Selasa, 29 Julai 2008

Majlis Pengajian Kitab Bersama al-Fadhil Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Nadwi al-Maliki


Majlis Pengajian Kitab Bersama Shaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Maliki an-Nadwi di Anjung Rahmat, Gombak dan Pusat Pengajian Ba'alawi, Kemensah
pada 9 dan 10 Ogos 2008




Tarikh: 7 Sya'aban 1429 / 9 Ogos 2008 (Sabtu)

Tempat: Surau Anjung Rahmat, Gombak
Masa: Selepas sholat Maghrib
Kitab: Hikam Ibn 'Athoillah


Tarikh: 8 Sya'aban 1429 / 10 Ogos 2008 (Ahad)


Masa: Selepas sholat Maghrib

Kitab: Qul Hazihi Sabili karangan al-'Alim al-'Allamah al-Sayyid Muhammad bin 'Alawi bin Abbas al-Maliki al-Hasani

Tempat: Pusat Pengajian Ba’alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah [belakang Zoo Negara]

[masuk ikut tepi Zoo Negara, turus sehingga jumpa simpang pertama – ada signboard disitu – masuk kiri, ie Jalan 1, terus sehingga jumpa Jalan 3, ikut kiri, terus sehingga jumpa jalan 5, kekanan, terus sehingga nampak guardroom sebelah kiri – masuk masuk kiri – terus dan ambil kiri kemudian ambil kanan – dan parking diawal jalan - ]

Muslimin dan Muslimat di jemput hadir



Jumaat, 25 Julai 2008

Ibn Taimiyyah

Ulama’ yang menolak Ibn Taimiyah.

Ada orang bertanya pada ambo, pasai apa terdapat golongan yang menolak Ibn Taimiyyah (wafat 728H) sedangkan kebanyakkan ulama kontemporari menerimanya bahkan mengagung-agungkannya?

Maka ambo katakan padanya bahwa, yang sangat mengagungkan Ibn Taimiyyah ni kebanyakan dari ulama Wahhabi saja. Ramai dikalangan ulama ahl al-Sunnah wa al-Jamaah menolaknya samada dikalangan ulama terdahulu mahupun masakini. Bahkan, Ibn Taimiyyah juga ditolak oleh kebanyakkan ulama yang sezaman dengannya kerana masalah berkaitan dengan aqidahnya dan juga didalam masalah fiqih dimana banyak pendapat-pendapat Ibn Taimiyyah yang menyalahi ijma ulama. Itu secara ringkasnya lah. Dan ada juga yang bersangka baik dengannya. Macam-macamlah.

