Jumaat, 10 Disember 2010

Madrasah Darul Musthafa Cawangan Malaysia: Jangan Lepas Peluang, Daftar Segera Anak Anda!

Ingin anak anda menjadi seorang alim yang beramal dengan ilmunya serta bersifat dengan sifat wara`, khauf dan ikhlas? Inginkan anak anda menjadi ulama yang beradab, berakhlaq mulia? Inginkan anak anda menjadi da'i yang menyeru manusia kepada mencintai Allah dan rasulNYA? Mendaftarlah segera di MADRASAH DARUL MUSTHOFA CAWANGAN MALAYSIA


Pengenalan ringkas Madrasah Darul Musthafa Cawangan Malaysia
  • Merupakan cawangan pertama di Malaysia daripada induknya di Tarim, Hadramaut , Yaman.
  • Dasar pendidikannya sepertimana Darul Musthafa, Tarim iaitu: Mengajar ilmu agama secara bertalaqqi dan menerimanya daripada ahlinya yang bersanad; Mentazkiyah diri dan memperbaikkan akhlak; dan  Menyebarkan ilmu yang bermanfaat serta berdakwah menyeru kepada Allah Ta’ala.
  • Mendapat keizinan dan persetujuan oleh pengasas Darul Mustofa Tarim , al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim.
  • Sepenuhnya mengikut silibus dan jadual pengajian sebagaimana di Darul Mustofa Tarim, sepenuhnya.
  • InsyaAllah, pelajar yang berjaya akan melanjutkan pelajarannya ke Darul Musthafa, Tarim
Darul Musthafa, Tarim

Bilakah akan beroperasi? 
Madrasah Darul Musthafa Cawangan Malaysia akan beroperasi pada awal Januari 2011


Lokasinya?
Bertempat sementara di Pusat Pengajian Madras An-Nur, Pantai Dalam, KL.

Apakah syarat-syarat kemasukan?
Syarat-syarat kemasukan:
1. Terhad kepada pelajar lelaki sahaja
2. Berumur di antara 13 - 18 tahun
3. Lancar bacaan al-Quran (Hafiz al-Quran diutamakan)
4. Boleh menulis huruf Arab/Jawi dengan baik.
5. Menguasai asas Fardhu Ain.
6. Lulus ujian temuduga yang dijalankan.
7. Berkelayakan sebagai penuntut ilmu agama.

Perhatian: Pengambilan terhad kepada 40 orang pelajar sahaja

Berapakah yuran atau kos pengajian?
Pendaftaran : RM200.00
Bulanan : RM300.00 (termasuk makanan dan asrama)


Bagaimana untuk mendaftar atau mendapat info lanjut?
Sila hubungi nombor-nombor berikut:
012-260 1449 (Habib Ali Zainal 'Abidin al-Hamid)
012-959 7401 (Ustaz Syed Najmuddin al-Khered)
013-330 9474 (Imam Azian bin Man) atau emailkan kepada madrasannur@hotmail.com






Khamis, 9 Disember 2010

Muharram 1432 - Apa Nak Buat?

 
Disunatkan Berpuasa

Bulan Muharram adalah merupakan salah satu daripada 4 bulan HARAM. Dan di antara keempat-empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk melakukan puasa adalah pada bulan Muharram. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

أفضل الصيام بعد رمضان شهر اللّه المحرّم، وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل

Maksudnya: “Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah, iaitu bulan Muharram, dan sembahyang yang afdhal sekali selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Syeikh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam Lathoiful Ma’arif mengatakan: Hadits ini dengan tegas mengatakan bahwa seutama-utamanya puasa sunat setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, Muharram.” Beliau juga mengatakan bahwa puasa di bulan Muharram adalah seutama-utamanya puasa sunat muthlaq.

Manakala dalam Fathul Mu’in menyatakan: Bulan-bulan yang afdhal untuk berpuasa setelah bukan Ramadhan adalah asyhurul hurum [bulan-bulan haram iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah, Muharram dan Rejab] Dan yang paling afdhal daripadanya adalah Muharram kemudian Rejab, kemudian Dzul Hijjah kemudian Dzul Qaedah, kemudian Sya’ban [bulan Sya’ban tidak termasuk didalam asyhurul hurum]

Diantara hari-hari yang dianjurkan berpuasa adalah pada hari ke 9, 10 dan 11 Muharram. Tersebut di dalam kitab al-Bahr al-Waafi wa Nahr al-Shaafi karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani:

…… (Dan sunnah) muakkad puasa hari ‘asyura iaitu hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram karena ia mengkafaratkan dosa setahun yang lalu seperti yang tersebut pada hadits Muslim (Dan sunnah) puasa pada hari taasuu’a iaitu hari yang kesembilan daripada bulan Muharram kerana hadits Muslim, sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :
لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع فمات قبله
Yakni sungguhnya jika hidup aku kepada tahun yang lagi akan datang, nescaya aku puasa pada hari yang kesembilan. – Maka wafat ia [Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم] dahulu daripadanya.

(Dan sunat puasa) hari yang kesebelas daripada bulan Muharram kerana warid hadits pada puasa hari yang kesebelas dan kesepuluh dan yang kesembilan daripada bulan Muharram yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
صوموا يوم عاشوراء وخالفوا اليهود وصوموا قبله يوما وبعده يوما
Yakni puasa oleh kamu hari ‘Asyura dan menyalahi kamu akan Yahudi dan puasa oleh kamu dahulunya sehari dan kemudiannya sehari. [al-Bahr al-Waafi wa an-Nahr al-Shofi,halaman 374]

Puasa ‘Asyura itu menebus dosa tahun yang dahulunya, sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadits:
عن أبي قتادة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صيام عاشوراء؟ فقال: يكفّر السنة الماضية - رواه مسلم وغيره

Maksudnya: Daripada Sayyidina Abu Qatadah رضي الله عنه, bahwa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ditanya mengenai (fadhilat) puasa ‘asyura. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Puasa ‘asyura menebus dosa tahun yang dahulunya.

Menyenangkan hati kaum keluarga

Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Sa’id al-Khudri Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

من وسع على أهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته

Maksudnya: “Barangsiapa yang melapangkan (menyenangkan)keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun.” (Hadits riwayat Ibn Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi)

Hadits tentang melapangkan (menyenangkan) keluarga pada hari ‘asyura ini diriwayatkan oleh 5 orang shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Mereka adalah Sayyiduna Jaabir bin ‘Abdullah, Sayyiduna ‘Abdullah bin Umar, Sayyiduna ‘Abdullah bin Mas’ud, Sayyiduna Abu Sa’id al-Khudri dan Sayyiduna Abu Hurairah رضوان الله عليهم أجمعين. Walaupun ianya berstatus dhaif, namun dengan banyaknya jalan riwayat, maka ia saling menguatkan antara satu sama lain.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadis di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya. Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadis di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya.

Mengenai Tradisi Kacau (Memasak) Bubur ‘Asyura

Sepertimana yang al-Fagir pernah tulis pada awal Muharram 1429 dulu iaitu satu tradisi yang diadakan dikampung-kampung adalah membuat bubur ‘Asyura, maka hari ini al-Fagir ulang semula. Adapun mengenai tradisi ini ada disebut didalam kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid yang dikarang oleh al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani iaitu pada halaman 132:

(Dan kata) Syaikh Ajhuuri dan aku lihat bagi orang yang lain nashnya bahwasanya [Nabi] Nuh [عليه السلام] tatkala turunnya dari safinah [bahtera] dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahwa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang ‘adas dan ini dengan kacang ful [pol] dan ini dengan setapak tangan kacang himmasun [kacang kuda] hingga sampai tujuh biji-bijian bagi jenisnya dan adalah ia pada hari ‘asyura, maka mengucap Nabi Nuh عليه السلام dengan bismillah dan dimasakkan dia, maka sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyiduna Nuh عليه السلام . Firman Allah Ta’ala:

قيل يا نوح اهبط بسلام منا وبركات عليك وعلى أمم ممن معك وأمم سنمتعهم

[Maksudnya] Dikatakan: Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada Kami dan berkat atasmu dan atas umam [umat-umat] sertamu dan umam [umat-umat] yang Kami sukakan mereka itu. [Surah Hud: 48]

(Dan) adalah demikian ini pertama-tama makanan yang dimasakkan diatas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia sunat pada hari ‘asyura dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi maka segala fuqara [orang-orang yang faqir] dan masaakin [orang-orang yang miskin], maka dinamakan bubur ‘asyura. Dan jika bid’ah sekalipun, [maka ia] bid’ah hasanah dengan qasad itu.

