang sesat ketika mendaki Gunung Ledang di Johor, dan apakah yang mereka cari di atas gunung bermisteri itu? Adakah mereka ada tujuan yang tertentu yang tidak kita ketahui? Terpulanglah kepada anda untuk menilainya. Saya sekadar berkongsi maklumat yang diperolehi dari bahan-bahan bacaan yang ada dan sumber yang berkaitan. Itupun belum lagi dengan khabar-khabar angin pernah suatu ketika, Singapura yang dikatakan didalangi Israel, ingin menyerang negara ini. Walau ia sekadar sebuah khabar angin, kita tetap perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan, andai tidak mahu tanah air kita tergadai kepada pihak luar.
Lebih menarik, kelicikan pimpinan Singapura perlu kita amati. Lihat sahaja baru-baru ini, Lee Kuan Yew, Menteri Kanan Singapura, secara mengejut telah membuat lawatan ke negeri Kelantan dan Pulau Pinang, bertemu dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di sana. Memang dari satu sudut, kelihatannya sangat baik bila mereka membuat lawatan untuk membina hubungan dua hala, tetapi dari sudut yang lain, kenapa lawatan Lee Kuan Yew dilakukan ke negeri-negeri Pakatan Rakyat, itupun baru-baru ini sahaja.
Bukan sebelum ini Kelantan tidak diperintah oleh Pas, iaitu sejak dari tahun 1990 lagi, bukan tidak pernah Terengganu diperintah oleh Pas, iaitu pada tahun 1999-2004, akan tetapi tidak pula Lee Kuan Yew datang membuat lawatan sebegitu. Mungkin ada agenda yang tersirat. Mungkin juga lawatan itu ada tujuan lain seperti mengintip dan merisik gaya kepimpinan Pakatan Rakyat sekarang, adakah mampu menggugat kedudukan Singapura jika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara suatu hari nanti. Bukan soal siapa yang mampu mengambil alih pentadbiran negara, tetapi persoalannya, apakah agenda dan motif Lee Kuan Yew sebenarnya??
Kesimpulannya, keselamatan negara amat penting untuk diambil berat oleh kepimpinan negara. Itu baru sahaja saya bawakan salah satu kemungkinan ancaman terdekat dari sebuah negara jiran kita. Itu belum lagi dengan negara Indonesia, yang wujud juga beberapa konflik baru-baru ini, hinggakan sebuah Kedutaan Malaysia di Indonesia, diserang oleh penunjuk perasaan di sana, dilontar dengan telur busuk, seperti yang dilaporkan di dalam Berita Harian. Tindakan mereka tersebut bagi membantah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia. Malah, hubungan panas sedia ada antara negara jiran itu mencapai ketegangan baru minggu lalu selepas dakwaan bahawa lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditiru daripada lagu Indonesia, Terang Bulan. Itu belum lagi diambil kira isu persempadanan perairan negara, yang juga sering menjadi pertikaian negara kita dengan Indonesia.
Banyak lagi sebenarnya contoh-contoh ancaman dari pihak luar yang lain. Misalnya pulau-pulau dan perairan Sabah yang turut menjadi rebutan dan pertikaian dengan negara Filipina. Jadi, tidak perlulah saya rungkaikan satu per satu, contoh-contoh ancaman dari negara lain. Cukuplah kita mengambil iktibar dan jadikan ia sebagai peringatan untuk kita, terutamanya kepada kepimpinan negara, supaya lebih mementingkan keselamatan negara kita, sekaligus menjaga hak dan keselamatan rakyat keseluruhannya, dengan sebaik-baiknya.
Saya ingin membuat satu perumpamaan tentang pemimpin dalam sesebuah persatuan ni, tapi sudah terlalu biasa kalau nak diibaratkan dengan sebuah kapal pelayaran yang diketuai oleh seorang nakhoda. ’Boring’. (Tak dak kemajuan. Tak larat nak dengaq dah, macam orang Kedah kata la. Hehehe..) Bagi saya, memimpin sebuah persatuan ini boleh diibaratkan sama juga dengan suasana dapur sebuah hotel yang terkemuka. Bagaimana mereka membuat persediaan, pembahagian tugas, memasak dan menjaga imej hotel mereka yang terkemuka la sangat gayanya.. hehehe..
Para pimpinan ibarat chef-chef profesional dan berpengalaman luas, manakala pelanggannya adalah ahli-ahli persatuan itu sendiri. Ketua chef dan pembantu-pembantunya ataupun dalam konteks ini, pimpinan Majlis Tertinggi dan barisan exco persatuanlah yang akan menentukan resepi menarik dan menu terbaik untuk dihidangkan kepada ahli-ahlinya.