Maka untuk mengetahui siapakah ulama yang menolak Ibn Taimiyyah, ambo bawa mari senarai yang tertulis didalam buku bertajuk Wahabisme Dari Neraca Syara oleh Syaikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki. Antaranya adalah seperti berikut:
  1. Al-Qadhi al-Mufassir Badruddin Muhammad ibn Ibrahim ibn Jama’ah al-Syafie (wafat 733H)
  2. Al-Qadhi Muhammad ibn al-Hariri al-Anshori al-Hanafi
  3. Al-Qadhi Muhammad ibn Abu Bakar al-Maliki
  4. Al-Qadhi Ahmad ibn Umar al-Maqdisi (Ibn Taimiyyah telah dipenjarakan dengan fatwa yang ditandatangani oleh mereka berempat diatas. Pembaca boleh merujuk kepada kitab Uyun al-Tawarikh karangan Imam al-Kutbi. Al-Hafidz al-Faqih al-Subki menyebut di dalam kitabnya Fatawa al-Subki:وحبس بإجماع العلماء وولاة الأمور Artinya: Ibn Taimiyyah dipenjara dengan ijma’ ulama’ dan pemerintah
  5. Syaikh Sholeh ibn Abdullah al-Batoihi (wafat 707H)
  6. Syaikh Kamaluddin Muhammad ibn Abi al-Hasan ‘Ali al-Siraj al-Rifa’ie al-Quraisyi al-Syafie
  7. Qadhi Besar Mesir, Ahmad ibn Ibrahim al-Hanafi (wafat 710H)
  8. Qadhi Besar Mazhab Maliki di Mesir, Ali ibn Makhluf (wafat 718H). Beliau berkata: Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa Tuhan berjisim. Bagi kami, sesiapa yang beri’tiqad dengan I’tiqad ini adalah kufur dan wajib di bunuh.
  9. Syaikh al-Faqih ‘Ali ibn Ya’qub al-Bakari (wafat 724H). Ketika Ibn Taimiyyah masuk ke Mesir, beliau adalah orang yang paling lantang menolak fahman yang dibawa oleh Ibn Taimiyyah.
  10. Al-Faqih Syamsuddin ibn ‘Adlan al-Syafie (wafat 749H). Beliau berkata Ibn Taimiyyah berkata: Allah Ta’ala diatas ‘Arasy secara haqiqi dan Allah Ta’ala berkata dengan huruf dan suara.
  11. Al-Hafidz al-Mujtahid Taqiyuddin al-Subki (wafat 756H).
  12. Al-Muhaddits al-Mufassir al-Usuli al-Faqih Muhammad ibn Umar ibn al-Makki al-Syafie (wafat 716H). Beliau pernah berdebat dengan Ibn Taimiyyah.
  13. Al-Hafidz Abu Sa’id Sholahuddin al-‘Ala’i (wafat 761H)
  14. Qadhi Besar Madinah al-Munawwarah Abu ‘Abdillah ibn Musallam ibn Malik al-Solihi al-Hanbali (wafat 726H)
  15. Syaikh Ahmad ibn Yahya al-Kalabi al-Halabi (wafat 733H)
  16. Al-Qadhi Kamluddin al-Zamalkani (wafat 727H)
  17. Al-Qadhi Shofiyuddin al-Hindi (wafat 715H). Beliau pernah berdebat dengan Ibn Taimiyyah.
  18. Al-Faqih al-Muhaddits ‘Ali ibn Muhammad al-Baji al-Syafie (wafat 714H)
  19. Al-Muarrikh al-Faqih al-Mutakallim al-Fakhr ibn al-Mu’allim al-Quraisyi (wafat 725H)
  20. Al-Faqih Muhammad ibn ‘Ali ibn ‘Ali al-Mazani al-Dimasyqi (wafat 721H)
  21. Al-Faqih Abu al-Qasim Ahmad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Syairazi (wafat 733H)
  22. Al-Faqih al-Muhaddits Jalaluddin Muhammad al-Qazwini al-Syafie (wafat 739H)
  23. Al-Mufassir Abu Hayyan al-Andalusi (wafat 745H). [ Tambahan dari ambo:- Abu Hayyan al-Andalusi al-Nahwiyyu al-Mufassiru al-Muqri-u menegaskan dalam kitab tafsirnya al-Nahr al-Mad satu ungkapan yang berbunyi : “Saya telah membaca dalam kitab Ahmad Bin Taimiyyah, beliau ini merupakan seorang yang hidup sezaman dengan kami dan ia adalah dengan tulisan tangannya sendiri yang dinamakan sebagai Kitab Al-Arasy, bahawa Allah duduk di atas al-Kursi dan Dia mengosongkan satu tempat untuk didudukkan disitu Nabi Sollallahu A'laihi Wassallam bersamanya dan telah bertahayyyul Taj Bin Muhammad Bin Ali Abdul Haqqi al-Barnabary. Dia adalah adalah penyeru yang paling menonjol baginya (Ibn taymiyah) sehinggalah diambil daripadanya dan kami bacakan apa yang sedemikian itu termaktub di dalamnya.” – dipetik dari blog abu lehyah)
  24. Al-Hafidz al-Zahabi (wafat 748H)
  25. Syaikh Afifuddin Abdullah ibn ‘As’ad al-Yafi’i al-Yamni al-Makki (wafat 768H)
  26. Al-Faqih Ibn Batutah (wafat 779H)
  27. Al-Faqih Tajuddin al-Subki (wafat 771H)
  28. Al-Muarrikh Ibnu Syakir al-Kutbi (wafat 764H)
  29. Syaikh Umar Abi al-Yamn al-Lakhmi al-Fiqihi al-Malihi (wafat 734H)
  30. Qadhi Muhammad al-Sa’di al-Misri al-Akhna’i (wafat 750H)
  31. Syaikh Isa al-Zawawi (wafat 743H)
  32. Syaikh Ahmad ibn Utsman al-Hanafi (wafat 744H)
  33. Al-Hafidz ‘Abdurrahman ibn Ahmad, masyhur dengan gelaran Ibnu Rajab al-Hanbali (wafat 795H)
  34. Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani (wafat 852H)
  35. Al-Muhaddits al-Hafidz al-Faqih Waliyuddin al-Iraqi (wafat 726H). Beliau menyebut didalam kitabnya al-Ajwibah al-Mardhiyah ‘ala al-As’ilah al-Makkiyah: “Beliau (Ibn Taimiyyah) telah mencarik persepakatan ijma di dalam banyak masalah (agama) sehingga dikatakan sampai kepada 60 permasalahan. Sebahagiannya di dalam perkara ushul dan selebihnya lagi di dalam perkara furu’.”
  36. Al-Faqih al-Muarrikh Ibnu Qadhi Syuhbah al-Syafie (wafat 851H)
  37. Al-Faqih Abu Bakar al-Hisni (wafat 829H)
  38. Syaikh Abu ‘Abdillah ibn ‘Arafah al-Tunisi al-Maliki (wafat 803H)
  39. Al-‘Allamah ‘Alauddin al-Bukhari al-Hanafi (wafat 841H). Beliau mengeluarkan fatwa tentang pengkafiran Ibn Taimiyyah dan juga bagi mereka yang menggelarkan Ibn Taimiyyah sebagai Syaikhul Islam setelah mengetahui perkataan-perkataan kafir yang diucapkan oleh Ibn Taimiyyah.
  40. Syaikh Humaiduddin al-Farghani al-Hanafi (wafat 867H)
  41. Syaikh Zarruq al-Fasi al-Maliki (wafat 899H)
  42. Al-Hafidz al-Sakhawi (wafat 902H)
  43. Ahmad ibn Muhammad atau masyhur dengan panggilan Ibnu salam al-Misri (Wafat 931H)
  44. Syaikh Ahmad ibn Muhammad al-Watari (wafat 980H)
  45. Syaikh Ahmad ibn Muhammad al-Khuwarizmi (wafat 987H)
  46. Qadhi al-Biyadhi al-Hanafi (wafat 1098H)
  47. Syaikh Ibn Hajar al-Haithami (wafat 974H). Beliau menyebut di dalam kitabnya Fatawa al-Haditsiah: “… Dan berhati-hatilah terhadap kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim al-Jauziyyah dan selain daripada mereka berdua yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai Tuhan mereka dan Allah menyesatkan mereka di atas ilmu dan menutup pendengaran dan hati-hati mereka dan menghalang penglihatan mereka ….”. Didalam kitab Hasyiah Idhoh beliau berkata: “… jangan tertipu dengan keingkaran Ibn Taimiyyah terhadap sunat menziarahi Rasulullah صلى الله عليه وسلم, kerana dia merupakan hamba yang telah disesatkan oleh Allah Ta’ala sebagaimana yang dikatakan oleh al-‘Izz ibn Jama’ah….”
  48. Syaikh Jalauddin al-Duwani (wafat 928H)
  49. Syaikh Abdul Nafi’ ibn Muhammad ibn ‘Ali ibn ‘Iraq al-Dimasyqi (wafat 962H)
  50. Qadhi Abu Abdillah al-Muqri
  51. Mulla ‘Ali al-Qari (wafat 1014H)
  52. Syaikh Abdul Rauf al-Munawi al-Syafie (wafat 1031H)
  53. Al-Muhaddits Muhammad ibn ‘Allan al-Siddiqi al-Makki (wafat 1057H)
  54. Syaikh Ahmad al-Khufaji al-Misri al-Hanafi (wafat 1096H)
  55. Al-Muarrikh Ahmad Abu al-Abbas al-Muqri (wafat 1041H)
  56. Syaikh Muhammad al-Zarqani al-Maliki (wafat 1122H)
  57. Syaikh Abdul Ghani al-Nabulisi (wafat 1143H)
  58. Syaikh Muhammad al-Mahdi ibn ‘Ali al-Siyadi (wafat 1287H)
  59. Sayyid Muhammad Abul Huda al-Siyadi (wafat 1328H)
  60. Mufti Musthafa ibn Ahmad al-Syatti al-Hanbali al-Dimasyqi (1348H)
  61. Syaikh Muhammad Khattab al-Subki (wafat 1352H)
  62. Mufti Madinah al-Munawwarah, Syaikh al-Muhaddits Muhammad al-Khidir al-Syanqithi (wafat 1353H)
  63. Syaikh Salamah al-‘Azzami al-Syafie (wafat 1376H)
  64. Mufti Mesir, Syaikh Muhammad Bakhit al-Muti’i (wafat 1354H)
  65. Syaikh Muhammad Zahid al-Kauthari (wafat 1371H)
  66. Syaikh Ibrahim ibn Utsman al-Samhudi al-Misri
  67. Syaikh Muhammad Yusuf al-Banuri al-Bakistani
  68. Syaikh Muhammad al-A’rabi al-Tabbani (wafat 1390H)
  69. Syaikh Mansur Muhammad Uwais
  70. Al-Hafidz ibn al-Siddiq al-Ghumari (wafat 1380H)
  71. Al-Muhaddits Abdullah al-Ghumari (wafat 1413H)
  72. Al-Musnid al-Habib Abu al-Asybal Salim ibn Ahmad ibn Jindan (wafat 1389H)
  73. Syaikh Muhammad ibn Isa Badran al-Misri
  74. Syaikh Musthafa Abu Saif al-Hamami. Beliau telah mengkafirkan Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya Ghauth al-‘Ibad bi Bayani al-Rasyad. Kitab tersebut telah diiktiraf oleh beberap orang ulama’ besar yang menulis pujian terhadapnya. Diantaranya Syaikh Muhammad Sa’id al-‘Urfi, Syaikh Yusuf al-Dijwi – anggota Majlis Ulama Besar al-Azhar, Syaikh Mahmud Abu Daqiqah, Syaikh Muhammad al-Buhairi, Syaikh Muhammad Abdul Fattah ‘Itani, al-Muhaddits Syaikh Habibullah al-Syanqiti, Syaikh Dusuqi Abdullah al-‘Arabi dan Syaikh Muhammad Hifni Bilal
  75. Al-Muhaddits Syaikh Abdullah al-Harari.