Mengenai Keutamaan Hari ‘Asyura

Tersebut didalam kitab I’anah at-Tholibin karangan Sayyid Bakri asy-Syatta, peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari ‘Asyura iaitu:-

Nabi Adam عليه السلام bertaubat kepada Allah dan taubat baginda diterima; Nabi Idris عليه السلام diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi; Nabi Nuh عليه السلام diselamatkan Allah keluar dari perahunya; Nabi Ibrahim عليه السلام diselamatkan Allah dari api Raja Namrud; Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام; Nabi Yusuf عليه السلام dibebaskan dari penjara; Penglihatan Nabi Yaakub عليه السلام yang kabur dipulihkan Allah kembali; Nabi Ayyub عليه السلام disembuhkan Allah dari penyakitnya; Nabi Yunus عليه السلام selamat keluar dari perut ikan Nun; Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah; Nabi Sulaiman عليه السلام dikurniakan kerajaan yang besar; Hari pertama Allah menciptakan alam; Hari pertama Allah menurunkan rahmat ke bumi; Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit; Allah menjadikan ‘arasy; Allah menjadikan Loh Mahfuz; Allah menjadikan qalam; Allah menjadikan malaikat Jibril عليه السلام; Nabi Isa عليه السلام diangkat kelangit ………

Manakala didalam kitab Mukasyfatul Qulub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali disebutkan:
Dan telah datang atsar yang banyak pada keutamaan hari ‘Asyura, antaranya [adalah kerana - pada hari tersebut]: diterima taubat Nabi Adam عليه السلام; diciptakan Nabi Adam; Adam عليه السلام dimasukkan kedalam syurga; ‘arasy, kursi, langit, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang diciptakan; Nabi Ibrahim عليه السلام dilahirkan dan diselamatkan dari api Raja Namrud; selamatnya Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya dari [dikejar fir’aun]; tenggelamnya fir’aun dan tenteranya; Nabi ‘Isa عليه السلام dilahirkan dan diangkatkan kelangit; Nabi Idris عليه السلام diangkat ketempat yang tinggi; berlabuhnya bahtera Nabi Nuh عليه السلام diatas bukit Judiy; dikurniakan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام sebuah kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan; dikembalikan penglihatan Nabi Ya’kub [yang kabur sebelumnya]; dikeluarkan Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga; disembuhkan penyakir Nabi Ayyub عليه السلام dan hujan yang pertama diturunkan dari langit kebumi.

Memperingati Peristiwa Karbala 

Pada tanggal 10 Muharram 61H, cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, Penghulu (Ketua) Pemuda di syurga iaitu Sayyiduna Hussin bin ‘Ali رضي الله عنهما dan ahli keluarga beliau telah syahid di Karbala. Mereka telah dibunuh dengan kejam tentera yang diketuai oleh tentera pimpinan Ubidullah bin Ziyad.

Maka pada hari ‘Asyura, penganut-penganut Syiah akan meratapi peristiwa Karbala. Mereka akan mencederakan diri mereka, memukul kepala dan bahagian badan sehingga berdarah, kononnya kerana simpati diatas kekejaman yang dilakukan terhadap cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Kononnya merekalah yang tersangat-sangat sedih dan simpati terhadap tragedi yang menimpa ahlul bait ini. Sebenarnya perbuatan mereka itu dicela syara`.

Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan menyebut didalam kitabnya al-Raa’ah al-Ghaamidhah fi Naqdhi Kalam al-Raafidah [kitab ini diterjemahkan kedalam bahasa Indonesia dan diberi judul Fatwa Isu Penting. Manakala terjemahan bahasa Malaysia oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan diberi judul Fitnah Syi’ah]:

Sebahagian tradisi bid’ah yang keji dari kaum Rafidhah ialah mereka selalu meratap dan menangis pada 10 Muharram setiap tahun, hari terbunuhnya Sayyiduna Hussin رضي الله عنه. Ini merupakan satu dosa besar dan pelakunya berhak menerima azab yang besar. Tidak layak bagi seorang yang waras meratap laksana anjing dengan mengoyang-goyangkan tubuhnya. (halaman 30)

Seterusnya beliau menyebut lagi:
Imam Ahmad ibn Hajar al-Makki al-Syafi’ie berkata di dalam al-Sowaiq: Takutlah engkau dari menyibukan diri pada hari Asyura dengan melakukan berbagai-bagai bid’ah kaum Rafidhah dan yang sejenisnya. Baik yang berupa kesedihan atau ratapan kerana ia bukanlah budi pekerti kaum Muslimin. Jika tidak, mengapa semua itu tidak dilakukan pada hari kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, kerana ia lebih utama. (halaman 41)

Bagi kita, Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga mengingati peristiwa hitam tersebut namun tidaklah sepertimana syiah ataupun puak rafidhah ini. Tersebut didalam kitab Mukasyafatul qulub al-Muqarrib ila Hadhrati ‘Allamil Ghuyub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali:

Ketahuilah! Bahwa apa yang menimpa Sayyiduna Hussin رضي الله عنهما adalah merupakan bencana pada hari ‘Asyura itu, sesungguhnya adalah kesyahidan yang menunjukkan pertambahan ketinggian dan darjatnya disisi Allah dan mempertemukannya dengan ahli keluarganya yang suci. Maka barangsiapa yang menyebutkan tentang musibahnya pada hari itu, maka tidak seyogia baginya menyibukan diri kecuali dengan istirja (mengucapkan إن لله وإن إليه راجعون) kerana mengikuti perintah (1) dan memelihara apa yang ditetapkan oleh Allah dari hal itu, dengan firmannya:
أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ
Ertinya: Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Surah al-Baqarah: 157)

Takutilah dia! Takutilah dia! Dari kesibukan dengan bid’ah golongan Syiah Rafidhah dan yang semisal mereka daripada perbuatan nadbi (menyebut-nyebut dan mengungkit kebaikan mayat ketika merapatinya) dan niyahah (meratapi mayat dengan memukul-mukul badan, menampar-nampar pipi dan sebagainya – maka lebih terlaranglah kalau sampai mencederakan diri kerana meratapi mayat) dan huzn (kesedihan). Sebab itu semua bukan dari akhlaqnya orang Mu’minin. Jika tidak tentunya hari kewafatan datuknya (datuk kepada Sayyidina Hussin iaitu Rasulullah) صلى الله عليه وآله وسلم terlebih utama dengan yang demikian itu ….”

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره ketika ditanya oleh seorang yang berfahaman Syiah: Mengapa kaum ahlus-sunnah menyambut ‘asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?"

Maka Syeikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره menjawab: Orang yang berduka pada hari ini melihat Saidina Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Saidina Husein diberi anugerah syahid yang sangat agung di sisi Allah Ta’ala


Akhirkata marilah kita bertekad untuk mengisi bulan Muharram khususnya pada hari ‘Asyura’ ini dengan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘. Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja. Begitu juga melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala iaitu dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (ahlulbait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Dan perlu kita ingati bahwa sesungguhnya kecintaan kepada ahlulbait رضي الله عنهم tidak dapat bersama dengan kebencian kepada para sahabat رضي الله عنهم. Ertinya cintakan ahlulbait رضي الله عنهم seiring dengan mencintai para sahabat رضي الله عنهم. Inilah pesanan Imam Ali رضي الله عنه:
لا يجتمع حبي و بغض ابي بكر و عمر

Tidak akan berhimpun kecintaan kepadaku dan kebencian kepada Abu Bakar dan 'Umar.

