“...Jadilah kalian hamba-hamba ALLAH yang bersaudara." (Hadis Riwayat Muslim)
Thursday, May 2, 2019
Poligami: Sebelum Bercerai
#tipspoligami
Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit hati, marah, dendam, kecewa, cemburu, sedih, terluka - apabila suami menikah lagi...terlebih luka dan rasa dikhianati bila suami bernikah secara sembunyi.
Ya memang suami merancang dan berkeinginan untuk menikah lagi namun ALLAH yang membuat keputusan dan menentukan. Tanpa kuasa dan izin ALLAH, tak akan terjadi, tak kira sehebat manapun perancangan dan keinginan suami.
Perceraian tidaklah penyelesaian mee segera - yang mudah dan sedap. Akan pastikah lebih gembira jika bercerai? Atau semakin sakit hati kerana isteri kedua bebas memiliki suami? Akan bersediakah menjadi ibu tunggal atau mengisi borang mencari jodoh?
Atau kemudian bernikah dengan suami orang sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat? Apa perasaan anak-anak menerima ayah baru jika ada? Atau mahu menjalani kehidupan sendiri tanpa suami?
Tidak ada yang ingin bercerai. Tidak juga ia mudah untuk dipilih oleh isteri yang dimadukan suami. Namun terasa berat, sukar dan sakit untuk menerima hakikat berpoligami.
Apa yang isteri perlu untuk meneruskan langkah kehidupan dengan tenang dan positif? Untuk merawat hati?
Ya, hati mampu sembuh dan 'menerima' poligami jika kita bersungguh untuk merawatnya. Perlu iman. Perlu ilmu. Perlu doa. Perlu lingkungan sahabat-sahabat yang baik. Perlu bahan bacaaan yang ilmiah dan bermotivasi. Perlu jelas dengan tujuan hidup. Perlu perbaharui hubungan dengan ALLAH.
Fasa yang berat dan sangat menyakitkan akan beransur bertukar kepada fasa ringan dan mula menerima poligami. Berapa lama tempoh itu? Bergantung pada kesungguhan bermujahadah dan kesungguhan merawat diri dari perasaan dan fikiran yang negatif.
Kerana poligami adalah perkara baru dalam masyarakat, jadi mungkin ia lebih mengambil masa kerana kita kurang support group dari kalangan isteri yang juga poligami.
Fokuskan hati kepada ALLAH, bukan kepada suami, bukan kepada isteri barunya. Kita hidup untuk mencari redha Allah - frasa ini senang diungkap tapi tidak mudah dilalui. Hidup ini adalah ujian. ALLAH ingin menguji adakah kita sabar dan redha dengan keputusannya.
Poligami sesungguhnya adalah wake up call untuk kita. Sabar, redha dan ikhlas akan berulang kali kita mencari maknanya dalam menerima hakikat suami telah berkahwin lagi.
Sikap dan perasaan kita kepada suami dan madu di alam poligami, akan mencerminkan benarkah kita bertuhankan ALLAH atau sebenarnya bertuhankan nafsu sendiri. Ayuh sahabat-sahabat, perjuangan rupanya semakin sukar dan masih panjang untuk menjadi soleh solehah di mata Tuhan...
Kita – saya dan kalian – sangat saling perlu menasihatkan, saling mendoakan. Mendoakan suami dan para isteri yang ALLAH beri ujian hidup di alam poligami. Berilah persepsi dan kata-kata yang baik agar tidak ada yang kecundang kerana tersalah memaknakan cinta dan nilai diri.
Hentikan menuding jari, “Suami kahwin ikut nafsu!” Kerana wanita juga punya nafsu. Para isteri juga tidak suka dituduh mengikut nafsu, “ Isteri kedua ikut nafsu sangat sampai sanggup meruntuhkan rumahtangga orang”. “Isteri pertama mencintai suami kerana nafsu sebab itu tidak mampu menerima poligami yang dihalalkan tuhan”.
Kita tidak sekadar menyalahkan wanita yang tidak menerima syariat Tuhan, namun kita bantu mereka mengurus emosi melalui semua ini. Kita tidak sekadar menyalahkan suami tidak bertanggungjawab namun kita berusaha mendorong suami menjadi pemimpin yang adil.
Para isteri berasa sakit dan sukar melalui fasa-fasa selepas menerima madu, suami juga berat dan sakit sebenarnya mengurus dua isteri ....haa itulah siapa suruh g**** nak kahwin lagi, ujar sebilangan. Tidak, jangan dilabel sedemikian, sekalipun berkahwin lagi adalah pilihan suami –tetapi bukankah ia juga adalah jalan murni untuk wanita isteri kedua mempunyai teman hidup. Bukankah wanita itu juga saudara kita yang perlu pendamping untuk berkasih sayang, pelindung dan memberinya zuriat memenuhi fitrah perempuan dan keibuan.
Jangan lalui ujian poligami seorang diri. Jangan biarkan saudara lelaki dan perempuan kita seorang diri digoda syaitan dan nafsu buruk. Berdampinglah dengan meraka, ingatkan mereka tentang ALLAH, Rasul dan Islam.
Ada para isteri pertama yang mulanya tidak dapat menerima isteri kedua, akhirnya bersikap lembut dan baik semampunya. Duka dan kecewa beransur hilang, hati makin bahagia. Ketenangan isteri teraura pada suami.
Para suami juga dulunya berat dan tertekan tidak mampu mengawal perasaan isteri-isteri, tapi kini merasa bahagia kerana para isteri telah saling meredhai satu sama lain. Ujian poligami juga seharusnya menjadi wasilah untuk suami mendekatkan diri kepada Tuhan dalam memelihara amanahnya, tidak hanya kerana wanita adalah keseronokan dunia.
Poligami adalah ujian ALLAH untuk membentuk hati insan agar kembali kepada ALLAH. Ia menguji hambaNYA agar tetap memilih sabar dan ikhlas jika ingin bahagia sehingga bertemu Tuhan. Berkongsi suami, berkongsi kasih sayang, bahagia itu milik bersama andai hati suami dan isteri berusaha diluruskan dengan iman yang mendalam.
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.(Al-Maidah:2)
"Ya Allah,aku memohon kepadaMU petunjuk, ketaqwaan, budi yang luhur dan kekayaan".(Hadis Muslim)
"Ya Allah,perbaikilah agamaku yang menjadi perkara paling penting padaku. Perbaikilah duniaku yang menjadi kehidupanku. Perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat aku kembali. Jadikanlah hidup ini sebagai tambahan segala kebaikan bagiku. Jadikanlah kematian itu sebagai istirehatku dari segala kejahatan".(Hadis Muslim\
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Poligami: Sebelum Bercerai
#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...
No comments:
Post a Comment