Begitulah senarai ulama yang menolak Ibn Taimiyyah .... dan ramai lagi ulama yang menolak ibn Taimiyyah.


Rabu, 16 Julai 2008

Tohmahan

Sebentar tadi hamba ada terbaca satu artikel di laman web al-Subki dibawah tajuk Surau al-Hidayah USJ 9 diperalatkan untuk penyebaran Wahabi. Menurut penulis blog tersebut bahwa seorang pendakyah Wahhabi bernama Sayed Anas Palestin telah memfitnah para masyaikh khususnya dikalangan habaib yang mengunjungi masjid al-Falah USJ 9 sebagai golongan yang sesat dan syirik. Dan diantara yang disesatkan adalah Habib Munzir yang bebaru ini berkunjung ke Masjid al-Falah. Allahu Allah. Tak dak kerja lain dah ka depa ni ... Tak habis-habis membid'ah dholalahkan, mensyirikkan orang ... Tak sudah-sudah mengelirukan masyarakat dalam hal furu'. Kalau kita sentuh aqidah depa yang bermasalah tuuu ... melenting marah pulak....... Allahu Allah.


Sesungguhnya bila baca 'statement' tu hamba rasa bertanggungjawab untuk menolak tuduhan tersebut ataupun memberi sedikit komen walaupun hamba bukanlah orang yang layak untuk berbuat demikian. Tetapi dek kerana mereka juga adalah merupakan masyaikh hamba maka kenalah hamba komen sikit. Sepertimana yang dah sedia maklum, diantara masyaikh yang berkunjung menberi ceramah dan pengajian di masjid al-Falah adalah Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari, al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, al-Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri, al-Habib Yusuf al-Hasani, al-Habib Munzir Fuad Musawa, al-Habib Jindan bin Naufal bin Salim, Syaikh Dr Ahmad Ajur al-Beiruti, al-Habib Kadzim dan ramai lagi …..

Maka yang pertamanya ingin hamba katakan bahwa para masyaikh yang berkunjung ke masjid al-Falah adalah dari mereka yang beraqidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang mengikut manhaj al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi. Didalam fiqh mereka bermazhab Syafie. Dan juga aqidah para habaib adalah bersih dari fahaman Syiah bahkan para penghulu habaib masa sekarang juga berpesan untuk menjauhi fahaman tersebut. Boleh rujuk disini.

Perlu diketahui bahwa, adapun aqidah kaum 'Alawiyyin [para habaib], maka sejak dahulu sampai sekarang aqidah yang diikuti adalah aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yakni satu aqidah yang berpegang kepada apa-apa yang dikerjakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersama sahabat-sahabatnya. Mereka menerima aqidah ahlussunnah tersebut secara sambung menyambung sampai ke datuk mereka baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Dalam hal ini al-Habib Idrus bin Umar al-Habsyi dalam kitabnya “Iqdul Yawaqit al-Jauhariyah” menerangkan bahwa ‘Alawiyyin yang ada di Hadramaut seluruhnya Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah - Syafi’ie dan Asy’ari.

Kedua, khusus mengenai Habib Munzir. Sejauh yang hamba kenali, Habib Munzir adalah beraqidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah mengikut Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan bermazhab dengan mazhab Syafie. Beliau mempunyai majlis ta’limnya sendiri yang diberinama Majelis Rasulullah. Majoriti dari anggota Majelis Rasulullah adalah golongan muda-mudi. Dan hamba sendiri menjadi tetamu beliau mengikuti majlis beliau di masjid Munawwar di Jakarta sewaktu kunjungan Habib Umar awal tahun ini. Hadirin yang majoritinya dari kalangan pemuda-pemudi menjangkau 40,000 orang lebih. Habib Munzir seorang yang lemah lembut, penyayang. Beliau mengajar murid-muridnya untuk mentaati agama dan menyintai Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan mengikuti segala perintah dan larangnya. Hamba melihat sendiri bagaimana berakhlaqnya murid-murid beliau. Beliau adalah merupakan murid-murid awal Habib Umar. Sebelumnya pernah belajar dari Habib Abdurrahman as-Saqqaf Bukit Duri, Jakarta. Silalah kesini untuk melihat dan mendengar apa yang beliau ajarkan, apa yang beliau syarahkan. Dimanakah yang dikatakan beliau tidak betul. Allahu Allah. Dan kalau dikatakan beliau mengajar murid-muridnya merusuh maka, kalian bacalah himbauan beliau disini. Cukuplah setakat ini pembelaan hamba kepada zuriat Rasulluah صلى الله عليه وسلم ini. Sekadar ini yang hamba mampu lakukan. Namun sudah menjadi resam bagi para pemegang panji kebenaran, difitnah, dicemuh, dihina .... ini satu hikmah. Tersebut didalam satu syair:

Jika Allah ingin menyebarkan kebaikan # nescaya Allah menjadikan lidah mereka yang dengki itu petah
Kalau bukan disebabkan bara api yang menbakar # nescaya kita tidak akan dapat mencium harumnya kayu 'ud


Ketiga, sememangnya golongan Wahhabi suka membuat tohmahan melulu dan fitnah. Dan sudah menjadi kelaziman mereka untuk memusuhi dan menyerang golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang mengikuti Imam Abu Hasan al-Asy’ari didalam jurusan aqidah dan yang mengikut salah satu dari mazhab yang empat didalam jurusan fiqh. Upacara menziarahi kubur dikatakan menyembah kubur. Bertawassul pada para anbiya’ dan sholihin yang telah wafat dikatakan musyrik. Berzikir jahar, membaca talqin, membaca qunut, mengerjakan sunat qabliyah Jum’at, talaffuz niat, menggunakan biji tasbih, dikatakan bid’ah dholalah. Dan banyak lagi.