Maka orang yang mengakui cintakan ahlulbait, cinta Sayyiduna Husain, cinta Sayyiduna 'Ali رضي الله عنهم, sedangkan dalam masa yang sama membenci Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina 'Umar dan sahabat yang lain رضي الله عنهم, maka kecintaannya itu adalah palsu, pembohongan semata-mata. Justru kecintaan kepada ahlulbait Junjugan  صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah daripada keimanan, bahkan menjadi perkara pokok dan asas dalam Islam sebagaimana dinyatakan dalam satu hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu an-Najjar dalam Tarikhnya di mana al-Imam Hasan bin ‘Ali رضي الله عنهما menyatakan bahawa Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. bersabda:-

لكل شيء أساس , وأساس الاٍسلام حب أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم وحب أهل بيته

Setiap sesuatu ada asasnya dan asas Islam itu keciintaan kepada para shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan kecintaan kepada ahlulbaitnya.


~Sekian dari ~
al-fagir abuzahrah
khamis, 3 Muharram 1432
di rumah, taman seri gombak

Notakaki:
(1) - (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah: 156)

Rabu, 8 Disember 2010

Kesalahan Cetakan Yang Tidak Disengajakan ataupun Penyelewengan/Pemalsuan ke Atas Kitab al-Ibanah Imam Abu Hasan Al-Asy'ariy?

Al-Ibânah ‘an Ushûl al-Diyânah

Al-Ibânah ‘an Ushûl al-Diyânah. Itulah nama lengkap dari salah satu karya Mishbâh al-Tawhîd Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî (260-324H), seorang Mujaddid peralihan abad ke-3 sampai ke-4 Hijriyah. Al-Ibânah adalah salah satu karyanya dengan metode Tafwîdh dan membuktikan bahwa ia telah melepaskan diri dari ideologi golongan Mu‘tazilah kepada ajaran Salaf al-Shâlih yang dinilai bersih mengikuti ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Istilah “Salaf al-Shâlih” telah memberi pukauan kuat terhadap banyak kalangan terutama bagi pemerhati sejarah al-Asy‘ariyyah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jamâ‘ah, sehingga masing-masing mereka merasa sebagai pengikut Salaf al-Shâlih. Maka tidak hairanlah, kandungan al-Ibânah yang dinilai mengikuti Salaf al-Shâlih pun menjadi rebutan beberapa kalangan.

Kalangan al-Asy‘ariyyah menganggap bahwa merekalah yang berhak terhadap al-Ibânah lantaran al-Asy‘ariyyah adalah penisbatan kepada Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî sang penulis kitab, dan beberapa alasan lain. Begitu pun kalangan yang MENGAKU sebagai pengikut Salaf al-Shâlih menganggap bahwa merekalah yang berhak terhadap al-Ibânah meski keberatan disebut sebagai al-Asy‘ariyyah, lantaran mereka menilai bahwa al-Asy‘ariyyah adalah golongan bid‘ah dan sesat menyesatkan. Golongan yang MENGAKU sebagai pengikut Salaf al-Shâlih [atau yang kita kenali sebagai Salafiyah Wahabiyah @ Salafi Gadungan] telah mengatakan ulama yang dikenal sebagai al-Huffâzh, bukan pengikut Salaf al-Shâlih meski tidak secara mutlak. Seperti al-Khathîb al-Baghdâdî, al-Bayhaqî, al-Nawawî, al-‘Asqalânî dan al-Suyûthî yang dikenal sebagai pemuka al-Asy‘ariyyah, رضي الله عنهم.
  • Dr Syaikh Muhammad Khalil Harras (Pemimpin Anshar as-Sunnah, Mesir), dalam kitabnya Dakwatut Tauhid, Cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, tanpa tarikh, mengatakan: Dan makruf, sesiapa yang terlibat dengan mentakwilkan nash-nash mutasyabihat dari golongan ‘Asya’irah seperti Ibn Fawrouk sebagaimana (terdapat) di dalam kitabnya al-Takwilaat” kemudian diikuti selepas itu (oleh) ulama mutaakhir al-‘Asya’irah seperti Imam al-Haramain, al-Ghazali, al-Razi, al-Hulaimi al-Aamidi, Ibn A’qil, Ibn Jauzi dan lain-lain. Dan sesungguhnya telah sesat dalam bab ini (mentakwil). Kebanyakkan ulama' ‘Asya’irah yang mana mereka mempunyai ilmu yang mendalam, ahli ‘ibadah dan menghafaz as-Sunnah seperti Imam an-Nawawi, Izzuddin Abdussalam dan selain dari keduanya”
  • Di dalam kitab Min Masyahir al-Mujaddidin Fi al-Islam: Shaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Shaykh al-Islam Muhammad bin Abd al-Wahhab, Dr. Sholeh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan, 1408H, Cetakan: Riasah al-Ammah al-Idarat al-Buhuth al-Alamiyyah Wa al-Ifta' Wa al-Dakwah Wa al-Irsyad, Riyadh, Arab Saudi, Perenggan Ke-5: menyebut: Golongan al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah bertentangan dengan (metodologi) para shahabat, al-Tabi’in dan Imam Mazhab Empat dalam kebanyakkan masalah i’tiqad (‘aqidah) dan usul agama. Lantaran itu mereka tidak berhak (tidak layak) untuk di gelar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka (‘Asya’irah dan al-Maturidiyyah) bukan sekadar bertentangan dengan Syeikh al-Islam [Ibn Taimiyyah] sahaja. Tetapi mereka turut menyalahi umat Islam dan para ulama’ yang berjalan (berpegang) kepada metodologi al-Salaf.”
  • Al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqolani seorang ulama hadits yang sangat terkenal dikatakan beraqidah menyeleweng sehinggakan ulama Saudi mengeluarkan sebuah kitab bertajuk ‘تنبيه على المخالفات العقدية في الفتح الباري’ – Peringatan Atas Penyelewengan-penyelewengan ‘Aqidah Di dalam Kitab al-Fath al-Baari. Kitab ini diberi taqridh oleh ulama-ulama besar Saudi seperti 'Abdul 'Aziz bin Baz, Sholeh Fauzan, 'Abdullah bin 'Uqail dan 'Abdullah bin Manii'q. Syaikh Abdullah Sa'diy al-Ghamidiy al-Abdaliy juga menulis satu kitab berjudul al-Aktha' al-Asasiyyah fi al-Aqidah Wa Tauhid al-Uluhiyyah Min Kitab Fath al-Baari Ta'lif Ahmad bin Hajar al-Asqalani (Kesalahan Asas Tentang Aqidah dan Tauhid Uluhiyyah dari Kitab Fath al-Baari karangan Ibn Hajar al-Asqalaniy).
  • Di dalam kitab Liqa' Bab al-Maftuh Ma’aa Fadhilah asy-Syaikh Muhammad Sholeh al-Uthaimin, yang diselia Dr. Abdullah bin Muhammad bin Ahmad al-Thayyar, Cetakan Dar al-Wathan, Riyadh, halaman 42 - 43: Soalan penanya: Sebagaimana kita menjadikan an-Nawawi dan Ibn Hajar al-Asqalani kedua-duanya bukan dari ahlussunnah wal jamaah? Jawapan: Berdasarkan kepada apa yang dimazhabkan (diputuskan) pendapat mereka di dalam isu-isu perbahasan Nama-nama dan Sifat-Sifat Allah, kedua-dua mereka bukan dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Soalan susulan: Secara mutlak, mereka bukan dari ahlussunnah wal jama'ah? Jawapan: Kita tidak menjadikannya secara mutlak. Saya beritahu anda bahawa barangsiapa yang menyanggahi golongan al-Salaf dalam memahami Sifat Allah tidak diberi gelaran mutlak bahawa ia bukan dari ahlussunnah wal jama'ah. Bahkan ditaqyidkan .... hingga bila dikatakan dia (seseorang itu) ahlussunnah wal jama'ah (mungkin) dari sudut feqhiyyah contohnya. Adapun jika tareqat (metodologinya) itu bid'ah..ia bukan dari ahlussunnah wal jamaah." Syaikh Sholeh Utsaimin bahwa Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani terkeluar dari ahlus sunnah wal jamaah.

