Khamis, 25 Februari 2010

Tanda Cinta Kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم


Alhamdulillah, majlis sambutan maulidurrasul صلى الله عليه وآله وسلم telah bermula di sana-sini. Masjid penuh sesak dengan para pencinta Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Mawlid Daibei, Barzanji, Simtud Durar, Burdah, Dhiya ul Laami' di baca ... qasidah memuji-muji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dialunkan dan ceramah-ceramah berkumandang untuk mengisi program sambutan maulidurrasul صلى الله عليه وآله وسلم. Ini semua adalah untuk membangkit rasa cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Apakah tanda kita benar-benar mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم?

Untuk itu, ambo ingin berkongsi sedikit apa yang telah ditulis oleh al-'Allamah Hadratus Syaikh Hasyim Asy'ari (pendiri Nahdatul Ulama di Indonesia, wafat 25 Julai 1947) di dalam kitab beliau berjudul an-Nur al-Mubin. Ambo ringkaskan dari Fasal Pada Menyatakan ‘Alaamaat (Tanda-tanda) Mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dalil dan huraiannya ambo tinggalkan ..... Moga-moga catatan ringkas menjadi check list untuk kita menyuluh diri ...

Hadratusy Syaikh menulis: Menyintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ada tanda-tandanya. Barangsiapa yang dzahir pada dirinya tanda-tanda tersebut, adalah ia benar-benar mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dan sekiranya tidak, maka cintanya dakwaan semata-mata.

Tanda-tanda tersebut adalah:

  • meneladani Baginda صلى الله عليه وآله وسلم samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya
  • mengamalkan sunnah-sunnah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya, berusaha beradab dengan adab Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dalam semua keadaan, baik dikala susah, maupun senang, dikala cergas maupun malas
  • mengutamakan apa yang telah disyariatkannya dan yang digalakkannya untuk dilakukan daripada mengikuti hawa nafsu dan syahwat.
  • banyak menyebutnya yakni bershalawat ke atas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, sebab orang yang mencintai sesuatu, banyak atau sering menyebutnya dengan perasaan rindu kepada yang dicintainya, mengagungkannya, memuliakannya dan mendzahirkan kekhusyu’kan dan rendah diri ketika mendengar nama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disebut.
  • rindu untuk bertemu dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, kerana sesungguhnya setiap kekasih ingin bertemu dengan yang dikasihinya.
  • mencintai mereka yang dicintai oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu yang punya hubungan dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم seperti ahlibait Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, para shahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dari kalangan Muhajirin dan Anshar.
  • membenci orang-orang yang dibenci oleh Allah dan RasulNya, memusuhi orang yang memusuhinya, menjauhi orang yang menyimpang dari sunnahnya serta berkeberatan terhadap orang yang menyimpang dari sunnahnya.
  • mencintai al-Quran yang diturunkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Mencintai al-Quran bererti membaca, memahami dan mengamalkan segala tuntutan-tuntutannya di dalam mengatur kehidupan kita dan seterusnya memperjuangkannya.
  • mencintai sunnahnya serta memperhatikan dan memahami hukum-hakamnya. Sahal bin ‘Abdullah at-Tusturi berkata: Tanda-tanda mencintai Allah adalah mencintai al-Quran dan mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Tanda-tanda mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah mencintai sunnahnya. Tanda-tanda mencintai sunnahnya adalah membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia adalah enggan mengambilnya melainkan untuk bekalan menuju kampung akhirat
  • belas kasihan (bersikap lemah lembut dan mengasihi) terhadap ummatnya, memberi nasihat kepada mereka tanpa jemu, berusaha memberi kemaslahatan dan menghindarkan mereka daripada marabahaya.
Demikian sedikit sedutan dari kitab yang ambo sebutkan. Semoga kita menjadi umat yang benar-benar mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga mencintai kita. Sekian. Selamat Menyambut Maulidurrasul صلى الله عليه وآله وسلم.

Isnin, 22 Februari 2010

Adab Di Dalam Majlis Sambutan Maulidurrasul



Peringatan - Adab Majlis Maulid

Saiyid 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil ibnu Yahya al-Batawi menyebut didalam kitabnya ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim صلى الله عليه وسلم:

".... Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.

Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dengan sehabis-habis hormatnya..."

Katanya lagi:
"Dan lagi, tiada pantas [selayaknya] pula dibaca [bacaan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم] itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."

Katanya lagi:
"Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca [maulid Nabi صلى الله عليه وسلم] itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."