Berhati-hatilah dengan mereka. Janganlah termakan dakyah mereka yang sesat lagi menyesatkan itu. Rasanya cukuplah sekadar ini. Pengunjung boleh membaca pendedahan mengenai penyelewengan Wahhabi dilaman web yang abu zahrah ‘link’ kan disini. Bacalah, fahamilah dan fikir-fikirkan lah … walaupun ada sesetengahnya agak ‘pedas’ … Sekian. Wassalam. ~abu zahrah~

Foto Ulama Kita

Tuan/Puan/Saudara/Saudari yang mengunjungi blog al-Fanshuri, dipersilakan menatap foto ulama-ulama kita dibahagian bawah sebelah kanan sana. InsyaAllah saya akan tambah koleksi foto mereka bila ada kesempatan.

Apa Kata Ulama Kita Mengenai Wahabi - 5

Syaikh Zainal ‘Abidin bin Muhamad al-Fathani atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minal al-Fathani adalah merupakan seorang ulama terkenal di Tanah Melayu. Kitab karangannya yang sehingga kini masih dipelajari ialah kitab `Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin [artinya – I’tiqad segala orang yang kelepasan daripada sesat dan bid’ah pada menyatakan ilmu usuluddin. Kitab ini selesai ditulis pada pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M]. Nama penuh beliau Syaikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. [Pertikaian pendapat, salasilah yang lain menyebut Wan Muhammad Dahan bin Syaikh Wan Muhammad Muhyiddin bin Syaikh Yahya bin Syaikh Ibrahim Hadhrami]. Berguru dengan ramai ulama.

Beliau termasuk salah seorang murid kepada ulama besar melayu di Mekah iaitu Shaikh Daud bin Badullah al-Fathoni. Dalam ilmu usuluddin, beliau belajar kepada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi (Kedah). Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi mempelajari ilmu yang sama daripada Syaikh Ali al-Qad-hi (Kedah). Sanad beliau sampai kepada dua imam besar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Beliau juga merupakan murid kepada Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, iaitu Abdur Rasyid Keramat Pulau Bidan. Ma’lumat tentang tarikh kelahiran dan kewafatan beliau tiada yang muktamad, namun secara umumnya masa hayat beliau adalah sekitar tahun 1820an – 1913M. Begitulah serba ringkas pengenalan mengenai Syaikh Zainal ‘Abidin bin Muhammad al-Fathani. InsyaAllah, nanti abu zahrah akan kumpulkan tulisan-tulisan mengenai biografi hidup beliau.

Tuan Minal menyebut di dalam kitabnya berjudul Irsyad al-‘Ibad ila Sabil al-Rasyad:
“ …… dan hendaklah kamu sahkan i’tiqad kamu dengan barang yang di I’tiqadkan dia oleh ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang tiada syubhat dan bid’ah padanya sekali-kali. Dan kamu belajar akan ‘ilmu yang sebenar daripada guru yang benar lagi masyhur ‘ilmunya dan sholahnya [kebaikannya] antara manusia lagi guru itu terpelihara ia daripada tamak akan harta dunia dan tiada dengki dan tiada takabbur kerana tiada berhimpun sekali-kali ‘ilmu yang sebenar pada hati yang ada padanya suatu shifat daripada shifat yang tiga itu [tamak, dengki dan takabbur].

Dan sanya telah banyak pada zaman ini beberapa manusia yang mendakwa akan dirinya ‘alim yang mengajar ia akan manusia yang awam dengan pengajaran yang salah dan beberapa i’tiqad dan rahasia yang menyesatkan hamba Allah dan setengah mereka itu berpegang dengan zahir ayat al-Quran yang mutasyabihat atau sunnah [hadits] yang mutasyabihat padahal tiada dilintangkan dengan qawathi’ ’aqliyah dan naqliyah yang muhkamat tetapi berpegang oleh mereka itu dengan zahir ayat yang mutasyabihat maka jatuh mereka itu di dalam laut kufur maka sesat mereka itu dan menyesatkan oleh mereka itu akan menusia yang awam. Maka adalah mereka itu seperti dajjal atau atau terlebih jahat daripada dajjal ……..”


Sebagaimana yang kita sedia ma’lum, golongan wahhabi adalah mereka yang berpegang dengan zahir ayat-ayat al-Quran dan hadits-hadits yang mutasyabihat. Bahkan mereka adalah golongan mentajsimkan Allah. Antaranya mereka mengatakan bahwa:-
  • Allah mempunyai jisim. Bukti dari tulisan Rasul Dahri dalam bukunya bertajuk Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh halaman 130, terbitan Jahabersa). Begitu juga Ben Baz menyebut didalam kitabnya Tanbihat Fi Rod ‘ala Man Taawwal Shifat, halaman 19: “….. penafian jisim dan anggota bagi Allah adalah suatu yang dicela”.
  • Allah bertempat iaitu diatas ‘arasy sebagaimana disebut oleh Syaikh Ben Baz didalam Majalah Haji, bilangan 14, juzuk 11, tahun 1415H, halaman 73 – 74: Allah berada diatas arasy dengan zatNya. Begitu juga Usaimin didalam kitab Fatawa Aqidah.
  • Mengatakan kalam Allah [yang azali] itu berhuruf dan bersuara sepertimana tersebut didalam Fatawa ‘Aqidah oleh Syaikh Sholeh Usaimin dan Nazarat wa Ta’aqubat ‘ala ma fi Kita al-Salafiyah karangan Syaikh Fauzan.
  • Mengatakan bahwa Allah menpunyai had, sebagaimana disebut oleh Syaikh Ben Baz pada ta’liqnya keatas kitab Aqidah Tahawi.
  • Mengatakan Allah bergerak atau berpindah dari atas kebawah sebagaimana disebut oleh Syaikh Sholeh Usaimin didalam kitab Fawawa ‘Aqidah.
  • Dan banyak lagi …..

Isnin, 14 Julai 2008

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis - Siri 11

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Teguran serta tunjuk ajar dari tuan-tuan sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.


إدفن وجودك في أرض الخمول فمانبت ممالم يدفن لم يتم تتاجه
Artinya: Tanamkanlah olehmu keadaanmu dalam bumi yang tersembunyi, maka barang yang tumbuh daripada yang tiada ditanam, maka tiada sempurna tumbuhnya.

(Maka) yang dikehendaki oleh shaikh رضي الله عنه pada kata ini bahawa sanya engkau [bersembunyi] daripada [syuhrah atau kemasyhuran] engkau dan sentiasa ikhlas bagimu maka bahawa sanya selama selagi yang salik itu berpaling kepada suatu maqam atau kepada suatu hal atau kepada syuhrah [kemasyhuran] maka tiada dapat ia bagi maqam mahabbah iaitu terlebih tinggi daripada segala maqam.