Jika al-Asy‘ariyyah mengaku sebagai pengikut Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî, hal ini tentunya sangat wajar. Sebagaimana al-Hanafiyyah adalah pengikut Abû Hanifah, al-Mâlikiyyah sebagai pengikut Mâlik, al-Syâfi‘iyyah sebagai pengikut al-Syâfi‘î, al-Hanâbilah sebagai pengikut Ibn Hanbal, رضي الله عنهم. Namun akan terasa janggal jika pengakuan itu muncul dari kalangan yang MENGAKU sebagai pengikut Salaf al-Shâlih namun pada sisi lain mereka mencerca kalangan al-Asy‘ariyyah. Bahkan al-Asy‘ariyyah dianggap telah keluar dari paham al-Asy‘arî. Aneh! 

Dan tentunya ini sah-sah saja karena mereka pun boleh berpendapat. Dan yang menjadi kayu pengukur bagi kalangan ini untuk mengatakan bahwa al-Asy‘ariyyah sebenarnya tidak mengikuti Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî adalah isu-isu yang beredar bahwa al-Ibânah merupakan bukti peralihan Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî dari paham -yang konon katanya- Kullâbiyyah kepada Salaf al-Shâlih. Menurut mereka Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî dalam al-Ibânahnya mengakui Allah Subhânahû wa Ta‘âlâ menetap, menempati, bersemayam atau duduk di atas ‘arasy, sekaligus mereka beranggapan bahwa al-Asy‘ariyyah sebetulnya mengikuti paham Kullâbiyyah, bukan pengikut Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî. Lalu, ada apa dengan al-Ibânah sehingga kalangan ini begitu yakin akan isu-isu yang beredar sehingga menjadi pegangan bagi mereka untuk memisahkan al-Asy‘ariyyah dengan Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî? Dan siapakah Kullâbiyyah yang mereka anggap sebagai panutan al-Asy‘ariyyah dan dinilai sebagai golongan bid‘ah?

Penyelewengan terhadap kandungan kitab Ibanah
Sebagaimana yang telah disebutkan di atas bahawa yang menjadi ukuran golongan yang MENGAKU sebagai pengikut Salaf al-Shâlih [atau yang kita kenali sebagai Salafiyah Wahabiyah @ Salafi Gadungan] mengatakan al-Asy‘ariyyah telah menyalahi Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî sendiri, ialah kitab al-Ibânahnya. Kata mereka, Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî mengakui keberadaan Allah Subhânahû wa Ta‘âlâ bertempat di atas ‘Arasy sementara al-Asy‘ariyyah tidak. Tentunya hal ini bertentangan antara Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî dengan pemahaman pengikutnya. Begitulah diantara hujjah mereka untuk merosak keharmonian antara Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî dan al-Asy‘ariyyah. Suatu usaha yang amat buruk dan tercela. Namun apa benar dakwaan mereka itu? Untuk itu, kita akan mencuba membandingkan, al-Ibânah manakah kira-kira yang menjadi landasan bagi sementara kalangan yang mengatakan bahwa Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî meyakini Allah Subhânahû wa Ta‘âlâ bertempat (hulûl), bersemayam, menetap. Berikut imbasan tiga versi al-Ibânah karya Imam Abu Hasan al-Asy‘arî daripada tiga cetakan yang berbeza, iaitu:
  1. Cetakan Dâr al-Anshâr Mesir edisi Doktor Fawqiyyah Husein Mahmûd (al-Ibânah dengan cetakan sama yang terdapat di Perpustakaan Utama Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta dengan edisi Syeikh Zâhid al-Kautsarî, seorang ulama pada masa Khilâfah ‘Utsmâniyyah).
  2. Cetakan Maktabah al-Mu’ayyad Saudi Arabia bekerja sama dengan Maktabah Dâr al-Bayân Suriah edisi Basyîr Muhammad ‘Uyûn.
  3. Cetakan Dâr al-Kutub al-‘Ilmiyyah Lebanon edisi ‘Abdullâh Mahmûd Muhammad ‘Umar.
Sila klik untuk paparan lebih jelas
Sila klik untuk paparan lebih jelas
Sila klik untuk paparan lebih jelas
Sila klik untuk paparan lebih jelas

Ini hanyalah sekelumit dari kitab al-Ibânah khususnya bab Istiwâ’. Dan tidak menutup kemungkinan jika kita terus membandingkan antara beberapa cetakan akan nampak penambahan ataupun pengurangan. Namun yang terpenting adalah manakala kita membaca karya Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî seperti al-Ibânah, perlu kiranya pembanding dan pendamping bacaan tersebut seperti karya-karya ulama yang sanad ilmunya bersambung kepada Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî seperti al-Inshâf karya al-Baqillânî, Musykil al-Hadîts wa Bayânuh karya Ibn Fawrak, al-Jâmi‘ fî Ushûl al-Dîn karya Abû Ishâq al-Isfarâyînî, Ushûl al-Dîn karya ‘Abd al-Qâhir al-Baghdâdî, al-Tabshîr fî al-Dîn wa Tamyîz al-Firqah al-Nâjiyah ‘an al-Firaq al-Hâlikîn karya Abû al-Muzhaffar al-Isfarâyînî, al-Asmâ’ wa al-Shifât karya al-Baihaqî, al-‘Aqîdah al-Nizhâmiyyah fî al-Arkân al-Islâmiyyah karya Imam al-Haramain al-Juwainî, al-Iqtishâd fî al-I‘tiqâd karya al-Ghazâlî, dan masih banyak lagi kerana terkadang seorang ulama menulis beberapa karya dalam satu tema aqidah.

Di samping al-Ibânah, Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî juga mempunyai karya di antaranya al-Luma‘ fî al-Radd ‘Alâ Ahl al-Zaigh wa al-Bida‘, Kasyf al-Asrâr wa Hatk al-Astâr. Bersama kitab-kitab inilah Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî mengumumkan peralihannya dari Mu‘tazilah ke Ahl al-Sunnah. Pada saat itu kitab-kitab ini dibaca dan ditelaah oleh ahli hadits dan fiqih dari kalangan Ahl al-Sunnah, lalu mereka mengamalkan kandungannya. Sehingga mereka mengakui kelebihan Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî dan menjadikannya sebagai al-Imâm, lalu mereka menisbatkan mazhab mereka kepada Imam Abu al-Hassan al-Asy‘arî, sehingga bernamalah al-Asy‘ariyyah. Lihat Tabyîn Kidzb al-Muftarî, Al-Maktabah al-Azhâriyyah li al-Turâts, cet.1, 1420H, hal.43.






Sumber: Tulisan Saudara Zul ‘Ashfi Abû Zukhrûf ibn Sayyidî al-Minangkabawî, 5-6 Rajab 1431H / 17-18 Jun 2010, “kamar pojok” asrama Darussunnah High Institute for Hadith Sciences, Ciputat.

BENARKAH AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI MELALUI 3 PERINGKAT PEMIKIRAN?

Gambar Hiasan

Khas kepada mereka yang JUJUR ingin memahami tentang jawapan daripada dakwaan golongan Wahhabi mengenai al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari bertaubat dari manhaj yang disusun oleh beliau sekarang ini. Kami sediakan artikel ini agar kekeliruan yang di cetus oleh golongan Wahhabi ini dapat dipadamkan. Artikel ini perlu dibaca sehingga habis, jika tidak anda tidak akan faham. Baca perlahan-lahan dan elakkan membaca dalam keadaan emosi.