Katanya lagi:
“…… maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya [adabnya] ……”



Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Muar Johor di dalam kitabnya Mustika 'Ajaib Pada Menyatakan Hukum Dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم halaman 14 - 15:

Ingatan - Apabila dibacakan maulid an-Nabiy di dalam satu-satu majlis maka hendaklah orang-orang yang hadhir di dalam majlis itu duduk dengan adab, jangan mereka itu bercakap, berbual atau menghisap rokok atau curut di dalam majlis itu tetapi hendaklah mereka itu duduk dengan adab dan tawadhu'. Oleh sebab saya datang akan perkataan ini disini kerana saya telah berjumpa beberapa tempat-tempat kumpulan orang-orang kerana membaca maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, maka setengah mereka itu berbual-bual dan setengah mereka itu menghisap rokok .......
Maka sayogianya bagi orang yang menghadiri majlis maulidurasul, duduk di dalam keadaan yang tenang dan beradab kerana membesarkan serta memuliakan junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Duduklah seumpama duduk berada di dalam majlisnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

والله أعلم


Sabtu, 20 Februari 2010

وَاللهِ مَا ذُكِرَ الحَبِيْبُ لَدَى المُحِب * إلا وأضحى والها نشوانا



وَاللهِ مَا ذُكِرَ الحَبِيْبُ لَدَى المُحِب * إلا وأضحى والهاً نشوانا
أين المحبون الذين عليهم * بذل النفوس مع النفائس هانا
لا يسمعون بذكر طه المصطفى * إلا به انتعشواوأذهب رانا
فاهتاجت الأرواح تشتاق اللقا * وتحن تسأل ربها الرضوانا

Demi Allah … tidaklah disebut nama Sang Kekasih (Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dihadapan para pencintanya, melainkan ia akan tersentak gembira dan merindukannya

Dimanakah para pencinta yang ringan baginya mengorbankan nyawa dan apa-apa yang berharga demi kecintaannya

Tidaklah mereka mendengar sebutan Thoha al-Mushthofa …, kecuali bangkitlah semangat dihati mereka dan hilanglah segala kegundahan hati

Maka bergetarlah arwah mereka merindukan pertemuan dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, diiringi rintihan sanubari memohon keredhoan Penciptanya



Maulid adh-Dhiya al-Laami’ – Kitab maulid yang terkini. Dikarang oleh seorang ulama tersohor dewasa ini iaitu al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin ‘Abdullah bin Abi Bakar bin Aydrus bin Umar bin Aydrus bin Umar bin Abi Bakar bin Aydrus bin al-Hussin ibn al-Syaikh Abi Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far al-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Walaupun ringkas tetapi kandungan sarat dan padat dengan sirah serta pujian kepada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Untuk dengar yang selengkapnya, sila mai tang ni


أبرزالله المشفع * صاحب القدرالمرفع
فملأ النور النواحي * عم كل الكون أجمع
نكست اصنام شرك * وبنا الشرك تصدع
ودنا وقت الهداية * وحمى الكفر تزعزع
مرحبا أهلا وسهلا * بك ياذالقدر الارفع
ياإمام اهل الرساله * من به الأفات تدفع
أنت في الحشر ملاذ * لك كل الخلق تفزع
وينادون ترى ما * قد دهى من هول افظع



و تلك القبة الخضرا و فيها * نبي نوره يجلو الغياهب



و تلك القبة الخضرا و فيها * نبي نوره يجلو الغياهب

Itulah dia Kubah Hijau yang padanya (bermaqam)
Nabi yang cahayanya telah menyinari segala kegelapan



Maulid Daiba’ie – Dikarang oleh al-Imam al-Muhaddits Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i. Beliau dilahirkan pada 4 Muharram 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab 944H. Mendapat gelaran "wajihuddin (pemuka agama)" dan beliau juga adalah merupakan seorang ahli hadits yang tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau telah mengajar "Jami`ush Shohih" bagi Imam al-Bukhari lebih 100 kali dan dalam bidang hadits beliau berada pada darjat hafiz iaitu seseorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya. Beliau juga pernah mengkhatamkan pembacaan Shohih al-Abukhari dalam masa enam (6) hari.



Di antara guru-gurunya ialah Imam al-Hafiz as-Sakhawi, Imam Ibnu Ziyad, Imam Jamaluddin Muhammad bin Ismail, mufti Zabid, Imam al-Hafiz Tahir bin Husain al-Ahdal dan ramai lagi.