(Dan) dengan ma’ana inilah mengisyaratkan Shaikh Ruslan al-Dimasqi رضي الله عنه dengan katanya tiada dapat engkau selagi ada padamu tinggal bagi lainnya, maka barangsiapa ada padanya tinggal, maka tiada sempurna tumbuhnya kerana bahawasanya faqir itu ialah orang yang bersunyi pada segala rupa yang hissiyyah dan maknawiyyah dan terhijab daripada segala aghyar. (Dan) adalah hal manusia itu atas tiga perkara, suatu [pertama] yang kasih bagi syuhrah, kedua yang benci baginya, ketiga bagi yang menyerahkan bagi amar [urusan] Tuhannya.


(Dan) kata Ibrahim bin Adham رضي الله عنه tiada mentasdiqkan akan Allah orang yang kasih ia akan syahwat[1] [sepatutnya dibaca dengan syuhrah – abu zahrah. والله أعلم]. (Dan) kata Isa عليه السلام bagi segala sahabatnya: Dimana tumbuh biji? Kata mereka itu: Dalam bumi. Kata Isa: Maka seperti demikian itu hikmah hanya tumbuh ia dalam hati seumpama bumi. (Dan) kata Shaikh Abu Abbas al-Mursi رضي الله عنه barangsiapa menghendaki akan dzuhur maka iaitu hamba dzuhur, maka barangsiapa menghendaki akan tersembunyi maka iaitu hamba tersembunyi dan hamba Allah itu bersamaan atasnya keduanya itu.[2]


_________________________________________

Notakaki:

[1] Terdapat sedikit kesalahan cetak pada teks yang saya gunakan. Perkataan syahwat sepatutnya dibaca dengan syuhrah. Rujukan telah dibuat berdasarkan kepada beberapa buah kitab Syarh Hikam.

مَاصَدَقَ اللهَ مَنْ أَحَبَّ الشُّهْرَةَ
Tiada mentasdiqkan akan Allah orang yang kasih ia akan syuhrah.

Kata-kata Ibrahim bin Adham ini juga disebut oleh Shaikh Abdusshamad al-Falimbani رحمه الله didalam kitab Sairus Saalikin pada bab yang menerangkan kecelaan kasih kepada kemegahan dan riya’: “Dan kata Ibrahim bin Adham رضي الله عنه (artinya): Tiada membenarkan akan Allah Ta’ala oleh seorang yang kasih akan dimasyhurkan akan dia oleh orang banyak”.

Didalam hikam al-Kurdi ada dikatakan: Jauhkan dirimu dari menyintai kemasyhuran dan populariti, berapa banyak orang-orang terkemuka [dikalangan kaum shufi] diuji dengan dua hal itu.


[2] قال أبو العباس المرسي – من أحب الظهور فهو عبد الظهور ومن أحب الخفاء فهو عبد الخفاء وعبد الله سواء عليه أظهره أم أخفاء

Pengajian Kilat Kitab Safinah an-Najah


MAJLIS PENGAJIAN KITAB SAFINAH AL-NAJAH AKAN BERSAMBUNG KEMBALI BERMULA HARI INI ( ISNIN - 11 RAJAB 1429 / 14 JULAI 2008)BERMULA JAM 9.30 MALAM.


SEMUA DIJEMPUT HADIR






[Klik disini untuk pengumuman sebelum ini]

Majlis Pengajian Kitab Bersama al-Fadhil asy-Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر



Pengajian Kitab oleh Syaikh Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki - Bulan Julai 2008 - di Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan


Tarikh: 19 Julai 2008 / 16 Rejab 1429 (Sabtu)
Masa: 9.00 pagi - 12.30 tengahari
Kitab: Hadits riwayat 10 Sahabat dan Nasihat Agama dan Wasiat Iman.

Masa: Selepas Maghrib
Kitab: Zubdah al-Qawaid al-Fiqhiyyah

Tarikh: 20 Julai 2008 /.17 Rejab 1429 (Ahad)
Masa: 9.00 pagi - 12.30 tengahhari
Kitab: Hadits riwayat 10 Sahabat dan Nasihat Agama dan Wasiat Iman

Khamis, 10 Julai 2008

Majlis Silaturrahim Pondok Se Malaysia


Sukacita di maklumkan, ITMAM menganjurkan Majlis Silaturrahim Pondok Se Malaysia pada masa dan tarikh seperti berikut :

Tarikh: 9 - 10 Rajab 1429H / 12 - 13 Julai 2008
Tempat : Madrasah Darul Muhajirin
Bukit Jong, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Anjuran : ITTIHAD AL-MADARIS ISLAMIYAH (ITMAM) dan Madrasah Darul Muhajirin

Tema: Memahami Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah Berdasarkan Pengajian Sifat 20

Tetamu Khas

  • Asy-Syaikh al-Muhaddits Muhammad Ibrahim Abdul Baa’its al-Kattani
  • Asy-Syaikh Dr. Usamah el-Said (Pensyarah Universiti al-Azhar)


Atucara (tentatif):

Sabtu (9 Rajab 1429H/12hb Julai 2008)

8.50 pagi : Ketibaan Para Jemputan
9.00 pagi : Ucapan Pengerusi Majlis
9.05 pagi : Bacaan al-Quran
9.10 pagi : Bacaan Sholawat ad-Daiba’ie oleh pelajar Madrasah Darul Muhajirin.
9.30 pagi : Ucapan Aluan Wakil ITMAM- Tuan Guru Hj Wan Zukir b. Hj Wan Ismail
9.40 pagi : Ucapan Aluan Wakil Madrasah Darul Muhajirin –Tuan Guru Mohd. Suplar b.Yahya
9.50 pagi : Ucapan Perasmian

10.00 pagi: PENGAJIAN 1
Oleh: Dr. Abdul Rahman bin Mahmud
Tajuk: “Menolak Tanggapan Sifat 20 dari Falsafah Greek dan Yunani - Suatu Kajian dan Analisa”.

12.30 tengahari: Makan tengahari dan sholat Zohor

2.30 ptg : PENGAJIAN 2
Oleh: Ustaz Hj Abdullah Zaidi b Hassan (Pencakna Budaya Kelantan)
Tajuk: Sifat 20 Memberi Jawaban Kepada Sains Moden

4.30 ptg : Khidmat diri dan sholat ‘Ashar

5.00 -7.00 ptg : PENGAJIAN 3
Oleh Syaikh Dr Usamah el-Said
Tajuk:Asy’ariyyah dan Maturidiyyah Adalah Manhaj Salaf

6.30 ptg : Makan malam & Aktiviti bebas

7.30 mlm : Sholat Maghrib

8.30 mlm : Sholat Isyak
9.00 – 11.00 mlm: PENGAJIAN 4
Oleh: Asy-Syaikh al-Muhaddits Muhammad Ibrahim al-Kattani
Tajuk: Beberapa Penyelewengan Takrifan Hadits Mengikut Ahl al-Sunnah


AHAD (10 Rejab 1429H /13 Julai 2008)

6.45 pagi : Kuliah Shubuh oleh Ustaz Hj Sahul Hamid b Seeni Mohd. (Mudir Madrasah Darul Tahzib,Teluk Kumbar, Pulau Pinang).Tajuk: Tauhid Tasawuf

7.30 pagi : Sarapan pagi dan aktiviti bebas

9.00 pagi : PENGAJIAN 5
Oleh Ustaz Muhammad Aleh Sholihin (YDP Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia merangkap Mudir Madrasah Tahzib wa Ta’lim) Ulasan Akidah Ibnu Taimiyyah berdasarkan Kitab Daf’u Syubahi man Syabbaha wa Tamarrada wa Nasaba zalika ila al-Sayyid al-Jalili Ahmad - Karangan Syeikh Taqiyuddin al-Hifni (Pengarang kitab Kifayatul Akhyar).