Seorang chef yang bijak, akan menyediakan hidangan kepada pelanggan mengikut citarasa dan kehendak mereka, malah yang terbaiknya, mereka menyediakan hidangan makanan yang seimbang demi kebaikan pelanggannya, bukan sekadar memikirkan keuntungan semata-mata.
Begitulah dengan suasana di dapur hotel, setiap chef dan pembantu-pembantunya ada kepakaran dan kemahiran masing-masing. Ketua chef telah pun tahu kemahiran mereka dan telah pun tetapkan tugas masing-masing dalam menyediakan sesuatu resepi dan menu. Pemfokusan gerak kerja dan tugas di dapur ini sangat penting dalam menentukan keberjayaan tahap pencapaian dan kepuasan pelanggan terhadap sesuatu resepi dan menu tadi.
Begitu juga dengan pimpinan dalam sesebuah persatuan. Kemahiran dan peranan tugas masing-masing yang bersangkut paut dengan jawatan anda, sangat penting untuk dilunaskan kewajipannya. Mereka juga mempunyai visi, misi dan matlamat yang ingin dicapai dalam sesi kepimpinan mereka. Anda dapat terjemahkan dalam situasi sebenar atau tidak perumpamaan tadi ya?? Hihihi.. Kalau dapat, baguslah anda dapat membayangkan dengan baik. Bijak-bijak.. Hehehe..
Ingatan buat para pimpinan persatuan, perlu ingat, ibaratnya kalaulah ada pelbagai tempat makan, menu yang disediakan pula lebih kurang sama, mungkin terdapat sedikit perbezaan, harga pun mungkin sedikit berbeza, dari aspek hiasan kedai makannya, tahap kebersihan kedainya, mungkin ada perbezaan, dan yang pastinya, sudah tentu ada sebuah atau dua buah kedai makan terbaik, yang menjadi pilihan dan kegemaran kita, di antara banyak pilihan kedai makan yang lain kan??
Kenapa agak-agaknya eh?? Pasti ’pakej’ yang disediakan oleh kedai makan ’favourite’ kita tadi. Dari sudut jenis makanan, kelazatan, harga berpatutan, kebersihan kedai dan makanan terjaga, dan macam-macam lagi yang akan menjadi pertimbangan kita sebagai pelanggan.
Jadi, apa konklusinya ya?? Ada juga banyak persatuan yang ada di dalam universiti dan di luar sana, dan mungkin menyediakan ’pulangan’ yang sama kepada ahlinya, tetapi mereka akan memilih terbaik di antara yang terbaik. Cream of the cream. Maka, fikir-fikirlah apa yang ingin saya sampaikan. Ingatan buat diri saya juga. Jadi, apa itu chef, hotel dan kedai makan??? Bagaimana pula yang dikatakan pimpinan, persatuan dan ’pakej’ yang disediakan untuk ahli-ahli?? Dah dapat konsepnya?? Bagus...
Oklah, cukuplah buat kali ini, dan jumpa lagi dalam lain coretan. Harap semua dapat membuka sedikit minda perkongsian kita. Wassalam..
Salam Perkenalan dan Salam Persahabatan buat semua..=)
Laman ini.. Sekadar perkongsian warna-warni kehidupan, untaian aliran ilmu dan medan rencaman dakwah.. Secebis perkongsian minda, segugus bicara hati.. Renungkan bersama kata-kata ini..
"Aliran ilmu umpama aliran air. Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi, ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Justeru, lembah dan lurah seringkali bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu juga ilmu, perlu 'ditakung' dengan hati yang merendah diri. Semakin tawadduk dan rendah diri seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.."
Ambillah apa yang baik buatmu, sebagai CAHAYA dalam kehidupan ini.. bila adanya gelap, barulah terserlah gemerlapan cahaya itu.. barulah tersedar 'kehadiran' cahaya itu.. Maka, lihatlah dari kaca mata kehidupan yang sebenar.. bukan dari kaca mata yang sering tertipu..=)
Anak Sulung Permata Ayah Bonda..
Abang Kepada Adik-Adik Tercinta..
Kembara Ilmunya Bermula di TASKI Bukit Besar (1993), Kemudian ke SK Spg Tiga Sg Daun (1994-1999), SMKA YAN, Kedah (2000-Feb 2003), KISAS, Selangor (2003-2004), UM Nilam Puri, Kelantan (2005-2007).
Merupakan Mantan Exco Akademik Dan Intelektual, Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH) Universiti Malaya Kuala Lumpur
Sesi 2008/2009, Mantan Bendahari Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH) Universiti Malaya Kuala Lumpur
Sesi 2009/2010