Selain daripada itu, beliau juga seorang muarrikh, yakni ahli sejarah, yang terbilang. Di antara kitab karangannya ialah:-

  • Taisirul Wusul ila Jaami`il Usul min Haditsir Rasul, yang mengandungi himpunan hadits yang dinukil daripada kitab hadits yang 6 (kutubussittah).
  • Tamyeezu at-Thoyyib min al-Khabith mimma Yaduru 'ala Alsinatin Naasi minal Hadits, sebuah kitab yang membezakan hadits shahih dari selainnya seperti dhaif dan maudhu.
  • Qurratul 'Uyun fi akhbaril Yaman al-Maimun
  • Bughyatul Mustafid fi akhbar Madinat Zabid
  • Fadhail Ahl al-Yaman

Maulid karangan beliau ini, telah ditahqiq dan diberi komentar serta ditakhrijkan haditsnya oleh al-‘Allamah al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.


عطر اللهم قبره الكريم * بعرف شذي من صلاة و تسليم






Memgenali Kitab Maulid Barzanji dan Pengarangnya – Merupakan yang paling terkenal, bahkan mungkin yang paling awal berkembang di Tanah Melayu. Sehingga kini Maulid Barzanji masih dikumandangkan terutamanya ketika Maulidurrasul. Selian itu ia juga dibaca didalam majlis-majlis kenduri seperti kenduri aqiqah, kenduri kahwin, berkhatan dan sebagainya. Dibaca sebagai melahirkan rasa sukacita dan kegembiraan. Belajar membaca Maulid Barzanji ini juga dijadikan silibus sampingan oleh guru-guru al-Quran. Guru al-Quran al-Fagir pernah berkata, kalau tak pandai ngaji Quran, Barzanji dan Marhaban tak boleh kahwin. Hehehe ….. Al-Fagir masih ingat, di tahun 70an, sering diadakan pertandingan membaca Maulid Barzanji.

Antara nama lain bagi Maulid Barzanji adalah 'Iqdul Jawhar fi Mawlidin Nabiyyil Azhar atau atau Jawahir 'Iqd atau 'Iqd al-Jawahir dan nama yang lain ialah al-Burud Yubaiyinul Murad, tetapi gelaran yang paling masyhur ialah "Mawlid al-Barzanji.

Maulid Barzanji ini telah disyarahkan oleh ramai ulama besar, antaranya:
  • Al-‘Allamah asy-Syaikh Nawawi al-Bantani yang diberi judul Madarijus Shu`ud ila Iktisa` al-Burud.
  • Asy-Syaikh 'Abdul Hamid bin Syaikh Muhammad 'Ali Kudus yang diberi judul Maulidin Nabiyi صلى الله عليه وآله وسلم 'ala nasijil Barzanji
  • Al-'Allaamah al-Faqih asy-Syaikh Abu 'Abdullah Muhammad bin Ahmad 'Ilyisy al-Maaliki al-'Asy'ari asy-Syadzili al-Azhari yang terkenal dengan panggilan Ba`ilisy (1217H/1802M - 1299H/1882M) yang diberi judul al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji
  • Sayyid Ja'far bin Sayyid Isma`il bin Sayyid Zainal 'Abidin bin Sayyid Muhammad al-Hadi bin Sayyid Zain (pernah menjawat sebagai Mufti Syafi’iyyah) yang diberi judul "al-Kawkabul Anwar 'ala 'Iqdil Jawhar fi Mawlidin Nabiyil Azhar".

Maulid Barzanji di gubah oleh Mufti asy-Syafi’iyyah di Kota Madinah al-Munawwarah iaitu al-‘Allamah al-Muhaddits al-Musnid Sayyid Ja'far bin Sayyid Hasan bin Sayyid 'Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji. Beliau adalah seorang ulama besar keturunan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dari keluarga Saadah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1126H. Segala usul Sayyid Ja'far semuanya merupakan ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesholehan. Selain menjawat sebagai Mufti beliau, Sayyid Ja’far al-Barzanji juga adalah merupakan khatib dan mengajar di masjid Nabawi.

Beliau terkenal bukan sahaja kerana ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan bahawa satu ketika di musim kemarau, sedang beliau sedang menyampaikan khutbah Jum’atnya, seseorang telah meminta beliau beristisqa` memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan, dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dahulu. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebahagian ulama pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:-

سقى الفروق بالعباس قدما * و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك و سيلة لهم و هذا * وسيلتنا إمام العارفينا

Dahulu al-Faruuq dengan al-'Abbas beristisqa` memohon hujan
Dan kami dengan Ja'far pula beristisqa` memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang 'aarifin


Sayyid Ja'far al-Barzanji wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi`, sebelah bawah maqam nenda-nenda beliau dari kalangan anak-anak perempuan Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah. Mengenai tarikah kewafatan beliau, telah berlaku perselisihan, di mana sebahagiannya menyebut yang beliau meninggal pada tahun 1177H. Imam az-Zubaidi dalam "al-Mu'jam al-Mukhtash" menulis bahawa beliau wafat tahun1184H, di mana Imam az-Zubaidi pernah berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia.