10.45 pagi : Rehat

11.00 pagi : Sambungan Pengajian 5

12.40 tengahari: Makan tengahari dan sholat Zohor

2.30 ptg : Bengkel

4.30 ptg : Khidmat diri & sholat ‘Asar

6.30 ptg : Makan malam & aktivit bebas

7:30 mlm : Sholat Maghrib

8:30 mlm : Sholat ‘Isya’

9.00 mlm : Majlis Penutup. Tuan Guru Hj Abdul ‘Aziz Haji Shafie (Ulama Fathoni) Tajuk: Kepentingan Sanad Ilmu, Amalan Sufiyah dan Dakwah di dalam Pendidikan Pengkaderan Ulama’.

Kehadiran Tuan/Puan sangat dialu-alukan. Kerjasama Tuan/Puan menghebahkan makluman ini sangatlah kami hargai dan kami dahului dengan ucapan setinggi terima kasih. Bersama untuk mempertahankan dan memartabatkan aliran Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah

Keterangan lanjut, sila hubungi :
Badrul: 019 991 7771
Mohd Razlan: 016 921 1682
En Rashid: 019 915 1568

Rabu, 9 Julai 2008

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 8

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-'Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab kanzul minan ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun Hikam Abu Madyan dan syarah Tok Syaikh Daud ini juga memerlukan pengupasan dan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)



لاَيَصِحُّ سَمَاعُ هَذَا العِلمِ إِلاَّ لِمَنْ حَصَلَتْ لَهُ أَرْبَعَةٌ ، الزُّهْدُ وَالعِلْمُ وَالتَّوَكَلُ وَاليَقِيْنُ
Tiada patut mendengar bagi ilmu ini melainkan bagi orang yang hasil baginya, yakni ada empat (4) shifat. Pertamanya zuhud dan keduanya ilmu, dan ketiga tawakal dan keempat yaqin.

…. sambung dari siri yang lalu.

(Yang keempatnya) yaqin iaitu i’tiqad yang putus dengan barang yang mengkhabarkan dia Allah dan RasulNya dengan dia itu sebenarnya, tiada syak padanya atas jalan putus sekira-kira ghaliblah atas hatinya. Dan jadilah segala yang ghaib itu seperti dilihatnya. Maka diketahui dengan perasanya bahwasanya Allah Ta’ala tiada menjadikan jin dan manusia melainkan kerana ibadat akan Dia. Maka tiada dijadikanNya akan segala pancainderanya melainkan kerana suruh mengerjakan taat dengan dia dan tiada dijadikan hati melainkan kerana tempat zikir akan dia dan jangan ia bimbangkan dengan yang lainnya.

Maka barangsiapa hasillah baginya yaqin yang dzauqi atas jalan ini tiada memalingkan lidahnya melainkan didalam dzikir akan Dia. Dan tiada memalingkan telinganya melainkan mendengar kalamNya dan kalam rasulNya dan kalam auliya`Nya. Dan tiap-tiap sesuatu itu menyampaikan dia kepada Tuhannya. Dan tiada dipaling matanya melainkan pada barang yang memberi manfaat dan menunjuk akan dia kepada jalan Allah. Dan demikianlah dikirakan dirinya pada segala ni’mat dengan dia oleh Maulanya hingga tercapailah akan maqam orang yang Syakirin iaitu orang yang memalingkan sekelian ni’mat yang diberi Allah dengan dia atasnya kepada barang yang dijadikan kerananya.

Maka adalah tatkala itu tercapailah ia akan bertambah pemberian seperti firman Allah Ta’ala:

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ

[Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu. – Surah Ibrahim:7] – tambahan dari abuzahrah -

Bermula maqam yaqin itu iaitu diketahuinya bahwasanya Allah Ta’ala melihat atasnya pada tiap-tiap waktu dan ketika seperti kata syaikh رضي الله عنه: ….. bersambung ......

[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M]

والله تعالى أعلى و أعلم
ْ

Khamis, 3 Julai 2008

Tok Bermin al-Fathani


Tok Bermin adalah merupakan seorang ulama yang sangat tegas menentang kemasukan Kaum Muda di wilayah Fathani. Nama sebenar beliau ialah Haji Wan Ahmad bin Wan Idris al-Fathani. Beliau dilahirkan di Kampung Binjai, Mukim Binjai Lima, Fathani pada tahun 1290H/1873M[1]. Beliau adalah merupakan shahabat rapat kepada Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf Haji Ahmad al-Kelantani (atau lebih dikenali dengan nama Tok Kenali) dan Haji Muhammad Hussin bin Abdul Lathif al-Fathani (atau lebih dikenali dengan nama Tok Kelaba). Dan mereka bertiga merupakan murid-murid yang rapat dengan ulama besar Melayu yang menetap di Mekah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Pendidikan
Sebelum berangkat ke Mekah, Tok Bermin menimba ilmu diberapa buah pondok di Fathani, antaranya:

  • Pondok Beting
  • Pondok Semela berguru dengan Tok Semela Tua iaitu Tuan Guru Haji Wan Ahmad Semela.
  • Pondok Bendang Daya berguru kepada Tok Bendang Daya II
  • Pondok Tok Raja Haji, Jambu Fathani
Ketika di Mekah Tok Bermin belajar dengan ramai ulama, antaranya:
  • Tok Yaman – iaitu seorang anak watan Fathani yang baru kembali dari Yaman dan menjadi kepala telaah kepada pelajar-pelajar yang baru memulakan pengajian di Mekah.
  • Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani - kepada ulama ini beliau banyak memgambil ilmu.
  • Syaikh Wan Ahmad al-Fathani – Tok Bermin, Tok Kenali dan Tok Kelaba adalah murid-murid kesayangan Syaikh Wan Ahmad. Dan mereka bertiga juga merupakan khadam berkhidmat kepada guru kesayangan mereka ini.
  • Syaikh Nik Mat al-Fathani
  • Syaikh ‘Ali Maliki dan lain-lainnya

Membuka Pondok
[gambar disebelah adalah shahabat Tok Bermin iaitu Tok Kenali]