Ada artikel yang tersebar di kalangan sebahagian pakar, khususnya di kalangan golongan wahhabi yang mengatakan bahawa perjalanan pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa perkembangan dalam kehidupan beliau. (Lihat Mauqif Ibn Taimiyah min al-Asya`irah, Abd al-Rahman bin Saleh al-Mahmud(1995), Maktabah al-Rusyd, Riyadh, hal. 378.)

Pertama: Fasa ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengikuti fahaman Muktazilah dan menjadi salah satu tokoh Muktazilah hingga berusia 40 tahun.

Kedua: Fasa di mana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar dari aliran Muktazilah dan merintis mazhab pemikiran teologis (ilmu akidah) dengan mengikuti mazhab Ibn Kullab.

Ketiga: Fasa di mana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada mazhab yang dirintisnya iaitu mengikuti mazhab Ibn Kullab dan kembali kepada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikut manhaj Salaf al-Salih dengan mengarang sebuah kitab yang berjudul al-Ibanah `an Usul al-Diyanah.

Berdasarkan hal ini, golongan Wahhabi membuat kesimpulan bahawa mazhab al-Asy`ari yang berkembang dan diikuti oleh majoriti kaum muslimin hingga dewasa ini adalah pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pada fasa kedua iaitu mengikuti mazhab Ibn Kullab yang bukan daripada fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan telah dibuang oleh al-Imam al-Asy`ari, dengan kitab terakhir yang ditulis oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari iaitu al-Ibanah `an Usul al-Diyanah.

Oleh yang demikian, mazhab al-Asy`ari yang ada sekarang sebenarnya mengikuti mazhab Ibn Kullab yang bukan daripada fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan tidak mengikuti mazhab al-Asy`ari dalam fasa ketiga yang asli iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Inilah kenyataan daripada artikel yang direka oleh golongan Wahhabi/Salafi dakwaan dan disebar secara menyeluruh oleh mereka pada dewasa ini.

Oleh itu, artikel yang dibuat oleh golongan Wahhabi ini sudah tentu mempunyai banyak pendustaan mengenai fakta sejarah dan fakta ilmiah. Sebelum kita mengkaji artikel di atas satu persatu, ada baiknya kita memperincikan terlebih dahulu makna yang tersembunyi (hidden meaning) di sebalik artikel itu. Apabila hal tersebut dikaji, ada tiga makna yang tersembunyi di sebalik artikel tersebut.

Pertama: Perkembangan pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa di dalam kehidupannya, iaitu Muktazilah, mengikuti mazhab Ibn Kullab dan terakhir sekali, beliau kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Ini adalah artikel pokok yang dipropagandakan oleh golongan Wahhabi. Artikel ini menyembunyikan dua artikel disebaliknya.

Kedua: Abdullah bin Sa`id bin Kullab bukan pengikut Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.

Ketiga: Kitab al-Ibanah `an Usul al-Diyanah merupakan fasa terakhir dalam kehidupan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari iaitu fasa kembalinya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari kepangkuan ajaran Salaf al-Salih atau Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.

SANGGAHAN/BANTAHAN
Pertama, Pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa?
Benarkah pemikiran al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari melaui tiga peringkat perkembangan di dalam kehidupannya?

Untuk menjawab pertanyaan ini, kita harus mengamati dan mengkaji sejarah kehidupan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari yang ditulis oleh para alim ulama’. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari merupakan salah seorang tokoh kaum Muslimin yang sangat masyhur dan mempunyai fakta yang jelas. Beliau bukan tokoh kontroversial dan bukan tokoh yang misteri iaitu perjalanan hidupnya tidak diketahui orang, lebih-lebih lagi berkaitan dengan hal yang amat penting seperti yang kita bicarakan ini. Seandainya kehidupan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari seperti kenyataan dalam artikel yang di reka oleh Wahhabi/Salafi Gadungan itu, menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa perkembangan pemikiran, maka sudah tentu para sejarawan akan menyatakannya dan menjelaskannya di dalam buku-buku sejarah. Maklumat mengenai ini juga sudah pasti akan masyhur dan tersebar luas sebagaimana fakta sejarah hanya menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hanya bertaubat dan meninggalkan fahaman Muktazilah sahaja.

Semua sejarawan yang menulis biografi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hanya menyatakan kisah naiknya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari ke atas mimbar di masjid Jami` Kota Basrah dan berpidato dengan menyatakan bahawa beliau telah keluar daripada fahaman Muktazilah. Di sini kita bertanya, adakah sejarawan yang menyatakan kisah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar dari fahaman pemikiran Abdullah bin Sa`id bin Kullab? Sudah tentu jawapannya, tidak ada.

Apabila kita menelaah atau meneliti buku-buku sejarah, kita tidak akan mendapatkan fakta atau maklumat yang mengatakan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari bertaubat dari ajaran Ibn Kullab baik secara jelas mahupun samar. Oleh itu, maklumat atau fakta yang kita dapati ialah kesepakatan para sejarawan bahawa setelah al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari bertaubat daripada fahaman Muktazilah, beliau kembali kepada ajaran Salaf al-Salih seperti kitab al-Ibanah dan lain-lain yang ditulisnya dalam rangka membela mazhab Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.

Al-Imam Abu Bakr bin Furak berkata:
انتقل الشيخ أبو الحسن علي بن اسمعيل الأشعري رضي الله عنه من مذهب المعتزلة إلى نصرة مذاهب أهل السنة والجماعة، بالحجج العقلية وصنف في ذلك الكتب
 "Syaikh Abu al-Hassan Ali bin Ismail al-Asy`ari radiyallahu`anhu berpindah daripada mazhab Muktazilah kepada mazhab Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan membelanya dengan hujjah-hujjah rasional dan menulis karangan-karangan dalam hal tersebut…" (Tabyin Kidzb al-Muftari, al-Hafiz Ibn Asakir(1347H) tahqiq Muhammad Zahid al-Kautsari, Maktabah al-Azhariyyah li at-Turats, cet.1, 1420H, hal 104)

Sejarawan terkemuka, al-Imam Syamsuddin Ibn Khallikan berkata: "Abu al-Hassan al-Asy`ari adalah perintis pokok-pokok akidah dan berupaya membela mazhab Ahl al-Sunnah. Pada mulanya Abu al-Hassan adalah seorang Muktazilah, kemudian beliau bertaubat dari pandangan tentang keadilan Tuhan dan kemakhlukan al-Quran di masjid Jami` Kota Basrah pada hari Jumaat". (Wafayat al-A’yan, al-Imam Ibn Khallikan, Dar Shadir, Beirut, ed. Ihsan Abbas, juz 3, hal. 284)

Sejarawan al-Hafiz al-Zahabi berkata: "Kami mendapat informasi bahawa Abu al-Hassan al-Asy`ari bertaubat dari fahaman Muktazilah dan naik ke mimbar di Masjid Jami’ Kota Basrah dengan berkata, “Dulu aku berpendapat bahawa al-Quran itu makhluk dan…Sekarang aku bertaubat dan bermaksud membantah terhadap fahaman Muktazilah". (Syiar A`lam al-Nubala, al-Hafidz al-Zahabi, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed. Syuaib al-Arnauth, 1994, hal. 89)

Sejarawan terkemuka, Ibn Khaldun berkata: "Hingga akhirnya tampil Syaikh Abu al-Hassan al-Asy`ari dan berdebat dengan sebahagian tokoh Muktazilah tentang masalah-masalah shalah dan aslah, lalu dia membantah metodologi mereka (Muktazilah) dan mengikut pendapat Abdullah bin Said bin Kullab, Abu al-Abbas al-Qalanisi dan al-Harith al-Muhasibi daripada kalangan pengikut Salaf dan Ahl al-Sunnah". (Ibn Khaldum(2001), al-Muqaddimah, Dar al-Fikr, Beirut,  ed. Khalil Syahadah, h. 853)

Fakta yang dikemukakan oleh Ibn Khaldum tersebut menyimpulkan bahawa setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah, beliau mengikuti mazhab Abdullah bin Sa`id bin Kullab, al-Qalanisi dan al-Muhasibi yang merupakan pengikut ulama’ Salaf  dan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.