Bertuah sungguh Sayyid Ja'far. Karangannya membawa umat mengingati dan menghayati sirah Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, membawa umat mengasihi Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, membawa umat rindukan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Setiap kali karangannya dibaca, pasti sholawat dan salam dilantunkan buat Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Juga umat tidak lupa mendoakan Sayyid Ja'far yang telah berjasa menyebarkan keharuman peribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia keturunan Adnan. Allahu ... Allah.

Tulisan ini merupakan ulangan dari apa yang telah al-fagir tulis dan paparkan di blog ini pada 12 Mac 2009




Semoga rasa cinta kita kepada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sentiasa segar dihati, sentiasa menyala disanubari


عطر اللهم قبره الكريم * بعرف شذي من صلاة و تسليم
اللهم صل و سلم و بارك عليه و على اله و اصحابه

Ahlan Bika Ya RasulAllah





اشرق الكون ابتهاجا بوجود المصطفى احمد
و لأهل الكون انس وسرور قد تجدد

فاطربوا يا اهل المثاني فهزار اليمن غرد
و استضيئوا بجمال فاق في الحسن تفرد

و لنا البشرى بسعد مستمر ليس ينفد
حيث اوتينا عطاء جمع الفخر المؤبد

فلربي كل حمد جل ان يحصره العد
اذ حبانا بوجود المصطفى الهادي محمد

يا رسول الله اهلا بك انا بك نسعد
و بجاهه يا الهي جد و بلغ كل مقصد

و اهدنا نهج سبيله كي به نسعد و نرشد
رب بلغنا بجاهه في جواره خير مقعد

و صلاة الله تغشى اشرف الرسل محمد
و سلام مستمر كل حين يتجدد


Alam bersinar cemerlang bersukaria
Demi menyambut kelahiran Ahmad al-Musthofa
Penghuni alam bersukacita
Dengan kegembiraan yang berterusan selamanya

Wahai pengikut al-Quran, hendaklah kamu bergembira
Burung-burung turut berkicauan tanda suka
Keindahan baginda menerangi segalanya
Mengatasi segala keindahan tanpa ada bandingannya

Dan wajib kita untuk bergembira atas bahagia
Yang berkesinambungan selama-lama
Tatkala kita menerima anugerahNya
Anugerah yang menghimpun kebanggaan sepanjang masa

Maka bagi Tuhanku segala puji dan puja
Pujian yang tiada terkira-kira
Atas anugerahNya dengan wujudnya baginda
Kelahiran Junjungan Muhammad al-Hadi al-Musthofa

Ya Rasulullah, selamat datang ahlan wa sahlan
Sungguh denganmu kami beroleh kebahagiaan

Wahai Tuhanku, demi jah Nabi Junjungan
Kurniakanlah dan sampaikan segala maksud dan tujuan

Dan hidayahkanlah kami atas jalan Nabi Junjungan
Agar dengannya kami beroleh kebahagiaan dan pimpinan

Wahai Tuhan, sampaikanlah kami demi jah Nabi Junjungan
Di sisi baginda duduk berdampingan

Sholawat Allah dilimpahkan
Atas semulia-mulia rasul Nabi Junjungan

Beserta salam yang berkekalan
Sepanjang masa berubah zaman

Khamis, 4 Februari 2010

Manaqib al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad

Sempena kunjungan al-Habib ‘Ali bin Ahmad Masyhur al-Haddad dan anak beliau al-Habib Adnan bin ‘Ali bin Ahmad Masyhur al-Haddad (foto atas) sebagai tetamu jemputan ke Majlis Sambutan Maulidurrasul صلى الله عليه وآله وسلم yang akan diadakan di Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya (pada 11 Rabiul Awwal 1431 pakat mai ramai-ramai nooo …dan tolong sebar-sebarkan tentang majlis maulid ni), Masjid al-Bukhary dan lain-lain pada tahun ini, maka inginlah al-Fagir mengambil kesempatan untuk memperkenalkan secara ringkas seorang ulama yang terkenal, yang merupakan ayah dan datuk kepada ulama yang menjadi tetamu jemputan sambutan maulidirrasul tahun ini. Ulama ini telah menaburkan jasa yang sangat besar di Afrika Timur. Menurut Syeikh Yahya Rhudus, beliau telah mengislamkan lebih dari 300,000 orang selama berdakwah di bumi Afrika Timur. Dan ada yang mengatakan bahwa beliau telah mengislamkan lebih dari 500, 000 orang. Allahu Allah. Untuk bacaan seterusnya, silalah ke sini.



Related Posts with Thumbnails