Setelah tamat menuntut ilmu di Mekah, Tok Bermin kembali ke Fatani sebagai seorang yang ‘alim khususnya dibidang fiqh. Beliau membuka pondok di Kampung Atas Beris, Mukim Bermin. Dari sinilah beliau mendapat gelaran ‘Tok Bermin’. Seterusnya pondok ini dikenali sebagai Madrasah Nur al-Islam al-Barminiyah. Pada zaman puncak kegemilangan (disekitar tahun 1920an – 1940an), pondok Bermin memiliki sejumlah 800 buah pondok yang dilengkapi dengan pasarnya sendiri untuk kemudahan anak-anak pondok membeli barang keperluan. Ini membuatkan Pondok Bermin termasuk di dalam pondok yang sangat dihormati dan mendapat tempat dihati masyarakat Fathani. Diantara kitab-kitab yang diajar [berdasarkan maklumat dari wawancara dengan salah seorang muridnya] oleh Tok Bermin adalah:

  • Feqah - Tahrir, Fathul Qarib, Bajuri, I’anah at-Tholibin, Bujairimi, Mughni al-Muhtaj, Iqna`,Fathul Wahab dan Mahalli
  • Usuluddin – Bakurah, Kifayatul Awwam, Bajuri, Hudhudi, Abdussalam, al-Muktadi Syarh Syarqawi (biasanya di sebut Suhaimi) dan matan Jauharah
  • Tafsir – Tafsir Jamal Syarh Jalalain
  • Nahwu – Mughni Labib dan Ibn ‘Aqil
  • Tasauf – Hikam Ibn ‘Athoillah, Sairus Salikin dan Minhajul ‘Abidin
Murid-murid Tok Bermin
Pondok Bermin telah melahirkan ramai generasi ulama. Ini mencerminkan kejayaan Tok Bermin dalam mendidik seterusnya melahirkan generasi penerus institusi pondok dimana ada dikalangan murid beliau juga membuka pondok. Antara murid-muridnya:-

  • Haji Hasan bin Muhammad Amin atau dikenali dengan nama Haji Hasan Mak Enggol – membuka pondok Mak Enggol. Pondok ini juga masyhur.
  • Haji Abdullah Titi – membuka pondok di kampung Pial
  • Haji Abdul Qadir Bendang Ramah – meneruskan pondok mertuanya di Bendang Ramah
  • Haji Ismail Semela - beliau membuka pondok di kampnug Semela.
  • Haji Abdullah Bendang Kebun – membuka pondok Bendang Kebun.
  • Tuan Chik Bendang Siring, Pujud (menantu Tok Bermin)
  • Haji Ismail Getah Cambah
  • Haji Mat Terengganu (dari beliaulah senarai kitab-kitab yang diajar oleh Tok Bermin diperolehi) – beliaulah yang menjadi penerus pondok Bermin setelah kewafatan Tok Bermin
  • Haji Omar Ibrahim Becah Semak, Pasir Mas
  • Haji Hamid Jelepok, Perlis
  • Haji abdul Ghani Batu Empat, Titi Kasan, Kedah
  • Haji Idris Alor Kemudu, Kedah
  • Baba Li Caya (bermastautin di Mekah)
  • Haji Salleh Jelempok, Perlis
  • Haji Abdurrahman Pombeng (berhijrah dan menetap di Terengganu. (Mudir Madrasah Darul Salam, Kuala Ibai, Terengganu. Baru saja wafat. Namun abu zahrah lupa tarikhnya)
  • Haji Abdurrahman Bangkok
  • Haji Ismail Phra’tan (Legor)
  • Dan ramai lagi ….

Penulisan
Tok Bermin tidak meninggalkan hasil penulisan bercetak kecuali beberapa salinan doa dan wirid yang beliau berikan atas permintaan seseorang yang mengunjungi beliau.


Menurut al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah, beliau ada menyimpan manuskrip atau tulisan tangan asli Tok Bermin yang meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda. Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut:


“Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya setengah daripada Kaum Muda yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.’’

Personaliti Tok Bermin
Tok Bermin selalu kemas dalam berpakaian sama ada ketika mengajar atau berjalan. Pakaian yang dipakainya sentiasa tegang kerana berkanji menurut tradisi zaman itu. Tok Bermin jika berjalan ke mana-mana menunggang kudanya sendiri dengan tersedia pada tangannya. Jika menunggang kuda Tok Bermin selalu berdisiplin, mencerminkan kewibawaan, kebesaran ulama dan kelihatan gagah. Dielakkannya menunggang seperti ada kelemahan atau menanggung sesuatu penyakit. Ketika mengajar beliau sangat cermat dan tegas, terutama ketika membaca kitab atau mendengar murid membaca kitab bahasa Arab. Beliau sangat terikat dengan kaedah ilmu, terutama dalam ilmu nahu dan ilmu sharaf, sedikit pun tidak boleh tersilap atau salah. Jika tersalah baca, Tok Bermin menegurnya secara spontan langsung memberi keterangan dengan ‘tegas’. Tok Bermin membaca perkataan satu demi satu dengan jelas.
Tok Bermin mengamalkan thariqat Ahmadiah (iaitu thariqat sufiyyah yang di nisbahkan kepada Syaikh Ahmad bin Idris bin Muhammad al-Hasani). Masyhur di kalangan masyarakat Fathani bahawa Tok Bermin adalah seorang yang dikuniakan dengan perlbagai karamah. Diujung usianya, Tok Bermin menghabiskan masa untuk beribadat sahaja.


Keluarga


Sewaktu kewafatannya, Tok Bermin mempunyai tiga orang isteri. Dan beliau dikurniai dengan 5 orang anak.
Kewafatannya
Ulama yang berjasa ini wafat di Bermin, malam Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M pada umur 86 tahun menurut tahun Hijrah. Semoga Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tok Bermin ...... al-Fatihah.


Tulisan mengenai tokoh ini Abu Zahrah kutip dari:

- Ulama besar dari Patani oleh Ahmad Fathy al-Fatani; Terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia; 2002
- Tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertajuk Tok Bermin al-Fathani cergas, cermat dan kemas


sekian dari
~abu zahrah~
Khamis, 29 Jumadilakhir 1429H / 3 Julai 2008M







Notakaki:-
Berdasarkan penulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah, nama sebenar Tok Bermin adalah Wan Muhammad bin Wan Idris al-Fathani. Dan beliau dilahirkan di kampung Jambu, Fathani.

Rajab Datang Lagi

InsyaAllah, pada hari Jum'at ni (4 Julai 2008) kita akan melangkah masuk ke bulan Rajab. Salah satu bulan daripada 12 bulan dari kalender hijrah dan merupakan satu bulan dari bulan-bulan 'haram' selain dari bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Beberapa peristiwa penting dalam Islam berlaku di bulan Rajab, antaranya hijrah pertama ke Habsyah, peristiwa Nakhla, peperangan Tabuk pada tahun ke-9 hijrah, peristiwa isra' dan mi'raj dan pembebasan al-Aqsa daripada tentera Salib [pada hari Jum'at 27 Rajab 583H, tentera Salib telah menyerahkannya kepada Salahuddin al-Ayyubi]. Dan pada bulan ini jugalah imam panutan kita, Imam Syafie dilahirkan pada tahun 150H di Ghazzah, Palestin.