Demikian juga, maklumat atau fakta sejarah yang dinyatakan di dalam buku-buku sejarah yang menulis biografi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari seperti Tarikh Baghdad karya al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi, Tabaqat al-Syafi`iyyah al-Kubra karya al-Subki, Syadzarat al-Dzahab karya Ibn al-Imad al-Hanbali, al-Kamil fi al-Tarikh karya Ibn al-Atsir, Tabyin Kizb al-Muftari karya al-Hafiz Ibn Asakir, Tartib al-Madarik karya al-Hafiz al-Qadhi Iyadh, Tabaqat al-Syafi`iyyah karya al-Asnawi, al-Dibaj al-Muadzahhab karya Ibn Farhun, Mir`at al-Janan karya al-Yafi`I dan lain-lain, semunya sepakat bahawa setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar dari fahaman Muktazilah, beliau kembali kepada mazhab  Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikut metodologi Salaf.

Disamping itu, seandainya al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari ini melalui tiga peringkat aliran pemikiran, maka sudah tentu hal tersebut akan diketahui dan dikutip oleh murid-murid dan para pengikutnya kerana mereka semua adalah orang yang paling dekat dengan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan orang yang melakukan kajian tentang pemikiran dan sejarah perjalanan hidupnya. Oleh itu sudah semestinya mereka akan lebih mengetahui daripada orang lain yang bukan pengikutnya, lebih-lebih lagi melibatkan tokoh besar iaitu al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari yang pasti menjadi buah mulut pelajar dan para alim ulama’. Oleh itu jelaslah, bahawa ternyata selepas kita merujuk kepada kenyataan murid-murid dan para pengikut al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, kita tidak akan menemui fakta sejarah yang menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan telah melalui tiga fasa pemikiran yang di dakwa oleh golongan Wahhabi/Salafi Gadungan.

Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan para pengikutnya bersepakat bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan fahaman Muktazilah dan beliau berpindah kepada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah seperti yang diikuti oleh al-Harith al-Muhasibi, Ibn Kullab, al-Qalanisi, al-Karabisi dan lain-lain.

Apabila kita mengkaji karya-karya para alim ulama’ yang mengikut dan pendukung mazhab al-Asy`ari seperti karya-karya yang dikarang oleh al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani, al-Syaikh Abu Bakr bin Furak, Abu Bakr al-Qaffal al-Syasyi, Abu Ishaq al-Syirazi, al-Hafiz al-Baihaqi dan lain-lain. Kita semua tidak akan menemukan satu fakta pun yang menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan mazhab yang dihidupkan kembali olehnya iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, sehingga tidak rasional apabila golongan Wahhabi/Salafi dakwaan mengatakan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan mazhabnya tanpa diketahui oleh para murid-muridnya dan pendukungnya. Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan dusta sama sekali yang jauh dari kebenaran.

Golongan Wahhabi/Salafi dakwaan ini menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan mazhab yang dirintiskan olehnya bersandarkan metodologi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari di dalam kitabnya al-Ibanah `an Usul al-Diyanah dan sebahagian kitab-kitab lainnya yang mengikuti metodologi tafwidh berkaitan sifat-sifat Allah di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Metodologi tafwidh ini adalah metodologi majoriti ulama’-ulama’ Salaf al-Salih. Berdasarkan hal ini, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dianggap  menyalahi atau meninggalkan metodologi Ibn Kullab yang tidak mengikuti metodologi salaf sebagaimana yang di dakwa oleh golongan Wahhabi ini.

Dari sini lahirlah sebuah pertanyaan, apakah isi kitab al-Ibanah yang di dakwa sebagai mazhab Salaf bertentangan dengan metodologi Ibn Kullab, atau dengan kata lain, adakah Ibn Kullab bukan pengikut mazhab Salaf seperti yang ditulis oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari di dalam kitab al-Ibanah??? Pertanyaan di atas membawa kepada kita untuk mengkaji kenyataan berikutnya.

KEDUA, IBN KULLAB BUKAN ULAMA’ SALAF DAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA`AH?

Setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan fahaman Muktazilah, dia mengikuti metodologi Abdullah bin Sa`id bin Kullab al-Qaththan al-Tamimi. Artikel tersebut telah menjadi kesepakatan bagi kita dengan kelompok yang mengatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa tetapi mereka berbeza dengan kita, kerana kita mengatakan bahawa metodologi Ibn Kullab sebenarnya sama dengan metodologi Salaf, kerana Ibn Kullab sendiri termasuk dalam kalangan tokoh ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikuti metodologi Salaf. Hal ini boleh dilihat dengan memperhatikan pernyataan para pakar berikut ini.

Al-Imam Tajuddin al-Subki telah berkata: “Bagaimanapun Ibn Kullab termasuk Ahl al-Sunnah…Aku melihat al-Imam Dhiyauddin al-Khatib, ayah al-Imam Fakhruddin al-Razi, menyebutkan Abdullah bin Said bin Kullab di dalam akhir kitabnya Ghayat al-Maram fi `Ilm al-Kalam, berkata: “Di antara teologi Ahl al-Sunnah pada masa khalifah al-Makmun adalah Abdullah bin Said al-Tamimi yang telah mengalahkan Muktazilah di dalam majlis al-Makmun dan memalukan mereka dengan hujjah-hujjahnya” (Al-Subki(t.t), Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, Dar Ihya’ al-Kutub, Beirut, ed Abdul Fattah Muhammad dan Mahmud al-Tanahi, juz 2, hal. 300)

Al-Hafiz Ibn Asakir al-Dimasyqi telah berkata: “Aku pernah membaca tulisan Ali ibn Baqa’ al-Warraq, ahli hadith dari Mesir, berupa risalah yang ditulis oleh Abu Muhammad Abdullah ibn Abi Zaid al-Qairawani, seorang ahli fiqih mazhab al-Maliki. Dia adalah seorang tokoh terkemuka mazhab al-Imam Malik di Maghrib (Moroko – pen) pada zamannya. Risalah itu ditujukan kepada Ali ibn Ahmad ibn Ismail al-Baghdadi al-Muktazili sebagai jawapan terhadap risalah yang ditulisnya kepada kalangan pengikut mazhab Maliki di Qairawan kerana telah memasukkan pandangan-pandangan Muktazilah. Risalah tersebut sangat panjang sekali, dan sebahagian jawapan yang ditulis oleh Ibn Abi Zaid kepada ‘ali bin Ahmad adalah sepertimana berikut: Engkau telah menisbahkan Ibn Kullab kepada bid`ah, padahal engkau tidak pernah menceritakan suatu pendapat dari Ibn Kullab yang membuktikan dia memang layak disebut ahli bid`ah. Dan kami samasekali tidak mengetahui adanya orang (ulama ’- pen) yang menisbahkan Ibn Kullab kepada bid`ah. Justeru maklumat yang kami terima, Ibn Kullab adalah pengikut sunnah (ahl al-Sunnah – pen) yang melakukan bantahan terhadap Jahmiyyah dan pengikut ahli bid`ah lainnya, dia adalah ‘Abdullah ibn Sa’id ibn Kullab (al-Qaththan, wafat 240H – pen)”. (Tabyin Kidzb al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn Asakir(1347H) tahqiq Muhammad Zahid al-Kautsari, Maktabah al-Azhariyyah li at-Turats, cet.1, 1420H, hal 298 – 299))

Data sejarah yang disampaikan oleh al-Hafiz Ibn Asakir di atas memuatkan kesaksian yang sangat penting dari ulama’ sekaliber al-Imam Ibn Abi Zaid al-Qairawani terhadap Ibn Kullab, bahawa ia termasuk pengikut Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan bukan pengikut ahli bid`ah.

Al-Hafiz al-Dzahabi telah berkata: “Ibn Kullab adalah seorang tokoh ahli kalam (teologi - ilmu berkenaan dengan ketuhanan) daerah Bashrah pada zamannya” Selanjutnya al-Dzahabi berkata: Ibn Kullab adalah ahli kalam yang paling dekat kepada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah bahkan ia adalah juru debat mereka (terhadap Mu’tazilah – pen). Ia mempunyai karya diantaranya al-Shifat, Khalq al-Af’al dan al-Radd ‘ala al-Mu’tazilah”. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, Maktabah al-Shafa, cet.1, 1424H, juz 7, hal 453)

Di dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala yang ditahqiqkan oleh Syeikh Syuaib al-Arnauth, pernyataan al-Dzahabi tersebut dipertegas oleh al-Syeikh Syuaib al-Arnauth dengan komentarnya mengatakan: “Ibn Kullab adalah pemimpin dan rujukan Ahl al-Sunnah pada masanya. Al-Imam al-Haramain menyebutkan di dalam kitabnya al-Irsyad bahawa dia termasuk sahabat kami(mazhab al-Asy`ari)”. (Siyar A’lam an-Nubala cetakan Muassasah al-Risalah (1994), Beirut, ed. Syuaib al-Arnauth, juz 11, hal. 175)

Demikian pula al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani menyatakan bahawa Ibn Kullab sebagai pengikut Salaf dalam hal meninggalkan takwil terhadap ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah. Mereka juga disebut dengan golongan mufawwidhah (yang melakukan tafwidh).(Ibn Hajar al-`Asqalani(t.t.), Lisan al-Mizan, Dar, al-Fikr, Beirut, juz 3, hal. 291)

Dari paparan di atas dapatlah disimpulkan bahawa al-Imam Ibn Kullab termasuk dalam kalangan ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan konsisten dengan metodologi Salaf al-Salih dalam pokok-pokok akidah dan keimanan. Mazhabnya menjadi inspirasi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari (perintis mazhab al-Asy`ari).
Di sini mungkin ada yang bertanya apakah metodologi Ibn Kullah hanya diikuti oleh al-Imam al-Asy`ari?
Jawapannya adalah tidak. Metodologi Ibn Kullab tidak hanya diikuti oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sahaja, akan tetapi diikuti juga oleh ulama’ besar seperti al-Imam al-Bukhari iaitu pengarang Sahih al-Bukhari, kitab hadith yang menduduki peringkat terbaik dalam segi kesahihannya. Dala konteks ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani telah berkata:
الْبُخَارِيُّ فِيْ جَمِيْعِ مَا يُوْرِدُهُ مِنْ تَفْسِيْرِ الْغَرِيْبِ إِنَّمَا يَنْقُلُهُ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ الْفَنِّ كَأَبِيْ عُبَيْدَةَ وَالنَّضَرِ بْنِ شُمَيْلٍ وَالْفَرَّاءِ وَغَيْرِهِمْ, وَأَمَّا الْمَبَاحِثُ الْفِقْهِيَّةُ فَغَالِبُهَا مُسْتَمَدَّةٌ لَهُ مِنَ الشَّافِعِيِّ وَأَبِيْ عُبَيْدٍ وَأَمْثَالِهِمَا, وَأَمَّا الْمَسَائِلُ الْكَلامِيَّةُ فَأَكْثَرُهَا مِنَ الْكَرَابِيْسِيِّ وَابْنِ كُلاَّبٍ وَنَحْوِهِمَا".
Maksudnya:
"Al-Bukhari dalam semua yang disajikannya berkaitan dengan penafsiran lafaz-lafaz yang gharib (aneh), mengutipnya dari pakar-pakar bidang tersebut seperti Abu Ubaidah, al-Nahzar bin Syumail, al-Farra’ dan lain-lain. Adapun kajian-kajian fiqh, sebahagian besar diambilnya dari al-Syafi`e, Abu Ubaid dan semuanya. Sedangkan permasalahan-permasalahan teologi (ilmu kalam), sebahagian besar diambilnya dari al-Karrabisi, Ibn Kullab dan sesamanya". (Ibn Hajar al-`Asqalani(t.t), Syarh Sahih al-Bukhari, Salafiyyah, Cairo, juz 1, hal. 293)

Pernyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani tersebut menyimpulkan bahawa al-Imam Abdullah bin Said bin Kullab adalah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikuti metodologi ulama’ Salaf, oleh kerana itu dia juga diikuti oleh al-Imam al-Bukhari, Abu al-Hassan al-Asy`ari dan lain-lain.

Di sini mungkin ada yang bertanya, apabila Ibn Kullab termasuk salah seorang tokoh ulama’ Salaf dan mengikuti Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, beliau (Ibn Kullab) juga diikuti oleh banyak ulama’ seperti al-Imam al-Bukhari dan lain-lain, lalu mengapa Ibn Kullab dituduh menyimpang dari metodologi  Salaf atau Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah?

Hal tersebut sebenarnya datang daripada satu persoalan, iaitu tentang pendapat apakah bacaan seseorang terhadap al-Quran termasuk makhluk atau tidak. Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan pengikutnya berpandangan untuk tidak menetapkan apakah bacaan seseorang terhadap al-Quran itu makhluk atau bukan. Menurut al-Imam Ahmad bin Hanbal, pandangan bahawa bacaan seseorang terhadap al-Quran termasuk makhluk adalah bid`ah. Sementara al-Karabisi, Ibn Kullab, al-Muhasibi, al-Qalanisi, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain berpandangan tegas, bahawa bacaan seseorang terhadap al-Quran adalah makhluk. Berangkat dari perbezaan pandangan tersebut akhirnya kelompok al-Imam Ahmad bin Hanbal menganggap kelompok Ibn Kullab termasuk ahli bid`ah, meskipun sebenarnya kebenaran dalam hal tersebut berada di pihak Ibn Kullab dan kelompoknya. Dalam konteks ini al-Hafiz al-Zahabi telah berkata:
"وَلا رَيْبَ أَنَّ مَا ابْتَدَعَهُ الْكَرَابِيْسِيُّ وَحَرَّرَهُ فِيْ مَسْأَلَةِ اللَّفْظِ وَأَنَّهُ مَخْلُوْقٌ هُوَ حَقٌّ, لَكِنْ أَبَاهُ الإِمَامُ أَحْمَدُ لِئَلاَّ يُتَذَرَّعَ بِهِ إِلَى الْقَوْلِ بِخَلْقِ الْقُرْآنِ فَسَدَّ الْبَابَ".
Maksudnya:
"Tidak diragukan lagi bahawa pandangan yang dibuat dan ditegaskan oleh al-Karabisi tentang masalah pelafazan al-Quran (oleh pembacanya) dan bahawa hal itu adalah makhluk, adalah pendapat yang benar. Akan tetapi al-Imam Ahmad enggan membicarakannya kerana khuatir membawa kepada pandangan kemakhlukan al-Quran. Sehingga al-Imam Ahmad lebih cenderung menutup pintu tersebut rapat-rapat". (Al-Dzahabi(1994), Siyar A`lam al-Nubala, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed, Syuaib al-Arnauth, juz 12, hal. 82 dan juga juz 11, hal. 510)

Dari paparan di atas dapat disimpulkan bahawa Ibn Kullab bukanlah ulama’ yang menyimpang dari metodologi Salaf yang mengikuti fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, sehingga mazhabnya juga diikuti oleh al-Imam al-Bukhari, al-Asy`ari dan lain-lain. Sekarang apabila demikian, dari mana asal-usul pendapat bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan mazhab dan pendapat-pendapatnya yang mengikuti Ibn Kullab?

Pertanyaan ini mengajak kita untuk mengkaji artikel yang terakhir berikut ini.