Bagi orang tua-tua dikampung aku, bulan ini adalah merupakan seumpama pintu gerbang untuk masuk ke bulan Ramadhan. Sedari kecil aku perhatikan mereka akan mula memperbanyakkan puasa dibulan ini, bahkan ada yang puasa lengkap sebulan. Mereka juga kuperhatikan akan banyak bersedekah pada bulan ini. Namun setelah aku menetap dikota metropolitan Kuala Lumpur, suasana dan tradisi ini sudah kurang terasa. Ditambah pula dengan tohmahan golongan-golongan tertentu yang membid'ahkan perbuatan berpuasa dibulan ini membuatkan segelintir umat Islam yang takut untuk berpuasa dibulan ini..... Pelbagai tuduhan ... cemuhan yang dilemparkan. Nanti kita akan dapat lihat disana-sini mereka akan melaungkan slogan tahunan mereka. Puasa bulan rajab bid'ah .... puasa bulan rajab bid'ah ..... barangsiapa mengerjakan bid'ah masuk neraka ..... Allahu Allah ... kalau tidak mampu berpuasa maka janganlah pula menghalang orang untuk menambah amal kebaikan. Biarlah mereka dengan laungan mereka. Yang penting kita gunakan segala kesempatan yang ada untuk taqarrub kepadaNYA.

Memandangkan golongan tersebut akan menyebarkan fahaman sempit mereka, maka disini aku 'link'kan semula posting yang pernah aku paparkan mengenai persoalan berpuasa dibulan rajab menurut ulama kita. Silalah layari: Persoalan Puasa Rajab - Bahagian 1 dan Persoalan Puasa Rajab - Bahagian 2.

Kuakhiri postingku ini dengan memohon doa sepertimana yang pernah Rasululah صلى الله عليه وسلم berdoa semasa melihat anak bulan Rajab:

اَللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَاشَهْرَرَمَضَانَ

Artinya: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rajab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan


Selasa, 1 Julai 2008

SEMINAR PENGUKUHAN DAN KEFAHAMAN AQIDAH AHLUSSUNNAH WAL JAMA'AH

SEMINAR PENGUKUHAN DAN KEFAHAMAN AQIDAH AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH

OBJEKTIF

  1. Menjelaskan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berdasarkan metadologi ulama muktabar
  2. Menghuraikan sumber-sumber pegangan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang muktabar
  3. Menonjolkan kepentingan ilmu tasawuf sebagai ilmu yang sah dalam aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
  4. Menjelaskan beberapa cabaran pengukuhan akidah umat islam di Malaysia dan cara mengatasinya

PEMBENTANG KERTAS KERJA

al-Muhaddits Syaikh Muhammad Ibrahim Abdul Baa’its al-Husaini al-Kattani (Mesir)

Beliau dilahirkan di Iskandariah, Mesir dari kalangan keluarga ulama dan pernah menjadi murid kanan kepada muhadits yang terkenal iaitu Syaikh. Abdullah Siddiq al-Ghumari. Beliau adalah merupakan seorang ulama hadits yang terkemuka di Mesir masakini.

Dr. Osama al-Said (Universiti Al-Azhar, Mesir)

Beliau seorang pensyarah Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir dan sering mewakili mufti Mesir, Professor Dr. Ali Jum’ah bagi menghadiri seminar-seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga sering menggantikan mufti Mesir dalam menyampaikan khutbah-khutbah jumaat di Mesir. Beliau juga pernah menyunting kitab-kitab yang diamanahkan kepada mufti Mesir

Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat (Universiti Malaya)

Beliau seorang Professor Madya merangkap Ketua Jabatan di Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau juga adalah seorang Ahli Jawatankuasa Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Kelulusan:- Ijazah Sarjana Muda, Universiti Al-Azhar dalam bidang Pengajian Islam & Bahasa Arab (1992); Sarjana Usuluddin dalam bidang Falsafah Islam, Universiti Malaya, K.Lumpur (1997); PhD, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2002)

Pernah menjadi Pengurus Jurnal Usuluddin, terbitan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (2003 – 2005) dan Ketua Editor Jurnal Akidah & Pemikiran Islam (AFKAR) (2006 – 2009)

Ustaz Mahfuz Muhammad Al Khalil (Pendakwah Bebas)

Beliau dilahirkan di Selangor, dan merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir dalam Fakulti Bahasa Arab. Beliau juga memiliki Diploma Fatwa dari Darul Ifta’ Mesir


JADUAL SEMINAR

Tarikh 8 Julai 2008

9.00 – 10.30 - Perasmian dan Pembentangan Kertas 1 - APAKAH DALIL-DALIL AKAL DALAM MASALAH KETUHANAN, PEGANGAN AL-ASYA’IRAH BERTENTANGAN DENGAN AL HADITS? Oleh : al-Muhaddits Syaikh Muhammad Ibrahim Abdul Baes al-Kattami (Mesir)

10.30 – 11.00 – Rehat

11.00 – 12.30 - Pembentangan Kertas 2 - CABARAN PENGUKUHAN AKIDAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA DAN CARA-CARA MENGATASINYA. Oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat (Universiti Malaya)

12.30 – 2.00 ptg – Makan tengahari dan sholat dzuhur

2.30 – 4.30 – Perbincangan. Wacana isu-isu aqidah semasa (1). Pengerusi Sesi : Prof Madya Mohd. Kamil Bin Abd. Majid

Tarikh 9 Julai 2008

8.30 – 10.30 pagi – Pembentangan kertas kerja 3 - KEDUDUKAN TASAWUF DALAM DISIPLIN ILMU ISLAM. Oleh : Dr. Osama al-Said (Universiti Al-Azhar, Mesir)

10.30 – 11.00 – Rehat

11.00 – 12.30 – Pembentangan kertas kerja 4 - PENGERTIAN SALAFI MENURUT ULAMA ISLAM. Oleh : Ustaz Mahfuz Muhammad al-Khalil (Pendakwah Bebas)

12.30 – 2.00 – Makan Tengahari dan sholat dzuhur

2.00 – 4.00 – Perbincangan. Wacana isu-isu aqidah semasa (2). Pengerusi Sesi: Dr Luqman bin Abdullah


Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
URUSETIA SEMINAR
APIUM Jabatan Akidah
Ustaz Siddiq - Tel No: 03-7967 6096/6014 - Handphone No: 017-291 5476

P/S - Difahamkan para peserta akan dikenakan bayaran. Sila hubungi urusetia seminar untuk maklumat lanjut.

Related Posts with Thumbnails