KETIGA, KITAB AL-IBANAH AN USUL AL-DIYANAH

Kitab al-Ibanah `an Usul al-Diyanah di dakwa sebagai hujjah bagi golongan yang mengatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa perkembangan di dalam kehidupannya. Memang harus diakui, bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari di dalam kitab al-Ibanah dan sebahagian kitab-kitab yang lain juga dinisbahkan terhadapnya mengikuti metodologi yang berbeza dengan kitab-kitab yang pernah dikarang olehnya. Di dalam kitab al-Ibanah, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengikuti metodologi tafwidh yang diikuti oleh majoriti ulama’ Salaf berkaitan dengan ayat-ayat mutasyabihat. Berdasarkan hal ini, sebahagian golongan memahami bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sebenarnya telah meninggalkan mazhabnya yang kedua iaitu mazhab Ibn Kullab, dan kini beralih kepada metodologi Salaf.

Di atas telah kami paparkan, bahawa Ibn Kullab bukanlah ahli agama yang menyalahi ulama’ Salaf. Bahkan dia termasuk dalam kalangan ulama’ Salaf dan konsisten mengikuti metodologi tafwidh sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan. Paparan di atas sebenarnya telah cukup untuk membatalkan dakwaan yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan metodologi Ibn Kullab dan berpindah ke metodologi Salaf, kerana Ibn Kullab sendiri termasuk dalam kalangan ulama’ Salaf yang konsisten dengan metodologi Salaf.

Oleh itu, bagaimana dengan kitab al-Ibanah yang menjadi dasar kepada kelompok yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan pendapatnya yang mengikuti Ibn Kullab?

Di sini, dapatlah kita ketahui bahawa kitab al-Ibanah yang asli telah membatalkan kenyataan golongan Wahhabi yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan pendapatnya yang mengikuti Ibn Kullab, kerana kitab al-Ibanah di tulis untuk mengikuti  metodologi Ibn Kullab, sehingga tidak mungkin  dakwaan yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan pendapat tersebut. Ada beberapa fakta sejarah yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari menulis kitab al-Ibanah dengan mengikut metodologi Ibn Kullab, kenyataan ini disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan iaitu:
"وَ عَلَى طَرِيْقَتِهِ, يَعْنِي ابْنُ كُلاَّبٍ, مَشَى الأَشْعَرِيُّ فِيْ كِتَابِ الإِبَانَةِ".
Maksudnya:
"Metodologi Ibn Kullab diikuti oleh al-Asy`ari di dalam kitab al-Ibanah". (Ibn Hajar al-`Asqalani(t.t.), Lisan al-Mizan, Dar, al-Fikr, Beirut, juz 3, hal. 291)

Pernayataan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani ini menambah keyakinan kita bahawa Ibn Kullab konsisten dengan metodologi Salaf al-Salih dan termasuk ulama’ mereka, kerana kitab al-Ibanah yang dikarang oleh  al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pada akhir hayatnya dan mengikuti metodologi Salaf, juga mengikuti metodologi Ibn Kullab. Hal ini membawa kepada kesimpulan bahawa metodologi Salaf dan metodologi Ibn Kullab ADALAH SAMA, dan itulah yang diikuti oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari setelah keluar dari Muktazilah.

Dengan demikian, kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani tersebut juga telah membatalkan dakwaan golongan Wahhabi melalui kenyataan mereka yang mengatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengalami tiga fasa perkembangan. Bahkan kenyataan tersebut dapat menguatkan lagi kenyataan yang menyatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hanya mengalami dua fasa perkembangan sahaja iaitu fasa ketika mengikuti fahaman Muktazilah dan fasa kembalinya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari kepada metodologi Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar sebagaimana yang diikuti oleh Ibn Kullab, al-Muhasibi, al-Qalanisi, al-Karabisi, al-Bukhari, Muslim, Abu Tsaur, al-Tabari dan lain-lain. Dalam fasa kedua ini al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengarang kitab al-Ibanah.

Dalil lain yang menguatkan lagi bahawa kitab al-Ibanah yang dikarang oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sesuai dengan mengikut metodologi Ibn Kullab adalah fakta sejarah, kerana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pernah menunjukkan kitab al-Ibanah tersebut kepada sebahagian ulama’ Hanabilah di Baghdad yang sangat menitik beratkan tentang fakta, mereka telah menolak kitab al-Ibanah tersebut kerana tidak setuju terhadap metodologi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari. Di dalam hal ini, al-Hafiz al-Zahabi telah berkata:
"إِنَّ الأَشْعَرِيَّ لَمَّا قَدِمَ بَغْدَادَ جَاءَ إِلَى أَبِيْ مُحَمَّدٍ الْبَرْبَهَارِيِّ, فَجَعَلَ يَقُوْلُ: رَدَدْتُ عَلَى الْجُبَّائِيِّ, رَدَدْتُ عَلَى الْمَجُوْسِ, وَعَلَى النَّصَارَى. فَقَالَ أَبُوْ وَصَنَّفَ الاِبَانَةَ فَلَمْ يَقْبَلْ مِنْهُ".
Maksudnya:
"Ketika al-Asy`ari datang ke Baghdad, dia mendatangi Abu Muhammad al-Barbahari (ketua mazhab Hanbali) dan berkata : Aku telah membantah al-Jubba’i. Aku telah membantah Majusi. Aku telah membantah Kristian. Abu Muhammad menjawab, Aku tidak mengerti maksud perkataanmu dan aku tidak mengenal kecuali apa yang dikatakan oleh al-Imam Ahmad. Kemudian al-Asy`ari pergi dan menulis kitab al-Ibanah. Ternyata al-Barbahari tetap tidak menerima al-Asy`ari". (Al-Dzahabi(1994), Siyar A`lam al-Nubala, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed, Syuaib al-Arnauth, juz 12, hal. 82 dan juga juz 15, hal. 90 dan Cetakan Maktabah al-Shafâ, cet.1, 1424H, vol.9, hal.372; Ibn Abi Ya’la al-Farra’(t.t.) Tabaqat al-Hanabilah, Salafiyyah, Cairo, ed. Hamid al-Faqi, juz 2, hal. 18)

Fakta sejarah di atas menyimpulkan, bahawa al-Barbahari mewakili kelompok Hanabilah  tidak menerima konsep yang ditawarkan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari. Kemudian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari menulis kitab al-Ibanah dan diajukan kepada al-Barbahari, ternyata ditolaknya juga. Hal ini menjadi bukti bahawa al-Ibanah yang asli ditulis oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidak sama dengan kitab al-Ibanah yang kini diikuti oleh golongan Wahhabi. Kitab al-Ibanah yang asli sebenarnya mengikut metodologi Ibn Kullab.

Perlu diketahui pula, bahawa sebelum fasa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, kelompok Hanabilah yang cenderung kepada penelitian fakta itu telah menolak metodologi yang ditawarkan oleh Ibn Kullab, al-Bukhari, Muslim, Abu Thaur, al-Tabari dan lain-lain berkaitan dengan MASALAH BACAAN SESEORANG TERHADAP AL-QURAN APAKAH TERMASUK MAKHLUK ATAU BUKAN.

Sekarang, apabila kitab al-Ibanah yang asli sesuai dengan metodologi Ibn Kullab, lalu bagaimana dengan kitab al-Ibanah yang tersebar dewasa ini yang menjadi dasar kaum Wahhabi untuk mendakwa bahawa al-Asy`ari telah membuang mazhabnya?

Berdasarkan kajian yang mendalam, para pakar telah membuat kesimpulan bahawa kitab al-Ibanah yang dinisbahkan kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tersebut telah tersebar dewasa ini penuh dengan tahrif/distoris, pengurangan dan penambahan. Terutama kitab al-Ibanah yang diterbitkan di Saudi Arabia dan ditahqiqkan oleh ulama Wahhabi.

Sumber: Bahrulkalam

Related Posts with Thumbnails